Make your own free website on Tripod.com
-->
DRESANALA

dapatkan novel terbaru dari trilogi sci-fi Dresanala

+ download Dresanala II: Baladewa-x | zip | doc | pdf | pdb |

Baladewa-x


Dresanala II: Baladewa-x

Oleh: Nizam Zakaria

 

Untuk Editorku
Wan Ahmad Kahar,
Yang telah memberiku peluang
Untuk menjelajah alam Dresanala yang tiada sempadan
Dan membantuku membentuk naskah ini kepada
yang terbaik yang dapat dihasilkan.


“Dan Tuhanmu (wahai Muhammad) lebih mengetahui akan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi…” [Al-Israa 17:55]


"Remember that all through history the ways of truth and love have always won. There have been tyrants, and murderers, and for a time they can seem invincible, but in the end they always fall. Think of it ... always." [Mahatma Gandhi]


Bab 1

Bumi adalah sebuah planet yang terpinggir kedudukannya sehinggalah Empayar Dresanala tiba untuk membebaskannya dari cengkaman pemerintahan Perbadanan Bumi. Selepas selesainya peperangan Banyu Suci Perwitosari pada tahun 2492, Bumi akhirnya dapat mengecap erti kebebasan di bawah naungan pemerintahan Empayar Dresanala.
-- Buku Panduan Rasmi Planet-Planet Jajahan Empayar Dresnala (Terbitan Kementerian Penerangan dan Propaganda Empayar Dresanala).

---

Berikut adalah petikan dari catatan blog Muzaffar Mustaffa yang telah ditulisnya semasa beliau masih berpijak di kota Metro-M, di planet Krisna II. Ini semua telah dirakamkan, sejurus selepas beliau ditempatkan di sebuah penempatanbaru buat pendatang Bumi di kawasan Kali’s Casbah, pada tahun 2202 Selepas Masehi…

Dalam pada aku melayan hasrat dan detik hatiku untuk menzahirkan apa yang sedang bersarang di benakku, mungkin apa yang aku tulis ini tidak mungkin diterimapakai atau dipercayai sekalipun. Mungkin tidak keterlaluan untuk aku mempersetankannya kerana, perkara ini tidak penting buat diriku buat masa ini. Yang mustahak, blog ini akan aku tulis dengan tujuan untuk membuat anak cucuku nanti mengerti, kenapa aku telah ke sini. Di sini dan bukan di Bumi.

Aku sudah berada di sini. Kakiku dah melorek tapak di tempat asing ini—di planet perindustrian yang begitu jauh dari Bumi. Tubuh kecilku terselit antara ratusan ribu manusia buangan lain dari bumi yang berhijrah ke sini secara paksa oleh Perbadanan Bumi .

Proses transmigrasi ini telah bermula sejak sepuluh tahun yang lalu. Aku fikirkan bahawa aku tidak mungkin akan disenaraikan sebagai manusia-manusia yang dipaksa berhijrah ke koloni-koloni baru ini. Kerana aku mempunyai pas pekerjaan yang sah untuk terus menetap di Bumi…

Kisah sedih ini bermula apabila aku menjumpai proba jahanam itu di jurang Kiribati.

Kata-kata yang aku coretkan bagai mengutip kepingan sejarah, tentang apa yang telah berlaku. Tatkala itu, aku bekerja sebagai ketua penyelidik di bahagian perlombongan di Stesen Dasar Laut Kirimanga (stesen yang dipunyai sepenuhnya oleh Perbadanan Bumi) yang terletak betul-betul di tepi jurang Kiribati. Aku tidak pernah merungut tentang pekerjaanku. Aku lebih suka duduk di dalam Kirimanga dari menetap di atas permukaan bumi kerana keadaannya terlalu sesak dan padat, sementara di dalam Kirimanga jauh berbeda. Aku kenal dengan semua orang yang menetap di dalam Kirimanga. Nama mereka tidak asing di bibirku. Mereka seperti keluarga bagiku.

Kapal selam Rarikin yang aku kemudi pada hari itu meneroka ke dasar laut sedalam 25,674 kaki. Keadaan seperti biasa; gelap dan sunyi, kecuali seekor dua ikan viper yang berenang di hadapan kapal selam kecilku. Aku suka dengan kehadiran mereka, dengan organ photophores yang terjuntai di kepala mereka (yang mengeluarkan cahaya bioluminescence pudar tetapi cukup terang di dalam kepekatan dasar laut yang gelita, mereka kelihatan seperti badut-badut kecil. Mampu mencuit hati siapa sahaja yang menyaksikan gelagat mereka.

Perasaan dan fikiran aku agak kosong pada masa itu. Mungkin aku mengemudi kapal itu dengan baik, tapi aku tidak tahu untuk mengemudi tujuan aku ke dasar laut. Aku tidak mengharapkan apa-apa pada waktu itu kecuali mengambil beberapa contoh tanah untuk mengenalpasti jika kawasan tersebut boleh dijadikan kawasan perlombongan baru. Itu sahaja. Mungkin tidak seberat mana tujuan aku, dan aku pasti dapat mengambil beberapa sampel untuk ku bawa ke stesen.

Dua jam berlalu begitu sahaja, tambahan aku begitu asyik meneliti prospek lokasi untuk mengambil sampel tanah. Tengah aku leka melakukan kerja-kerja itu, tiba-tiba sistem komputer kapal selam Rarikin memberitahuku bahawa ia dapat mengesan sebuah logam besar beberapa ratus kaki darinya.

Tanpa berfikir panjang, aku terus mengemudi kapal selam Rarikin ke arah yang telah dikenalpasti oleh komputer. Aku tidak diselimuti sebarang rasa cuak, malahan aku ingin saksikan dengan mata-kepalaku sendiri, apa yang sebenarnya yang telah dicerap oleh sistem komputer itu

Setelah aku tiba ke kawasan yang dimaksudkan, apa yang dapat aku lihat pada waktu itu ialah sebuah ketulan batu besar, mungkin berdiameter satu meter. Dengan menggunakan alat pengimbas yang terdapat di dalam kapal Rarikin, aku telah diberitahu bahawa objek tersebut bukanlah sebuah batu tetapi ia adalah satu objek yang tidak dapat dikenalpasti. Apa yang pasti, ia mengandungi sejenis logam yang tidak dapat dikenali oleh komputer Rarikin sendiri. Aku sendiri bingung.

Pada waktu itu juga aku telah mengambil keputusan untuk mengangkut objek asing tersebut ke dalam dok Rarikin. Terus sahaja aku pulang ke Stesen Kirimanga. Di Kirimanga aku telah disambut oleh para saintis yang ada. Mereka memang menantikan kepulanganku, kerana aku telah terlebih dahulu memberitahu mereka tentang penemuan ini dan mereka rata-ratanya mahu tahu apa yang telah aku temui.

Dari ujian radium, objek tersebut didapati berusia lebih dari 12,000 tahun. Pada bahagian tepi objek ini ada kesan hentakan. Pada bahagian yang sama, ada kesan-kesan ia telah dilanggar oleh meteor. Rakanku, Arditri, telah membuat spekulasi bahawa kemungkinan besar, objek tersebut telah berlegar-legar mengorbit bumi sebelum ia berlanggar dengan sebuah meteor, lalu ia jatuh terhempas di lautan Pasifik ini. Itu cuma sangkaan Arditri. Mungkin yang lain akan cuba mengadili dengan teori mereka sendiri.

Pada saat itu juga kami mula sedar bahawa apa yang kami jumpa bukannya dari Bumi. Satu hakikat yang sukar untuk kami terima pada mulanya. Dalam pada itu, objek ini mengundang kebimbangan di samping menghambat perasaan ingin tahu kami; sebagai para saintis.

Objek asing itu segera dibersihkan. Ia berbentuk bujur; tak ubah seperti telur. Ia berwarna perak dan beberapa tulisan aneh terukir pada permukaan luarnya.

Puan Kusanolah yang telah memberitahu kepada kumpulan kami bahawa objek yang aku jumpa ini masih memancarkan sesuatu yang tidak dapat dikenalpasti. Dia tidak dapat membacanya; menurutnya, ia seperti cuba membaca sesuatu yang telah dipancarkan dengan kelajuan lebih pantas dari cahaya. Apa yang telah dipancarkan adalah data-data yang terlalu sarat dan besar. Ini semua tidak mungkin dapat dibaca atau dianalisa oleh peralatan yang sedia ada. Akan tetapi, yang anehnya, pancaran tersebut telah dipusatkan ke arah satu koordinat yang tepat berulang-ulang kali. Itu amat memelikkan. Semua masih tergamam, termasuk Puan Kusano. Tetapi aku, aku telah berjaya mencatatkan koordinat tersebut, sebelum ia terhenti dengan serta-merta apabila kami cuba membuka bahagian dalam objek tersebut.

Setelah hari pertama, kami bergelumang dengan pelbagai persoalan. Tetapi, pada hari kedua, kami tanpa berlengah, terus menyelidiki objek asing itu. Melalui ujian imbasan dalaman, kami mendapati objek tersebut merupakan sebuah proba. Di dalamnya pula penuh dengan peralatan-peralatan teknologi tinggi yang tidak mampu kami fahami. Ia begitu asing. Mungkin dulu kami pernah terbaca tentang pernyataan yang menceritakan alat sedemikian di dalam fiksyen-fiksyen sains. Kami melontarkan fikiran itu jauh dari benak kami. Yang amat penting, adalah penemuan enjin yang menjanakan proba ini. Kami dapat simpulkan, enjin tersebut masih berada di dalam keadaan baik dan menurut beberapa orang penyelidik, itu adalah enjin yang telah membolehkan proba ini bergerak di dalam hyperruang dengan kelajuan beratus-ratus atau mungkin beribu-ribu kali lebih pantas dari kelajuan cahaya.

Hyperruang. Satu dimensi yang berada luar dari ruang dan masa yang kita fahami. Kewujudannya masih dipertikaikan. Tapi jika ia wujud, dan dapat difahami kita, manusia akan dapat bergerak merentasi angkasalepas dalam masa pantas. Malah perkara ini akan merevolusikan tamadun manusia. Akan tetapi, ramai yang mengatakan itu tidak mungkin berlaku—banyak fikiran yang masih terbungkam diulit ketidakmungkinan.

Tidak dinafikan, fenomena itu amat sukar untuk kami percayai, apatah lagi untuk difahami. Kerana, walaupun buat masa ini telahpun ada kapalangkasa yang boleh bergerak lebih pantas dari kelajuan cahaya, namun masih belum ada lagi kapalangkasa yang boleh bergerak di dalam hyperruang. Ramai yang sedia maklum, pergerakan di dalam hyperruang secara tidak langsung akan membolehkan objek ini bergerak dengan begitu pantas di dalam masa yang begitu singkat. Berlipat kali ganda dari kelajuan cahaya. Siapa yang mungkin mempercayai ini semua, tapi tiada siapa yang berani mengatakan itu semua karut.

Perasaan takjub tidak dapat disembunyikan dari raut wajah yang ada—kami mula sedar bahawa mungkin ada kewujudan makhluk asing selain dari manusia di alam semesta ini. Dan buktinya kini ada di hadapan kami.

Yang paling dikhuatiri dan digeruni adalah—kewujudan mereka sememangnya hampir terbukti. Akan tetapi bagaimana rasanya untuk kami menobatkan bahawa mereka jauh lebih maju dari peradaban manusia? Bagaimana kalau mereka jauh lebih pintar dan pantas dari kami? Yang sah, kami seakan mencongak masa depan menjadi makhluk kerdil yang ditindik hidung, dan diarah ke merata tempat melakukan pelbagai kerja. Dalam ertikata lain—abdi. Terlalu jauh aku biarkan fikiran aku merayap.

Tetapi malangnya, sebelum sempat kami dapat membuat apa-apa, seketumbukan tentera marin telah menceroboh masuk ke dalam Stesen Kirimanga lalu mengisytiharkan bahawa stesen kerja kami akan terus ditutup. Ia diambil alih oleh mereka bagi pihak Perbadanan Bumi.

Kesemua warga Stesen Dasar Laut Kirimanga yang telah menjadikan stesen ini sebagai rumah selama bertahun-tahun lamanya kini telah dipaksa keluar. Mereka semua termasuk aku dan isteriku terus dihantar ke Irian Jaya. Kami menurut bagaikan ditindik hidung—seperti yang aku catat sebentar tadi. Aku cuma mampu meniup semangat ke jiwa isteriku yang masih menolak takdir dirinya. Dari sana, status kami telah terus dikategorikan sebagai pelarian ekonomi lalu dipaksa keluar dari muka Bumi—yang kini terlalu padat dengan penduduknya.

Aku serta Halimah tidak dapat membuat apa-apa. Kami akur. Kami terpaksa menurut perintah. Kami tahu jika kami membantah, padah akibatnya. Aku tidak mahu nanti dipisahkan dari Halimah lalu dihantar ke planet perlombongan atau lebih teruk, ke asteroid perlombongan yang keadaannya tidak ubah seperti di dalam neraka.

Dari Irian Jaya kami telah diterbangkan ke Stesen Angkasa lepas La Mer . Di sanalah kami telah diperintahkan untuk dihantar ke Krisna II . Kami dihantar ke planet tersebut oleh pihak Perbadanan Bumi kerana kami berdua mempunyai latarbelakang di dalam bidang teknologi. Wajah-wajah yang mengiringi kami agak asing kepada kami. Kami tidak mempedulikan itu semua. Berdasarkan tindakan mereka kepada kami, sejak dari mula lagi, pihak Perbadanan Bumi telah membentuk polisi transmigrasi mereka mengikut latarbelakang pekerjaan serta kebolehan seseorang itu.

Kami telah menghabiskan masa selama dua minggu di atas La Mer untuk pemeriksaan kesihatan dan persediaan untuk tubuh kami dibekukan selama lapanbelas tahun. Itulah pernyataan dari mereka yang melakukan prosedur itu. Lapanbelas tahun, bunyinya terlalu lama, mungkin juga mengundang ngeri. Apa akan jadi kepada Halimah? Apa yang akan terjadi kepadaku? Fikiranku berseliriat. Jelasnya, dua pasang kaki kami telah berpijak ke dalam kapalangkasa Yi Yu Song yang menuju ke arah Krisna II.

Benakku terasa kosong; tiada apa yang aku ketahui tentang Krisna II. Aku tidak mampu melayan fikiranku dengan lebih jauh. Yang aku tahu, ia adalah sebuah koloni perindustrian yang sedang pesat membangun…


Bab 2

“Dunia ilusi dan kehidupan yang kita lalui sekarang adalah satu jalinan yang mengelirukan. Kadang kala kita sendiri tidak akan dapat memisahkan diantara duanya. Aku sendiri tidak dapat memastikan jika dunia yang aku lalui sekarang bukannya satu dunia yang telah dicipta oleh seorang pengguna Holo-S.”
-- “Perbualan seorang Senopati Agung dari Dresanala.” Oleh Sitawaka Wirasudjiwo.

---

Keterkenalan Demang sebagai pendekar terbilang tidak mungkin dapat disangkal lagi. Walaupun dia masih muda. Dia pernah dua atau tiga kali bertandang ke rumah si Wira. Dia datang ke sini untuk tujuan rasmi. Bapak Wira penghulu di sini. Siapa yang tak kenal penghulu mukim itu.
Pada petang itu dia datang dengan tujuan rasmi juga. Kadang kala dia mencuri pandang ke arah Wira. Tersenyum. Seolah-olah ada sesuatu yang mahu diberitahunya kepadanya.
Wira membatu sahaja. Tiada kata-kata terpacul. Namun dia masih nampak mesra dengan gerinya. Anak penghulu yang masih mentah itu kemudiannya, memandang ke arah keris pendekar di hadapannya. Wira jelas suka melihat keris Demang, ia begitu menarik minatnya. Keris itu sering tersemat di bahagian belakang pinggangnya, betul-betul di atas punggungnya yang padat. Keris Jawa luk sembilan. Bilang Pak Sudarmanto, Tukang Besi yang menetap di Hulu Muar—keris itu sungguh istimewa. Hulu Keris itu diperbuat dari gading gajah. Sarat dengan ukiran Gayaman Surakarta, nampak halus. Ukiran halus itu bukan sahaja mencantikkan keterampilan keris istimewa itu, malahan mengikut kata-kata orang terdahulu, ukiran itu mampu menjauhkan bala dari menimpa si empunya keris. Mungkin ramai yang sudah tahu, keris ini bukan sebarang keris, pernah kata Pak Sudarmanto; hanya pendekar istana sahaja yang akan dianugerahkan dengan keris seperti ini. Pak Sudarmanto pernah memberitahu lagi yang Tukang Besi Diraja juga bukan calang-calang orang. Tukang besinya juga menurut cerita, mempunyai cara yang amat istimewa dan tersendiri untuk melebur dan membentuk logam khas; menghasilkan keris untuk diguna oleh pendekar-pendekar Sultan yang terpilih. Masa yang diambil untuk menghasilkan sebilah keris, agak lama memandangkan kualiti yang amat tinggi, dan ukiran seni halus yang amat teliti. Setiap keris buatan pula amat istimewa dan dikatakan mempunyai kuasa-kuasa ghaib untuk melindungi si pemakainya.
Wira berjalan ke arah pendekar terbilang itu. Wira nampak dia sedang tersenyum. Tawar sahaja.
“Mana Mak Timah?” Dia menanyai Wira sambil mengusap-ngusap misainya yang tebal itu. Tangan kirinya tersemat ke belakang.
“Mak tidak berapa sihat… Bang Demang,” Wira mejawab tenang. Sudah dua hari Mak Timah tidak berselera untuk menjamah apa-apa. Mata Wira tidak berani bertentang dengan mata Demang. Dari ekor matanya, dia dapat melihat bahawa pendekar terbilang itu amat kacak dan segak orangnya. Kalau dipertontonkan kepada anak-anak gadis kampung, sememangnya Demang akan mengundang igauan kepada semua yang melihat. Siapa yang mampu mengalih pandang kepada Demang berkulit sawo matang yang agak perang kerana dijilat mentari. Tubuh kekarnya sepadan dengan jolokannya sebagai pahlawan harapan. Urat-urat jantan yang melengkari lengan dan kakinya, jelas melukis hari-harinya yang sentiasa penuh dengan membanting tulang melakukan kerja-kerja kampung, kalau dia tidak di gelanggang silat bersama pemuda-pemuda lain. Rambutnya lebih senang disisir ke belakang, dan anak-anak rambutnya yang basah dek peluh jatuh cantik menyembah tengkuknya. Nampak gah!
“Jemputlah masuk. Sila makan bang… Sekejap lagi saya rasa bapa akan pulang. Dia perlu ke pekan. Ada masalah sedikit tentang kutipan cukai dengan saudagar-saudagar yang berlabuh di Muar tu,” kata Wira kemudian. Dia makin lancar berkata, mampu mengusir segala debarnya. Dia dapat rasakan keserasiannya sekarang. Mungkin dia mahu berkata lagi untuk mendekatkan dirinya kepada Demang.
Wira tahu bahawa Demang datang dari jauh untuk berjumpa dengan bapanya. Wira pasti bahawa Demang penat menyusur kampung dan denai. Dia membawa perutusan dari Sultan untuk bapanya. Jauh sungguh perjalanannya.
Sedang Demang enak menghadapi juadah, Wira mencantas suapannya, lantas bertanya:
“Malam ini abang tidur di sini?”
Dia memandang ke luar. Hari semakin senja. Bayang bapanya masih tidak kelihatan. Yang ada cuma tempua-tempua yang membuat bising, melayang mencari sarang masing-masing di pucuk pohon-pohon kelapa tua di hujung laman rumahnya.
Demang terus mengangguk lemah. Gelas besi di tangan kirinya di dekatkan ke mulutnya. Habis air tawar itu diteguknya, misai tebalnya kebasahan. Wira tahu ada sesuatu yang mahu dikejarkannya. Tetapi dia tidak perlu gundah. Wira boleh menemaninya pada malam ini. Dia boleh melayannya berbual dengannya. Lagipun Wira memang gemar mendengar cerita-cerita yang dibawa oleh pendekar-pendekar yang sering berkunjung ke rumahnya ini. Ada sahaja yang baru. Ada sahaja yang mampu mengusik rasa ingin-tahu si Wira. Dari kisah medan perang yang hanyir dek darah, ke cerita anak gadis yang mereka temui selepas perang selesai. Tapi dia ingin kelainan jalan cerita dari Demang. Mungkin cerita yang mampu menjagakannya dari mimpi.

Pada lewat senja itu, ayah Wira akhirnya pulang ke rumah. Setelah menyiram beberapa tempurung air ke kakinya, dia terus mendapatkan Demang yang sedang duduk berbual kosong di sebelah Wira di anjung rumah. Wira tidak sedar akan kemunculan bapanya, kerana asyik mendengar Demang mengarang cerita buat halwa telinganya. Bapanya segera menjemput Demang masuk ke dalam rumah.
“Hisssh, tak habis kalau kau layan si Wira tu bercerita. Dia tu memang suka mendengar.” Getus si bapa. Dia sedar, Demang kini sedang menjalankan tugasnya sebagai perutusan khas dari istana.
Demang bingkas bangun dan terus dia mengutuskan warkah dari baginda Sultan kepada penghulu. Mata penghulu tidak dapat dialihkan dari perutusan itu. Matanya deras membaca warkah penuh makna itu.
Penghulu nampak risau. Dia menoleh ke arah Wira. Pandangannya menembusi mata Wira. Dia mengeluh perlahan. Pandanganya dilontar jauh ke luar tingkap, lamunannya hilang bersama kepekatan malam. Kelip-kelip berterbangan di pucuk pegaga tanamannya. Sundah semakin menebal.
Hanya pada malam itu Wira mula ketahui segala-galanya. Demang membawa berita bahawa Sultan memerlukan beberapa orang anak muda kampung untuk dibawa berperang. Mungkin ada sebuah perang yang bakal meletus.
Yang anehnya, Wira amat tenang dan begitu senang mendengar perutusan yang telah dibawa oleh Demang; akhirnya dia boleh keluar dari jajahan ini. Wira mahu melihat dunia—itu yang mungkin tersemat di benak mudanya. Dia mahu keluar dari kepompongnya. Inilah satu-satu peluangnya. Selama tujuh belas tahun dia hidup, jarang dapat dia keluar dari kampungnya sendiri. Paling jauh ke kampung seberang untuk belajar silat, terkadang dia akan ke pekan bersama bapanya. Dia berangan jauh yang dia akan berjuang di negeri orang. Ingin sahaja Wira mengucapkan terima kasih kepada Sultan atau sesiapa sahaja yang menjadi musuhnya. Wira mengatur impian sambil melayan matanya untuk beradu. Dia bagai tidak sabar untuk melelap mata, untuk dia bangun di siang harinya mengumpul bekal untuk pergi merantau dan berjuang. Lamunan dimatikan dan bingkas bangun dan menyelak daun pintu dengan perlahan, kakinya berderap sedikit demi sedikit ke arah Demang…

Dalam samar malam yang berteman liuk-lentuk api pelita itu, Wira mendatangi Demang di dalam kamarnya. Dia datang untuk bertanya, dengan siapa yang bakal mereka tentangi nanti. Kata Demang; dengan pihak Belanda. Mereka berbual kecil dan perlahan. Mereka bakal menyusul untuk menolong pihak Raja Haji dan orang-orangnya dari Riau untuk mendapatkan Melaka kembali dari taklukan Belanda. “Arahan Sultan Ibrahim,” katanya. Sedaya dia memperlahankan suara garaunya, supaya tidak mengganggu isi rumah.
Esok, Demang dengan pertolongan penghulu akan mengumpulkan anak-anak muda dari jajahan Muar lalu terus ke markas Raja Haji di Tanjung Palas.
Wira tidak sabar untuk ke Tanjung Palas. Dia terus mencatur harapan. Wira telah memberitahu Demang tatkala dia menemaninya berbual di dalam kamarnya bahawa dia mahu ikut serta berperang. Demang tersenyum lebar. Senyumnya menarik di dalam samar malam itu. Demang bangga dengan sikap berani Wira, dengan darah pahlawan yang mengalir dalam urat-urat mudanya. Katanya ke telinga Wira, “Setiap anak Melayu mesti berani menentang musuh-musuh mereka!”.
Wira pasti Demang, yang bertubuh kekar itu tidak akan gentar walau sedikit untuk melawan pihak Belanda. Malahan, pemuda seperti Demang akan sentiasa hauskan tentangan dari mereka yang cuba memalit arang kepada kerajaan Sultanya. Malah, Wira ada mendengar omongan bahawa Demang pernah berguru silat dan ilmu kebatinan di Pulau Jawa sejak dia kecil lagi. Pernah juga Demang melawan pihak Belanda di sana sebelum dia dipilih untuk menjadi hulubalang Sultan Ibrahim.
Pastinya Demang mempunyai pelbagai cerita yang boleh dikongsi dengan Wira pada malam itu. Mahu juga Wira mendengarnya. Mata mereka yang tadinya kuyu, kini segar bila cerita-cerita mula terkeluar dari ulasan bibir Demang. Wira kini menumpukan segala perhatiannya kepada Demang.
Setelah mereka berbual sekian lama, barulah Wira tahu yang Demang berusia lima tahun lebih tua darinya. Dia masih belum mendirikan rumahtangga, masih bujangan. Bila Wira bertanya kenapa, katanya kerana dia mahu mengabdikan diri kepada Sultan. Dia tidak mempunyai masa untuk punyai anak bini, apa lagi tanggungjawab lain selain dari kepada Sultan. Lagipun dia sering diutus Sultan untuk membawa watikahnya kepada orang-orang besar di bawah jajahannya. Terkadang, Demang diarah untuk berjuang untuk kerajaan.
“Kau pula, bagaimana? Sudah ada bunga yang mahu kau petik di taman?” Demang menanyai Wira sambil terbaring di atas kamarnya. Wira seakan faham.
“Sudah bang, saya sudah bertunang dengan anak Orang Kaya Rompin.” Jawab Wira sambil tersenyum. Di dalam fikirannya, dia terbayangkan wajah Siti Khadijah yang ayu itu yang telah dikenalinya sejak kecil lagi. Dia bagai tidak sabar menghitung hari, bila mereka akan diijabkabulkan. Pasti meriah suasana itu nanti.
Wira tersenyum sendiri. Wira lihat Demang sedang mengusap-ngusap rambutnya yang panjang sehingga ke paras bahunya itu. Jari-jarinya menari di celah-celah rambut mudanya. Demang membuka persalinannya. Sehelai demi sehelai dileraikan. Dia menyerahkan bajunya itu kepada Wira. Bajunya itu telah Wira lipat dengan kemas lalu disimpannya ke dalam almari di hujung katil. Mungkin Demang ingin melabuhkan dirinya ke kamar lalu memejam mata, fikir Wira. Dia nampak letih. Dia terus memohon untuk berundur keluar dari kamar Demang. Dengan cepat Demang mencantas niat Wira seraya menyuruh Wira duduk di tepu kamarnya. Katanya—masih banyak perkara yang mahu dikhabarkannya kepada Wira.
Bagai tukang karut lagak si Demang pada malam itu. Menurut ceritanya, tentera Belanda memang sukar untuk dikalahkan. Senjata mereka terlalu ke depan, berbanding dengan senjata kaum Melayu. Demang juga tidak canggung mengatur kata tentang pengalamannya bersama Sultan Ibrahim, dibantu oleh orang Rembau menyerang di sepanjang sungai Melaka hingga ke Batang Tiga. Mereka telah membakar rumah-rumah di Tanjung Keling dan di sekitarnya. Perbuatan mereka telah menyebabkan Gabenor Belanda terus ingin bermusuh dengan Sultan Ibrahim sehingga ke hari ini. Sedikit jalur sejarah diselitkan ke kotak fikiran Wira.
Kini Wira semakin menghormati Demang kerana keberaniannya serta kesetiaannya kepada Sultan. Kalau ikutkan hati muda si Wira, mahu sahaja diikutnya ke mana sahaja Demang pergi—bersama-sama mendapatkan pengalaman hidup sepertinya.

Tetapi tiga purnama lagi Wira akan berkahwin. Wira akan tetap duduk di jajahan Muar dan mungkin satu hari nanti dia akan menjadi penghulu di sini, menggantikan bapanya. Dia tidak mungkin dapat mengecap kehidupan seperti mana yang dapat dilalui Demang. Bagi Demang, Wira amat bertuah.
Tetapi Wira nampaknya mahu menjadi pendekar terbilang seperti Demang. Mungkin dia akan dapat melakukannya juga, kalau si buah hatinya merelakan kepergiannya untuk berjuang demi Sultan.
Kata Demang, Wira sangat bertuah. Hidupnya senang. Dia anak penghulu. Masa depannya bagai sudah terjamin, tidak perlu membanting tulang, tidak perlu bermandikan keringat setiap hari untuk mendapatkan sesuap nasi…
Demang mengusap-ngusap rambut Wira. Dia mengajak Wira tidur menemaninya. Wira tidak keberatan. “Apa salahnya, mungkin banyak lagi cerita yang mahu diluahkannya,” fikir Wira sendirian. Di terus mendekatkan tubuhnya kepada tubuh Demang yang sudah tidak berbaju itu. Dia merasakan kehangatan tubuh muda Demang. Wira merasakan seperti dia dilindungi pada malam itu, selama ini dia tidak pernah mempunyai hubungi dengan seorang yang berpangkat abang seperti Demang. Dia dapat merasakan kelesaan itu.
Demang bagaikan ketandusan cerita dan bicara, cuma menjenakkan matanya ke lelangit di atas katil. Api pelita yang terliuk lemah akhirnya padam ditiup angin malam. Pada masa yang sama, Wira dapat rasakan tangan Demang yang padat dengan ketulan otot itu menyelinapi dadanya—Demang cuba memeluk Wira. Pelukannya semakin erat, bagaikan tidak ingin melepaskannya. Nafasnya berombak kencang, dihempaskan hembusan nafasnya ke pipi Wira. Wira menyambut hembusan nafas jantan si Demang dan tidak berkata apa. Dalam keanehan diperlakukan sedemikian, Wira dapat merasakan keistimewaan. Perasaan aneh itu terus menyelubungi diri Wira. Dia tidak membalas. Takut kalau-kalau dia tersalah langkah, tapi di dalam hatinya dia ingin merangkul tubuh Demang yang agam itu. Dia rela diperlakukan sedemikian dan diapun mula terasa bahawa dirinya mahu menjadi sebahagian dari diri Demang.
Demang yang kini mengiring di sisi kirinya, semakin rapat kepada Wira. Wira memberanikan dirinya untuk memenuhi tuntutan darah mudanya—dia berpaling perlahan menatapi muka Demang. Hela nafasnya semakin kencang.
Demang tidak melaku apa-apa, matanya terpejam rapat, dahinya berkerut sedikit. Antara menahan nikmat, dan mencatur fikiran yang berlegar di dalam benaknya. Ulas-ulas bibir Demang nampak mekar, ingin sahaja dikucup oleh Wira sebagai tanda kasihnya. Wira sendiri tidak tahu mengapa dia berasa demikian, mungkin untuk pertama kalinya dia merasa terlalu selamat dipagari kehadiran Demang. Mungkin jua, Wira mahu menjadi milik Demang buat selama-lamanya.
Bagaikan dapat merasa apa yang sedang diperangi oleh Wira di dalam benaknya sendiri, pada malam itu, Demang telah memberanikan dirinya untuk mengucup bibir Wira. Mulanya Wira tersentak. Dadanya terhenti berombak. Dia tidak dapat menolak enak dan merasa betapa hangatnya kucupan itu, lantas Wira membalas kucupan Demang tanpa silu. Jauh di sudut fikirannya, Wira terbayang wajah Siti Khatijah yang bakal dia kucupi mesra seperti ini. “Beginikah nikmatnya nanti?” dia mula tertanya-tanya kepada dirinya jika kucupan dari Siti Khadijah akan dirasakan senikmat ini… Dalam pada itu, mereka semakin hanyut dalam lautan nikmat yang selama ini begitu asing buat Wira.
Wira tidak mungkin dapat menjawab segala persoalan yang berlegar dalam fikirannya buat masa ini—pada saat ini, hati dan jiwa raganya hanya buat Demang. Alangkah gembiranya dia kalau Demang memahami akan hal ini. Mungkin terlalu awal dia ingin berasa demikian.
Demang memperlakukan Wira dengan tenang. Dia tidak mahu Wira berasa janggal dengan setiap geraknya. Setiap langkahnya di atas ranjang lagaknya seperti langkah ketika dia berpencak silat. Halus serta lembut tetapi bertepatan. Seluruh tubuh Wira yang sebelum ini tidak pernah disentuh, kini telah dimamahnya. Dia merakusi bibir Wira dengan lembut, sehingga Wira lemas kehabisan nafas. Tidak pernah dirasakannya diri Wira. Wira pula sudah lama hanyut, ditenggelami kehebatan Demang berasmara. Nikmatnya tidak terkata. Sukar untuk dijelaskan oleh Wira sendiri.
Selama Demang berada di atas tubuhnya, dia langsung kaku. Dia langsung tak tahu apa yang patut dilakukannya. Dia membiarkan sahaja. Tetapi perlahan-lahan, Wira mula memberanikan dirinya untuk memegang tubuh Demang yang keras itu. Demang menjalin tangannya dan bersatu dengan tangan muda Wira serta terus mengemudi sentuhan Wira terhadap sudut-sudut di badan tegapnya. Wira hanya menuruti setiap gerakan Demang. Setiap liku-liku yang ada telah diterokainya dengan tangannya. Bulu romanya tegak bersama alur badan si Demang. Mahu Wira rasakan sendiri tubuh seorang pahlawan Melayu yang perkasa. Mahu dia rasakan setiap ototnya yang ada. Tubuh yang menjadi idaman buat siapa sahaja.
Dalam pada Wira dibuai rasa kenikmatan yang teramat, Demang telah bersuara perlahan. Dia menanyai Wira jika dia puas dengan apa yang telah dilakukannya terhadap dirinya. Dengan ikhlas Wira mengatakan bahawa dia puas, malah dia tidak pernah berasa puncak kenikmatan yang berpanjangan seperti apa yang diperlakukan oleh Demang kepadanya. Demang kemudian menyatakan bahawa dia menyayangi diri Wira. Bahawa sudah lama dia memerhatikan Wira dari jauh, dan ingin memiliki sekujur tubuh yang kekar itu dan sekaligus hati naluri Wira.
Wira rasa bahagia dengan pengakuan Demang itu. Dadanya semakin berombak kencang. Peluh jantannya mula berputik di dadanya yang padat itu. Wira kini mendakapnya dengan erat.
Wira yang hampir ketandusan kata-kata terus mengharapkan Demang akan mengusapinya dengan lebih lama. Pada saat itulah Demang memainkan peranannya dan tidak mampu berhenti walau sesaat. Mereka terus belayar lebih jauh, terlalu jauh sehingga tidak mampu menidakkan kemuncak nikmat yang sama-sama mereka kecapi pada malam itu.

Pada malam itu, Demang nampak puas. Dia telah membelai Wira dengan rasa penuh kasih sayang dan mengusap-usap rambut Wira setelah mereka berdua melabuhkan bahtera dayungan mereka. Wira terlentang, sementara Demang menongkat kepalanya memerhati kelopak mata anak muda itu. Dia memandang jauh. Dia tahu, Wira tidak pernah mencapai puncak nikmat sedemikian rupa. Tubuh mereka penuh dengan peluh jantan. Angin malam mereda kehangatan tubuh mereka.
Demang memberitahu Wira berulang kali pada malam itu bahawa dia sudah mula menyayanginya. Wira rasa bahagia. Wira kemudian telah memberitahunya bahawa dia berhasrat untuk pergi bertempur dengannya—dia mahu berada di sisinya pada setiap masa.
Demang mengeluh. Wira tidak mengerti kenapa dia mengeluh.

Tiba-tiba pada saat itu, ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku. Wira dapati suasana kamar tiba-tiba menjadi terang. Cahaya menyimbahi kamar itu datang dari arah tingkap yang terbuka luas. Wira bergegas ke arah tingkap. Dia dapati suasana di luar berubah menjadi suasana di tengahari, dan bukannya dinihari seperti tadi.
Wira terus menoleh ke arah Demang meminta penjelasan. Tetapi dia dapati keadaan Demang juga sudah jauh berubah. Rambutnya kini pendek, bukan lagi rambut pendekar tadi. Dia tidak lagi bermisai tebal. Itu sahaja perubahan besar pada si Demang, yang lain semuanya serupa seperti sebelumnya.
Demang merungut-rungut kecil lalu terus bergegas mengambil pakaiannya di dalam almari. Pakaian yang diambilnya juga berlainan benar dari apa yang telah aku masukkan tadi.
“Apa yang telah terjadi bang?” Tanya Wira dengan penuh keliru. Di dalam hatinya, dia merasakan mungkin inilah detiknya dunia akan kiamat. Mungkin dunia mahu kiamat setelah apa yang telah dia perlakukan bersama dengan Demang tadi. Dia mula merasa takut. Saat itu juga aku mahu bertaubat!
“Holosex nih buat hal lagik.” Kata Demang dengan terburu-buru. Wira tidak memahami apa yang dikatakannya. Dia semakin bingung. “Lagipun tempoh untuk aku gunakan holosex ini dah tamat!”
“Abang hendak ke mana?” Tanya Wira dengan suara terketar-ketar.
“Balik!” tegasnya tanpa menghiraukan Wira. Dia memandang ke arah Wira dengan wajah yang bersalah. “Nama aku Khairul, bukan Demang.”

Itulah kata-kata terakhirnya kepada Wira. Wira terus digigit keliru.

***

“Program berhenti. Pintu… Buka sekarang!” Perintah Khairul ke arah dinding. Lalu dengan serta-merta, sebuah pintu yang entah dari mana datangnya telah terbuka dari dinding kayu. Dia terus keluar dari bilik holosex itu.
Khairul sekali lagi menoleh ke belakang. Dia melihat anak muda yang kelihatan agak keliru di dalam bilik holosex. Dia tidak dapat melakukan apa-apa. Dia tahu, sebaik sahaja pintu holosex tertutup, dunia anak muda itu akan terus lenyap. Anak muda itu juga akan lenyap bersama dunia yang telah diprogramnya tadi.
Khairul berjalan keluar dari pusat holosex yang terletak di dalam sebuah bangunan tua di Kali’s Casbah . Dia meninggalkan bangunan itu lalu berjalan di sebuah lorong sempit di sana. Dia terpaksa berjalan di celah-celah entah beberapa ratus manusia yang mengerumuni lorong bazaar di Kali’s Casbah itu. Seorang lelaki tua berjubah hitam sedang menjerit-jerit dan memberitahu mereka yang sedang berhimpit-himpit bahawa tanda-tanda kiamat sudah jelas nyata di hadapan mereka.
“Taubat! Bertaubatlah kamu semua sebelum terlambat!” Katanya. Tetapi tidak ada sesiapapun yang ambil endah. Semuanya meneruskan niat masing-masing.
Khairul menarik nafas panjang. Dia berpaling ke arah jam yang lekat di tangannya. Jika dia berlengah, dia pasti akan terlambat. Dia perlu pulang secepat mungkin ke asramanya di Maktab Marin Angkasalepas di pinggir kota Metro-M.


***

Setibanya Khairul ke asrama, dia mengeluh panjang. Dia hampir-hampir terlambat untuk pulang ke asrama. Jika dia lambat selang lima minit lagi, sudah tentu dia akan dijatuhi hukuman yang berat. Sesuatu yang sudah lama diketahuinya.
Khairul terus membersihkan diri sebelum dia masuk ke dalam bereknya. Dia terbaring terus di atas katil. Lalu dicapainya blog kepunyaan datuknya. Matanya kini menyantapi apa yang terpampang di depannya.
Kini entah sudah berapa ratus kali dia membaca blog datuknya itu. Tetapi dia tidak pernah bosan dari membacanya. Baginya, blog tersebut adalah satu-satunya peninggalan datuknya yang dirasakannya terlalu berharga buat dirinya. Dalam pada itu, dia mencari jawapan kepada setiap persoalan, yang timbul bila dia membaca blog itu.
Dia menoleh ke arah kadet-kadet yang lain. Ada yang sudah masuk tidur. Ada yang masih mengelamun.
Khairul membelek skrin nipis dihadapannya. Dia mengucapkan sesuatu pada skrin tersebut lalu kini terpapar gambar dia di dalam pelukan datuk dan neneknya ketika dia kecil dahulu. Dia tersenyum sendiri sebelum dia melipat skrin tersebut lalu menyimpan skrin senipis kertas itu di bawah bantalnya.
Khairul terus termenung. Dia memikirkan tentang datuk dan neneknya. Dia memikirkan tentang dirinya yang dirasanya tidak sabar lagi untuk keluar dari Krisna II. Kemudian dia memikirkan tentang Wira. Tentang keadaan Wira yang tidak sabar-sabar untuk keluar dari kampungnya sendiri. Dia mula mendapati bahawa dirinya tidak ubah seperti Wira. Mereka serupa di dalam banyak hal. Kepalanya mula berkecamuk dengan fikiran yang pelbagai dan kusut.
Mungkin kerana itulah juga, dia amat tertarik kepada Wira sehingga dia mencipta sendiri wataknya di dalam bentuk Holo-S.
Ketika dia kecil dahulu, datuk dan neneknya sering menceritakan kepadanya tentang keindahan Bumi. Keadaannya lain dengan keadaan di Krisna II yang padat dengan penduduk pada bahagian kota-kota besarnya dan tandus serta bergurun pada bahagian-bahagian yang tidak berpenghuni.
Khairul tidak pernah menjelajah keluar dari planet Krisna II. Malah, dia tidak pernah keluar dari kota Metro-M sebelum dia menjadi Kadet Marin Angkasalepas. Kini peluangnya untuk menjelajah ke seluruh pelusuk galaksi tercapai setelah dia diterima masuk untuk menganggotai Pasukan Marin Angkasalepas .
Dia juga boleh berbangga kerana kini dia telah disalurkan kepada Unit Penerokaan . Unit ini adalah unit yang paling elit di dalam Pasukan Marin Angkasalepas.
Kini Khairul berpaling ke tepi katilnya. Takwim tahun 2242 ada ditampalnya di sana. Di mencongak lalu merasa seronok kerana dalam masa kurang dari dua bulan sahaja lagi dia akan keluar dari Krisna II dan memulakan tugasnya sebagai anggota Unit Penerokaan Pasukan Marin Angkasalepas…

Khairul tidak mahu menjadi seperti ibu dan bapanya. Mereka berdua pernah bertugas sebagai jurutera penyelidik Konsortium Perbankan Bumi . Di dalam fikiran Khairul, mereka berdua tidak mempunyai cita-cita tinggi untuk memperbaiki kedudukan diri mereka. Sepanjang hayat mereka sehingga ke hari-hari terakhir mereka, ibu bapanya itu hanya menumpukan perhatian mereka kepada dunia penyelidikan enjin kapal angkasa tanpa menghiraukan tentang hal-hal lain. Termasuk hal Khairul sendiri; satu-satunya anak yang mereka ada. Tidak dipedulikan.
Khairul sedar bahawa keadaan ibu dan bapanya itu tidak ubah seperti beratus-ratus juta penduduk Krisna II yang lain—yang terpaksa bekerja keras untuk terus hidup di Krisna II.

Sejak kecil lagi Khairul mempunyai cita-cita tinggi untuk meneroka angkasa lepas. Khairul tidak mahu terus terikat kepada Krisna II. Dia tidak mahu terbungkam di situ. Dia tidak pernah membenci Krisna II, tetapi dia mahu melihat dunia-dunia lain selain dari Krisna II. Sifatnya lain dari bapanya Hadi yang telah menganggap cerita-cerita dari blog dongeng adalah cerita-cerita dongeng semata-mata.

Khairul pasti apa yang pernah dialami oleh datuknya dahulu adalah benar. Dan dia yakin bahawa sememangnya ada tamadun lain selain dari tamadun manusia Bumi di dalam alam semesta ini…


Bab 3

“Sebuah persembahan wayang kulit yang baik memerlukan seorang Tok Dalang yang bijak membuka lipatan cerita. Tanpanya, wayang kulit tidak ubah seperti sebuah sandiwara yang hambar.”
-- “Latihan Seorang Pangeran Dresanala.” Oleh Bambang Pudjasworo.

---

“Abang tahu abang tak perlu guna Holosex lagi?”, Savitri cuba memancing pendapat Khairul. Pandangan Savitri menuju ke tepi tingkap. Skybus yang penuh sesak dengan penumpang yang sedang mereka naiki, kini turun ke aras yang lebih rendah. Jika tadi apa yang dapat dilihatnya adalah tiga atau empat buah bangunan tinggi yang mencecah dada awan, kini setelah skybus menurun ke aras yang lebih rendah, dan dia mula dapat menyaksikan pemandangan kota. Kota Metro-M yang hingar-bingar itu jelas padat dengan bangunan-bangunan pencakar langit.
Skybus yang mereka naiki kini menghampiri Kali’s Casbah. Ia semakin dekat dengan Bangunan Majlis Perbandaran Metro-M yang begitu besar sehingga menjilat kepul-kepul awan itu—yang pada satu ketika dahulu terkenal dengan senibinanya yang sangat indah.
“Kau mahu aku guna apa lagi kalau bukan Holosex?” tanya Khairul menjeling kepada Savitri. Dia segera menyambung perbualan yang terhenti tadi. Mata Savitri liar memerhati orang yang mundar mandir.
“Abang boleh gunakan alat ini.” Ujar Savitri. Dia mengeluarkan sebuah alat yang berbentuk organik dari dalam beg lusuhnya.
“Itu alat mainan budak kecil… Mainan adik kau, Deepa!” Khairul tersenyum sambil menggeleng. Dia langsung tidak ambil peduli. Savitri tidak berputus asa. Dia menyambung:
“Penjana Mimpi ini bukanlah lagi barang mainan jika abang ambil ini!” Savitri menunjukkan dua biji pil kecil berwarna biru dari sebuah kotak pil lutsinar. Khairul masih tidak berapa peduli tentang itu, sebelum dia menyambung.
“Apa kau sudah gila?” Sungutan marah mula kedengaran. Khairul meletakkan semula kotak kecil tersebut ke dalam beg Savitri.
Savitri tidak sempat berkata-kata. Dia membiarkan sahaja sambil mendengar khutbah si Khairul; “Kau ambil lagi dadah S-Moon ini lagi?” soalan itu terus tersembur dari Khairul. Dia inginkan penjelasan.
“Alah bang, abang sendiri dulu selalu ambil!” pandai Savitri berhujah, membalas kata-kata Khairul. Khairul sudah faham benar perangai Savitri. Dia tidak mahu kalah ketika berhujah.
“Itu dulu… Dulu aku gila macam kau! Masakan kau dah lupa pula?” ujar Khairul yang mengakui bahawa dia adalah seorang anak remaja yang nakal satu ketika dahulu. Banyak perkara telah dicubanya, semuanya kerana memenuhi tuntutan darah remajanya.
“Saya rasa sekarang abang lebih gila dari dahulu! Tengok ajelah dengan keadaan abang sekarang. Pembawakan diri abang juga dah banyak lari berbanding dahulu.” Ujar Savitri dengan penuh sinis. Khairul buat-buat tidak faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Savitri. Khairul merasa jengkel, lantas membiarkan suasana mati dalam genggaman sepi.

Skybus yang mereka naiki kini sedang berlabuh. Penumpang-penumpang yang tadinya berpusu-pusu, nampaknya tidak sabar untuk keluar dari perut skybus.
“Program apa yang kau gunakan?” jeling Khairul ingin tahu. Dia belum dapat memadam perasan ingin tahunya.
“Semalam saya cuba program tentang dua kekasih lelaki dari—“
“Dari mana?” pintas Khairul mencantas kata-kata Savitri. Bingkas dia bangun dari tempat duduknya.
“Dari tempat asal nenek moyang abang di Bumi dahulu.” Savitri terus berjawab dengan Khairul.
“Tanah Melayu?” ujar Khairul, ingin memastikan. Walaupun nama tempat yang disebutkan olehnya hanya tinggal nama sahaja kepadanya sekarang, tapi lidahnya lancar mengatakan nama tempat itu. “Ataupun Malaya?”
“Awal abad ke-21… Jadi tempat tersebut dikenali dengan nama lamanya… Malaysia.” Jawab Savitri yang baru berusia lapanbelas tahun itu. Gadis itu ternyata lincah mengatur kata-kata.
“Program Penjana Mimpi untuk pengguna homoseksual?” tanya Khairul. Sudah terang lagi bersuluh. Dia menggelengkan kepalanya. Dia sudah boleh agak bahawa Savitri memang suka kepada perkara yang pelik-pelik untuk dicubanya. “Tentu kau telah membeli perisian khas untuk golongan homoseksual dan bukan heteroseksual…”
“Kenapa? Tak boleh?” ekor mata Savitri melirik, terus dilemparkan pandangannya jauh. Khairul tersentak dan terus mendiamkan diri.
“Boleh… Tapi sepatutnya aku yang lebih berminat dengan program seperti itu.”
“Saya tahu abang suka dengan program seperti ini. Sebab itulah saya beli perisiannya kelmarin. Saya mahu abang mencubanya supaya nanti kita boleh bertukar-tukar program—.”
“Ish, sudahlah. Mengarut sahaja kau ni. Cukup rasanya aku ketagih menggunakan Holosex. Itupun semua kerana gara-gara kau. Kau yang memperkenalkan aku kepada benda-benda ini. Habis duit aku sebab benda ni semua!” jelas Khairul panjang lebar. Dia mahu sahaja mematikan perbualan atau perbahasan ini. Dia tidak mahu berlayar jauh mengimbau kisah lama, apatah lagi dengan Savitri. Dia tidak mahu mengupas kisah silam, baginya biar sahaja sejarah itu terkubur di dalam jasadnya.
“Ye lah, saya tahu! Tapi Penjana Mimpi ini lagi seronok!” Savitri memang tidak akan mahu mengalah. Dia terus menobatkan ide Penjana Mimpinya itu. Matanya bersinar dengan penuh ghairah.
“Dah lah… Aku tak mahu dengar itu semua!” suara Khairul dinaikkan sedikit. Khairul berjalan dengan lebih cepat seolah-olah dia mahu meninggalkan Savitri. Savitri seakan faham, terus membatukan diri. “Kenapa kau ambil program homoseksual?” tanya Khairul kemudian. Dalam pada keangkuhannya, dia ingin tahu juga tentang apa yang bersarang di fikiran Savitri. Dia memandang kepada keadaan sekelilingnya. Kawasan di Kali’s Transit Interchange agak sesak. “Macamlah tak ada program lain yang kau boleh cuba. Kalau ye pun kau nak belikan aku progam tu, janganlah program sedemikian!”
“Saya cuba program tu kerana saya mahu mengenali dengan lebih dekat abang angkat saya sendiri.” Ujar Savitri dengan nada nakal. Savitri tidak berapa senang dengan Khairul yang cuba menghindari persoalan tentang dirinya sebenar. Malahan, Savitri sudah tahu lebih dari separuh perwatakan atau peribadi Khairul. Sementara itu, sebuah Droid Polis terbang terapung-apung sebentar di atas kawasan mereka sebelum ia berdesup pergi—hilang dari pandangan. Mata Khairul pantas mengekori pergerakan Droid Polis itu, kerana satu ketika dahulu, dia pernah menganggap Droid Polis ini sebagai musuh
“Apa pulak? Dah lebih sepuluh tahun kita saling mengenali!” Khairul menyambung bicaranya dengan kalimah-kalimah yang keras dengan kedegilan.
“Tapi hanya dua tahun lepas saya mengenali yang abang lebih cenderung kepada—“
“Kepada kaum sejenis abang? Kaum lelaki?” Khairul menyambung kata-kata Savitri. Dia seakan berang, tapi suaranya rendah. Dia masih mengawal rasa hatinya, walau sesekali dia ingin melepaskan apa yang terbuku dia benak dan hatinya. Khairul seorang yang bijak. Bukan calang-calang orang, dia mampu mengawal keadaan dengan baik. Diapun faham yang Savitri terlalu mentah buatnya.
“Ya… Saya masih tidak boleh terima hakikat bahawa abang angkat saya yang kacak dan segak seperti ini lebih berminat dengan kaumnya sendiri. Bukan tak ada wanita yang tergila-gilakan abang?” ucap Savitri separuh berseloroh. Separuh lagi penuh dengan rasa terkilan. Tapi disorokkannya. Dia tidak mahu menzahirkan apa yang masih belum terucap secara terangan.
“Savitri Gaitonde!” ujar Khairi dengan suara manjanya yang sudah lama tidak didengari oleh Savitri. Nama penuh Savitri terpacul darinya. “Kau tahu aku hanya boleh sayang kau sebagai seorang abang kepada seorang adik. Kau adalah bagaikan adik bagi aku sendiri. Kau tahu kan? Walaupun aku seorang heteroseksual sekalipun, hubungan kita berhenti di sini sahaja. Tak lebih dari itu. Dah berapa kali kita bincangkan hal ini? Beberapa kali dah kan?” Khairul menjernihkan keadaan, sebelum ia menjadi lebih kusut. Dia tidak mahu dijerat oleh Savitri. Cukup dengan apa yang sudah diketahuinya, dia tidak akan membiarkan fikirannya dikongkong pula oleh Savitri.
Savitri mengeluh lesu. Pandangan matanya tertancap ke hujung kasut yang dipakainya. Dia segera masuk ke dalam Turbolif yang akan membawa mereka ke tingkat paling bawah. Setelah pintu Turbolif tertutup, ia terus berdesup menjunam ke aras tanah—dan terus ke bawah.
Sudah lama rasamya Savitri menaruh harapan kepada Khairul. Ia bagai tidak dapat diselindung lagi. Bunga-bunga kasih bagai menanti musim untuk berkembang. Tetapi ia tidak bersambut. Dia tidak pernah putus asa, kesal jauh sekali. Dia suka melihat mata Khairul yang dirasanya penuh dengan kisah duka yang langsung mencantikkan lagi wajahnya yang nampak keras itu. Matanya yang seakan-akan kuyu itu, lebih bermakna jika disulam dengan senyuman manisnya. Kadangkala, mata Savitri langsung tidak dapat bercerai dari melihat tubuh Khairul yang mantap itu. Dia suka segala-galanya yang ada pada diri Khairul. Baginya, Khairul adalah lelaki yang diidami selama ini. Lelaki yang miliki segalanya, dari tubuh badan yang sempurna kepada tingkah laku yang beradab. Ini mencairkan perasaan gadis mana jua pun.
Dia mungkin telah jatuh hati kepada Khairul sejak kali pertama dia bertentang mata dengannya sepuluh tahun yang lepas. Pada ketika itu dia besama dengan keluarganya baru sahaja tiba di Krisna II. Mereka sekeluarga merupakan pelarian perang dari Planet Bihar yang telah bertelagah dengan pihak Perbadanan Bumi kerana ia mahukan kemerdekaan darinya.
Seakan-akan sudah kalah di dalam perdebatan pendek itu, Savitri cuba memihak kepada Khairul, “Kenapa abang tidak lakukan gene-theraphy untuk mengubah seksualiti abang tu? Proses ini saya dengar hanya akan mengambil masa seminggu. Di dalam masa seminggu abang pasti akan suka kepada gadis-gadis seperti saya. Dah ramai lelaki mencubanya, ada juga wanita melalui proses yang sama.” Ujar Savitri. Dia sedar bahawa dirinya agak cantik dan pada satu hari akan menjadi seorang wanita yang jelita—idaman setiap jejaka. Dia tahu bahawa buat masa ini, ramai jejaka yang mahu menjadikannya teman pasangan istimewa mereka. Tetapi dia bagai tidak menghiraukan itu semua. Semuanya kerana perasaan tertarik yang kian menebal kepada Khairul.
“Apa yang kau katakan kepada aku adalah sia-sia Savitri. Kau tahu kan? Ini semua takdir tuhan, pemberian Tuhan. Kau tahu aku tidak mahu dan tidak akan mengubah pemberian Tuhan seperti ini. Bagi aku ini anugerah istimewa…”
“Ye lah… saya tahu!”
“Kau sendiri tahu bahawa kini semakin ramai golongan heteroseksual yang menggunakan gene theraphy untuk mengubah seksualiti mereka menjadi homoseksual! Apa pula pendapatmu wahai pendebat handalan?” ujar Khairul dengan nada sinis.
“Tu pun saya tahu!” Savitri menjeling. Dia mengharapkan bahawa Khairul tidak akan membebel lagi kepadanya, kerana jika Khairul mula membebel, ia tidak akan berkesudahan. Sudah menjadi kebiasaan kepada Savitri yang suka mencuit Khairul dengan pelbagai topik untuk dipersoalkan.
“Aku tak mahu ubah fitrah aku. Aku tak mahu jadi macam…” Khairul mendengus. Dia tidak mahu meneruskan kata-katanya. Ada yang terbuku di mindanya. Disimpannya sahaja.
“Macam pakcik Ridwan?” tanya Savitri meneka apa yang bersarang di benak Khairul. Khairul tidak menjawab. Dia hanya mengeluh. Buat beberapa saat dia telah memikirkan tentang Ridwan—pakciknya sendiri. Bagi yang tahu, sebahagian besar dari tubuh Ridwan telah digantikan dengan peralatan-peralatan cybergenic yang membuatkan dirinya lebih tinggi dan kekar dari dirinya sebelumnya. Tapi apa guna semua itu, kerana itu semua bukanlah asli.
Khairul meraba-raba keningnya yang tebal itu. Savitri memandangnya dengan kening kirinya ternaik. Savitri berkekak pinggang. Kemudian dia berjalan sambil memegang lengan Khairul yang padat berurat itu. Khairul agak rendah orangnya, dia mempunyai ketinggian 167sm, namun begitu, tubuhnya jelas nampak kekar dan padat berotot.
Savitri sayangkan Ridwan. Itu tidak menjadi sesuatu yang perlu diteka. Dia sayangkannya sebagaimana dia sayang kepada Khairul. Sekasar-kasar Ridwan, Savitri masih menghormatinya. Ridwan adalah orang yang telah menyelamatkan keluarganya ketika mereka duduk merempat di kawasan Kali’s Casbah dahulu. Ridwanlah yang telah mengambil bapa serta ibunya bekerja sebagai salah seorang kuli tekno untuk ditempatkan di syarikat yang diuruskannya. Dia menghormati Ridwan kerana fikirnya, Ridwan telah banyak berjasa menolong pelarian perang dari Bihar yang kini ramai di antara mereka bekerja di bawah naungan syarikat yang sedang dinaunginya itu.
Kalau sedikit lembaran sejarah diselak; sepuluh tahun yang lalu, keluarga Savitri telah melarikan diri mereka dari planet Bihar yang sedang bertelagah dengan Perbadanan Bumi. Peperangan berlanjutan selama setahun dan ramai para penduduk koloni Bihar telah terkorban. Walaupun Bihar terkenal dengan penghasilan berbagai-bagai peralatan canggih nanoteknologi untuk Perbadanan Bumi, teknologi senjata yang mereka ada tidak mungkin dapat dibandingkan dengan teknologi serta kemantapan bala tentera Perbadanan Bumi. Dua kota terbesar di Bihar telah dimusnahkan oleh Perbadanan Bumi sebagai tanda untuk menunjukkan kekuatan senjata yang ada pada mereka. Mungkin jua sebagai amaran awal yang diberikan oleh Perbadanan Bumi, kerana mereka mampu melakukan kemusnahan yang lebih teruk. Lebih 20 juta penduduk telah terkorban. Mereka yang terselamat dari serangan bertubi-tubi pihak Perbadanan Bumi telah melarikan diri ke koloni-koloni yang lain. Kehadiran mereka tidak begitu diterima, memandangkan budaya serta agama mereka yang begitu asing; lebih-lebih lagi dengan status mereka sebagai pelarian.
Penduduk Bihar yang menganut agama Neo-Jain berjubah dengan kesemua bahagian tubuh mereka dilitupi dengan kain merah. Bahagian muka mereka juga ditutupi topeng Tirthankaras . Savitri kini tidak lagi memakai pakaian yang masih lagi dipakai oleh ibu dan bapanya. Walaupun begitu, beliau sering kelihatan memakai pakaian serba merah sebagai tanda menghormati agama yang dianutinya itu. Dia tidak menidakkan itu semua. Jauh di sudut hatinya, dia masih ingat akan asal usulnya.
Kini Khairul dan Savitri tiba ke aras paling bawah Kali’s Casbah. Suasana sesak di situ, terutamanya di kawasan bazaar. Keadaan di sini sentiasa malap, memandangkan bangunan-bangunan tinggi di sini telah dibina rapat-rapat sehingga tidak ada cahaya suria yang dapat memercik ke kawasan aras paling bawah ini.
Savitri mengeluarkan topeng Tirthankaras kepunyaannya dari dalam beg galas. Dia terus memakainya. Topeng yang bersifat bio-organik itu dengan sendirinya melitupi wajah Savitri dengan sekelip mata, seolah-olah topeng itu adalah sebahagian dari wajahnya. Setelah topeng itu dipakai, hanya dia sahaja yang boleh menanggalkannya nanti. Dari ukiran topeng yang dipakainya itu kita akan tahu bahawa Savitri berasal dari puak Mahavira . Khairul tersenyum kerana dia tahu bahawa Savitri hanya akan memakai topeng tersebut setiap kali dia melalui kawasan Kali’s Casbah. Mungkin kerana terdapat ramai pelarian Bihar menetap dan bekerja di kawasan ini.
“Sudah lama aku tak berjumpa dengan pakcik Ridwan.” Suara Khairul ketika dia sedang berasak-asak di dalam lorong bazaar di sektor hiburan Kali’s Casbah. Lagu-lagu kaum Bihar dimainkan dengan kuat oleh beberapa peniaga-peniaga Bihar yang membuka gerai-gerai menjual barang-barang makanan dan produk tiruan berteknologi tinggi di situ. Khairul terpaksa menaikkan suaranya seperti menjerit, supaya kata-katanya dapat didengar oleh Savitri.
Savitri mengganggukkan kepala, tanda faham.
“Alah, kita semua dah tahu abang merajuk dengan dia!” ujar Savitri. Suara agak berlainan dari biasa, ia sudah disintesis dengan adanya topeng Tirthankaras yang terlekat di mukanya. Ia kedengaran seolah-olah kotak suaranya itu diperbuat dari logam berkarat.
“Pandai-pandai ajalah kau ni!” tingkah Khairul. Berkerut-kerut keningnya, seperti menahan sakit yang sedikit lagaknya. “Siapa yang beritahu kau aku merajuk dengan dia?”
Lengan Khairul tiba-tiba dipegang oleh seorang lelaki yang bertanyakan kepadanya jika dia berminat untuk melihat beberapa orang Sexdroid yang ada dalam koleksinya. Dengan kasar Khairul menarik lengannya kembali tanpa berkata apa-apa. Matanya dijegilkan sedikit. Dia terus berlalu. Si peniaga, terus hinggap kepada mangsanya yang lain.
“Adalah!” ucap suara sintesis Savitri. Khairul menoleh ke arahnya. Dia tidak dapat memastikan jika Savitri mahu bergurau dengannya atau dia telah menjawab dengan serius. Kadang-kadang Savitri lebih suka mengundang geram di dada Khairul. Dibiarkan sahaja permainan gadis itu.
Khairul mendengus. Dia masih marah kepada Ridwan kerana telah melakukan sesuatu kepada sistem komputer Pasukan Marin Angkasalepas sehingga membuatkan dirinya diterima masuk secara automatik ke dalam Unit Penerokaan. Sehingga kini Khairul kurang pasti jika dia menjadi anggota pasukan elit tersebut kerana dia benar-benar layak, atau kerana campurtangan pakciknya itu. Perkara ini telah membuatnya menjadi begitu marah. Dia tidak mungkin akan dapat memaafkan tindakan Ridwan, kalaulah benar Ridwan ada masuk campur dalam urusan itu. Walaupun mungkin kerana Ridwan, cita-citanya sejak kecil untuk masuk ke Unit Penerokaan kini telah dapat dicapainya.

