-->
DRESANALA

+ download Dresanala II: Baladewa-x | zip | doc | pdf | pdb |

Bihar

Planet Bihar telah ditemui oleh peneroka dari Perbadanan Bumi pada tahun 2142. Ia adalah planet yang ke-12 yang telah dijadikan sebagai koloni manusia oleh Perbadanan Bumi. Planet yang terkenal dengan mukabumi yang cantik dan kaya dengan sumber alam semulajadi ini telah ditakrifkan sebagai sebuah koloni penyelidikan dan pembangunan oleh Perbadanan Bumi. Planet ini juga terkenal kerana 92% dari penduduknya menjadi pengikut kepada ajaran agama Neo-Jain yang meneraskan kepada kestabilan ekologi dan sebuah masyarakat pleibian. Diantara teras utama ajaran agama ini adalah ia telah mengharamkan pengkopratan di dalam bentuk apa sekalipun, maka kerana inilah ia telah bertelagah dengan Perbadanan Bumi dengan meminta supaya ia bukan lagi menjadi sebahagian dari koloninya.

Bromolox IV

Planet ini merupakan planet keempat dari lima belas buah planet yang ada di sistem Bromolox. Planet ini terletak di sektor Duryudana yang terpencil dan terletak jauh dari sebarang jalan-jalan perdagangan utama. Kawasan di sekitar planet ini agak mundur walaupun ia terletak agak dekat dengan kawasan tengah-tengah galaksi Bima Sakti, kerana fenomena gangguan hyperruang yang terdapat di sana. Kawasan yang mempunyai diameter sepanjang 987 tahun cahaya ini jarang diterokai kerana kapalangkasa yang mempunyai teknologi hyperpacuan tidak boleh menggunakan teknologi tersebut di sini. Sistem Bromolox ini bersempadan dengan sektor Dasamuka, sebuah sektor yang jarang diterokai oleh mana-mana tamadun yang dikenali.

Giandee

Planet Giandee terkenal dengan sistem perbankannya yang kukuh, stabil serta boleh dipercayai. Planet yang mempunyai tamadun yang agak tua ini tidak mempunyai apa-apa sistem ekonomi yang lain kecuali di dalam sektor perbankan. Kedudukannya menjadi lebih kukuh lagi apabila Empayar Dresanala telah mengambil keputusan untuk menyimpan serta melaburkan dana kewangannya ke dalam beberapa buah akaun di beberapa buah bank utama di Giandee. Akaun yang terkumpul dari ufti yang diterima dari planet-planet yang dijajah oleh Empayar Dresanala sahaja cukup untuk menampung kehidupan sepuluh buah planet yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi buat masa bertahun-tahun lamanya!

Hermoso

Planet Hermoso telah ditemui oleh peneroka dari Perbadanan Bumi pada tahun 2143. Ia adalah planet yang ke-14 yang telah dijadikan sebegai koloni manusia oleh Perbadanan Bumi. Ia terkenal dengan pantai-pantainya yang cantik dan keadaan planetnya yang telah dijaga dengan rapi. Ia juga telah dikenali sebagai sebuah koloni yang telah melahirkan ramai cerdik pandai serta seniman di dalam pelbagai cabang seni.

Husson

Planet perindustrian yang terletak di sektor Rahwana ini terkenal dengan teknologi bio-kejuruteraannya. Planet ini dikawal dan diperintah oleh android-android yang dikenali dengan nama Jiksar. Menurut cerita, planet Husson ini pada satu ketika dahulu telah didiami oleh kaum reptilia bernama Husson yang kini telah lama pupus. Sebelum mereka pupus, mereka telah membina android-android yang menyerupai mereka bernama Jiksar yang telah mereka gunakan untuk membantu mereka melakukan tugas-tugas seharian. Sebelum sempat kaum Husson dapat memahami teknologi untuk membolehkan mereka menjelajah bintang, planet mereka telah diserang dengan sebuah meteor yang langsung melupuskan segala jenis kehidupan di Husson, kecuali android-android Jiksar ini. Peristiwa ini telah berlaku lebih kurang 3200 tahun yang lalu. Android-android Jiksar inilah yang telah membina dan membangunkan semula Husson. Dengan keupayaan mereka sendiri, Husson kini menjadi sebuah planet perindustrian bio-kejuruteraan yang tersohor di sektor Rahwana.

