-->
DRESANALA

+ download Dresanala II: Baladewa-x | zip | doc | pdf | pdb |

Akademi Tentera Armas Jóvenes

Akademi tentera elit ini banyak melahirkan tokoh-tokoh akedemik, tentera dan eksekutif-eksekutif penting yang bekerja untuk Perbadanan Bumi serta anak-anak syarikatnya. Ia mempunyai kurikulum khas melatih pelajar-pelajarnya di dalam bidang akademik dan bidang sains ketenteraan. Ia juga terkenal kerana telah mencipta seni mempertahankan diri Tyr-Gatka yang halus tetapi setiap langkahnya telah diaturkan untuk membunuh pihak lawan. Pergerakkan silat ini banyak menggunakan tenaga tangan kiri untuk mengelirukan pihak lawan.

Gemblak

Golongan Warok mempercayai bahawa hubungan kelamin dengan kaum wanita akan melupuskan segala ilmu yang telah mereka kumpulkan di dalam diri mereka. Untuk menggantikan tempat wanita, seorang gemblak akan diambil untuk dijadikan kekasih mereka. Gemplak ini juga akan dilatih untuk menjadi seorang warok sepertinya. Di antara gemblak yang paling terkenal di dalam sejarah Empayar Dresanala adalah Senopati Budi Hardjomartono yang pernah menjadi gemblak kepada Kasni Gonopati, seorang warok terbilang.

Konsortium Guaman Shevira

Konsortium Guaman Shevira terkenal sebagai sebuah organisasi yang boleh diupah oleh mana-mana pihak untuk melakukan apa sahaja, termasuk menakluki sebuah planet. Mereka akan menggunakan apa sahaja cara untuk melakukan tugas mereka sehingga selesai. Sistem undang-undang Shevira yang berpihak kepada mereka telah membolehkan konsortium ini melakukan apa sahaja tanpa melanggar sistem undang-undang di planet mereka sendiri.

Konsortium Pelaburan Dresanala

Konsortium pelaburan ini bertanggungjawab untuk mempelbagaikan pelaburan Empayar Dresanala—di sektor Meru khususnya. Aktiviti pelaburan mereka dilakukan dengan melabur secara terus ataupun memberi pinjaman kepada planet-planet yang memerlukannya.

Konsortium Perdagangan

Konsortium Perdagangan mengawal segala aktiviti perdagangan di koloni-koloni kepunyaan Perbadanan Bumi.

Konsortium Perubatan

Konsortium ini bertanggungjawab ke atas bekalan farmasi, kawalan droid perubatan dan perlesenan untuk mengamal perubatan. Korsortium ini dipunyai sepenuhnya oleh Perbadanan Bumi.

Konsortium Perbankan Bumi

Konsortium Perbankan Bumi adalah anak syarikat kepada Perbadanan Bumi. Ia telah membiayai semua pembentukan serta pembangunan koloni-koloni yang telah diterokai oleh Unit Penerokaan Pasukan Marin Angkasalepas. Ia juga adalah pemegang saham yang terbesar di dalam Unit Penyelidikan dan Pembangunan Pasukan Marin Angkasalepas.

Kumpulan remaja Marvasatrusa

Kumpulan samseng remaja Marvasatrusa adalah diantara kumpulan samseng remaja di Metro-M yang terkenal dengan aktiviti-aktivitinya seperti mencuri, menyamun, pengedaran dadah dan pengedaran perisian Penjana Mimpi berbentuk lucah dan eksotik. Untuk menjadi ahli kumpulan samseng remaja ini, ahli-ahli barunya diminta supaya membunuh seorang anggota polis untuk membuktikan kesetiaan serta keberanian mereka kepada anggota-anggota yang lain. Untuk mendapatkan ‘sayap hitam’ – taraf tertinggi tertinggi yang boleh dicapai oleh anggota kumpulan ini, ahlinya diharuskan untuk menculik seorang lelaki yang bertubuh sasa dan tegap, lalu dirogol lelaki itu dengan cara meliwat lubang sulitnya.

Kumpulan Panah Hitam

Kumpulan misteri ini merupakan sebuah kumpulan yang telah wujud sejak tertubuhnya Perbadanan Bumi. Ia kemudian meresap ke dalam struktur pembendaharaan Empayar Dresanala melalui manipulasi politik yang telah dirancang dengan teratur oleh ahli-ahli kumpulannya. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk memastikan bahawa kepentingan politik serta ekonomi mereka akan terjaga. Mereka yang menjadi ahli kumpulan ini selalunya akan dijemput masuk untuk menjadi ahli melalui hubungan kekeluargaan atau mereka yang benar-benar boleh dipercayai dan diyakini. Ahli-ahli kumpulan rahsia ini dipercayai memegang tampuk-tampuk utama di dalam sistem politik dan ekonomi Empayar Dresanala.