Kini mereka berdua masuk ke sebuah lorong yang agak sempit dan lama. Suasana agak samar, cahaya tidak berapa sampai ke sini. Di kiri dan kanan lorong itu agak lembab. Titik-titik air jatuh dari bahagian paling atas bangunan. Terdapat beberapa lopak air kecil di sana sini. Khairul tidak pasti jika lorong tersebut lembab kerana hujan ataupun kerana ada paip air yang pecah di antara salah satu bangunan tinggi di sini. Savitri tidak menghiraukan keadaan itu. Khairul cuma mencatur fikiran sendiri.
“Kau pasti tempatnya di sini?” tanya Khairul. Dia kini masuk ke salah sebuah bangunan usang yang telah lama ditinggalkan oleh penghuni asalnya. Kini bangunan kondominium tua setinggi 200 tingkat ini mungkin dihuni oleh para pelarian Bihar dan penagih-penagih dadah.
“Memang di sini tempatnya. Saya bekerja di sini.” Akhirnya Savitri mengakui. Dia berjalan masuk ke sebuah lorong gelap lain di dalam bangunan yang malap tanpa cahaya itu. Dengan menggunakan topeng Tirthankaras, dia dapat melihat di dalam gelap. Ini adalah salah satu ciri istimewa penggunaan topeng itu. Savitri sudah masak dengan fungsi topeng itu. Dia menggunakan dengan seadanya.
“Sudah berapa kali aku cakap, jangan libatkan diri kau dengan mereka!” Khairul menyuarakan pendapatnya dengan sedikit kecewa. Savitri tidak menjawab. Dia terus berjalan di dalam gelap sambil memimpin tangan Khairul.
Khairul mengekorinya sahaja, bagai anak kecil yang perlukan pimpinan.
Sebuah tembok menghalangi perjalanan mereka. Dari dalam gelap, seorang pemuda Bihar serba merah menghampiri Savitri. Dia memandang kepada Savitri dan kemudiannya kepada Khairul. Savitri mengucapkan sesuatu di dalam loghat Bihar kepada pemuda tersebut. Loghat itu tidak mampu difahami oleh Khairul. Beberapa detik kemudian, tembok di hadapan mereka terbuka. Khairul tergamam seketika. Di dalamnya ada terdapat sebuah Turbolif bersaiz kecil.
Tanpa Khairul sedari, pemuda Bihar itu kini hilang entah ke mana. Lesap bersama kegelapan suasana sekitarnya. Savitri melihat ke dalam anak mata Khairul dan terus membawanya masuk ke dalam Turbolif.
Turbolif yang mereka gunakan tidak berbutang. Cuma ada skrin kecil di tepi pintu.
“Dia bukan orang Bihar. Ia cuma sebuah cyborg pembunuh yang telah kami bina untuk menjaga tempat yang akan kami tuju.” Savitri memberitahu. Turbolif menjunam pantas ke arah bawah bangunan.
Khairul faham benar bahawa ‘kami’ yang dimaksudkan oleh Savitri tadi adalah mereka yang bekerja di bawah naungan Syarekat Dagang Tawon atau singkatannya; SDT.
Mata Khairul terus ke hadapan. Melalui skrin di tepi pintu lif, dia mendapati bahawa Turbolif sedang membawanya ke beberapa puluh tingkat ke bawah tanah. Rasa gementar pun ada, tapi disimpannya sahaja.
Sebaik sahaja pintu Turbolif terbuka, dia mendapati bahawa dia kini sedang berada di dalam sebuah kilang atau sebuah gudang yang agak besar. Keadaan di sekelilingnya terang benderang. Di hadapannya dia dapat melihat ramai pekerja-pekerja kuli tekno dari Bihar yang sedang tekun di stesen kerja masing-masing. Dia dapat melihat pelbagai jenis mesin yang digunakan dalam mencipta pelbagai barangan. Dia kurang pasti apakah yang mereka sedang lakukan di dalam kilang ini.
“Mereka sudah lama menunggu kita.” Ujar Savitri kepada Khairul yang kelihatan tercengang sedikit melihat keadaan di sekelilingnya. Dia dapat menyimpulkan, tanpa perlu berfikir panjang—beliau kini sedang berada di dalam pusat Penyelidikan dan Pembangunan kepunyaan SDT.
Savitri kemudian telah mendapatkan sebuah kereta kecil lalu menjemput Khairul naik ke dalam kereta tersebut. Khairul melompat masuk. Dia bagai tidak sabar untuk melalui pengalaman baru.
Kereta tersebut terapung-apung, kemudian ia berdesup laju ke arah kawasan kilang, menyelinapi beberapa mesin gergasi di samping ratusan manusia yang tengah tekun bekerja.
Pusat atau kilang tersebut adalah lebih besar dari yang disangka. Perkakasan serta perabot yang ada di dalamnya berwarna serba putih dan perak. Keadaan di dalam kilang nampak bersih dan amat terjaga, serta teratur. Dia dapat melihat hampir seribu orang pekerja Bihar yang sedang tekun melakukan kerja masing-masing. Mereka nampaknya sedang sibuk membina peralatan berteknologi tinggi yang mungkin masih belum lagi terdapat di pasaran. Tidak menjadi persoalan lagi, kerana ini mampu dilakukan sebab lanun-lanun SDT sering memintas kapal-kapal angkasa yang membawa prototype peralatan canggih. Mereka akan mencuri peralatan sebut untuk mereka bangunkan semula di sini. Mereka terkenal dengan taktik ini.
Kereta kecil yang sedang mereka naiki kini berhenti di hadapan beberapa orang yang sedang berkumpul di sebuah sudut di dalam kilang. Khairul pasti bahawa dia ke nal akan salah seorang dari mereka. Fikirannya tidak pincang. Dia kenal sangat dengan muka itu, tubuh itu sungguh tidak asing kepadanya. Muka Khairul berubah dan terus mencuka. Dia cuba berpaling ke arah lain, tapi difikirkannya, adalah lebih baik dia berhadapan dengan situasi ini sebagai seorang yang sudah dewasa.
“Kau masih marah dengan aku lagi?” tanya Ridwan tersenyum sinis. Dia terus pergi mendapatkan Khairul yang baru keluar dari perut kereta.
Khairul tidak menjawab. Dia tidak perlu menjawap persoalan yang sudah lapuk itu. Mana mungkin dia tidak marah. Dia hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tidak mempedulikan persoalan itu, malah, matanya kini tertancap kepada sebuah kapalangkasa bersaiz kecil yang sedang dikaji selidik oleh beberapa orang kuli tekno Bihar berdekatan dengan sudut tersebut. Setelah dia meneliti kapalangkasa itu buat beberapa ketika, dia pasti bahawa inilah dia kapalangkasa prototype De Lucchi kepunyaan Konsortium Perdagangan yang telah diberitakan hilang beberapa bulan yang lepas di Sektor 3, Proxima Cantauri.
“Aku panggil kau ke sini kerana aku mahu kau bertemu dengan Kartini Utomo,” kata Ridwan dalam satu nafas. Kemudian dia menambah:
“Mungkin kau tak tahu lagi, Puan Kartini Utomo adalah Pengerusi dan pemegang saham terbesar Syarekat Dagang Tawon.”
Khairul mengangguk. Dia berdiri tegak tanpa berpaling ke arah Kartini.
Kartini tidak berasa janggal diperlakukan sedemikian oleh Khairul. Pada ketika itu juga sebuah kubah telah terbentuk dari aras lantai untuk menjadikan sudut itu sebuah bilik yang tertutup. Khairul tidak canggung, dia bagai sudah masak dengan pelbagai kecanggihan yang dipertontonkan di depannya sejak Savitri ‘melenyapkan’ tembok batu sebelum masuk ke Turbolif. Mereka bagai mahu bermegah dengan pencapaian dan kecanggihan teknologi penemuan mereka.
“Kami perlu bantuan kamu untuk projek baru kami.” Ujar Kartini, lalu dia berpaling wajah ke arah pancaran holografik di hadapan mereka.
Khairul memandang model kapalangkasa hologram di hadapannya. Dari insignia yang tertera pada bahagian tepi kapalangkasa berbentuk aneh itu, dia sudah dapat meneka bahawa ia adalah sebuah kapalangkasa model terbaru Pasukan Marin Angkasalepas. Dia sudah pasti. Tiada salah dan silap lagi. Bantuan apa pula mereka mahu dari aku?

Kini semua mata tertumpu ke arah anak muda itu, termasuk Savitri sendiri. Khairul agak keliru. Dia seakan dapat membaca, bagai setiap jiwa melahirkan pengharapan kepada kehadiran dan juga kepada dirinya. Dia bingung sebentar. Dia tidak mengerti. Kalau benarlah mereka bergantung harap kepadanya untuk tujuan apa sekalipun; dia tidak tahu bagaimana dia boleh menghulur bantu kepada mereka di dalam perihal sedemikian…

Bab 4

“’Bagai seekor Naga Mahawangsa yang kehilangan anaknya’ (yang membawa maksud; seorang yang akan melakukan kejahatan kerana mahu membalas dendam).”
-- Peribahasa lama Dresanala

---

Mata Khairul terasa kering. Tekaknya perit. Dia baru diberitahu tentang tugasan yang sedang menantinya. Dia berpaling ke arah Savitri. Anak gadis itu cuma mampu tertunduk. Dia tidak mungkin dapat meneka apa yang sedang tergambar di muka Savitri dengan topeng Tirthankaras yang sedang melekat di mukanya. Mana mungkin dia mampu untuk menentukan apa yang tengah berlegar di fikiran Savitri. Dia terus membatu di situ. Tidak berbuat apa-apa.
Khairul hanya tercegat di hadapan model hologram kapalangkasa Chung-kuei . Dia tidak mengendahkan Ridwan yang sedang menyuruh pembantu Biharnya, untuk membawa Kartini beserta dua orang pembantu peribadinya keluar dari kawasan perbincangan. Yang kedengaran adalah hujung suara Ridwan, ada tegas di dalam getar suaranya. Pembantunya hanya menurut, bagaikan robot.
“Aku tahu kau tidak suka dipaksa.” Ujar Ridwan setelah dia kembali mendapatkan Khairul. Dia tidak jadi ingin melabuhkan tapak tangannya ke bahu Khairul, mungkin ada buah fikiran yang membantutkan tindakannya. “Aku tahu kau memang degil. Perangai kau tak ubah seperti bapa kau sendiri.” Ridwan cuba berbual dengan Khairul. Dia mahu Khairul berbicara dengannya, tanpa sebarang halangan. Dia ingin tahu dengan lebih dalam apa yang bergolak di dalam diri anak semuda Khairul. Dia sabar menantikan balasan dari Khairul.
“Pakcik tahu saya tak akan buat kerja-kerja ini semua!” ucap Khairul dengan perlahan. Nafasnya dilepaskan perlahan-lahan. Tangannya yang dikepalkan tadi mula dilepaskan. Dia mengalihkan pandangan ke tempat lain, dia tidak mampu bersemuka dengan pasangan mata Ridwan. Butir peluh jantan mula terbit di atas dahinya.
“Aku tahu tetapi ini semua bukan pilihan kau!” herdik Ridwan. Sabarnya sudah nipis. Dia tidak mampu bermuka-muka lagi, dia perlu tegas dalam hal sedemikian. Wajahnya yang memang sedia nampak bengis itu pastinya akan menakutkan sesiapa yang memandang. Tapi bukan Khairul. Khairul bagaikan ada semangat baru untuk berdepan dengan pakciknya itu, dia tidak gentar walaupun mata Ridwan seakan terkeluar dari soketnya. Dihadapinya Ridwan. Kali ini dia akan berhujah pula. Tapi dia akan cuba tidak menyakitkan hati Ridwan yang tengah menggelegak itu.
“Saya ada pilihan. Saya kini ada masa depan saya sendiri.” Khairul menegaskan. Pendek dan penuh bermakna. Dia lantas menyambung dengan lantang, “saya mahu bina hidup baru dengan apa yang ada sekarang. Mungkin yang ada cuma sisa sahaja, tapi saya yakin saya boleh lakukannya. Saya tak mahu jadi macam dulu.” Khairul bersuara, cuba menjelaskan buah fikirannya dalam bentuk kata-kata.
Khairul menyapu bahagian atas bibirnya yang mula dirasakan lembap berpeluh. Dia termenung seketika. Sesekali dia akan memandang ke wajah Ridwan yang dirasanya mempunyai iras wajah arwah bapanya. Wajah Ridwan langsung membawa fikirannya melayang memikirkan akan keadaan dirinya selepas ibu dan bapanya meninggal dunia dahulu.
Ketika itulah hidupnya mula kucar-kacir. Dia telah menganggotai sebuah kumpulan remaja liar yang dikenali dengan nama Marvasatrusa di Kali’s Casbah; yang sering melakukan huru-hara dan sering menjadi buah mulut masyarakat setempat. Masa itu, hanya sumpah seranah yang menjadi santapan telinganya, dia terlalu liar dan nakal. Pada waktu itulah juga kehidupannya mula beransur-ansur musnah. Keliarannya tidak dapat dibendung, sehinggalah Savitri sendiri datang untuk membimbing dan menasihatinya supaya berubah. Savitri tidak rela melihat keadaan hidup Khairul, (yang kemudian dijadikannya sebagai abang angkat) terus hanyut dengan segala jenis dadah yang telah diambilnya.
Segala kenakalan yang telah dilakukannya pada ketika itu beransur ditinggalkan oleh Khairul. Dalam masa yang sama, Savitri meminta pertolongan Ridwan supaya membantu Khairul untuk mengembalikan semula semangatnya untuk hidup seperti remaja lain. Ridwan sedia membantu, bukan kerana Khairul adalah darah dagingnya, tetapi kerana Savitri telah dianggapnya seperti anak gadisnya sendiri—setiap permintaan Savitri, pasti akan dilaksanakannya. Dengan itu juga, Khairul sudah tegal menjadi sebahagian daripada kehidupan sehariannya bila Savitri seringkali mengundangnya ke rumah.
Sewaktu Khairul berusia 14 tahun, Ridwan terus mengambil keputusan untuk menjaga Khairul. Lalu dengan segala apa yang dia ada, dia mula mengatur hidupnya. Dengan berbekalkan motifnya yang tersendiri, dia mahukan yang terbaik untuk remaja bernama Khairul itu. Dia tidak sanggup membiarkannya hanyut, dan terus hanyut bersama dengan darah mudanya. Ridwan mempunyai rancangannya yang tersendiri untuk Khairul. Tiada siapa yang boleh mengganggu-gugat rancangannya itu…
Segala jenis toksin yang telah meresap bersama darah daging di dalam tubuh Khairul dibersihkan dengan teknologi perubatan yang telah didapati dari orang-orang Bihar. Setelah dia mendapati Khairul sudah bersih, dia mula membentuk tingkah laku dan budi bicara Khairul. Dilengkapkannya dengan pelbagai senjata keperibadian.
Ridwan berjaya mendisiplinkan Khairul serba sedikit, lantas mendaftarkannya ke Akademi Tentera Armas Jóvenes ; terkenal dengan kemasukan anak-anak eksekutif tinggi dari Perbadanan Bumi. Dari sanalah Khairul mula jatuh hati dalam dunia ketenteraan. Dia suka akan cara hidup tentera, apatah lagi dengan ilmu ketenteraan yang sentiasa disogokkan kepadanya.
Pada ketika itu jugalah Khairul mula bersungguh-sungguh mahu menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap segala peluang di depannya. Di dalam fikirannya, dia cuma ada satu azam—satu hari nanti dia akan dapat keluar dari Krisna II untuk menjelajah ke dunia-dunia lain. Dia ingin bebas. Dia ingin meneroka alam lain, selain Krisna II.

“Kau bekerja dengan mereka yang telah membunuh ibu bapa kau sendiri!” kata-kata itu terpacul dari Ridwan Dia akhirnya memberitahu satu rahsia yang selama ini telah diselindunginya dari pengetahuan Khairul. “Mungkin kau masih tidak sedar, tetapi merekalah yang telah membunuh mereka ketika mereka bertugas di limbungan kapalangkasa Varuna !” Ridwan ingin Khairul faham keadaan sebenar, apa yang telah berlaku. Dia bagaikan ingin menyemarakkan api kemarahan di dalam dada anak muda itu. Tapi, dia kenal benar dengan Khairul, dia kena bersabar.
Khairul berjalan beberapa tapak kehadapan, sebelum dia berjalan kembali ke arah Ridwan. Ditenungnya mata Ridwan. Matanya berkaca. Matanya sedikit kemerahan.
“Semua ini bohong!” suara Khairul tegas dan keras. Sunyi itu bagaikan dikejutkan dengan suaranya yang agak kuat. Beberapa pekerja Bihar menoleh ke arahnya. Dia tidak mempedulikan mereka. Pandangan matanya tidak dialihkan dari Ridwan. Dia ingin mengkhabarkan kepada pakciknya yang semua itu karut dan dia ingin memberitahu, dia tidak akan percaya walau sezarah pun.
Ridwan merendahkan kedua belah bahunya, bagaikan mengeluh dengan kedegilan Khairul. “Mereka telah bekerja dengan kami.” Beritahu Ridwan dengan nada yang rendah. Dia cuba mencetus perang psikologi dengan Khairul. Dia cuba memancing keyakinan Khairul, dengan menggoyahkan pendiriannya sendiri. Itu bukan tugas mudah, Ridwan tahu itu semua. “Ibu dan bapamu adalah sebahagian dari kami.” Ridwan mengulangi kalimah-kalimahnya itu.
“Tak mungkin!” bentak Khairul membalas. Khairul tidak mungkin dapat mempercayai bahawa ibu dan bapanya itu adalah sebahagian dari organisasi SDT. Itu semua karut. Dia tidak boleh menerima hakikat bahawa ibu dan bapanya yang selama ini disangkanya sebagai kuli tekno adalah sebenarnya lanun angkasalepas! Dia tidak akan mempercayainya, kerana dia tidak ada sebab untuk berbuat demikian.
“Dari awal lagi kami telah menempatkan mereka ke Limbungan Varuna untuk menyelidiki pembinaan enjin kapalangkasa Chung-kuei. Tetapi apabila pihak perisikan Perbadanan Bumi mengetahui tentang hal ini, mereka berdua terus dibunuh.” Jelas Ridwan seolah-olah dia sedang membaca berita semalam.
“Tetapi setahu saya, mereka berdua telah meninggal dunia di dalam kemalangan industri.” Tegas Khairul. Dia berpegang kepada hakikat itu. Itulah sahaja kebenaran tentang kematian kedua ibu bapanya. Dia tidak mahu tahu apa orang lain kata, atau cuba katakan tentang pemergian kedua ibu bapanya.
“Itu yang mereka mahu kau tahu…” Jelas Ridwan bagai menyindir. Suaranya perlahan, tetapi tenang. Ridwan kini membelakangi Khairul. Tangannya disematkan ke belakang. “Untuk pengetahuan kau, mereka berdua telah diseksa sebelum mayat mereka diletakkan ke dalam makmal mereka di Varuna itu. Aku cuma beritahu kau, supaya kau bangkit dari lena kau. Aku nak kau tahu kebenaran, jangan nanti kau salahkan aku tidak berkata benar kepada kau. Aku tahu itu adalah hak kau untuk tahu ini semua, lambat laun kau akan tahu juga. Baik kau tahu akan perkara ini dari mulut aku sendiri, aku tak mahu dipersalahkan nanti…”
Nadi Khairul hampir terhenti apabila dia diberitahu tentang perkara ini oleh Ridwan. Kata-kata Ridwan tadi telah membuatnya berfikir kembali bagaimana makmal ibu dan bapanya telah dicemari oleh bahan radioaktif, lalu telah dimusnahkan segala apa yang ada di dalam makmal tersebut, termasuk mayat ibu dan bapanya. Mereka mengatakan itu semua adalah prosedur biasa untuk menghalang sebarang kesan negatif dari sisa-sisa radioaktif itu. Dia terlalu muda untuk memahami itu semua.
Mungkin ada benarnya kata-kata Ridwan kepadanya tadi. Khairul mula mendampingi kebenaran itu. Dia boleh merasakan yang Ridwan tidak mengada-adakan cerita. Kalaulah benar bagai dikhabarkan, dia tidak dapat membayangkan bagaimana ibu dan bapanya itu telah diseksa sehingga mati. Hatinya bersalut sedih dengan tiba-tiba. Dia berasa sayu. Matanya tertutup rapat. Tangannya ditekupkan ke mukanya. Dia menahan hiba.
“Mereka berdua menjadi perisik kami untuk mengkaji enjin Hyperpacuan yang sedang dibina pada waktu itu.” Ujar Ridwan kepada Khairul. Dia harap dia dapat menyejukkan hati Khairul.
“Saya tak mahu dengar ini semua!” nafas Khairul turun naik. Dadanya berombak. Dia seakan-akan tidak mahu meneruskan perbualan dengan si Ridwan. “Aku mahu balik!” bentaknya kemudian sambil berpaling menatap lekas wajah suram Savitri. Anak gadis itu pula terus menoleh ke arah Ridwan, untuk menunggu arahan seterusnya dari Ridwan yang sudah dianggapnya bagai ayah kandungnya sendiri.
Sementara itu, Ridwan mengangguk perlahan sebelum berkata:
“Aku harap, kau fikirkan baik-baik. Maksud aku, segala arahan yang kami berikan kepada kau tadi. Hanya kau sahaja yang kami ada untuk melakukan tugas ini. Aku tahu ianya agak sukar. Tetapi kau tidak ada pilihan lain. Kau calon terbaik yang kami ada.” Itu bagaikan kata-kata akhir Ridwan. Dia ingin pastikan yang maksudnya sampai.
Khairul hanya diam. Matanya kemerahan. Tiba-tiba sahaja dia dapat merasakan matanya panas berair. Air matanya jatuh sedikit. Dia tidak tahu mengapa dia mengalirkan airmata. Jarang benar dia berbuat demikian. Mungkin dia marah ataupun mungkin dia sememangnya sedih mengenangkan untung nasibnya. Umurnya kini sudah masuk 22 tahun, fikirnya lelaki sepertinya tidak patut lagi menangis. Dia berasa aib bila menyedari tindak tanduknya diperhatikan semua yang ada di situ.
Tatkala masuk ke dalam turbolif, Savitri mengeluarkan topeng Tirthankarasnya. Dia memandang wajah Khairul dengan sayu. Dia lalu menyapu airmata di pipi Khairul.
“Mungkin ini boleh menjelaskan segala-galanya,” kata Savitri bagai ingin memecah kebuntuan. Dia mengeluarkan sekeping Infocrystal dari dalam kocek seluarnya. Khairul bagai ambil endah tidak endah dengan perkhabaran dari Savitri itu.
Dengan perasaan ragu-ragu, Khairul mengambil Infocrystal tersebut dari tangan Savitri. Sebaik sahaja pintu Turbolif terbuka, dia terus berlari keluar, lalu meninggalkan Savitri di dalam bangunan yang usang itu. Savitri tidak berbuat apa-apa, dia sudah mengagak yang Khairul akan bertindak sedemikian. Khairul terus lenyap dari pandangannya. Dia masih terlekat di pintu Turbolif itu yang kini sudah tertutup rapat.

Khairul berhenti sebentar di tepi sebuah bangunan yang sememangnya sudah usang. Suasana tampak gelap. Jalan di situ agak lembab dengan air yang masih menitik-nitik. Ada yang sudah terkumpul menjadi lopak-lopak kecil. Lumut sudah mula meliar di sana sini. Tekaknya tiba-tiba terasa mual, lalu dia termuntah di situ juga. Diapun kurang pasti bagaimana dia boleh merasa sebegitu mual, sehingga memuntahkan sisa-sisa makanan yang tidak seberapa itu.

**

Infocrystal itu ada bersamanya, masih tidak diusik. Selama seminggu Khairul tidak menyentuh Infocrystal yang telah diserahkan oleh Savitri. Selama seminggu itu juga Khairul tidak banyak bercakap dengan kadet-kadet yang lain. Dia nampak terganggu. Dia lebih suka menyendiri dan senyap. Kekadang dia bercerita sendirian, barang sepatah dua.
Beberapa orang rakannya telah menasihatkannya supaya masuk ke dalam Kiosk Mediscan . Hanya mesin itu yang mampu memastikan tahap kesihatannya berada pada tahap yang baik atau sebaliknya. Bukan sahaja dia kurang berkata-kata, malah hidangan makanan sedikit sahaja yang dijamahnya. Ada rekrut yang rapat dengannya, gusar akan perubahan yang mendadak ini. Kalau dulu mereka boleh bergurau senda ketika ingin mandi selepas program sukan, kini, Khairul lebih gemar tidak dirapati oleh sesiapa.

Perubahan itu bagaikan retak menanti belah, ia menjadi bertambah kritikal. Khairul kini langsung tidak dapat menumpukan perhatiannya kepada latihan ketenteraannya. Keadaannya mula kelihatan tidak terjaga. Misai dan janggutnya tumbuh liar. Sarjan Ng yang agak rapat dengannya telah memintanya supaya datang untuk menemuinya. Bukan sahaja dia bimbang dengan perlakuan mutakhir Khairul, malah perubahan mendadak Khairul itu sudah menjadi buah mulut di kalangan tentera yang ada. Kalau dulu ada yang tidak kenal dengannya, kini ada antara mereka yang ingin kenal kerana tabiat terbarunya.
“Apa masalah kau?” tanya Ng di dalam pejabatnya. Dia tidak menyatakan sebarang mukadimah. Dia tidak pandai untuk mengarang kata. Dia inginkan jawapan mutlak dari anak muda itu.
“Tidak ada apa-apa tuan!” ucap Khairul. Matanya terus ke hadapan. Tangan-tangannya disematkan ke belakang. Dia punya hormat kepada Sarjan Ng.
“Kalau tak ada apa-apa masakan keadaan kau nampak murung sahaja sejak kebelakangan ini. Kau selalunya nampak bersungguh-sungguh menghadiri latihan. Tengok sekarang, kau tak ubah seperti orang yang dah sesat di hutan berbulan-bulan lamanya, tak terurus langsung. Masakan kau boleh katakan tidak ada apa-apa?” suara Ng penuh prihatin. Dalam pada itu nadanya deras menyuarakan rasa hatinya terhadap Khairul. Dia tidak mahu Khairul diperlekehkan oleh anggota lain. Dia mahu Khairul terus maju.
“Saya… Mungkin tidak sihat, tuan!” Khairul memberi alasan. Suaranya tidak memberangsangkan, dalam usahanya untuk meyakinkan sarjan itu.
“Hmm… Aku rasa kau ada masalah peribadi. Cuba lihat diri kau itu sikit di hadapan cermin… Jambang tak bercukur, rambut tidak terurus!“ sarjan Ng bagai mengulang pernyataannya tentang keadaan diri Khairul yang tidak terurus itu.
“Saya…” Suara Khairul perlahan. Sukar rasanya untuk dia bersuara. Dia terhenti di situ. Bagai ada sesuatu yang menghalangnya dari terus bersuara.
“Aku rasa kau faham dengan keadaan kau sekarang. Tidak lama lagi kau akan keluar dari akademi ini. Aku mahu kau dapat penilaian markah yang terbaik supaya nanti senang kau dinaikkan pangkat kelak. Semuanya bermula di sini. Kau kena ingat, kau dah korbankan segalanya untuk menjalani latihan di sini. Sekarang adalah titik penamatnya, dan tiba-tiba kau berubah mendadak macam ni!” Ng memberitahu sesuatu yang dia sendiri tahu sejak dahulu lagi. Ng tak mahu anak muda seperti Khairul hanyut, sedangkan masa depannya cukup cerah. Masa depan yang dibinanya dengan tulang empat keratnya sendiri, bukan atas pertolongan orang lain.
“Tuan… Saya,” suara anak muda itu tersekat lagi. Matanya memandang ke lantai simen itu.
“Aku sedia mendengar masalah kau... Kaupun faham, kalau aku suka melihat kau musnah, aku takkan berada dalam situasi sekarang. Untuk memahami diri kau itu. Jadi, katakanlah...” Ucap Ng dengan suara yang lembut.
Khairul tahu akan keikhlasan Ng, dia terus nekad untuk berbicara dengannya. “Tuan, haruskah kita melakukan satu perkara yang kita tahu salah, tetapi ia mungkin akan membetulkan segala ketidakadilan yang pernah berlaku pada masa lampau?” tanya Khairul. Tanpa sebarang kata-mula, dia terus menanyai Ng. Dia bertanya dengan matanya terus ke hadapan dan dengan suaranya yang keras dan tegas, walaupun dia sedang berada di dalam keadaan ‘senang diri’. Dia inginkan pendapat Ng dengan segera, dan dia tidak pula memaksa.
“Apa-apa yang salah tetap salah.” Cepat Ng menjawab. Walaupun dia tidak mengerti akan buah butir yang diperkatakan oleh Khairul. Ng segera menyambung, “Tiada kompromi. Sebagai seorang anggota Marin Angkasalepas, kau perlu lebih arif tentang hal ini dari orang lain.”
Khairul mengeluh. Dia tertunduk ke lantai sebelum dia berkata:
“Kalau begitu tuan, saya minta kebenaran untuk mengambil cuti selama lima hari.” Khairul bagaikan membuat kesimpulan. Mungkin sudah lama difikirkannya tindakan yang akan diambilnya kelak.
“Mulai esok?” sarjan Ng kelihatan tersentak sedikit dengan permintaan Khairul itu. Kening kirinya dinaikkannya.
“Ya, tuan,” Angguk Khairul lemah.
Ng menarik nafas dan melepaskannya sambil berkata, “Kau memang perlukan cuti ini… Baiklah, aku mahu kau berehat secukupnya. Aku mahu kau kembali seperti keadaan kau sebelum ini bila kau pulang ke sini nanti.” Jelas Ng. Dia memandang tepat ke arah Khairul. Dia tahu bahawa Khairul adalah di antara pelajarnya yang terbaik yang pernah ada di maktab itu. Dia tahu bahawa masa depan Khairul lebih cerah jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar lain di maktab ini. Dia berani bertaruh bahawa hanya dalam masa kurang dari sepuluh tahun sahaja lagi, dia pula akan memanggil Khairul dengan panggilan tuan dan menghormatinya sebagai ketuanya. Itu semua adalah kemungkinan yang bagai tidak dapat disangkal lagi oleh mana-mana pihak.
Bagi Ng, Khairul telah mempunyai setiap formula yang diperlukan untuk menjadi seorang anggota Marin Angkasalepas yang berkaliber. Beliau mempunyai latarbelakang akademik yang amat cemerlang—beliau telah mendapat markah yang tertinggi di dalam ujian kecergasan dan simulasi peperangan. Satu kombinasi yang jarang kedapatan di kalangan kadet-kadet yang pernah dilatihnya sebelum ini.

Kini Khairul telah beredar dari bilik pejabatnya. Ng tersenyum puas. Walau pada mulanya dia berasa gusar. Kini dia mampu berasa lega. Kini dia boleh melaporkan kepada SDT bahawa semua yang telah mereka rancangkan untuk Khairul sedang berjalan dengan lancar…

**

Khairul masuk ke dalam pangsapuri lamanya yang telah lama ditinggalkannya. Pangsapurinya yang terletak di tingkat 244, nampak bersih terjaga rapi. Tiada sebarang habukpun yang ada, apatah lagi sampah sarap. Android dari siri Mädchen Versi 3.0 yang telah ditugaskan untuk menjaga rumahnya itu nampaknya telah melakukan tugasnya dengan begitu baik.
“Lama kau tak balik… Rindu pulak makcik rasanya.” Tiba-tiba android berwajah wanita Melayu berusia setengah abad itu menyampuk.
Khairul berpaling sebentar. Dia segera menjawab, “Mak Rosiah tak perlu risau tentang diri saya.” Ujar Khairul. Dia bersalaman lantas mencium tangan Rosiah. Pada masa itu juga, Khairul terasa rindu kepada belaian ibunya sendiri. Tangan Rosiah yang diciumnya seakan sama seperti tangan ibunya, kerana tangan Rosiah dicipta supaya mempunyai suhu badan serta tekstur kulit yang menyerupai manusia.
Khairul bagaikan inginkan kehadiran ibunya pasa masa itu juga. Dia tahu yang itu semua agak mustahil untuk menjadi kenyataan.
Sejak kematian ibu dan bapanya, Rosiahlah yang menjadi tempat Khairul mengadu kasih. Rosiah banyak membentuknya. Dia sedar bahawa Rosiah bukanlah seorang manusia, walaupun ia telah dicipta dengan sebegitu rupa supaya ia dapat menyerupai manusia. Ia tidak mungkin dapat mengambil tempat ibunya dan memberi kasih sayang yang pernah dicurahkan kepada dirinya oleh arwah orang tuanya. Tapi Rosiah sudah membuat yang terbaik untuk Khairul, dia tidak pernah mengabaikan kehidupannya.
“Kau dah makan, Rul?” Tanya Rosiah sambil tergesa-gesa ia bergerak ke arah Replikator Makanan .
“Tak payah susah-susah, mak Rosiah. Saya dah makan di kem tadi.” Saat itu juga langkah Rosiah terhenti. Dia suka menghidangkan makanan yang disukai oleh Khairul. Dia suka melihat anak muda itu menyantap makanan di depannya; sungguh berselera.
“Makanan di kem, lain Rul. Di sini lain.” Rosiah masih ingin memasak sesuatu untuk Khairul, dia memang suka memanjakannya.
Khairul cuba meleret senyuman. Dia tidak mahu memperkecilkan hati Rosiah, walaupun dia tahu bahawa perkara itu tidak mungkin akan berlaku. Dia memandang ke arah wajah Rosiah yang telah direka dengan begitu realistik sehingga nampak kedutan diwajahnya itu, sebagai tanda yang dia sudahpun berumur. Dia terfikirkan kembali kepada zaman-zaman awal remajanya setelah kedua arwah ibu dan bapanya meninggal dunia dahulu, Rosiahlah yang telah menjadi tembat dia bergantung.
Pada ketika itu Khairul marah kepada segala-galanya yang telah menimpa hidupnya. Dia rasa tidak adil bahawa ibu bapa tempat dia bergantung kasih dan harap, tiba-tiba sahaja lenyap dari hidupnya. Dari seorang anak yang pendiam ketika masih dibawah jagaan ibu dan bapanya serta Rosiah, dia terus berubah menjadi anak remaja yang nakal, sehinggalah dia terlibat dengan kumpulan remaja Marvasatrusa.
Sehingga kini, Khairul masih menyesal kerana telah beberapa kali bersikap kurang sopan kepada Rosiah. Tetapi kini dia sedar bahawa dia telah banyak berubah. Dia harap, program memori yang ada di dalam diri Rosiah dapat membandingkan serta menganalisa perkara ini. Dia sudah jauh berubah berbanding dulu. Dia mahu Rosiah faham bahawa banyak yang telah dilakukannya untuk menjadi seorang manusia yang baik dan sempurna. Dia tidak akan mengulang kesilapan dulu. Perkara lama sudahpun dikuburkannya.
“Kalau macam tu, Mak Rosiah buatkan untuk saya pengat pisang yang saya suka tu.” Khairul memang tidak sampai hati untuk melukakan hati Rosiah. Dan sememangnya, pengat pisanglah yang paling disukainya, sejak arwah ibubapanya masih ada.
Rosiah tersenyum. Dia bingkas bangun dan berjalan ke arah alat Replikator Makanan lalu meminta ia supaya menyediakan pencuci mulut kegemaran Khairul itu. Tidak sukar untuk dia melakukannya. Cuma menekan beberapa punat, dia sudahpun memprogramkan replikator itu.
Selang beberapa saat kemudian, muncul pengat pisang di dalam perut Replikator Makanan. Rosiah terus menghidangkan pengat tersebut kepada Khairul. Masih panas lagi, berasap.
Khairul mengucapkan terima kasih. Dia duduk di atas meja makan lalu makan pengat pisang kegemarannya itu. Rosiah duduk bersama-samanya, lalu mereka berdua berbual. Rosiah bertanya khabar tentang kehidupannya kini. Dan Khairul pula menjawab segala-gala soalan Rosiah dengan ikhlas. Tidak banyak yang mampu disampaikannya. Dia masih keletihan. Buat pertama kali di dalam minggu itu, terukir senyuman diwajahnya itu. Dia bagai dapat melupakan sebahagian besar masalahnya bila dia berbual dengan Rosiah. Tabiat Rosiah cuma satu—dia akan mendengar tanpa jemu. Khairul sukakannya.

Sebaik sahaja Khairul masuk ke dalam biliknya dia terus menyuruh komputer Holocom menghubungi datuknya. Dia dapat mengenepikan keletihannya. Dia ingin berkomunikasi dengan datuknya. Ada perkara ingin dibicarakannya.
Beberapa saat kemudian, dia telah disambungkan kepada datuknya yang kini sedang berada di Metro-R , kota ketiga terbesar di Krisna II.
“Kau nampak letih,” Ujar Muzaffar. Walaupun dia kini berusia 66 tahun, dia masih kelihatan seperti seorang lelaki yang baru mencecah usia 40 tahun—terdapat beratus ribu nanobot yang saban hari bekerja keras untuk menggantikan sel-sel lama dengan sel-sel baru di dalam tubuhnya. “Rosiah dah sajikan kau makan?” Muzaffar ingin pastikan cucunya dijaga rapi oleh Rosiah.
“Dah tok… Saya dah makan.” Kata Khairul perlahan. Dia memandang terus ke lembaga datuknya yang sedang berdiri di hadapannya. Holocom dapat mencipta imej hologram dengan begitu realistik. Bukan sahaja tubuh datuknya berdiri di depannya, malah dia boleh menghidu bau bayu pantai lautan Hanuman, seolah-olah kini sememangnya dia sedang berada di dalam apartment datuknya di Metro-R. Dia inginkan ketenangan yang sedang dikecapi oleh datuknya sekarang. Dia ingin ke sana. Dia perlukannya.
“Bagaimana dengan cuaca di sana sekarang?” Tanya Halimah yang tiba-tiba muncul di belakang suaminya. Di tangan Halimah terdapat segelas air, mungkin datuknya yang meminta sebelum hubungan komunikasi Holocom mereka terjalin.
“Keadaan di sini semakin sejuk. Salji dah mula turun sejak semalam. Tapi ribut salji belum tiba lagi. Tak lama lagi kami diseranglah dengan ribut tu, alah, macam biasalah tok!” Beritahu Khairul, tercetus sedikit perasaan manja di dalam jawapannya tadi. Dia diam buat beberapa ketika sebelum dia menambah lagi. “Nek, boleh saya berbual secara peribadi dengan datuk? Maaf ye Nek!” Khairul meminta izin Halimah. Pandai dia mengambil hati orang tua itu. Halimah sayangkan cucunya yang seorang itu.
Halimah tersenyum sambil mengangguk perlahan. Dia memandang sekali kepada suaminya sebelum dia melangkah perlahan ke arah dapur.
Buat beberapa ketika dia memehatikan neneknya menggarap langkah ke arah dapur tersebut. “Tok… Saya perlu minta penjelasan atuk tentang suatu perkara.” Kata Khairul sambil menarik nafasnya dalam-dalam. Dia melihat pandangan datuknya. Datuknya tidak mempunyai apa-apa reaksi. Dia tenang.
“Tentang apa, Rul?” Tangannya mencapai gelas berisi air yang dibawa Halimah tadi, lantas diminumnya seteguk dua melepas dahaga. Mungkin tekaknya kering.
“Tentang penemuan atuk dahulu… Di Jurang Kiribati. Atuk ingat kan?” Khairul tidak mahu berdalih lagi. Dia ingin terus menjurus kepada perkara yang sedang berlegar di ruang benaknya.
“Oh tentang itu… Jadi kenapa?” Muzaffar nampak lebih bersemangat ingin tahu. Dalam pada itu, dia berfikir kenapa anak cucunya itu membangkitkan hal tersebut sekarang.
“Atuk pernah jelaskan di dalam blog atuk tentang enjin Hyperpacuan yang telah atuk temui di dalam proba makhluk asing itu… Jadi saya mahu tahu. Apa yang telah berlaku kepada proba tersebut?” Bagai anak kecil yang mahukan jawapan, Khairul terus melemparkan soalan itu kepada datuknya.
“Pihak Perbadanan Bumi telah mengambilnya—“
“Atuk tahu apa yang dilakukan oleh mereka selepas itu?” Khairul meemintas kata-kata datuknya itu dengan cepat. Wajahnya jelas terusik.
Muzaffar mengeluh lesu. Dia termenung sebentar. Matanya tertancap ke arah rak buku di tepi mejanya. Dia tidak pasti jika dia perlu menjawab soalan cucunya itu tadi. Kemudian dia merenung ke dalam mata cucunya lalu berkata:
“Jadi kau sudah tahu?” Dia tidak mahu berteka teki lagi dengan Khairul. Dari gerak gayanya, dia nampak yang Khairul sudah tahu sesuatu. Dia tidak mahu berdalih, apalagi untuk berahsia dari anak cucunya yang bijak itu.
“Tentang kapalangkasa prototype Chung-kuei?” Khairul menanyainya kembali. Persoalannya padat dengan fakta. Dia tidak ada masa untuk berkias. Apatah lagi dengan datuknya, dia cuma perlu bertanya soalan yang tepat untuk mendapatkan jawapan sahih dari datuknya sendiri. Dia segera menyambung, “Ya, saya telah diberitahu tentang kapalangkasa ini.”
“Siapa yang beritahu kepada kau tentang hal ini? Pakcik kau?” Kening Muzaffar dinaikkan. Dia menghirup air itu kembali. Di benaknya tergambar wajah si Ridwan.
Khairul mengangguk. Dahinya terkerut seribu.
“Atuk tahu semuanya?”
Muzaffar mengangguk serba salah. Wajahnya ditinta sedikit kekesalan.
“Jadi, atuk tahu bahawa ibu dan ayah saya sebenarnya bekerja dengan SDT?”
“Pada mulanya tidak. Atuk cuma tahu setelah mereka mati dibunuh…”
“Kenapa mereka lakukan ini semua?” lagak Kharul bagaikan singa lapar, dia inginkan segala jawapan pada masa itu juga. Dia tidak ingin berlengah, sudah terlalu banyak tahun berlalu tanpa dia ketahui perkara sebenar. Dia tidak mempunya sabar lagi.
Dia berdegil ingin tahu kedudukan sebenar.
Muzaffar menaikkan kedua belah bahunya, tanda dia tidak berapa pasti akan perihal sebenar. Dia kesal kerana dia tidak dapat memberi jawapan yang hakiki kepada cucunya itu. Dia tahu dia sedikit sebanyak telah mengecewakan cucunya sendiri.
Khairul tidak kecewa dengan datuknya. Sekurang-kurangnya dia tidak cuba menyelindungkan perkara sebenar. Dia pasrah dengan apa yang telah ditakdirkan kepada dirinya dan juga kepada arwah ibu bapanya.
“Tak apalah Tok. Tapi boleh saya tanya perkara lain pula? Tok… Koordinat yang atuk catatkan di dalam blog dahulu. Atuk yakin pada satu hari nanti manusia akan mampu pergi ke koordinat itu?” Dengan segera khairul menukar topik perbualan. Tidak lagi berkisar tentang kepergian arwah kedua orang tuanya.
“Begini kisahnya, dengan terbinanya kapalangkasa Chung-kuei, mungkin manusia akan mampu ke sana sedikit masa sahaja lagi. Kau tentu tahu jika kita berjaya bergerak di dalam hyperruang, seluruh tamadun manusia akan berubah dengan sekelip mata. Siapa yang menguasai teknologi ini akan menguasai tamadun manusia sejagat pada masa hadapan.”
“Saya tahu tok.” Khairul mengiyakan pernyataan datuknya, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi. Keheningan mengurung bicara diantara mereka berdua buat beberapa detik. Tidak ada sesiapa bersuara.

Khairul melabuhkan kepalanya ke bantal, sejurus selepas dia menamatkan panggilan Holocom dengan datuknya. Dia baring sambil termenung jauh ke atas siling.
Kini dia semakin bingung. Dia duduk dari keadaan baringnya. Dia menoleh ke jendela. Kepalanya terasa berat dan pening. Terus sahaja dia memerhatikan suasana hiruk-pikuk Metro-M melalui tingkap biliknya. Ratusan orang, dengan ribuan perangai masing-masing, bagaikan memberi roh kepada ruang kota itu.
Matanya kini menjurus terus kepada sebuah droid pembinaan yang sedang bertungkus lumus di sebuah tapak pembinaan yang terletak berdekatan dengan pangsapurinya. Droid gergasi setinggi lebih kurang seratus meter itu sedang merobohkan dan mengkitar-semula bahan-bahan yang boleh digunakannya yang terdapat pada sebuah bangunan usang yang telah dibina sejak berpuluh tahun yang lalu. Kilang bergerak itu nampak sibuk melakukan kerjanya. Akan tetapi ia nampak tangkas—beribu tangan-tangan kecil dengan cepat mengupas dan mencari bahan-bahan yang dapat dikitarnya, lalu bahan tersebut dikumpulkan untuk diproses semula dan digunakan semula untuk membina sebuah bangunan baru di tapak yang sama. Dengan menggunakan droid gergasi seperti ini, sebuah bangunan dapat dirobohkan dan digantikan dengan sebuah bangunan yang baru di bina di dalam jangkamasa dua atau tiga bulan sahaja. Sungguh cekap, dan hasil buatan mereka amat teliti dan kemas.
Khairul mengarahkan komputernya supaya menggelapkan cermin jendela. Dia sudah mula berasa bosan melihat kerja-kerja droid pembinaan di hadapannya. Dia ingin terus merehatkan fikirannya. Dia meraba-raba kocek seluarnya. Dikeluarkannya Infocrystal pemberian Savitri dari kocek seluarnya itu.
Matanya mengamati objek di tangannya itu. Dia mula menimang-nimang Infocrystal tersebut sebelum dia memasukannya ke dalam unit komputer peribadinya. Dia bersedia untuk mengetahui apa yang terkandung di dalam Infocrystal itu.
Tidak sampai sedetik kemudian, Holocom terus membentuk lembaga seorang wanita berdiri di tengah-tengah bilik Khairul. Khairul tersentak seketika. Malah dia tidak pula takut. Raut wajahnya sudah begitu dikenali oleh Khairul.
Khairul tahu bahawa lembaga tersebut hanyalah sebuah simulasi yang telah dilakukan oleh komputer. Lembaga tersebut bukanlah ibunya yang sebenar.
Lembaga tersebut kini datang merapati Khairul. Ia cuba mengusap rambutnya, tetapi Khairul tidak dapat merasakan apa-apa. Walaupun begitu, simulasi tersebut begitu realistik sehingga dia terasa seolah-olah ibunya yang telah lama pergi, kini telah dihidupkan, kembali menemuinya.
Di hatinya sudah tercetus perasaan girang yang teramat sangat, tapi belum sempat dia menterjemahkannya, fikirannya segera mengganggu khayalnya. Dia mengejutkan dirinya sendiri. Dia sedar itu hanyalah sebuah lembaga. Bukan ibunya yang sebenar. Tapi ia sudah cukup untuk Khairul berimiginasi. Dia bagai ingin menyelam ke dasar lipatan kenangan lama antara beliau dengan ibunya. Masih terlalu banyak yang ingin beliau ucapkan, masih terlalu banyak yang terbuku di dadanya untuk diluahkan kepada bondanya tersayang. Mungkin ini bukan masanya, kerana yang ada cumalah sebuah imiginasi dan bukannya realiti.

Khairul ingin mematikan program tersebut yang dirasakannya telah banyak menganggu fikirannya. Tetapi pandangan matanya tidak dapat dialihkan dari tenungan lembaga tersebut. Dia tidak dapat melakukan apa-apa. Dia terus terpaku di sudut katilnya…

Bab 5

“Yang Terpilih tidak dipilih kerana kebijaksanaannya atau kebolehannya untuk menjadi seorang ketua, tetapi kerana kewujudan beliau adalah untuk mewakili kita semua sebagai manusia.”
-- “Cerita dari Ambilobe” Oleh Tri-Darma ke-42.

Lembaga yang telah dihasilkan oleh Holocom itu kini berdiri di sebelah katil Khairul. Dia tidak berganjak walau seincipun. Dia merenung Khairul sementara Khairul berasa seperti agak serba salah. Ia terus mengenalkan dirinya sebagai Aini. Nama tersebut adalah nama ibunya sendiri.
Aini mula bersuara. Agak perlahan pada mulanya sebelum ia bertemu dengan tempo yang sesuai untuk terus berkata-kata dengan Khairul. Ia terus sahaja bercerita tentang skematik kapalangkasa Chung-kuei.
Dari kajian awal perisikan SDT, teknologi untuk membina enjin hyperruang Chung-kuei berasal dari teknologi makhluk asing. Dia bercerita berterusan, bagai terlalu banyak ilmu yang bersarang di memorinya. Apa yang hendak dihairankan, kerana ia adalah makhluk bagai sudah diprogramkan untuk mengutarakan semua apa yang telah dimasukkan ke dalam dirinya.
Sesekali, dalam pada Aini sibuk bercerita akan pelbagai perkhabaran, akan terpancar model kapalangkasa Chung-kuei dan beberapa skematik dalaman kapalangasa prototype tersebut. Khairul bingkas bangun dari katilnya apabila model bahagian teras enjin hyperpacuan mula dipaparkan di hadapannya. Sebelum ini, pengetahuan Khairul tentang teori enjin hyperpacuan ini agak terbatas, kerana dia hanya dapat mengumpul maklumat tentangnya melalui pembacaannya terhadap naskhah dan buku-buku lama. Dia sedar bahawa ia tidak mungkin dapat dibina dengan tahap teknologi yang ada pada waktu ini. Tetapi kini apa yang ada di hadapannya adalah sesuatu yang telah menjadi kenyataan. Dia terus memandang apa yang terhidang di depannya, kali ini dia tidak berganjak. Ingin sahaja dia bertanya, dan terus bertanya untuk memenuhi perasaan ingin-tahunya. Dia terpaksa bersabar kerana tidak ingin mematikan apa yang tengah berlaku di depannya.
Teras enjin hyperpacuan yang sedang diamati itu nampaknya telah dibina dengan agak cantik dan teliti. Seolah-olah ianya sebuah arca seni. Khairul masih terpegun melihat ciptaan di depan matanya. Dia mula berfikir sendirian, bahawa kemungkinan besar teknologi enjin ini telah ditiru bulat-bulat oleh para penyelidik dari Unit Penyelidikan dan Pembangunan Pasukan Marin Angkasalepas; sudah tentu ia diadaptasi daripada teknologi proba makhluk asing yang telah ditemui oleh datuknya dahulu.
Apa yang telah difikirkannya itu ternyata ada kebenarannya. Dia terus mendengar pernyataan dari lembaga itu. Aini mula menceritakan bagaimana titik-tolak penggunaan teknologi ini sejak dari awal lagi. Menurut Aini lagi, Unit Penyelidikan dan Pembangunan mengambil masa berpuluh-puluh tahun untuk menyelidiki, lalu meniru replika enjin hyperpacuan teknologi makhluk asing ini.
Pembinaan enjin Hyperpacuan ini telah mengambil masa yang begitu panjang untuk disiapkan, kerana sebelum ini mereka tidak mempunyai sebarang teknologi yang bersesuaian untuk mencerap apa yang ada di hadapan mereka, inikan pula membinanya kembali. Agak mustahil untuk dilakukan. Oleh kerana itulah, mereka nampaknya hanya mampu meniru beberapa komponen sahaja yang ada di dalam enjin hyperpacuan kepunyaan teknologi makhluk asing ini. Selebihnya mereka gabungkan sahaja dengan teknologi yang mereka ada buat masa ini.
Mereka telah melakukan pelbagai cubaan, kerana ada antara teknologi yang mereka cuba gabungkan, tidak bersesuaian langsung. Ini mengakibatkan kelewatan untuk menyiapkan satu prototype yang sempurna kerana mereka harus mengulang langkah dari awal.
“Ramai ajen kami telah terkorban kerana cuba menyelidiki skematik atau topologi enjin hyperpacuan ini.” Ujar Aini dengan suara yang perlahan. Ia sememangnya berhati-hati dalam mengatur bicaranya. Bukan kerana dia tidak ingin menyakiti sesiapa, tetapi itu sudah lumrahnya sebagai makhluk yang terhasil dari Holocom. Ia selangkah demi selangkah cuba mendekati Khairul. “Termasuk kedua ibu bapa kamu.”
Pada masa itu juga, lembaga Aini terus hilang dari pandangan matanya. Yang kini hanya tinggal suaranya yang memberitahu bahawa apa yang akan dilihatnya sebentar lagi adalah rakaman alat perisikan Nanokutu yang telah dibawa sendiri oleh ibu dan bapanya ke limbungan Varuna. Khairul agak tersentak seketika. Alangkah indahnya kalau dia tahu dari awal apa yang sedang dilihatnya tadi adalah rakaman yang dibawa oleh arwah kedua ibu bapanya. Tentu dia boleh merasakan ‘kehadiran’ mereka.
Tetapi apa yang dilihatnya kini adalah sebaliknya. Rakaman Nanokutu dengan jelas menunjukkan keadaan ibu dan bapanya yang sedang diseksa. Kedua-dua belah kaki mereka diikat lalu dibiarkan di dalam keadaan tergantung oleh (dari apa yang dapat dilihat oleh Khairul dalam imbasan itu) pegawai-pegawai dari Unit Khas Perisikan Perbadanan Bumi. Itulah congakan Khairul.
Mereka terus tergantung dengan kepala mereka hampir mencecah lantai. Mereka yang menyaksikan itu memang tidak berhati perut. Mereka terkenal sebagai manusia yang amat kejam yang tidak mengenal erti belas kasihan sesama manusia. Kebanyakan dari mereka berasal dari koloni perlombongan Kimkanskoye yang agak mundur. Sedari kecil lagi, kanak-kanak Kimkanskoye telah dibesarkan di dalam keadaan penuh kekurangan dan kesukaran. Planet yang mereka diami agak sejuk serta sentiasa diselubungi kegelapan. Akibat kesukaran untuk mencari makan, mereka akan melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka tidak terus berlapar. Ada antara mereka yang sanggup bergaduh sehingga berlumuran darah demi sesuap makanan. Inilah cara hidup yang sudah menjadi darah yang mengalir dalam diri mereka. Mungkin kerana itulah juga, kebanyakan dari penduduk Kimkanskoye menjadi manusia dewasa yang terkenal kerana kekejaman mereka.

