-->
DRESANALA

+ download Dresanala II: Baladewa-x | zip | doc | pdb |

Android Mädchen Versi 3.0

Mädchen Versi 3.0 merupakan android yang telah dikhaskan untuk melakukan kerja-kerja rumah. Android ini dianggap antik dan kini ia jarang-jarang sekali dapat dilihat. Unit ini sukar dicari kerana ia tidak begitu popular ketika ianya mula dijual dahulu. Ini adalah kerana, Mädchen Versi 3.0 telah dibina dengan perisian yang membolehkannya meniru perasaan asas yang ada pada manusia. Perkara ini tidak begitu digemari oleh kebanyakkan pengguna kerana mereka lebih senang dengan android yang tidak banyak bersoal jawab dan hanya tahu melakukan segala pekerjaan yang telah diarahkan kepada mereka.

Bom Bio-plasma

Bom ini sesuai digunakan oleh pembunuh Spinko kerana bentuknya mikronya. Bom ini sesuai digunakan di kawasan kecil yang memerlukan musuh dibinasakan dengan serta merta. Ketika bom Bio-plasma meletup, ia akan mengeluarkan denyutan sinaran terang yang bermula dari sebuah sfera kecil lalu mengembang memusnahkan organisme yang berada di dalam lingkungannya.

Bon jangkrik

Bom ini bersaiz kecil, lebih kurang 7cm lebar. Walaupun kecil, ia boleh mengeluarkan letupan yang agak kuat. Ia selalu digunakan di dalam operasi perisikan oleh Empayar Dresanala. Bom bio-organik ini boleh diprogramkan untuk mencari sasarannya sendiri.

Dadah S-Moon

Dadah S-Moon telah tercipta dengan cara tidak sengaja oleh Pieter Nagorny ketika dia sedang menyelidiki spora sejenis tumbuhan hutan dari planet Daikoku. Tujuan utamanya adalah untuk mencari ubat kepada penyakit flu Tjebbes yang telah menyerang penduduk Planet Sphynx. Dadah yang telah ditemuinya itu mampu membuat sesiapa yang mengambilnya berkhayal tentang perkara-perkara yang mengasyikkan.

Droid Polis

Droid Polis yang berbentuk seperti piring terbang kecil ini telah dilengkapkan dengan alat pengesan pelbagai jenis, holo-kamera serta senjatanya sendiri. Unit yang kecil ini telah digunakan sejak 100 tahun yang lalu oleh pasukan-pasukan polis di seluruh bahagian jajahan Perbadanan Bumi untuk membantu mereka menjaga keselamatan awam.

Holocom

Holocom adalah alat komunikasi, hiburan dan pendidikan yang menggunakan teknologi hologram untuk menyampaikan maklumat dan informasi secara realistik.

Holo-s/holosex

Kemudahan bilik Holo-S (Holographic Simulation) atau dikenali oleh beberapa pihak sebagai holosex terdapat di mana-mana pusat-pusat hiburan, malah mereka yang berpendapatan tinggi selalunya mempunyai sebuah bilik khas untuk kemudahan ini. Pada mulanya, Holo-S telah dicipta oleh Arthur Feinberg dari Bumi pada tahun 2089 untuk kegunaan simulasi peperangan. Tetapi ia kemudian popular untuk digunakan untuk tujuan hiburan dan untuk bercuti ke lokasi-lokasi eksotik. Ia telah diharamkan di planet New Manhattan kerana simulasi hologramnya yang realistik telah membuat beberapa penggunanya terkorban setelah mereka menggunakan program yang berunsur ganas seperti program simulasi peperangan. Pada hari ini, Holo-S telah diprogramkan dengan unsur-unsur keselamatan supaya ia tidak akan mencederakan penggunanya.

Holotron

Holotron menggabungkan teknologi medan tenaga, betatron dan Holo-S berkuasa tinggi. Ia sering digunakan oleh para Warok dan Pengaman Empayar Dresanala, kerana ia boleh dibawa di mana-mana di dalam bentuk cotar. Kenderaan ini mempunyai bentuk seperti sebuah kenderaan lut cahaya kebiruan. Holotron ini adalah sejenis alat yang menggunakan teknologi manipulasi tenaga, maka ia boleh dibentuk menjadi pelbagai jenis kenderaan selain dari bentuk motorsikal dan pesawat kecil. Holotron ini walaubagaimanapun, lebih terkenal dengan fungsinya sebagai senjata (di dalam bentuk cemeti) untuk kegunaan seorang Warok atau seorang Pengaman Empayar Dresanala.

