-->
DRESANALA

+ download Dresanala II: Baladewa-x | zip | doc | pdf | pdb |

Agama Neo-Jain

Agama Neo-Jain telah diasaskan oleh Shojiro Nishio pada tahun 2150 di planet Bihar. Beliau telah mengasaskan agama ini dengan menggabungkan falsafah agama Jain dengan falsafah agama Buddha Shinto. Agama ini telah menjadi teras kepada penduduk Bihar yang kebanyakkannya menganut agama ini. Kitab suci mereka dikenali sebagai kitab Svetambara.

Ganthree

Perkataan Ganthree ini diambil sempena nama gergasi yang wujud di dalam mitos Isbin. Gergasi Ganthree ini dikatakan telah membantu para dewa untuk mengalahkan Ator, sejenis makhluk jahat yang mahu menggunakan kuasanya untuk memisahkan Kaldi I dan Kaldi II (sepasang bintang binari) yang merupakan sepasang kekasih yang tidak mungkin dapat dipisahkan sampai bila-bila. Kehadiran Ganthree telah memungkinkan Kaldi I dan II untuk teruus memupuk kasih bersama lantas menyimbahi Isbin dengan limpah sinarnya tanpa kenal erti jemu—merekalah matahari, sumber segala keterangan kepada Isbin.

Isbin

Beberapa ribu tahun selepas kaum Isbin mula meneroka galaksi mereka, kaum Isbin ini telah terbahagi kepada dua buah kelompok yang berlainan. Dua buah kerajaan telah terbentuk, iaitu Kerajaan Lama (Planet Isbin) dan Kerajaan Baru (Planet Judrael). Beberapa ratus tahun selepas kerajaan ini dibentuk, ia telah ditawan oleh dua buah kuasa besar. Kerajaan Lama telah ditawan oleh kaum Gassobah lantas Isbin kehilangan kuasa politiknya serta perngaruh keagamaannya. Kerajaan Baru pula telah ditawan oleh kaum Adratri, ia juga mengalami nasib yang serupa seperti Isbin. Kuil-kuil mereka telah dimusnahkan dan mereka telah dijadikan hamba lalu ramai diantara mereka yang telah dipaksa untuk bekerja di sebuah koloni perlombongan Adratri yang bernama Klaos. ‘Perhambaan Isbin’ ini telah berlaku selama lebih 322 tahun lamanya sehinggalah kaum Adratri sendiri telah membebaskan kaum Isbin dari cengkaman perhambaan. Apabila mereka bebas, Kerajaan Baru telah membina semula kuil-kuil agama mereka yang telah dimusnahkan, maka diteraskan kembali segala apa yang pernah dilupuskan dahulu. Manakala Kerajaan Lama pula terus ditakluk di dalam satu tempoh yang agak lama (1298 tahun) sehingga menyebabkan budaya, bahasa serta agama kaum Gassobah banyak mempengaruhi rumpun masyarakat Isbin dari Kerajaan Lama ini. Disebabkan oleh faktor ini, rumpun kaum Isbin telah terbahagi dengan lebih jauh lagi, sehinggalah pada satu ketika, lahirnya Seguiri yang telah menyatukan kedua-dua rumpun dari Isbin ini…
-- Petikan dari buku: Hikayat Sejarah dan Xenobiologi Kaum Isbin oleh Mochtar Ikranagara.

Nassime

Kaum Nassime adalah diantara kaum asing pertama yang membuat hubungan diplomatik dan perdagangan dengan SDT. Selepas kapalangkasa peneroka SDT terserempak dengan kaum Rostuna di Sektor Meru Wilayah VII pada tahun 2259, mereka telah diperkenalkan oleh kaum Rostuna kepada beberapa kaum asing yang lain melalui satu perjanjian persahabatan. Kaum Nassime adalah diantara 57 kaum asing terawal yang telah mengadakan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan SDT melalui perjanjian ini.

Puak Mahavira

Puak Mahavira terkenal dengan kebolehan mereka membina nanobot untuk kegunaan membaiki sel-sel rosak di dalam badan.

Topeng Tirthankaras

Topeng tirthankaras ini penting kerana agama Neo-Jain mengharamkan penganutnya menunjukkan wajah mereka kepada orang ramai. Ia diperbuat dari logam protimium (yang bersifat lutsinar hanya kepada pemakainya) yang langsung membolehkan penganut Neo-Jain melihat dunia luar dengan jelas. Topeng ini juga telah dilengkapi dengan alat komunikasi serta beberapa peralatan canggih yang lain. Ia dihias dengan ukiran seni yang begitu halus (tidak ada dua topeng yang serupa kerana setiap topeng melambangkan identiti serta puak orang Bihar). Topeng ini kini menjadi koleksi objek seni oleh mereka yang mampu membelinya.

all contents by © Nizam Zakaria » 2002 All rights reserved | made with Dreamweaver MX