Khairul cepat-cepat meminta Holocom dihentikan dengan serta merta. Dia tidak mampu lagi melihat keadaan ibu dan bapanya yang diseksa dengan pelbagai cara di hadapannya. Walaupun mereka sudah tiada, Khairul tidak mampu melihat dengan mata kepalanya sendiri. Apa yang amat menyedihkannya adalah tatkala dia melihat keadaan bapanya yang sungguh terseksa sewaktu bebola matanya telah dikorek dihadapan ibunya sendiri…
Tanpa disedari airmatanya mengalir. Pipinya terasa panas. Dia tidak mampu berfikir buat seketika.
Bilik itu sunyi dengan serta merta. Di luar bilik, dia dapat melihat sebuah papan iklan terapung yang sedang menunjukkan iklan holografik sebuah pusat pelancongan di Planet Hermoso . Papan iklan tersebut nampak terapung-apung di bahagian hadapan pangsapurinya sedang ia mempamerkan sebuah taman rekreasi di sebuah pantai yang indah di Hermoso.
Khairul berdiri kaku. Dia hampir-hampir tidak boleh bernafas. Dadanya terasa sesak. Mulutnya terbiar ternganga separuh. Matanya tidak berkelip walau sekalipun. Berbagai-bagai persoalan kini mula menerjah masuk ke dalam fikirannya. Dia masih keliru. Fikirannya berkecamuk. Dia masih tidak mampu untuk berfikir secara rasional. Dia tidak dapat mempertimbangkan situasi yang dibebankan ke atas bahunya kini.
“Tuan, ada panggilan untuk tuan. Adakah tuan mahu menerima panggilan ini?” kata itu diucapkan dari konsol Holocom. Kedengaran nada ucapan seorang wanita yang tiba-tiba sahaja bersuara untuk menarik perhatiannya. Tetapi belum sempat dia menjawab apa-apa, sekonyong-konyong itu juga, Holocom terus memancarkan lembaga Ridwan di hadapannya.
Khairul masih cuba bersuara, tapi Ridwan sudah ada di depannya. Dia tidak punya pilihan lain selain mendengar apa yang akan diperkatakan oleh Ridwan kepadanya nanti.
Khairul tidak pula ada perasaan benci terhadap Ridwan, cuma ‘kehadiran’ Ridwan kali ini, di celah-celah dia sedang berperang dengan fikirannya sendiri. Apatah lagi, dia telah dihidangkan dengan apa yang telah menimpa kedua ibu bapanya. Semuanya berlaku dalam masa yang amat singkat. Dia baru cuba untuk menerima semua hakikat itu, dan pada saat yang sama, Ridwan pula muncul seolah sengaja mahu menambahkan kemurungan yang sedang dialaminya kini. Apakah yang dimahukannya lagi?
“Kau sudah lihat apa yang telah mereka lakukan kepada ibu dan bapamu?” tanya Ridwan. Khairul tidak tahu bagaimana pakciknya itu boleh mengetahui tentang hal ini. Atau bagaimana dia boleh memanipulasi alat Holocomnya itu. Dia tidak bisa untuk meneka apa yang telah pakciknya lakukan untuk dia mengetahui itu semua, atau dia cuma mengagak sahaja dan kebetulan dia meneka dengan agak tepat.
Khairul mengangguk perlahan. Dia takkan berdalih, kerana itu tidak akan membawa sebarang keuntungan baginya.
“Kalau begitu, aku mahu kau buat keputusan esok!” Ridwan menunjukkan belangnya sekarang. Dia cuba menyuakan keputusan yang bagai sudah dibuatnya. Dia tidak tegar apa yang akan berlaku, dia sudahpun menyogokkan apa yang perlu dilakukan oleh anak muda itu, anak saudaranya sendiri.
Khairul tidak menjawab. Dia hanya berdiri diam. Ridwan sedar bahawa Khairul sedang memikirkan apa yang baru diberitahu olehnya tadi. Dia tahu, Khairul punya otak untuk berfikir. Cuma dia perlu masa. Walaupun begitu, kadang-kadang tindak tanduknya berada di luar dugaan siapa jua. Perkara ini pernah berlaku kepada Ridwan sendiri. Adakala, bila riak wajahnya melakarkan persetujuan, tapi lidahnya berkata tidak, dan sebaliknya. Tidak seiringan.
“Esok kita berjumpa di Masjid Kali’s Casbah. Di tempat biasa kita sembahyang dahulu. Kau ingat kan? Kita akan bincangkan hal ini selepas sembahyang Jumaat , esok.” Katanya tersusun cermat, berwaspada agar tidak menghiris kisah lama.
Belum sempat Khairul memuntahkan bicara kata, Ridwan bagai memberikan jalan keluar untuknya. Ia bukanlah satu keputusan muktamad, tapi dia seolah memberi masa lebih untuk Khairul memikirkannya masak-masak. Dia tidak mahu Khairul menyalahkannya kerana memaksa. Kalaulah Khairul itu berada dalam sarang suruhannya, sudah pasti dia akan berlagak memaksa. Itu semua tidak cocok buat masa itu. Dia tidak mahu Khairul memberontak, dan sudah pasti keadaan menjadi lebih buruk. Seperti yang dicongaknya tadi, anak muda itu mampu melakukan tindak tanduk yang tak terduga dek akal.
Sementara itu, pernyataan Ridwan lesap begitu sahaja—Khairul tidak dapat menjawab; ya ataupun tidak. Dia menggerakkan kedua bahunya dan hanya mampu tertunduk. Sebentar sahaja dia memandang ke lantai sebelum pandangannya dilontar jauh ke luar. Nampaknya dia tidak mahu bertentang mata dengan Ridwan. Dia punya sebab tersendiri. Ridwan pula tidak mengambil hati dengan tindakan Khairul itu. Dia pun pernah merasa muda, dia pernah berdarah muda. Dia pernah merasakan semua itu.
Lembaga Ridwan kini terus hilang dari pandangan. Khairul menarik nafas lega. Bilik Khairul kembali senyap. Yang dirasanya kini hanyalah detik nadinya sahaja. Pertanyaan Ridwan dan segala kata-kata pakciknya itu tadi masih segar dalam ingatan. Dia cuma ingin melupakan segala yang terhambur dari mulut pakciknya itu buat sementara. Terlalu penat untuk Khairul memikirkannya.
Mindanya tebal dengan pelbagai maklumat sekarang. Kini, dia perlu menimbang segalanya, antara lampau dan sekarang, antara jahat dengan baik dan antara salah dengan kebenaran. Dia tahu, itu semua adalah sesuatu yang rumit untuk dilakukan, tapi dia tidak punya pilihan lain selain menerima suratan yang terpampang di depannya…

**

Salji turun lagi pada hari itu. Kepingan-kepingan putih itu berterbangan, melayang ke segenap kota dan ada yang jatuh dengan tebal di bahu-bahu jalan. Ada pula yang tersangkur di serombong asap dia bangunan sebelah. Nampak bersih, cantik—sebelum ada manusia yang memijaknya dan sebelum ia cair bersama hari yang makin meninggi.
Rosiah telah mengingatkan Khairul supaya jangan lupa memakai pakaian sejuk. Suhu di luar agak rendah. Suaranya tenang, tidak pula dalam nada berleter. Oleh kerana itulah, setiap saranan Rosiah akan sentiasa dipatuhi oleh Khairul. Khairul memakai pakaian sejuk serba hitam pada tengahari itu, lalu dia menuju deras ke Kali’s Casbah. Dia berasa bagai dia perlu ke sana. Kata-kata yang disampaikan oleh Ridwan pada hari sebelumnya masih panas berlegar di benaknya. Jauh di sudut hatinya dia ingin mengetahui apa yang akan disampaikan oleh Ridwan. Seperti yang sedia maklum, Ridwan mampu untuk memeranjatkannya. Dia bersedia untuk apa sahaja yang akan dibicarakan oleh Ridwan.
Keadaan di Kali’s Casbah sibuk seperti biasa—hingar bingar. Tiada kelainan yang boleh dilihat oleh Khairul.
Khairul berjalan seorang diri di dalam bazar yang penuh dengan manusia itu. Dia mencelah, cuba menepis segala sogokan peniaga yang berniaga di sana. Pelbagai barangan yang dipersembahkan oleh mereka yang mencari rezeki di sana. Dia sendiri tidak faham kenapa begitu ramai orang membanjiri bazar itu saban hari, tidak bosankah mereka?
Nampaknya, dia telah datang awal sedikit ke Kali’s Casbah. Tujuan utama dia datang awal ke sana adalah untuk mencari alat-ganti. Dia mahu membetulkan sendiri soket mata sebelah kiri Rosiah yang didapatinya telah lama rosak. Pada masa yang sama, dia tidak suka lewat kalau ada sesuatu temujanji yang perlu dihadirinya. Matanya liar mencari kedai alat ganti yang sesuai untuk soket mata itu di dalam bazar penuh sesak ini.
Khairul berasak-asak berjalan ke dalam lorong Ban-ban yang terkenal dengan penjualan bahan-bahan ganti dan barang-barang tiruan canggih yang agak murah harganya.
Para peniaga yang ada menjual barang-barang yang hampir serupa sahaja. Persaingan di sini teramat sengit. Selalu kedengaran, ada kedai-kedai yang baru dibuka, terpaksa golong tikar walaupun baru beroperasi beberapa bulan, kerana mereka yang biasa ke sini akan hanya pergi ke kedai yang sudah lama bertapak. Mungkin mereka sudah menaruh kepercayaan kepada pemilik kedai-kedai lama sedemikian, di samping ia menyajikan potongan harga dan lain-lain.
Derapan langlah Khairul terhenti di hadapan sebuah kedai kecil yang banyak menjual bahan-bahan ganti untuk android. Dia tidak biasa ke mana-mana kedai, jadi dia tidak kisah kedai yang mana akan dilawatinya. Kedai yang ada di depannya penuh dengan segala jenis bahan ganti untuk android dari pelbagai jenis versi dan bentuk. Khairul yang sememangnya gemarkan alat-alat bio-mekanik itu, terpegun seketika. Ketika dia berlegar di dalam kedai itu, satu perkara yang tidak pernah gagal untuk menarik perhatiannya adalah penjualan kemaluan lelaki tiruan yang bersaiz agak besar, yang boleh mengghairahkan siapa sahaja yang melihatnya. Ia boleh dipasang semula oleh tuan punya android untuk menambah nikmat, mungkin. Dia cuma melihat dari jauh, dia agak segan untuk melihat dekat, malah dia berasa lebih aib jika mahu memegangnya. Di sudut hatinya, dia mahu melihat dengan lebih dekat. Dia teringatkan masa dahulu, sebelum penggunaan Holosex menjadi popular, bahan-bahan ganti untuk menambah estetika tubuh android memang agak popular dijual.
“Kau cari apa di sini?” tanya tuan punya kedai yang usianya awal 30-an. Dari tatoo di wajahnya, dia dapat meneka bahawa pekedai tersebut berasal dari Planet Hermoso.
“Saya cari…“ Dia tidak berkata banyak. Terhenti. Terhenti kerana pekedai itu sudah mencelah dengan pantas. Khairul terus mendiamkan diri. Tangan kirinya baru mengeluarkan contoh soket mata yang perlu diperbaiki itu.
“Aku rasa aku tahu apa yang kau cari.” Sebutnya, dia tersenyum. Dia berjalan ke belakang kedainya. Seminit kemudian dia muncul dengan soket mata yang diperlukan oleh Khairul.
“Ini dia soket mata dengan segala spesifikasi yang kau perlukan… Anak matanya berwarna hitam seperti yang mahukan. Makcik kau akan dapat melihat dengan jelas selepas ini. Seolah-olah ia baru sahaja dikeluarkan dari kilang.” Katanya dengan begitu yakin bahawa semua tekaannya itu adalah betul. Khairul agak hairan, betapa cekapnya pemilik kedai itu mengagak apa yang dimahukannya.
Khairul mengangguk. Setelah berfikir sejenak, dia meredakan kehairanannya. Dia baru sedar kebolehan pekedai tersebut, kerana dia tahu bahawa penduduk generasi ketiga dan selepasnya dari Hermoso telah mengalami sejenis mutasi yang membolehkan mereka membaca fikiran orang lain.
Adalah dipercayai, keadaan planet Hermoso yang kaya dengan kristal Mbeki telah membuatkan penduduk kelahirannya mempunyai kebolehan psikik.
“Berapa harga soket mata ini?” Khairul segera bertanya akan harganya. Dia membelek-belek pakej soket mata tersebut. Dia kagum melihat kualiti soket mata tiruan yang mahu dibelinya itu.
“200 kredit.”
“Tak boleh kurang?”
“180 kredit. Itu yang terbaik, saya tidak boleh turunkan lebih jauh!”
Khairul mengangguk setuju walaupun dia tahu bahawa dia boleh menawar harga yang lebih murah lagi. Dia tidak mahu membazir waktu. Baginya juga, 180 kredit adalah sebuah harga yang mampu dibayarnya.
Sebuah robot juruwang bersaiz agak kecil sedang berlegar-legar di dalam kedai sejak tadi kini berhenti betul-betul di hadapan Khairul. Dengan cepat ia melakukan biasan biometrik ke dalam anak mata Khairul.
“Visa atau Mastercard, tuan Khairul?” Tanya robot juruwang tersebut dengan suara yang manja. Masakan tidak, mereka akan mendapat transaksi jualan dari Khairul. Memang mereka diprogram sedemikian rupa.
“Visa.” Jawab Khairul pantas. Beberapa saat kemudian, resit dikeluarkan oleh robot juruwang. 180 kredit telah dikreditkan dari akaunnya. Pekedai menyerahkan resit tersebut kepada Khairul. Tangan mereka bersentuhan buat beberapa detik.
Pada tatkala itu juga, dia dapat melihat wajah si pekedai sedang memandang tepat ke wajahnya. Jabat salam yang tadi hampir terlerai, kini bertaup semula, malah lebih erat. Dia nampak pucat.
“Kenapa? Kenapa dengan kau ni?” Khairul tidak punya sebarang ide apa yang tengah berlaku. Dia mengalihkan pandang ke sekitar. Ada yang melihat perkara aneh ini. Dia cuba meleraikan tangannya.
“Kau datang jua akhirnya.” Katanya dengan suara penuh pasti.
“Aku tak paham. Apa yang kau cakap ni?” Khairul memasukkan pakej soket mata yang baru dibelinya itu ke dalam kocek jaketnya. Dia mula mahu melangkah keluar dari kedai tersebut. Dia berasa tidak selesa sekarang, seperti dia sudah melakukan kesalahan besar dan sedia untuk ditangkap. Dia berasa bagai dia tengah diperhatikan, seperti seorang jahat yang lari dari kepungan.
“Aku dapat melihat kejadian yang akan berlaku pada masa hadapan… Tetapi kali ini aku dapat melihat sesuatu yang tidak patut aku lihat.” Pekedai tersebut jelas ketakutan. Peluh mengalir di dahi luasnya. Mukanya kini kemerahan. Nafasnya turun naik. Dia terus menyambung; “Jadi kau lah orangnya—“
“Orang mana pulak ni? Saya tidak faham…” Khairul bingung dan keliru. Dia tidak mempedulikan itu semua, dia ingin keluar dari kedai itu. Suara pekedai yang tinggi itu jelas telah menarik beberapa orang yang lalu lalang di depan kedai, apatah lagi mereka yang memang sudah sedia ada di dalam kedai itu melihat-lihat barangan. Ada yang terpaku, ada yang meletakkan barangan di tangan mereka dan cuba beredar dari tempat itu.
“Kau telah datang lebih awal dari yang aku sangkakan!” jelas pekedai sambil meramas-ramas rambutnya. Dia terus mengamati wajah Khairul dengan dekat. Seolah-olah dia mahu memastikan sesuatu.
“Saya tak ada masa untuk ini semua. Awak sudah tersilap orang agaknya.” Khairul membelakangkan pekedai tersebut. Dia terus mengatur langkah untuk keluar dari kedai itu. Wajahnya merona merah.
“Kau akan mati tidak lama lagi!” pekedai tersebut akhirnya memberitahu. Suaranya dikeluarkannya dengan nada takut-takut, tetapi penuh pasti.
Khairul berhenti dari terus mengorak langkah. Dia menoleh ke arah pekedai Hermoso tersebut. Matanya tidak berkedip.
“Kita tak pernah fikirkan tentang kematian kita sendiri. Tetapi bagaimana jika pada satu hari kita diberitahu bahawa kita akan mati di dalam keadaan terseksa. Dibunuh atau terlibat di dalam satu kemalangan yang amat dahsyat di mana kita sendiri tidak pernah terbayangkan?” Tanya pekedai Hermoso itu dengan matanya tepat melihat ke arah Khairul. Seolah-olah lebih banyak lagi perkara yang boleh dibacanya mengenai Khairul pada saat itu. “Bagaimana agaknya kehidupan kita selepas itu?” Kini dia semakin petah berbicara, bagaikan Khairul sudah lama dikenalinya. Memang itulah yang sedang berlaku, apabila dia mampu membaca diri Khairul sebenarnya.
Kalimah-kalimah yang bari didengar Khairul jelas menggusarkannya. Kerana pekedai Hermoso itu mendakwa bahawa dia tahu apa yang bakal menimpa, dan ini meninggalkan Khairul dalam tanda tanya.
“Aku masih tak faham.” Jelas Khairul. “Apa yang kau repekkan ni?” Khairul inginkan penjelasan dari pekedai itu. Matanya sedikit terjegil. Dia nampak bengang. Dalam masa yang sama, dia cuba menahan marahnya itu. Dia sedar bahawa dia sedang keliru.
“Mengikut firasat aku, kau dikatakan akan mati di dalam keadaan yang penuh dahsyat. Kau dikatakan akan dihidupkan kembali selepas kau mati. Dan kau akan mati lagi dan dihidupkan kembali, sehingga kau akan menganggap perkara ini sebagai satu sumpahan yang tidak sudah. Inilah yang akan berlaku seperti mana yang telah diramalkan oleh beberapa pendita kami.” Jelas pekedai Hermoso itu dengan panjang lebar. Ini bukanlah lagi tilikan nasib kepada Khairul. Pekedai itu nampak yakin bila mengkhabarkan berita itu kepada Khairul. Sementara itu juga, dia nampak ketakutan, seperti sesuatu yang buruk telah berlaku kepadanya.
“Mungkin apa yang kau lihat adalah hantu… Aku akan jadi hantu selepas aku mati nanti”, Khairul seakan berseloroh. Dia tersenyum nakal. Tapi air muka pekedai itu tidak berubah, malah dia nampak tidak berapa suka pernyataannya dijadikan bahan jenaka.
“Mungkin juga.” Pekedai tersebut mengangguk setuju tanpa berfikir panjang. “Lagipun, itulah yang telah diramalkan kami selama ini.”
“Apa-apa sajalah.” Ujar Khairul dengan nada bosan. Dia sudah tidak larat untuk berbicara, tanpa hujung pangkalnya. Baginya, pekedai itu sudah hilang akal dan tidak tahu apa yang dikarutkannya.
“Tunggu!” pinta pekedai tersebut sebelum Khairul dapat melangkah untuk berjalan keluar.
“Apa lagi?” tanya Khairul.
“Tunggu…” Pekedai menggunakan isyarat tangannya untuk meminta Khairul supaya bersabar. Dia masuk ke dalam kedainya, dia hilang buat beberapa ketika sebelum dia cepat-cepat mendapatkan Khairul kembali. “Ini kristal Ambilobe untuk kau pakai. Ia adalah sejenis kristal Mbeki, tetapi ia lain dari kristal-kristal Mbeki yang ada. Sejak dari terjumpanya ketulan kristal ini, kami sudah tahu tentang keistimemewaannya. Inilah sahaja satu-satunya kristal jenis ini yang ada. Dan sekarang, kau perlu memilikinya. Kalungkan di leher kau.”
Setahu Khairul, kristal Mbeki berwarna kemerahan. Khairul memerhatikan kristal lutsinar berwarna hijau yang tidak nampak akan keistimewaannya itu. Buat beberapa saat, Khairul dapat melihat bahawa kristal itu seolah-olah bersinar dengan sendirinya. Kemudian ia kembali seperti sediakala.
“Ianya bersinar kerana dia tahu bahawa kau adalah tuannya.” Jelas pekedai tersebut dengan nada yang bangga. “Anggaplah ia sebagai tangkal. Bila kau pakai, gelombang alpha yang terpancar di dalam fikiran kau ada diserap olehnya. Ia akan menjadi sebahagian dari diri kau dan kau akan memahami apa yang ia mampu lakukan nanti. Tapi bukan sekarang.”. Pekedai itu nampak puas hati setelah memberikan kristal itu kepada Khairul. Dia tersenyum bersahaja.
“Kalau bukan sekarang bila lagi?”
“Bila masanya tiba nanti kau akan faham. Ia akan bersinar seperti tadi… Kristal ini mempunyai banyak keistimewaannya. Kau akan memerlukannya bila masanya tiba nanti. Kau perlu bersabar.”
Khairul mengambil kristal Mbeki yang telah dijadikan rantai itu dari pekedai tersebut. Pekedai tersebut tertunduk hormat.
“Saya bersyukur kerana saya dapat bertemu dengan tuan Yang Terpilih .” Bisik pekedai tersebut tanpa dapat didengar oleh Khairul. Sejak dari mula lagi dia telah diramalkan untuk berjumpa dengan apa yang dikenalinya dengan nama ‘Yang Terpilih’ di Krisna II. Kerana itulah dia telah ditugaskan untuk menyerahkan kristal Ambilobe yang dipercayai adalah peninggalan penduduk asal planet Hermoso yang telah pupus sejak berjuta-juta tahun dahulu (kewujudan mahkluk ini masih lagi diperdebatkan sehingga kini oleh para saintis dan ahli kaji purba planet tersebut).
Pekedai Hermoso tidak pernah menyangka bahawa pada hari itulah dia akan bertemu dengan Yang Terpilih, dan beliau berusia lebih muda dari disangkakannya. Kini dia berasa puas hati. Dia akhirnya telah dapat menjalankan tugasnya dengan baik. Dia juga gembira kerana dia kini boleh menutup kedainya itu lalu pulang ke biara Ambilobe untuk meneruskan tugasnya sebagai seorang pendita di sana.

Khairul sudahpun mengalungkan rantai yang baru dianugerahkan kepadanya tadi di lehernya. Dia tidak menunggu panjang, setelah itu, dia terus meninggalkan kedai tersebut. Dia lantas sahaja berjalan tanpa memikirkan kejadian yang baru sahaja berlaku kepadanya tadi. Dengan langkah yang deras dia menuju ke arah Masjid Jamek Kali’s Casbah. Keadaan masih hingar bingar, dengan ratusan manusia berjalan ke sana kemari. Dia tidak mempedulikan itu semua. Dia lebih taksub dengan kejadian aneh sebentar tadi. Dan pada masa yang sama dia tidak mahu lewat untuk menemui Ridwan di sana. Keadaan Kali’s Casbah hingar bingar. Dia mencelah di tengah lautan manusia untuk Masjid berkenaan. Di kepalanya berselirat dengan pertanyaan, dan dia tahu yang kepalanya akan dibebankan dengan pelbagai perkara tatkala bertemu dengan Ridwan sebentar lagi. Langkahnya tiba-tiba berat.

Bab 6

Kesemua mereka yang menjadi Maharaja atau Maharani Empayar Dresanala mempunyai leluhur yang sama. Dari unsur yang satu: Dia yang dikenali dengan nama Pengusul Raja.
-- Rekod Salasilah Empayar Dresanala

---

Khairul menjejakkan kakinya ke dalam masjid; dia datang agak awal. Dia membongkok menanggalkan sepatunya. Masjid ini terletak di dalam bangunan Shumuzi Design Systems . Masjid ini berada di tingkat 206 dan 207 bangunan ini. Ia ini telah dihias dengan tradisi senibina zaman Mughal di India. Bahagian dalamnya nampak luas dan tenang.
Keadaan masjid hampir penuh dihujani manusia. Khairul membuka baju panasnya lalu dia menyimpannya di dalam bilik kot. Dia terus berwuduk. Selepas membaca doa ringkas, dia terus mengatur langkah ke bahagian di mana dia dan Ridwan selalu bersembahyang bersama. Dia tidak nampak kelibat Ridwan di sana. Belum sampai lagi agaknya orang tua tu!
Khairul duduk dan terus menghadap ke arah Mihrab Masjid. Seringkali Khairul mengingatkan dirinya jika dia berada di bumi, Mihrab melambangkan arah kiblat yang betul. Di Krisna II, ia dikira mengikut arah terdekat menghadap ke bumi.
Sedang dia melayan fikirannya, bahunya dipegang dari belakang. Dia menoleh, dan tidak pula terperanjat. Ridwan sedang berdiri di belakangnya. Ridwan tersenyum ringkas. Mereka bersalaman erat sebelum Ridwan mengerjakan solat sunat tahyatul masjid. Khairul terdiam menikmati kebeningan masjid.
Khairul termenung seketika. Dia mengeluh. Sesekali dia akan beraling ke arah Ridwan.
Ridwan kelihatan tenang. Seolah-olah tidak ada isu penting yang ingin dipersoalkan kepadanya pada waktu itu. Mungkin dia ingin berbual kosong, bertanya itu ini berkenaan hidupku...
Khatib sedang lancar memberi khutbah. Beribu peringatan diselitkan untuk disematkan di dalam hati setiap makmum yang hadir. Mereka berdua berdiam diri dan tekun mendengar khutbah. Ridwan hanya bersuara selepas mereka berdua selesai menunaikan solat Jumaat. Lautan manusia menyerbu pintu untuk meneruskan kehidupan mereka. Ridwan dan Khairul, mencelah untuk terus keluar dan berbual barang seketika.
“Kau tahu apa yang telah aku lakukan untuk membina semula hidup kau dahulu?” tanya Ridwan seolah membisik kepadanya. Masih ramai orang kini berpusu-pusu keluar dari dalam masjid. Sepatu berselerakan menanti tuannya.
Khairul tidak menjawab walaupun dia sudah tahu akan jawapannya.
“Rekod-rekod juvana kau telah aku hapuskan… Dan bermacam-macam lagi telah aku lakukan untuk memastikan apa yang kau inginkan selama ini akan tercapai.” Suara Ridwan Keras. Matanya menikam wajah Khairul.
Ridwan masih duduk bersila di belakang Khairul. Kata-katanya seperti mengungkit. Khairul masih berdiam. Ridwan membongkokkan dirinya kepada Khairul supaya suaranya itu dapat didengar olehnya. Suara ramai bersebaran. Agak keruh untuk didengar. Terkadang agak membingitkan. Semua cuba memenangi suasana. “Kini sudah sampai masanya kau balas baik kesemua jasa baik aku. Apa yang aku minta tidak banyak, Khairul. Malah, jika semua berjalan lancar, kau akan diberikan pingat keberanian oleh Pasukan Marin Angkasalepas!” bibirnya tersenyum sinis.
“Pakcik, saya telah mengambil keputusan untuk tidak mahu turut serta dalam rancangan pakcik ini. Apa yang pakcik lakukan atau apa yang ibu dan bapa saya lakukan adalah urusan pakcik dan urusan mereka sendiri. Tak ada kena mengena langsung dengan diri saya. Saya tak mahu campur atau ada kena mengena dengan SDT. Selepas saya keluar dari maktab dan menjadi seorang anggota Marin Angkasalepas yang bertauliah nanti, SDT adalah musuh saya. Pakcik pun tahu kan? Saya akan melakukan apa sahaja untuk memusnahkannya.” Jelas Khairul dengan panjang lebar. Dia bagai mengugut. Tidak pula dia berkeras. Dia punya hormat kepada Ridwan.
Riak wajah Ridwan, jelas menunjukkan dia tidak berpuas hati. Kau terlalu mentah untuk berkata-kata, Khairul.
Ridwan telah menarik nafasnya dalam-dalam, sebelum melempar senyum yang hambar. Lalu dia berkata dengan bersahaja:
“Kalau begitu, tak apalah.”
Ridwan berpaling melihat sekerat dua orang yang masih berlegar di perkarangan masjid itu. Mereka mundar mandir, hanyut dalam perbualan kosong mereka.
Khairul hampir-hampir tidak mahu mempercayai apa yang baru sahaja didengarnya itu. Dia tahu yang pakciknya cuba menjala perasaannya. Dia sesekali tidak ingin mengambil hati.
Ridwan berdiri, lalu dia berjalan keluar dari perut Masjid. Langkahnya bersahaja. Sambil menyarung sepatu, pandangannya telus melihat ke depan. Khairul kelihatan kebingungan. Dia ikut Ridwan dari belakang kerana selama ini itulah yang sering mereka lakukan—keluar berjalan seiringan, meninggalkan masjid. Kalau dulu mereka sibuk berkata tentang perkara-perkara mutakhir, kini mulut mereka bagai terkunci. Yang berperang, cumalah fikiran mereka setelah perbualan itu tadi.
Tatkala mereka berjalan ke arah Skydock masjid, Ridwan terus berpaling ke arah Khairul. “Sampai ketemu lagi.” Katanya dengan perlahan. Tangan-tangan mereka bersalaman. Agak kendur kali ini, tidak seakrab dulu. Atau tidak seerat tadi. Sebuah Kereterbang berjenama Shumuzi dari model yang terbaru dan yang paling mahal kini berhenti di hadapan mereka. Ia sedang dipandu oleh seorang pemuda Bihar.
Ridwan bingkas menaiki Kereterbang tersebut. Beberapa detik kemudian, dengan lajunya, ia terus keluar dari kawasan Skydock terus terbang mencantas udara, di kalangan beribu-ribu Kereterbang lain yang sedang berterbangan bebas di ruang angkasa Metro-M.
Khairul mendengus, melepaskan nafasnya yang berwap yang kemudiannya menghilang dengan pantas di udara. Dia berpeluk tubuh. Dia merasa sejuk ketika ini, lebih-lebih lagi apabila salji mula turun di luar bangunan. Debu-debu salji jatuh cantik. Ada yang terkumpul membentuk hamparan putih di bumbung-bumbung bangunan. Agak menarik pemandangan itu. Sejuk. Dia termenung jauh melihat suasana kota Metro-M di hadapannya. Di fikirannya kini, segala masalahnya telah selesai. Dia mengeluh lega.

Tanpa disedarinya, segala masalah di dalam hidupnya baru sahaja bermula.

**

Dalam kepenatan yang masih mampu ditampungnya, Khairul pulang ke rumah. Dia mendapatkan Rosiah. Dia segera membaiki mata kirinya yang telah rosak itu. Dia menyuruh Rosiah duduk di hadapannya, lalu dengan penuh teliti dia menukarkan soket manta.
Khairul cekap dengan apa yang dilakukannya. Dalam sekejapan sahaja sahaja mata Rosiah kembali pulih seperti biasa.
Rosiah mengucapkan terima kasih kepada Khairul. Rosiah mencium dahi Khairul, walaupun dia sendiri tahu bahawa; seorang yang agak dewasa seperti Khairul tidak patut diperlakukan seperti seorang anak kecil lagi. Tetapi Khairul hanya membiarkan. Dia lihat Khairul tersenyum, lalu litar-litar neuronnya memberitahu bahawa Khairul tidak begitu kisah akan perbuatannya itu tadi. Rosiah juga tersenyum manis.
Khairul masuk ke dalam bilik. Dia melabuhkan dirinya di atas katil. Dia termenung mengelamun panjang. Pandangannya hinggap ke siling.
Lamunannya seakan terhenti, tatkala merasakan bagai ada serangga yang sedang merayap-rayap di atas tengkuknya. Khairul bingkas bangun. Dia bagai geli geleman. Belum sempat dia dapat membuat apa-apa, serangga tersebut terus masuk ke dalam rongga telinganya.
Khairul hampir-hampir panik. Dia cuba mengorek apa yang telah masuk ke dalam telinganya, dengan menggunakan jari kelingkingnya. Semuanya bagaikan tidak berhasil. Dia masih merasa yang serangga itu sedang bergerak-gerak di dalam telinganya.

Apa yang tidak disedarinya adalah; tatkala itu juga, di dalam telinga Khairul, seekor Nanobot sedang menetaskan seekor Nanobot yang lebih kecil. Ia berbentuk seperti seekor labah-labah. Ia baru sahaja di‘tetas’kan ke dalam lubang telinga Khairul. Nanobot tersebut dengan cepat masuk lebih dalam ke telinga kiri Khairul. Walaupun ianya sekecil hama, Khairul dapat mendengar rayapannya berjalan masuk dengan lebih dalam ke sistem pendengarannya. Khairul berasa perit, cuba menahan sakit.
Khairul mulali sedar bahawa Ridwanlah orangnya yang telah meletakkan Nanobot ini ke bahunya tatkala dia menyentuhnya tadi. Penglihatannya liar ke luar bilik, kalau-kalau masih ada kelibat Ridwan yang boleh dilihatnya.
Tanpa berlengah, Khairul mencari alat pengorek telinganya di bilik mandi. Dia mencungkil lubang telinganya, dengan penuh hati-hati. Seperti yang dijangkanya, sebuah Nanobot terkeluar dari rongga telinganya. Ia melekat pada tahi telinganya. Kaki-kaki Nanobot tersebut nampaknya sedang bergerak-gerak cuba melepaskan dirinya. Badannya menggeliat, cuba lari. Dari pengamatannya, dia dapat meneka bahawa Nanobot tersebut adalah sebuah Nanobot buatan Bihar.
Khairul memaki hamun. Dadanya penuh dendam. Dia tidak tahu apa yang akan terjadi seterusnya. Dia nampak risau. Dia mengarahkan sistem komputer supaya menggelapkan cermin jendela pangsapurinya itu. Biliknya lantas gelap.
Pada masa itu juga, dia merasakan kesakitan yang amat sangat. Dia dapat merasakan yang Nanobot yang lebih kecil itu telah mencengkam kuat ke gegendang telinganya. Ia sedang melakukan sesuatu ke bahagian tersebut.
Rasa pedih yang tidak terhingga mula dapat dirasakannya sekarang. Khairul meronta-ronta kesakitan. Ditekup tangannya ke arah telinganya, digoncang kepalanya; dengan harapan untuk menghentikan seksaan di kecil yang amat sangat itu.
Gegendang telinganya mula bergetar. Telinganya terasa seperti ianya akan pecah dari dalam. Kepalanya berdengung menahan sakit. Dalam masa yang sama, dia dikelirukan; dia dapat mendengar suara yang begitu tidak asing langsung padanya.
“Memang pada mulanya ia terasa sakit… Tapi kau tak perlu takut. Ibu dan bapa kau sendiri pernah menggunakan Nanobot Wangsit seperti ini.” Ah, itu jelas suara Ridwan. Dia bagaikan memberitahu. Dan pada saat itu jugalah Khairul mula mengerti bagaimana ibu dan bapanya boleh terlibat sama dengan SDT. Mereka telah dipaksa oleh Ridwan sepertimana dirinya dipaksa pada masa itu.
Kelibat Ridwan dalam bentuk Holocom menjelma di hadapannya. Dia jelas sedang berada di dalam bilik pejabatnya di Kali’s Casbah.
“Sial!.” Bentak Khairul dengan kuat. Dia tidak peduli, bahawa itu adalah pakciknya sendiri. “Aku tak akan ikut cakap kau! Aku tak mahu jadi seperti mereka.” Khairul terus mencurahkan bengisnya kepada Ridwan. Mukanya merah. Ridwan masih bersahaja. Raut mukanya tawar di sudut yang samar itu.
Ridwan mengeluh. Dia menghidupkan mekanisme yang satu lagi; di mana ini mengakibatkan Nanobot menyalurkan kejutan eletrik ke dalam gegendang telinga Khairul. Aliran itu terus sahaja ke urat sarafnya.
Tubuh Khairul kejang menahan rasa sakit yang amat sangat. Peluh-peluh jantan sudah membasahi mukanya. Telinganya kemerah-merahan. Panas. Dia terasa begitu sakit sehingga dia tidak dapat mengawal dirinya lalu rebah ke lantai.
Khairul tidak dapat menggerakkan tubuhnya walau sedikitpun. Seluruh tubuhnya terasa kebas. Kejung. Walaupun begitu, dia masih berdegil tidak mahu bekerjasama dengan Ridwan. Hatinya keras. Dia tahu membezakan, antara apa gerak-hatinya dengan paksaan orang lain. Orang lain itu bukanlah misteri padanya, pakciknya juga. Tetapi, baginya, dia perlu menunaikan tuntutan hatinya dari mengikut sahaja. Tambahan pula ini melibatkan soal jahat dan baik.
Satu lagi kejutan telah diberikan kepadanya. Kali ini lebih kuat dari tadi. Begitu kuat sehingga dia sendiri tidak tahu apa yang telah berlaku ke atas dirinya selepas itu. Dia terus terkujur di lantai. Dia membiarkan dirinya diratah kesakitan.

**

“Kau tak perlu takut. Mereka tidak ada di sini.” Ucap seorang lelaki yang sudah lanjut usianya. Dia membuka balutan pada mata Khairul. Sudah sekian lama dia digelangi kegelapan. Dia tidak sabar, mencerap sekelilingnya semula.
Khairul membuka matanya. Kelopak matanya dinaikkan perlahan-lahan. Penglihatan Khairul agak kabur. Matanya berkelip beberapa kali. Dia merasakan yang matanya itu terasa agak gatal dan kering.
“Jangan sentuh mata kau itu. Ia baru sahaja aku pasang. Sehari dua nanti kau akan terbiasa dengannya!” ucap lelaki tersebut sambil menoleh ke arah dua biji bola mata yang tersimpan baik di dalam sebuah balang kaca yang dipenuhi dengan cecair formalin. Cecair itu kemerahan disebabkan darah. “Nama aku Cokorda Wideh… Dari Bumi. Dari Pulau Bali jika kau mahu tahu.”
“Apa kau buat di sini?” Tanya Khairul kebingungan. Matanya dipejamkan barang seketika. Dia tahu bahawa mata yang ada di dalam balang kaca di atas meja pembedahan itu adalah kepunyaannya, tetapi masih sukar untuk dia menerimanya. “Apa yang aku buat di sini?.” Dia masih inginkan kepastian. Dia tidak suka diperkotak-katikkan sedemikian.
“Aku juga seperti kau. Cuma situasi kita sahaja berbeza. Mereka culik aku dari kapal Konsortium Perubatan yang telah mereka samun. Mereka dapati aku mempunyai kepakaran bio-mekanik yang mereka perlukan. Jadi mereka tidak membunuh aku. Aku terperangkap di sini.”
“Apa yang telah kau lakukan kepada aku?”
“Mata asal kau telah aku keluarkan dan digantikan dengan mata yang baru. Ia akan merakamkan segala pergerakan kau.” Doktor Wideh memberi penerangan ringkas. Setelah disedarinya yang Khairul telah bersedia, dia terus menghidupkan mekanisme mata baru Khairul. Diharapkannya Khairul telah betul-betul bersedia. Ternyata kini otak Khairul menerima beberapa input serta maklumat kepada segala apa yang dilihatnya. Doktor Wideh memeriksa serta menguji mata Khairul dengan proba-silinder yang sedang tersemat di pegangannya. “Kau sekarang berada di makmal SDT di Kali’s Casbah. Savitri kata dia pernah membawa kau kemari. Kau masih ingat?.”
“Di mana dia sekarang?” Tanya Khairul marah-marah.
Persoalan itu sudah ditelan oleh doktor Wideh.
“Savitri? Dia dah keluar. Dia yang bawa kau ke sini semalam. Dia jaga kau semalaman. Dia letih dah tu. Sayang dia kepada kau….”
Khairul mendengus marah. Matanya barunya agak liar. Mungkin dia cuba mencari salah siapa, sehingga dia diperlakukan begini. Dia mahu keluar dari makmal tersebut.
“Apa yang kau boleh nampak sekarang?” Tanya doktor Wideh menguji mata Khairul.
“Cahaya proba dan… Beberapa tulisan yang tertera di hadapan aku yang menganalisa apa yang sedang aku lihat.”
“Kau akan belajar cara untuk menggunakan mata ini… Ia juga akan membolehkan kau melihat di dalam gelap dan objek jarak jauh dengan jelas. Kau juga boleh melihat perubahan haba dan cahaya ultra-ungu jika kau mahu. Tidak ada implan sebaik yang kau gunakan ini sebelum ini. Ini teknologi baru.” Doktor Wideh terus bersyarah. Dia serius dengan kerjanya itu.
“Yang baru dicuri oleh SDT…” Dengus Khairul. Suaranya mendatar. Dia lekas bangun dari baringnya.
“Kau perlu bersabar. Tidak ada apa yang kau boleh lakukan kini kecuali ikut perintah mereka.”
Khairul memandang ke meja pembedahan buat sekali lagi. Ada beberapa kesan darah yang sudah kering. Peralatan lain nampaknya tersusun rapi. Dia mahu tahu bahagian apa lagi di dalam tubuhnya yang telah diubah-suai oleh doktor-doktor di sini. Fikirannya semakin kosong.
“Mereka hanya mahu aku ubah mata kau… Itu sahaja buat masa ini. Yang lain-lain, aku tak sentuhpun.” Kata Wideh bersahaja. “Kau diperlukan untuk menolong mereka mencuri kapalangkasa Chung-kuei. Begitu juga aku. Mereka mahu aku melihat skematik enjin hyperpacuan yang dikatakan terlalu organik rekabentuknya. Mereka memerlukan kepakaran aku untuk menganalisa enjin tersebut.”
“Aku tak mahu bersubahat!” sekali lagi Khairul memberontak. Dia tidak mampu mengawal amarahnya.
“Kau tak ada jalan lain selain dari melakukan apa sahaja yang mereka suruh. Percayalah, seperti kau, aku pernah mahu melawan….” Doktor Wideh berpaling ke tepi. Pada ketika itulah Khairul mendapati bahawa Wideh tidak mempunyai cuping telinga kiri. Pastinya ia telah dipotong oleh lanun-lanun SDT atau mungkin oleh Ridwan sendiri. Kejam sungguh! Bukan, ini bukan sahaja kejam, ini gila!
“Aku mahu keluar! Aku mahu tinggalkan tempat jahanam ini. Kau tahu tak?.” jerit Khairul sekuat hati. Doktor Wideh masih tenang.
“Jangan ikutkan perasaan kau sangat!” nasihat doktor Wideh. “Aku tak nak kau terima padahnya nanti.”
Khairul mula mengamuk. Dipecahkan segala peralatan yang ada di dalam makmal. Dia semakin ganas, bagai haiwan lapar layaknya. Doktor Wideh bergerak ke arah Khairul dari arah belakang, lalu dengan pantas dia menyuntik leher Khairul dengan alat Hypospray (yang sentiasa ada diletakkan di bahagian tali pingangnya seperti senjata). Beberapa detik kemudian Khairul dapat merasakan pandangannya semakin kabur dan perasaannya melayang-layang. Dia tidak dapat mengingati apa-apa lagi selepas itu, kecuali tindakan doktor Wideh yang cuba membaringkannya ke atas katil…

**

Sebaik sahaja Khairul membuka matanya, dia mendapati bahawa dirinya kini sedang berada di atas katil di bereknya. Dia keliru. Mungkin apa yang sedang dialaminya ada mimpi ngeri semata-mata. Mimpi terlalu buruk, dia sendiri tidak ingin mengulangnya lagi.

Dia mungkin bermimpi—fikir Khairul sendiri. Dalam masa yang sama, dia dapat rasakan apa yang telah berlaku kepadanya adalah benar sama sekali. Dia memegang kristal Ambilobe yang sedang dipakai di lehernya. Dia mengeluh. Dia tidak tahu bagaimana dia telah sampai ke berek ini.

Khairul mengeluh kecil. Dia tidak tahu apa lagi yang akan berlaku kepada dirinya nanti… Dia harus bersedia.

Bab 7

“Penyesalan tidak akan terhasil jika wujudnya kesedaran tentang kebaikan yang mendatang”.
-- “Koleksi Ucapan Maharaja Hamengkubuwono II”. Oleh Bagong Permadi.

---

Khairul duduk di konsol navigasi kapalangkasa Chung-kuei. Antara sedar dengan tidak, sudah dua minggu dia menjalankan tugasnya di sini. Dia tekun menjalankan tugasnya. Dia sering terlupa kepada apa yang pernah dilakukan kepadanya oleh SDT. Ataupun ‘tugas’ yang patut dilakukan olehnya untuk pihak SDT apabila masanya tiba kelak. Dia menumpukan perhatian kepada tugasnya, fikirannya tidak bercelaru lagi.

Khairul kini sudah biasa dengan mata bioniknya. Dia sudah faham benar akan fungsi-fungsi asasnya serta bagaimana untuk dia mengawalnya. Dalam pada itu, dia sentiasa sedar bahawa dengan matanya ini, pihak SDT pasti sedang memerhatikan setiap gerak gerinya.
“Kita akan sampai ke lingkaran asteroid Tehrani di dalam masa satu minit tuan.” Ujar Khairul. Matanya tepat kepada kapten kapal. Dia sudah melakukan pengiraan tepat sebelum menyampaikan berita itu.
“Ya. Tolong pastikan kita berhenti di koordinat yang telah kita tetapkan dahulu Ensign Khairul,” pinta Kapten Blumfeld kepada Khairul yang kini sedang bertugas sebagai pengemudi kapalangkasa Chung-kuei.
“Baik tuan,” sambut Khairul di stesen navigasinya. Dia terus memandang ke depan. Di hadapanya, komputer sedang menunjukkan Peta Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan Peta Garis Pangkal untuk dijadikan panduan halatuju buatnya.
Kapten Blumfeld tersenyum puas. Esok dia akan menempa sejarah sebagai kapten kapalangkasa pertama yang akan membawa kapalnya menjelajah dan hinggap dalam hyperruang. Dia pasti namanya akan terus diingati di dalam lipatan sejarah manusia. Dia akan dinobatkan. Dia akan menjadi yang tersohor.

Kini kapalangkasa Chung-kuei berhenti sejauh 500 kilometer dari lingkaran asteroid Tehrani. Kapten Blumfeld memerhatikan fatamorgana di hadapannya yang dianggapnya sungguh indah, mampu menawan hati siapa sahaja. Angkasa yang gelap terhias rapi dengan jutaan bintang berkilau serta planet-planet kecil yang berwarna warni. Cahaya yang terhasil, tak terucap dengan kata. Dia menoleh kepada beberapa orang anak kapal yang sedang bertugas di dalam anjung kapal bersamanya. Mereka sama-sama melihat pemandangan asteroid yang kelihatan seperti sebuah tembok gergasi di angkasalepas itu.
“Esok kita akan mulakan ujian hyperruang. Jadi, saya mahu semua anak kapal berehat dan—”
“Masanya kini telah tiba.” Suara kasar Ridwan tiba-tiba menjelma. Ia dapat didengari oleh Khairul. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Didapatinya tidak ada sesiapa yang mendengar suara Ridwan itu kecuali dirinya. Dia sedikit pelik. Tetapi dia berlagak tenang, menyembunyikan syaknya.
Nafas Khairul turun naik. Agak deras. Perutnya tiba-tiba rasa memulas-mulas. Tekaknya terasa mual. Wajah tenangnya kini berubah pucat. Dia tertunduk terus ke konsol navigasinya seolah-olah dia takut orang lain akan mendengar suara dari Ridwan yang hanya dia sahaja dapat mendengarnya itu.
“Sebentar nanti kami akan datang ke tempat kamu… Jadi bersedia!” Suara Ridwan tersekat-sekat bunyinya. Khairul pasti bahawa Ridwan serta anak-anak kapalnya sedang bersembunyi di dalam lingkaran asteroid Tehrani yang banyak mengeluarkan gangguan elektromagnetik itu.
Tetapi belum sempat Khairul dapat bertindak untuk melakukan apa-apa, (seperti memberi amaran kepada kapten Blumfeld tentang apa yang akan berlaku nanti) dia melihat satu persatu anak kapal rebah ke lantai. Dia panik. Dia risau. Segala perasan menerpa kotak fikirannya dan membaluti dirinya.
Kini hanya dia seorang sahaja yang nampaknya masih bernafas di dalam anjung kapal. Dia menutup matanya buat beberapa saat. Tangannya ditekupkan ke muka. Dia mahu, bila dia membukanya nanti, seolah-olah semuanya akan kembali seperti sediakala. Apabila dia membuka matanya, keadaan masih sama. Semua anak-anak kapal masih terkulai kaku. Bergelimpangan di lantai.
Khairul cepat-cepat berjalan ke stesen sains. Dia bertanyakan sistem komputer Chung-kuei apa yang telah berlaku. Dia inginkan laporan keselamatan dengan cepat, dalam saat-saat genting sedemikian. Sepantas kilat, komputer Chung-kuei membuat imbasan-bio ke dalam perut kapal, seperti yang diarahkan oleh Khairul.
“Anak-anak kapal seramai tigapuluh dua orang tidak menunjukkan apa-apa tanda kehidupan kecuali satu. Semuanya telah disahkan mati. Hanya tuan sahaja yang masih hidup di dalam Chung-kuei.” Ucap sistem komputer dengan tenang, dengan alunan suara seorang wanita yang nampaknya langsung tidak menunjukkan rasa simpati kepada apa yang sedang berlaku kini. Ia cuma sebuah mesin. Yang agak canggih, ada kalanya melewati batas akal manusia.
Nadi Khairul berdentum dengan kuat. Dia menutup mulutnya kerana terlalu terkejut. Matanya terkunci rapat.
“Mereka telah diserang dengan Nanobot Wangsit yang telah bertindak untuk menamatkan riwayat mereka tepat pada masa yang telah kami tentukan. Mereka semua telah mati kecuali kau.” Suara Ridwan sekali lagi menawan benaknya. Ridwan tanpa sedikitpun menunjukkan rasa bersalah. Apatah lagi untuk menunjukkan simpati. Nanobot yang telah disebutkan oleh Ridwan tadi telah menyelinap masuk ke dalam tubuh anak-anak kapal Chung-kuei sejak mereka mula-mula beroperasi dahulu. Kesemua Nanobot yang telah bertindak seperti virus pembunuh ini telah membiak dari Nanobot induk yang telah berpengkalan di gegendang telinga Khairul dahulu.
“Ya Allah! Apa yang telah aku lakukan? Kenapa kezaliman ini harus aku tempuhi?.” Detik hati Khairul. Rasa sesal yang tak sudah mula menyelubungi jiwanya. Kejadian ngeri di depannya berlaku dengan cepat sekali, sehingga dia masih belum dapat lagi menerima kenyataan bahawa rakan-rakannya kini telah mati bergelimpangan di hadapannya. Ridwan tidak putus-putus ingin menyusahkan hidupnya.
Kini dari anjung Chung-kuei, Khairul dapat melihat sebuah kapalangkasa lanun SDT tiba-tiba sahaja muncul dari kawasan asteroid di hadapannya. Ia kemudian bergerak dengan perlahan mendekati Chung-kuei.
Tatkala itu juga dia mendapati sistem komputer Chung-kuei telah dikuasai sepenuhnya oleh lanun SDT. Entah bagaimana ini boleh berlaku, Khairul sendiri kurang pasti. Khairul tidak memberontak. Dia pasrah untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Dengan cekap juga, SDT telah melabuhkan kapalangkasa mereka itu (sebuah kapalangkasa bersaiz sederhada kepunyaan Konsortium Perubatan yang pastinya telah mereka curi) ke bahagian tepi Chung-kuei. Lalu disatukan kedua-dua kapalangkasa tersebut. Kemudian dengan sekejap masa sahaja, beberapa orang lanun SDT masuk ke dalam perut Chung-kuei.

Khairul kebingungan. Dia rasa bersalah kerana dia kini tidak mampu untuk melakukan sesuatu sebelum semua kegilaan ini berlaku di hadapannya.
Pintu anjung kini terbuka terbuka dengan luas. Beberapa orang lanun SDT menyerbu masuk. Mereka terus mengumpulkan mayat-mayat anak kapal yang bergelimpangan lalu diheret mayat-mayat tersebut keluar dari anjung kapal. Tiada belas. Tiada kasihan. Mereka cekap melakukan kerja-kerja ini kerana ini bukanlah kali pertama mereka merampas sebuah kapalangkasa dan segala apa yang terkandung di dalamnya. Ini sudah menjadi darah daging mereka sejak sekian lama.
Khairul mendapati Savitri ada di kalangan lanun-lanun yang datang. Seperti mereka, Savitri juga mengenakan uniform SDT berwarna hitam yang lengkap dengan insignia tebuan SDT yang tersemat di dadanya. Dia memandang tepat ke arah Savitri. Tetapi sebaik sahaja Savitri berpaling ke arahnya, dia terus memandang ke arah lain seolah-olah dia benci kepada apa yang sedang dilihatnya.
“Kau lebih kacak dari kali terakhir aku temui kau di Krisna II dulu. Mungkin uniform yang kau pakai sekarang membuat kau nampak lebih segak.” Ujar Kartini ketika dia berjalan merapati Khairul. Jari telunjuknya menari-nari di bahu anak muda itu. Dia bagai melakar lukisan. Dia menoleh ke arah Ridwan yang kini kelihatan cemburu. Air mukanya amat senang untuk diteka oleh Kartini. Dia tahu bahawa Ridwan memang pantang melihatnya bersenda dengan anak-anak muda yang kacak-kacak. Puji-pujian juga tidak akan menyenangkan Ridwan. Padah jawapnya. Ridwan terlalu cemburu. Pernah sekali Ridwan memotong lidah seorang pemuda dari Bumi yang didapatinya memuji kecantikan Kartini di hadapannya.
Ridwan menolak Khairul ke tepi. Khairul hampir-hampir jatuh tersungkur. Ridwan kini sedang memeriksa sendiri stesen navigasi Chung-kuei. Baginya, inilah bahagian yang paling penting sekali di dalam kapalangkasa prototaip ini, selain dari bahagian enjinnya. Kerana bahagian inilah yang akan membawa Chung-kuei keluar dari Lingkaran Asteroid Tehrani nanti.
Entah berapa juta kredit telah dilaburkannya di dalam bentuk rasuah untuk mendapatkan Khairul bertugas di stesen ini. Kini, dia mahu Khairul membawa Chung-kuei ke limbungan rahsia SDT. Tanpa bantuan Khairul, yang telah dilatih dengan sebegitu lama untuk mengetahui selok belok Chung-kuei, mereka pasti tidak dapat membawa kapal ini bergerak ke mana-mana.
“Semua mayat-mayat anak kapal telah dihumban keluar.” Ujar Savitri kepada Ridwan. Khairul hampir-hampir tidak percaya kepada apa yang telah diucapkan oleh Savitri tadi. Bongkak dan kasar bunyinya. Dia tidak pernah menyangka bahawa adik angkat yang disayanginya seperti adik kandungnya itu sendiri kini langsung tidak mempunyai sifat perikemanusiaan. Dia kecewa dengan Savitri. Kecewa sekali. Ingin sahaja dia mengajar Savitri erti adab bersopan. Tetapi yang pasti, dia lebih kecewa dengan dirinya sendiri terhadap apa yang sedang berlaku di hadapannya sekarang.
Dari anjung Chung-kuei, Khairul dapat melihat beberapa mayat anak-anak kapal yang sedang terapung-apung di angkasalepas. Mayat-mayat itu perlahan-lahan ditelan kepekatan angkasa. Manik-manik panas mula terkumpul di tepi kelopak matanya. Tangannya kini dikepal-kepalkannya dengan kuat. Dia membelakangkan Ridwan.
“Kau tak perlu menangis, mereka semua dah lama mati.” Sergah Ridwan. Dia tahu membaca keadaan.
“Sial!” Khairul mengamuk marah, menyergah setelah dia berpaling ke arah Ridwan. Dia mahu menyerang Ridwan. Kaki kanannya sudah terangkat untuk membuat perhitungan dengan pakciknya sendiri. Belumpun sempat dia menyentuhnya, kejutan elektrik yang bermula dari dalam telinganya terus membuat tubuhnya kejang. Kini rasa sakit yang amat sangat mula dirasakannya datang dari bahagian dalam telinganya. Khairul menjerit menahan kesakitan. Kedua-dua tapak tangannya ditekupkan ke telinganya. Perit sekali. Dia cuba menahan sedaya upaya.
Ridwan dan beberapa orang lanun SDT mentertawakan keadaan Khairul yang cukup terseksa pada waktu itu. Ada yang tertawa sambil mencemuh. Cemuhan liar itu tidak kedengaran, cuma antara mereka sahaja. Sejak dari mula lagi Ridwan telah memprogramkan Nanobot supaya bertindak ke atas Khairul jika dia cuba menyerangnya.
“Bodoh! Bongkak!” Ridwan menerajang tubuh Khairul sehingga dia tersungkur di atas lantai. Tiada kenal ehsan. Kemudian berkali-kali dia menendang Khairul sehingga Khairul tidak sedarkan diri. Ridwan puas.
“Sudah, berhenti!” perintah Kartini dari kerusi kapten. “Suruh pakcik kau berhenti, Savitri!”
Ridwan hanya berhenti apabila dia dipujuk oleh Savitri berkali-kali untuk berhenti. Hatinya panas. “Pakcik, kita masih perlukan dia lagi, pakcik. Sudah lah pakcik.” Kata Savitri dengan perlahan. Tangannya mengurut bahu Ridwan sambil meleraikan marahnya perlahan-lahan.
Ridwan berhenti dari terus menyeksa Khairul. Dia mendengus marah lalu bergerak mendapatkan Kartini. Dia mengomel tidak putus-putus. Dia terus mengucup dalam bibir Kartini. Kartini membalas, seolah-olah keganasan yang telah dilakukannya tadi telah menyalakan api keghairahan di dalam dirinya dan membuatnya terangsang.
Savitri menepuk-nepuk pipi Khairul. Khairul bergerak sedikit. Mukanya lunyai menahan sakit yang teramat. Khairul membuka matanya dengan perlahan. Savitri meminta beberapa orang lanun SDT yang ada supaya menolongnya untuk memapah Khairul, supaya dia boleh duduk di atas kerusinya di stesen Navigasi.
Telinga Khairul kini terasa pekak. Berat. Terasa tebal. Dia hanya dapat mendengar menggunakan telinga kanannya sahaja. Dia mendapati telinga kirinya itu mula berdarah. Telinganya panas.
Savitri menggunakan alat komunikasinya untuk memanggil doktor Wideh. Seminit kemudian Dr Wideh masuk dengan tergesa-gesa untuk mendapatkan Savitri.
“Kenapa kau panggil aku kemari?.” tanya doktor Wideh sambil menggaru belakang kepalanya. Dia terpinga-pinga. “Aku baru sahaja memeriksa enjin Hyperpacuan di bilik kejuruteraan. Ianya satu arca seni! Aku tak sangka dapat melihat sesuatu yang begitu indah selagi aku masih hidup—”
“Telinga dia berdarah….” Pintas Savitri. Dia tahu doktor Wideh tidak akan berhenti dari bercakap jika dia tidak memintas kata-katanya tadi.
Doktor Wideh memeriksa telinga Khairul. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Telinganya tidak dapat diselamatkan lagi. Gegendang telinganya dah pecah. Tapi kau tak perlu takut, kita ada bahan ganti gegendang bionik untuk digantikan dengan yang pecah ini.” Doktor Wideh mengambil alat Hypospraynya, lalu dia menyesuaikan struktur molekul bahan kimia yang patut disintesis untuk diberikannya kepada Khairul. “Suntikan ini untuk membuat rasa sakit kau itu hilang. Mereka masih perlukan kau untuk membawa kapalangkasa ini keluar dari kawasan ini sebentar lagi.”

**

“Tuan, sebuah kapalangkasa Marin Angkasalepas sedang bergerak dengan cepat ke arah kita. Kapalangkasa Kovet Howaldtswerke IV, tuan!.” Seorang lanun SDT dari stesen komunikasi memberitahu Ridwan yang pada ketika itu matanya tajam tertacap merenung ke arah Khairul yang baru sahaja di bawa masuk ke dalam anjung. “Kapten kapalangkasa Howaldtswerke IV memberi amaran bahawa ia akan memusnahkan Chung-kuei jika kami tidak menyerah diri, tuan!”
Ridwan kenal benar dengan kapalangkasa Kovet yang telah dinyatakan oleh anak buahnya tadi. Ia adalah sebuah kapalangkasa yang dapat bergerak laju yang sering digunakan oleh Pasukan Marin Angkasalepas untuk mengejar dan memintas pihak musuh. Ianya tidak mempunyai kelengkapan senjata yang berat seperti kapalangkasa Pemusnah, tetapi masih cukup kuat untuk memusnahkan kapalangkasa Chung-kuei dan kapalangkasa SDTnya.
“Ia tidak sepatutnya berada di sini!” getus Ridwan. “Apa yang telah berlaku? Apa yang telah kau lakukan?” Ridwan mengenggam rambut Khairul dengan kuat.
Dengan lemah, Khairul menuding jarinya ke arah butang rahsia yang tersembunyi di bawah konsol stesen navigasi yang telah sempat ditekannya tadi, ketika satu persatu anak kapal Chung-kuei rebah ke atas lantai. Nampaknya, butang rahsia seperti ini ada pada setiap stesen, dan kewujudannya langsung tidak disebutkan di dalam skematik awal kapalangkasa ini, atas sebab-sebab keselamatan. Bijak.
“Khairul, bawa kami keluar dari sini sebelum mereka memusnahkan kapalangkasa ini dan semua kita di sini!” Perintah Kartini yang sedang duduk di kerusi kapten.
Khairul tidak mengendahkan kata-kata Kartini. Dia kini lebih rela mati dari membiarkan kapalangkasa ini jatuh ke tangan SDT. Kartini yang tidak mendapat jawapan apa-apa dari Khairul, terus berkata:
“Pisahkan kapalangkasa kita dengan Chung-kuei!”
Di dalam masa beberapa saat kemudian, kapalangkasa lanun tersebut bergerak keluar meninggalkan Chung-kuei, terus bergerak dengan laju masuk ke dalam kawasan asteroid.
“Khairul bawa kami keluar dari sektor ini sekarang!.” Ridwan bertempik. Dia mengeluarkan senjata lazernya, lalu diacukannya ke arah dahi Khairul.
“15 saat lagi sebelum Howaldtswerke IV muncul di hadapan kami, puan!.” Lanun SDT tadi bersuara lagi. Bagaikan satu amaran. Howaldtswerke IV kini sedang berada sejauh 130,000 kilometer dari posisi mereka dan beberapa saat sahaja lagi ia akan muncul dengan tiba-tiba di hadapan Chung-kuei untuk berhadapan dengannya.
Ridwan kini berpaling ke arah Savitri yang sedang berdiri rapat di sebelah Khairul. Dia mengacukan pistolnya itu ke arahnya. Savitri terkejut.
“Kalau Chung-kuei tidak bergerak lagi, aku akan bunuh dia!.” mata Ridwan kemerahan. Sedikit terjegil. Matanya juga berkaca. Dia memang marak dengan api kemarahan. Khairul tahu bahawa Ridwan tidak berbohong. Dia dapat melihat, Savitri mengenggam lengannya dengan kuat. Savitri ternyata takut dibunuh oleh Ridwan dan dia juga tahu bahawa Ridwan mampu melakukannya. Riak wajahnya pucat lesi.
Khairul cepat-cepat menekan skrin dihadapannya. Chung-kuei kini bergerak dengan laju keluar dari kawasan lingkaran asteroid Tehrani.
“Howaldtswerke IV kini berada sejauh 500 kilometer di belakang Chung-kuei dan ia bergerak semakin hampir mengejar kita, puan.” Jelas seorang lanun wanita dari stesen taktikal.
“Khairul, masuk ke dalam hyperruang sekarang! Bawa Chung-kuei ke sistem Prometheus .” Perintah Kartini.
“Sekarang mereka berada hanya 10 kilometer di belakang kita, puan!.” Kata lanun wanita itu lagi dengan suara yang terketar-ketar. “Dan kini mereka telah menghidupkan sistem senjata mereka… Mereka telah bersedia untuk menyerang kita!.”
“Hidupkan sistem pertahanan kita,” perintah Kartini.
“Baik puan! Medan Tenaga akan dihidupkan sekarang!” wanita tersebut kini sibuk berinteraksi dengan sistem komputer Chung-kuei di stesen taktikalnya.
Beberapa das tembakan meriam lazer kini dilepaskan. Belum sempat sistem perisai Chung-kuei dapat dihidupkan, satu das meriam lazer terkena ke bahagian tepi badannya. Chung-Kuei bergegar dengan kuat. Semua yang ada terperanjat.

Khairul menarik nafasnya panjang. Dia membuat beberapa pengiraan yang agak rumit di dalam kepalanya sebelum dia meletakkan satu koordinat khas ke dalam komputer navigasi. Dia perlu membuat pengiraan ini untuk memastikan bahawa Chung-kuei akan terus membawanya ke destinasi yang telah ditetapkan.

Beberapa detik kemudian, buat pertama kali di dalam sejarah manusia, mereka masuk ke dalam hyperruang lalu bergerak dengan kelajuan beribu-ribu kali ganda dari kelajuan cahaya!

Bab 8

“Manusia telah dilahirkan dengan satu kelemahan yang jelas,iaitu sifat mereka yang mengikut perasaan dan tidak mengikut logik tatkala membuat apa-apa keputusan.”
-- “Prinsip seorang Warok”. Oleh Gatotkaca Hendra Margana.

---

Masa tiba-tiba sahaja terhenti. Suasana beku. Senyap. Sunyi. Buat beberapa saat. Kemudian segala-galanya bergerak dengan amat perlahan. Khairul dengan perlahan menoleh ke arah hadapan anjung. Dia dapat melihat satu garisan lurus leretan cahaya bintang-bintang di angkasalepas. Apa yang dapat dilihatnya itu indah. Buat beberapa ketika itu dia terasa tenang. Fikirannya tidak berkecamuk lagi. Terasa aman, damai.

Kini semua yang sedang berada di dalam anak kapal berada di tempat masing-masing di dalam keadaan kaget dan kaku. Apa yang sedang mereka alami adalah satu perkara yang baru. Mereka mengalami gangguan masa di dalam Chung-kuei yang secara langsung melambatkan waktu berlalu dengan begitu perlahan di dalam kapal itu.
Khairul memeriksa komputer navigasi. Dia mendapati masa telah berlalu dengan cepat di luar kawasan hyperruang. Tidak pula dia berasa pelik.
Bahagian badan kapal kini mula mengeluarkan bunyi yang aneh. Khairul sedar bahawa terdapat banyak risiko yang terpaksa diambil oleh anak-anak kapal Chung-kuei apabila bergerak di dalam hyperruang, dan ini adalah satu di antaranya. Kapal ini mungkin akan musnah di dalam hyperruang jika ia tersilap langkah. Dan jika dia tidak bernasib baik, loncatan ke dalam hyperruang tanpa koordinasi yang betul akan membuatkan mereka berlanggar dengan objek-objek yang terdapat di dalam angkasalepas seperti sebuah bintang ataupun sebuah planet yang bertentangan dengan garisan lurus perjalanannya.
Chung-kuei kini keluar dari hyperruang. Ia sedang berlayar di dalam ruang angkasalepas. Ia menyertai objek-objek lain di luar hyperruang itu.
“Apa yang telah berlaku?” tanya Kartini kepada Ridwan.
“Efek temporal… Kita masih belum ada teknologi yang membolehkan kita bergerak sehaluan dengan masa sebenar ketika berada di dalam kapal.” Ridwan memeriksa konsol komputer di hadapannya. “Kita telah kehilangan masa selama satu setengah hari, walaupun kira rasa seolah-olah kita hanya bergerak di dalam masa sepuluh minit.”
Ridwan termenung seketika. Dia menarik nafasnya sebelum dia memandang ke arah Khairul.
“Apa yang telah kau lakukan?” Ridwan cepat-cepat bergerak ke arah konsol navigasi. Wajahnya kini berubah pucat. “Tidak!” dia bertempik sebelum dia menumbuk muka Khairul dengan sekuat hatinya. Kini mulut Khairul terasa kebas. Darah mula mengalir dari dalam mulutnya. Bibirnya pecah. Dia meludahkan sesuatu yang keras yang dapat dirasakannya dari dalam mulutnya yang penuh dengan darah itu. Dan pada ketika itulah dia dapat melihat dua batang giginya yang telah patah jatuh ke atas lantai. Tumbukan padu dari Ridwan itu amat menyakitkan. Keningnya berkerut menahan pedih. Jari-jarinya memicit rahangnya yang pedih itu.
“Ada sesiapa di sini boleh jelaskan kepada saya apa yang telah berlaku sekarang?” tanya Kartini yang kelihatan keliru. Dia melihat Khairul yang tertunduk kesakitan itu.
“Dia tidak membawa kita ke sistem Prometheus,” jelas Ridwan mengadukan hal sebenar. Dia cuba mengawal dirinya dari keadaan marah yang amat sangat. Dia melihat wanita yang disayanginya itu.
“Jadi, kita ke sana sekarang. Apa yang susah sangat? Yang penting, kita sudah dapat melarikan diri kita dari musuh kita.” Kata Kartini dengan tenang, seolah memaafkan. Dia tidak mahu memanjangkan cerita ini.
“Puan, Chung-kuei mengalami kerosakan pada dek enjin akibat dari serangan meriam lazer tadi,” jelas seorang lanun Bihar dari stesen kejuruteraan.
Kartini mengusap-usap tengkuknya. “Kerosakan bagaimana?” sambungnya lagi.
“Reaktor kristal… Kristal Kiribati kini tidak stabil.” Ucapnya dengan kurang pasti. Dia tidak pernah mendengar tentang kewujudan kristal ini. Dia hanya sekadar membaca laporan dari dok kejuruteraan di konsolnya. “Ia tidak boleh berfungsi lagi di dalam reaktor. Mungkin ada ganguan struktur dalaman kristal….”
“Jadi kita gunakan enjin biasa untuk ke sistem Prometheus,” ujar Kartini dengan nada yang masih tenang dan mendatar. “Mungkin kita akan mengambil masa yang agak lama ke sana—”
“Itulah masalahnya!” pintas Ridwan.
“Kenapa?”
“Jika dengan kelajuan maksimum sekalipun, kita hanya akan sampai ke pos angkasalepas Perbadanan Bumi yang terdekat dalam masa… Empat puluh dua tahun!”
“Apa?” Kartini berdiri dari keadaan duduknya.
“Kita kini sedang berada di sebuah daerah yang tidak pernah diterokai oleh mana-mana manusia. Kita telah bergerak sejauh 934 tahun cahaya dari kawasan asteroid Tehrani.”
“Kita tak ada peta yang menjelaskan kawasan ini…” Kartini mula mengeluh. Dia memandang ke arah Khairul. Kini dia mula sedar bahawa dia beserta anak-anak kapalnya telah sesat di sebuah daerah yang begitu asing baginya. “Kenapa kau bawa kami ke sini?”
“Dia mempunyai sebab mengapa dia bawa kami kemari.” Ujar Ridwan. Dia meludah ke tepi. “Dia ke sini mengikut koordinat yang pernah diberikan oleh datuknya.”
“Koordinat apa?” tanya Kartini terus kepada Khairul.
Khairul tidak menjawab. Dia telah menahan dirinya dari berkata-kata. Dia membatu sahaja.
“Dia… Seperti datuknya juga. Tentu dia juga sama, memikirkan yang dia akan berjumpa dengan sebuah tamadun mahkluk asing… Kau masih percayakan ini semua?” Ridwan mencela sedikit. “Kau, sepatutnya lebih tahu dari aku bahawa makhluk asing tidak pernah wujud di dalam alam semesta ini, selain dari manusia!” Gema-gema kemarahan membakar suasana.
Ridwan mengeluarkan pistol lazernya. Dia mengacukan pistol tersebut ke dalam mulut Khairul. Savitri mula menangis meminta Ridwan berhenti.
Savitri yang tadinya berpeluk tubuh di satu sudut, terus menerpa ke arah lelaki yang sudah hilang kawalan itu. Dia memeluk dan menggegar tubuh Ridwan dengan kuat. Pintanya agar Khairul tidak diseksa sedemikian.
“Mungkin kita patut meneroka kawasan ini. Mungkin kita akan menemui sesuatu yang akan dapat menolong kita pulang ke dunia kita,” ujar Kartini menenangkan keadaan. Dia menjeling ke arah Khairul, sebelum pandangannya menjilat Ridwan. Dia memegang tangan Ridwan lalu dia menarik pistol Ridwan dari mulut Khairul. Ekor jelingannya tertinggal di wajah Khairul.
Ridwan berpaling ke arah Kartini. Dia sempat menghentak kepala Khairul dengan kepala pistolnya sehingga Khairul tidak dapat sedarkan diri. Kartina merampas pantas pistol itu, sebelum Khairul terus diapa-apakan oleh Ridwan.