Kumpulan Perisikan Lonthra

Empayar Dresanala telah menggunakan khidmat Kumpulan Perisikan Lonthra sejak seribu tahun yang lalu. Kumpulan perisikan ini akan melakukan apa sahaja untuk memastikan apa yang diminta oleh pelanggan mereka dapat dipenuhi. Mereka sanggup mengalami kerugian yang besar serta melihat agen-agen perisikan mereka terkorban demi memutlakkan kehendak pelanggan-pelanggan mereka.

Laskar

Laskar dipilih dan dilatih mengikut bakat yang ditunjukkan oleh mereka seawal-awal mereka menuntut di pesantren. Laskar mempunyai tugas yang berlainan dari seorang warok pengawal kraton ataupun seorang gatotkaca. Tugas Laskar kadang-kala ada melibatkan mereka menjadi seorang perisik.

Maktab Marin Angkasalepas

Maktab Marin Angkasalepas telah ditubuhkan sejak tahun 2112. Ia mempunyai Maktab tentera pada setiap koloni yang dipunyai oleh Perbadanan Bumi untuk melahirkan anggota marin yang berkaliber untuk melindungi kepentingan-kepentingan Perbadanan Bumi. Anggota Pasukan Marin Angkasalepas merupakan diantara pasukan tentera keamanan yang paling disegani. Mereka telah dipilih mengikut kriteria yang tinggi seperti keadaan fizikal baik serta laporan akademik yang cemerlang.

Pasukan Marin Angkasalepas

Pasukan ini bertanggungjawab untuk mempertahankan kepentingan serta wilayah-wilayah di bawah takluk Perbadanan Bumi.

Pejuang Tonamon

Tonamon berasal dari bahasa Isbin yang membawa makna merdeka. Ia adalah sebuah kumpulan pengganas yang mahukan kemerdekaan mutlak kaum Isbin yang telah dijadikan hamba di Dresanala sejak tahun 2242.

Pendita Ibeni

Ibeni membawa maksud pendita di dalam bahasa Isbin. Pendita-pendita Ibeni pada asalnya mempunyai tubuh seperti seorang Isbin yang normal. Tetapi mereka telah memilih untuk berpisah dengan jasad mereka sendiri lalu hidup di dalam tubuh droid yang kelihatan seperti obor-obor. Dengan memilih untuk hidup begini, mereka percaya bahawa mereka tidak perlu memikirkan tentang hal-hal yang bersifat duniawi. Di dalam keadaan mereka di dalam droid obor-obor, mereka dapat menumpukan segala tenaga pemikiran mereka untuk berbakti kepada masyarakat Isbin serta bermeditasi dikala khidmat mereka tiak diperlukan. Mereka terkenal dengan kebolehan untuk menyimpan dan menyalurkan data-data yang banyak. Khidmat mereka sering digunakan untuk melakukan tugas-tugas yang berat seperti menerbangkan pesawat-pesawat Isbin di dalam hyperruang dan menyimpan pelbagai maklumat-maklumat penting kaum Isbin. Pendita-pendita Ibeni di dalam bentuk droid obor-obor boleh hidup sehingga beribu-ribu tahun sehinggalah mereka sendiri mahu sistem hidup mereka dimatikan. Dan ini hanya berlaku apabila mereka telah mencapai tahap paling tinggi di dalam ‘Pencarian’ mereka untuk mencari Jalan yang Benar.

Perbadanan Bumi

Perbadanan Bumi telah ditubuhkan oleh Konsortium Perbankan sejurus selepas tamatnya Perang dunia III pada tahun 2069. Kedua-dua paksi yang bertelagah yang telah dibiayai dengan sepenuhnya oleh Konsortium Perbankan tidak dapat membayar semula pinjaman yang telah mereka lakukan untuk berperang. Negara-negara yang telah terlibat akhirnya terpaksa diisytiharkan muflis lalu diambil-alih oleh Konsortium Perbankan, yang kemudiannya telah menyatukan negara-negara ini di bawah satu perbadanan. Sepuluh tahun kemudian, kesemua negara-negara di Bumi akhirnya telah diambil alih oleh Perbadanan Bumi.

Persekutuan Maladur

Persekutuan Maladur merupakan sebuah kumpulan bersekutu di bawah satu tampuk pemerintahan. Mereka mempunyai keahlian sebanyak 1367 buah dunia, lantas mereka menguasai sebahagian besar dari kawasan di sektor Rahwana. Mereka mempunyai konflik yang besar dengan Empayar Dresanala sejak penemuan planet Sewoko di sektor Rahwana Wilayah XII yang didapati mengandungi simpanan kristal kiribati. Wilayah yang pada mulanya dianggap kosong dan tandus itu telah dijual kepada Empayar Dresanala oleh Persekutuan Maladur (pada tahun 3867) dengan harga yang agak murah dalam usaha mereka untuk menyediakan dana peperangan dengan Republik Amru. Sehingga ke hari ini, simpanan kristal kiribati hanya boleh didapati di Dresanala dan di Sewoko (yang kini wilayahnya ditakluk oleh Empayar Dresanala). Penemuan planet Sewoko dan simpanan kristal kiribati di dalamnya telah membuat Empayar Dresanala semakin kaya dan Persekutuan Maladur mula mengesali tindakan mereka menjual wilayah tersebut. Perang dingin berlaku di antara Persekutuan Maladur dengan Empayar Dresanala apabila Persekutuan Maladur mahukan kembali wilayah yang telah dijual oleh mereka. Seperti yang dijangkakan. Empayar Dresanala tidak mungkin akan melepaskan satu-satunya wilayah jajahan mereka di sektor Rahwana itu.