Isbin

Beberapa ribu tahun selepas kaum Isbin mula meneroka galaksi mereka, kaum Isbin ini telah terbahagi kepada dua buah kelompok yang berlainan. Dua buah kerajaan telah terbentuk, iaitu Kerajaan Lama (Planet Isbin) dan Kerajaan Baru (Planet Judrael). Beberapa ratus tahun selepas kerajaan ini dibentuk, ia telah ditawan oleh dua buah kuasa besar. Kerajaan Lama telah ditawan oleh kaum Gassobah lantas Isbin kehilangan kuasa politiknya serta perngaruh keagamaannya. Kerajaan Baru pula telah ditawan oleh kaum Adratri, ia juga mengalami nasib yang serupa seperti Isbin. Kuil-kuil mereka telah dimusnahkan dan mereka telah dijadikan hamba lalu ramai diantara mereka yang telah dipaksa untuk bekerja di sebuah koloni perlombongan Adratri yang bernama Klaos. ‘Perhambaan Isbin’ ini telah berlaku selama lebih 322 tahun lamanya sehinggalah kaum Adratri sendiri telah membebaskan kaum Isbin dari cengkaman perhambaan. Apabila mereka bebas, Kerajaan Baru telah membina semula kuil-kuil agama mereka yang telah dimusnahkan, maka diteraskan kembali segala apa yang pernah dilupuskan dahulu. Manakala Kerajaan Lama pula terus ditakluk di dalam satu tempoh yang agak lama (1298 tahun) sehingga menyebabkan budaya, bahasa serta agama kaum Gassobah banyak mempengaruhi rumpun masyarakat Isbin dari Kerajaan Lama ini. Disebabkan oleh faktor ini, rumpun kaum Isbin telah terbahagi dengan lebih jauh lagi, sehinggalah pada satu ketika, lahirnya Seguiri yang telah menyatukan kedua-dua rumpun dari Isbin ini…
-- Petikan dari buku: Hikayat Sejarah dan Xenobiologi Kaum Isbin oleh Mochtar Ikranagara.

Kimkaskoye

Planet Kimkanskoye mempunyai rekabentuk mukabumi yang tandus. Penempatan di sini dibina di dalam bentuk kubah raksaksa yang tertutup kerana udara diluarnya terdiri daripada 67% komposisi gas methane. Walaupun begitu, planet ini kaya dengan logam duromium. Planet ini tidak pernah dibangunkan sepenuhnya sebagai sebuah pusat penempatan. Sejak terjumpanya logam starkium (yang lebih ringan dan kuat dari duromium) di Planet Heilongkiang, Kimkanskoye terus menjadi mundur. Planet ini juga terkenal dengan adanya Penjara Al Taqwa, sebuah penjara kelolaan Perbadanan Bumi yang paling tinggi tahap keselamatannya.

Krisna II

Krisna II telah ditemui oleh peneroka dari Perbadanan Bumi pada tahun 2157. Ia adalah planet yang ke-32 yang telah diterokai dan dijadikan sebagai koloni baru oleh Perbadanan Bumi. Ia telah dipilih sebagai sebuah planet perindustrian memandangkan kebanyakan dari pendatang-pendatang dari Bumi yang telah berhijrah ke sana terdiri dari mereka yang mempunyai latarbelakang di dalam bidang teknologi. Juga kerana kedudukan strategiknya yang terletak agak berdekatan dengan sistem asteroid Adi Shankaracharya (yang kaya dengan bahan galian logam yang digunakan untuk membuat kapal angkasa). Sejak dari mula lagi, Krisna II juga terkenal sebagai limbungan kapal angkasa yang terbaik di sektor 4, selain dari Bumi yang kini hanya dikenali sebagai limbungan membuat kapal angkasa persendirian yang bertaraf ekslusif untuk kegunaan eksekutif-eksekutif peringkat tinggi dari Perbadanan Bumi. Krisna II mengelilingi Bharat (mataharinya) selama 568 hari di dalam satu pusingan orbit. Tetapi ia masih menggunakan pengiraan standard Bumi (7 hari seminggu). Perkara ini dilakukan dikesemua koloni kepunyaan Perbadanan Bumi untuk penyelarasan masa mengikut satu sistem yang tetap.

Lingkaran Asteroid Tehrani

Lingkaran asteroid Tehrani terletak di sistem Kartonak. Sistem ini tidak berpenghuni dan ia terletak jauh dari penempatan-penempatan manusia. Ia sering dijadikan sebagai tempat untuk menguji kapalangkasa prototaip ataupun senjata-senjata yang terbaru oleh Pasukan Marin Angkasalepas.