**

Khairul membuka matanya dengan perlahan. Dia mendapati tubuhnya terasa sengal-sengal; bagaikan dia baru sahaja dilanyak-lanyak. Kepalanya bengkak. Ada lebam di sudut keningnya. Telinganya separuh pekak. Bibirnya pecah sehingga agak sukar untuk dia membuka mulutnya. Kesan merah sudah mengering di celah rekahan bibirnya. Amat kering, sehinggakan terlalu sakit untuk membuka mulutnya.
Tangan Khairul telah diikat ke belakang. Dia berasa kekok sedikit. Dia rimas diikat begitu. Dia mendapati kini bahawa dia sedang berada di dalam dok enjin.
“Aku telah diperintah Kartini supaya menjaga kau di sini,” ucap doktor Wideh apabila dia mendapati bahawa Khairul mula sedarkan diri. “Kau tidak sedarkan diri sejak semalam… Tulang rusuk kau, ada yang patah. Dua batang gigi kau juga dah rongak—“
“Apa yang telah kau lakukan?,” tanya Khairul. Seulas demi seulas kata-katanya terkeluar. Ada yang agak pelik bunyi. Ucapannya tidak berapa betul. Mulutnya amat sakit.
“Aku telah memprogram berpuluh ribu Nanobot Wangsit yang masih ada di dalam tubuh kau supaya ia memperbaiki bahagian tubuh kau yang telah cedera. Kau jangan bimbang. Sakit sedikit tu, kau kena tahan!” jelas doktor Wideh. Dia sibuk memeriksa beberapa peralatan perubatan di dalam bilik itu.
“Bukan… Bukan itu maksud aku. Apa yang telah kau lakukan selama ini di dalam Chung-kuei?” tanya Khairul, dia menggerak-gerakkan pergelanggang tangannya. Ikatan tangannya agak kuat. Hingga menyakitkan. Tangannya sudah lebam. Biru.
Wideh memandang ke arahnya sekali sebelum dia bertindak untuk membuka ikatan di tangan Khairul.
“Terima kasih…” ujar Khairul sambil menggosok-gosok pergelanggang tangannya. Ditenungnya pergelangan tangannya yang sudah bertanda itu.
“Tugas aku sekarang adalah untuk memeriksa reaktor enjin hyperpacuan ini. Aku cuba mencari bahan ganti untuk kristal Kiribati yang kini tidak boleh digunakan lagi ini. Sebenarnya struktur dalaman kristal telah rosak teruk, akibat serangan Korvet kelmarin. Kita mesti cari Kristal Kiribati ini juga jika kita mahu reaktor ini berfungsi. Jika tidak…” Dia terhenti di situ.
“Kalau tak jumpa… Mungkin tidak akan jumpa jalan pulang.” Khairul menyambung kata-kata doktor Wideh. Doktor Wideh mengangguk perlahan sahaja.
“Mungkin itulah yang terbaik untuk mereka.” Doktor Wideh cuba berseloroh. Dia ketawa sendiri. Suaranya diperlahankan.
Khairul hanya duduk diam. Pada waktu itu doktor Wideh telah menerima arahan supaya membawa Khairul ke dalam anjung.
Doktor Wideh mengeluh. Dalam pada itu Khairul membelakangi doktor itu, lalu meminta dirinya digari semula. Itu bukan pilihannya.
“Ridwan mungkin mahu menyeksa kau lagi.” Doktor Wideh memberi amaran kepadanya dengan lebih awal. “Aku beritahu kau sebab aku nak kau bersedia. Bersedia apa yang patut. Bukan niat aku untuk menakut-nakutkan kau.”
“Aku tahu… Apa nak jadi lepas ini, jadilah. Aku sepatutnya mati bersama anak-anak kapal Chung-kuei yang lain. Aku tak berhak untuk terus hidup seperti sekarang ini,” kata Khairul dengan nada penuh sesal. Kini pintu dek enjin terbuka. Dua orang anggota lanun SDT bertubuh tegap mendapatkan Khairul lalu membawanya ke arah anjung kapal…

Belum sempat apa-apa, Khairul diterajang dari belakang sehingga dia tersungkur di hadapan Ridwan dan Kartini. Savitri yang sedang duduk di stesen sains nampaknya hanya mampu tertunduk. Dia kaku duduk di situ. Kalau dia nampak Khairul diseksa, hatinya bagai diracik. Dia terseksa sama. Sejak dia nampak mulut Khairul diacukan dengan pistol lazer oleh Ridwan, dia terus berada di dalam keadaan penuh ketakutan. Ridwan mampu berhati seperti binatang lapar. Sebelum ini, sememangnya dia tahu bahawa Ridwan adalah seorang lelaki yang ganas, tetapi dia tidak pernah dikasari oleh Ridwan. Sehinggalah pada hari itu, apabila dia pasti bahawa Ridwan akan menembaknya jika Khairul mengambil keputusan untuk berdegil tidak membawa Chung-kuei keluar dari lingkaran asteroid Tehrani. Sekarang dia sudah tahu belang Ridwan. Dia kena berhati-hati juga.

“Kami telah mengimbas sistem ini tetapi masih tak ada tanda-tanda kehidupan di sini. Sistem ini kosong… tak ada apa-apa di dalamnya! Kau jangan nak mempersendakan aku, tahu!” Ridwan mengepal-ngepalkan penumbuk jantannya, seolah-olah mahu menunggu peluang untuk menumbuk pecah muka Khairul.
“Khairul, kami akan keluar dari sistem ini di dalam masa lima jam,” jelas Kartini tanpa memandang ke arahnya.
“Kami tak perlukan bantuan kau untuk menjadi pengemudi Chung-kuei. Aku dah programkan sistem navigasinya supaya mengikut piawaian kapalangkasa awam.” Ridwan memegang bahagian tempat letak pistol lazernya. Dia menepuk-nepuk bahagian tersebut seperti tidak sabar lagi untuk menunggu masa untuk membunuh Khairul. “Jadi aku rasa, kau patut aku bunuh sekarang… Sudah lama aku rasa aku patut bunuh kau. Sejak saat kau bawa kami ke sini. Aku pun tak tahu kenapa aku beri kau nyawa panjang!.” Ridwan memang bongkak. Hatinya bersarang dengan riak.
Khairul memandang ke arah bintang di sistem yang asing ini. Ianya berwarna biru. Cahaya dari bintang tersebut begemerlapan walaupun Chung-kuei berada agak jauh darinya. Sempat juga dia menghilangkan rasa sakitnya. Sinaran bintang itu bagai memberikan dia harapan untuk terus bernafas dan berdepan dengan manusia berhati binatang itu.
“Adakah kita telah memeriksa semua planet yang ada?” Tanya Khairul yang sedang duduk melutut itu kepada Savitri.
“Sudah… Tak ada tanda-tanda kehidupanpun.” Jelas Savitri.
“Ada berapa buah planet yang mengelilingi sistem ini?.” Tanya Khairul lagi. Dia berkata perlahan. Sakit yang ditanggungnya tiada siapa yang tahu.
Ridwan mahu bersuara untuk menyuruh Khairul diam, tetapi Kartini meminta Ridwan supaya mendengar sahaja apa yang mahu disebutkannya. Berikannya peluang.
“Ada lima buah planet kesemuanya.” Jawab Savitri. Matanya memandang Ridwan dan Kartini.
“Sudah dilakukan pemetaan ke atas sistem ini?.” Tanya Khairul. Dia memandang dengan penuh benci kepada Ridwan. Pandangannya cuma kosong, tiada erti.
“Sudah.” Jawab Savitri dengan penuh pasti. Keadaan dirinya kini kelihatan tidak terjaga, tetapi kejelitaan wajahnya masih terserlah lagi.
“Buat simulasi kepada pergerakan orbit kesemua planet-planet yang ada. Bandingkan gegelang orbit planet-planet ini dengan koordinat yang akan aku berikan… Buat satu garisan selari seolah-olah ia berpusat dari bumi dan satu lagi ke titik koordinat. Buat sahaja seperti apa yang aku cakap ni.”
Savitri patuh. Dia diam sahaja. Mengangguk. Khairul memberinya koordinat asal yang telah diberikan kepada datuknya dahulu. Tercatat terang di dalam blog datuknya. Dari konsol sains, Savitri terus melakukan simulasi yang telah dinyatakan oleh Khairul tadi. Savitri memang pintar. Dia melakukannya tepat seperti arahan Khairul. Khairul tersenyum puas. Seperti yang telah dijangka, sememangnya terdapat sebuah planet yang orbitnya betul-betul menyentuh garisan koordinat yang telah diberikan olehnya tadi.
“Planet keempat.” Savitri memberitahu kepada Khairul dan memandang ke arah Ridwan dengan penuh harapan. Ridwan ternganga sedikit. Matanya terbuka luas.
“Kita sudah jalankan imbasan ke arah planet tersebut?” Tanya Kartini.
“Sudah puan… Planet ini berada di dalam ‘Zon Boleh Diami ’.” Savitri memeriksa grafik permukaan mukabumi planet tersebut dengan teliti. “Planet ini telah kami imbas dari jarak jauh. Tetapi dari imbasan awal, planet yang berwarna merah itu adalah sebuah planet jenis Geo-Metalik .”
“Planet ini ada berapa buah satelit?.” Tanya Khairul dengan wajahnya yang agak tekun berfikir. Masih ada sisa-sisa arahan yang akan terpacul dari mulutnya.
“Ada sebuah. Ianya sebuah bulan jenis Geo-Thermal .” Savitri menjelaskan. Dia yakin bahawa tidak ada apa-apa yang boleh mereka cari di situ.
“Kita perlu ke sana.” Jelas Khairul kepada Kartini. Wanita yang berusia lewat 30-an itu mendekati Khairul. Dia mengusap-usap rambut Khairul. Dia lebih mesra kali ini. Ridwan hanya memerhati. Mungkin jua cemburu menyusup laju di dalam salur-salur darahnya.
“Kau mempunyai wajah yang tampan… Aku suka kepada kau. Tak sampai hati aku lihat lelaki seperti kau mati di hadapanku.” Jari-jari Kartini bermain di hujung rambut anak muda itu. Bulu keningnya diangkat sedikit. Bibirnya ke depan. Jari liarnya menari di tepi dagu Khairul pula. Dada Khairul bergoncang. Dia cepat beralih arah.
“Kita perlu ke sana, puan. Sebelum saya mati, sekurang-kurangnya saya mahu tahu apa yang ada di sana.” Pinta Khairul sambil tertunduk. Dia tidak mahu dirinya kini mati dengan sia-sia.
“Baiklah… Lagipun, apa lagi yang dapat kita semua lakukan setelah kau sesatkan kami kemari.” Kartini akhirnya mengambil keputusan. Nadanya seperti memerli Khairul.
Khairul tidak peduli.
“Apa?.” Bantah Ridwan. Dia tidak puas hati.
“Kita akan ke sana sekarang. Ke planet nombor empat.” Perintah Kartini. Pegawai SDT yang sedang bertugas sebagai pengemudi menggantikan tempat Khairul kini mula mengemudi navigasi lalu menghalakan Chung-kuei bergerak ke arah planet keempat di sistem yang asing ini.
Kini Kartini merendahkan dirinya untuk bertentang wajah dengan Khairul yang sedang berlutut itu. “Ada terlintas di fikiranku. Kau patut namakan planet dan bulannya. Ia perlu diberikan nama.”
Khairul manarik nafasnya. Dia teringatkan pada planet kelahirannya. Rasa rindu mula membanjiri hatinya. Dia ingat kepada planet itu. Perasaan terharu mula mengisi jiwanya.
“Kalau tak keterlaluan, namakan bintang ini dengan nama Arjuna. Planet ke-empat dengan nama Wisanggeni dan satelitnya dengan nama Dresanala.” Ucap Khairul dengan matanya tepat kepada Kartini. Matanya berkaca.
“Sudah lama aku tidak mendengar nama-nama yang kau sebutkan tadi. Tetapi ketika di Bumi… Di kampung halamanku di Solo dahulu, aku pernah melihat pertunjukan wayang kulit di sana. Kau tahu cerita di sebalik nama-nama yang kau sebutkan tadi?.” Nama-nama itu tidak janggal kepada Kartini.
Khairul tidak menjawab. Dia hanya mendiamkan dirinya, walaupun dia sendiri pernah melihat permainan wayang kulit di dalam salah satu sesinya di dalam Holosex.
“Dewi Dresanala adalah isteri kepada Arjuna dan Wisanggeni adalah anak mereka.” Jelas Kartini. Ringkas. Dia berjalan semakin hampir kepada Khairul. Dia meraba-raba bahagian pipi Khairul yang kini mula dipenuhi dengan jambang muda yang baru sahaja tumbuh. Sekali lagi jari-jarinya menjalar di pipi Khairul. Kemudian dia berbisik kepadanya: “Dan jika cerita ini wujud, kau pasti menjadi Arjuna, seorang kasta Ksatria yang terkenal kerana kegagahan serta kacak. Ridwan pula… Rahwana. Kerana dia seorang yang kejam!” Suaranya mati di situ.

Satu jam kemudian mereka tiba di orbit Wisanggeni. Sememangnya tidak ada apa-apa yang menarik tentang planet tersebut. Tidak mungkin ada organisme yang boleh hidup di sana. Walaupun begitu, Savitri melakukan imbasan yang menyeluruh dengan bersungguh-sungguh, kepada seluruh bahagian permukaan planet merah tersebut.
“Tak ada tanda-tanda kehidupan pun…,” suaranya ada sedikit hampa. Nadinya kini turun naik dengan cepat. Ridwan kini mula mengeluarkan pistol lazernya. Buat sekian kalinya.
“Kau perlu mati sekarang… Tapi ada satu perkara yang perlu aku ceritakan kepada kau. Sebelum kau lenyap dari pandangan kami semua.” Ridwan tersengih-sengih. Dia mencebik. “Ibu dan bapa kau… Mereka sebenarnya telah diberikan dengan Nanokutu Versi 7.5… Versi yang membolehkan Nanokutu membunuh mereka sebaik sahaja mereka ditangkap oleh pihak musuh. Tapi aku telah matikan fungsi itu sebaik sahaja mereka ditangkap, kerana aku mahu lihat sendiri cara mereka diseksa. Tak sangka pula rakaman mereka boleh aku gunakan untuk tarik kau menyertai kami.”
Ridwan ketawa tatkala mengenangkan perkara kejam yang telah dilakukannya itu. Dan kini dia mahu bertindak sadis lagi kepada Khairul. Tiada bezanya dengan apa yang telah dilakukan kepada kedua ibu bapanya dulu. “Kau bernasib baik kerana kau adalah anak kepada adik aku… Jika tidak, aku akan seksa kau dengan perlahan sehingga kau mati!”
Ridwan menekan butang keselamatan pistol lazernya. Pistol tersebut kini telah diacu terus ke kepala Khairul. Muncung pistol itu bagai bersedia untuk meledak. Memuntahkan cahaya lazer yang bakal menghancurkan otak Khairul.
Kartini hanya mampu melihat perbuatan kekasihnya ini sambil memeluk tubuhnya di kerusi kapten. Savitri apatah lagi, dia tidak mampu bersuara. Hanya air matanya mengalir lembut di pipinya. Itulah bukti yang dia ada. Takutnya bercampur dengan dendam pada Ridwan dan kasih kepada Khairul.
Khairul tidak dapat melakukan apa-apa kecuali menunggu masa saat-saat terakhirnya. Masa kian singkat. Hidup dan matinya kini di tangan Ridwan. Dirasakannya dirinya tidak dapat bernafas lagi. Dadanya sesak berbaur sebak. Hatinya bergulit takut dan dendam. Lebih-lebih lagi apabila dia mendengar cerita dari Ridwan mengenai ayah dan ibunya. Belang Ridwan semakin nyata. Inilah namanya syaitan bertopengkan manusia.
Khairul merapatkan matanya. Dia dapat rasakan yang dia belum bersedia lagi untuk mati. Dia takut untuk menghadapi kematiannya sendiri. Dirinya terasa dingin pada masa yang sama.
“Tunggu!” Savitri menjerit sekuat hatinya. Bergema. Seluruh anak kapal yang ada di dalam anjung menoleh ke arahnya.
“Kenapa? Apa dah kena dengan kau ni?” tanya Ridwan. Dia nyata terperanjat dengan tindakan Savitri.
“Kita mesti bawa Chung-kuei mendekati Dresanala.” Beritahu Savitri dengan penuh ghairah.
“Ke mana? Sudah! Jangan nak melambat-lambatkan pula!” Ridwan agak kebingungan, tetapi ingin meneruskan niatnya.
“Ke bulan planet ini…” Kartini menjawab bagi pihak Savitri.
“Tapi kenapa?.”
“Ada aktiviti luar biasa di sana… Tengok!” jelas Savitri, dia menumpukan pancaran biasan ke arah Dresanala. Dengan cepat dia memastikan bahawa dia mencuba biasan dari pelbagai gelombang untuk membuat penyelidikan yang menyeluruh terhadap bulan tersebut. Kini dia membaca analisa komputer terhadap apa yang sedang diselidikinya itu. Dia langsung kaku—tidak boleh mempercayai apa yang dapat dibacanya di konsol sainsnya pada ketika itu!


Bab 9

“Sejarah akan ditafsirkan oleh mereka yang berkuasa. Dan mereka yang berkuasa akan memastikan sejarah akan berpihak kepada mereka semata-mata.”
-- “Salasiah politik Dinasti Kartosuro”. Oleh Snijders Wardhana II.

Chung-Kuei kini mencecah orbit Dresanala. Dengan penuh sabar mereka yang berada di dalam anjung menunggu sehingga Chung-kuei bergerak hingga ke bahagian yang telah dinyatakan oleh Savitri untuk melihat sendiri fenomena yang ditemuinya.
Mereka terpaku sahaja, menanti. Hanya riak wajah yang berkata pada masa itu. Mereka membanting harapan supaya apa yang mereka hajatkan akan tercapai.
Setelah beberapa minit melegari orbit, mereka akhirnya tiba di bahagian tersebut. Semua mata bertukar pandangan. Ada yang resah. Ada yang tidak sabar. Ada pula yang tidak berperasaan langsung.
Doktor Wideh kini masuk ke dalam anjung. Agak terkocoh-kocoh, akan tetapi wajahnya nampak berseri-seri. Dia tidak sabar untuk memberi laporan penemuannya kepada Kartini:
“Saya telah tumpukan Geobiasan ke koordinat yang telah diberikan oleh Savitri tadi. Saya dapati terdapat banyak kesan-kesan kristal Kiribati di sana. Saya rasa kita perlu ke sana untuk dapatkan kristal ini supaya kita dapat pulang ke dunia kita!” Doktor Wideh memberitakan khabar gembira. Semua nampaknya tersenyum.
Kini mereka berdiri di hadapan anjung untuk melihat sendiri Dresanala dari situ—dengan lebih dekat. Projektor Holocom tiba-tiba dihidupkan oleh Savitri di tengah-tengah bahagian anjung untuk menyenangkan dia untuk membuat penjelasan kepada penemuannya itu. Satu demi satu rahsia planet itu dikupasnya. Yang lain seperti penonton sahaja.
“Satelit yang kini dikenali dengan nama Dresanala ini bukan seperti yang kita fikirkan. Ia hanyalah satu ilusi,” jelas Savitri dengan penuh yakin. Sesekali dia akan melihat ke arah Khairul yang masih lagi diikat dan dibiarkan melutut berdekatan dengannya. “Cuba lihat di kawasan ini… kita nampak bahagian ini lain jika dibandingkan dengan kawasan yang lain.” Bagaikan seorang pensyarah lagaknya.
Savitri menudingkan jarinya ke arah model Dresanala yang ada di hadapannya. Sememangnya, dengan jelas di atas bulan yang bersifat Geo-Thermal itu tiba-tiba terdapat sebuah kawasan kecil yang nampak membias warna hijau. Kawasan tersebut berbentuk heksagon. Beberapa orang lanun SDT memerhatikan kawasan Dresanala dari anjung kapal. Mereka tidak dapat mempercayai apa yang dapat dilihat oleh mereka. Ada yang tidak dapat menyembunyikan rasa takjub mereka.
“Bulan ini nampaknya telah dilindungi dengan ilusi holografik untuk membuat kita berfikir bahawa ianya sebuah bulan Geo-Thermal,” ujar Kartini dengan sedikit rasa hairan. “Ini satu teknologi yang canggih. Jauh kehadapan dari tahap teknologi manusia.”
“Pasti teknologi seperti ini terpaksa menggunakan banyak tenaga. Bayangkanlah jumlah tenaga yang diperlukan untuk memancarkan ilusi holografik ke seluruh bahagian bulan bersaiz Bumi ini!” getus Ridwan. Dia mula memikirkan tentang segala apa yang bakal diraihnya nanti dari penemuan ini. Dia dengan riaknya, rakus pada masa yang sama.
Kini Holocom menumpukan terus ke bahagian tompok hijau lalu kawasan tersebut dibesarkan sebanyak beribu kali sehingga mereka dapat melihat permukaan Dresanala dengan jelas.
“Kawasan ini adalah sebuah kawasan hutan hujan Khatulistiwa. Penuh dengan tumbuh-tumbuhan hutan. Tetapi, jika kita lihat pada bahagian ini pula… Struktur mukabuminya berlainan dengan tempat lain. Dari analisa awal komputer, saya telah diberitahu bahawa sebuah meteor kecil telah jatuh ke kawasan ini, dan kejadian ini telah berlaku kira-kira 2,000 tahun yang lalu,” Savitri meniti penjelasannya dengan cermat.
“Kira-kira 30 kilometer dari kawasan impak pula, ada tanda-tanda bahawa sebuah struktur telah dibina di sana,” ujar Doktor Wideh. Kini Holocom menumpukan ke bahagian yang dinyatakan oleh Doktor Wideh. Semua melihat sama.
“Ianya pasti sebuah struktur projektor hologram,” ujar Ridwan ketika memeriksa struktur tersebut yang kini telah dilakukan simulasi 3D oleh Holocom.
“Kawasan ini mungkin tidak mempunyai lindungan ilusi hologram kerana projektor hologram rosak setelah terkena kesan hentakan dari meteor,” doktor Wideh mengeluarkan teorinya.
“Hmmm…” Ridwan menguis-nguis dagunya.
“Di sebuah kawasan sejauh 156 kilometer dari struktur ini pula ada sebuah struktur berbentuk piramid. Ia telah dibina sepenuhnya dengan—”
“Dengan kristal Kiribati!” Ridwan memintas kata-kata doktor Wideh. Dia kaget. Simulasi struktur tersebut nampak kurang jelas, tetapi bentuk piramidnya tidak boleh disangkal lagi.
“Kita perlu ke sana,” ujar Kartini. Kemudian dia memandang ke arah Khairul. “Aku mahu kau bawa doktor Wideh dan Savitri ke sana. Hanya kau bertiga.”
Ridwan menarik nafasnya panjang. Dia sendiri tahu bahawa kerja-kerja penerokaan seperti ini memang merbahaya. Dia sendiri tidak sanggup menjadi orang pertama turun ke permukaan yang asing seperti ini.
Ridwan memegang kolar seragam Khairul lalu dipaksanya berdiri. Dengan sentapan pantas, Khairul dipaksa berdiri di atas kakinya.
“Bawa mereka ke sana sekarang juga!” perintah Ridwan dengan garang. Dia tidak memberi muka kepada Khairul. Dia menolak Khairul ke arah doktor Wideh.
Doktor Wideh menyambut Khairul dengan memegang kedua belah bahunya. Dia merenung ke dalam mata Khairul yang nampak kosong, yang tidak bermaya itu. Tetapi dalam masa yang sama, dia nampak cahaya kepuasan di dalamnya. Seolah-olah kini Khairul dapat menjawab segala soalan yang telah membelenggu jiwanya selama ini.

**

Khairul kini memandu sendiri shuttle Wei-tuo keluar dari Chung-Kuei. Sebelum itu dia telah dinasihati oleh Savitri supaya masuk ke dalam atmosfera melalui pembukaan yang berbentuk heksagon itu.
“Cuba bayangkan tahap teknologi mereka yang telah membina projektor hologram ini!” doktor Wideh menyorongkan pendapatnya.
Khairul hanya mendiamkan diri. Dia lebih tertumpu untuk menerbangkan Wei-tuo turun ke atmosfera Dresanala.
“Cantik tempat ini!” Getus Savitri sebaik sahaja Wei-tuo keluar dari kawasan kepulan awan. Ia bergerak ke kawasan yang lebih rendah lalu menampakkan keadaan sebenar mukabumi bulan tersebut.
Mereka bertiga tekun memandang ke bawah. Doktor Wideh ingin melihat dengan lebih dekat. Savitri pula menggunakan komputer mudah-alih sendiri untuk mencerap bahagian-bahagian tertentu.
“Lebih 67 peratus mukabumi Dresanala dilitupi dengan kawasan laut. Ia diliputi dengan hutan tebal dan… Imbasan menunjukkan ia kaya dengan flora dan fauna dari pelbagai jenis,” jelas Savitri dengan nada seronok. Cahaya Arjuna yang berwarna biru masuk menerangi bahagian kokpit Wei-tuo. Sinarnya terlimpah ke kapalangkasa yang baru pertama kali menjejak ke sana.
Khairul menerbangkan Wei-tuo dengan cekap. Ketika di maktab dahulu, dia adalah di antara pelajar yang terbaik di dalam bidang penerbangan dan pengemudian kapalangkasa. Dia mempunyai kecekapan untuk membawa pelbagai jenis pesawat kepunyaan Pasukan Marin Antarabangsa. Tetapi dahulu, setiap latihannya di lakukannya di dalam bilik simulasi Holo-S. Apa yang perlu dihadapinya kini berlaku di hadapannya—ianya bukan satu simulasi yang telah dicipta di dalam satu dunia tiruan, dan ianya sedang berlaku di dalam dunia nyata. Realiti penerbangan sebenar.

Wei-tuo berlegar-legar di atas struktur piramid kecil berwarna biru yang terletak di tengah-tengah hutan itu. Savitri dan doktor Wideh nampak kagum dengan apa yang dapat mereka lihat. Begitu juga dengan Ridwan dan Kartini yang sedang memerhati dari anjung Chung-kuei.
Khairul dapat melihat dataran yang agak luas di hadapan piramid. Dengan cukup berhati-hati, dia mendaratkan Wei-tuo di atas dataran itu. Kawasan di sekelilinginya dilitupi sengan hutan tebal. Menghijau. Mergastua bagai berirama.
Mereka kini telah mendarat dengan selamat. Pintu shuttle Wei-tuo kini terbuka. Sebelum itu, mereka telah melaksanakan diagnostik terhadap keadaan sekeliling, terutama udara di luar. Keputusan menunjukkan bahawa udara di Dresanala tidak mengandungi sebarang komposisi racun yang boleh membawa musibah kepada mereka. Kalaupun ia beracun, mereka telahpun dilengkapi dengan topeng khas.

Khairul keluar dari perut Wei-tuo dahulu untuk memastikan bahawa keadaan di luar selamat dan terkawal. Setelah dirasakannya selamat, barulah dia membenarkan Savitri dan doktor Wideh keluar.
“Kamu dapat dengar?” tanya doktor Wideh. Matanya terus kepada struktur piramid di hadapannya.
“Ya, bunyi tu datang dari arah piramid,” sambut Savitri dengan yakin. Matanya dipejamkan sebentar, bagi mendengar dengan teliti. Dia mengangguk.
“Piramid itu seperti menyanyikan irama atau rentak Dresanala… Sama keadaan seperti di gua Sarr di mana terdapatnya banyak endapan kristal Mbeki di sana. Ketika kita di dalam gua Sarr, kita boleh mendengar bunyi-bunyian indah yang datangnya dari Hermoso,” jelas doktor Wideh. “Seperti kristal Mbeki, ia juga dapat menangkap gelombang medan magnetik planet ini, lalu struktur dalamannya bergetar dan mengeluarkan bunyi yang indah seperti yang dapat kita dengar kini.” Semua yang ada bagaikan menikmati irama yang julung-julung kali dihidangkan kepada telinga mereka.
“Nyanyiannya begitu mengasyikkan!” Ujar Savitri penuh kagum. Dia memandang ke arah Khairul seolah-olah mengaharap Khairul akan membalas kata-katanya seperti yang sering dilakukannya dahulu. “Kami pernah dihadiahkan dengan arca kristal Hermoso di Bihar. Ketika saya kecil dahulu, sebelum tercetusnya peperangan. Saya sempat mendengar lagu nyanyiannya. Lagunya sama indah seperti ini. Tetapi saya telah diberitahu nyanyian kristal Mbeki berubah bagai rentak sedih apabila berlakunya peperangan dan kota-kota kami dihancurkan oleh Perbadanan Bumi. Begitu sedih sehingga ramai diantara kami yang tidak sanggup mendengar nyanyiannya itu.” Suara Savitri berat dan rendah.
“Orang-orang Hermoso percaya bahawa sebuah planet itu sendiri adalah satu benda hidup,” Khairul akhirnya memecah buntu, setelah sekian lama dia berdiam diri. Perkara ini menjadi salah satu teras di dalam kepercayaan mereka.
“Juga di dalam kepercayaan Bihar,” kata Savitri perlahan. “Semua benda hidup mesti dihormati.”
Khairul mendengus sinis. Dia langsung tidak memandang ke arahnya. Savitri mula dapat merasakan kedinginan yang ada di dalam diri Khairul. Dia tidak pula benci akan kerenah Khairul itu. Dia faham bahawa dirinya itu mungkin tidak dapat diterima Khairul seperti sebelumnya. Dia tahu Khairul mungkin menganggapnya seperti lanun-lanun SDT yang lain, yang hanya tahu membunuh dan menyamun. Ringkasnya, berhati jahat.
“Saya faham abang benci pada saya,” Savitri berkata dengan perlahan. Tenungannya menyentuh wajah Khairul.
“Tak. Aku tak pernah bencikan kau. Aku… aku cuma kecewa,” jelas Khairul sambil matanya seakan terpaku memandang ke arah struktur piramid biru di hadapannya. Kalau boleh, dia mahu datuknya sendiri melihat apa yang dapat dilihatnya sekarang. Akhirnya terbukti bahawa memang ada wujudnya makhluk asing selain dari manusia.
“Abang… Pakcik Ridwan telah banyak menolong saya, keluarga saya dan pelarian-pelarian Bihar yang lain. Saya terhutang budi kepadanya!” Savitri cuba menjelaskan kedudukannya. Khairul masih melihat tajam kepada piramid di depannya. Dia bukan angkuh terhadap Savitri, tetapi dia teramat kagum dengan penemuannya kali ini.
“Dan kau kena ingat Savitri. Pakcik aku jugalah yang telah jadikan kau, keluarga kau dan ramai lagi orang-orang Bihar menjadi sebahagian dari organisasi lanun SDT.”
“Lebih baik SDT dari menyertai Perbadanan Bumi yang telah menghancurkan dunia kami di Bihar!” sampuk Savitri dengan tegas. Dia rasa dia perlu menegakkan kebenaran dari sudut pandangannya. Dia tidak perlu berasa bersalah, dalam isu apa sekalipun. Dia ingin memberitahu pandangannya. Dia harap Khairul faham. “Abang tidak mungkin akan faham apa yang telah mereka lakukan kepada Bihar dan penduduknya.”
Khairul tidak mahu mendengar penjelasan yang akan diberikan kepadanya oleh Savitri, kerana ketaatannya hanya kepada Pasukan Marin Angkasalepas dan seterusnya kepada Perbadanan Bumi. Tangannya diangkat ke udara, bagai cuba menyuruh Savitri berhenti dari berkhutbah kepadanya.
“Aku pernah bercuti di Hermoso...” doktor Wideh cuba mencelah dan nyata ingin mengubah haluan perbincangan yang sedikit tegang. Dari tadi dia mendengar bualan mereka berdua, kalau tak dileraikan, ada yang akan terluka. Dia menyambung, “Di sana ramai penduduknya percaya bahawa mereka sedang mendiami sebuah planet yang pernah didiami oleh sekumpulan kecil makhluk asing yang telah pupus sejak berjuta-juta tahun dahulu. Beberapa struktur purba telah ditemui, tetapi kawasan-kawasan yang mengandungi struktur-struktur purba ini terus ditutup oleh pihak Perbadanan Bumi,” jelas doktor Wideh, sesekali matanya mengerling ke arah Savitri dan Khairul. Lantas dia menyambung, “Malah… Aku pernah mendengar cerita bahawa pihak Perbadanan Bumi cuba menyembunyikan tentang hal ini dari orang ramai. Mereka tidak mahu kita tahu bahawa wujudnya mahkluk asing di alam ini selain dari manusia.” Dia berhenti untuk menghela nafasnya. Udara yang baru dihirupnya, tidak pula dirasakan janggal. Dia semakin selesa di sini.
“Mereka mahu kita berfikir bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian. Maka kita mempunyai segala hak untuk menakluki apa yang ada di dalam galaksi kita ini,” ujar Savitri yang sememangnya benci kepada segala-galanya yang bersangkut paut dengan Perbadanan Bumi. Kalau boleh, dia tidak ingin tahu apa yang berlaku ke atas mereka. Bagi Savitri, Perbadanan Bumi hanya mengundang bencinya yang tak sudah.
“Ada tanda-tanda menunjukkan bahawa terdapatnya sebuah megastruktur di bawah kita!” Kata doktor Wideh dengan penuh ghairah sambil memeriksa alat imbasannya yang kini mula mengeluarkan analisa yang terbaru. Ya, nyata alat itu memberikan petanda adanya megastruktur di bawahnya. Dia bagaikan kanak-kanak rakus untuk terus meneliti apa yang menati di bawah sana.
“Megastruktur? Apa yang doktor maksudkan?” tanya Savitri meminta kepastian. Dia menggunakan alat imbasannya pula. Dia ingin menghimpun keyakinan dirinya. “Ianya besar. Dan… Ada tanda-tanda kehidupan di bawah sana. Tetapi saya tak berapa pasti apa yang sebenarnya ada di situ. Mereka tidak pula bergerak, itu sahaja yang dapat saya pastikan sekarang.”
Mereka bertiga kini bergerak masuk ke bahagian hadapan piramid. Piramid itu tertutup rapat seperti sebuah bongkah rumah kaca berwarna biru. Di seluruh permukaan piramid terukir tulisan-tulisan asing di atasnya. Pelbagai persoalan bergelut di dalam fikiran masing-masing.
“Bagaimana caranya untuk kita masuk ke dalam?” tanya Savitri.
“Pasti ada pintu. Cuma kita patut mencari pintunya. Mari kita lakukan bersama, mudah sedikit,” kata doktor Wideh sambil memegang permukaan struktur piramid. Tidak pula dia berasa asing. Tulisan asing yang dapat dilihatnya itu seolah-olah telah diukir pada bahagian dalam kristal.
Khairul bingkas berlalu ke depan. Dia menggunakan mata bioniknya untuk melihat permukaan piramid dengan pelbagai spektrum. Dia nampaknya boleh melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh doktor Wideh dan Savitri.
“Mereka melihat dunia mereka dengan spektrum ultraungu. Jadi mereka dapat melihat apa yang kita tidak dapat lihat. Pastinya dunia mereka telah mereka reka dengan sebegitu rupa supaya kebolehan mereka melihat warna ultraungu digunakan sepenuhnya,” ujar Khairul sedikit sebanyak. Dia berjalan mengelilingi struktur piramid sehingga dia berhenti di hadapan sebuah permukaan yang nampaknya tidak ubah seperti permukaan yang lain. “Pintunya di sini!” katanya kemudian. Dia tampak yakin.
“Bagaimana untuk membukanya?” tanya doktor Wideh. Seolah-olah Khairul tahu jawapannya.
“Saya rasa struktur ini telah dibina sekadar untuk melindungi apa yang ada di dalamnya, dari cuaca dan masa,” ujar Savitri. Dia kini melihat apa yang ada di hadapannya dengan imbasan spektrum ultraungu. Dia menunjukkan kepada Khairul bahagian yang berbentuk seperti tangan manusia yang bersaiz besar. Khairul dan doktor Wideh perpandangan antara satu sama lain.
Khairul melekapkan tangannya kepada bahagian tersebut. Lantas dengan sendirinya bahagian piramid yang tadinya tertutup seperti tembok kristal, hilang dari pandangan. Mereka terus takjub. Kaku di depan struktur piramid itu.
Kini mereka dapat melihat keadaan di dalam struktur piramid. Lantainya bewarna putih bersih. Tetapi bagi Khairul, dia dapat melihat beberapa tulisan asing yang tertumpu kepada satu garisan bulatan di tengah-tengahnya. Sekali pandang, ia nampak seperti hasil seni yang begitu tinggi ketelitiannya.
“Garisan ini akan membawa kita ke bawah. Kau jangan tanya, bagaimana aku boleh tahu tentang hal ini. Aku sendiri tak tahu, tapi aku rasa ia adalah pintu kepada apa yang terdapat di bawah sana,” jelas Khairul. Sejak dia mula-mula melihat piramid ini, dia seolah-olah tahu apa yang perlu dilakukannya untuk membuka segala rahsia yang terkandung di dalam piramid ini. Dia tidak pula lokek untuk berkongsi dengan Savitri dan doktor Wideh.
Mereka bertiga terpukau melihat keindahan di dalam piramid. Tiada kata-kata dapat melakar apa yang dipersembahkan di depan mereka. Mereka riang. Bagaikan anak kecil yang dilepaskan bermain di inderaloka. Mereka tidak dapat membayangkan apa yang bakal mereka terokai lagi. Mereka nampaknya tidak sabar untuk melihat dunia yang ada di bawah struktur piramid.
Khairul berdiri di tengah-tengah gasiran bulatan ultraungu yang dapat dilihat oleh matanya itu. Tatkala itu dia dapat merasakan seolah-olah fikirannya sedang dikuasai oleh sesuatu. Ia seolah-olah sedang menanya benak fikiran Khairul—apa yang mahu dilakukan pada waktu itu. Khairul hanya memikirkan tentang kemahuannya untuk turun ke bawah lalu melihat megastruktur yang ada di bawahnya.
Tanpa disedarinya, kristal Ambilobe yang dipakainya bersinar cahaya kehijauan. Sinar itu tumpah ke dada dan mukanya. Kehijuan. Tidak sampai beberapa detik kemudian, sebuah kubah lutsinar yang besar terbentuk mengelilinginya. Doktor Wideh dan Savitri terus berpaling ke arahnya. Mereka bingung melihat apa yang sedang berlaku kepada Khairul. Mereka tidak sempat mencari jawapan. Mereka hanya terpukau. Mereka kaku berdiri. Lebih-lebih lagi apabila mereka melihat Khairul perlahan-lahan hilang dari pandangan mereka bersama kubah tersebut…

Bab 10


“Arca naga mahawangsa dikatakan akan memberi perlindungan, tetapi ia perlu dihias bersebelahan dengan arca garuda, kerana semangat kejahatan naga mahawangsa akan dibendung oleh garuda.”
-- “Rahsia Sastra Jendra.” Oleh Kijan Supowinangun

---

Ridwan memerhatikan piramid biru di hadapannya. Dia berpaling ke arah Kartini. Dia tersenyum puas. Dirasakannya semua yang dilihatnya kini adalah miliknya.
“Jadi… Memang terbukti kini wujudnya makhluk asing di alam maya ini.” Jelas Ridwan kepada Kartini. Suaranya disulami rasa sinis yang menjadi-jadi. Dia mendapati cahaya Arjuna yang berwarna kebiruan itu telah menambah-cantikkan lagi wajah kekasihnya yang putih melepak itu.
“Kalau macam tu, betullah kata Khairul selama ini.” Kata Kartini seperti sengaja mahu membuat Ridwan cemburu. Tetapi Ridwan tidak membalas kata-katanya tadi. Dia kini sibuk memikirkan tentang penemuan Dresanala yang bakal menjanjikan kekayaan yang tidak ternilai kepadanya nanti.
“Tuan… Planet ini nampaknya mempunyai banyak lokasi yang boleh kita dijadikan sebagai tempat untuk melombong kristal Kiribati.” Ujar seorang lanun SDT dengan penemuannya.
“Bagaimana pula dengan kristal yang kita perlukan untuk menjana reaktor hyperdrive Chung-Kuei? Apa kata kita pecahkan sahaja permukaan piramid ini?” Saran Ridwan dengan nada serius. Dia bercekak pinggang memerhatikan struktur piramid di hadapannya. Kemudian dia menjeling ke arah hutan tebal yang mengelilingi struktur misteri ini.
“Ada kawasan yang kita boleh lombong berdekatan di sini. Lagipun kita hanya perlukan sedikit sahaja kristal kiribati untuk ke pengkalan kita nanti.” Sampuk doktor Wideh memberanikan dirinya. “Apa yang ada di hadapan kita ini mempunyai nilai sejarah dan seni yang tinggi. Kita patut memeliharanya.”
Ridwan menjeling benci. Dia tidak boleh berkata apa-apa, memandangkan Kartini sendiri akur dengan pendapat doktor Wideh.
“Jadi… Bagaimana dengan percubaan kita untuk turun ke bawah?” Tanya Ridwan kepada doktor Wideh yang kini telah dilantik sebagai ketua saintis ekspedisi ini.
“Kita tidak boleh melakukan apa-apa. Permukaan lantai terlalu keras. Kita tidak mempunyai teknologi untuk mencalarkannya sekalipun. Malah, ia mampu memantulkan sinaran lazer.”
Ridwan melangkah masuk ke dalam piramid. Dia memerhatikan keadaan di sekelilingnya. Pancaran Arjuna telah membuatkan ukiran-ukiran tulisan makhluk asing yang terukir di dalam kristal Kiribati jatuh ke wajah Kartini.
Beberapa orang lanun SDT nampaknya berkerumun di tengah-tengah bahagian piramid. Ada perkara yang mereka bincangkan antara mereka.
“Sudah tujuh hari dia ada di bawah sana.” Jelas Savitri kepada Ridwan. Dia memandang ke atas lantai.
“Jadi apa yang dapat kita fahami?” Tanya Ridwan. Kini matanya memandang ke arah monitor nipis di hadapannya. Dia kini dapat melihat apa yang dapat dilihat oleh mata Khairul. Tetapi yang anehnya, ianya langsung tidak bergerak. “Apa yang sedang berlaku?”
“Sebenarnya ada mekanisme pelembap masa di bawah sana. Jadi dia mungkin fikirkan apa yang sedang dilaluinya cuma beberapa minit, tapi bagi kita ianya mungkin akan berlaku selama beberapa hari.”
Savitri memainkan rakaman dari mata bionik Khairul yang telah dikumpulkan selama dua hari. Rakaman yang dimainkan selama lima minit. Dan itulah rakaman yang telah mereka dapat selama tujuh hari Khairul berada di dalam megastruktur di bahagian bawah.

Ridwan dan Kartini nampak terkejut setelah mereka memerhatikan rakaman yang telah dibuat oleh mata Khairul. Kini ternyata apa yang telah sedang dilihat oleh Khairul jauh ke hadapan dari tahap teknologi yang mereka ada buat masa ini.

**

Khairul mendapati bahawa dengan tiba-tiba sahaja dia telah berada di dalam sebuah kapsul yang bertindak seperti sebuah lif yang membawanya turun ke bawah megastruktur. Lif bergerak pantas menuruni megastruktur yang pada mulanya malap, dan kini setelah cahaya mula dihidupkan, dia mendapati bahawa megastruktur ini bersifat organik. Bahagian dindingnya kelihatan berakar dan berurat. Mereka mengasaskan teknologi mereka dari bahan organik!
Satu persatu cahaya di dalam megastruktur telah dihidupkan, lalu dengan jelas Khairul dapat melihat bahawa megastruktur ini mempunyai beratus-ratus tingkat ke bawah tanah. Dan lebih mengkagumkan, megastruktur yang kelihatan seperti silinder ini dikelilingi oleh beratus ribu buah kapsul bersaiz tak ubah seperti keranda manusia. Apabila diamatinya, dia dapat melihat bahawa kapsul-kapsul ini kelihatan seperti sebuah kepompong. Tetapi apa yang mengejutkannya, adalah apa yang terkandung di dalam kapsul-kapsul tersebut.
Di dalam kapsul-kapsul tersebut terdapat tubuh makhluk asing dalam keadaan diri serta tidak sedarkan diri. Dengan cepat dia dapat meneka bahawa megastruktur ini adalah sebuah pusat kryogenik.
Khairul dibawa ke tingkap yang paling bawah.
Lif yang membawanya ke bawah terus hilang begitu sahaja. Dia mendongak ke atas. Dia mendapati seolah-olah dia sedang berada di bahagian paling bawah sebuah bangunan yang amat tinggi. Bezanya cuma—dia dapat melihat kapsul-kapsul kryogenik mengelilinginya dari aras paling bawah sehinggalah ke aras yang paling atas.

Tidak diketahui oleh Khairul dari mana datangnya, secara tiba-tiba seekor obor-obor terapung-apung mendekatinya. Khairul mengamati obor-obor lutsinar itu yang kini sedang menyentuhnya dengan jejarinya yang panjang itu. Dia mendapati obor-obor tersebut adalah seekor droid organik yang sedang memeriksanya.
Dari gerak-geri droid itu, Khairul dapat rasakan bahawa obor-obor ini tidak berniat untuk menganggunya atau menyakitinya. Dia mula merasakan bahawa teknologi makhluk asing ini telah membolehkan dia berinteraksi dengan droid obor-obor ini tanpa perlu bersuara kepadanya ataupun memahami bahasanya.
Obor-obor ini telah memberitahunya bahawa ia ingin memeriksa kristal Ambilobe yang sedang dipakainya. Setelah ia puas memeriksanya, ia kemudian telah mengeluarkan cahaya berwarna warni dari dalam tubuhnya.
Khairul bertanyakan kepadanya tentang tempat ini dan siapa yang membina tempat ini. Dengan sepantas kilat jawapan yang diinginkannya terus dipindahkan ke dalam kepalanya, malah lebih dari itu telah diberikan kepadanya. Segala-galanya tentang makhluk asing itu kini telah tertanam di dalam kepalanya.
Khairul memegang kepalanya. Dia rasanya kepalanya tiba-tiba sahaja penuh dengan perkara-perkara yang dia baru sahaja fahami. Dia memandang kepada droid obor-obor di hadapannya. Dia tertunduk hormat kepada obor-obor tersebut.
Khairul kini telah memahami segala-galanya. Dia kini tahu bahawa droid obor-obor ini dikenali sebagai Ibeni oleh makhluk asing bernama Isbin ini. Khairul kini rasa dia perlu melakukan sesuatu untuk memastikan bahawa makhluk bernama Isbin ini tidak akan diganggu. Masa mereka untuk dibangkitkan semula belum tiba lagi…

**

Sebuah piramid putih kini terbentuk di tengah-tengah piramid. Ia telah muncul seperti sebuah struktur yang telah tiba-tiba sahaja terbina dengan sendirinya. Bahagian depan piramid kini terbuka. Khairul keluar dari perut piramid. Dia dapati di bahagian hadapan bangunan piramid yang diperbuat dari kristal kiribati kini terdapat beberapa buah pesawat shuttle kepunyaan SDT. Dia memerhatikan wajah-wajah asing di hadapannya. Dia mula merasa keliru.
“Kau telah berada di bawah sana selama empat belas hari.” Jelas doktor Wideh.
“Tapi saya cuma berada di bawah selama beberapa minit sahaja.” Bantah Khairul. Dia benar-benar tidak faham kepada apa yang sedang berlaku sekarang.
“Selama kau berada di bawah sana. Ridwan telah membawa Chung-Kuei ke pengkalan mereka dan membawa lebih ramai anggota lanun SDT dan kelengkapan mereka ke sini.
“Apa yang mahu mereka lakukan?” Tanya Khairul dengan cemas.
“Mereka ingin membuka lombong kristal Kiribati di sini.” Beritahu doktor Wideh.
“Mereka tidak boleh lakukan ini semua!” Khairul menempelak. Suaranya kuat. Kesemua lanun SDT yang ada terus berpaling ke arahnya.
“Kenapa pulak ni?” Ujar Ridwan sambil berjalan masuk ke dalam struktur piramid bersama Kartini dan Savitri.
Bunyi derap boot yang dipakai Ridwan sahaja mampu menggerunkan Khairul. Dia rasa terperangkap. Dia hanya mendiamkan dirinya.
“Apa benda ni?” Tanya Ridwan terpegun dia melihat struktur piramid putih di hadapannya.
“Sebuah lif yang akan membawa ke bahagian bawah.” Jelas doktor Wideh.
“Bagaimana pula dengan teknologi pelembab masa yang mereka ada?” Tanya Kartini.
“Saya rasa ia telah dimatikan beberapa saat sebelum Khairul tiba ke tingkat yang teratas.”
“Jadi kini struktur bahagian bawah selamat untuk kita terokai?” Tanya Kartini.
“Saya rasa selamat.” Doktor Wideh memberikan pengesahan.
“Tidak! Kita mesti keluar dari sini. Semua ini kesilapan saya. Kita tak sepatutnya datang kemari!” Kata Khairul tergesa-gesa kepada Kartini.
Ridwan memberi isyarat kepada dua orang lanun SDT. Lalu dengan cepat mereka bertindak menggari kedua-dua tangan Khairul. Khairul meronta-ronta, cuba melawan. Sememangnya agak sukar untuk mereka berdua mengawal Khairul yang dirasanya terlalu kuat untuk mereka.
“Kenapa ni?” tanya Khairul sebelum dia ditumbuk di perutnya oleh salah seorang lanun SDT yang telah diterajangnya tadi.
“Kami mahu turun ke bawah, jadi aku mahu kau tunjukkan apa yang ada di bawah sana.” Jelas Ridwan. Dia menolak Khairul masuk ke dalam perut piramid putih. Savitri, doktor Wideh dan Kartini masuk sama, untuk turut serta.
“Komputer kita telah berjaya untuk menterjemahkan tulisan makhluk asing ini dengan menganalisa tulisan-tulisan yang terdapat di permukaan piramid. Apa yang mereka tulis adalah ayat dari kitab suci agama mereka. Apa yang penting, kebolehan kita untuk memahami tulisan mereka akan membolehkan kita memahami teknologi yang mereka ada.” Jelas Savitri. Dia kini sedang memakai sejenis kacamata yang membolehkan dia melihat spektrum warna ultraungu yang juga telah dilengkapkan dengan komputer penterjemah. Dia membaca apa yang ada di dalam piramid putih. Dia menyentuh bahagian yang dirasanya akan membawa mereka ke megastruktur di bawah mereka.
Pintu piramid putih kini tertutup rapat. Dengan pantas, mereka dibawa turun untk melihat apa yang terkandung di bawah sana.

**

Sebuah lif yang berbentuk seperti kapsul membawa mereka berlima turun ke bahagian bawah megastruktur ini. Mereka kini dapat melihat apa yang telah dapat dilihat oleh Khairul sebelum ini. Rasa kagum yang amat sangat mula menyelubungi diri mereka.
“Mungkin megastruktur ini adalah sebuah kapalangkasa. Cuma ia telah diubahsuai untuk digunakan sebagai pusat kryogenik.” Fikir doktor Wideh. Dia mengusap-usap janggutnya.
“Kalau begitu, bayangkan apa yang boleh kita ambil dari teknologi mereka.” Sebut Ridwan. Khairul sedar bahawa Ridwan telah menggunakan perkataan ‘ambil’ dan bukan ‘pinjam’ atau ‘pelajari’.
“Kita tidak mempunyai hak untuk menceroboh ke dalam dunia mereka!” Khairul membantah sekeras-kerasnya. Hatinya masih tidak keruan sejak-sejak kepalanya telah ditanam dengan informasi tentang makhluk asing ini. Terlalu banyak perkara yang dia ketahui dan tidak difahami oleh mereka seperti Ridwan dan lain-lain. Dia lantas menyambung, “Kita telah ke sini dengan misi untuk menolong kita satu hari nanti!”
Ridwan dan Kartini langsung tidak mengendahkan kata-kata Khairul. Mereka taksub dengan apa yang mereka lihat di sekeliling mereka.
Kapsul kini telah membawa mereka ke tingkat yang paling bawah. Beberapa droid obor-obor yang telah memeriksa Khairul tadi kini sedang terapung-apung melepasi mereka. Nampaknya ada beribu-ribu obor-obor seperti ini di dalam megastruktur ini. Tugas mereka adalah untuk menjaga serta menyelenggara megastruktur ini. Obor-obor Ibeni terus bergerak meneruskan tugas masing-masing.
Ridwan bergerak mendekati sebuah kapsul kryogenik. Dia mengamati seorang makhluk asing yang berkulit kebiruan. Mereka berada dalam keadaan bogel. Dia mendapati, bentuk tubuh makhluk tersebut adalah lebih besar sedikit berbanding bentuk badan manusia normal.
“Mereka adalah makhluk humanoid… Seperti kita juga.”Jelas doktor Wideh.
“Kita boleh keluarkan mereka dari kapsul kryogenik ini?” Tanya Ridwan kepada Savitri.
“Boleh… Kalau kita boleh tahu fungsi sistem komputernya.” Sambut Savitri bersungguh-sungguh. Dia mengeluarkan komputer diagnostik dari kocek seluarnya.
“Tapi bagaimana?” Tanya Kartini.
Ridwan mengambil sebuah droid obor-obor yang sedang terapung-apung di hadapannya. Dia menyerahkan obor-obor tersebut kepada Savitri.
Savitri memandang kepada bahagian dalam obor-obor lutsinar ini. Ianya bersifat organik. Jauh benar bezanya berbanding dengan mekanisme droid-droid ciptaan manusia. Sifat organik droid itu membolehkan Savitri untuk menyuntik beribu-ribu buah Nanobot ke dalam obor-obor itu. Nanobot yang telah diprogramkannya akan digunakan untuk menggodam sistem komputer obor-obor ini dalam usaha memahami fungsi sebenar sistem komputer yang mereka bincangkan tadi.
Kini Nanobot sedang menyerang urat saraf obor-obor. Ia cuba menyalurkan setiap informasi yang disimpannya kepada komputer Savitri dan menggodam sistemnya supaya Savitri dapat mengawalnya.
Di dalam sekejap masa sahaja, obor-obor kini telah diasimilasikan. Ia sekarang dapat dikawal sepenuhnya oleh Savitri.
Savitri membuat beberapa arahan kepada komputernya. Obor-obor bergerak ke kapsul kryogenik yang terdekat lalu mengarahkan kapsul kryogenik supaya memulakan proses untuk menghidupkan kembali makhluk asing yang ada di dalamnya. Makhluk asing yang pertama tersebut adalah seorang makhluk asing wanita.
Cecair kental yang memenuhi kapsul kryogenik disedut keluar. Beberapa saat kemudian, pintu kryogenik terbuka luas.
“Apa dah jadi dengan kau semua hah? Ini semua salah! Kita tak sepatutnya melakukan ini semua kepada mereka!” Khairul membantah. Dia tidak percaya apa yang sedang berlaku di hadapannya kini.
Makhluk asing itu kini terbatuk-batuk lalu memuntahkan cecair kental dari mulutnya. Dia membuka matanya. Dia mempunyai anak mata yang besar serta berwarna biru gelap. Dia nampak keliru dengan kehadiran makhluk-mahkluk asing di hadapannya.
Ridwan mengeluar dan membuka sebuah cekak logam yang tadinya kemas terlipat. Alat cekak logam yang kelihatan agak menakutkan itu kemudian telah diletakkannya ke leher makhluk asing tersebut.
“Jangan! Jangan lakukan itu semua!” Khairul membantah dengan lantang. Dia meronta-ronta di dalam keadaannya yang bergari itu.
Ridwan mengeluarkan makhluk asing itu dari kapsul kryogenik. Kemudian dia memandang ke arah Khairul dengan satu pandangan penuh benci. Dia menolak serta menerajang Khairul masuk ke dalam kapsul kryogenik. Belum sempat Khairul dapat melawan, pintu kapsul telah ditutupnya dengan rapat.
“Dahulu aku selalu mendengar ceramah al-sheikh dan al-ustaz yang dijemput khas dari kota Metro-R yang memperkatakan tentang keistimewaan penciptaan manusia sebagai khalifah di Bumi. Kita adalah sebaik-baik mahkluk yang telah diciptakan Tuhan. Makhluk biru ini perlu menganggap kita sebagai makhluk sebaik-baik kejadian dan sebagai khalifahnya.” Ridwan berkata dengan nada yang angkuh. Dia kemudian merampas komputer diagnostik dari tangan Savitri. Lalu dia dengan sendirinya mempogramkan supaya kryogenik itu dihidupkan fungsinya semula.
Di dalam beberapa saat, cecair kental mula memenuhi kapsul. Khairul menjerit sekuat hati untuk meminta tolong, tetapi jeritannya itu tidak dapat didengari oleh mereka di luar. Doktor Wideh dan Savitri kelihatan terkejut dengan tindakan Ridwan. Kartini pula membiarkan sahaja tanpa membantah.
Cecair di dalam kapsul kini hampir penuh. Khairul lemas di dalam cecair kental yang kini telah memenuhi lubang hidung serta rongga tekaknya. Dia meronta-ronta di dalam kapsul kryogenik yang tidak direka untuk menampung fisiologi manusia sepertinya. Beberapa detik kemudian dia berhenti dari terus meronta-ronta. Tubuhnya terus kejang. Degupan nadinya terhenti dengan sendirinya.
Dia terbujur kaku seperti mayat di dalam kapsul itu.

Bab 11


“Mimpi tidak boleh disamakan dengan kehidupan. Jika apa yang berlaku di dalam alam nyata sama dengan apa yang berlaku di alam mimpi, maka akan timbul rasa ingin bangun dari lamunan mimpi setiap masa kita terjaga.”
-- “Serat Pustakaraja Dresanala”. Oleh Raden Ayu Brotodiningrat.

---

Khairul tercungap-cungap apabila cerair kental mula memenuhi bahagian teratas kapsul kryogenik. Dia dapat rasakan betapa sejuknya cecair tersebut. Semakin sejuk rasanya apabila cecair itu mula memasuki rongga-rongga pernafasannya. Di dalam keadaan panik, Khairul telah menyedut cecair kental itu lalu terus dia lemas. Nyawanya seperti hendak terputus di situ juga.
Tiba-tiba dia merasakan – dunianya gelap.

Beberapa detik kemudian, dia tersedar. Dia dapat melihat bahawa cecair kental yang memenuhi kapsul kryogenik telah disedut keluar. Dia masih kesejukan. Kini dia terasa loya, lalu memuntahkan cecair kental itu keluar dari dalam perutnya. Dia berada di dalam keadaan keliru.
Uniform Pasukan Marin Angkasalepasnya yang basah lenjun itu serta gari di tangannya kini telah dibuka oleh dua orang pemuda yang tidak dikenalinya. Mereka kemudiannya telah mengelap tubuh badannya yang sedang berada di dalam keadaan berbogel pada ketika itu. Dengan pantas mereka mengenakan pakaian baru di tubuh Khairul.
Pada waktu itu Khairul hanya membiarkan sahaja dirinya diperlakukan begitu oleh mereka. Dia sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku kepadanya. Otaknya masih cuba menyesuaikan diri dengan keadaannya yang seolah-olah telah dihidupkan semula setelah begitu lama dia berada di dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Khairul melihat kepada keadaan di sekelilingnya. Dia mendapati bahawa kesemua kapsul yang yang kelihatan tergantung seperti kepompong yang ada di sekelilingnya telah dikosongkan.
“Apa dah jadi?” tanya Khairul. Otaknya masih tumpul. Dua orang pemuda tersebut tidak menjawab. Mereka kini memegang bahunya lalu membawa Khairul masuk ke dalam lif kapsul.
Lif bergerak pantas ke tingkat yang paling atas. Khairul terkejut apabila dia mendapat keadaan megastruktur kini malap dengan kesemua kapsul-kapsul kryogenik yang ada kosong.
Kini mereka sampai ke tingkat teratas. Pintu lif terbuka. Mata Khairul terasa silau melihat keadaan di luar yang terang benderang.
Apabila dia membuka matanya, dia mendapati seorang wanita Bihar yang lengkap bertopeng sedang berdiri di hadapannya. Dia terpaksa mengambil masa selang beberapa saat untuk mengenal pasti topeng Tirthankaras yang sedang dipakai oleh wanita tersebut.
“Abang kenal saya lagi?” Tanya wanita tersebut. Suaranya lembut tatkala berkata-kata.
“Kau Savitri. Masakan aku boleh lupa!” Ucap Khairul terpinga-pinga sejurus. Hairan mengapa dia ditanya begitu oleh Savitri.
Khairul menarik nafasnya. Dia mendapati Savitri sedang memakai jubah Bihar yang langsung membuatnya nampak seperti seorang permaisuri yang cantik.
“Ye bang… Ini saya, Savitri.” Suara Savitri lembut.
Khairul melepaskan dirinya dari kedua orang pemuda yang sedang memegang bahunya. Dia berjalan keluar dari struktur piramid. Cepat-cepat kedua orang pemuda itu mengikutinya dari belakang.
Khairul mendapati keadaan di luar langsung berbeza dari apa yang diingatinya.
“Berapa lama aku tak sedarkan diri?” Tanya Khairul. Dia cepat-cepat mahu Savitri menjawab soalannya itu.
“Lima tahun.” Kata Savitri perlahan.
Khairul menarik nafas panjang. Dia melihat keadaan di luarnya yang sebelum ini dikelilingi dengan hutan tebal. Kini semuanya telah hilang dan digantikan dengan sebuah dataran yang agak luas. Beberapa buah bangunan telah dibina di mengelilingi dataran ini. Apa yang dapat dilihatnya kini adalah struktur sebuah istana yang sedang di dalam pembinaan.
Yang paling memeranjatkan baginya, adalah apabila dia dapat melihat beberapa orang makhluk asing yang sedang berjalan di hadapannya. Mereka tertunduk sambil berjalan.
“Mereka dikenali dengan nama Isbin.” Jelas Savitri.
“Aku tahu… Isbin adalah nama sistem mereka.” Sambut Khairul. “Galaksi mereka jauh dari sini. Terlalu jauh!”
“Ya, kami sudah tahu tentang ini semua. Mereka kemari dengan menggunakan teknologi kaum Tegu yang datangnya dari galaksi mereka. Kaum Tegu mempunyai teknologi untuk mengawal jambatan kosmik berupa wormhole.” Jelas Savitri dengan nada suaranya yang telah disintesis oleh topeng Tirthankaras yang sedang dipakainya. “Kami juga tahu bahawa sesuatu telah berlaku ketika mereka menggunakan wormhole itu. Sebab itulah mereka telah tiba di sistem ini beribu tahun lebih awal dari sepatutnya.”
“Kau tahu mereka telah ke sini untuk menyelamatkan kita semua dari kemusnahan?” Soalan meloncat dari bibirnya. Matanya menyala dengan api ingatan.
“Saya tahu semua tu. Mereka telah melarikan diri dari sesuatu yang didakwa mereka telah memusnahkan dunia mereka. Jadi mereka telah ke sini kerana mereka mahu mencari jalan untuk memusnahkan mahkluk yang telah berlagak dajal dengan memusnahkan dunia mereka. Mereka mahu menghalang makhluk itu dari terus memusnahkan dunia-dunia lain termasuk dunia manusia. Tetapi ia tak akan berlaku sehingga lebih seribu tahun dari sekarang. Dan kita tidak boleh pastikan jika cerita ini adalah cerita benar atau dongeng mereka semata-mata.” Savitri berkata-kata tanpa mengangkat mukanya.
“Bila tiba masanya nanti, kemusnahan mutlak akan menimpa manusia.”
“Ini semua kepercayaan karut! Mereka telah ke sini kerana mengikut ramalan seorang ketua mereka yang dipanggil dengan nama Seguiri.”
“Mereka percaya bahawa Seguiri adalah menyelamat kepada bangsa mereka.”
“Tetapi di mana Seguiri sekarang apabila mereka benar-benar memerlukannya?” Tanya Savitri dengan nada yang sinis. “Lihat sahaja apa yang telah berlaku kepada mereka sekarang…”
“Jadi apa yang kau semua telah lakukan kepada mereka?” Tanya Khairul yang tidak dapat menahan marahnya lagi.
“SDT telah mengambil keputusan untuk menjadikan mereka sebagai hamba.” Jawab Savitri serba salah. Jauh di dalam hatinya dia tahu apa yang dilakukan oleh SDT itu salah, tetapi dirasanya dia tidak mampu untuk melawan. Lagipun siapa aku? Aku tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mereka. Aku terlalu kerdil di mata mereka!
Khairul memerhatikan makhluk Isbin di hadapannya. Mereka nampaknya sedang memakai cekak di leher mereka.
“Cekak itu bukan sebarang cekak. Ia boleh meletup jika mereka cuba melawan atau cuba melarikan diri.” Jelas Savitri apabila dia dapat melihat Khairul meraba-raba lehernya sendiri.
“Kau tak patut lakukan ini semua kepada mereka!” Sungutan-sungutan berang mula kedengaran.
“Betul bang.” Akur Savitri akhirnya.
“Ini semua pasti kerja Ridwan!”
“Ya,” jawab Savitri sambil melepaskan nafasnya.
“Jadi kau ikut segala kehendaknya?”
“Saya tidak boleh melawan.”
“Kau boleh jika kau mahu.”
Savitri menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tunduk ke bawah.
Khairul cuma memerhatikannya. Dia tahu bahawa di dalam masa lima tahun, pelbagai perkara boleh berlaku. Dia tidak berani memikirkan apa lagi yang telah dilakukan oleh SDT kepada kaum Isbin.
“Kau telah mengahwininya, bukan?” Tanya Khairul meminta kepastian setelah dia melihat jubah merah yang dipakai oleh Savitri. Jubah tersebut mempunyai rekaan yang akan hanya dipakai oleh wanita Bihar yang sudah bersuami.
“Saya adalah salah seorang gundiknya. Isterinya sekarang adalah Kartini.” Jelas Savitri. Khairul kini pasti bahawa Savitri sayangkan Ridwan separuh mati dan kesetiaannya hanya kepadanya sahaja.
“Kenapa baru sekarang aku dibangkitkan semula?” Bahu Khairul dipegang semua oleh kedua orang pemuda tadi. Sebuah shuttle yang mempunyai rekabentuk yang aneh kini mendarat di hadapan mereka. Khairul pasti bahawa shuttle tersebut adalah dari rekabentuk teknologi Isbin.
“Kartini ingin berjumpa dengan abang.” Kata Savitri. Dia naik ke atas shuttle.
“Tapi untuk apa?”
Savitri tidak dapat menjawab soalan Khairul tadi. Dia memandang kepada salah seorang pemuda yang sedang mengiringi Khairul. Tanpa Khairul sedari, pemuda tersebut telah mengacukan hypospray ke leher Khairul.
Khairul terkulai jatuh. Tubuhnya terus diangkat dan diheret oleh kedua-dua pemuda tersebut masuk ke dalam shuttle yang berbentuk seakan-akan kumbang itu.