Hyperpacuan

Enjin ini pada mulanya hanya wujud di dalam teori semata-mata kerana belum ada badan penyelidik yang mampu membina sebuah enjin yang boleh membawa sebuah kapalangkasa ke dalam hyperruang. Jika mengikut teori, sebuah enjin hyperdrive yang dapat dibangunkan dengan baik, akan dapat membawa kapalangkasa bergerak di dalam hyperruang angkasalepas lebih sejuta kali melebihi kelajuan cahaya. Tetapi perkara ini hanya teori semata-mata kerana sehingga kini masih belum terdapat lagi sumber bahanapi yang dapat menjana enjin hyperdrive yang banyak menggunakan tenaga ini.

Gorong

Gorong adalah sejenis tumbuhan yang telah dimanipulasi supaya ia dapat digunakan sebagai pakaian yang kebal bagi pahlawan-pahlawan Isbin. Ia bertindak mengikut arahan pemakainya, maka ia mampu mengubah kepelbagaian fungsinya mengikut kemahuan pemakainya. Sebagai sejenis tumbuhan, bahan najis pemakai boleh diproses semula oleh gorong. Malah, di dalam kegunaannya untuk jangkamasa yang lama, ia boleh memproses semula bahan buangan pemakainya, lalu menghasilkan bekalan makanan serta minuman bagi pemakainya secara semula jadi. Sut ini digunakan di dalam medan pertempuran, salah satu sebabnya adalah kerana sifat metamorphic dan camouflage sut ini yang dapat menyerupai keadaan sekelilingnya.

Infocrystal

Infocrystal telah menjadi standard indistri sebagai alat untuk menyimpan pelbagai jenis data di dalam pelbagai bentuk sejak tahun 2128. Ianya berbentuk silinder dan senang dibawa ke mana-mana kerana saiznya yang kecil. Ia boleh menyimpan infomasi sebanyak 800 terabyte.

Kajaterina

Alat ini mempunyai rekabentuk organik seperti seekor lintah. Ia dipakaikan di bahagian belakang kepala seorang warok sebaik sahaja dia dianugerahkan dengan gelaran “Warok”. Alat ini mempunyai nyawa tersendiri. Ia telah dibiakkan dengan tujuan; ia akan dapat hidup di dalam keadaan simbiotik dengan si Warok. Tindak-tanduk seorang Warok dapat dikawal oleh pihak berkuasa tentera dengan alat ini. Ini dilakukan supaya seorang Warok akan terus berjuang tanpa rasa gentar dan kesetiaan mereka diserahkan untuk Empayar Dresanala, tanpa belah bahagi.

Kasunyatan

Alat organik ini menyerupai seekor cacing pendek yang dimasukkan ke dalam telinga penggunanya. Cacing ini akan memproses input gelombang alpha yang diterima dari penuturnya, lalu diterjemahkannya untuk difahami oleh penggunanya. Alat kasunyatan merupakan alat pengalih bahasa standard yang di gunakan secara meluas di Empayar Dresanala.

Kempul

Telah terpatri di dalam sistem perundangan Dresanala bahawa kaum kerabat yang telah dihidupkan semula tidak akan dihidupkan di dalam bentuk jasad manusia. Mereka dihidupkan di dalam bentuk Holocom di atas sekeping Kempul. Mereka mempunyai perasaan seperti manusia biasa, walaupun mereka hanya wujud di dalam bentuk Holocom.

Kiosk Mediscan

Kiosk bersaiz kecil ini telah dilengkapi dengan alat Bio-scan. Alat ini akan mengimbas badan pesakit secara percuma. Imbasan secara menyeluruh ini dilakukan untuk mencari punca penyakit si pesakit, yang mungkin datangnya dari unsur-unsur asing yang menyerang tubuh mereka—seperti serangan bakteria dan virus. Setelah pemeriksaan dilakukan, si pesakit akan diberikan senarai ubat yang boleh mereka beli di farmasi berdekatan (yang dikawal sepenuhnya oleh Konsortium Perubatan, sebuah anak syarikat Perbadanan Bumi).

Lahidi

Senjata ini berteraskan teknologi organik gorong (teknologi berasaskan tumbuhan). Ia mampu mengubah sebuah entiti yang bersifat mekanikal lalu mengasimilasikannya untuk menjadikannya sebuah sistem bio-organik. Di dalam erti kata lain, mengubah structur luaran dan dalaman sesuatu yang telah diambil alihnya kepada spesifikasinya sendiri. Ia adalah sejenis benda hidup. Maka, entiti yang telah diambil alihnya akan dianggap sebagai sebuah benda hidup.