Nassisme

Kaum Nassime adalah diantara kaum asing pertama yang membuat hubungan diplomatik dan perdagangan dengan SDT. Selepas kapalangkasa peneroka SDT terserempak dengan kaum Rostuna di Sektor Meru Wilayah VII pada tahun 2259, mereka telah diperkenalkan oleh kaum Rostuna kepada beberapa kaum asing yang lain melalui satu perjanjian persahabatan. Kaum Nassime adalah diantara 57 kaum asing terawal yang telah mengadakan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan SDT melalui perjanjian ini.
Warok menjalanka

Prometheus

Sistem Prometheus terletak di Daerah Kosong, sebuah daerah yang telah diklasifikasikan sebagai sebuah kawasan yang tidak mempunyai kepentingan ekonomi oleh Perbadanan Bumi. Keadaan bintang Prometheus yang mempunyai daya tarikan graviti yang kuat menyukarkan perjalanan, kerana kapalangkasa yang bergerak melebihi kelajuan cahaya terpaksa membuat beberapa lencongan yang agak rumit semata-mata untuk sampai ke sana. Ia juga sering dijadikan sebagai tempat persembunyian para lanun, memandangkan kawasan ini jarang dironda oleh Pasukan Marin Angkasalepas.

Quexena

Planet ini terkenal dengan pengeluaran rempah Naralos. Rempah ini jika diambil secara berlebihan boleh membawa kepada ketagihan. Rempah berwarna keemasan ini agak sukar didapati dan mempunyai harga yang agak mahal. Rempah naralos diharamkan penjualannya di beberapa buah planet dan koloni kerana sifatnya yang boleh membuat fisiologi pengguna jangka panjangnya berubah (ada diantara penggunanya yang berubah menjadi humanoid yang menyerupai serangga akibat mengambil rempah ini secara berlebihan). Ramai penyeludup sanggup melakukan apa sahaja untuk membawa rempah ini keluar dari Quexena untuk diedarkan ke pasaran gelap di seluruh pelusuk galaksi ini.

Shevira

Planet Shevira pernah dijajahi oleh Empayar Dresanala pada satu ketika dahulu. Walaubagaimanapun, planet ini telah memberontak setelah ia dijajah selama lebih 200 tahun. Empayar Dresanala, pada ketika itu telah ditadbir oleh Sri Susuhunan Hondrowino, yang dikatakan gila pada hari-hari akhir pentadbirannya Diantara sebab-sebab kejatuhan Empayar Dresalana adalah disebabkan oleh kelemahan beliau memerintah Empayar tersebut pada ketika itu. Di dalam kegilaannya, beliau telah mengambil keputusan untuk memberi kemerdekaan kepada Shevira. Pada tahun 3428, para saintis Shevira telah menemui sejenis cecair yang boleh digunakan bendalir penyejuk di dalam enjin hyperdrive. Cecair ini lebih bermutu dari gas Neutroneum yang digunakan selama ini, sehingga kapalangkasa yang menggunakan enjin hyperdrive ini mampu membawanya bergerak di dalam hyperruang lebih pantas dan lebih lama dari sebelumnya. Penemuan ini ternyata telah menaikkan ekonomi Shevira sehingga berjaya menjadikannya sebuah planet yang kaya dan disegani. Shevira kini merupakan salah satu sekutuku yang paling akrab hubungannya dengan Empayar Dresanala.

Spinko

Planet ini terkenal dengan pembunuh upahannya yang akan melakukan tugas mereka dengan kembarnya. Kaum Spinko mempunyai ketinggian 10cm. Faktor kekecilan saiz mereka telah membuatkan mereka senang melakukan kerja-kerja membunuh.

Tivaagh

Planet ini dinamakan sempena gas tivaagh langsung tidak mempunyai sebarang nilai ekonomi yang banyak kedapatan di planet ini. Gas berwarna biru ini, jika di berada di dalam keadaan terbakar (jika ia bergabung dengan gas metana) akan mengeluarkan api yang berwarna-warni. Di sebabkan oleh fenomena ini, planet ini sering menjadi tumpuan pelawat-pelawat yang ingin bercuti di hotel-hotel terapung di sini.

all contents by © Nizam Zakaria » 2002 All rights reserved | made with Dreamweaver MX