Shuttle Ngelangi terbang ke arah barat laut kota Pakubuwono . Ia terbang dengan laju merentas benua sehingga ia sampai ke laut Bogor. Setibanya ia ke destinasi di tengah-tegah laut Bogor, ia terbang dengan perlahan lalu mendarat di atas sebuah pelantar.
Megastruktur yang telah dibina oleh orang-orang Isbin ini sebahagian besarnya telah di bina di atas pemukaan laut. Ia terbentuk seperti beberapa kubah leper yang bersambung-sambung di tengah laut. Ia dibina sebagai sebuah pusat kryogenik di sebuah kawasan yang penuh dengan longgokan kristal Kiribati (atau dikenali sebagai Kristal Shataan oleh orang-orang Isbin). Senibina megastruktur ini berlainan dari yang ada di kota Pakubuwono, dan adalah dipercayai bahawa ia telah dibina dengan dua tradisi senibina Isbin yang berlainan.

“Bawa dia ke bilik doktor Wideh.” Perintah Savitri kepada anak buahnya. Mereka mengangguk sekali.
Savitri termenung jauh. Matanya merenung sinar Arjuna yang kini tenggelam di laut Bogor. Dia merarik nafasnya dalam-dalam. Perlahan-lahan air matanya jatuh membasahi pipinya.

**

Khairul membuka matanya. Dia mendapati doktor Wideh sedang duduk di dalam meja makmal.
“Ahhh…” Dia memicit-micit kepalanya. “Di mana saya sekarang?” Tanya Khairul. Dia langsung tidak boleh mengingati apa yang telah berlaku kepadanya sebelum ini. Dia memerhatikan meja makmal doktor Wideh. Dia ingin tahu jika ada bahagian di dalam tubuhnya yang telah diubah suai.
“Kau sedang berada di laut Bogor. Kita sedang berada di pusat Kryogenik Appagla.”
“Appagla… Setahu saya, ia bermaksud sejenis ikan di dalam bahasa Isbin.” Khairul dapat melihat imej ikan tersebut di dalam kepalanya.
“Mereka telah menanam segala infomasi ini ke dalam kepala kau.” Dengus doktor Wideh. Dia menoleh ke arah beberapa buah droid obor-obor Ibeni yang telah dikaji selidik isinya di atas meja makmalnya.
“Apa yang dah kau lakukan kepada mereka?” Tanya Khairul dengan nada marah. Dia tahu bahawa obor-obor Ibeni ini adalah makhluk Isbin itu sendiri yang telah diubah sifatnya. Kini mereka hanya tinggal bangkai tidak bernyawa di atas meja makmal!
“Kami mahu mengkaji teknologi mereka… Di antaranya, bagaimana mereka mampu memindahkan diri mereka ke dalam bentuk yang lain. Seperti ke dalam bentuk obor-obor Ibeni ini.” Senyuman pada bibirnya menawarkan kemasaman rupanya.
“Teknologi ini telah mereka pelajari dari kaum Tegu sejak berpuluh-puluh ribu tahun sebelum mereka beramai-ramai melarikan diri mereka ke Dresanala!” Suaranya menukik kesepian membentang suasana.
“Kau tahu ini semua dari mereka, bukan? Obor-obor Ibeni ini yang telah menanam semua informasi ini ke dalam otak kau.”
“Ya, tapi aku tak tahu kenapa mereka telah melakukan ini semua… Banyak yang aku tahu tentang mereka sekarang. Aku tak tahu apa gunanya informasi ini.” Fikirannya mengutip cebis-cebis maklumat dan mencantumkannya untuk menjadi corak yang tersusun. Tetapi corak itu masih nampak kabur.
“Ini adalah satu perkara yang mengkagumkan, tetapi kau mesti merahsiakan perkara ini dari orang lain. Mereka telah cuba berkomunikasi dengan beberapa orang anggota SDT yang telah meneroka megastruktur seperti ini, tetapi mereka telah menjadi gila…”
“Kenapa aku tak jadi gila?” Tanya Khairul dengan suaranya yang masih ringan.
“Aku sendiri tidak tahu.”
“Apa yang telah berlaku selama aku tak sedarkan diri?”
“Banyak perkara dah berlaku.” Jawab doktor Wideh sambil lewa.
“Apa maksud kau?”
“SDT kini telah mencuri pelbagai teknologi Isbin yang berada beribu-ribu tahun ke hadapan kita. Mereka telah menggunakan teknologi Isbin ini untuk membina pelbagai peralatan canggih. Kini, SDT mempunyai pelbagai anak syarikat yang membangunkan teknologi-teknologi canggih ini.”
“SDT kini telah berkembang maju—“
“Lebih maju dari yang kau sangkakan. Kerana mereka bukan sahaja menakluki di dalam bidang sektor ekonomi pembuatan. Juga di dalam bidang perlombongan.”
“Kerana kristal Kiribati?”
“Kristal Kiribati ini hanya boleh didapati di Dresanala. Ia sahaja yang dapat digunakan untuk menjana enjin hyperpacuan yang sekarang ini telah dibina secara besar-besaran oleh SDT. Kini hampir 20 peratus kapalangkasa yang ada menggunakan enjin hyperpacuan dan SDT sahajalah yang mempunyai kemampuan dan teknologi untuk membina kesemuanya. Dalam masa lima tahun lagi, mungkin kesemua kapalangkasa yang ada akan dipasang dengan enjin Hyperpacuan. SDT akan memonopoli pasaran pembuatan dan tenaga… Dan mungkin lebih dari itu.”
“Tapi semua ini adalah teknologi yang telah dicuri dari kaum Isbin.”
“Mungkin kau telah lupa bahawa mereka semua tu lanun dan mencuri dah menjadi darah daging mereka.”
Khairul mengeluh. Kini sudah terlambat rasanya untuk dia rasa menyesal kepada setiap apa yang terlaku berlaku.
“Kebolehan kita untuk melintasi angkasalepas di dalam masa yang singkat adalah satu revolusi dalam tamadun manusia sejagat. Semuanya bermula di sini. Semuanya bermula dari kau. Kerana kau yang telah membawa kami kemari.” Kata doktor Wideh, mengingatkannya sesuatu yang tak mahu diingatinya sendiri. Doktor Wideh berdiri lalu berjalan ke arah Khairul. “Tamadun kita kini sedang menyaksikan satu lonjakan jauh ke hadapan yang sebelum ini tidak dapat aku bayangkan ia akan berlaku di dalam jangka hayat aku. Kau sendiri adalah bukti kepada apa yang aku cakapkan ini.”
“Apa maksud kau?” Tanya Khairul. Dia memandang ke arah doktor Wideh. Kini cahaya terang mula membasahi wajah tuanya itu. Khairul dapati bahawa usia doktor Wideh lebih tua dari usianya sebelum dia terperangkap di dalam kapsul kryogenik. Bukan lima tahun lebih tua, tetapi mungkin sepuluh tahun atau lebih dari itu! “Apa yang telah kau lakukan kepada aku?” Tanya Khairul kini dengan nada yang lebih serius. Dia memerhatikan keadaan dirinya.
“Kau tak mungkin mahu tahu!” Jawab doktor Wideh perlahan sambil mengeluh panjang.

Doktor Wideh memandangnya dengan satu pandangan yang sedih. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia terus berjalan menembusi tubuh Khairul.
Di bibirnya termumat-kamit kalimah ‘taksu’ yang disebutkannya berkali-kali tanpa henti!

Bab 12


“Piramid biru pada bahagian tengah Kraton Pakubuwono Hadiningrat dikenali dengan nama Purworetno yang membawa maksud “Kita mesti sentiasa mengingati asal-usul kita.”
-- “Senibina kraton-kraton di Dresanala” Oleh Raden Ayu Brotodiningrat.

---

Khairul terkejut dari satu mimpi ngeri. Dia seolah-olah berada di dalam situasi yang tidak diingininya bersama Kartini. Dia mengeluh.
Khairul dapat rasakan dirinya berpeluh. Bilik terlalu gelap. Dia menggosok-gosok matanya.
“Kau hebat Khairul.” Sebut suara wanita yang kini sedang memeluk pinggangnya. Kini dia mencium belakang Khairul.
Khairul tersentak. Dia memegang belakang kepalanya. Dia mendapati terdapat sejenis alat organik di situ yang telah melekat di kepalanya itu seperti lintah. Dia cuba menanggalkan alat itu dari kepalanya. Alat tersebut telah mencengkam kuat di kepalanya. Tetapi ditariknya juga alat itu keluar. Darah memancut-mancut keluar tatkala alat itu berjaya dilepaskannya.
Khairul meraba-raba tengkuknya. Kesan-kesan darah panas dapat dirasakan mengalir pada bahagian bekas cengkaman.
“Apa yang telah kau lakukan kepada aku?” Khairul pantas meminta penjelasan.
“Otak kau telah dikawal oleh sejenis alat dari teknologi Isbin. Ia boleh memprogramkan pemikiran kau buat beberapa minggu sehingga tubuh kau menolak kehadirannya.” Jelas Kartini. Tanpa segan. dia meraba-raba bahagian dada Khairul yang agak bidang itu. “Tetapi selama kau dikawal oleh alat ini, kau memang ternyata hebat… Tapi sayang, seribu kali sayang, aku wanita. Kau pula hanya meminati kaum sejenismu. Sayang sungguh!”
“Apa yang telah kau lakukan kepadaku?” Wajah Khairul terlukis gelisah.
“Kau pasti tahu Ridwan, pakcik kau itu tidak boleh memberikan zuriat.” Jelas Kartini. Kini tangannya merayap memegang kejantanan Khairul tanpa rasa malu sedikit pun. Kartini mengetap bibirnya, menahan berahi. Dia pasti bahawa dia akan merindukan kejantanan Khairul yang ternyata telah berjaya memuaskan segala kehendaknya sebagai seorang wanita. “Kemaluannya telah dikasi di Penjara Al Taqwa satu masa dahulu oleh musuh-musuhnya. Dia tidak boleh berfungsi lagi sebagai seorang lelaki normal.”
“Jadi apa kena mengenanya dengan aku?” Gema-gema kemarahan membakar suasana.
“Kau adalah dari darah dagingnya sendiri. Dan kami pula perlukan seorang zuriat.”
“Tidak! Semua ini tidak pernah dan tak akan berlaku!” Bantah Khairul. Tekaknya mula terasa loya.
“Ia telahpun berlaku dan kau telahpun membuat aku mengandung.” Ujar Kartini dengan bangga. Khairul kehabisan kata-kata. “Aku pasti anak aku nanti adalah seorang anak lelaki yang sama gagahnya seperti bapanya.” Kartini cuba mengucup bibir Khairul. Khairul merasa jijik dan menolak pantas. Khairul cepat-cepat beredar dari katil lalu berjalan keluar. Dia mendengar Kartini menyebut nama Ridwan, tetapi dia tidak mengendahkan.

Khairul kini sedang berada di dalam keadaan keliru. Dia tidak tahu di mana dirinya sekarang. Yang pasti, dia sedang berada di dalam sebuah megastruktur yang telah dibina oleh kaum Isbin.
Keadaan di sekeliling megastruktur agak malap. Lampu-lampu yang sepatutnya menerangi megastruktur tidak dihidupkan. Lampu yang ada hanya dihidupkan di tahap minimum. Khairul tahu bahawa Ridwan suka keadaan samar seperti ini. Dia tahu bahawa Ridwan pasti ada di dalam megastruktur ini. Dia dapat merasakannya.
Khairul memandang ke luar tingkap. Dia mendapati bahawa dia sedang berada di tengah-tengah sebuah lautan yang bergelora.
Khairul menyesuaikan matanya supaya dapat melihat di dalam gelap dan melihat spektrum ultraungu. Dia dapat melihat beberapa tulisan di atas dinding. Dia boleh memahami tulisan-tulisan tersebut.
Khairul mengikut arahan yang diberikan untuk bergerak di dalam megastruktur ini. Dia sedang mencari jalan keluar untuk melarikan dirinya.
Dalam pada itu, dia dapat mendengar bunyi beberapa orang yang sedang tergesa-gesa berlari. Mereka mungkin sedang mencarinya. Khairul bersembunyi di sebuah sudut yang gelap sehingga bunyi derap tapak-tapak kaki tidak kedengaran lagi. Dia hampir-hampir terlupa, bahawa apa yang dapat dilihat oleh matanya dapat dilihat juga oleh lanun-lanun SDT. Dia memejamkan matanya rapat-rapat. Dia takut nanti mereka akan dapat mengesannya dengan melihat apa sahaja yang dapat dilihatnya.
Khairul mencari jalan untuk ke arah dok. Itu sahaja yang dapat difikirkannya pada ketika itu. Dia perlu mencari sebuah pesawat yang dapat digunakan olehnya untuk melarikan diri dari tempat itu. Atau sebaik-baiknya dari Dresanala.
Khairul menaiki lif untuk ke dok yang terdekat. Sebaik sahaja dia sampai ke aras yang dituju, dia terus berlari keluar dari dalam perut lif. Dia sedaya upaya mengikut arahan yang dapat dilihatnya.
Pintu dok dibukanya dengan seberapa segera. Dia masuk ke dalam dok. Cemasnya reda apabila dia melihat beberapa buah shuttle Ngelangi di sana. Kini jelas kedudukan dok ini sebenarnya di dasar laut. Bahagian hadapan dok terbuka. Ia dilindungi medan tenaga supaya air laut tidak melimpah masuk ke dalam dok.
Khairul terkejut apabila dia dapat melihat kelibat seekor binatang besar yang melintas di hadapan dok. Binatang yang kelihatan seperti seekor biawak rasaksa itu nampak ganas. Dari luar, ia ternampak Khairul sedang bergerak ke arah sebuah shuttle Ngelangi. Ia cuba masuk ke dalam dok untuk mendapatkan Khairul, seolah-olah Khairul hendak dijadikan habuannya. Tetapi medan tenaga telah menjadi penghalang. Medan tenaga menghasilkan kejutan elektrik yang agak kuat, lalu biawak rasaksa itu cepat-cepat berenang ke dalam laut yang diulit kegelapan itu.
Khairul tidak tahu bagaimana untuk membuka shuttle Ngelangi ini untuk masuk ke dalam kokpitnya. Rekabentuk shuttle ini yang agak aneh sudah cukup untuk mengelirukannya. Dia mula berasa gusar jika shuttle ini tidak mampu untuk membawanya keluar dari megastruktur di tengah-tengah laut ini.
“Kau tidak boleh lari dari sini.” Satu lembaga hitam memisahkan dirinya dari kegelapan yang berbalam-balam di dalam lif. Suara garang dari lembaga itu terus mematikan langkahnya.
Khairul menoleh cemas. Betul sangkaannya, Ridwan ada menunggunya di dalam gelap. Dia mara semakin hampir kepadanya.
“Aku mahu melaporkan kau kepada pihak berkuasa! Apa kau buat ini semua salah!” Kata Khairul dengan tergesa-gesa. Langkahnya mati. Kakinya seolah-oleh tertanam di atas lantai.
“Kau mungkin tak faham. Sekarang aku lebih berkuasa dari sesiapapun. Dresanala kini adalah sebuah koloni autonomi Perbadanan Bumi. Aku boleh buat apa sahaja yang aku mahu, dengan syarat aku terus memberikan bekalan kristal kiribati dan teknologi-teknologi Isbin kepada mereka.” Jelas Ridwan sambil ketawa kejam.
“Kau tak ada hak untuk menjadikan mereka sebagai hamba!” Khairul dapat melihat Ridwan dengan lebih jelas lagi. Ridwan semakin menghampirinya.
Di tangan Ridwan, tergenggam kemas sebilah pedang Granti yang berkilat-kilat memantul cahaya. Wajah Ridwan nampak bengis.
“Aku benci kepada kau kerana aku rasa Kartini sukakan kau… Dia tidak sepatutnya ada apa-apa perasaan kepada kau. Itu bukan sebahagian dari rancangan kami.” Bentak Ridwan. Dituturkan kata-kata panasnya itu satu persatu supaya ia dapat jelas didengar oleh Khairul. “Dia sepatutnya menggunakan cara pensenyawaan in-vitro. Tapi dia ingin menggunakan ‘cara lama’ dengan kau. Aku terpaksa benarkan, kerana aku sayangkan dia. Tapi kau… Aku tak akan memaafkan kau kerana telah kau telah meratah tubuhnya!”
“Ini semua bukan salah aku!” Bantah Khairul. Dia sendiri tidak tahu apa yang telah berlaku diantara dirinya dengan Kartini. Entah apa sahaja yang telah diprogramkan ke dalam kepalanya oleh Kartini sebelum ini, dia sendiri kurang pasti dan sememangnya dia tidak mungkin mahu tahu.
“Apa-apapun, kau tetap akan ku bunuh!” Kata Ridwan sambil tersenyum. Wajahnya tetap nampak jahat, walaupun di dalam samar-samar kegelapan. “Kartini bakal melahirkan anak kau. Aku tak mahu kau ada untuk mengambil apa yang kami sedang bina sekarang.” Dahinya terukis garis-garis halus penuh perhitungan.
“Aku tak mahu apa yang kau ada. Aku cuma mahu semua yang kau lakukan kepada kaum Isbin sekarang dihentikan sama sekali. Mereka datang untuk menyelamatkan kita semua!”
Ridwan sekali lagi menguntum senyuman. Tanpa berfikir panjang, dengan sepantas kilat dia telah bergerak ke hadapan lalu menghayunkan pedang Gantri ke arah leher Khairul.
Pedang tersebut memang terkenal dengan kehebatannya. Ia dikatakan dapat memberikan kuasa luarbiasa kepada pemakainya. Di antaranya adalah pergerakan sepantas kilat pemakainya tatkala menghayunkan pedang.

Belum sempat Khairul mengelak, pedang Granti yang telah direka khas untuk pergerakan pantas ini hinggap di leher Khairul.

Khairul terkejut dengan tindakan Ridwan. Perkara ini telah berlaku dengan begitu pantas sehingga dia sendiri kurang pasti dengan apa yang telah berlaku kepadanya tadi.

Apa yang diketahuinya kini, dia merasa dirinya terdampar lemah di lantai. Pandangannya semakin kabur. Dalam pada itu dia dapat melihat sekujur tubuh tanpa kepala berdiri di hadapannya. Bahagian hirisan di leher tubuh tersebut memancut-mancutkan darah yang banyak sehingga ada yang terpercik ke mukanya.
Kristal Ambilobe kepunyaannya tersemat ditubuh itu. Pada saat itu, dia sedar kepalanya sudah tercerai dari tubuhnya sendiri akibat hayunan pedang di tangan Ridwan.
Beberapa detik kemudian, tubuhnya tanpa kepala itu rebah di hadapan pandangannya.
Khairul terlalu lemah untuk melakukan apa-apa. Dia dapat rasakan dunianya semakin gelita. Dalam kesamaran itu, dia dapat mendengar tawa Ridwan. Dia ketawa puas…

Bab 13


“…Berjuang demi kebebasan,
Berjuang demi kemerdekaan,
Bumi perlu merdeka
Bumi nusa kita!”
-- Sedutan dari “Nyanyian Banyu Suci Perwitosari”.

---

Petikan dari jurnal pendita Ambilobe di Planet Hermoso. Tahun 3916.

Kini 1674 tahun telah berlalu sejak Yang Terpilih dikenal pasti dan hidupnya telah kami ikuti dan jejaki dari jauh.

Pada tahun 2242, Yang Terpilih menjejakkan kakinya buat pertama kali di Dresanala. Kemudian, selama lima tahun beliau telah merengkuk di dalam kapsul kryogenik. Tahun 2247 telah dikenalpasti sebagai tahun Yang Terpilih telah mati dipancung. Sejurus selepas kepala beliau dipancung, Dewi Savitri yang Ayu lagi Bijaksana telah memastikan supaya isi minda Yang Terpilih dipindah-naik ke dalam sebuah alat ciptaan kaum Isbin. Ini dimungkinkan dengan bantuan doktor Wideh.
Sebelas tahun selepas kematian pertamanya, Yang Terpilih telah dihidupkan kembali di dalam bentuk Holocom. Beliau dihidupkan kembali setelah Adipati Ridwan yang Agung diumumkan hilang dengan begitu sahaja di dalam perjalanannya ke Bumi. Beliau telah berkeadaan begini selama lebih 127 tahun sebelum Ratu Citrawati, dari Dinasti Singasari (2262-2531) memutuskan supaya Yang Terpilih dihidupkan semula di dalam bentuk manusia.

Tubuh manusia Yang Terpilih telah dibina semula mengikut teknologi kaum Nissime yang terkenal dengan pembuatan makhluk berasaskan karbon yang halus ciptaannya. Yang Terpilih, setelah dihidupkan semula di dalam bentuk asalnya, telah diprogramkan untuk menjadi seorang Warok . Dan seperti makhluk-makhluk ciptaan kaum Nissime, tubuh Yang Terpilih tidak akan tua dimakan usia dan masa. Malah ia boleh dibina semula seberapa kerap yang mungkin, selagi ia diperlukan.

Tahun 2492 – Dinasti Singasari di bawah pimpinan Maharaja Prabu Sugriwa telah mengambil keputusan untuk menyerang Bumi. Ini semata-mata kerana Perbadanan Bumi telah mengambil keputusan untuk menaikkan cukai korporat terhadap Kerajaannya—satu kesilapan yang paling besar yang pernah dilakukan di dalam sejarah Perbadanan Bumi. Mereka telah menaikkan cukai korporat terhadap Empayar Dresanala dengan harapan supaya Empayar tersebut tidak akan menandingi mereka sebagai sebuah organisasi korporat terbesar di dalam sejarah manusia.
Apabila Empayar Dresanala berkeras tidak mahu mengikut permintaan Perbadanan Bumi, sekatan ekonomi telah dipraktikkan supaya Empayar Dresanala tidak boleh berdagang dengan mana-mana koloninya. Empayar Dresanala telah mengishtiharkan perang terhadap Perbadanan Bumi untuk melindungi ekonominya dari terjejas.
Pada waktu itulah Yang Terpilih telah diprogramkan sebagai seorang Senopati . Dia merupakan Senopati pertama Empayar Dresanala dan satu-satunya Senopati yang mewakili Dresanala. Sejak dari perlantikan Yang Terpilih sebagai seorang Senopati, beliau digeruni di kalangan musuh-musuh Empayar Dresanala.

Peperangan di antara Kerajaan Singasari dengan Bumi berlarutan selama tiga bulan. Sejarah merakamkan peperangan itu sebagai Peperangan Banyu Suci Perwitosari . Di dalam tempoh tiga bulan itu, beberapa kota-kota besar di Bumi telah dimusnahkan oleh bala tentera Kerajaan Singasari.

Setelah peperangan itu berakhir, maka Perbadanan Bumi pun berjaya ditewaskan. Empayar Dresanala telah mengambil alih segala-gala kepentingan Perbadanan Bumi termasuk koloni-koloni di bawah naungannya.

Semenjak dari peristiwa itu, Empayar Dresanala telah menetapkan supaya falsafah (kejawen) Bhinneka Tunggal Ika digunapakai dalam pemerintahan Order Baru ini. Di dalam pemerintahan Empayar Dresanala, kesemua koloni-koloni di bawah naungannya diwajibkan supaya menggunakan satu bahasa dan satu sistem pemerintahan berpusat. Bahasa Melayu Nusantara dan tulisan Jawa telah dipilih sebagai bahasa dan tulisan rasmi Empayar Dresanala.

Yang Terpilih mempunyai peranan yang besar di dalam polisi perluasan kuasa Dinasti Kartosuro (2531-2875). Sebagai seorang Senopati, Yang Terpilih telah banyak berjuang dalam memastikan Empayar Dresanala dapat menakluki beberapa buah dunia di sektor Meru. Selama 412 tahun Dinasti Kartosuro mengamalkan polisi ini, sebanyak 210 buah dunia telah berjaya ditaklukinya. Dengan segala kekayaannya yang terkumpul dari dunia-dunia di bawah takluknya, ia mula dikenali sebagai empayar yang paling berkuasa di sektor Meru .

Walaupun tiada rekod-rekod rasmi tentang kehidupan Yang Terpilih, ramai yang menyatakan bahawa Yang Terpilih telah mati. Yang Terpilih juga dipercayai telah dihidupkan semula sebanyak 17 kali. Dengan teknologi yang telah diceduk oleh kaum Nessime, Yang Terpilih, seperti pendekar-pendekar Empayar Dresanala yang terbaik, telah dihidupkan semula berkali-kali supaya kekuatan dan kebijaksaan mereka dapat terus dieksploitasi.

Pada tahun 3992, Yang Terpilih bersama Raja Muda Empayar Dresanala, Pangeran Cacuk Sudwikatmono IV dari Dinasti Surokarto (3543- ?) telah menghilangkan diri setelah mereka dikatakan sedang menjelajah di sektor Meru Wilayah II. Sehingga kini, pihak berkuasa dari Empayar Dresanala masih tidak dapat memastikan jika Pangeran Cacuk Sudwikatmono IV masih hidup ataupun telah terkubur. Ada pihak membuat spekulasi yang mengatakan bahawa beliau telah melarikan diri kerana ingin mengahwini seorang wanita yang bukan dari pilihan baginda Maharaja Hamengkubuwono X. Ada juga mengatakan bahawa Pangeran Cacuk telah disingkir dari Dresanala kerana penglibatan-langsungnya dengan kumpulan pengganas Tonamon .

Walau apapun yang telah berlaku kepada Pangeran Cacuk, pihak biara Ambilobe pasti bahawa Yang Terpilih masih hidup lagi sehingga ke hari ini.

**

Wiranto memindahkan sejumlah kredit yang agak banyak kepada agen dari Kumpulan Perisikan Lonthra . Agen berbangsa Boonkuan itu telah membetulkan saluran pernafasan gas Karbon Monoksida di lubang hidungnya. Wajahnya yang bujur serta bermata besar itu nampak puas dengan apa yang telah dilaksanakannya. Dia menyerahkan Jurnal yang telah dicurinya dari biara Ambilobe di Hermoso kepada Wiranto.
“Jadi apa lagi yang telah kau pelajari dari mereka?” Tanya Wiranto kepada agen berbangsa Boonkuan yang bernama Daarmi itu.
“Mereka tahu di mana Khairul berada sekarang. Semuanya ada tertulis di dalam jurnal.” Jelas Daarmi. Beliau adalah agen yang terbaik untuk kerja perisikan ini, memandangkan bangsanya mempunyai kekebalan dari kuasa psikik orang-orang Hermoso.
Daarmi memandang terus kepada Wiranto. Dia mengamati wajah Wiranto yang bengis itu. Dia mendapati Wiranto mempunyai sejemput janggut pendek yang menumpulkan dagunya. Misainya lebat, lalu tumbuh bersambung sehingga ke janggutnya. Pipinya kasar dengan bulu-bulu tajam yang baru mahu tumbuh, langsung menampakkan sifat anak jantannya. Sepasang bulu kening yang tebal menghiasi matanya yang tajam itu. Dia sering diberitahu bahawa kaum manusia menganggap wajah yang dipunyai oleh Wiranto adalah satu wajah yang boleh dianggap kacak oleh mereka.
Daarmi merenung ke dalam mata Wiranto yang menyala dengan kemarahan yang sukar difahaminya. Mungkin banyak rahsia yang diperamnya terus di dalam hati.
“Aku telah cuba mencarinya... Lebih 9 tahun telah aku habiskan dalam pencarian ini… Habis seluruh pelusuk sektor Meru dan sektor Rahwana aku jelajahi. Dan jawapannya ada pada pendita-pendita gila dari Hermoso itu?” Getus Wiranto. Dia mengusap misainya yang agak tebal itu. “Sepatutnya aku telah pergi menemui mereka dari dulu!”
“Mereka telah mengikuti jejak Senopatimu itu sejak dari mula lagi.” Mata Daarmi yang besar itu tidak berkelip.
“Jadi di mana dia bersembunyi sekarang?”
“Di Planet Deutah, di sektor Rahwana Wilayah VII.”
“Aku tak pernah mendengar nama tempat tu.” Suaranya tajam penuh sindiran. Masakan tidak, banyak kali dia berulang-alik ke sektor Rahwana untuk mencari Khairul—di beberapa buah planet di sana, tetapi pencariannya sia-sia belaka.
“Tidak ramai makhluk Bumi sepertimu yang pernah Deutah. Mungkin sebab itulah mereka telah memilih planet itu sebagai tempat selamat untuk bersembunyi.”
“Kau pasti maklumat ini sahih?” Tanya Wiranto sambil mencari wajahnya.
“Pendita Hermoso tidak pernah bercakap bohong. Lagipun, kau tidak dapat bayangkan berapa orang pendita Hermoso yang terpaksa aku bunuh untuk mendapatkan maklumat ini.” Daarmi meraba-raba saluran pernafasannya lagi. Dia seolah-olah tidak sabar untuk pulang ke kapalangkasanya lantas bernafas seperti biasa di sana.
Wiranto menjeling. Dia meneguk minuman shagon yang telah disediakan kepadanya oleh seorang pelayan dari restoran yang terletak di Planet bergas Tivaagh itu. Dia sempat bertanyakan kepada Daarmi jika dia mahu minum sekali, tetapi Daarmi menolak pelawaannya.
Minuman shagon yang sedang diminum Wiranto itu terkenal kerana ia mengandungi cebisan-cebisan rempah naralos yang hanya boleh didapati jauh di dalam lombong-lombong rempah di Planet Quexena. Minuman ini tidak memabukkan, tetapi ia mampu membuatkan mereka yang meminumnya mengalami keadaan ketenangan dan rasa kegembiraan yang luar biasa.
Pandangan Wiranto dilontar keluar tingkap untuk melihat panorama putting-beliung gas tivaagh yang sedang terbakar di hadapannya. Sungguh indah pemandangan itu. Matanya kerap kali terpaku kepada vorteks puting-beliung yang sedang marak terbakar itu.
Restoran ini terletak di dalam sebuah kota terapung yang membentuk seolah-olah cincin raksaksa, mengelilingi kejadian indah di tengah-tengahnya. Kota ini terapung-apung di tengah-tengah sebuah fenomena alam yang tidak pernah gagal untuk menarik perhatian pelancong-pelancong yang ingin menghabiskan masa berbulan madu di sini.
“Bagi pihak Kumpulan Perisikan Lonthra, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada Empayar Dresanala kerana sekali lagi telah menggunakan khidmat kami. Ucap Daarmi dengan suara yang garau, tapi jelas menterjemahkan kebosanannya. “Jika ada lagi tugas yang kau ingin kami lakukan, kau tahu bagaimana nak mencari kami!”
Wiranto membatu. Dia tidak menjawab walau sepatah mahupun melempar pandangan ke arah Daarmi. Jari-jari jantannya bermain dengan hujung rambutnya yang ikal itu. Diusapnya rambutnya ke belakang. Matanya dikelipkan berkali-kali apabila minuman shagon yang terkandung cebisan-cebisan rempah naralos itu mula meresap ke dalam tubuhnya. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Tindak-balas rempah naralos mula membuatnya rasa tenang.
Wiranto memandang kepada pasangan Spidel yang sedang hangat dilamun cinta. Makhluk dari spesis serangga itu telah mencantumkan sesungut mereka sebelum mereka ketawa kecil di meja mereka. Apabila dia menoleh ke arah Daarmi, Daarmi sudah lesap entah ke mana.
Wiranto termenung jauh memikirkan tentang Khairul. Dia menarik nafas dalam, lalu dia mengeluh lesu.
Setelah begitu lama dia mencari Khairul, kini pencariannya semakin hampir ke penghujungnya.


**


Bumi: Tahun 2492

Hampir kesemua kota-kota besar di Bumi telah berjaya dimusnahkan oleh bala tentera Empayar Dresanala. Dengan kepakaran teknologi yang tidak boleh disangkal lagi dalam membuat pelbagai senjata perang, ditambah lagi dengan kelengkapan bala tentera mereka yang ramai lagi terlatih, tidak mungkin Perbadanan Bumi dapat bertahan lama dalam perperangan ini. Sudah pasti mereka akan menerima tamparan hebat dan pusat pemerintahan mereka di Bumi akan menjadi milik Empayar Dresanala jua akhirnya .

Pihak Perbadanan Bumi tahu bahawa jika Bumi jatuh ke tangan Empayar Dresanala, kesemua kepentingannya juga akan turut jatuh ke tangan Empayar yang angkuh itu.

Sebuah kapalangkasa pejuang Garuda dari kelas Senopati yang berbentuk hampir-hampir menyerupai seekor garuda, kini berubah kepada bentuk sebuah robot humanoid.
Tinggi kapalangkasa pejuang ini ketika di dalam bentuk robot boleh mencecah 19 meter. Kapalangkasa pejuang kelas Senopati yang baru mendarat ini mempunyai permukaan badan bewarna merah dan putih. Ia mempunyai rekebentuk istimewa dengan perisai tebal di bahagian badannya dan sepasang kepak tersemat di bahagian belakangnya.
Ia lengkap dengan pelbagai jenis senjata yang pasti menggentarkan siapa jua yang melihatnya. Robot Garuda ini sememangnya nampak gah. Ia perlu kelihatan begitu, kerana juruterbangnya adalah seorang Senopati.
Ia kini sedang berada di sebuah kawasan yang telah dibom hebat dengan torpedo Ion beberapa hari sebelumnya. Juruterbang kapalangkasa pejuang ini telah sedia maklum bahawa dialah yang telah mengarahkan supaya kota ini dimusnahkan sama sekali.
Dia telah diberitahu bahawa kota ini telah dinamakan Putrajaya beberapa ratus tahun yang lampau. Beberapa buah kota besar yang terletak disekelilingnya juga turut lenyap.
Komputernya tiba-tiba mengeluarkan isyarat tentang adanya tanda-tanda kehidupan di sebalik runtuhan bangunan. Dia mengambil keputusan untuk menyiasat dengan lebih dekat.
Tangan robot Garuda kini mengangkat batu bekas runtuhan dalam usaha mencari hidupan yang masih terperangkap di bawah timbunan batu-batu itu. Juruterbang Garuda melakukan aktiviti ini dengan penuh berhati-hati supaya ia tidak mencederakan mangsa yang masih terperangkap itu.
Sekarang dia dapat melihat salah seorang mangsa yang terselamat dari serangan torpedo Ion di kota ini, yang hanya beberapa hari lepas telah dihuni oleh lebih 3 juta penduduk.
Di depannya, seorang budak lelaki dalam lingkungan sepuluh tahun. Sungguh jelas, dia nampak lemah serta dalam ketakutan. Terdapat banyak kesan-kesan luka di tubuh yang kecil.
Fitrah Garuda yang tiada belas ihsan, ia terus mengacukan senjata ke arah budak tersebut. Ketakutan budak itu semakin ketara. Dia menggigil dan cuba bersembunyi.
Robot Garuda bertindak menurunkan senjata yang tadi diacu dan terus mengangkat kanak-kanak tersebut. Tangan Garuda menggenggam kemas tubuh kanak-kanak tersebut, lalu dibawa dekat ke kepalanya. Kokpit Garuda yang terletak di kepala robot tersebut kini terbuka.
“Nama aku Khairul.” Sebut juruterbang Garuda membuka kata. “Aku akan bawa kau keluar dari sini. Tidak ada apa lagi yang ada di sini.”
Budak lelaki itu telah diangkat oleh Khairul masuk ke dalam kokpit. Dia sedia maklum bahawa ibu-bapa budak lelaki itu telah dibunuhnya. Begitu juga dengan nasib yang menimpa berjuta-juta orang manusia lain yang sama-sekali tidak berdosa. Tetapi dia tidak mampu melawan programnya sendiri sebagai seorang Senopati—memusnahkan musuh-musuh Empayar Dresanala.
“Siapa nama kau?” Tanya Khairul sebaik sahaja robot Garuda terbang ke udara. Sekarang robot Garuda bertukar kembali kepada bentuk kapalangkasa untuk membelah angkasa.
Budak lelaki itu membisu. Dia menggigil kerana ketakutan, ditambah pula dengan kelaparan.
“Baik… Mulai saat ini, aku akan panggil kau Wira...” Ucap Khairul. Dia memandang dengan lebih dekat kepada budak tersebut sebelum menyambung lagi. “Mungkin nama Wiranto lebih sesuai untuk kau. Nama Wiranto sesuai dipakai di Dresanala nanti.” Kata Khairul. Dia menjeling sekali kepada Wiranto.
“Senopati… Kami telah bersedia untuk memusnahkan Singapura, Taipei dan Osaka.” Ujar suara dari konsol kawalan yang betul-betul berada di hadapannya.
“Bom kesemuanya dan pastikan tiada seorang pun penduduk di kota-kota itu terselamat. Jangan ulangi kesilapan di kota ini!” Arahan Khairul nyata tegas. Dia hanya menurut programnya. Jerit hatinya lantang membantah keputusan yang telah diambilnya tadi. Tapi dia sendiri akur, dia tidak boleh melawan programnya.
Ekor matanya sesekali mencuri pandang ke arah Wiranto. Didapatinya Wiranto seorang budak lelaki yang sudah menunjukkan tanda bahawa ketika dia dewasa nanti, akan menjadi seorang lelaki yang bukan sahaja tampan malah gagah seperti seorang Warok layaknya.
Lamunannya terhenti, apabila Wiranto telah menyuakan tangan mudanya ke arah Khairul. Matanya menterjemah keinginan seorang budak kecil yang mahu disayangi dan dilindungi. Tanpa berfikir panjang, tangan Wiranto disambut.
Dua tangan itu seakan-akan berjabat dalam satu genggaman erat, yang tak mampu dileraikan.
“Kau tak perlu takut. Aku akan menjaga kau mulai saat ini.” Itulah janji ikhlas Khairul, bukan sahaja kepada Wiranto, tetapi kepada dirinya juga.

Pesawat Garuda dengan kini mula keluar dari atmosfera Bumi. Bintang-bintang di langit berkerlipan indah seolah-oleh menyambutnya dengan girang.

Wiranto mengangguk lemah. Wajahnya jelas menunjukan yang dia sudah mula menganggap Khairul sebagai seorang wira yang telah menyelamatkannya. Wira yang memberi terang kepada kegelapannya.
Khairul menoleh memandang ke arah Bumi. Dia dapat melihat keadaan beberapa buah kota besar yang telah musnah dan ledakan bom Ion kepada beberapa buah kota yang sedang dimusnahkan. Dia mengeluh sendiri.
Khairul menoleh kembali ke arah Wiranto. Dia tidur—di dalam pesawat pejuang Garuda kelas Senopati yang kini menuju pantas ke kapalangkasa induk Dasamuka D-42. Tidurnya tampak tenang buat kali pertama sejak kota Putrajaya berjaya dimusnahkan dua hari yang lepas…

Bab 14

Seorang Pangeran perlu sering diingatkan supaya mempunyai tata krama atau budi pekerti yang tinggi. Bahasa yang digunakannya juga harus dari bahasa yang halus (krama inggil) dan bukannya bahasa kasar (ngoko) seperti yang hanya digunakan oleh rakyat jelata.
-- “Latihan Seorang Pangeran Dresanala.” Oleh Bambang Pudjasworo.

---

Planet Deutah, sektor Rahwana Wilayah VII. Tahun 3916

Di luar sebuah pusat hiburan di kota Garro di bahagian atmosfera selatan planet Deutah, seorang bangsa Komun yang bermata berwarna hitam yang besar, dua lubang hidung yang kecil, bentuk muka yang bujur, berkulit kelabu, dan bertubuh kecil membuat bising. Dia cuba memberitahu kepada pengunjung pusat hiburan tersebut bahawa tanda-tanda kiamat sudah nyata.
“Bertaubatlah kamu semua!” Katanya dengan bersungguh-sungguh.
“Mereka pernah ke Bumi sejak pertengahan abad ke-20 dahulu.” Jelas Demang kepada Dimas, semasa mereka hendak masuk ke dalam sebuah pusat Holo-S. Dimas bertubuh lebih besar dan tinggi dari Demang, walaupun umur Dimas baru sahaja mencecah 18 tahun. Demang pula mungkin berumur kira-kira empat atau lima tahun lebih tua dari Dimas. Walaupun mempunyai ketinggian yang agak rendah, Demang jelas kelihatan tegap. “Mereka pernah meninggalkan beberapa simbol di dalam bahasa matematik di beberapa buah lokasi di Bumi seperti di atas ladang gandum, tetapi hakikatnya, manusia Bumi pada waktu itu tidak mampu memahami pesanan yang ingin mereka tinggalkan.”
“Apakah pesanan yang telah mereka tinggalkan?” Tanya Dimas ingin tahu.
“Mereka ingin memberitahu kepada penduduk Bumi bahawa pada satu hari, alam kita ini akan dimusnahkan… Tetapi menurut mereka, akan muncul seorang dari bangsa Bumi yang akan menghalang perkara ini dari berlaku.”
Dimas ketawa kecil. Dia berhenti sebentar di hadapan kaum Komun itu untuk mendengar hujah-hujahnya yang dia sendiri kurang fahami, kemudian barulah dia berjalan cepat-cepat mendapatkan Demang yang sudahpun masuk ke dalam pusat Holo-S.
“Kata mereka, akan muncul satu makhluk yang hanya mempunyai satu tujuan, iaitu untuk memusnahkan segala-galanya yang ada di dalam alam kita ini.” Demang meneruskan cerita. “Mereka dikenali di dalam lagenda Komun dengan namai ‘Pemusnah Alam Semesta’.”
“Ye lah… Macam lah benda ni semua akan berlaku.” Katanya dengan nada berseloroh. Dia terus berjalan dengan cepat meninggalkan kaum Komun itu. Tidak pula Dimas ketahui bahawa kaum Komun di dalam lawatan mereka ke Bumi sejak pertengahan abang ke-20 ini telah melakukan pelbagai ekperimentasi kejam ke atas kaum manusia…

"Hati berdindingkan cinta, tiang tegak dek persaudaraan, atapnya pula kasih sayang kemanusiaan dan dasarnya pula pengabdian kepada Tuhan" ujar Demang kemudian kepada Dimas. Wajahnya dihiasi senyuman. Demang telah mengingatkan Dimas kepada rukun pencak silat Indra Surapati sebelum dia memasukkan program yang diingininya ke dalam komputer Holo-S. Dimas mengangguk sambil menggaru-garu kepalanya.
“Tuan Dimas Gondokusumo, dengan 35 kredit, tuan boleh menggunakan perisian khas untuk membawa tuan menjelajah sebagai virus ke dalam tubuh organisme pilihan tuan!” Ucap seorang droid penjual, setelah dia mengimbas anak mata Dimas. Droid kecil itu mempunyai bentuk badan seperti spesis empunya asalnya. Sesungutnya kini meliuk lentuk hampir menyentuh tubuh Dimas.
“Tak mahu!” tempelak Dimas tegas. Tangannya pantas menepis droid tersebut. Demang menggeleng-gelengkan kepalanya melihat gelagat anak remaja berusia 18 tahun itu.
“Terima kasih untuk pelawaan tu. Kami dah sediakan program kami sendiri.” Ujar Demang dengan penuh hormat kepada droid penjual yang sedang tertunduk sedih.
Dimas masih tersengih. Dia cepat-cepat masuk ke dalam bilik Holo-S.
“Kau sepatutnya lebih hormat kepadanya.” Demang menasihati. Pintu Holo-S tertutup rapat. Kini mereka berada di dalam bilik kecil yang berwarna putih. Selang beberapa saat, suasana persekitaran tiba-tiba berubah. Dalam masa yang sekelumit, mereka berdua kini berada di dalam sebuah hutan tropika. Rimbunan pokok-pokok liar dengan akar berselirat menantikan kedantangan mereka berdua.
“Alah, droid aja tu bang! Droid macam tu… Bukannya ada perasaan macam kita.”
“Kau perlu belajar untuk menghormati mereka walaupun mereka adalah droid.” Tegas Demang. Dia terdiam buat beberapa ketika sebelum dia bersuara meminta Holo-S menyediakan senjata untuk digunakan oleh Dimas.
“Hari ini aku mahu kau gunakan Badik Tampang Teruna.” Jelas Demang. Dia sendiri sedang menggunakan keris Gayaman Pakubuwono yang ada disimpannya sejak dulu lagi. Sudah beberapa kali Dimas bertanya bagaimana dia boleh mendapatkan keris yang hanya boleh digunakan oleh seorang Senopati Empayar Dresanala. Demang memberitahunya bahawa terdapat banyak keris-keris tiruan yang hampir serupa dijual di seluruh pelusuk Empayar Dresanala. Dimas seakan tidak puas dengan penjelasan Demang memandangkan keris tersebut tampak asli. Hasil kerjanya begitu halus dan teliti untuk sebilah keris tiruan.
Keris Gayaman Pakubuwono berluk sembilan itu mempunyai simbolik tersendiri. Sembilan luk gah membawa maksud bahawa empunya keris mempunyai harga diri yang tinggi, karisma dan seorang ketua paling disegani. Hulu keris diperbuat dari taring naga mahawangsa yang mana ia diukir sebegitu rupa agar ia mirip seekor naga mahawangsa yang membelit sebiji kristal berwarna hijau lagaknya.
Demang tidak pernah berenggang dengan kerisnya ini. Ke mana sahaja dia pergi, pasti keris ini akan tersemat dengan rapi di belakangnya.
“Jadi hari ini, siapa yang akan jadi lawan kita?” Dimas dengan nada ghairah bertanya kepada Demang.
“Hmmm… Musuh-musuh kita berasal dari kerajaan Colamandala… India. Mungkin kau dah duga… Sekarang kita berada Bumi.” Tegas Demang dengan kaki kanannya dihentak ke bumi, seolah lagak seorang pendekar jagoan. “Berhati-hati dengan mereka. Senjata yang mereka gunakan agak merbahaya. Aku telah memprogramkan supaya mereka melawan menggunakan pencak silat Kalari Payattu.”
“Habis… Saya kena lawan mereka dengan badik ni sahaja?”
“Badik ini dah lebih dari cukup kalau kau bijak mencongak kelemahan musuh kau.”
“Di mana kita sekarang?”
“Di kawasan sungai Kampar. Kawasan ni adalah taklukan Kerajaan Sriwijaya.”
“Kenapa kita tidak gunakan program yang lebih mencabar?” Dimas semakin lancar menduga kesabaran Demang. Pelbagai kemusykilan ingin dimuntahkannya. “Ingat tak? Kita pernah menundukkan kaum Guurnit yang boleh menggunakan naluri mereka ketika berlawan dengan kita. Hah satu lagi, masih ingat tak kaum Yamos bertangan empat sambil memegang bilahan pedang… Begitu mudah mereka menyembah bumi dek penangan kita!”
“Tak payah… Lagipun kau dah cuba program-program tu semua.” Jawapan Demang mematikan niat Dimas untuk terus bertanya. Matanya dipasakkan ke segenap sudut. Telinganya mencapah bunyi-bunyi asing – gerak geri musuh harus dipantaunya kerana mereka boleh muncul bila-bila masa sahaja dan tiada siapa yang pasti dari arah mana kedatangan mereka. Yang kedengaran cuma suara kecil makhluk hutan, seakan menyanyikan lagu buat halwa telinga mereka.
“Siapa kata manusia kurang mencabar? Kita bukan satu spesis yang lemah!” Decit Dimas laju, sambil tangan kirinya mematahkan dahan senduduk liar terbentang di depannya…
Demang hanya menjeling. Sesakali dia membetulkan ikatan tanjak di kepalanya. Tanjak ikatan ringkas itu, memang sesuai dengannya, gaya pakaiannya menterjemahkan istilah keperkasaan dalam dirinya – pahlawan muda, kekar, bijak dan tak tersangkal tampannya!
Demang memberi isyarat supaya derap langkah dihentikan seketika. Anak mata Demang meleret ke arah kiri. Degup jantungnya seakan tahu ada bala akan muncul di depan mereka – menandakan musuh akan menjelma dari belukar hadapan mereka bila-bila masa sahaja!
Seakan-akan nasib yang sudah termakub, tepat sungguh jangkaan mereka – empat tubuh asing berwajah bengis kini muncul dari dalam belukar. Bagai harimau lapar mereka mencatur langkah. Demang dan Dimas sudah memasang kuda-kuda mereka. Tegap, lagi teguh. Akan tetapi, belum sempat mereka membalas serangan, tiba-tiba sahaja tentera dari Colamandala lenyap dari pandangan.
“Holo-S buat hal lagi ke?” Tanya Dimas. Dia menyarungkan badiknya kembali.
“Nampaknya begitu.”
“Jadi macam mana?”
“Kau tunggu di sini. Aku cuba periksa apa yang tak kena. Kalau tak boleh dibetulkan juga, kita balik sahajalah.”
Dimas jelas mengeluh mendengar kata-kata yang terpacul dari mulut Demang. Dia berehat di atas sebuah busut berdekatan. Demang pula menyeru supaya komputer membenarkannya keluar.
Demang mengatur langkah keluar dari bilik Holo-S nombor 12 itu. Pintu Holo-S tertutup rapat. Lantas dia meneliti konsol komputer Holo-S yang terletak di tepi pintu. Wajahnya pucat.
Demang cepat-cepat bergerak ke muka pintu. Dia meminta komputer supaya menghentikan program dan membuka pintu. Komputer mengeluarkan arahan yang program sedang beroperasi dan pintu Holo-S telah dikunci. Demang sendiri tidak dapat membukanya. Komputer mengarahkan supaya pengurus pusat hiburan dihubungi.
Demang merasakan seolah-olah dirinya sedang diperhatikan. Dia menoleh ke belakang. Ramai orang yang mengunjungi kawasan hiburan tersebut, tetapi di dalam keadaan kesesakan itu dia dapat melihat lembaga seorang manusia yang sedang berjalan ke arahnya. Wajah Demang terus berubah pucat. Dia seolah-olah baru sahaja ternampak hantu.
Lelaki tersebut berjalan dengan langkah yang teguh lantas menampakkan sifat-sifat kepahlawanan yang ada di dalam dirinya. Lelaki tersebut ternyata lebih tinggi darinya. Dia bertubuh tegap dengan otot-otot keras dan urat-urat tegang menghiasi tubuhnya. Rambutnya yang hitam itu dipotong pendek. Misainya yang tebal serta jambangnya yang baru tumbuh itu membuatkannya nampak bengis. Parut pada bahagian pipinya itu pasti akan menimbulkan seribu jenis persoalan dari mereka yang ingin tentang sejarah hidupnya yang pasti penuh dengan cerita suka duka yang sering bertukar ganti.
“Aku cuba mengejar kembar Spinko yang telah menanamkan program virus kepada sistem komputer Holo-S ini tadi. Tetapi aku hanya mampu menembak satu daripadanya. Kawannya yang satu lagi telah terbang lari dengan dengan sebuah pesawat-mikro ke arah tenggara.” Kata seorang lelaki tersebut yang masih lagi memegang sepucuk pistol laser di tangannya.
Demang masih tercengang melihat lelaki tersebut. Detik nadinya hampir-hampir terhenti apabila dia mula-mula menatap rupa paras lelaki yang berdiri di hadapannya.
“Pembunuh upahan Spinko?” Tanya Demang. Dia menggunakan sekuat tenaganya untuk cuba membuka pintu Holo-S, tetapi masih tidak berhasil.
“Apa yang kau buat di sini, Wiranto?” Tanya Demang lagi. Kedua tangannya disematkan ke belakang. Nampak gayanya dia tengah bersiap sedia untuk menghunus kerisnya. “Bagaimana kau boleh yakinkan aku yang kau tak buat kerja ini semua?”
“Aku ke sini untuk memanggil Pangeran Cacuk pulang. Aku tak ada masa untuk membincangkan tentang tugas aku ini pada kau.” Wiranto tidak berkata panjang. Dari susuk tubuh dan tingkahnya, tidak keterlaluan jika dia digolongkan dalam usia pertengahan 30-an. Kulitnya lebih cerah jika dibandingkan dengan Demang.
Demang pula bertubuh jauh lebih rendah jika dibeza dengan Wiranto.
“Aku tak tahu apa yang kau karutkan!” Balas Demang pendek. Pemuda awal 20-an ini jelas dengan pendiriannya. Lantas dia menyambung, “Pangeran Cacuk tidak ada di sini!”
“Di mana Pangeran Cacuk sekarang, Senopati?” tanya Wiranto dengan nada tergesa-gesa, tetapi kali ini dengan nada suara yang hanya akan digunakannya di dalam urusan-urusan rasmi. “Pembunuh upahan Spinko itu pasti sedang mencari Pangeran untuk menyelesaikan tugasnya!“
Demang menoleh ke arah bilik Holo-S. Dia menarik nafas panjang. Dia perlu membuat keputusannya sekarang. “Dimas boleh menjaga dirinya sendiri.” Katanya perlahan, antara dengar dengan tidak.
Wiranto mengangguk perlahan, tanda setuju. Baginya, yang lebih utama ialah keselamatan Raja Mudanya.

Demang dan Wiranto bergegas keluar dari pusat hiburan itu. Setibanya di luar, Wiranto mencapai sebatang cotar yang tersemat di tali-pinggangnya. Dia menggenggam kemas cotar tersebut. Pada saat-saat getir sedemikian, cotar itu tidak pernah menghampakannya. Dengan arahan ringkas, sebuah motorsikal lutsinar terbentuk dari cotar Holotron tersebut. Wiranto mengarahkan Demang supaya membonceng di belakang Holotronnya. Bagai anak kecil hingusan lagaknya, Demang menurut tanpa banyak soal.
Kini Holotron yang ditunggang Wiranto terbang. Ia mengiblat ke tenggara kota universiti Garro ini. Dalam beberapa saat, kelibat mereka lenyap ditelan angkasa.

**

Dimas menampar beberapa ekor nyamuk yang sedang berlegar-legar di atas kepalanya. Kebosanan mula menyelimutinya. Bekas gigitan nyamuk jelas berbekas di lengannya. Kemerahan. Sesekali dia menggaru untuk mereda kegatalan itu.
Dimas terdengar suara aneh. Suara yang pada mulanya agak sayup, kini semakin jelas. Datangnya dari depan Dimas sendiri. Kalau diamati, suara itu mirip kepada seekor haiwan buas yang sedang mengaum. Dia bingkas bangun dan berjalan bak lipas kudung merentas hutan untuk mengelakkan dari terserempak dengan haiwan tersebut.
Kalau tadi dia berjalan pantas, denai yang ditemuinya membolehkan Dimas berlari dengan laju melampaui rimbunan pokok di sekelilingnya. Sudah jauh dirasakannya dia berlari, akan tetapi makhluk itu masih cuba mendapatkannya.
Degup jantungnya semakin pantas. Peluh jantan sudah melenjuni dirinya. Dalam pada dia berlari meninggalkan makhluk itu jauh di belakang, suara makhluk itu semakin sayup ketinggalan. Bunyi ngauman liar itu semakin mati. Seakan hutan pekat disekelilingnya sudah menelan jasad binatang itu. Dimas memperlahankan langkahnya, sesekali dia memberanikan diri untuk menoleh ke belakang. Dia ingin pastikan jika dia betul-betul selamat.
Dimas terus berlari-lari anak. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, sekonyong-konyong, di hadapannya terdapat sebuah candi lama. Berlumut dan gelap. Ia bagai dipagari tumbuhan meliar. Sudah pasti ia tinggalan lama. Dimas mengatur rancangan untuk bersembunyi di sana.
Belum sempat kaki kanannya menjejak ke dalam candi, seekor barong yang ganas muncul di hadapannya. Entah dari mana munculnya. Saiznya yang begitu besar sudah cukup untuk meremangkan bulu roma siapa sahaja. Sementelahan pula suara garangnya ketika ia mengaum kuat. Seolah ia ingin menyelesaikan hutang lama dengan Dimas. Bagaikan terbelah hutan tebal itu. Unggas hutan bertempiaran, seolah pemangsa ganas sedang mengamuk di dalam rimba itu.
Dimas terkejut dan terpaku di kedudukan yang sama. Dia tidak mampu bergerak. Matanya kita bertentang dengan bebola mata barong yang bundar lagi menggerunkan itu. Dia tidak pernah melihat sesuatu yang begitu menakutkan seperti makhluk barong di depan matanya itu. Fitrah jasad barong itu sungguh mengerikan. Matanya yang bundar menyala, seolah-olah Dimas akan ditelannya tanpa belas ehsan. Mungkin dulu banyak tercerita di dalam kitab lama mengenai barong ini, cerita itu pun sudah cukup mencemaskan Dimas. Inikan pula bertentang mata. Dimas semakin kaget.
“Komputer, latihan ini di tahap ke berapa?” Tanya Dimas dengan suara terketar-ketar. Nampak kejantanannya sedang dicabar.
“Aras sepuluh, aras tertinggi. Ciri-ciri keselamatan sudah dimatikan.” Jelas komputer Holo-S.
“Kom… Komputer… Henti… Hentikan program!” ucap Dimas dengan nada tersekat-sekat. Barong yang pada mulanya nampak bengis, kini bagai bersedia untuk bertempur. Mata yang semerah saga itu, kini seakan berair.
Dalam bayangan matanya, Dimas nyata kelihatan gugup. Barong itu dapat mencerap ketakutan Dimas. Minda Dimas bagai dikongkong si barong itu. Inilah masanya untuk barong itu membuka langkah dan menamatkan riwayat Dimas.
Dimas mengeluarkan badiknya. Dia menelan takutnya. Dia melawan pandangan si barong. Dalam diam dia mengutip ilmu yang pernah diturunkan oleh Demang.
Kata Demang – semua makhluk ada kelemahannya. Hanya kepintaran Dimas boleh menjadikan kelemahan makhluk itu sebagai satu kelebihan kepada Dimas. Tanpa teragak, Dimas memasang kuda-kudanya, lantas membuka langkah sulung. Langkah pertama pencak silatnya nyata membantutkan seketika pergerakan barong itu.
Barong pantang dicabar. Ia menyeringai, menunjukkan sepasang taring – bagaikan baru diasah adanya. Ia seakan membaca yang Dimas dilanda ketakutan lagi. Dengan hayunan kaki yang kuat, ia cuba melewati tubuh Dimas untuk mencakarnya. Disertai pula dengan ngauman yang gegak gempita. Dimas semakin cemas. Nyata, ia bertarung dengan nasibnya sendiri. Antara hidup dan mati. Sekarang, ia di tangan barong itu!
Dimas tidak mengambil sebarang risiko. Dia melangkah beberapa tapak ke belakang. Dia mencongak antara harapan dan tindakan. Dia agak sangsi dengan kudratnya untuk menewaskan barong yang terlalu gagah untuk dilawannya. Apa yang pasti, dia harus menyelamatkan dirinya— walau dengan apa cara sekalipun!

**

Motorsikal Holotron kini berhenti betul-betul di hadapan bangunan fakulti arkeologi, Universiti Garro. Sebaik sahaja ia berhenti, motorsikal Holotron yang ditunggang Wiranto hilang dari pandangan. Mungkin teknologi ini di luar jangkauan fikiran, motorsikal yang tadi menjadi mekanikal tunggangan, kini hanyalah sebatang cotar. Wirawan mencapai cotar Holotronnya lalu menyematkan ke talipinggannya.
“Dia ada di pejabatnya sekarang.” Beritahu Demang.
“Kita perlu ke sana sekarang!” Pintas Wiranto mengatur tindak. Dia merapati Demang yang sudah berlari ke arah bangunan yang tersergam di depannya. Suasana hingar bingar dapat mereka rasakan. Mungkin para pelajar sedang sibuk bertukar kelas. Gelegat mereka diperhatikan oleh beberapa spesis pelajar di situ.
Mereka terpaku seketika tatkala silau cahaya tersembur keluar dari sebuah tingkap pejabat. Masa seakan terhenti, Suasana menjadi senyap dan sunyi pada tika itu. Demang dan Wiranto yang sudah beberapa ketika kaget dengan kejadian ini, menjadi seperti dua tugu yang saling memerhati sesama sendiri. Mereka bagai terpukau dengan kejadian aneh yang berlaku sebentar tadi.
“Kita mungkin telah terlambat!” Sebut Demang penuh kecewa.
Wiranto berpaling muka ke arah Demang…
Demang yang kini pucat, jelas terganggu dari kejadian itu. Matanya mula nampak merah berair. Inilah kali pertama dalam masa 1390 tahun dia melihat Demang menangis. Kali terakhir Demang berkeadaan begini adalah apabila dia meratapi kematiannya di orbit Planet Kinanthi. Ingatannya kepada peristiwa itu masih tebal. Seolah-olah ia telah berlaku semalam.

