-->
DRESANALA

+ download Dresanala II: Baladewa-x | zip | doc | pdf | pdb |

Baladewa-J

Kapalangkasa Diraja ini telah dibina untuk kegunaan rasmi kerajaan Empayar Dresanala. Bahagian luar badan kapalangkasa ini berwarna merah diraja dan perak. Memandangkan minat yang mendalam pihak istana kepada seni halus, kapalangkasa ini telah dibina dengan penuh nilai seni, di bahagian dalamnya mahupun di luar. Bahagian dalam kapalangkasa ini boleh memuatkan seramai 10 orang anak kapal, 4 orang pengawal Diraja dan 6 orang penumpang. Kapalangkasa ini tidak dilengkapkan dengan sistem pertahanan, tetapi ia mempunyai sistem perisai yang kuat. Kapalangkasa ini juga memerlukan sekurang-kurangnya empat buah kapalangkasa pengiring untuk mengiringnya di dalam misi-misi diplomatiknya.

Garuda

Tiada sebuah kapalangkasa pejuang Garuda pun yang sama rekabentuknya. Setiap kapalangkasa pejuang ini telah dibina mengikut spesifikasi juruterbangnya. Setiap pesawat kelihatan sebagai sebuah arca seni dari sebuah persawat perang. Kapalangkasa Garuda ini telah ditiru mengikut rekabentuk kapalangkasa pejuang Isbin. Pesawat ini boleh digunakan untuk pertempuran di angkasalepas, atmosfera dan di darat. Ia boleh mengubahkan bentuknya kepada sebuah robot raksaksa. Ia paling ditakuti oleh pihak musuh apabila ia berubah kepada bentuk robot. Pesawat Garuda di dalam bentuk robot boleh bergerak dengan pantas, lompat, terbang an berlari dengan lincah. Untuk membuat Garuda terbang dengan pantas dan membolehkan ia membawa banyak bekalan senjata, ia tidak dilengkapkan dengan enjin hyperspace. Ia perlu dibawa ke medan pertempuran dengan sebuah kapal induk.

Jentayu

Kapalangkasa dari siri Jentayu berfungsi sebagai kapalangkasa penyerang jarak jauh. Ia dilengkapkan dengan enjin hyperpacuan. Kegunaannya terhad kepada persengketaan di angkasalepas, kerana ia agak sukar dikemudi di angkasa biasa. Kapalangkasa pengiring Diraja Jentayu R-2 pula mempunyai rekabentuk yang hampir-hampir serupa dengan kapalangkasa dari siri Jentayu yang telah digunakan di dalam pelbagai medan pertempuran lebih seribu tahun yang lalu. Jentayu R-2 telah dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata untuk mempertahankan kapalangkasa Diraja Baladewa yang tidak dilengkapkan dengan senjata.

Kapal selam Rarikin

Kapal selam Rarikin mempunyai bentuk organik seperti seekor Ikan Pari. Ia telah dibina untuk tujuan penyelidikan. Ia dapat bergerak dengan kelajuan yang tinggi. Ia dilengkapi dengan senjata untuk melindunginya dari serangan atau rompakan lanun laut dalam.

Kapalangkasa Chung-kuei

Kapalangkasa prototype ini dinamakan sempena nama dewa perjalanan masyarakat Cina. Ia telah direka dengan bentuk radikal sebuah piring terbang memandangkan bahawa ianya akan bergerak di dalam hyperruang dengan kelajuan sekurang-kurangnya 100 kali lebih laju dari kelajuan cahaya. Kapalangkasa ini hanya dilengkapi dengan senjata ringan untuk menjimatkan ruang dalamnya dan buat masa ini, ia hanya akan digunakan untuk tujuan penyelidikan semata-mata.

Kapalangkasa Dasamuka

Kapalangkasa Dasamuka kelas Pembinasa dari Empayar Dresanala ini telah dibina oleh Syarekat Teknologi Berat Empu. Panjangnya 1,500 meter. Ia boleh memuatkan seramai 25,000 anak kapal; 10,000 tentera darat; 15 dok mendarat; 150 kapalangkasa Garuda, 50 kapalangkasa Jentayu, 20 pesawat mendarat Warangka, 10 pesawat shutte Ngelangi-C dan 5 kapalangkasa penyerang Pancasona. Ia telah dibina seperti sebuah kubu. Ia adalah diantara faktor yang membolehkan Empayar Dresanala menang di dalam kempen peperangannya untuk mengelahkan Perbadanan Bumi.

Kapalangkasa De Lucchi (prototype)

Kapalangkasa ini dinamakan sempena nama saintis Robert De Lucchi (2003-2091) yang telah memenangi hadiah nobel untuk fizik pada tahun 2059 untuk penyelidikannya di dalam bidang paradoks kembar teori relativiti. Kapalangkasa prototype ini dikatakan mempunyai peralatan canggih untuk membuat ianya tidak dapat dikesan oleh sensor ketika ia sedang bergerak angkasalepas.

Kapalangkasa Yi Yu Yong

Kapal angkasa Yi Yu Yong adalah sebuah kapal angkasa kelas Bintang (ia mempunyai kelajuan melebihi kelajuan cahaya) yang mempunyai kelengkapan kryogenik untuk perjalanan yang sering mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Kapal angkasa seperti Yi Yu Yong mempunyai kepanjangan 6 kilometer dan lebar 500 meter. Di dalam perjalanannya ke koloni seperti Krisna II, ia akan membawa kargo manusia seramai 100,000 orang yang akan ditempatkan di dalam kapsul-kapsul kryogenik. Perjalanan yang agak jauh dan lama ini dikawal sepenuhnya oleh sistem berkomputer di dalam kapal.

Kodok YM-23

Pesawat Kodok di dalam pelbagai versinya adalah sebuah teksi udara yang membawa penumpang kota-kota terapung ini. Ia mempunyai pelbaga bentuk, tetapi fungsinya sama, iaitu menjadi sebuah pengangkutan transit yang cekap.

Shuttle Anoman T-31

Shuttle Anoman T-31 adalah sebuah pesawat peribadi yang hanya boleh dimuat dengan dua orang anak kapal, empat orang pengawal Diraja dan dua orang penumpang. Ia telah dibina dengan tujuan membawa penumpang Diraja turun atau naik ke kapal induk.

Shuttle Ngelangi

Nama kapal ini berasal dari bahasa Jawa yang membawa maksud berenang. Ia adalah diantara teknologi pertama orang Isbin yang telah diambil oleh SDT. Ia mempunyai kebolehan untuk digunakan untuk penerbangan atmosfera, angkasalepas dan di dalam laut.

Shuttle Wei-tuo

Shuttle Wei-tuo adalah salah sebuah diantara tiga buah shuttle yang ada di dalam Chung-kuei. Ia adalah sebuah shuttle peninjau yang digunakan untuk tujuan penerokaan sains. Ia tidak dilengkapkan dengan sistem pertahanan tetapi ia dipenuhi dengan peralatan imbasan serta ujikaji sains. Ia boleh membawa seramai 6 orang penumpang di dalamnya.

all contents by © Nizam Zakaria » 2002 All rights reserved | made with Dreamweaver MX