Medan Tenaga

Medan Tenaga adalah kelengkapan standard bagi kebanyakkan kapalangkasa yang telahpun dilengkapkan dengan sistem pertahanan yang lain. Medan Tenaga yang bertindak sebagai perisai ini banyak menggunakan tenaga, jadi ia jarang-digunakan—kecuali di dalam situasi di mana ia benar-benar diperlukan.

Nanobot Wangsit

Nanobot Wangsit ini telah direka mengikut struktur DNA pemakainya. Ini bermakna, Wangsit akan terus dapat diasimilasi kepada tubuh si pemakai. Ia tidak boleh dikesan oleh mana-mana alat pengimbas yang tercanggih sekalipun. Ia juga mampu membiak dengan membina berpuluh ribu Nanobot Wangsit dengan menggunakan protin dan kompaun lain seperti ferum yang wujud di dalam tubuh manusia. Ia juga boleh diprogramkan untuk melakukan pelbagai tugas tertentu seperti bertindak menyerang pihak musuh dengan meniru taktik serangan virus.

Nanokutu

Robot Nanokutu telah dibina dengan menggunakan teknologi nano Bihar. Ianya mempunyai rupa seperti seekor kutu enioo dari Bihar yang mampu terbang tanpa dapat dikesan oleh mata kasar. Ia sering digunakan untuk tujuan perisikan oleh SDT. Setelah ia dilepaskan untuk membuat rakaman dengan tujuan perisikan, ia akan terus mengikut tuannya sehingga arahan terakhir diberikan (jika ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku kepada tuannya, Nanokutu akan terus bersama tuannya, dan jika ia perlu, bersembunyi sehingga ajen SDT yang lain mendapatkannya). Untuk tujuan-tujuan keselamatan, robot Nanokutu (Versi 6.0 ke atas) telah dilengkapkan dengan senjata yang boleh membunuh. Ia akan menyengat tuannya yang telah ditangkap oleh pihak musuh, lalu mengeluarkan beberapa ribu nanobot pembunuh ke dalam tubuh tuannya untuk menyerang bahagian otak tuannya itu.

Penjana Mimpi

Alat permainan Penjana Mimpi ini merupakan alat pembelajaran serta hiburan untuk kanak-kanak bawah 12 tahun. Perisiannya telah dibentuk untuk mengajar dan menghiburkan kanak-kanak ketika mereka sedang lenyak tidur.

Replikator Makanan

Alat Replikator Makanan ini boleh menyiapkan pelbagai jenis makanan yang hanya perlu diprogramkan oleh penggunanya. Ia akan menggabungkan asid amino sehingga menghasilkan kompaun yang berbentuk makanan.

Sexdroid

Sexdroid adalah diantara kegunaan pertama (dan yang paling popular) android yang menyerupai manusia, apabila ia mula-mula muncul dipasaran. Penggunaannya kini tidak begitu popular memandangkan pengguna kini lebih berminat untuk menggunakan Holosex untuk memuaskan nafsu mereka. Walaubagaimanapun masih terdapat lagi permintaan untuk Sexdroid diatas sebab-sebab nostalgia.

Sistem Halimunan

Sistem ini digunakan di dalam beberapa kapalangkasa tertentu Empayar Dresanala. Walaubagaimanapun, tidak ada satupun yang dapat melawan ketulinan kristal Ambilobe (hanya Senopati Khairul sahaja yang dikatanya memiliki kristal misteri ini) untuk menjadikan sesebuah kapalangkasa berada di dalam keadaan halimunan. Apabila kristal Sundang digunakan untuk menghidupkan sistem cloaking, (kristal ini dikatakan mempunyai struktur molekular yang terdekat dengan kristal Ambilobe) ianya masih tidak dapat menyembunyikan cas ion yang dikeluarkan dari kapalangkasa.

Untai ID

Untai ID merupakan untai pengenalan yang terkandung di dalam kerangka DNA yang mengandungi kod ATCG. Ia disimpan di lokasi tetap yang tidak digunakan di dalam untai DNA. Untai ID ini diginakan untuk menyimpan data-data penting seperti rekod kesihatan, tarikh tubuh android dibina serta nama syarikat pembuatnya.

all contents by © Nizam Zakaria » 2002 All rights reserved | made with Dreamweaver MX