Masih terngiang-ngiang di ingatannya… Usianya baru mencecah 34 tahun. Dia telah cedera parah apabila pesawat gempur Jentayu B-12 nya diserang bertubi-tubi oleh pihak musuh. Pesawatnya itu tidak mampu bertahan, lalu ia musnah berkecai diratah bedilan musuh.
Demang hadir mengemudi pesawat Garuda kepunyaanya untuk menyelamatkan Wiranto. Tetapi itu semua sudah terlambat. Demang tidak mungkin dapat memaafkan dirinya kerana telah terlambat untuk menyelamatkannya. Apabila Demang datang untuk mendapatkannya, Wiranto berada di dalam keadaan nazak di dalam kokpitnya yang telah lama berpisah dari pesawat penggempurnya lalu, jatuh ke permukaan planet Kinanthi.
Kalaulah putaran masa bisa diterbalikkannya, ingin dia menjelajah waktu yang sama demi niat sucinya untuk melihat dayanya menyelamatkan keadaan, terutamanya untuk menyaksikan Wiranto selamat dalam pelukannya.
Demang bagai bersabung nyawa cuba untuk menyelamatkan Wiranto di tengah-tengah sebuah medan pertempuran. Tak sanggup Demang melihat keadaan Wiranto yang teruk ketika itu. Apa yang dilihatnya, adalah sekujur tubuh yang penuh penderitaan. Hirisan luka bagaikan tak terkita. Perutnya seakan-akan terburai. Dia kehilangan banyak darah. Demang merangkul Wiranto dengan erat lalu mengangkatnya masuk ke dalam pesawat Garuda. Dia berdoa agar hayat Wiranto dipanjangkan… Dia berharap mata Wiranto tidak kan pejam!
Wiranto terasa titis air mata Demang di mukanya. Panas. Demang menahan sebak tatkala membawa pesawat Garudanya keluar dari kawasan pertempuran. Dadanya berombak menahan sengsara. Sengsara, bukan disula tetapi sengsara bagaikan dia begitu pasti itulah kali terakhir dia menatap wajah Wiranto. Titik perpisahan bagaikan hampir, untuk menjemput Wiranto. Demang tabah…

**

Bilik Cacuk kosong. Kelibatnya tidak kelihatan di dalam biliknya. Mustahil kalau ada makhluk berteraskan organik yang terselamat dalam serangan bom Bio-plasma seperti itu. Bom Bio-plasma yang telah digunakan oleh pembunuh upahan Spinko akan menghapuskan apa dan siapa sahaja yang bersifat organik.
“Awasi semua kapalangkasa yang meninggalkan Deutah.” Tempelak Wiranto dengan begitu nyaring melalui alat komunikasinya. Dengan tangkas dia menukarkan fungsi cotar Holotron di tangannya. Kini tersisip pula senjata cemati yang bagaikan dahaga untuk digunakan. “Jangan benarkan sebarang pesawat meninggalkan planet ini tanpa diperiksa dengan teliti.”
Wiranto bingung bercampur keliru—memerhatikan Demang yang khusyuk memeriksa pejabat Cacuk. Tiada apa yang boleh dicarinya di situ. Yang hanya tinggal kini adalah pakaian Cacuk yang berselerak di atas lantai. Tubuhnya ghaib begitu sahaja setelah dimusnahkan oleh bom Bio-plasma.
“Aku nak cari pembunuh upahan Spinko ini sampai ketemu. Apa yang penting sekarang, aku harus mengenal identiti mereka yang telah mengupahnya untuk membunuh Pangeran Cacuk!” Nada serius Wiranto menambahkan sifat kepahlawanannya.
“Maaf, aku terpaksa pergi untuk mendapatkan Dimas sekarang!” Ujar Demang. Cepat-cepat dia merampas cotar Holotron dari tangan Wiranto. Dengan cepat dia mematikan fungsi cemati pada Holotron tersebut.
Demang memang bijak. Dia telah melemahkan genggaman Wiranto dengan cucukan akupuntur di lehernya, sebelum cotar itu beralih tangan. Demang perlu cepat-cepat bertindak untuk menyelamatkan Dimas. Itu sahaja yang dia pasti.
Wiranto terasa lemah, dia tak dapat menghalang perbuatan Demang mencuri cotar Holotronnya itu. Tubuhnya kaku buat beberapa ketika. Demang berlari ke arah tingkap. Badannya yang padat merempuh tingkap kaca. Berseleraklah cebisan kaca kecil yang pecah, bagaikan taburan permata membias cahaya. Wiranto cuma mampu melihat, kelibat Demang tiada lagi di sana.

Demang jatuh dari bangunan pejabat dengan kepalanya menjunam ke bawah. Aksi ngeri ini mungkin ganjil buat siapa sahaja, tapi bukan kepada Demang. Bagaikan ia sudah sebati dengan jiwanya. Apa tidaknya, dengan seberapa pantas dia cepat-cepat menghidupkan Holotron. Objek cotar yang mungkin nampak biasa pada mulanya, kini berubah menjadi sebuah pesawat kecil. Dan pengemudinya – adalah Demang sendiri.
Tangkas! Itu sahajalah perkataan yang boleh menerangkan kecekapan Demang dalam mengawal pesawat lut cahaya Holotron berwarna biru itu. Kapal yang cilik itu, mendabik dada membelah ruang angkasa.

Setibanya Demang di dalam pusat hiburan Holo-S, dia dapati Dimas sudah ada di sana. Menunggunya di luar pusat hiburan. Dia nampak bosan. Tangan yang tadinya berpeluk tubuh, kini dihulur, menjabat tangan Demang.
“Dari mana abang dapat cotar Holotron tu?” Dimas menjuihkan bibirnya ke arah cotar yang masih dalam genggaman Demang. Banyak yang dah dibacanya mengenai cotar itu. Dia tahu yang cotar itu boleh bertukar kepada sejenis alat pengangkutan ringan dan senjata. Ia hanya digunakan oleh para Warok dari Empayar Dresanala.
Dari pengamatan Dimas, cotar tersebut mempunyai rekabentuk agak antik. “Mungkin ia adalah dari rekaan Dinasti Kartosuro,” teka Dimas di dalam hati. Dinasti Kastosuro amat mementingkan kesenian baroque dengan ukiran-ukirannya yang halus lagi terperinci.
“Bagaimana kau boleh keluar dari bilik Holo-S itu tadi?” tanya Demang tanpa mengendahkan soalan Dimas sebelum ini.
“Saya tutup program Holo-S ini dari dalam.” Dimas menunjukkan jam tangannya yang boleh digunakan untuk berkomunikasi dengan komputer Holo-S. “Sistem Holo-S yang kita gunakan tadi telah diserang virus.”
“Aku tahu!” Getusnya dengan nada penuh kusut.
“Hmmm… Saya dapat kalahkan Barong yang abang turut-sertakan sama dalam program latihan kita petang ini. Tapi tinggi sangatlah tahap latihan kita kali ini.” Adu Dimas. Sesekali dia mengerling ke arah beberapa jasad yang yang sedang berjalan mundar-mandir di dalam pusat hiburan itu.
“Untuk pengetahuan kau, barong itu tidak termasuk di dalam program latihan kita.” Jelas Khairul dengan perlahan. Suaranya jelas kurang bermaya. Dia mas dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang sedang menganggu fikirannya pada waktu itu.
“Jadi siapa yang programkan?” bentak Dimas ringkas. “Ada orang nak dajalkan saya?”
Demang tidak menjawab. Dia hanya mampu mengeluh dan mengalihkan pandangannya ke setiap tubuh asing di dalam pusat itu.

Demang merangkul tangan kanan Dimas yang tercekak ke pinggang. Mereka terburu-buru keluar dari pusat itu. Mata mereka liar melahapi pemandangan sekitar pusat hiburan yang terletak di atas sebuah pelantar itu. Di bawahnya pula, permukaan laut yang terbentang.
Beberapa buah pesawat Holotron tiba-tiba mendarat di hadapan mereka. Satu persatu pesawat Holotron itu hilang lalu memuntahkah juru-juruterbangnya. Dengan disaluti pakaian serba hitam, ini sudah cukup membuat semua yang ada tertanya. Kalau diamati, lambang tebuan Empayar Dresanala terpampang megah di dada mereka.
“Apa Warok-warok ni mahu dari kita?” tanya Dimas. Inilah kali pertama dia berhadapan dengan para Warok yang tersohor dari Empayar Dresanala. Sebelum ini, dia hanya membaca kisah mereka melalui buku-buku koleksi bapanya…
Warok-warok ini tunduk di hadapan Demang, seakan-akan sembah hormat tingkahnya. Dimas kehairanan. Ini semua agak ganjil kepada Dimas. Selama ini Demang adalah seorang pengasuh di mata Dimas. Pengasuh yang telah menjaganya sedari kecil.
Sebuah pesawat shuttle Anoman T-31 bersaiz kecil mendarat di sebuah kawasan lapang di hadapan mereka. Pengunjung yang ada di kawasan itu tidak mengendahkan langsung kemunculan pesawat shuttle tersebut. Mereka lebih tekun dengan hal masing-masing.
Pintu shuttle Anoman terbuka luas. Muncullah Wiranto keluar dari dalam perut pesawat. Dia terus mendapatkan Demang. Wajahnya jelas nampak tawar. Matanya pudar tanpa sebarang riaksi.
“Kita tidak boleh terus berada di sini, Senopati. Mereka sudah tentu tahu yang Senopati berada di sini bersama Pangeran Dimas. Sudah pasti lebih ramai lagi pembunuh upahan yang akan kemari.” Jelas Wiranto. Matanya terkunci memandang kepada Dimas.
“Jangan panggil aku Senopati. Aku bukan Senopati kau lagi. Panggil sahaja dengan nama asalku.” Pinta Demang.
“Apa yang telah berlaku, abang Demang?” tanya Dimas.
“Mulai sekarang, kau panggil aku Khairul. Itu nama sebenar aku!” pinta Khairul serba salah. Sejak dari kecil lagi, Dimas sudah mengenalinya dengan panggilan Demang. Dia tidak pasti jika kini Dimas boleh menerima identiti sebenarnya. “Kita harus pergi dari sini!.”
“Pergi ke mana?”
“Pergi jauh dari Deutah. Mungkin kita perlu ke Dresanala. Kita akan lebih selamat di sana nanti.” Suara Khairul tajam dengan sebuah harapan yang menyala.
“Tapi kenapa? Bapak saya akan ikut sekali—“
“Tak. Dia tak akan ikut sekali.”
“Kenapa pula? Dia boleh mengambil cuti sabbatikal. Sudah tentu boleh ikut kita sekali—“ Dimas tidak mahu beralah begitu sahaja. Mukanya menongkah pandangan Khairul.
“Dia sudah tiada lagi…” Khairul teragak-agak menyusun kata. Dia yang memang petah bertutur, mengambil masa untuk menumbangkan benteng perasaan Dimas. Tapi dia berasa ini perlu dinyatakan kepada Dimas, demi kebaikan bersama. Dimas berhak tahu tentang perkara sebenar.
“Apa dia?’ tanya Dimas, dia tidak percaya kepada apa yang telah dikatakan oleh Khairul tadi. Ia bagai berita buruk. Dia mencongak-congak nasibnya sendiri, tetapi fikirannya terlalu kabur. Sukar untuk dia memahami situasi yang telah dibentangkan kepadanya kini.
“Dia telah diserang dengan bom Bio-plasma.” Bagai berada di kandang saksi satu perbicaraan, Khairul memberikan penjelasan kepada Dimas yang masih termangu. Dia seolah berperang dengan perasaan hibanya sendiri.
Dimas tampak terkejut. Dia tahu bahawa dengan serangan Bom Bio-plasma, dia tidak mungkin akan dapat melihat mayat bapanya, malah abunya juga tidak mungkin dapat dilihatnya. Kepalanya masih tidak dapat mengimbangi segala pernyataan Khairul mengenai nasib malang yang menimpa bapanya. Mahu sahaja dia menidakkan takdir itu semua, akan tetapi, sebahagian jiiwanya memaksa dia menerima takdir yang telah tersurat.
“Sebagai seorang kerabat Diraja Empayar Dresanala, kau perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan seperti ini sepanjang hidup kau.” Beritahu Khairul yang telah menyaksikan sendiri entah berapa ramai kerabat Diraja Dresanala yang telah terkorban dengan pelbagai cara di sepanjang hayatnya yang panjang itu. Itu belum lagi dihitung jasad-jasad kerabat Diraja Dresanala yang dipisah dari roh—semuanya di tangannya sendiri. Semua ini angkara setianya dia mengakuri titah perintah Maharaja-maharaja yang pernah berkuasa di setiap generasi yang pernah menghiasi sejarah.
Dimas menelan kata-kata Khairul dengan penuh khusyuk. Dia hanya mampu menganggukkan kepala.
Dimas masih berada di dalam keadaan terkejut. Segala perasaan bercampur aduk. Antara percaya dengan tidak. Dia tidak dapat memikirkan apa-apa kecuali suratan nasib dirinya kini. Walaupun begitu, dia telah menyandarkan segala kepercayaan kepada Khairul. Dia pasti bahawa Khairul arif dengan apa yang dilakukannya.
Khairul meminta Dimas masuk ke dalam shuttle Anoman. Dimas akur tanpa banyak soal. Tanpa berlengah lagi, pesawat Anoman terus meluncur laju ke angkasa menuju ke arah kapalangkasa Diraja Baladewa-j .


Bab 15

“Tidak menjadi satu perkara yang menghairankan apabila Empayar Dresanala menjadi penyebab bagaimana umat manusia akhirnya bersatu di bawah satu rumpun bahasa dan budaya. Pakaian dan aturcara budaya Dresanala menjadi ikutan mereka yang menjadi rakyat di bawah naungan jajahannya.”
-- “Penjajahan budaya oleh Empayar Dresanala.” Oleh Bambang Ronosuripto.

---

Kapalangkasa Baladewa-j masih lagi mengorbit planet Deutah. Dimas kini telah disegerakan ke bilik singgahsana Baladewa-j. Dia disaran agar berehat di situ sementara Baladewa-j menunggu empat buah pesawat pengiring Diraja Jentayu R-2 bersiap sedia untuk keluar dari orbit Deutah lalu bergerak masuk ke dalam Hyperruang.
Dimas kelihatan sugul tatkala dia memerhatikan Planet Deutah dari singgahsana. Dia berdiri di tepi jendela. Lama dia di sana. Dia mengeluh berkali-kali apabila dia memerhatikan planet dari kelas pelargik itu di mana 97.6% komposisi permukaannya dipenuhi dengan air. Dia adalah anak kelahiran Deutah. Jarang sekali dia keluar dari planet pelargik ini. Dan kini, dengan tiba-tiba sahaja dia telah diminta supaya meninggalkan planet tersebut.
Deutah akan tetap melekat dihatinya. Planet memang tersohor dengan kecantikannya. Memang tiada tolok bandingannya. Penduduk asal planet ini adalah kaum Deutah yang terkenal dengan sifat peramah dan susila yang tinggi. Amat asing jika dapat melihat mereka menghabiskan masa mereka di bahagian darat planet. Ini tidak mustahil kerana habitat semulajadi mereka sejak turun temurun adalah di laut-dalam.
Mungkin juga mereka sedar bahawa kaum humanoid yang telah berhijrah ke planet ini mungkin berasa kurang selesa dengan keadaan mereka yang bersaiz mikro. Mereka juga hidup di dalam kelompok yang besar sebagai satu unit yang mempunyai pemikiran kolektif sesama mereka. Kaum Deutah terkenal sejak 10,000 tahun dahulu di sektor Rahwana dengan kebolehan mereka mengawal teknologi hidro dan medan tenaga. Hampir keseluruhan dari tamadun kehidupan dan kemajuan mereka berteraskan penggunaan teknologi ini.
Sebahagian besar kota-kota di Deutah dibina di atas pelantar-pelantar gergasi yang jelas kelihatan dari angkasalepas yang mengorbit ruang angkasanya. Pelantar yang sama berfungsi sebagai pelantar perlombongan plasma.
Plasma telah menjadi bahan ekspot utama bagi planet ini. Bangunan-bangunan yang dibina pelantar gergasi mempunyai susunatur yang rapi agar penduduknya dapat hidup di dalam keadaan penuh selesa. Bukan sahaja bangunan pencakar langit yang mampu dibanggakan, tidak kurang dengan itu, taman-taman yang indah dengan pelbagai bentuk lanskap dapak disaksikan di pelusuk planet ini. Kalau dikaji, keadaan ini begitu sinonim dengan tabiat penduduk asal planet ini memang mementingkan suasana sistem ekologi yang diimbagi dengan kemajuan teknologi. Di atas planet ini jugalah terbinanya Universiti Garro, salah sebuah universiti elit yang paling terkenal di Sektor Rahwana.

Dimas sedang berperang dengan fikiran dia sendiri – memikirkan tentang arwah bapanya; seorang tenaga pengajar bidang arkeologi bio-perubatan di Universiti Garro. Baginya, bapanya adalah manusia yang paling di sayanginya selain dari Khairul dan arwah ibunya.
Sejak pemergian arwah ibunya ketika Dimas berusia 10 tahun, hubungan dengan bapanya semakin akrab. Kini, tiba-tiba dia telah diberitahu bahawa bapanya sudah tiada lagi. Bagaikan bumi dilibas dek halilintar, Dimas tidak dapat menerima berita ini. Ini adalah mimpi terburuk yang pernah dialaminya. Kalaulah benar dia dibuai mimpi buruk di kala beradu, mungkin semua mimpi ngeri ini akan berakhir begitu sahaja. Dia mahu sedar dari mimipi ngerinya ini dengan segala-galanya kembali seperti sediakala.
“Kau tentu sayangkan dia.” Ujar Wiranto ketika dia berhadapan dengan Khairul di dalam bilik singgangsana. Atur langkahnya semakin menghampiri Khairul.
“Dah tentu lah. Aku telah menjaganya sejak kecil… Aku memang sayang kepadanya.” Jelas Khairul tanpa ragu-ragu. “Bapanya aku juga yang jaga sejak kecil... Begitu juga dengan kesemua maharaja dan maharani yang pernah menerajui kerajaan Dresanala sejak lebih 1200 tahun yang lalu.”
“Kau… Kau juga telah jaga aku sejak kecil.” Wiranto mengingatkannya.
“Itu semua kisah lama… Nak buat apa kau ingat-ingatkan kembali?” Sambut Khairul. Dia membisu buat sementara waktu sebelum menyambung, “kau tak sepatutnya datang ke sini.”
“Sudah menjadi tugas aku untuk mencari Pangeran Cacuk.” Wiranto meluahkan apa yang terbuku di benak fikirannya.
“Siapa yang beritahu kau bahawa kami ada di Deutah?”
“Kumpulan Perisikan Lonthra.”
“Kau dah membuat silap… Kau tidak sepatutnya mengambil khidmat mereka. Kerana mereka bukan seperti kumpulan perisikan yang pernah kita kenal satu masa dulu. Zaman kegemilangan mereka sudah berakhir. Kini mereka lebih mementingkan keuntungan dari segala-galanya. Mereka pasti telah menjual makumat tentang Pangeran Cacuk kepada mereka yang mahukan mlihat dia mati.” Nada kekesalan di dalam suara Khairul begitu jelas sekali. Tetapi dia tahu bahawa tak guna jika dia terus memikirkan tentang perkara ini. Cacuk tidak mungkin akan hidup kembali. “Kau tidak sepatutnya dihidupkan.” Khairul mengatur kata. Nadanya berubah perlahan. Dia memandang jauh ke dalam mata Ridwan.
“Mereka telah menghidupkan aku supaya aku dapat menjejak kau. Mereka fikir, aku yang pernah menjadi gemblak kau dulu, pasti akan dapat mencari kau di mana jua kau berada. Bukan susah untuk mereka merumuskan bahawa—di mana ada kau, disitulah mereka boleh menghidu nafas Pangeran Cacuk.”
“Mereka telah berjanji untuk tidak menghidupkan kau kembali!” Khairul mengepal-ngepalkan tangannya tanda geram. Dia jelas nampak marah. Airmuka bengisnya tak dapat diselindunginya lagi. Dia tidak mengarahkan amarahnya kepada Wiranto, tetapi kepada mereka yang telah menghidupkannya kembali.
Selama 765 tahun telah berlalu sejak tarikh kematian Wiranto. Satu jangkamasa yang agak lama. Khairul telah melakukan apa yang termampu olehnya untuk memastikan bahawa Wiranto tidak akan dihidupkan lagi. Tetapi nampaknya usahanya selama ini sia-sia belaka. Kalau aku tidak meninggalkan Dresanala, perkara ini tidak mungkin akan dibenarkan berlaku!
“Kau kena tahu. Mereka sekadar menjalankan tugas. Baginda Maharaja yang memerintahkan supaya aku mencari puteranya itu sampai dapat.” Wiranto meluah kata-kata sambil tertunduk. Tak berani dia bertentang mata dengan si Khairul.
“Tapi untuk apa? Pangeran Cacuk tidak mungkin mahu menjadi sebahagian daripada sesuatu yang dia sendiri benci.”
“Sebab itulah kita memerlukan dia sekarang. Baginda maharaja mahu Pangeran Cacuk mengambil-alih tampuk pemerintahan Empayar Dresanala. Dia kini mula sedar tentang perjuangan Pangeran Cacuk selama ini. Tetapi—“
“Tetapi apa?”
“Ramai yang tidak setuju atau sependapat dengannya.” Wiranto berpaling ke arah Dimas sebelum dia menambah, “Dua minggu lepas, Baginda Maharaja telah diracun.”
“Astaghfirullahhhh!” Ucap Khairul jelas terkejut. Dia tidak boleh menerima hakikat bahawa Maharaja Dresanala yang pernah diasuhnya sejak kecil itu kini telah diracun.
“Mereka telah menggunakan cara lama.” Wiranto menjelaskan.
“Nanobot?”
“Ya… Nanobot yang bertindak menyerupai racun arsenik.”
“Siapa yang melakukan ini semua?’
“Kami tak pasti pulak, tapi Kementerian Penerangan dan Propaganda sudah membuat kenyataan rasmi bahawa pengganas Tonamonlah yang bertanggungjawab ke atas perkara ini.”
“Ini bukan cara pejuang Tonamon. Kau sepatutnya lebih tahu tentang hal ini dari aku!” Wiranto sedar bahawa Khairil mengantikan perkataan pengganas dengan perkataan pejuang di dalam kalimah-kalimahnya tadi.
“Aku tahu… Ini semua kerja orang dalam.” Ujar Wiranto. “Siapa yang mengawal Dresanala, secara tak langsung akan mengawal sektor Meru.” Wiranto membisik mentera ini dengan perlahan.
“Dresanala adalah diantara Empayar yang terkuat dan paling berkuasa di dalam galaksi ini. Disebabkan itulah ia mempunyai banyak musuh. Bukan sahaja musuh di dalam, malahan dari luar juga. Walau apa-apapun, ini semua bukanlah kerja pejuang Tonamon.”
“Kau tidak perlu memanggil mereka pejuang.” Kali ini Wiranto memberanikan dirinya untuk menyuarakan pendapatnya.
“Aku boleh panggil mereka dengan apa jua nama yang aku suka.”
“Pasti perempuan itu sudah mengubah cara pemikiran kau—“
“Sinta banyak mengajar aku tentang kehidupan… Lebih dari apa yang dapat aku pelajari sepanjang hidup aku selama ini.” Pintas Khairul memperkatakan tentang Sinta Wulansari, isteri Cacuk yang telah meninggal dunia di Planet Bromolox IV lapan tahun yang lalu. Seperti Cacuk, dia juga terasa begitu dekat kepada Sinta.
Minat mereka yang sama telah menemukan Cacuk dan Sinta. Mereke begitu cenderung terhadap bidang arkeologi bioperubatan. Mereka saling jatuh cinta, lalu melarikan diri dari Dresanala kerana itulah sahaja cara mereka untuk dapat bersama. Cacuk telah memerintahkan supaya Khairul mengiringinya. Selama hayatnya, Khairul sahajalah yang dianggapnya sebagai orang yang paling rapat dan boleh dipercayainya.
“Dia telah membuang beberapa program di dalam kepala kau… Betul tak kata aku ini?” Dicungkilnya perkara ini dengan pertanyaan bernada sinis.
“Sinta dan Pangeran Cacuk tidak mahu aku menjadi hamba Empayar Dresanala. Mereka tak mahu aku jadi seperti seekor lembu yang dicucuk hidungnya! Sekarang aku tidak perlu menerima apa-apa arahan dari mereka lagi. Kesetiaan aku hanya kepada Pangeran Cacuk, dan kini kepada Pangeran Dimas. Semua ini aku lakukan ke atas kemahuan aku sendiri. Tak ada paksaan dari sesiapa.”
“Kau bukan hamba… Kau seorang Senopati!” Wiranto mengingatkan. Seorang Senopati adalah seorang yang dihormati dan amat disegani.
“Aku telah diperhambakan untuk melakukan kerja-kerja yang aku sendiri tak mahu lakukan. Bukankah itu satu perhambaan?” Tanya Khairul. Suaranya kuat. Dimas menoleh sebentar ke arahnya, sebelum dia kembali memandang kosong ke arah angkasalepas.
Wiranto mengeluh perlahan. Rasa serba salah menyelubunginya kerana telah membenihkan api amarah kepada Khairul. Dia tidak suka melihat keadaan Khairul tatkala dia dilanda api kemarahan. Dia lebih senang melihat keadaan Khairul ketika dia gembira. Di antara masa-masa paling bahagia di dalam hidupnya sebelum dia mati dahulu adalah apabila dia melihat Khairul senyum dan gembira pada waktu-waktu mereka bersama.
“Kau masih sayangkan aku lagi?” Tanya Wiranto dengan tiba-tiba setelah lama dia membisu.
“Kalau aku tak sayang, tak mungkin aku mahu lihat kau terus mati dan tidak dihidupkan kembali.” Kata Khairul dengan perlahan, tapi lancar. “Cuma kau perlu faham, aku tidak mungkin akan dapat menyintai kau atau menerima kau sebagai gemblakku lagi.”
“Kau masih keras kepala macam dulu… Kau mungkin tak akan berubah!”
“Ini bukan perkara baru. Aku dah buat keputusan ini sejak dulu lagi. Aku tidak mungkin mahu menyintai sesuatu yang telah mati. Ketika aku menyintai kau dulu, kau masih bergelar manusia. Kau berjasad manusia, bernafas seperti manusia dan benih kasih kau adalah dari seorang bernama manusia.” Khairul seolah-olah berkhutbah dengan panjang lebar. Dia menjeling sesekali ke arah Wiranto sebelum dia kembali memandang jenak ke hadapan.
“Pernahkah kau, walau sesaat sekalipun cuba memahami perasaan aku? Lebih seribu tahun kau seksa aku begini.” Wiranto meluahkan kata-kata. Jelas dia dahagakan penjelasan. Wajahnya jelas sedih memikirkaan nasib yang telah menimpa dirinya. Dia menambah lagi, “aku sanggup tunggu walau seribu tahun lagi jika aku tahu bahawa penantian aku nanti akan menjanjikan kita dapat bersama seperti dahulu—“
Ketika itu Dimas telah menyeru nama Khairul. Dia menanyai Khairul jika ada lagi kapalangkasa yang akan mengiringi Baladewa-j selain dari Jentayu R-2.
Khairul membatu. Dia melangkah mendapatkan Dimas. Dia memandang ke hadapan.
“Kapalangkasa penyerang Ngabedi.” Bentak Wiranto dari belakang. Dia kenal benar dengan mereka kerana kaum Ngabedi telah lama cuba untuk memintas pesawat rasmi Empayar Dresanala. Mereka menganggap Empayar Dresanala sebagai musuh utama mereka, setelah Empayar Dresanala berjaya menjajah beberapa tamadun yang pernah ditundukkan oleh mereka.
“Apa yang mereka mahu dari kita?” Tanya Dimas.
Wiranto memandang ke arah Khairul. Dia tahu bahawa Khairul sendiri pasti akan jawapannya, kerana Khairul pernah bertanggungjawab untuk memusnahkan beberapa kapalangkasa mereka dahulu.
“Mereka sudah mengambil posisi untuk menyerang kita tuan!” Ucap kapten Dhani Prasetyo, kapten kapalangkasa Diraja Baladewa-j dari dalam anjung kepada Wiranto. Rambutnya kerinting. Kulitnya gelap. Susuhunannya di Bumi dahulu berasal dari benua Afrika. “Mereka ingin berbicara dengan tuan.”
“Sambungkan—“ Ujar Wiranto tegas. Dia menoleh ke arah tengah-tengah bilik singgahsari di mana Holocom akan memancarkan saluran komunikasi diantara dirinya dengan kapten kapalangkasa penyerang Ngabedi.
“Nama saya Wiranto, mewakili anggota misi diplomatik Empayar Dresanala.” Ucapan pembukaan Wirando. Dia berdiri tegak di hadapan kamera Holocom, langung menampakkan dirinya yang tegas dan berwibawa itu.
“Kami adalah wakil Persekutuan Maladur dari Ngabedi. Kamu sedang berada di dalam ruang angkasalepas Persekutan Maladur. Perlu diingatkan bahawa kamu tidak mempunyai apa-apa kuasa di kawasan ini dan tindakan anda semua adalah pencerobohan!” Kata-kata itu bagai satu tuduhan sudah dilemparkan.
“Kami faham dan mengiktiraf kedaulatan pihak puan di jajahan ini.” Kata Wiranto dengan tenang. “Kami akan keluar dari sektor ini sekarang juga. Kami meminta maaf jika kedatangan kami kemari telah menyusahkan pihak puan.”
“Empayar Dresanala adalah musuh kepada kaum Ngabedi. Kini kamu telah menceroboh ke kawasan jajahan kami.” Mata kapten Ngabedi yang besar serta bulat itu tidak berkelip sedikitpun.
“Kami ke sini bukan untuk mencari sengketa. Kami ke sini atas sebuah misi diplomatik!”
“Jangan berdalih. Kami ada bukti-bukti kukuh pihak kamu ke sini untuk tujuan perisikan. Jadi kami meminta kamu menyerah diri secara aman… Jika tidak, kami akan memulakan serangan!” ucap kapten kapalangkasa Ngabedi yang mempunyai rupa dan tingkahlaku seperti seekor semut. Mulutnya lilitupi topeng pheromone yang membolehkan dia berkomunikasi dengan menggunakan deria baunya yang kuat.
Wiranto tersenyum sinis. Dia masih berlagak tenang. Dia merupakan seorang Warok yang paling disegani dari kasta Ksatria. Dia tidak mungkin akan mahu bertelagah dengan satu rumpun bangsa atau sebuah perwakilan yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan kepada Empayar Dresanala. Ini adalah sebahagian dari etika seorang warok sepertinya, dan ia perlu dihormati sama sekali.
“Mereka tahu apa yang mereka mahukan.” Ujar Khairul. Dia memaling kepada Dimas. “Kini mungkin separuh dari galaksi ini tahu bahawa Raja Muda Empayar Dresanala sedang berada di luar jajahannya. Mereka semua mahu mengambil kesempatan ini.”
“Kamu hanya membuang masa kami!” Wiranto dengan perlahan mendekati kamera holocom. Dia nampak angkuh. Terkesima lagaknya. Sebagai seorang pahlawan Empayar Dresanala, dia menjunjung prinsip Ora Mingkuh—bahawa pahlawan sepertinya tidak mungkin akan menyerah kalah! “Kami tidak akan menyerah diri, mahupun menurut permintaan kamu selepas ini!” sebut Wiranto dengan suaranya yang tegas. Jarinya pantas mematikan transmisi Holocom.
Dalam masa yang sama juga, beberapa das meriam Ion telah dilepaskan ke arah Baladewa-j. Kapalangkasa Diraja ini bergegar buat beberapa ketika, tetapi tidak ada sedikitpun bahagian kapalangkasa ini yang telah terjejas.
Wiranto mengeluh bosan. Dia berjalan ke arah Anjung. Khairul dan Dimas mengekor rapat dari belakang.
“Apa tindakan kita selanjutnya tuan?” tanya kapten Dhani sebaik sahaja Wiranto masuk ke dalam anjung. Dia kemudian tertunduk hormat kepada Khairul dan Dimas.
Wiranto memandang ke arah Khairul, seolah-olah dia sedang menunggu saat Khairul untuk melakukan tindakan selanjutnya.
Saat itu juga, Khairul mengeluarkan keris Gayaman Pakubuwononya. Kapten Dhani dan beberapa anak kapal yang lain memandang ke arah keris itu dengan kagum. Semua yang ada di anjung itu merasa puas berbaur takjub melihat keris itu di tangan Khairul. Dalam pada itu, segalanya terjawab—akhirnya mereka dapat melihat keris lagenda yang senantiasa meniti bibir setiap mereka yang pernah mendengar akan kesaktiannya.
Khairul merapati kerusi kapten Dhani. Dia menghunuskan kerisnya ke dalam lubang sempit di atas sebuah konsol yang sememangnya dibuat khas untuk dimasukkan sebilah keris di dalamnya. Bagai sireh pulang ke gagang, kini keris hikmat itu tersemat kemas di tempatnya.
Khairul memutar bahagian hulu kerisnya sehingga bahagian paling hujung hulu keris menghadap kepadanya. Pada saat itu, kristal Ambilobe yang selama ini bersemayam bahagian hulu keris itu memancarkan cahaya hijau bergemerlapan. Keindahan sirna ini tidak dapat diceritakan dengan kata-kata, hanya mereka yang ada di dalam kapalangkasa itu sahaja yang tahu betapa indahnya!
“Apa yang akan berlaku?” Tanya Dimas kepada Wiranto—seakan-akan memecah kesunyian.
“Pangeran akan lihat sendiri.” Sambut Wiranto ringkas. Kilauan matanya jelas menunjukkan rasa bangganya terhadap Khairul.
“Sistem Halimunan telah dihidupkan. Baladewa-j kini sedang berada di dalam keadaan halimunan, tuan!” beritahu Kapten Dhani. Sebagai seorang kapten, dia sendiri telah dilengkapkan dengan sebilah keris yang dipanggil Keris Nogo SorsoBaladewa. Keris ini punyai fungsi yang sama apabila ia digunakan. Tetapi ia tidak mungkin dapat menandingi kesaktian keris yang sedang digunakan Khairul.
“Kita tinggalkan orbit Deutah sekarang.” Perintah Khairul. Kapten Dhani mengangguk, lalu mengarahkan pengemudi supaya mengemudi Baladewa-j keluar dari orbit Deutah.
“Perhatikan planet kelahiranmu ini betul-betul, Dimas. Ini kali terakhir kau melihatnya. Selepas ini, kau tidak mungkin akan dapat meninggalkan sistem Meru lagi.” Kata Khairul, sambil tangannya memegang bahu Dimas.
Dimas tertunduk, kemudian dengan ragu-ragu dia memandang ke arah Deutah.
“Mereka perlu diajar… Musnahkan mereka sekarang!” ujar Wiranto. Selang beberapa detik sahaja selepas itu, keempat-empat buah kapalangkasa pengiring Jentayu R-2 telah mengacukan senjata mereka kepada kapalangkasa Ngabedi.
Kapalangkasa Ngabedi kini diserang bertubi-tubi oleh Jentayu R-2. Baladewa-j pula terus mengorak langkah semakin jauh dari Deutah. Apabila mereka tiba ke sebuah kawasan yang lebih selamat, Khairul memusingkan kembali kerisnya. Dengan itu jua, dia menarik kerisnya keluar dari lubang konsol.
“Pihak musuh telah berjaya dimusnahkan.” Beritahu kapten Dhani kepada Khairul dan Wiranto. “Tapi kini ada empat buah kapalangkasa pemusnah Ngabedi yang muncul di orbit Deutah.”
“Kita masuk ke dalam hyperruang tanpa berlengah lagi!” Perintah Wirawan. Kapten Dhani mengangguk cepat. “Mereka bukan lawan kami. Tak ada guna untuk kita bersengketa dengan satu kaum yang lemah, apatah lagi kalau kita cuba menguji kudrat kita dengan mereka. Sudah! Arahkan semua kapalangkasa pengiring kita pulang ke pengkalan Dharmawangsa sekarang juga.”
Pada waktu itu, lantai di tengah-tengah anjung terbuka, lalu menerjah masuk sebuah sfera yang kemudiannya terapung-apung. Sfera itu mengandungi sebuah obor-obor Ibeni. Ia sedang berinteraksi dengan sistem komputer Baladewa-j untuk membuat pengiraan yang paling tepat untuk membawa kapalangkasa ini bergerak di dalam hyperruang dengan selamat.
Obor-obor Ibeni seperti ini telah digunakan sejak berkurun lamanya sebagai sistem komputer kapalangkasa terpenting Empayar Dresanalana. Obor-obor Ibeni ini memungkinkan kapalangkasa Empayar Dresanala mempunyai pelbagai kelebihan—diantaranya bergerak di dalam hyperruang dengan menggunakan jalan yang terpantas. Selain dari itu, ia juga mampu menjadikan sesebuah kapalangkasa itu berfungsi seperti sebuah droid yang boleh berfikir dengan sendirinya.
Beberapa detik kemudian, Dimas dapat memerhatikan fenomena indah di mana bintang-bintang di hadapannya menghasilkan beberapa jalur cahaya yang panjang dan gemilang. Jelas padanya, kini, Baladewa-j sudahpun masuk ke dalam hyperruang.
“Deutah berada sejauh 12,343 tahun cahaya dari Dresanala. Perjalanan akan mengambil masa selama 35 jam. Pangeran patut berehat. Banyak perkara yang patut Pangeran lakukan setiba Pangeran ke Dresanala kelak.” Jelas Wiranto. Dimas tidak biasa dengan panggilan “Pangeran”. Akan tetapi dia mula sedar yang dia perlu membiasakan dirinya dengan segala protokol yang terpaksa dihadapinya kelak.

Dimas bagai dibuai mimpi. Dalam sekejapan sahaja hidupnya telah berubah dengan drastik, dari seorang pelajar universiti, kini dia menjadi seorang yang paling berkuasa di dalam galaksi ini. Dia masih keliru. Dia mampu menyelindungi gusarnya agar semua yang bergantung harap kepadanya akan terus menyandarkan harapan. Sukar baginya untuk menerima semua ini dengan mudah.
Masakan tidak, bapanya yang sepanjang hayatnya dikenali dengan nama Suryo Jiwo Negoro, kini lebih mesra dipanggil dengan nama Pangeran Cacuk Sudwikatmono IV oleh mereka di sekelilingnya. Itu terlalu asing sekali baginya. Dan yang paling menyayat hati adalah—bapa yang pernah mengukir senyum di wajahnya ketika bergurau senda pagi tadi, kini tidak mungkin akan kembali lagi ke pangkuannya lagi. Tak mungkin hari-hari bahagia yang pernah dilalui dengannya akan dapat dilewati semula…



Bab 16

“Seperti sang puteri dari Bumi” (Yang membawa maksud: Tidak semua yang cantik itu datangnya dari unsur yang baik).
-- Peribahasa lama Dresanala.
---
Baladewa-j tiba di sistem Arjuna tepat pada masa yang telah ditetapkan oleh obor-obor Ibeni. Baladewa-j merupakan di antara kapalangkasa yang terpantas di dalam Empayar Dresanala. Baladewa-j hanya mengambil masa beberapa jam sahaja untuk menuju ke tempat yang paling jauh sedangkan kapalangkasa biasa akan mengambil masa berhari-hari untuk perjalanan yang sama. Kapalangkasa Diraja ini sering digunakan untuk tujuan diplomatik. Ia bukan sahaja digunakan di kalangan kerabat Diraja, tetapi ia memainkan peranan penting dalam menjalankan tugas-tugas rasmi Empayar Dresanala.
Khairul adalah antara pengemudi Baladewa-j yang ternama. Dia telah mengubahsuai sendiri rekabentuk dalam dan luar Baladewa-j ketika ia mula-mula di bina dahulu. Walaupun kini Baladewa-j telah dibaikpulih semula untuk beberapa kali, ia tetap mengekalkan spesifikasi dan rekabentuk asalnya. Selama 400 tahun Baladewa-j mencurah khidmat dengan Empayar Dresanala, pelbagai peristiwa telah dilaluinya; terutamanya sepanjang ia digunakan oleh Khairul. Mungkin sekembalinya Khairul ke Dresanala, Baladewa-j akan dapat mengecapi zaman kegemilangannya semula apabila ia akan digunakan untuk tugas-tugas yang penting oleh Khairul, diantara Senopati yang paling disegani di dalam sejarah Empayar Dresanala.
Baladewa-j menjurus deras meneroka angkasa, terus ke arah Dresanala. Dalam beberapa minit sahaja lagi ia akan tiba di orbit Dresanala.

“Kau akan diketemukan dengan Bupati Achyat Wicaksana. Dia penasihat Baginda Maharaja.” Jelas Khairul kepada Dimas. “Kau tentu tahu… Taraf seorang Bupati adalah seperti seorang Perdana Menteri di Deutah.”
“Di mana?” Tanya Dimas. Wajah membiaskan kepenatan, walaupun dia banyak menghabiskan masanya beradu di kamar. Agak sukar untuk Dimas mencatur ingatan tentang keadaan seorang Perdana Menteri yang mempunyai bentuk seperti seorang humanoid. Yang lazim baginya, Perdana Menteri di planet kelahirannya merupakan sekumpulan kaum Deutah yang mempunyai keahlian seramai 100 makhluk mikro Deutah yang berfikiran secara kolektif.
“Di Kotagede.” Jawab Khairul ringkas. “Dia telahpun menunggu kita di sana.”
Baladewa-j terus melebarkan sayapnya, terbang laju ke arah Dresanala melewati Planet Wisanggeni. Dimas memerhati suasana Dresanala dari tingkap bilik singgahsari. Masakan dia tidak kagum melihat apa yang terbentang di depan matanya. Fatamorgana yang disaksikannya sungguh indah, tak terucap dengan kata-kata, tak terlukis dengan alunan warna. Dresanala tampak kehijauan, dihiasi pula dengan percikan cahaya dari pelbagai arah, Wisanggeni pula berwarna merah pekat; membuatkan semesta alam seperti berpesta menanti kedatangan mereka. Pemandangan itu sungguh berbeza kalau dibandingkan dengan Deutah.
Deutah nampak lebih kebiruan. Planet kelahirannya itu dipenuhi oleh lautan luas jenuh mata memandang.

Beberapa detik kemudian, Baladewa-j masuk ke dalam ruang angkasa Dresanala. Pergerakannya masih lancar walaupun ia mencantas kepulan-kepulan awan yang tebal.
“Di sana letaknya Kotagede.” Ucap Khairul seraya menuding jari ke arah beberapa buah menara tinggi yang muncul di antara kepul-kepul awan yang tebal. “Kota ini adalah sebuah kota kasta Ksatria.”
“Kota ini sebuah kota terapung!” Dimas berjalan semakin dekat ke jendela berhampiran untuk melihat Kotagede dengan lebih jelas lagi. Kota ini nampak sungguh menarik. Dia terpaku sementara. Selain dari Baladewa-j, ada beberapa buah shuttle yang sedang terbang bebas di antara menara-menara tinggi itu. Kilauan setiap shuttle itu, tak ubah seperti kunang-kunang mencari sarang di waktu senja. Sememangnya kota terapung ini kelihatan serupa seperti mana-mana kota besar di dalam Empayar Dresanala. Tiada beza yang mengasingkan antara kota-kota itu.
“Ada lebih seratus kota-kota terapung seperti ini di Dresanala. Tetapi Kotagede yang paling cantik dan yang tertua sekali.” Beritahu Khairul seolah-oleh dia tenggelam di dalam lautan fikirannya sendiri. Buat beberapa detik dia teringatkan peristiwa dia membawa Wiranto ke kota ini buat kali pertamanya setelah dia menyelamatkannya di Bumi.
Mata kecil Wiranto bersinar-sinar sebagaimana yang dilihatnya di mata Dimas kini.
“Kenapa mesti dibina kota-kota terapung seperti ini?” Tanya Dimas ingin tahu. Perangainya yang suka bertanya tidak ubah seperti perangai bapanya ketika usia bapanya masih kanak-kanak dahulu, fikir Khairul.
“Begini ceritanya.” Khairul berlagak seperti tukang karut memulakan sketsa cerita. “Semasa pemerintahan Dinasti Singasari, Ratu Srengenge telah memerintahkan bahawa hanya kerabat Diraja sahaja yang boleh diam di atas mukabumi Dresanala, manakala rakyat jelata dan kaum pendatang ditempatkan di atas kota-kota terapung. Jadi, setelah lebih seribu tahun sejak usul ini diperkuatkuasakan, ada di antara rakyat biasa Dresanala yang tidak pernah menjejak-kaki mereka di atas bumi Dresanala itu sendiri. Begitu juga dengan kaum kerabat Diraja Dresanala… Ada di antara mereka yang mungkin telah meneroka jauh ke hujung galaksi sehingga ke Omata, tetapi mereka tidak pernah sekalipun menghirup udara di kota-kota terapung ciptaan mereka sendiri.
“Setelah lebih seribu tahun mereka hidup begini, rakyat Dresanala yang menduduki kota-kota terapung seperti ini hidup bahagia dengan kehidupan mereka. Tidak dinafikan bahawa mereka adalah golongan yang terkaya di dalam sektor Meru. Di sini tiada orang yang miskin. Walaupun begitu, kekayaan yang ada di sini tidak boleh dibandingkan dengan apa yang ada di bawah sana. Di bawah sana, dunianya amat berbeza dengan apa yang ada di sini.” Jelas Khairul dengan panjang lebar, matanya mengerling jauh ke bawah. Bagaikan semut api berderetan, sistem pengangkutan moden yang terlihat agak berselirat tetapi moden dan cekap. Khairul menyambung, “Tetapi bapamu lain orangnya. Dia lebih senang menghabiskan masanya di sini.”
“Kenapa?” Dimas pantas menyambut.
“Dia tidak suka kepada kehidupannya di bawah sana.” Ujar Khairul sebelum dia menambah lagi dengan suara yang perlahan. “Bapamu telah menemui ibumu untuk pertama kali di kota ini.”
“Kenapa saya tidak pernah tahu tentang hal ini.”
“Ibu dan bapa kau tak mahu kau tahu tentang kehidupan mereka di sini. Mungkin ia terlalu peribadi dan istimewa buat mereka.”
“Tapi kenapa?” Tanya Dimas bertubi-tubi.
“Mungkin kerana mereka tak mahu kau lalui kehidupan kau di tempat sebegini—seperti mana yang pernah mereka lalui sendiri.”
“Apa kurangnya tinggal di Dresanala?”
“Banyak yang kau tak tahu tentang tempat ini, Dimas…” Khairul termenung jauh. Matanya yang tadi bertentang dengan Khairul, dialihkan ke tempat lain. Dia seakan ingin menukar topik bualan. Baladewa-j kini terbang semakin perlahan masuk ke kawasan kota. Kecekapan Baladewa-j tak boleh disangkal lagi—ia melakukan satu pusingan pantas sebelum ia mendarat di atas sebuah pelantar pendaratan. “Kita harus bersedia untuk menemui Bupati.” Khairul memegang bahu Dimas. Dimas tertunduk.
“Kenapa saya dibawa ke sini dan bukan ke Pakubuwono?” Tanya Dimas.
“Kerana, jika mengikut protokol, ini merupakan kali terakhir kau akan dibenarkan berada di kota terapung seperti ini.”
“Kenapa pula?”
“Selepas ini kau akan ditabalkan sebagai Raja Muda Empayar Dresanala untuk menggantikan tempat arwah bapa kau. Selepas itu kau tidak boleh ke mana-mana selain bersemayam di kota Pakubuwono. Kau seakan-akan ‘terpenjara’ di dalam kraton kau sendiri. Inilah antara sebab kenapa bapa kau mahu melarikan diri dari ini semua satu masa dulu.” Ujar Khairul berterus terang kepada Dimas. Menjelaskan kepadanya tentang fitrah yang terpaksa dilaluinya selepas ini.
Dimas termenung sejenak memikirkan tentang kata-kata Khairul tadi. Dalam masa yang sama, imbasan wajah kedua orang tuanya berlegar di fikirannya. Seketika itu juga dia teringatkan kepada apa yang mungkin telah mereka lakukan bersama satu ketika dahulu.
Mungkin ada benarnya kata Khairul, mungkin ada sesuatu yang tidak kena di bawah sana… Dimas cepat-cepat membetulkan pakaiannya—bersedia untuk bertemu Bupati Achyat Wicaksana.

**

Dimas diiringi turun dari Baladewa-j oleh Wiranto dan Khairul. Dia dapat melihat bahawa ketibaannya di Kotagede telah disambut oleh Bupati Achyat Wicaksana bersama seketumbukan Warok-warok dari pelbagai pasukan yang mempunyai kepakaran yang pelbagai.
“Selamat datang ke Dresanala, Pangeran.” Bagai tak sabar Achyat untuk menerima kehadiran Dimas, lalu dia tunduk hormat di hadapan bakal Raja Muda yang baru itu. Pakaian serba hitam yang menyaluti tubuhnya jelas menunjukkan mereka masih berkabung ke atas kematian Raja Mudanya. Di sisinya berdiri tegap beberapa orang Warok pengiring Diraja yang sedang memakai baju perisai berwarna perak. Di celah tangan mereka terselit tombak-tombak yang berkilau hujungnya. Dari apa yang dikhabarkan, tombak-tombak ini bersifat simbolik. Dalam pada masa yang sama, ia mempunyai kelebihan untuk mengeluarkan ledakan sonik yang mampu membunuh.
Dimas tidak mampu berkata apa-apa. Dia sekadar tersenyum tawar sambil memerhatikan tubuh-tubuh mereka yang datang menyambutnya. Dia mengalih pandang, mendongak melihat planet Wisanggeni yang jelas kelihatan, walaupun pada waktu tengahari seperti itu. Dia terhenti seketika. Masakan tidak, pemandangan indah sedemikian terlalu asing buatnya. Sinar cahaya biru Arjuna yang terlimpah ke mukanya sedikit sebanyak telah memeritkan mata.
“Kotagede akan melalui Pakubuwono di dalam masa tujuh jam sahaja lagi. Saya harap, Pangeran akan merasa selesa di sini… Kalau ada apa-apa yang Pangeran perlukan, kami sedia memenuhinya. Dan… Saya bagi pihak penduduk Kotagede ingin merakamkan takziah kepada pihak Pangeran di atas kemangkatan Raja Muda kita.”
Dimas mengangguk perlahan. Dia masih tidak boleh berbicara, seolah-olah segala tindak tanduknya sudah disuratkan sedemikian. Apa yang jelas, masih sukar baginya untuk menerima berita kemangkatan bapanya sendiri. Kedukaannya tidakkan sama dengan apa yang dialami oleh orang lain.
Dalam kesedihan yang masih tebal, Dimas menggagahkan dirinya untuk tidak menghampakan tuan rumah. Mereka telah membuat persiapan rapi lagi terancang. Achyat membawa Dimas melihat-lihat kota ini dari kawasan pelantar pendaratan. Menara-menara tinggi yang nampak gah dan tersusun indah mengelilingi di sekitar mereka. Bagaikan pagar gergasi lagaknya. Ada bangunan yang terlalu tinggi sehingga mencecah dada awan. Ada yang agak kerdil, akur dengan kegelapan dek bayang-bayang meskipun hari masih siang. Kota terapung ini kelihatan seperti ia dilitupi oleh sebuah kubah gergasi lutsinar.
Kubah lutsinar memungkinkan kota-kota terapung ini mempunyai sistem mikro-cuacanya tersendiri. Bukan itu sahaja, kubah ini menambah nilai-nilai estetika kepada kota-kota ini. Kubah itu juga dibina dengan ciri-ciri keselamatan termoden untuk menghindari serangan terhadap kota ini. Ia juga mampu mengelakkan naga-naga mahawangsa yang mungkin akan tersesat masuk ke dalam kota.

Di atas pelantar, Dimas telah dibawa menaiki sebuah pesawat persiaran tanpa bumbung yang dinamakan—Kodok YM-23 . Pesawat cilik ini mampu memuatkan seramai sepuluh orang penumpang di dalamnya. Dimas dibawa bersiar oleh Achyat untuk menyusuri suasana Kotagede. Beberapa orang warok pengiring mengiringi pesawat Kodok dengan menaiki motorsikal Holotron mereka.
Khairul nampak tenang sewaktu dia menaiki pesawat ini menemani Dimas. Walaupun sudah beribu tahun dia menatap pemandangan yang sama di hadapannya, tetapi dia tidak pernah merasa jelak. Apatah lagi untuk berasa bosan. Baginya, pemandangan ini terlalu indah di Kotagede. Walaupun dia menatap pemandangan yang sama untuk sejuta tahun, ia akan tetap terindah buat Khairul. Tidak dapat dinafikan lagi, senibina yang cantik ditambah dengan kekayaan yang dibawa masuk oleh Empayar Dresanala; menjadikan kota ini kelihatan seperti sebuah kota elit agung di atas kayangan yang hanya layak didiami oleh para dewata.
“Senopati Khairul kata, Pangeran patut di bawa ke Tamansari.” Ujar Achyat kepada Dimas. Sebelum ini, dia dan Khairul saling berbisik sesama mereka. Entah apa sahaja yang mereka bisikkan. Wajahnya berkerut seribu apabila dia berbincang dengan Achyat tadi. Seolah ada kekusutan di fikiran mereka.
Pesawat Kodok diperlahankan, lantas turun ke aras yang lebih rendah di bahagian paling hujung Kotagede. Semakin rendah pesawat ini turun, kelihatan semakin banyak pesawat pengangkutan awam dan pesawat persendirian yang kelihatan mundar mandir di kawasan kota tersebut. Begitu sibuk mereka ke sana sini dengan tujuan masing-masing.
Pesawat Kodok dikemudi untuk memasuki satu kawasan yang agak terpencil. Tempat ini sungguh jauh dari kesibukan kota yang hingar bingar. Kawasan ini, menurut Achyat adalah sebuah kawasan larangan. Dimas tersentak sekejapan mendengar pernyataan itu. Bangunan-bangunan di sini pula dibina rapat-rapat seolah-olah bertindih; tak ubah seperti sebuah tembok besar atau benteng untuk melindungi bahagian kota itu dari serangan luar.
Tamansari ialah sebuah taman air di Kotagede Selatan; ia merupakan sebuah kawasan rehat Diraja yang dikelilingi taman yang indah. Sungguh indah taman ini, ia boleh mengkagumkan siapa sahaja yang menjejakkan kaki ke tempat itu. Jangankan hamparan kawasan hijau yang luas, pelbagai jenis tumbuhan melingkari setiap sudut. Di samping itu, udaranya sungguh segar—tidak terucap kenyamanannya. Tiang-tiang tinggi tersergam indah disaluti batu-batu yang seakan permata, yang sentiasa memercikkan cahaya kebiruan berselang-seli dengan sirna hijau. Sesekali terdengar percikan air dari kolam dibina seperti tempat yang boleh diguna untuk bersiram. Taman indah ini dibina betul-betul pada di bahagian paling hujung Kotagede Selatan. Mungkin kedudukan ini sesuai untuk melarikan diri dari kesibukan kota dan sesuai untuk bersantai.
Menurut hikayat, taman ini telah wujud sejak kota ini mula dibina dahulu. Sekarang, bangunan yang dahulu merupakan kamar beradu Diraja, tempat beristirehat, dan kolam bersiram sang putri dan putra kraton; terbiar kosong. Sejak berakhirnya Dinasti Singasari, jarang kedapatan kerabat Diraja yang datang untuk berehat atau menghabiskan masa di sini. Di taman itu juga ada beberapa terowong bawah tanah. Masih ramai yang ragu akan fungsinya; sehingga sekarang tiada siapa yang tahu fungsi sebenar terowong-terowong itu. Namun begitu, taman ini masih dijaga dengan rapi. Keindahannya terserlah sepertimana kegemilangannya satu masa dulu. Tiada tolok bandingnya.
Dimas jelas terpegun melihat keindahan Tamansari. Beberapa ekor serangga seakan-akan menari di hujung matanya. Cahaya yang terpancar dari serangga itu, seolah-olah sekumpulan bintang kecil layaknya. Liuk lentuk pergerakan mereka seperti ingin meceriakan hati duka si Dimas. Seakan-akan mereka mengerti musibah yang baru menimpanya. Sinaran Arjuna berwarna biru dari angkasa menambah-serikan lagi suasana. Cahaya dingin Arjuna tumpah ke setiap makhluk yang ada di taman itu; maka kesemuanya seolah-olah berpakaian hampir serupa—bewarna kebiruan. Apabila dia mendongak, dia dapat menyaksikan beberapa buah pesawat yang bergerak keluar masuk dari Dresanala. Ia betul-betul kelihatan seperti butiran-butiran meteor yang bergerak mewarnai angkasa.
Buat pertama kali sejak Dimas dibawa keluar dari Deutah, dia terasa tenang. Aman. Jiwanya terasa tenteram menikmati suasana Tamansari.
Achyat memberitahu kepada Khairul bahawa dia terpaksa beredar untuk meneruskan tugasan sebagai seorang Bupati. Dia mahu kembali ke pejabatnya yang terletak di Pakubuwono. Masih ada beberapa perjanjian rasmi dengan dua atau tiga buah jajahan di bawah takluk Empayar Dresanala yang terpaksa ditandatanganinya. Khairul mengangguk tanda mengerti. Dia sendiri tahu bahawa pekerjaan itu bukan mudah. Kadang-kala ia melibatkan Achyat menghadiri dua atau tiga persidangan penting di dalam jangkamasa yang singkat. Itu belum lagi dihitung beberapa permasalahan di dalam pentadbiran Empayar Dresanala itu sendiri, yang perlu campurtangan Achyat. Tetapi Khairul pasti bahawa Achyat dapat melakukan tugas-tugasnya dengan cemerlang, memandangkan seorang kerabat sepertinya telah dilatih sedari kecil lagi di dalam aspek-aspek perbendaharaan sebuah Empayar.
“Apa yang kau bicarakan dengan Bupati tadi?” Tanya Wiranto kepada Khairul. Tatkala itu Dimas membuka langkah sendirian menuju ke arah dek pemerhatian. Dia boleh melihat pemandangan Dresanala dengan jelas di sana.
“Dia memberitahu aku tentang apa yang telah berlaku di sini. Tentang serangan-serangan pengganas ke atas beberapa buah kota di Dresanala termasuk di Kotagede...” suara Khairul perlahan dan berat. “Perkara ini semakin teruk. Penduduk Dresanala hidup diselubungi ketakutan. Tiga bulan lepas, kota terapung Palapa telah diserang dengan bom ion yang disasarkan ke arahnya. Ia musnah di lautan Kerta. Cuba bayangkan—lebih lima ratus ribu orang terkorban. Kita hanya dapat selamatkan seramai tiga ribu orang mangsa sebelum kota itu tenggelam di lautan dalam itu.
“Yang nyata, kaum Isbin dipersalahkan. Ramai di antara mereka telah ditangkap dengan membuta tuli. Tiada apa-apa bukti kukuh. Hingga kini masih ramai dalam tahanan.”
Wajah Khairul berubah. Dia tidak pernah menyangka bahawa para pengganas telah bertindak dengan sebegitu zalim cuba memusnahkan sebuah kota yang sesak dengan penduduk.
“Mereka tidak harus dipersalahkan. Ini bukan cara atau kehendak mereka.” Khairul menyatakan pendapatnya. Dia tidak mungkin berganjak dari pendiriannya. “Kerja ini terlalu kejam dan gila!” Dia terhenti di situ. “Hanya mereka yang tidak berhati perut sahaja tergamak membunuh orang-orang yang tidak berdosa walau apa sekalipun alasan mereka berikan!” Bentaknya.
Khairul merenung jauh memikirkan kejadian itu dalam-dalam. Dia cuba mencatur kesamaan dengan apa yang pernah dilakukannya sendiri satu ketika dahulu. Tangannya pernah berlumuran dengan darah mereka yang tidak berdosa—dia pernah menjadi pemusnah entah berapa buah kota di beratus-ratus buah dunia yang telah dijajahi oleh Empayar Dresanala. Dia merasakan bahawa apa yang telah dilakukannya tidak jauh bezanya dengan kemusnahan yang diberitakan kepadanya kini. Mungkin tindak tanduknya lebih teruk lagi.
Khairul masih diulit fikirannya sendiri. Tiada siapa yang tahu, apa yang bermain di kotak fikirannya. Tapi air mukanya mencerminkan sedikit kekesalan yang tidak bernoktah.
“Aku tahu apa yang bermain di fikiran kau…” Wiranto mencelah. Sudah lama dia perhatikan gelagat Khairul. Sudah dibacanya apa yang terlintas di benak Khairul. Setelah begitu lama dia bersama Khairul, dia bagaikan telah masak dengan kerenahnya. Setiap apa yang terlintas di dalam kepala Khairul, pasti dapat ditekanya. “Kau tak perlu gusarkan atau sesalkan tentang apa yang pernah kau lakukan dahulu. Itu semua sudah terlipat di dalam sejarah. Kau harus memandang ke depan. Kekesalan takkan membawa kau untuk memutar waktu!” Ujarnya dengan serius.
“Kau ingat lagi cerita lama aku? Ketika aku masih lagi bergelar seorang manusia? Bagaimana aku telah bercita-cita untuk menjadi seorang pegawai tinggi anggota Pasukan Marin Angkasalepas?”
“Jika SDT tidak merosakkan hidup kau dulu… Kau tetap akan menjalankan tugas kau bagi pihak Perbadanan Bumi. Kau tetap akan melakukan apa sahaja perintah mereka tanpa perlu berfikir panjang. Kau akan tetap berada di bawah telunjuk mereka! Sama saja!” kata-kata Wiranto menerpa terus ke dalam jiwa Khairul. Dia pernah membincangkan hal yang sama dengan Khairul beberapa tahun sebelum dia terkorban buat kali pertama. Kalimah yang sama telah diluahkan olehnya kepada Khairul dahulu. Tetapi jelas kepadanya kini bahawa Khairul masih dirundung perasaan bersalah.

Khairul mengeluh. Dia pasti Wiranto sendiri memahami isi-hatinya yang berkecamuk itu. Tidak ada seharipun di dalam hidupnya, dia mampu berhenti dari memikirkan tentang segala apa yang telah dilakukannya selama dia bertugas sebagai seorang Senopati. Dia tidak mampu untuk menipu diri—dia merasakan kekesalan yang tebal di dalam jiwanya. Ada benarnya, kekesalan tidak akan membawa ia ke mana dan dalam masa yang sama, dia tidak mungkin memutar waktu. Dia pasrah. Yang ada padanya, adalah semangat untuk terus memandang ke depan tanpa dibayangi kisah silam.

Itu sahaja semangat yang diharapkannya ada padanya sekarang.