Unit Penerokaan Pasukan Marin Angkasalepas

Unit ini telah ditubuhkan untuk meneroka ke kawasan-kawasan yang tidak pernah dicarta untuk tujuan pemetaan dan kajian phenomena angkasalepas. Anggota pasukan elit ini dipilih berdasarkan kepada ujian psikologi serta kebolehan ahli-ahlinya di dalam bidang kajian sains angkasalepas.

Senopati

Senopati adalah nama lain bagi panglima bala tentera Empayar Dresanala. Seorang Senopati seringkali turun di dalam sesebuah medan peperangan untuk berjuang bersama bala tentera yang diketuainya. Seorang Senopati memulakan kariernya sebagai seorang Warok sebelum dia dinaikkan pangkatnya mengikut rekod kecemerlangannya. Hanya seorang dari kasta Brahmana yang dibenarkan untuk menjadi seorang Senopati. Di dalam satu-satu masa, hanya seorang Senopati akan dilantik untuk mewakili sesebuah planet jajahan Empayar Dresanala

Syarekat Dagang Tawon (SDT)

Di dalam bahasa Jawa, Tawon membawa maksud tebuan. SDT mempunyai logo tebuan yang bersesuaian dengan sifatnya yang kejam dan ganas. Ia telah ditubuhkan pada tahun 2176 di Bumi oleh Budi Utomo, seorang eksekutif penting Perbadanan Bumi. SDT telah memindahkan pusat operasinya dari Bumi ke Krisna II sejak 4 tahun yang lepas (2238). Mereka telah mengambil keputusan untuk memindahkan pusat operasi SDT di Krisna II, kerana kedudukannya sebagai pengeluar utama barang-barang berteknologi tinggi dan kedudukan ekonominya yang paling kukuh selepas Bumi (yang kini lebih dikenali sebagai pusat pentadbiran politik koloni-koloni dibawah naungan Perbadanan Bumi). Kerana faktor-faktor inilah juga, SDT kini lebih menumpukan aktiviti-aktiviti lanun mereka di sektor-sektor berdekatan dengan Krisna II.

Syarekat Perlombongan Joglosemar

Syarikat perlombongan ini merupakan sebuah syarikat milik kasta Vaisha dari Empayar Dresanala. Ia telah ditubuhkan sejak tahun 2264. Ia memiliki sebahagian besar konsesi perlombongan kristal Kiribati di Dresanala dan kini di Sewoko. Ia dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan Kumpulan Panah Hitam.

Tri-Darma

Tri-Darma merupakan nama yang diberikan kepada pendita Hermoso yang telah dilantik untuk menjadi ahli-nujum diraja. Tri-Darma adalah kembar tiga dari Hermoso yang telah dilatih sejak mereka kecil untuk berkhidmat kepada manusia tanpa memikirkan tentang kepentingan mereka sendiri. Kewujudan Tri-Darma telah dibentuk melalui proses pemilihan genetik untuk menghasilkan ahli-nujum yang boleh menilik kejadian yang bakal akan berlaku tanpa melakukan apa-apa kesilapan. Tri-Darma ini juga dipastikan supaya ia dilahirkan buta dan pekak, kerana dengan kuasa psikik yang mereka ada, mereka tidak perlukan deria penglihatan dan pendengaran mereka sama sekali. Tri-Darma mempunyai pemikiran kolektif dan seperi Phythia, yang menjadi penunggu oracle tatkala zaman Yunani kuno dahulu, mereka akan memberi tilikan mereka di dalam bentuk kata-kata yang sukar difahami.

Warok

Warok menjalankan tugas sebagai hulubalang Diraja. Seorang Warok dipilih mengikut pengetahuannya di dalam beberapa seni mempertahankan diri, pengalamannya, kebijaksanaannya, kepimpinannya dan asal usulnya sebagai seorang dari kasta Brahmana atau Ksatria. Seorang Warok yang cemerlang di dalam bidangnya akan dihidupkan semula supaya ia akan dapat meneruskan perkhidmatannya untuk Empayar Dresanala. Setelah mereka dihidupkan semula, mereka menjadi hak milik sepenuhnya Empayar Dresanala. Proses penghidupan semula seperti inilah yang telah membuat Empayar Dresanala kuat dalam bidang ketenteraan. Kerana mereka dapat terus menggunakan bakat anggota Warok mereka yang terbaik dan menggunakan khidmat mereka dari zaman ke zaman.

all contents by © Nizam Zakaria » 2002 All rights reserved | made with Dreamweaver MX