**

Mata Dimas terpaku memandang ke hadapan apabila dia sedang berada di atas dek pemerhatian di Tamansari. Dia menyaksikan lima buah pesawat kecil Holotron sedang terbang menuju ke arah Tamansari. Yang pasti, pesawat-pesawat itu datang dari luar Kotagede. Deruman pesawat-pesawat itu tidaklah sebising mana. Warok-warok yang menaiki Holotron itu terbang melewati medan tenaga Kotagede, lalu dengan perlahan ia hinggap di kawasan lapang di Tamansari.
Pesawat Holotron yang dinaiki oleh Warok-warok itu hilang serta merta sebaik sahaja mereka mendarat. Tidak sampai beberapa saat, pesawat itu bertukar rupa kepada sebatang cotar. Mereka lekas menyimpan cotar Holotron masing-masing. Sepantas kilat juga mereka berlima berjalan ke arah Dimas—terburu-buru. Warok-warok pengawal yang ada telah membiarkan sahaja mereka berlima mengadap Dimas tanpa menghalang. Mereka terus berdiri tegak seperti patung mengawal Dimas.
Warok-warok yang baru sahaja tiba, terus melutut dan tunduk di hadapan Dimas.
Dimas terus mendapatkan Wiranto dan Khairul. Dia berpaling ke arah Warok-warok tersebut yang masih tidak berganjak dari tempat mereka.
Dimas cuma memerhatikan Warok-warok yang sedang tunduk di hadapannya. Sedikit pun tidak bergerak—pandangan mereka terpaku ke lantai. Dimas nampak kurang senang apabila dia ternampak seperti ada seekor haiwan parasit kecil yang melekap ketat ke tengkuk mereka. Haiwan tersebut berdenyut-denyut seolah-olah ia sedang menghisap darah Warok-warok tersebut.
“Apa benda yang melekat di belakang mereka tu?” Tanya Dimas sambil mengusap-usap tengkuknya sendiri. Dia rasa geli geleman sedikit.
“Oh, itu! Di belakang leher mereka ditanam dengan sejenis alat yang dipanggil Kejatenira . Alat organik ini akan mengawal bahagian hypothalamus di dalam kepala mereka. Semua Warok akan dipasang dengan alat ini kecuali Wiranto.” Jelas Khairul sambil berpeluk tubuh.
“Kecuali Wiranto? Kenapa pula?” Tanya Dimas, penuh dengan tanda tanya.
“Aku yang tak benarkannya.” Dijawabnya pertanyaan Dimas dengan bersahaja.
“Tapi… apa kegunaan sebenar alat ini?”
“Alat ini akan membuatkan para Warok menjadi berani dan ganas apabila diperlukan.”
“Siapa mereka sebenarnya?” perasaan ingin tahu Dimas tidak dapat dibendung lagi. Satu persatu pertanyaan dilontarkan keluar dari kotak fikirannya. Sementelahan pula, Khairul dan Wiranto begitu sabar melayan kehendak perasaan ingin tahu Dimas. Setiap persoalan, ada sahaja jawapannya. Dimas nampak puas.
“Mereka dikenali sebagai Laskar . Warok-warok ini dari pasukan gerak-khas yang paling digeruni. Mereka dikenali sebagai warok-warok yang terbaik di antara yang terbaik.” Wiranto bangga menjelaskan—dia sendiri adalah seorang anggota Laskar, di dalam lembaran kehidupannya dahulu sehinggalah kini.
“Kalau begitu, apa tujuan mereka ke sini?” Tanya Dimas. Dia memandang tepat ke arah Khairul dan kemudian ke arah Wiranto. Tiga pasang mata bertentangan, cuba mencari jawapan.
“Apa urusan kamu datang kemari?” Tanya Khairul, seraya memberi isyarat tangan menyuruh mereka berdiri untuk mengadapnya.
“Kami ke sini dengan urusan rasmi, tuan! Kami ingin menemui tuan untuk menyerahkan perutusan ini kepada tuan.” Kata ketua Laskar dengan lancar. Dia menyerahkan sekeping surat yang tersisip di dalam sekeping logam bewarna perak dan merah, lengkap dengan Cap Mohor Diraja kepada Khairul.
Khairul meletakkan ibu jarinya pada bahagian hadapan sampul surat. Mekanisma biometrik sampul surat tersebut telah mencerap dan menganalisa cap jarinya sebelum sampul logam itu terbuka dengan sendirinya.
Khairul membaca isi surat tersebut dengan tekun. Dia mengusap-usap dagunya. Kemudian dia berjalan mendekati Wiranto.
“Aku terpaksa pergi. Ada urusan rasmi yang terpaksa aku laksanakan. Ini adalah arahan dari Raden Adipati Jiwo Negroho sendiri. Aku mahu kau pastikan keselamatan Pangeran Dimas!” Khairul berkata tegas.
Wiranto mengangguk tanda faham. Dia tahu bahawa Khairul terpaksa melakukan tugasnya itu tanpa sebarang soal. Malah, dari mula lagi dia sudah boleh mengagak bahawa Khairul akan diarah untuk menjalankan tugas bagi pihak Empayar Dresanala sebaik sahaja dia tiba di sini.
“Dimas…” Ujar Khairul dengan nada yang perlahan. “Kau harus cekal mulai saat ni. Sepeninggalan aku, kau patuhi setiap arahan Wiranto. Tiada siapa yang kau boleh percayai selain dari dia.”
Dimas menelan air liurnya—tekaknya tiba-tiba sahaja terasa kering. Halkumnya nampak turun naik. Diapun terus mengatur kata:
“Baik bang…”
Dimas mengangguk akur.
“Kalau boleh jangan panggil aku abang… Kau Pangeranku. Kau bakal menjadi Susuhunan Empayar Dresanala.” Khairul mengingatkan.
“Baik, Senopati.”
‘Senopati’—kalimah ini agak asing baginya, tetapi terpaksa jua diluahkan. Hatinya terasa berat untuk memikul segala tanggungjawab yang bakal diterimanya nanti. Dalam diam dia menelan segala perasaan yang berbaur dan cuba menidakkan ketidahsanggupannya. Dia mahu menumpukan segala perhatian dan tenaga kepada tanggungjawab yang harus dipikulnya sekarang. Terlalu banyak jasad yang bergantung harap dengannya. Harapan mereka tidak harus diperlekehkan.

Khairul tersenyum puas dan bangga. Lalu dia meminta diri untuk beredar dari Tamansari. Warok-warok Laskar mengekorinya dari belakang.

“Apa yang akan berlaku selepas ini?” Tanya Dimas kepada Wiranto.
“Pangeran akan turun untuk menghadap Seri Baginda Maharaja di Kraton Pakubuwono Hadiningrat—“
“Itu saya sudah sedia maklum… Maksud saya, apa yang akan berlaku kepada Senopati Khairul?” Dimas menambah, memperbetulkan susun ayatnya kepada Wiranto.
“Itu saya kurang pasti, Pangeran. Maafkan saya. Cuma apa yang saya tahu, jika arahan datangnya dari Raden Adipati Jiwo Negroho, ia pasti sesuatu yang melibatkan kepentingan Empayar. Dalam erti-kata lain, ia sudah pasti satu misi yang agak penting.” Pandangan matanya dilontar jauh menyelami hutan tebal Dresanala di bawahnya.
Bayang-bayang Kotagede yang sedang terapung-apung di angkasa melitupi sebahagian besar dari kawasan hutan. Beberapa ekor mergastua terbang di merata-rata arah tatkala dunia mereka tiba-tiba sahaja gelap di bawah bayangan kota terapung Kotagede.
“Saya kira, bahaya juga tugasan yang terpaksa dilaksanakannya nanti!” Dimas membuat spekulasinya sendiri.
“Tentu sekali, pangeran. Jika tidak, sudah pasti Laskar tidak akan bersamanya dalam misi itu.” Beritahu Wiranto. Sebagai seorang Laskar dan Gemblak kepada Khairul, dia pernah menemani Khairul di dalam misi-misi pentingnya satu ketika dahulu. Walaupun misi yang terpaksa dijalankannya merbahaya, itulah saat-saat paling bahagianya ketika dia hidup dahulu. Kerana dia hanya bahagia tatkala dia bersama Khairul.

Dimas menarik nafas panjang. Kini Khairul sudah lenyap dari pandangannya. Kesepian dan kekosongan mula menggigit jiwanya. Fikirannya mula terasa kusut. Perasaan cuak mula membelenggu dirinya. Apapun, dia harus bersedia untuk terus berdiri di atas kakinya sendiri. Masa terlalu singkat untuk dia menduga masa depannya sendiri. Apa yang terhampar di depannya, harus ditelannya. Dia sedar, dia punya tanggungjawab hakiki terhadap rakyat jelata yang mendambakan seorang Pangeran berketerampilan untuk meneruskan kegemilangan pemerintahan Empayar Dresanala.

Bab 17

“Kraton Pakubuwono Hadiningrat dipercayai adalah tempat yang paling berhantu di Dresanala. Kisah-kisah seram dan menakutkan sering diceritakan oleh mereka yang pernah dibawa melawat kraton ini. Apa yang mereka takuti kurang berasas, kerana hantu dan jembalang tidak pernah terbukti akan kewujudannya. Mungkin apa yang mereka lihat cuma wajah-wajah suram Tri-Darma yang sentiasa ada untuk menasihati para maharaja dan maharani tentang masa depan mereka.”
-- “Cerita kraton-kraton di Dresanala” Oleh Raden Ayu Brotodiningrat.

---

Khairul dibawa ke pelabuhan tentera Gresik yang terletak di orbit planet Wisanggeni. Dia dibawa untuk melihat kapalangkasa Baladewa-x, sebuah kapalangkasa dari siri Baladewa yang telah diubahsuai rekabentuk asalnya dan beberapa fungsi dalamannya.
Khairul dapati Baladewa-x mempunyai rekabentuk yang lebih mekanikal jika dibandingkan dengan kapal-kapal angkasa Empayar Dresanala yang lain—yang kelihatan lebih organik.
Khairul telah diberitahu bahawa Baladewa-x merupakan sebuah kapalangkasa prototype yang unik. Ia dibina khas untuknya sebagai seorang Senopati dari Dresanala. Sehingga ini, ia masih belum pernah digunakan oleh sesiapa lagi, memandangkan Khairul telah dititahkan Cacuk supaya melarikan diri bersamanya dari Dresanala.
“Baladewa-x ini sangat istimewa,” ucap Raden Adipati Jiwo Negroho, yang juga dikenali dengan nama ringkas, Jiwo—dia berjawatan Menteri Pertahanan Empayar Dresanala. “Ia telah dibina sarat dengan pelbagai fungsi istimewa pesawat Baladewa, tetapi dengan beberapa tambahan. Ia dilengkapi dengan senjata; bukan sebarang senjata.”
Khairul menarik nafasnya. Dari dalam bilik pemerhatian, dia dapat melihat beberapa orang jurutera sedang tekun memeriksa bahagian dalam dan luar Baladewa-x dengan penuh teliti.
“Senjata apa yang ia gunakan? Aku tak nampak pun sebarang jenis senjata yang dipasang di bahagian luar pesawat ini.”
“Pesawat ini sendiri adalah sebuah senjata. Ia mempunyai dua mod penerbangan. Di dalam mod penerbangan pasif, ia kelihatan seperti apa yang kita lihat sekarang. Sistem perisai dan senjatanya terlipat rapi dan tersimpan di dalam rangka badannya sendiri. Dalam mod pertempuran, pesawat ini akan bertukar bentuk, di mana ia dilengkapi dengan tiga buah meriam ion berkuasa tinggi—menjadi tunggak kepada sistem pertahanan pesawat ini.”
“Tiga buah meriam ion di dalam pesawat sekecil ini?”
“Ya…”
“Tetapi untuk apa? Sebuah meriam ion sahaja sudah cukup untuk menghancurkan sebuah kota yang besar. Inikan pula tiga sekaligus!” Ujar Khairul. Dia tahu bahawa Baladewa-x pasti menggunakan banyak sumber tenaga semata-mata untuk menepati spesifikasinya. Tetapi Empayar Dresanala yang mempunyai kelebihan dari segi kewangan, kerana itulah ia mampu membina sebuah kapalangkasa luarbiasa seperti ini.
“Tujuan utamanya ialah untuk memusnah, bukan mempertahan. Baladewa-x ini sahaja cukup untuk kita gunakan untuk menjajah sebuah planet yang masih mundur dari segi teknologinya.” Jelas Jiwo bersahaja. Terukir senyuman puas di wajahnya itu. Dia bagai beriya ingin menjawab soalan seterusnya.

Tatkala itu, seorang lembaga berpakaian seragam datang untuk melapor-diri kepada Jiwo. Makhluk di hadapannya mempunyai kepala yang kecil dan sepasang mata yang besar bersisik berwarna hijau. Tubuh tingginya hampir-hampir mencecah dua meter. Badan eksoskeletonnya jelas berwarna hitam berkilat. Di wajahnya itu, ada sepasang hidung dan mulut yang agak kecil.
Jiwo melihat perubahan pada wajah Khairul. Mulutnya ternganga. Dia jelas nampak terkejut.
“—Kaum Ur’dakh,” Jiwo menjelaskan, menyambut wajah Khairul yang berkerut. “Mereka telah berhenti dari berkempen demi menakluki planet Mandiri yang berada di bawah jajahan kita—lalu menandatangani satu perjanjian persahabatan untuk mendapatkan pertolongan. Kita membantu mereka untuk mempertahankan wilayah takluk mereka dari diserang oleh kaum Visbas.”
“Ur’dakh?” Tanya Khairul lagi dengan nada kehairanan. Dia tidak percaya kepada setiap kalimah yang didengarinya tadi. Matanya dikecilkan dengan sengaja. Khairul mempunyai perasaan prejudisnya sendiri terhadap kaum humanoid serangga ini.

Empayar Dresanala telah bersengketa dengan kaum Ur’dakh sejak tiga ratus tahun yang lampau. Malah Khairul sendiri pernah memusnahkan empat buah kota kaum Ur’dakh di dalam peperangan Sembilan Wilayah kira-kira 257 tahun yang lepas. Dia tidak mungkin lupa akan peristiwa tersebut, kerana pada hari yang sama, kapalangkasa Garudanya telah ditawan oleh pihak Ur’dakh. Dia telah diseksa sehingga mati oleh mereka, sebelum mayatnya dihantar ke Dresanala di dalam keadaan taliperutnya dikeluarkan. Tubuhnya hampir berkecai—dia telah direbus hidup-hidup di dalam minyak yang menggelegak.
Bagai baru semalam itu semua berlaku. Khairul masih mengingati apa yang telah dilakukan kepadanya. Kadang-kala dia sendiri tidak mengerti; bagaimana dia boleh mengingati saat-saat akhir kematiannya, sedangkan isi mindanya telah dipindah-naik lama sebelum dia keluar ke medan peperangan atau pada hari-hari kematiannya. Kenangan lampau ini sentiasa bermain di fikirannya seperti ia sentiasa diputarkan di dalam mindanya. Kadang-kadang dia sendiri keliru. Apa yang lebih menghairankan, perkara ini bukan sahaja dialami olehnya, malah oleh kebanyakan warok-warok atau Senopati yang telah dihidupkan semula.
Fenomena ini langsung tidak dapat dijelaskan sama sekali secara saintifik. Sudah lama Khairul mengkaji sebab musababnya. Ingatan kepada jangkamasa kandungan minda yang tidak sempat dipindah-naik akan datang semula ke dalam fikiran seorang Warok yang telah ‘dihidupkan’ semula di dalam bentuk mimpi atau ia kadang-kala akan muncul secara tiba-tiba, tanpa diundang.
Terlalu ramai yang menyatakan, ini adalah satu sumpahan oleh para Warok dan Senopati yang telah dihidupkan semula. Kebanyakan dari mereka akan melakukan apa sahaja untuk memberhentikan proses penghidupan semula ini. Malangnya, semua ini adalah diluar kuasa atau kudrat mereka.

Khairul menatap wajah Ur’dakh di hadapannya. Jelas kepada Khairul, makhluk Ur’dakh ini berkomunikasi dengan menggunakan gelombang ultrasonik yang terpacul dari mulutnya yang kecil itu. Apabila dia bercakap, suara ultrasonicnya itu tidak dapat didengar oleh orang lain. Ia hanya mampu didengar dan difahami oleh bangsanya sendiri.
Setelah membelek sekian lama, Khairul lantas memperkenalkan dirinya kepada makhluk Ur’dakh di hadapannya. Khairul nampak sedikit gusar. Sukar benar rasanya untuk dia menerima seorang dari bangsa yang pernah dimusuhinya itu. Khairul menarik nafasnya panjang-panjang. Dia cuba mengenepikan rasa prejudisnya itu.
“Nama saya tidak mungkin dapat disebut oleh lidah manusia, jadi panggil saja saya Za.” Sebutnya dengan bersahaja. Khairul mengambil masa yang agak lama untuk memahami liuk bahasa yang telah ditejemahkan kepadanya melalui alat alih bahasa kasunyatan yang digunakannya.
Khairul memandang kepada pangkat yang tertera pada seragam yang sedang dipakai oleh Za. Za berpangkat Laksamana. “Saya rasa beruntung kerana dapat bertugas di samping tuan.” Katanya kemudian sambil tertunduk hormat.
“Saya juga begitu, Laksmana Za.” Sambut Khairul. Suaranya seperti sukar untuk diluahkannya.
“Laksmana Za adalah diantara 10 orang pegawai dari Ur’dakh yang kini bertugas dengan kita.” Jiwo menyampuk. Senyuman puas terukir pada wajah tuanya itu. Anak matanya yang berwarna biru itu jatuh tepat ke arah Khairul. Rambutnya yang perang itu dipotongnya pendek. Hampir-hampir dia nampak botak.
“Keadaan nampaknya banyak berubah sejak aku tinggalkan Dresanala.” Ucap Khairul melulu.
“Kita memerlukan bantuan Laksmana Za yang akan membimbing kita di dalam misi-misi kita selepas ini.” Suara Jiwo datar dengan ketenangan. Tambahnya lagi, “Laksmana Za mempunyai pengetahuan yang luas tentang planet Al-akiti.” Tambah Jiwo.
“Mereka pernah menjadi di antara rakan dagang kami yang terpenting. Tetapi sejak kebelakangan ini… sejak pemberontakan rakyat yang tidak putus-putus di planet mereka, ekspot komponen komputer dari planet mereka semakin merosot. Kami beralih arah mencari rakan niaga dari planet lain.” Za memberitahu. Khairul dapat melihat bayangan dirinya dari mata Za yang besar serta tidak berkelip itu.
Mata Za tidak mungkin dapat berkelip. Matanya itu tidak berkelopak!
“Jadi apa tindakan kita selanjutnya?” Tanya khairul kepada Jiwo. Nampak dia tidak sabar.
“Kau akan ke sana atas urusan diplomatik. Keistimewaan diplomatik akan membenarkan kau untuk keluar masuk Al-akiti tanpa sebarang masalah. Kau tentu tahu apa yang perlu kau lakukan kepada mereka nanti, jika kau dapat mengumpul bukti-bukti penting yang kita perlukan… Kau tahu maksud aku kan?” Suara Jiwo tajam dengan harapan yang menyala.
Khairul tidak menjawab. Dia memandang ke hadapan sebelum memandang kembali ke arah Jiwo sambil mengangguk perlahan. Dia tahu tanggungjawab itu bukannya mudah, tetapi dia akan menyempurnakannya juga—tiada pilihan.

**

Khairul memerintahkan supaya Za mengemudi kapalangkasa Baladewa-x masuk ke dalam Hyperruang. Baladewa-x membawa lima orang anggota Laskar bersamanya. Obor-obor Ibeni telah mencerap koordinat, lalu memberitahu Khairul bahawa mereka akan tiba di sistem Al-akiti di dalam masa 20 jam.
“Kau nampak penat. Kalau kau mahu, kau boleh berehat di dalam kabin.” Saran Khairul kepada Za. Suaranya jelas jujur. Walaupun Khairul terkenal dengan sifat kerasnya kepada anak-anak buah di bawah jagaannya, dia tetap akan melayan mereka dengan penuh perasaan hormat.
“Tak apa.” Jawab Za tanpa menoleh ke arahnya.
“Adipati Jiwo ada memberitahu aku yang kau baru sahaja bertelur dua hari yang lepas.” Khairul sudah berasa selesa untuk bercakap kepada Za.
Za juga nampaknya begitu. Walaupun sebelum ini dia jelas kelihatan tidak selesa ditugaskan bersama Khairul.
“Ya, tuan.”
“Tahniah!”
“Terima kasih, tuan.” Sambut Za dengan suara yang kaku.
“Berapa biji telur yang telah kau tetaskan?”
“Enam biji kesemuanya!” Beritahu Za dengan nada suaranya yang rendah, seakan-akan berbisik.
Kaum Ur’dakh hanya boleh bertelur sekali di dalam seumur hidup mereka. Sesuai dengan fitrah mereka yang sedemikian rupa, mereka akan menyambut penetasan telur mereka ini dengan pesta besar-besaran. Pesta itu juga adalah simbolik kepada harapan seluruh kaum Ur’dakh yang telur-telur itu akan menetaskan pelapis untuk terus berjuang demi kesejahteraan kaum Ur’dakh.
Khairul ingin tahu jika Za ada menjalankan upacara Sessan sempena penetasan telurnya itu. Za memberitahu bahawa dia tidak mempunyai masa untuk itu semua, memandangkan dia terpaksa menjalankan tugasnya ini.
“Jadi siapa yang menjaga telur-telur kau itu sekarang?” Khairul tidak menyembunyikan perasaan ingin-tahunya.
“Ia telah dihantar ke pusat penjagaan berpusat bersama telur-telur lain yang telah ditetaskan.”
“Jadi kau tak akan melihat telur-telur kau itu lagi?”
“Tidak.” Jawab Za tanpa emosi. Dia sememangnya masih tidak faham mengapa kaum humanioid mamalia seperti manusia mempunyai hubungan begitu rapat kepada zuriat mereka.
Za membetulkan tempat duduknya dan matanya dialihkan ke tempat lain. Seolah-olah dia sudah letih berbicara dengan Khairul. Dia nampak sedikit gelisah.
“Apa yang telah mengganggu fikiran kau?” tanya Khairul kepada Za. Sejak dari mula lagi Khairul dapat merasakan ada ketegangan di dalam diri Za setiap kali dia berhadapan dengannya.
“Tiada apa-apa.” Jawab Za teragak-agak.
“Kau boleh beritahu kepada aku apa sahaja yang merunsingkan fikiran kau tu.” Khairul memikirkan ada baiknya jika mereka berdua saling mengenali memandangkan saiz anjung Baladewa-x agak kecil dan ianya hanya boleh memuatkan mereka berdua. Lagipun, mereka akan melaksanakan tugas yang telah diutuskan kepada mereka bersama—samada mereka suka atau tidak. Mereka harus saling mengenali dan mempercayai!
“Saya tidak menjangka bahawa saya telah ditugaskan dengan Senopati. Kerana nama Senopati terkenal di Ur’dah sebagai pemusnah Ondalah!” Za akhirnya berjaya meluahkan isi hatinya.
“Ondalah?”
“Masakan tuan tidak tahu! Ondalah adalah kuil suci kami. Kitab suci Bilji telah diturunkan di sana sebelum kuil Ondalah dibina lebih 300,000 tahun yang lalu.”
“Maafkan aku.” Kata Khairul dengan ikhlas. Penyesalan tersisip di dalam nafasnya. Khairul berazam untuk menebus segala dosa yang pernah dilakukannya selama ini. Akan tetapi, apa yang dirasakannya—semakin lama dia bernafas, semakin banyak kesilapan yang dilakukannya. Dia tidak sanggup bergelumang dengan dosa lagi.
“Saya kurang pasti jika saya dapat memaafkan tuan. Saya membuka cerita kerana tuan bertanya dan bukan untuk menagih kemaafan dari tuan. Lagipun, mungkin tiada sesiapapun dari bangsa kami yang mungkin memaafkan tuan. Kesalahan itu terlalu besar!”
“Aku faham. Tak perlu kau nyatakan itu semua kepada aku! Aku sedar, aku bersalut dosa.” Khairul terpegun jauh kehadapan, melihat jalur-jalur bintang yang panjang di hadapannya. Dia tidak mampu berkata-kata lagi. Yang ada cuma lembaran sejarah hitam yang sudahpun menjadi sebahagian dari dirinya.

Apakan daya…

**

Ketibaan Dimas di Kraton Pakubuwono Hadiningrat telah disambut oleh beribu-ribu orang Warok dan beribu-ribu lagi kaum Isbin yang bertugas di dalam Kraton. Dalam lautan manusia itu, Dimas dapat merasakan betapa pentingnya kedudukannya sekarang. Mereka semua sujud kepadanya di atas dataran Ningrat. Kecuali pasukan andong yang sedang menunggang andong mereka yang kelihatan garang lagi menakutkan. Bentuk badan andung yang tegap dan padat, dilengkapi dengan gigi yang tajam boleh menakutkan sesiapa sahaja apabila ia menyeringai.
Tiba-tiba, seekor andong mengaum. Dimas terkejut mendengar ngauman yang sungguh menggerunkan yang mampu menggegarkan jantung setiap makhluk yang berdepan dengannya. Itulah kali pertama Dimas mendengar ledakan bunyi yang sedemikian kuat.
“Jadi… Ini dia kaum Isbin?” Tanya Dimas. Matanya masih terpaku kepada lautan manusia yang masih sujud kepadanya. Kulit mereka yang biru dan tubuh mereka yang tinggi dan tegap membuatkan mereka nampak lebih gah dari manusia sepertinya.
“Ya! Mereka dikenali dengan panggilan Abdi Dalem. Mereka bekerja di kraton ini.” Jawab Wiranto.
“Sebagai apa?”
“Sebagai hamba abdi yang mampu melakukan bermacam jenis pekerjaan.”
“Apa yang mereka pakai di leher mereka?”
“Cekak Harijan. Cekak simbolik yang melambangkan cekak perhambaan yang pernah dipakai mereka satu ketika dahulu. Cekak ini adalah aksesori wajib yang mesti dipakai ketika mereka dikerah melakukan kerja-kerja sebagai seorang hamba. Tetapi, itu dulu. Sekarang, mereka hanya memakainya sebagai perhiasan untuk mengingatkan diri mereka kepada sejarah silam mereka. Sudah menjadi seperti tradisi untuk mereka memakainya.”

Sekeping cakera terapung Kempul menghampiri mereka. Sebaik sahaja ia berada dekat dengan Dimas, projektor Holocom terhidup dengan sendirinya, lalu terpancar lembaga seorang wanita di atasnya.
Lembaga wanita itu bagaikan seorang manusia biasa. Yang membezakan cuma cakera hitam yang terapung di bawah kedua-dua kakinya.
“Nama saya Raden Ayu Nani Surianto. Pegawai protokol Kraton Pakubuwono Hadiningrat.” Ujar Nani yang berambut perang yang dibiarkannya panjang mengurai serta bermata hijau itu.
Cakera terapung Kempul itu mengikut pergerakan Nani seolah-olah dia berjalan. Ia sudah menjadi sebahagian daripada Nani. Ramai yang maklum, Nani pernah mati dan telah dihidupkan semula di dalam bentuk Holocom. Seorang kerabat sepertinya tidak mungkin akan dihidupkan semula di dalam bentuk tubuh manusia, dan itulah keistimewaan yang diberikan kepadanya.
Dimas rasa ragu-ragu untuk melayannya. Kerana di Deutah dan di beberapa dunia yang lain, sememangnya jarang bagi golongan makhluk humanoid atau sebaliknya menerima sebuah android, droid, robot dan makhluk Holocom seperti Nani dianggap setaraf dengan makhluk yang bernyawa dan berperasaan.
“Sudah lama aku tak bertemu dengan kau, Nani.” Ujar Wiranto. Seolah mahu bergurau dengan Nani.
“Ya… sudah 856 tahun kita tak ketemu ya?” Jawab Nani ringkas. “Sejak berakhirnya Perang Baratayudha, bukan?”
Wiranto mengangguk. Perang saudara di antara Raden Roro Melati Suhendro dan Raden Mas Putu Suhendro dari Dinasti Pajang tidak mungkin akan dapat dikikis dari ingatannya; apabila Empayar Dresanala hampir terbahagi dua.
Pada ketika itu, Nani telah ditugaskan sebagai pegawai protokol pihak Raden Mas Putu yang akhirnya tunduk kepada Raden Roro Melati. Kemenangan kepada pihak Raden Roro Melati telah melayakkannya ditabal menjadi maharani Empayar Dresanala. Apabila dia ditabal sebagai maharani, kesemua mereka yang pernah setia kepada Raden Mas Putu telah dihukum bunuh…
“Mengapa mereka menghidupkan program kamu kembali?” Tanya Wiranto ingin tahu. Kerana setahunya, Nani telah lama dilupakan. Pasti ada sebab disebalik kisah Nani dihidupkan semula, kerana Nani akan terus diingati sebagai pengkhianat Empayar Dresanala.
“Takkan kau tak tahu? Kerana saya yang terbaik, Wiranto.” Senyuman nakal Nani melirik. Nadanya berbaur angkuh. Kempul sepertinya banyak kedapatan di dalam kawasan kraton; melakukan tugas masing-masing—tugasan yang pernah mereka lakukan dengan begitu cemerlang ketika mereka masih hidup satu ketika dahulu.
“Ketika dia hidup dahulu, Nani adalah diantara kerabat Dinasti Kartosuro yang paling cantik yang pernah mekar Dresanala.” Bisik Wiranto kepada Dimas. “Nasib baik di sini tak ada sesiapapun yang menganggunya.”
“Kenapa pula?”
“Kaum Isbin tidak boleh menyentuh kita dan Warok-warok yang ada pula sememangnya tidak meminati kaum wanita sepertinya.” Jelas Wiranto. Dimas mendengar kata-katanya tadi. Dia tidak faham kenapa kaum Isbin tidak boleh menyentuhnya.
“Kenapa mereka tidak boleh menyentuh kita?” Dimas meminta penjelasan. Kata-katanya dipintas tangkas oleh Nani lalu menjawab;
“Kerana mereka tidak berkasta. Taraf mereka lebih rendah dari para Sudra yang bekerja sebagai kuli-kuli tekno di kota-kota terapung di atas sana!” Jelas Nani dengan nada sombong bersaluti perasaan angkuhnya. “Perlu saya ingatkan, Pangeran jangan sekali-kali rapat dengan mereka. Jangan sekali bersentuh kulit dengan mereka. Jangan berinteraksi dengan mereka langsung. Jika perlu, gunakan nada perintah. Jangan memandang tepat ke arah mereka.” Nani seperti membaca khutbah undang-undang—ada yang patut diikut dan ada yang patut dijauhi.
Dimas memandang tepat ke arah Wiranto. Dia hanya menaikkan kedua belah bahunya.
Dimas beralih pandangan ke arah kompleks Kraton. Dia mendapati kawasan lapang di hadapan Kraton agak luas terbentang. Senibina bangunannya pula indah dan unik. Pelbagai ide dicampur adukkan di dalam setiap senibina yang terpampang di depannya. Ini semua membuatkan kota ini lebih istimewa berbanding dengan tempat-tempat lain.
“Kraton ini telah dibina betul-betul berteraskan senibina candi Loro Jongrang, yang terletak di Pulau Jawa di planet Bumi.” Beritahu Nani, sekadar menjalankan tugasnya. “Struktur kraton ini lebih besar dari apa yang kita dapat saksikan dari luar, kerana di bawah kita ada sebuah megastruktur bawah tanah. Banyak juga terowong-terowong rahsia yang telah ditambah bina dari satu dinasti ke sati dinasti yang lain. Ada diantara terowong-terowong dan bilik-bilik rahsia ini telah dilupakan sama sekali.”
“Jadi, Pangeran jangan main sembunyi-sembunyi di sini. Kalau Pangeran sesat, sukar untuk kita cari Pangeran nanti.” Sebut Wiranto. Dimas kurang pasti jika Wiranto sedang berseloroh ataupun dia sedang memberi amaran kepadanya. “Ramai abdi dalem yang hilang di kompleks kraton ini dari masa ke semasa. Mereka mungkin tersesat di dalam terowong-terowong rahsia ini lalu terperangkap di dalamnya.”
Dimas memerhatikan sekelilingnya. Dia sedang berada di atas dataran yang luas. Di tengah-tengah dataran itu, tersergam sebuah struktur piramid kecil.
“Senopati Khairul pernah memberitahu saya, lagu yang pernah didengarnya dahulu di struktur piramid Purworetno ini berlainan dengan apa yang dapat kita dengar sekarang.” Wiranto cuba berkongsi ilmu dengan Dimas.
Dimas cuba memusatkan pendengarannya kepada alunan lagu yang dinyatakan oleh Wiranto, akan tetapi ini tidak mungkin kerana piramid tersebut berada beberapa ratus meter di hadapannya. Agak sukar untuk mendengar dengan jelas alunan bunyi itu.
“Kita perlu masuk ke dalam dalam kraton sekarang. Pangeran harus menukar persalinan pangeran untuk menemui Baginda maharaja pada malam ini.” Nani menyarankan. Dimas mengangguk. Lagipun, bukan dia dapat membantah apa-apa permintaan pegawai protokol itu. Dia akur.

Dimas memandang ke arah bahagian tenggara bangunan kraton yang begitu besar tersergam di hadapannya. Indah terletak. Dia tahu bahawa pada satu hari nanti, semua ini akan berada dalam genggamannya. Cuma menanti hari dan ketika. Bukan hanya kraton ini dan segala-galanya yang ada di dalamnya, tetapi apa sahaja yang menjadi hak Empayar Dresanala yang agung ini. Congakannya terhenti tatkala Nani mengerling ke arahnya. Lamunannya terbantut seketika…

Bab 18

“Ahli sejarah yang memperkecilkan dan memperlekehkan perististiwa penting yang telah berlaku, akan dirinya sendiri terus dilupakan dan diperlekehkan.”
-- “Sejarah Empayar Dresanala sejak 1000 tahun pembentukannya (2245-2345).” Oleh Cahyo Mangastuti.

Baladewa-x tiba ke sistem Al-akiti tanpa banyak disoal siasat. Di bawah sepanduk diplomatik, mereka boleh memasuki dalam planet ini pada bila-bila masa sahaja tanpa perlu melalui pemeriksaan ketat kastam dan imigresen.

Pandangan Khairul terpegun melihat suasana Al-akiti dari angkasalepas. Didapatinya suasana malam planet ini sedikit sebanyak menyerupai planet kelahirannya—Krisna II lebih seribu tahun dahulu. Sinaran dan biasan cahaya dari bangunan-banguan di permukaan planet ini seperti taburan bintang di angkasa. Percikan-percikan cahaya dari bangunan itu agak rapat antara satu sama lain, jelas menunjukkan terdapat begitu banyak bangunan yang telah dibina begitu dekat antara satu sama lain.
Planet ini mempunyai beberapa buah kota besar berkepadatan penduduk yang agak tinggi. Ramai yang sudah sedia maklum bahawa planet ini telah lama dikenali sebagai sebuah planet perindustrian. Walaupun demikian, ia tidak boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan planet-planet perindustrian yang lain di sektor Meru yang ditadbir oleh Empayar Dresanala; kerana mereka jauh lebih kaya dan teguh dari segi ekonomi berbanding dengan Al-akiti.

Baladewa-x menyelinap masuk ke dalam atmosfera Al-akiti. Sebelum ini, sememangnya nama planet itu begitu asing kepada Khairul, dan dia tidak pernah tahu akan kedudukannya di dalam peta sektor Meru di Bima Sakti. Planet ini tidak mempunyai apa-apa kepentingan atau keistimewaan untuk dia ketahui. Malah, Empayar Dresanala sendiri tidak mahu mengambil tahu tentang segala urusan dalaman planet ini, kecuali hal-hal yang melibatkan ekspot kristal kiribatinya ke sini.
Baladewa-x masuk ke dalam kota Gufrah, ibukota planet ini. Jelas kota ini telah dibina untuk mengkagumkan pengunjung-pengunjungnya. Bangunan-bangunan pencakar langitnya tinggi-tinggi belaka. Tidak sukar untuk meneka bahawa bangunan-bangunan ini telah dibina berdasarkan tradisi senibina yang agak asing. Asing dalam ertikata; rekabentuk yang kurang sifat-sifat simetri. Kalau sekali diperhatikan, struktur bangunan-bangunan di sini tidak ubah seperti sarang semut; berselirat dan mempunyai rongga-rongga atau ruang berasingan. Ia diperbuat dari bahan yang sama—batu keras kratroe yang boleh didapati dari planet bergurun panas ini.
Setelah dilihat dengan dekat, walaupun bangunan ini tampak tersergam indah, namun keusangannya tidak dapat disembunyikan. Mungkin ini disebabkan tiada sistem selenggaraan yang diamalkan dalam menjaga kesempurnaan bangunan-bangunan ini. Khairul merumuskan dari apa yang dapat dilihatnya bahawa pada satu ketika dahulu, pasti kota ini pernah menikmati zaman-zaman gemilangannya.
Sistem ekologi planet ini nampaknya tidak dijaga dengan rapi. Udaranya jelas kotor dan lautnya telah lama mati tanpa sebarang organisme di dalamnya. Jelas berbeza kalau dibandingkan dengan Krisna II (semenjak ia ditadbirkan oleh Empayar Dresanala) di mana semua ini tidak berlaku di sana. Al-akiti—udara atmosferanya tidak bersih sama sekali. Kedapatan keladak kotoran terbang bebas dan warnanya yang jelas kegelapan menambahkan lagi sesak nafas mereka yang melihatnya, inikan pula mereka yang terpaksa menghirupnya setiap hari. Debu-debu menebal di dinding setiap bangunan menjadikan pandangan bertambah meloyakan. Tiada makhluk yang mampu bernafas dengan lama di luar kawasan tertutup di Al-akiti. Pasti ada yang akan terbatuk-batuk dan sesak nafas, lebih menakutkan ada yang jatuh sakit kerana terhirup udara yang bertoksik itu.
Za membawa Balaladewa-x ke bangunan Ithnain 100—sebuah bangunan di dalam sektor tertua dan yang paling berprestij di kota Gufrah. Pendaratan pesawat cilik ini begitu lancar sekali di atas pelantar persendirian yang tersedia milik Kedutaan Empayar Dresanala.
“Selamat datang ke kota Gufrah, Senopati,” Duta besar Al-akiti terus mendapatkan Khairul. Dua tangan berjabat. Khairul melempar senyum.
“Begawan Hartoto, kami harus memulakan tugas kami sekarang juga.” Tegas Khairul.
“Saya mengerti.” Sambut Hartoto dengan penuh rasa hormat. Kulitnya yang pada asalnya putih itu nampak kemerahan. Mungkin kerana terbiasa dengan cuaca terik di Al-akiti. Rambutnya yang merah itu terus membuatkan dirinya nampak merona merah, lebih-lebih lagi dengan pakaian serba hijau (mengikut warna darjat keenam kerabat diraja Empayar Dresanala) yang sedang dipakainya pada ketika itu.
“Ada berapa orang pegawai kita dan anggota keluarga mereka yang menetap di sini?”
“Tidak ramai. Tak sampaipun tiga puluh orang.”
“Keluarkan mereka dari Al-akiti. Bawa mereka pulang ke Dresanala.” Perintah Khairul dengan nada yang tegas. Satu nada suara yang hanya akan digunakannya ketikan dia menjalankan urusan-urusan rasmi untuk Empayar Dresanala.
“Saya faham...” Hartoto tunduk akur. Dia sendiri telah menunggu peluang untuk keluar dari sebuah planet yang begitu ‘ulu’ kedudukannya, lalu pulang ke Dresanala. Mungkin setibanya ke Dresanala nanti, dia akan ditugaskan sebagai seorang duta ke sebuah planet yang lebih menarik dari Al-akiti yang dianggapnya kurang bertamadun dan jauh ketinggalan ini.
Khairul berjalan masuk ke dalam bangunan kedutaan. Cuaca di Al-akiti terlalu panas baginya. Dia dapat rasakan peluh membasahi tengkuk dan belakangnya. Bajunya mula dibasahi peluh. Dia tidak faham bagaimana Hartoto boleh tinggal dengan lama di planet sedemikian rupa.

Hartoto membawa Khairul ke pejabatnya. Seperti pejabat-pejabat kedutaan Empayar Dresanala yang lain, pejabat ini juga telah dihias indah—melambangkan kekayaan Empayar ini. Di dindingnya sarat dengan hiasan batu berharga yang mengeluarkan sinar yang mampu mengkhayalkan sesiapa sahaja. Tiang-tiang seri utamanya dibalut logam tak ternilai harganya. Bagi mereka yang baru menapak ke dalam bangunan ini, akan ternganga mulut mereka melihat keindahan itu. Dalam pada itu, tergantung beberapa buah lukisan dari pelukis terkenal Ditya Nasution dari Dresanala. Lukisan-lukisan yang sepatutnya dipamerkan di sebuah muzium seni (agar ia dapat dinikmati oleh orang ramai) nampaknya telah menghiasi bilik pejabat Hartoto. Tiada apa yang cacat cela di dalam bangunan itu, mahupun di dalam bilik Hartoto sendiri.

Kini hanya ada Khairul, Za dan Hartoto bertiga di dalam pejabat. Dua orang Laskar yang mengiringi Khairul menunggu di luar pejabat.
“Dari siasatan awal kami, apa yang kami perolehi masih belum cukup untuk membuktikan bahawa Pengerusi Zahurak yang bertanggunjawab terhadap kempen keganasan ke atas Dresanala.” Hartoto mengatur bicara. Di hadapan mereka terpancar lembaga Holocom ketua negara Al-akiti itu.
Bangsa Al-akiti bertubuh humanoid, tetapi kulit mereka agak pucat lesi, seakan-akan keputihan. Kepala mereka yang tidak berambut itu, seolah-olah mereka telah bercukur licin. Tidak cukup dengan itu, di kepala mereka terdapat sepasang sesungut panjang yang membuatkan mereka kelihatan lebih aneh lagi. Sesungut ini membolehkan mereka ‘melihat’ di dalam gelap. Anak mata mereka agak kemerahan. Ini menambahkan lagi kepelikan struktur tubuh bangsa Al-akiti. Memang diketahui umum, penglihatan mereka tidak begitu baik—berjuta-juta tahun dahulu, kaum Al-akiti telah menetap di dalam gua-gua yang gelap untuk mengelakkan diri mereka dari menghadapi cuaca panas terik di planet ini.
“Apa maklumat yang dapat kau kumpulkan sehingga kini?” tanya Khairul tepat kepada Hartoto.
“Agen kami telah mengesan sumber penjualan bom ion yang telah digunakan oleh para mengganas yang menyerang Dresanala. Dari sana kami telah mengesan pemindahan wang yang dilakukan oleh penjual dan pembeli bom tersebut. Pada mulanya kami mengesyaki bahawa Persekutuan Maladur yang terlibat dengan memindahkan sejumlah wang yang agak besar ke dalam sebuah akaun rahsia di Giandee … Tetapi dari siasatan kami, wang ini semua bukannya datang dari mereka.”
“Jadi dari mana?”
“Dari Al-akiti. Tetapi kami masih belum ada bukti-bukti kukuh untuk dakwaan ini.” Jawab Hartoto dengan pasti, tetapi terdapat sedikit kekesalan di dalam suaranya, memandangkan dia masih tidak mampu untuk menjalankan tugas pengintipannya dengan baik.
“Kumpulan pengganas mana yang digunakan mereka untuk menyerang Dresanala?” Tanya Khairul sambil mengetap bibirnya. Dia mahu tahu siapa yang bertanggungjawab melakukan perkara-perkara yang begitu kejam sehingga menyebabkan ramai nyawa terkorban di Dresanala. Siapa yang begitu gila sehingga sanggup meletupkan sebuah kota terapung? Siapa?
“Konsortium Guaman Shevira , dari Shevira . Mereka akan memusnahkan sebuah planet, jika bayaran yang diberikan kepada mereka berbaloi.” Kata Hartoto menambah-nambah. Tapi kata-katanya itu ada kebenarannya.
“Bukan mereka yang patut kita persalahkan mahupun serang buat masa ini… Tetapi mereka yang mendalangi serangan-serangan ini. Tak ada gunanya kita memusnahkan mereka jika punca kepada serangan-serangan ini dibiarkan terus bermaharaja lela. Jika bukan Konsortium Guaman Shevira, banyak lagi kumpulan pengganas yang boleh mereka gunakan! Lagipun kita mempunyai pelbagai kepentingan di Shevira…”
“Betul, Senopati.”
“Jadi apa tindakan kita selanjutnya? Di mana boleh kita cari bukti yang lebih kukuh?” Tanya Khairul. Dia perlu mendapatkan jawapan dari Hartono supaya dia dapat menyelesaikan tugasnya ini dengan cepat dan berkesan.

Khairul telah diberikan taklimat menyeluruh tentang situasi planet Al-akiti oleh Hartoto. Menurut Hartoto, situasi kemunduran ekonomi yang sedang dialami oleh Al-akiti telah membuat ramai di antara rakyatnya kini hilang sumber pendapatan mereka. Kemunduran ini telah disebabkan oleh kegagalan beberapa buah projek yang melibatkan sebegitu banyak pelaburan besar yang telah dilakukan oleh pemerintah Al-akiti. Walaubagaimanapun, ahli-ahli politik dari parti pemerintah telah mempersalahkan sumber-sumber luar seperti Konsortium Pelaburan Dresanala (yang dianggap mereka sebagai pengganas ekonomi sektor Meru) menjadi penyebab kejatuhan ekonomi mereka.
“Setahu aku, Konsortium Pelaburan Dresanala langsung tiada kepentingan di sini.” Ujar Khairul kehairanan; bagaimana sebuah planet yang begitu terpinggir kedudukan ekonominya boleh menganggap dirinya begitu penting dengan beberapa kuasa besar di sektor Meru ini. Malah, Khairul ketawa berdekah-dekah apabila dia melihat sebuah rancangan propaganda yang telah ditunjukkan kepadanya oleh Hartoto, yang menyatakan bagaimana banyak planet-planet di galaksi ini dan di sektor Meru khususnya sedang mencontohi dan memuji segala ‘kejayaan-kejayaan’ mereka.
“Kita tidak mempunyai apa-apa kepentingan di sini kecuali beberapa buah pelaburan kecil di sini, serta ekspot kristal kiribati kita yang mereka perlukan untuk menjana enjin hyperdrive kapalangkasa mereka. Di dalam ertikata lain, mereka lebih memerlukan kita, dan bukannya kita yang memerlukan mereka.” Jelas Hartoto, dia memasukkan kedua belah tangannya ke dalam kocek jubah merahnya. “Buat masa ini, parti yang memerintah, yakni Parti Barisan Al-akiti sedang mengalami masalah kepimpinan. Pengerusi Zahurak telah mendakwa Pengerusi Kanan Jaznam Indikala bersalah di dalam tuduhan mengkhianati Al-akiti kepada musuh-musuh mereka yang mahu menjajah mereka.”
“Siapa yang ingin menjajah planet seperti ni?” Tanya Khairul seakan-akan mengejek. Setahunya, sesebuah planet hanya akan dijajah sekiranya planet tersebut terbukti akan membawa kekayaan kepada negara yang menjajahnya, bukan yang akan membawa beban seperti planet Al-akiti ini. Dia berasa bertambah musykil.
“Entahlah Senopati… Mereka hanya menggunakan alasan-alasan ini untuk menguatkan lagi sokongan rakyat kepada parti utama mereka dan kepada kepimpinan Pengerusi Zahurak. Sejak ekonomi negara ini merudum, rakyat bertambah berani mempersoalkan pemerintah mereka tentang hal-hal yang melibatkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Sejak akhir-akhir ini, mereka menunjukkan minat untuk beralih selera kepada parti pembangkang untuk mengambil alih tampuk pemerintahan.”
“Jadi… begitu ceritanya?” Tanya Khairul yang mula merasa bosan. Khairul sejak dri mula lagi memang tidak gemar untuk mahu ambil tahu tentang soal-soal politik. Malah baginya, apa yang dikarutkan sebentar tadi tak ubah seperti cerita dongengan untuk habuan halwa telinga mereka yang mendengar.
“Apa yang kita perlu lakukan sekarang adalah menyoal siasat Senator Finik Vandrel yang sekarang sedang sibuk untuk mendakwa Timbalan Pengerusi Jaznam Indikala di Mahkamah Tinggi Al-akiti.”
“Tetapi kenapa dengan Senator Finik Vandrel?” Kini lembaga Finik yang kelihatan berisi itu dipertontonkan kepada mereka semua.
“Kerana… Seperti mana-mana ahli politik di galaksi ini. Dia juga boleh dibeli.” Hartoto tersenyum sinis. “Senator Finik Vandrel adalah satu-satunya senator dari Al-akiti yang berurusan terus dengan rakan-rakan perdagangan planet ini. Di dalam setahun dua ini, beliau sering ke Dresanala dengan tujuan untuk merapatkan lagi hubungan Al-akiti dengan Empayar Dresanala.”
“Dia hanya boneka. Dia dan Planet ini. Mereka hanya menjadi orang tengah untuk mendapatkan khidmat Konsortium Guaman Shevira.” Khairul membentangkan pendapatnya dengan nada yang tenang.
“Betul, Senopati. Kami telah menaruh syak terhadap perkara ini sejak mula lagi.”
“Berbalik kepada Pengerusi Zahurak. Kau rasa kau tahu apa hubungannya dengan kempen keganasan kepada Dresanala?”
“Itu yang perlu Senopati siasat. Sukar untuk kami fahami motif sebenar Pengerusi Zahurak. Mungkin jawapannya ada pada Senator Finik. Tetapi apa yang kami tahu… Bukan dia sahaja yang terlibat dengan perkara ini. Mungkin ada beberapa orang kita yang terlibat sama. Semakin dalam kita korek, semakin banyak perkara tersembunyi yang akan terbongkar nanti.” Jelas Hartoto sambil matanya sesekali memandang ke arah Za yang sejak tadi hanya membatukan diri. Dia tidak banyak membuka mulut atau cuba memberi pendapat.
“Bukti yang dapat kita kumpul nanti akan menjelaskan segala-galanya. Tidak ada sesiapapun di Dresanala yang akan terlepas sebegitu sahaja jika perkara ini melibatkan mereka. Kita akan cari mereka sehingga ke lubang cacing sekalipun!” Khairul tegas menyuarakan kata-katanya. Hartoto melepaskan nafasnya, seolah-olah dia sendiri gerun akan dirinya dilibat sama lalu dihukum oleh pihak empayar—walaupun dirinya tidak terlibat sama.

**

Dimas telah disaran agar memakai persalinan Diraja yang dipersembahkan kepadanya, untuk menghadap baginda maharaja. Dua orang lelaki Isbin yang agak berumur dan seorang gadis Isbin membantunya untuk memakai persalinan itu. Wiranto berdiri tanpa suara sambil memerhatikan apa yang tengah berlaku.
Dimas tidak berani walau untuk mencuri pandang seketika ke arah mereka. Dia tidak tahu apa beza dirinya berbanding dengan kaum Isbin. Apakah mereka terlalu jelek, sehingga dia sendiri tidak boleh bersentuhan dengan mereka.
“Pangeran tak perlu mendengar nasihat Nani tentang mereka.” Bisik Wiranto halus kepada Dimas.
“Tapi—“
“Sejak saya kecil, Senopati Khairul telah mengajar saya supaya menghormati mereka seperti mahkluk-makhluk yang lain.”
Dimas memandang ke arah anak gadis Isbin yang usianya baru sahaja mencecah duabelas tahun itu. Dia nampak ayu dengan gayanya sendiri. Dia mempunyai sepasang mata sederhana bundar, tetapi molek, berwarna biru gelap.
Bebola mata cantik itu seakan-akan bersinar dan berkaca tatkala dijilat cahaya di dalam kamar. Si gadis Isbin itu kelihatan tidak selesa dan takut saat Dimas memandang tepat ke arahnya. Lantas dengan seberapa pantas dia berpaling ke arah lain, untuk mengelak pandangannya dikunci sehingga tidak boleh dilerai lagi. Dia tidak biasa. Dia kurang selesa.
Wiranto merendahkan dirinya di hadapan anak gadis tersebut. Bagaikan tiada canggung, dia merapatkan tangan kanannya ke pipinya lalu, diusapnya perlahan seraya berkata:
“Kau tak perlu takut kepadanya.”
Kedua-dua orang lelaki Isbin yang agak berumur itu mengangguk kepada gadis itu—mengiyakan kata-kata Wiranto. Jelas kini, gadis itu nampak tenang, sekonyong-konyong itu juga senyuman terukir di wajah mudanya.
“Mereka memanggil kraton ini dengan nama ‘cennia brana’.” Ujar Wiranto kemudian sambil tersenyum. Bicara bertukar tajuk.
“Apa maksud cennia brana di dalam bahasa kita?” Tanya Dimas. Dia melihat gadis Isbin tadi menutup mulutnya kerana dia mahu ketawa. Mungkin kata-kata Dimas tadi terlalu pelat di dengarnya.
“Ia membawa maksud istana hantu.” Ucap Wiranto. Sempat Wiranto mencubit lembut pipi gadis Isbin itu.
“Kenapa?” Tanya Dimas memintas.
“Lambat laun pangeran akan sedar bahawa kraton ini hanya dipenuhi oleh mereka yang telah lama mati… Sama juga seperti saya dan Nani.” Jawab Wiranto bersahaja tanpa perlu menjelaskan lagi.

Dimas tampak segak setelah mengenakan persalinan dirajanya. Sesusuk tubuh gah seperti Dimas, disaluti oleh pakaian indah itu, menghebatkan lagi keterampilannya.
Nani juga cuba memastikan bahawa Dimas telah diperkhabarkan dengan segala protokol yang patut diturutinya ketika menghadap beginda maharaja. Ini penting untuk tidak mencalar sebarang peradaban istana.
Dimas diiringi berjalan melintasi sebuah dewan yang agak luas. Langkah-langkah teratur berderap di atas lantai, memecah sunyi. Beberapa buah arca manusia menghiasi dewan tersebut, tersusun rapi di setiap sudut. Mereka seolah sedang mengawasi tindakan setiap makhluk hidup di dalam dewan itu.
Pandangan mata arca-arca itu, seolah telah ditiupkan nafas untuk hidup dan mengawal suasana dewan setiap saat. Dimas dapat melihat berpuluh-puluh keping Kempul terapung-apung dekat dengan lantai dewan.
“Dewan ini dikenali dengan nama Dewan Seworenggo. Ia adalah dewan menghadap dan tempat untuk para kerabat dan pembesar empayar berkumpul.” Jelas Nani kepada semua. Dia kemudian bertepuk tangan berkali-kali, bunyi tepukan kuat terhasil. Lembaga-lembaga manusia mula muncul dengan tiba-tiba di atas Kempul masing-masing. “Mereka selalu alpa untuk menampakkan diri mereka kepada mereka yang masih hidup.” Pandangannya di gulungkan ke atas.
Dimas dapat melihat berpuluh-puluh orang pembesar istana di atas Kempul mereka. Yang nyata sekali, setiap pembesar mengenakan persalinan yang pernah mereka pakai ketika mereka masih bergelar manusia dahulu. Setiap pakaian yang mereka pakai nampak unik; melambangkan dinasti-dinasti berlainan yang pernah memerintah Empayar Dresanala.
Semua pembesar-pembesar ini tunduk hormat kepada Dimas.
Dimas sekadar membalas, apa yang dia rasakan patut dilakukan. Dia tunduk perlahan, untuk membalas tanda hormat; tapi tidak tertunduk keterlaluan, untuk menjaga martabat.
Dimas kini baru sedar apa yang dimaksudkan oleh Wiranto tadi mengenai kraton ini yang telah dipanggil istana hantu oleh kaum Isbin.
“Dewan Sewerenggo ini sarat dengan sejarah. Di sinilah tempatnya Maharaja dan Maharani berbicara dengan para pembesar istana tentang hal-hal yang melibatkan Empayar kita.” Beritahu Nani dengan bersungguh-sungguh. Rambut perangnya itu disanggul rapi. Perhiasan rambutnya nampak cantik dan rapi.
“Di sini juga tempat Nani dibunuh dahulu… Itu semua kerana, Nyi Loro Alit, bimbang Baginda Maharaja Sitoradyo akan memilihnya sebagai ratu permaisurinya.” Seloroh Wiranto menjeling ke arah Nani.
Nani mendengar sambil lewa, kerana dia lebih tahu akan sejarah kematiannya.
“Kau juga yang telah membunuhku dahulu, bukan?” Nani bercekak pinggang, tetapi dia masih dapat tersenyum manis. Sesekali ulas-ulas bibirnya dijuihkan, dia nampak manja pabila berbuat sedemikian. Dia tahu, Wiranto cuma berjenaka kecil sambil mengusik.
“Aku hanya menjalankan tugasku sebagai seorang Warok. Kau tahu kan?” Jelas Wiranto. Dia berkata perlahan, tidak pasti kalau ada nada-nada kesal berbaur dalam kata-katanya tadi. Dia masih ingat saat dia membenamkan mata keris berkali-kali ke dada Nani. Tidak kurang dari empat kali tusukan ke dadanya, sebelum Nani terkulai tanpa nafas, dadanya berhenti berombak. Matanya terkunci rapat, seolah ingin menutupi kisah sedih itu.
“Ini arca Senopati Khairul.” Jari Dimas menuding ke arah sebuah arca di antara berpuluh-puluh arca yang ada menghiasi dewan tersebut. Suaranya tawar. Tiada perasaan yang sahih apabila dia melihat arca itu. Dia terus membaca tulisan di bawah arca tersebut yang jelas mempuisikan kegagahan serta karisma Khairul sebagai seorang pahlawan agung dari Empayar Dresanala.
“Benar, Pangeran.” Nani menganggukkan kepalanya. Matanya tepat kepada arca Khairul yang tersergam di hadapannya.
“Dia seorang Udawa?” Tanya Dimas yang tidak mengerti erti sebenar perkataan yang disebutkannya tadi.
“Senopati Khairul adalah di antara tiga orang sahaja yang pernah dianugerahi dengan panggilan Udawa ini. Mereka yang telah dikurniakan anugerah Udawa ini adalah mereka yang telah menunjukkan ketaatan kepada Maharaja dan telah banyak berkorban demi Empayar kita ini.”
“Bagaimana pula dengan arca di sana?” Tanya Dimas sambil berpaling ke arah Wiranto. Dimas dapat melihat Wiranto tertunduk. Wajahnya berubah sedikit. Dimas masih menanti jawapan.
“Arca-arca yang ada di sini bukan sahaja mengingatkan kita kepada mereka yang telah berkhidmat dengan cemerlang demi Empayar Dresanala seperti Senopati Khairul, tetapi kepada mereka yang telah cuba memusnahkannya juga. Arca-arca yang Pangeran maksudkan tadi adalah merupakan arca-arca ‘10 Durjana’. Arca-arca ini mengingatkan kita kepada pengkhianat-pengkhianat Empayar Dresanala. Itulah mereka.” Nani memberanikan diri mengatur kata dengan panjang lebar, demi memuaskan hati si Dimas.
“Arca Wiranto ada di sana.” Kata Nani dengan nada cukup puas. Dia berpaling ke arah Wiranto seolah-olah sengaja menunggu Wiranto menjelaskan kepada Dimas mengapa dirinya dianggap sebagai pengkhianat empayar ini.
“Saya telah dianiaya…” Anak tekak Wiranto bergerak-gerak. Suaranya cukup perlahan dan hampir-hampir sukar untuk didengar.
Waranto memandang ke arah Dimas dengan wajah serba-salah.
“Ya, pastinya itu yang telah berlaku. Sampai bila-bilapun kau akan dianggap sebagai pengkhinat!” ucap Nani dengan nada mengejek. “Beritahulah kepada Pangiran apa yang berlaku kepada kau bila kau ditangkap—“
“Senopati Khairul cukup baik untuk membunuhku sehingga mati dengan tangannya sendiri dari melihatku diseksa dengan perlahan. Sampai bila-bilapun aku tidak akan melupakan jasa-jasanya kepadaku.” Kata Wiranto terus kepada Nani. Matanya nampak keras dengan kemarahan yang terkawal. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu peristiwa ini diungkit-ungkit lagi oleh sesiapa.
“Ya, kami semua tahu kau gemblaknya yang tersayang!” tajam benar kata-kata Nani. “Jika tidak, masakan dia tidak membunuhmu keris Gayaman Pakubuwononya!”
Nani kini menjalin langkah mengiringi Dimas ke bahagian paling hadapan Dewan Seworenggo. Bahagian tersebut nampak malap, samar. Walaupun begitu dia telah menyuruh Dimas sujud di hadapan apa yang kelihatan seperti sebuah takhta. Dimas menurut sahaja.
“Jadi… ini dia cucunda beta?” Tanya suara agak garau yang kedengaran dari dalam gelap yang pekat itu.
Dimas menarik nafasnya dalam-dalam. Keadaan terlalu muram dan gelap. Wajah maharaja masih dijilat bayang-bayang gelap.
“Ya, gusti.” Jawab Nani perlahan dan tertunduk.
“Rupanya seiras ayahandanya. Beta hampir-hampir berfikir mereka adalah klon.” Ujar Hamengkubuwono cuba berseloroh. Dia terbatuk-batuk, seolah menahan sakit.
“Rupanya ada seakan-akan bondanya juga.” Sebut Embok Ayu Candra Kirana, adik perempuan tunggal Cacuk. Kelibatnya yang sejak tadi tersembunyi di dalam gelap kini menjelma. Kini dia boleh dilihat oleh semua yang ada.
Justeru itu, Dimas mendongak untuk memandang nenda dan bonda saudaranya. Dia mendapati nendanya itu sedang memakai jubah serba merah Diraja bersama topeng Tirthankaras. Bonda saudaranya pula memakai jubah serba hitam; sah ia sebagai simbol berkabung sempena kemangkatan kekandanya.
Sebelum ini, dia telah diberifaham oleh Nani bahawa tiada seorangpun manusia biasa yang dibenarkan untuk memandang wajah maharaja Dresanala. Sejak hari pertama seorang maharaja Dresanala ditabalkan, dia dimestikan untuk memakai topeng Tirthankaras itu. Ia bersifat simbolik untuk membezakan kedudukan seorang maharaja dengan manusia-manusia biasa atau orang kebanyakan.
“Mari ke sini. Mari rapat kepada beta!” Ujar Hamengkubuwono dengan suara sintetiknya. Dengan ragu-ragu Dimas memandang ke arah Wiranto. Dia disirami kegusaran dengan tiba-tiba. Dia dapat melihat Wiranto mengangguk dengan perlahan, seolah-olah memintanya supaya mengikut perintah maharaja.
Anggukan Wiranto mencairkan serba-sedikit kebimbangannya.
Di dalam gelap, Dimas menghampiri nendanya. Dia mengatur langkah kakinya ke arah suara yang didengarnya tadi. Tatkala dia bergerak semakin hampir kepada nendanya, dia dapati nendanya diiringi oleh beberapa orang Warok pengiring. Mereka seolah-olah di dalam keadaan sedia, seperti ingin menyerang, kerana tombak mereka sudah sedia terhunus ke depan. Hamengkubuwono memberi isyarat tangan supaya pengawal-pengawalnya berundur ke belakang barang sekaki-dua dan membenarkan Dimas untuk menghampiri dirinya.
“Beta ingin melihat cucunda beta dengan lebih dekat. Dengan itu juga, beta ingin membuka topeng beta ini!.” kata Hemengkubuwono memberitahu mereka yang ada di dalam dewan. Sebentar lagi, sesuatu yang istimewa akan berlaku. Dimas seakan-akan faham akan semua ini.
Tanpa perlu diperintah, kesemua mereka yang hadir di dalam dewan itu berpusing ke belakang dan berpaling muka ke arah lain untuk mengelakkan diri mereka dari melihat rupa maharaja mereka, kecuali Candra. Ada pula yang tunduk senyap sambil membelakangi maharaja, memakukan pandangan mata ke lantai dewan.
Dimas ragu-ragu; samada dia mahu berpaling sama dan tunduk ke lantai, atau terus melihat ke arah nendanya itu. Dari apa yang dapat dibaca dari raut wajah Candra, dia tahu bonda saudaranya itu mahu dia berjalan perlahan, mendekati nendanya.
Kini topeng thirtankaras yang dipakainya dibuka. Dimas terkejut sedikit tatkala mendapati wajah nendanya berlumuran dengan darah. Titisan-titisan darah pekat itu menjilat sebahagian permukaan muka nendanya yang agak usang. Sebahagian lain pula, nampak pucat, mungkin kerana sudah lama diselindungi. Candra cepat-cepat mengelap peluh darah yang mengalir di wajah ayahandanya itu. Dia tidak berasa jelek atau asing dalam melakukannya.

Hamengkubuwono berpeluhkan darah setelah dia diracun satu ketika dulu. Dia pasti bahawa masa-masa akhirnya akan tiba tidak lama lagi. Perasaan itu tidak asing lagi kepadanya. Semua dapat menyaksikannya. Tiada apa diselindunginya. Dia berada dalam keadaan gering. Sangat gering.

“Beta harap hidupmu takkan berakhir seperti bapamu dan diri beta ini.” Jelas Hamengkubuwono dengan suara yang terketar-ketar menahan sakit. Tangannya dirapatkan ke dadanya sambil mengumpul tenaga untuk terus berbicara; “Kamu bakal ditabalkan sebagai Raja Muda Dresanala. Percayalah, ada orang yang akan sanggup membuat apa sahaja untuk mendapatkan kedudukan ini. Kamu harus berhati-hati. Jangan mudah mempercayai sesiapa dengan membuta tuli, kaji setiap tindakan. Pastikan siapa lawan, siapa kawan!” Pesan Hamengkubuwono. Dia berhenti, tertunduk menghela nafas panjang.
Dimas hanya mampu menganggukkan kepala dengan perlahan. Dia seakan faham maksud yang ingin disampaikan. Dia tidak rela untuk membiarkan nendanya menyusun kata lagi, terlalu pedih nampaknya. Beberapa detik kemudian Candra menasihati ayahandanya agar mengenakan semula topeng itu, kerana seorang maharaja tidak sempurna kalau dilihat tanpa topeng itu.
Dengan itu juga, Dimas menyaksikan nendanya menyatukan topeng itu ke mukanya semula.
“Kamu akan ke kota kelahiran bapamu di Surakarta Baru untuk upacara Garebeg. Upacara ini perlu dilaksanakan untuk mengingati kepergian ayahandamu.” Ujar Hamengkubuwono kepada Dimas. Beliau sendiri tidak dapat pergi ke kota Surakarta Baru kerana seorang maharaja sepertinya tidak dibenarkan keluar dari kawasan Kraton Pakubuwono Hadiningrat. Itu bukanlah perundangan baru.
Dimas mengangguk mengerti. Hamengkubuwono memberi isyarat tangan, lantas Candra mengatur langkah untuk menghilangkan diri dalam kegelapan—menuju ke bahagian belakang persada persemayaman Diraja. Dia muncul semula selang beberapa ketika, membawa sebilah keris di atas sebuah bantal merah. Semua yang ada berpandangan. Dimas berperang dengan fikirannya sendiri; apa yang akan berlaku selepas ini. Siapa pula yang akan dikurniai keris itu…
Dengan suara yang hampir hilang, Hamengkubuwono meminta Dimas supaya mengambil keris Pasopati yang telah dipersembahkan oleh Candra. Hamengkubuwono terus berkata:
“Dengan keris Pasopati ini kamu kutabalkan sebagai Raja Muda Empayar Dresanala.”
Kedengaran beberapa keluhan dan kejutan di kalangan pembesar-pembesar yang hadir. Perkara ini adalah satu kejutan bagi mereka, kerana mereka tidak menyangka bahawa Hamengkubuwono akan menamakan penggantinya dengan begitu cepat tanpa mengikut protokol kraton secara lazimnya.
“Dengan adanya keris Pasopati ini, beta harapkan satu hari nanti kamu akan menjadi seorang maharaja yang adil lagi bijaksana; yang terbaik di antara maharaja-maharaja terdahulu.” Dia terhenti menghirup udara. Kemudian menambah lagi, “semoga kamu dianugerahkan ciri-ciri seorang maharaja yang mempunyai kesaktian Pasopati; iaitu kelebihan untuk membaca kemahuan rakyatmu supaya kamu dapat memerintah dengan adil lagi saksama.” Jelas Hamengkubuwono panjang lebar.

Sebaik sahaja kata-katanya berakhir, pembesar-pembesar istana sujud hormat di hadapan Raja Muda mereka yang baru.

Suasana tenang…

Bab 19

“Sistem pemerintahan yang kejam dapat menjamin kestablilan politik dan ekonomi sesebuah empayar.”
-- Maharani Suryosimirat yang Merah.

Mereka selamat tiba di mahkamah tinggi.

“Kita semua mesti berhati-hati.” Kata Khairul kepada Za dan dua orang Laskar yang sedang mengiringnya. Tangan Khairul yang kuat itu memegang cotar Holotronnya. Khairul masuk ke dalam bangunan mahkamah tinggi Al-akiti sebagai wakil pemerhati dari Empayar Dresanala.

Di luar bangunan mahkamah, di sebuah dataran yang agak luas, suasana hingar bingar sambil kedengaran laungan kuat—sebilangan rakyat kota Gufrah sedang berkumpul menunjuk perasaan. Mereka sedang berkumpul untuk mendengar keputusan mahkamah terhadap Timbalan Pengerusi Jaznam Indikala yang dihadapkan ke muka pengadilan atas pertuduhan mengkhianati Al-akiti dan penduduknya.
“Tempat ini hanya tunggu masa sahaja sebelum keganasan meletus.” Getus Khairul. Dia dapat melihat ramai anggota pengaman Gufrah sedang berkumpul seolah-olah menanti menanti satu rusuhan besar akan berlaku. Mereka kelihatan bengis dengan pakaian berperisai dan tombak panjang yang menanti masa untuk menjilat darah mangsanya.
“Itu yang saya takutkan, tuan.” Sambut Za perlahan. Dia sendiri pernah terlibat secara tidak langsung di dalam sebuah rusuhan besar yang telah berlaku di planetnya sendiri. Ramai di antara kenalannya telah terbunuh di dalam rusuhan tersebut, apabila kerajaan planetnya telah mengambil keputusan untuk membuat beberapa inisiatif untuk bersekutu dengan Empayar Dresanala. Agak ironik rasanya kini bahawa, dia sendiri sedang bertugas dengan sesuatu yang pernah dibenci dan dimusuhinya.
Beberapa buah droid dari agensi-agensi berita Al-akiti terbang melewati mereka. Droid-droid yang berbentuk leper seperti piring terbang kecil itu dilengkapi dengan kamera holocam dan beberapa peralatan komunikasi canggih untuk melaporkan berita mengenai perbicaraan yang sedang dijalankan sekarang.
“Bukan niat aku untuk memusnahkan beberapa kota penting Ur’dakh.” Bisik Khairul dengan ikhlas kepada Za secara tiba-tiba. Dia berhenti dari terus menapak. Mereka menunggu di sebuah sudut beberapa meter dari kamar mahkamah. “Keputusan ini terpaksa juga aku ambil demi menyelamatnya nyawa berbillion-billion makhluk yang mungkin akan terkorban.”
“Saya tidak berniat untuk bersikap kurang ajar kepada tuan,” Balas Za dengan nada sedikit terganggu. “Tetapi apa kaitan tuan memusnahkan kuil suci Ondalah dengan tuan ingin menyelamatkan nyawa berbillion-billion makhluk di galaksi ini?” tanya Za kemudian dengan nada yang sinis pula. Wajah eksoskeletonnya yang tidak berubah itu cukup sukar untuk Khairul meneka jika Za berkeadaan marah ataupun sebaliknya.
“Tentu kau pernah dengar dengan senjata ‘Hawar Pemusnah Dunia’, bukan?”
“Pernah… Senjata ini kami bina demi keamanan sejagat.”
“Itu yang telah diberitahu kepada kau…” Ujar Khairul. Dia sememangnya sedia maklum bahawa agensi propaganda di Ur’dakh adalah secekap seperti yang ada di Dresanala di dalam bidang mencipta sejarah untuk menepati kehendak-kehendak semasa. “Kau tidak semestinya percaya kepada apa yang telah diberitahu kepada kau.”
Terdengar suara-suara aneh dari kotak suara Za. “Jadi apa cerita sebenarnya?”
“Kaum Ur’dakh telah mencipta senjata ini dan pernah menggunakannya lebih 3,500 tahun dahulu. Kaum Ur’dakh telah menggunakannya untuk melawan musuh mereka, kaum Manthalatum. Senjata ini bukan sahaja berjaya memusnahkan hampir 90% penduduk planet Manthalatum, tetapi berbillion-billion makhluk lain yang tidak berdosa.” Beritahu Khairul.
“Tapi perang tetap perang. Kemusnahan yang berlaku dalam sesuatu perperangan adalah resmi berperang.”
“Itu aku tahu, Za. Kemusnahan tetap akan berlaku di dalam peperangan. Cuma caranya sahaja berbeza.”
“Senjata Hawar Pemusnah Dunia telah membolehkan kami memenangi peperangan dengan kaum Manthalatum—“
“Adakah kau tahu bahawa sistem ekonomi dan tamadun beberapa buah dunia lain yang tidak terlibat telah musnah sama sekali akibat kesan senjata yang membawa penyakit yang membawa maut ini?” Tanya Khairul, memberitahu Za sesuatu yang mungkin telah disembunyikan kepadanya melalui cerita-cerita yang telah diputar belitkan. “Begitu ramai yang telah terkorban pada masa itu sehingga teknologi hyperpacuan di banyak bahagian di sektor Meru telah musnah sama sekali… Malah sektor ini telah dikuarantin sehingga kaum manusia Bumi sendiri pada satu ketika dahulu pernah berfikir bahawa hanya kami sahaja umat yang wujud di dalam alam semesta ini! Kau bayangkanlah!”
“Senjata kami telah terbukti dapat mengamankan sektor Meru… Sehinggalah kaum Bumi melebarkan sayapnya di sektor ini.”
“Tugas aku pada waktu itu hanya untuk memusnahkan senjata ini, itu sahaja. Percayalah. Aku tak mahu nanti apabila ia digunakan, entah berapa trillion makhluk yang tidak berdosa akan mati kerananya.”
Za diam. Dia tidak bersuara. Mungkin dia sedang berfikir. Mungkin jua dia sedang bertafakur.
“Sekurang-kurangnya sekarang saya faham apa yang telah berlaku dari pihak tuan.” Jelas Za sambil mengeluh. Tetapi itu tidak bererti dia akan dapat memaafkan Khairul.
“Aku tidak meminta kau supaya memaafkan aku atau bersimpati dengan keputusan yang telah aku ambil dahulu. Aku cuma mahu kau faham. Itu sahaja.” Jelas Khairul. Persidangan mahkamah sedang berehat, sementara keputusan didengar sebentar nanti.
Khairul dapat melihat kelibat Senator Finik Vadrel di hadapannya. Dia sedang dikerumuni oleh beberapa droid agensi berita dan beberapa wartawan yang ingin menemuramahnya sebaik sahaja dia keluar dari kamar mahkamah.
Dua orang pengawal peribadi Finik berdiri teguh di hadapannya.
Khairul perlu mendapatkan Finik. Tetapi dia dapat melihat bagaimana sibuk dan tertekan keadaan senator dari Al-akiti itu.
Khairul mendekati Finik. Tetapi belum sempat dia mendapatkannya, beberapa das tembakan dilepaskan dari sebuah droid pemberita.
Beberapa orang yang ada panik lalu bertempiaran lari. Khairul bertindak pantas, lalu menerkam Finik. Dia memintas beberapa orang yang sedang gentar melihat kejadian itu. Beberapa das peluru terkena ke bahagian bahunya.
Za bertindak cepat dengan menembak droid pembunuh itu. Droid bersaiz kecil yang sejak tadi terapung-apung kini terjatuh ke atas lantai.
“Kita harus mencari Jaznam. Mereka mungkin mahu membunuhnya juga!” Jerit Khairul. Tindakannya untuk menyelamatkan Finik tadi adalah satu tindakan yang sia-sia. Peluru dari droid pemberita telah terlebih dahulu menembusi bahagian leher senator itu.
Khairul meletakkan mayat Finik ke atas lantai. Dia tidak mungkin dapat mengumpul segala buktinya yang dicari melalui Finik sekarang ini.

Jaznam kini menjadi orang yang paling penting di dalam penyiasatannya ini, kerana senator itu mempunyai hubungan yang rapat dengan Pengerusi Zahurak. Siasatan awal ada menunjukkan bahawa Jaznam juga telah dihubungi oleh mereka yang menjadi dalang kepada beberapa kejadian pengganas di Dresanala. Dia mungkin tahu siapa yang telah menyalurkan sejumlah besar wang ke dalam akaun kempen pilihanraya parti politiknya, dan ke dalam sebuah akaun rahsia di sebuah bank di Giandee.

Khairul bergerak pantas masuk ke dalam kamar mahkamah. Za dan dua orang Laskar pengiring mengikutnya dari belakang. Keadaan semakin kucar-kacir apabila beberapa das tembakan kedengaran dari dalam kamar mahkamah.

Tatkala di dalam kamar mahkamah, Khairul dapat melihat sebuah droid pemberita sedang berlegar-legar terapung di hadapan Jaznam. Droid pemberita ini tiba-tiba sahaja berubah kepada bentuk sebenarnya, kerana sejak tadi ia telah berselindung di sebalik medan Holocom untuk menyamar dirinya. Ia berubah bentuk kepada sebuah droid pembunuh. Bentuk mekanikalnya kini kelihatan lebih organik. Ia kini mempunyai bentuk seperti seekor kutu mikroskopik yang telah dibesarkan saiznya. Beberapa bahagian pada tubuhnya dilengkapkan dengan pelbagai jenis senjata. Khairul dan Laskar-laskarnya tahu bahawa droid pembunuh ini merupakan teknologi kaum Isbin yang telah dikaji selidik dan digunakan oleh Empayar Dresanala di dalam beberapa kempennya untuk membunuh ahli-ahli politik penting di planet-planet yang mahu dijajah mereka sejak seribu tahun yang lalu.

Beberapa orang pengawal yang sedang mengawal Jaznam telahpun rebah ditembak oleh droid pembunuh. Kini dengan sepantas kilat Za telah menembak salah sebuah droid tersebut.
“Kita harus tinggalkan tempat ini, tuan!” getus Khairul dengan suara yang lantang. Dia berdiri dekat kepada Jaznam yang kelihatan pucat, dalam keadaan terkejut itu. “Mungkin ada lagi percubaan untuk membunuh tuan.”
Khairul menggunakan alat komunikasinya untuk menghubungi beberapa orang Laskar yang sedang menunggunya di luar bangunan mahkamah. Dia menoleh dengan pantas untuk memeriksa bahagian bahunya yang telah tercedera itu. Darah merah yang pekat mengalir mula membasahi bajunya. Dia juga mendapati ada dua bekas tembakan yang langsung tertembus di bahagian bahunya itu.
Laskar-laskar itu yang ada bersama Khairul kini mengeluarkan cotar Holotron mereka lantas menghidupkan fungsi perisai. Mereka berdua sedang memegang perisai Holotron yang bersaiz enam kaki tinggi dan tiga kaki lebar. Mereka berdua menempatkan diri mereka betul-betul di hadapan Khairul untuk melindunginya dan Jaznam. Seperti yang dijangkakan, beberapa das tembakan entah dari mana datangnya telah disasarkan ke arah mereka.
“Mereka tak akan berhenti menyerang selagi Jaznam tidak dibunuh mereka!” Khairul memberitahu Za. Jazman menggigil ketakutan menyorok di belakang Khairul. Za tidak menjawab. Dia nampaknya sedang sibuk mengacukan pistol lasernya ke arah beberapa buah droid pembunuh yang kini muncul terapung-apung di hadapan mereka.
Sebuah droid pembunuh kini mengeluarkan cahaya yang aneh. Kedua-dua Laskar yang terlatih itu faham apa yang akan berlaku seterusnya. Mereka kini menyatukan perisai Holotron mereka sehingga ia terbentuk seperti sebuah medan tenaga yang menyelubungi mereka berlima.
Sebuah letupan besar telah berlaku di hadapan mereka. Walaupun mereka terlindung di dalam medan tenaga yang dicipta Holotron, mereka tetap dapat merasakan gegaran serta bahang panas hasil dari letupan tersebut. Beberapa ribu serpihan tajam yang mengandungi racun tersebar luas memenuhi dinding kamar mahkamah.
Beberapa detik kemudian, bahagian tembok bangunan mahkamah yang tua lagi usang itu runtuh menyembah tanah.

Kini sebuah shuttle kecil terapung-apung muncul di hadapan bahagian yang runtuh itu. Pintu shuttle terbuka luas. Di dalamnya tiga orang Laskar sedang berada di dalam keadaan berjaga-jaga untuk memastikan bahawa keadaan di sekeliling mereka terkawal.
Khairul terus membawa Jaznam masuk ke dalam shuttle. Jaznam perlu diselamatkannya terlebih dahulu—dia merasakan bahawa Jaznam mungkin dapat menolongnya di dalam siasatannya!


**

Di dalam kamarnya, Dimas mengenakan baju serba hitamnya yang menurut Wiranto, mempunyai rekaan yang seiras dengan pakaian seorang Warok. Dimas memerhatikan dirinya di hadapan cermin. Dia merasakan yang dia lebih senang berpakaian begini berbanding dengan satu hari nanti di mana dia akan berjubah merah dan memakai topeng disepanjang hayatnya sebagai seorang maharaja.

Sebagai seorang Raja Muda Dresanala, Dimas juga memegang tampuk pemerintahan tentera di mana dia dikurniakan pangkat turus tertinggi tentera Empayar Dresanala. Taraf barunya ini setanding dengan penampilannya dengan sepersalinan busana seorang Warok.

Sepasang Warok Pengiring masuk ke dalam kamar Dimas diikuti oleh Nani dan Wiranto. Mereka berdua menghampiri Dimas. Wiranto lantas memegang bahu Dimas untuk memberitahu bahawa masanya sudah sampai untuk mereka bertolak ke Surakarta Baru.

Mereka tiba di pelantar berlepas. Candra, ibu saudara Dimas, sudah sedia menanti. Candra terus mendapatkan Wiranto dan terus berbisik perlahan kepadanya. Jelas kelihatan Candra cuba berkata sesuatu, tiada siapa pun mampu mencuri-dengar. Bisikan itu berlalu terlalu pantas. Setelah itu semua tamat, Candra berpaling seraya melemparkan senyuman kepada Dimas.
“Kita akan bertemu di Surakarta Baru, Pangeran.” Ujar Candra dengan penuh hormat kepada Dimas, bagaikan tiada janggal antara mereka.
“Baik, tante. Kita ketemu di sana nanti.” Dimas membalas. Wiranto mengiringi Dimas masuk ke dalam pesawat Diraja Ngelangi-799.
“Tantemu itulah yang telah menghidupkan aku kembali.” Kata Wiranto kepada Dimas. Mata kirinya dikenyit nakal ke arah Nani.
Nani menjuihkan bibirnya dengan nakal. Nani masih mengekalkan sifat-sifat manjanya, walaupun dia banyak mencatatkan lembaran penuh konspirasi di dalam sejarah Empayar Dresanala. Candra sendiri tidak penah mahu menaruh kepercayaannya kepada Nani.
Nani dan Candra melambai ke arah Dimas. Candra memaling buat beberapa detik ke arah Nani, sebelum dia berjalan kembali memasuki kraton.
Dimas hanya menjeling lesu, lalu masuk ke dalam perut Ngelangi sambil diiringi oleh dua orang Warok Pengawal.
“Mengapa tante Candra mesti menghidupkan abang kembali?” Tanya Dimas. Dia duduk berhadapan dengan Wiranto.
“Kerana… Dia perlukan aku! Masakan dia dapat hadapi semua ini seorang diri.” Jawab Wiranto berterus terang.
“Hadapi apa?”
Wiranto mengeleng-ngelengkan kepala. Dia enggan menjawab soalan Dimas tadi. Dia biarkan soalan itu berlalu sebegitu sahaja.

Ngelangi mendada ke angkasa. Ia bergerak ke arah timur untuk ke Surakarta Baru. Menurut hitungan Wiranto, perjalanan akan mengambil masa selama 3 jam.

Sudah lebih sejam perjalanan, akan tetapi Wiranto lebih selesa mendiamkan diri. Dimas pula mundar mandir kebosanan. Minuman di tangannya belum habis dihirupnya. Kadang-kala dia akan masuk ke dalam kokpit. Droid juruterbang mengemudi tanpa sedikitpun berinteraksi dengan Dimas—walaupun Dimas cuba berkomunikasi dengannya. Dia nampak gusar. Mungkin perasaan gusarnya berbaur dengan cuak.
“Dia bukan diprogramkan untuk berbual.” Beritahu Wiranto. Kedua bebola matanya tertancap ke arah Warok Pengiring di hadapannya. “Sama seperti mereka.”
“Siapa?” Tanya Dimas.
“Warok-warok pengawal ini.”
“Bolehkah mereka bersuara jika saya suruh mereka berkata-kata?”
“Tidak.”
“Mengapa tidak?”
“Lidah mereka telah dipotong.”
“Tapi kenapa?” Tanya Dimas terkejut.
“Supaya mereka tidak bersuara.” Ujar Wiranto. Dia memandang kepada jam tangannya. “Pada lazimnya mereka dipertanggungjawabkan untuk mengiringi para kerabat Diraja yang sering bermesyuarah tentang perihal kepentingan Empayar. Sudah diketahui umum, tanpa kebolehan berbicara sesama mereka dan juga kepada orang lain, selamatlah segala rahsia negara dan lain-lain perkara berkenaan dengan keselamatan Empayar.”
“Tapi ini semua kejam!”
“Memanglah kejam. Tetapi, ramai pemuda-pemuda dari sektor Meru akan melakukan apa sahaja untuk menjadi seorang Warok.” Wiranto mengatur langkah ke arah Warok-warok pengawal. Dia menyuruh mereka mengeluarkan keris mereka, lalu ditacapkan keris tersebut betul-betul di bahagian dada mereka. “Mereka akan melakukan apa sahaja yang kau mahu mereka lakukan.”
“Saya tahu.” Pendek sahaja balasan Dimas. Riak wajah Dimas mahu bercerita kepada Wiranto bahawa dia faham dengan apa yang cuba diberitahu olehnya.
Tidak perlu lagi Wiranto mengadakan demonstrasi ketaatan mereka kepadanya!
“Kau boleh arahkan mereka untuk membunuh diri sendiri, dan mereka akan melakukannya tanpa berfikir panjang. Kau mahu cuba?” tanya Wiranto dengan nada serius. Pemikiran Dimas tercabar dengan pernyataan Wiranto itu.
“Tidak.” Jawab Dimas ringkas. Dia mengeleng-ngelengkan kepala. Dia tahu bahawa apa yang dinyatakan oleh Wiranto itu benar sama sekali. Akan tetapi dia kurang pasti samada Wiranto cuba berjenaka atau dia memang serius ingin Dimas melakukannya.
“Masanya sudah tiba... Kamu berdua telah berbakti kepada Maharaja dengan cemerlang. Diharapkan kamu semua tidak akan dihidupkan kembali,” Kata Wiranto kepada Warok-warok pengawal di hadapannya dengan tenang sambil tangannya menggenggam tangan mereka dengan kuat. Bagaikan ada mesej-mesej tersirat di antara mereka. Ini jelas kelihatan pada riak wajah Wiranto apabila berdepan dengan kedua-dua Warok. Dimas tidak dapat menafsir semua itu. Dia cuma dapat melihat segala apa yang berlaku di hadapannya kini. Dengan itu juga, Wiranto mengundur ke belakang. Langkahnya tersusun rapi.
Peluh dingin terbit di dahi Wiranto. Bagaikan ada sesuatu yang kurang menyenangkan akan berlaku. Warok-warok itu berdiri tenang. Kemudian, bagaikan sepantas kilat dan sekuat daya, kedua-dua Warok tersebut membenamkan keris di tangan mereka ke dada kiri masing-masing.
Dimas bagaikan terpaku, tatkala percikan darah merah hinggap di mukanya. Semuanya terlalu pantas. Bau hanyir darah Warok-warok itu terus meloyakan tekaknya.
Wiranto memandang jenak ke depan, bagaikan ini bukanlah pengalaman baru baginya. Jasad-jasad kaku kini bergelimpangan, bertindih antara satu sama lain. Pakaian mereka basah dikuyupi darah yang masih mengalir, bagai tiada henti. Hanya hulu keris nampak di dada mereka. Lantai Ngelangi bagai menjadi saksi kepada kejadian ini. Darah yang meresapi ruang-ruang lantai akan terus mencatat sejarah. Sejarah ngeri.
Dimas masih tidak bergerak. Tangannya masih bertaut kuat ke kerusi yang sudah lama didudukinya. Tidak berganjak. Dia cuba merumuskan apa yang telah dicerap oleh matanya. Wiranto melihat ke luar Ngelangi. Dia kemudian melihat jam di lengannya. Dia menekan sesuatu di jam tangannya, kemudian Dimas dapat merasakan bahawa pesawat Ngelangi mula turun ke aras lebih rendah.
“Kita harus keluar dari sini.” Ucap Wiranto dalam nada memerintah. Dimas tidak mahu berganjak dari kerusinya. “Kita harus keluar dari pesawat ini sekarang, Pangeran!” perintah Wiranto, kali ini dengan suara lebih tegas.
Dimas teringatkan kepada pesanan Khairul supaya mendengar kata-kata Wiranto. Dimas memandang ke arah wajah garang Wiranto. Dia tidak mempunyai apa-apa pilihan lain selain dari akur akan perintahnya.
Pintu Ngelangi terbuka. Angin kuat menderu memasuki kabin shuttle tersebut. Dimas agak sukar untuk bernafas.
“Pegang belakang saya kuat-kuat!” Wiranto menjerit kuat agak suaranya didengar Dimas dengan jelas.
Dengan pantas Dimas menurut suruhan Wiranto. Dia memegang belakang Wiranto dengan erat.
Wiranto terjun dari pesawat Ngelangi. Dimas masih berpaut di belakangnya. Dimas menjerit sekuat hati kerana dia tidak menyangka bahawa itulah tindakan yang akan diambil oleh Wiranto.
Dimas tidak mungkin akan melepaskan Wiranto. Nyawanya kini bergantung kepadanya. Dia dapat melihat bahawa mereka kini sedang jatuh semakin hampir ke bumi Dresanala. Dia tidak faham apa yang sedang dilakukan oleh Wiranto pada waktu itu.
Dimas dapat melihat mereka berdua jatuh semakin hampir ke arah kanopi hutan tebal tropika yang membaluti sebahagian besar Dresanala. Dia menjerit ketakutan sambil menutup matanya dengan erat. Wiranto tidak ambil pusing.

Beberapa meter sebelum mereka berdua jatuh ke bahagian paling atas kanopi yang melitupi hutan tebal di bawah mereka, Wiranto telah menghidupkan cotar Holotronnya. Lalu dengan tiba-tiba sebuah pesawat kecil telah terbentuk dengan sendirinya.

“Kau boleh buka mata kau sekarang.” Ucap Wiranto kepada Dimas. Bibit-bibit senyuman mula terukir di wajahnya yang bengis itu.
Dimas membuka matanya. Dia dapati pesawat Holotron milik Wiranto kini sedang terbang dengan begitu hampir di atas kanopi hutan; sehingga ingin mencecah pucuk-pucuk pokok.
“Apa yang telah berlaku?” Tanya Dimas menagih jawapan. Suaranya terketar.
Wiranto memusingkan Holotronnya. Dia menunjukkan kepada Dimas sebuah peluru berpandu yang sedang terbang deras ke arah sebuah sasaran di angkasa. Beberapa saat kemudian, satu letupan kuat telah menggegarkan angkasa. Pesawat Holotron turut begegar. Gelombang ledakan boleh dirasakan semesta. Kelihatan gegelang cahaya yang melitupi sebahagian besar angkasa terbentuk buat beberapa saat, disertai dengan ledakan yang maha hebat. Tiba-tiba ia lenyap dari pandangan dan suasana menjadi hingar bingar. Serpihan-serpihan objek yang tidak diketahui asalnya menghujani angkasa. Suasana menjadi kelam, seperti langit dibalut mendung. Beberapa kehidupan mergastua yang tadinya tenang, bertempiaran terbang menyelamatkan diri.
Bagaikan dunia sudah sampai ke penghujungnya lagaknya.
“Kita sepatutnya berada di atas sana—jadi mangsa ledakan peluru berpandu. Itu yang mereka mahu.”
“Siapa?”
“Mereka yang mahu melihat Raja Muda Empayar Dresanala mangkat.”
Dimas terdiam. Dia mula sedar bahawa nyawanya mula terancam akibat perebutan kuasa yang tidak akan bertemu noktahnya.
Wiranto terus mengawal Holotronnya terbang beberapa jengkal di atas permukaan kanopi.
“Maafkan saya jika tindakan saya tadi mencemaskan Pangeran.” Wiranto cuba menenangkan hati Dimas. Pandangannya menjurus ke depan—penuh tekun menerbangkan pesawat Holotronnya. “Cotar holotron hanya boleh dihidupkan menjadi pesawat beberapa meter dari permukaan kanopi supaya mereka tidak dapat mengesan kita.”
Dimas hanya mengangguk pantas. Dia tidak pasti apa yang seharusnya dia katakan kepada Wiranto. Dia dapat rasakan yang badannya masih belum pulih dari perasaan cemas yang dialaminya sebentar tadi. Nadinya berdenyut pantas. Wajahnya pucat lesi tidak berdarah. Dia masih belum boleh berfikir secara normal.
“Kita akan menuju ke kawasan hutan yang lebih nipis. Kawasan ini penuh dengan hutan tebal. Kita tidak boleh selamanya terbang dengan holotron ini. Lambat laun kita akan dapat di kesan.” Wiranto tekad untuk membawa Dimas ke kawasan yang lebih selamat, lagipun itulah tugas utama yang harus dipikul bahunya—memelihara keselamatan Pangeran.

Bab 20

“Jika kamu benar-benar mahu mengalahkan seterumu, jangan gunakan kekerasan. Jika kamu mahu mengalahkannya, pangkukannya dia di ribamu. Seterumu akan mengalah, tanpa berbalah.”
-- Penggunaan taktik pangkon untuk mengalahkan pihak musuh.

---

Jaznam menggeletar sewaktu dia berada di dalam bangunan kedutaan Empayar Dresanala. Pihak kerajaan Al-akiti telah mencanangkan bahawa pihak Empayar Dresanala telah mengebom bangunan mahkamah tinggi Al-akiti untuk membebaskan pengkhianat planet mereka. Mereka yang tidak bertanggungjawab juga ada membuat spekulasi bahawa Jaznam telah terlibat sebagai tali-barut Empayar Dresanala; yang menurut mereka sedang bersiap sedia untuk menjajah planet ini.

Ramai penduduk Al-akiti kini mula berkerumun di luar kedutaan Empayar Dresanala. Mereka mungkin mahu mengadakan demonstrasi beramai-ramai. Mungkin juga mereka mahu mendapatkan Jaznam yang kini namanya ada disebut-sebut sebagai wira baru yang berani menidakkan kezaliman serta korupsi yang telah lama wujud dalam pemerintahan mereka.

“Kenapa saya diheret ke sini? Saya tidak memerlukan suaka politik!” jelas Jaznam, ada bau angkuh dalam kata-katanya.
“Kami hanya memerlukan beberapa maklumat dari tuan.” Khairul mendekati Jaznam. Nadanya jelas menunjukkan rasa hormatnya kepada ahli politik tersebut.
Jaznam memandang ke arah bahu Khairul yang terdapat kesan darah dan berlubang pada bahagian baju yang terkena peluru droid pembunuh. Darah yang tadinya mengalir dari kesan luka kini kelihatan sudah sedikit mengering. Lukanya itu sudah pulih seperti sediakala, bagai tiada apa yang telah berlaku. Inilah hasil kerja para Nanobot di dalam badannya yang berusaha memperbaiki kesan lukanya itu dengan pantas.
“Maklumat tentang apa?” Tanya Jaznam mengalihkan pandangannya ke wajah Khairul pula.
“Tuan, kami tahu bahawa tuan telah dituduh dengan tuduhan yang bukan-bukan kerana tuan mahu memberitahu kepada rakyat tentang apa yang berlaku di dalam kerajaan tuan… Tentang Pengerusi Zahurak.”
Jaznam termenung buat seketika. Dia tidak menjawap terus, sedangkan dia mengambil masa untuk berfikir. Dia lantas bertanya:
“Kamu perlukan maklumat ini untuk apa?”
“Kami perlukan maklumat ini supaya Al-akiti ini tidak akan kami musnahkan.” Sambut Khairul dengan serius. Kerana inilah yang pasti akan dilakukannya jika Jaznam tidak berkerjasama dengannya.
Jaznam menarik nafas panjang. Dia tahu bahawa Khairul tidak mungkin bergurau dengannya. Dia sendiri telah banyak kali membaca bagaimana Empayar Dresanala telah memusnahkan beberapa buah dunia dengan sewenang-wenangnya pada bila-bila masa yang mereka suka. Kuasa mereka begitu kuat sehingga kini tidak ada mana-mana badan pemerintah yang berani memusuhi mereka di sektor Meru ini.
“Kau mungkin sudah tahu bahawa kami telah terlibat di dalam pakatan pengganas untuk cuba menghancurkan struktur kerajaan Empayar Dresanala.” Jaznam akhirnya memberitahu. Kata-katanya penuh lancar, tiada sedikitpun dia berasa canggung dalam menuturkan ulas-ulas katanya itu.
“Tapi, kenapa?”
“Sistem ekonomi lebih tiga perempat galaksi ini bergantung kepada kristal kiribati yang hanya boleh dikeluarkan oleh Empayar Dresanala—“
“Jadi apa kena mengena perkara ini dengan Al-akiti?”
“Jika ekonomi serta pemerintahan Empayar Dresanala goyah, rakyat kami juga akan merasakan kesannya. Parti memerintah sejak dahulu menganggap parti pembangkang kami sebagai golongan pelampau. Jadi mereka memberi contoh golongan pelampau dari bangsa Isbinlah yang telah menyebabkan serangan ke atas beberapa buah kota di Dresanala. Mereka aktif sekali menangkap golongan ahli politik dan aktivis yang tidak menyebelahi mereka dengan melabelkan mereka sebagai musuh negara. Alasan yang mereka gunakan; mereka tidak mahu Al-akiti diserang oleh golongan pelampau seperti di Dresanala.”
Dahi Khairul terkerut seribu. Mindanya cuba memproses segala perkhabaran yang baru ditelannya tadi. Alasan yang diberikan Jaznam sukar untuk diterimanya—malah baginya langsung tidak masuk akal. Jelas kini bahawa Al-akiti hanya bertindak sebagai boneka kepada konspirasi ini.
“Tapi apa pula alasan mereka apabila tuan ditangkap dan didakwa?” Tanya Khairul melengkapkan lagi penyiasatannya. Dia tidak bisa berpuas hati dengan segala yang baru didengarinya, dia akan cuba mengupas perkara itu sehingga tersembul kebenaran yang sedang dicarinya.
“Kerana aku mahu membuktikan bahawa ada beberapa kes rasuah yang melibatkan ahli-ahli politik di Al-akiti. Aku mahu satu pemerintahan yang bersih dan amanah. Bukan seperti apa yang ada sekarang!”
“Tuan tahu kenapa Senator Finik dibunuh?” Tanya Khairul lagi.
“Mungkin kerana dia banyak menyimpan rahsia tentang akaun bank Pengerusi Zahurak di Giandee dan agen-agen dari Dresanala yang telah mengupahnya supaya menjadi orang tengah—“
Menyirap darah Khairul dibuatnya apabila kalimah ‘agen-agen dari Dresanala’ terpacul dari mulut Jaznam.
“Tuan kenal dengan agen-agen dari Dresanala yang mengupah serta memberi rasuah kepadanya ini?”
“Tidak… Tetapi jawapannya pasti ada di Giandee. Aku masih lagi menyimpan maklumat tentang akaun banknya serta apa yang perlu kau lakukan untuk mengumpul maklumat tentang mereka yang telah menyalurkan dana kepada Konsortium Guaman Shevira.”
“Dari mana tuan tahu tentang ini semua?”
“Untuk pengetahuan kamu, aku juga pernah terlibat sama untuk memindahkan dana ini dahulu.” Kata Jaznam mendatar sahaja, penuh dengan nada agak bersalah serta menyesal. Dia tertunduk segan, bercampur kesal. “Aku tahu apa yang aku lakukan ini salah. Sebab itu aku mahu memperbetulkannya! Masih tak terlambat aku rasa.”

Khairul menghela nafasnya. Kini dia tahu bahawa dia perlu pergi ke Giandee untuk mengetahui siapa yang telah mendalangi cubaan untuk menumbangkan Empayar Dresanala. Di dalam benak fikirannya dia tahu bahawa ada satu konspirasi yang agak besar yang sedang dibuka satu persatu lipatan rahsianya.
Dengan apa yang dilihatnya berlaku tadi di bangunan Mahkamah Tinggi Al-akiti, dia dapat merasakan bahawa teorinya bahawasanya mereka yang dekat kepada Empayar Dresanala telah terlibat dengan secara langsung kepada konspirasi ini semakin nyata. Nampak sangat, ini semua kerja orang dalam!
Khairul pasti jika perkara ini tidak dipantau atau digalangi, entah apa lagi perkara yang akan dilakukan oleh mereka nanti.

“Tuan, kami baru sahaja menerima berita dari Dresanala bahawa pesawat yang dinaiki oleh Pangeran Dimas telah diletupkan. Sumber-sumber awal mengatakan bahawa pesawat yang dinaikinya telah diserang oleh torpedo pengganas Tonamon.” Beritahu Za kepada Khairul dengan cara berbisik supaya Jaznam tidak akan mendengar kata-katanya. Jaznam tidak pula mengambil endah terhadap perbualan antara mereka berdua.
Khairul kelihatan tersentak. Wajahnya terus berubah pucat. Nadinya seolah-olah terhenti buat beberapa saat. Anak matanya yang tadi menari-nari melihat keadaan di depannya, kini terhenti dan mengecil. Di fikirannya bermain-main wajah Dimas yang telah dijaganya sejak kecil dan wajah Wiranto yang disayanginya itu.
Jauh di dalam hatinya, dia tahu bahawa mereka mungkin masih hidup lagi. Dia tak tahu bagaimana dia boleh merumuskan perkara ini, tetapi dia sesungguhnya tahu bahawa mereka berdua masih berada di dalam keadaan selamat.
“Kita akan uruskan hal ini sebaik sahaja kita pulang ke Dresanala nanti. Tetapi buat masa ini kita akan ke Giandee. Siapkan pesawat kita untuk ke sana, Za.” Perintah Khairul tanpa menunjukkan sebarang emosi. Za menganggukkan kepalanya, tanda hormat. Khairul melepaskan nafasnya dengan lesu…

Baladewa-x menyusur keluar dari atmosfera Al-akiti. Beberapa buah kapalangkasa induk dan kapalangkasa pemusnah Empayar Dresanala kini sedang berada di orbit Al-akiti setelah diseru oleh Khairul. Mereka telah ditugaskan untuk menjaga keamanan planet tersebut dan memastikan bahawa tampuk pemerintahan planet ini diubah sama sekali. Khairul sendiri telah mengarahkan supaya beberapa buah kota di planet ini dimusnahkan jika ia tidak mengadakan pilihanraya secepat mungkin… Untuk memilih tampuk pemerintahan yang baru—adil lagi saksama, bersih dari segala cacat cela dan kepincangan kepimpinan.

**

Hampir duapuluh minit Wiranto membawa Dimas terbang dengan menaiki Holotronnya. Setibanya di koordinat yang telah ditetapkan, dia meninjau-ninjau tempat yang sesuai untuk mendaratkan pesawat kecil Holotronnya.
Matanya terikat ke sebuah kawasan air terjun. Jatuhan air yang sederhana, terpercik ke kawasan berbatu yang tidak jauh dari muaranya. Wiranto merasakan inilah tempat yang sesuai untuk mendarat.
Dimas menarik nafasnya dalam-dalam sebaik sahaja dia memijakkan kakinya ke bumi Dresanala. Dia memandang alam sekelilingnya. Dia mendongak sedikit, dan menyedut udara yang baru itu. Jauh di sudut hatinya, untuk segera menikmati suasana yang nyaman lagi segar ini, akan tetapi sekarang bukan masanya. Dia harus melupakan sahaja niatnya itu.
“Kita akan ke mana?” Tanya Dimas kepada Wiranto. Beberapa depa di hadapannya air sungai jatuh ke sebuah lembah yang sangat dalam. Bunyi air terjun memenuhi ruang alam di sini. Irama yang dihasilkan cukup untuk merehatkan fikiran yang tengah bercelaru. Tidak cukup dengan itu, desiran air yang membanting gerigi batu seakan mencipta rentak seiringan, sungguh mendamaikan.
“Kita akan ke sana, Pangeran, melepasi kawasan hutan Pesanga ini.” Wiranto menuding jarinya ke arah sebuah kawasan pergunungan di sebelah utara. Kawasan yang dinyatakannya berkilauan terkena pancaran Arjuna. “Ke pergunungan Dieng.”
“Kenapa kita ke sana?”
“Pangeran akan lebih selamat di sana.” Ucap Wiranto dengan penuh pasti.
Ngauman ngeri sejenis binatang buas yang pernah didengar oleh Dimas kini didengarnya lagi. Bulu romanya terpacak berdiri, dirinya digigit ketakutan.
Di gigi air, dua ekor andong berjalan merapati mereka. Wajah Dimas jelas cemas tatkali menyedari kehadirannya. Dia takut melihat haiwan harimau reptilia yang bertaring tajam serta bertubuh besar itu.
Mata andong merah menyala. Ia memandang tepat ke arah Dimas.
“Jangan lari. Biar mereka hidu tubuh Pangeran.” Perintah Wiranto. Dia nampak pasti dengan apa yang dituturkannya.
Nafas Dimas turun naik dengan cepat. Seekor andong bergerak pantas mendekatinya, sudah ada di sebelahnya.
Hidung andong yang besar serta sensitif itu berhidu tubuh Dimas. Ia menyeringai beberapa kali. Sementara itu, andong yang satu lagi melakukan perkara yang sama kepada Wiranto.
Bau mulut andong itu amat busuk seperti bangkai. Lidahnya kini menjilat leher Dimas. Lidahnya terasa kasar seperti kertas pasir. Dimas berasa sungguh meloyakan.
“Dia suka kepada Pangeran.” Seloroh Wiranto, antara senyum dengan tidak. Dia mengusap-ngusap kepala andongnya.
“Andong ini jinak?” Tanya Dimas ketakutan. Dia cuba menyembunyikan perasaan gentarnya. Tatkala Wiranto menyatakan yang andong itu menyukainya, perasaan gentarnya luruh sedikit demi sedikit. Andong di hadapannya mengaum dengan kuat sehingga bergegar seluruh tubuhnya dibuatnya.
“Ia telah dilatih untuk menerima Pangeran sebagai tuannya dari bau tubuh Pangeran.”
“Untuk apa?”
“Pangeran fikir kita boleh tiba ke kaki pergunungan Dieng tanpa andong-andong ini?”
“Kenapa pulak tidak boleh.”
“Kerana hutan Dresanala terkenal kerana ia dipenuhi dengan haiwan yang pelik-pelik… Seperti andong ini. Tentu Pangeran tak mahu bertemu dengan seekor andong yang liar, bukan?”
“Tidak… Tentunya tidak.” Dimas menggeleng cepat . “Tapi dari mana datangnya andong-andong ini?”
“Ia telah di bawa ke sini sejak semalam untuk kita gunakan. Pangeran tak perlu tahu siapa yang membawa mereka ke sini atau siapa yang berada di pihak kita. Yang penting sekarang, kita harus menuju dengan selamat ke arah pergunungan Dieng.” Tegas Wiranto sambil mengelap penuh yang mula mengalir membasahi dahinya.
Andong Dimas mengaum dengan kuat dan ganas. Dia menyeringai lalu menunjukkan gigi taringnya yang tajam itu, bagaikan baru diasah. Dimas menapak beberapa langkah ke belakang. Wiranto pula pergi ke bahagian tengah tubuh andong yang besar itu untuk memanjat ke atasnya. Dia duduk di atas pelana yang telah tersedia di atas belakang andong.
“Pangeran perlu menunggang andong ini seperti ini.” Wiranto menunjukkan kepada Dimas cara menunggang haiwan ganas itu. Dimas masih ragu-ragu. Tetapi diberanikan dirinya untuk memanjat ke atas tubuh andong yang besar itu.
Setiap kali Dimas cuba memanjat tubuh andong, setiap kali itulah ia cuba mengaum. Andong itu seakan-akan boleh menghidu gentar Dimas. Dimas jelas takut, lebih-lebih lagi apabila tangan depan andong ditumbuhi kuku-kuku yang tajam dan jelas nampak berbahaya.
Dimas akhirnya dapat duduk di atas pelana. Walaupun begitu, dia terasa kekok menunggang haiwan buas itu.

Mereka berdua kini sedang menunggang andong masuk ke dalam kawasan hutan tebal Pesanga. Andong bergerak dengan lincah, ke tepi ke kanan. Andong itu menurut sahaja cara mereka menunggangnya. Mereka akan menurut, seperti mereka bersama-sama menarikan irama yang setara tatkala bersatu merentas hutan yang tebal itu. Terkadang kecekapan andong itu jelas nyata mengelakkan batang-batang pokok yang agak rapat.
“Kita perlu berhati-hati, Pangeran. Musuh kita ramai.” Sebut Wiranto. Tanyanya, tangannya masih erat memegang pelananya. Andong yang ditunggangnya lebih jinak dari andong yang sedang ditunggang Dimas. Tetapi perkara ini telah disengajakan. Andong yang dipilih untuk Dimas telah dilatih supaya menjaga keselamatan tuannya. Ia akan melakukan apa sahaja untuk melindungi tuannya dari serangan musuh.
“Siapa musuh kita?” Dimas menagih jawapan. Keadaan di dalam hutan agak panas dan lembab. Di celah-celauh daunan itu, lingkaran cahaya menerobos lembut mencecah tanah. Peluh mereka tutut turun mencurah-curah.
“Mereka yang tak mahu Pangeran Dimas atau Pangeran Cacuk menjadi Maharaja Empayar Dresanala.”
“Tapi kenapa?”
“Mereka tamakkan kuasa… Mereka sanggup buat apa sahaja supaya kepentingan mereka akan terjaga kelak.”
“Siapa mereka?”
“Lambat laun nanti kau tahu juga siapa mereka…,” ujar Wiranto tanpa mahu menjawab. Dia menunggang andongnya lebih laju ke hadapan berbanding Dimas. Dimas membiarkannya sahaja mencantas hutan yang luas.

Hari menjelang senja. Mereka masih belum tiba ke destinasi mereka. Di dalam hutan, pelbagai-bagai bunyi aneh yang dapat didengar oleh Dimas. Pohon-pohon dan haiwan-haiwan di sini besar-besar saiznya. Graviti Dresanala yang agak rendah telah menyebabkan perkara ini berlaku—apabila semuanya yang ada di sini bersaiz gergasi.
“Kita berehat di sini.” Ucap Wiranto di bawah sebuah pohon yang rendang. Pohon tersebut berbuah agak lebat. Jumlah buah yang banyak, kelihatan ranum di celah-celah daunan yang menghijau.
“Sampai bila?”
“Sehingga esok… Bahaya jika kita cuba rentasi hutan ini pada malam hari.”
“Saya ikut sahaja.” Sambut Dimas dengan pendek. Dia melihat Wiranto menghidupkan fungsi cemati pada cotar holotronnya.
Dengan menggunakan cemati holotronnya, Wiranto telah cuba untuk memetik buah-buahan yang ada di atas pohon tersebut. Dia dapat memetik buah-buahan bersaiz buah mempelam yang boleh didapati di planet Bumi. Buah-buah tersebut jelas agak lutcahaya. Ia berbintik-bintik dari dalam. Buah-buah yang kelihatan telah masak dan saiznya agak besar telah diberikan untuk dimakan oleh andong-andong mereka.
“Ia mempunyai banyak khasiat. Pangeran harus makan.” Ujar Wiranto. Dia menyerahkan kepada Dimas dua biji buah. Dia mengajar Dimas cara memakannya. Katanya, lubang kecil patut ditebuk di luar buah lalu isinya di sedut keluar dengan mulut mereka.
Dimas mengikut arahan yang diberikan oleh Wiranto. Dia dapati isi buah tersebut agak manis, manisan yang sungguh semulajadi.
“Sedap rasanya buah ni!” Puji Dimas. Dia menjilat-jilat jarinya yang terasa manis itu.
“Pangeran dah kenyang? Atau pangeran nak lagi?”
“Tak apa, saya dah kenyang. Tapi apa nama buah yang saya makan tadi.”
“Ianya bukan buah, ia telur serangga prambanan .” Jawab Wiranto bersahaja.
“Apa? Serangga?” Dimas mendongak. Tekaknya mula terasa mual.
“Makanan kegemaran Pangeran Cacuk.” Ujar Wiranto. Dia tersenyum nakal. Dia terus menyedut isi telur serangga prambanan.
Dimas terbatuk-batuk, dia berasa mual dan mahu memuntahkan apa yang telah dimakannya. Matanya merah. Wiranto ketawa memerhatikan gelagat Dimas…

Dimas termenung panjang . Perutnya terasa lapar, tetapi dia tidak berselera untuk makan. Sesekali dia akan memerhatikan planet Wisanggeni yang merah seperti darah mengambang penuh di atas hutan belantara Pesanga. Dan sesekali pula dia akan memandang ke arah Wiranto yang sedang bertenggek di atas ‘dahan’ prambanan di belakangnya. Menjaganya dengan penuh setia.
“Kenapa abang dianggap sebagai penghianat?” Dimas akhirnya bersuara, meruntuhkan tembok kebuntuan yang terbina di antara mereka berdua buat ketika itu.
“Pangeran patut tidur. Perjalanan kita jauh lagi.” Wiranto seboleh-bolehnya tidak mahu menjawab soalan dari Dimas tadi. Dia mahu sahaja melabuhkan kepalanya dan terus tidur.
“Saya mahu tahu apa yang telah berlaku… Supaya perkara yang sama tidak akan berulang lagi.” Dimas berucap dengan jujur.
Wiranto mengeluh, dia berfikir dengan panjang, membiarkan kesunyian memamah kegelapan malam. Beberapa ketika kemudian, barulah dia bersuara:
“Saya telah dianiaya, Pangeran… Perkara ini telah berlaku lebih tujuh ratus tahun yang lampau. Saya telah digunakan oleh Bupati Harsrinuksmo—“
“Siapa Bupati Harsrinuksmo ni?” Pintas Dimas ingin tahu. Dia menoleh ke arah Wiranto.
“Bupati Harsrinuksmo merupakan abang ipar kepada dua orang Maharaja Empayar Dresanala, bapa mertua kepada seorang lagi, pakcik kepada satu lagi, dan datuk kepada seorang maharaja dan seorang lagi maharani Empayar Dresanala. Beliau merupakan dalang kepada gundik-gundik dan permaisuri maharaja; menggunakan mereka untuk mendapatkan segala kemahuannya melalui maharaja yang telah dilantiknya Dan pada ketika itu, sebagai seorang Bupati, beliau mempunyai suara di dalam pemilihan maharaja serta maharani Empayar Dresanala.
“Dengan kuasa yang dia miliki dan protokol kraton yang kadang-kala berbelit-belit, dia telah memastikan para maharaja hanya berkuasa sehingga umur mereka meningkat tidak lebih dari tiga puluh tahun. Kesemua pembesar kraton pada waktu itu berpihak kepadanya, yang sememangnya orang yang sebenar-benarnya memegang tampuk kuasa Empayar Dresanala.”
“Setelah lima orang maharaja satu demi satu turun dari tahta atau mati di dalam usia yang begitu muda, Bupati Harsrinuksmo akhirnya menabalkan cucu perempuannya, Raden Ayu Tutti Suryosumirat sebagai Maharani Empayar Dresanala yang baru. Ketika itu, usia Maharani Suryosumirat II baru sahaja meningkat umur 16 tahun. Tetapi beliau bukan sebarang Maharani, kerana dia bijak orangnya dan mempunyai kebijaksanaan jauh melebihi usianya. Sama seperti Pangiran!”
Wiranto sempat memuji dengan jujur. Terukir bibit-bibit senyuman di bibirnya. Dia melihat Dimas membalas senyumannya. Hatinya nampak tenang melihat senyuman Dimas yang dirasakannya mempunyai banyak persamaan dengan senyuman Khairul—panjang dan melirik, manisnya mengasyikkan siapa sahaja. Dia menyambung lagi:
“Dari awal-awal lagi, Maharani Suryosimirat tahu bahawa dirinya akan hanya dijadikan sebagai boneka oleh nendanya yang sebenarnya menguasai Empayar Dresanala. Dia tidak mahu dirinya menjadi seperti maharaja yang digantikannya, kekandanya sendiri yang telah mati diracun ketika usianya meningkat dua puluh lima tahun. Jadi, Maharani telah menggunakan kuasanya untuk menundukkan nendanya sendiri.”
“Apa yang telah dilakukannya?” Tanya Dimas penuh minat. Sesekali dia dapat mendengar bunyi mergastua malam yang sedang menyanyikan simfoni lagu hutan. Tetapi perhatiannya tidak dikacau sama sekalai—hanya kepada Wiranto.
“Maharani Suryosimirat telah menurunkan darjat kebesaran nendanya dari darjat kedua kepada darjat kelima. Lantas, nendanya itu terus dipaksa memakai persalinan berwarna biru seperti mana yang selalu dipakai oleh kerabat Diraja Dresanala yang mempunyai darjat sedemikian. Bayangkanlah bagaimana murkanya Bupati Harsrinuksmo pada waktu itu.” Wiranto mengusap-ngusap misainya yang tebal itu. Anak matanya membiaskan cahaya malam, nampak berkaca sedikit. “Maharani tidak berhenti di situ sahaja, beliau telah memerintahkan supaya setiap pembesar yang pernah bertugas di bawah Bupati dipenjara seumur hidup atau dihukum bunuh. Termasuklah Senopati Khairul!”
“Sampai begitu sekali?” Wajah Dimas berubah. Dia nampak terkejut. Keningnya berkerut seribu pertanyaan. “Apa yang telah beliau lakukan kepada Senopati?” Tanya Dimas.
Wiranto menarik nafasnya. Dia tidak menceritakan kepada Dimas bahawa Tutti telah jatuh cinta kepadanya, dan Tutti tahu bahawa cintanya tidak mungkin akan terbalas oleh Wiranto. Fikirnya, dengan menghindari Khairul, dia akan dapat menjinakkan dan terus membuat Wiranto jatuh hati kepadanya.
“Pangeran… Maharani Suryosimirat yang Merah telah dinamakan sebegitu, bukan sahaja kerana beliau seorang maharani yang tegas, tetapi kerana di sepanjang pemerintahannya, banyak darah yang telah mengalir di bumi Dresanala. Termasuklah darah Senopati Khairul—“
“Apa berlaku seterusnya?” Pintas Dimas. Dia tiba-tiba takut pula mendengar penjelasan yang seterusnya dari Wiranto. Apabila dicongak-congaknya, dia pasti bahawa dia mempunyai talian darah dengan Maharani Suryosimirat! Darah penuh kejam mengalir panas di dalam dirinya.
“Bupati telah mengambil keputusan untuk menumbangkan Maharani Suryosimirat. Beliau telah merancang untuk menjual beberapa buah rahsia empayar kepada musuh kami; Persekutuan Maladur, lantas menampakkan kelemahan pemerintahan kerajaan Maharani Suryosimirat II.”
“Saya telah dilibatkan sama. Apa yang saya lakukan adalah di atas kesetiaan saya sebagai seorang Laskar kepada Bupatinya. Saya telah dipinta untuk melakukan beberapa tugasan. Pada waktu itu saya tidak tahu bahawa saya telah digunakan olehnya untuk menjual beberapa maklumat penting Empayar Dresanala kepada pihak Persekutuan Maladur. Nasib baik perkara ini akhirnya diketahui oleh pihak maharani. Jika tidak, Pihak Persekutuan Maladur pasti akan mengetahui tentang rancangan awal Empayar Dresanala untuk mendapatkan sebuah daerah di sektor Rahwana. Jika rancangan ini tidak dihalangnya, pasti daerah itu tidak menjadi milik kita sekarang.” Wiranto termenung jauh. Suasana menjadi bening seketika. Wajahnya jelas dimakan rasa kesal.
“Pangeran… Saya telah menurut segala perintahnya tanpa banyak bantahan. Lagipun itulah yang telah diprogramkan di dalam perisian saya. Bukan kerana saya mahu membalas dendam ke atas kematian Senopati yang telah dilakukan dengan penuh kejam!” Suara Wiranto serak sedikit kedengarannya. Dia kemudian mengeluh panjang. Dia tahu bahawa dia tidak berkata jujur kepada Dimas. Dari awal lagi dia tahu bahawa apa yang telah diperintahkan kepadanya oleh Bupati Harsrinuksmo adalah sesuatu yang langsung akan membuatnya menjadi pengkhianat kepada Empayar Dresanala. Tetapi Bupati tahu untuk mempergunakan Wiranto. Dia tahu bahawa Wiranto akan melakukan apa sahaja untuk membalas dendam ke atas kematian Khairul. “Mereka telah menghidupkan Senopati kembali untuk menangkap saya. Arahan yang telah diberikan kepadanya adalah untuk membawa saya kembali pulang ke Dresanala, di dalam keadaan hidup—”
Khairul telah dihidupkan, dia telah diminta untuk mencariku lalu membawaku pulang ke Dresanala. Dia hanya bersetuju untuk melakukan semua ini dengan syarat dia dikurniakan dengan satu permintaan. Satu permintaan yang hanya akan disebutkannya setelah dia pulang melaksanakan tugasnya nanti.
“Oh…” Dimas menelan air liurnya sendiri. Tekaknya terasa kering.
“Ya, dia dapat menghalang saya sebelum saya berjaya menghantar maklumat yang terakhir kepada Persekutuan Maladur.
“Memang benar Senopati telah membunuh saya. Dia tidak mungkin akan membiarkan diri saya diseksa mereka. Jadi dibunuhnya saya dengan ditusuknya kerisnya itu ke dada saya, dengan kerelaan saya sendiri. Kemudian, Hanya kepala saya sahaja dibawa pulang ke Dresanala, lalu dipersembahkan kepada maharani.” Kata Wiranto dengan kelat. Dimas meraba-raba lehernya sendiri dengan perasaan ngeri.
Wiranto tahu akan cerita sebenar disebalik mengapa Tutti mahu dia dibawa pulang hidup-hidup. Tutti mahu memprogramkan Wiranto, supaya dia akan mahu mengasihinya. Perkara ini tidak diketahui oleh Khairul.
Menurut cerita, Khairul telah membawa pulang kepala Wiranto ke Dresanala. Kepala Wiranto yang telah dipenggal olehnya telah diawet oleh Tutti, lalu disimpan di dalam kamarnya sehinggalah usianya lanjut lalu dia mati di dalam keadaan penuh kecewa. Tutti tidak pernah berkahwin sepanjang hidupnya, kerana tidak mahu mengasihi lelaki lain selain dari Wiranto yang dicintainya.
Khairul telah membunuhku lalu dia telah meminta satu permintaan dari maharani. Satu permintaan yang terpaksa dilaksanakan oleh maharani. Dia telah meminta supaya aku tidak dihidupkan kembali…
Dimas tidak faham mengapa Wiranto mempunyai kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Empayar Dresanala, walaupun jelas empayar ini telah menganggapnya sebagai seorang pengkhianat.
“Senopati Khairul telah membunuh abang?” Tanya Dimas sekali lagi seolah tidak percaya. Sukar untuk dia menerima perkara ini mahupun menghadamkannya di dalam kotak fikirannya.
“Ya… Benar.” sambut Wiranto perlahan. Pandangannya dilemparkannya ke hadapan. “Saya memang bersalah. Dia memang patut menghukum saya. Dia sekadar menjalankan tugasnya, dan saya hormati itu semua.”
Dimas mengeluh. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kalau abang berada di tempat Senopati dan Senopati pula berada di tempat abang… Apa yang akan abang lakukan?”
“Saya tidak akan lakukan tugas saya, Pangeran. Saya akan setia kepada Senopati. Di dalam hal ini saya pasti akan menderhaka kepada maharani. Saya sanggup melakukan ini semua dari membunuh orang yang saya cintai.”
Dimas menarik nafas panjang. Dia kelihatan puas dengan jawapan yang telah diterimanya dari Wiranto.
“Kisah kematian saya tak ubah lagaknya seperti kematian Jebat. Mati dengan sia-sia…” kata Wiranto dengan perlahan dan datar sehingga sukar suaranya didengar oleh Dimas di malam yang pekat itu.
“Saya tidak tahu apa yang sebenarnya telah berlaku… Tetapi percayalah, bang. Bila saya dijadikan maharaja nanti, saya akan pastikan nama abang akan dibersihkan.” Dimas memegang lengan Wiranto yang keras diulit benang-benang urat itu dengan kuat. “Ini janji saya kepada abang!”
Wiranto tidak menjawab. Dia hanya mampu menganggukkan kepalanya. Matanya ditutup rapat—dia tidak tidur. Dia sekadar memikirkan peristiwa berdarah yang menyebabkan dirinya ditikam sehingga mati oleh Khairul yang disayanginya setengah mati itu…
“Bang… Jebat siapa bang? Kenapa nama dia abang sebut tadi?” Tanya Dimas kemudian dengan suara perlahan.
Wiranto menatap wajah muda Dimas. Malam masih muda. Dia duduk semakin rapat kepada Dimas, lalu mula mengatur bicara untuk bercerita kepada Dimas:
“Pada satu hari di planet Bumi, di sebuah tempat yang dikenali dengan nama Tanah Melayu, terdapat lima orang bersahabat—“

**

Wiranto dan Dimas kini sedang berada di atas sebuah tebing tinggi yang menghadap sebuah gaung yang agak dalam sebelum mukabumi bergunung ganang di hadapan mereka. Apa yang ada di hadapan mereka adalah sebuah kawasan pergunungan kristal.
“Apa yang kita lihat ni?” Tanya Dimas, kagum dengan keajaiban alam yang sedang dialaminya sekarang, seakan-akan terbentang di depannya.
“Ia seperti apa yang kau lihat… Kilat plasma dari dalam tanah. Mungkin ia berlaku dengan adanya tumpuan tenaga dari banjaran kristal di hadapan kita. Ia bermula dari kawasan gaung sehinggalah ke bahagian kaki pergunungan Dieng. Apa-apa jenis pesawat tidak boleh merentasi kawasan ini kerana ribut plasma yang bermula dari bawah tanah. Kecuali jika pesawat itu turun dari angkasa terus ke kawasan pergunungan… Sebab itulah kawasan ini telah terlindung dari peneroka Dresanala sejak bulan ini ditemui lebih 1600 tahun dahulu. Kawasan ini sukar direntasi dan terdapat banyak gangguan elektromagnetik di sana.” Wiranto menjelaskan. Dia meramas-ramas kepala andongnya, perlahan-lahan.
Andong yang ditunggang oleh Dimas mengaum dengan kuat. Hidungnya kembang-kuncup seolah-olah ia sedang menghidu sesuatu yang sedang berada dekat dengannya.
“Jadi bagaimana kita akan ke sana?” Tanya Dimas. Matanya dijurus tepat kepada pergunungan kristal di hadapannya. Banjaran Dieng berkilauan di dalam perlbagai warna yang mengasyikkan.
“Kita akan terbang ke sana.” Sambung Wiranto. Dahi Dimas terkerut seribu. Kehairanan.
“Tapi bagaimana?”
Wiranto menggunakan tangannya untuk mengeluarkan bunyi siulan yang agak kuat.
Dua ekor naga mahawangsa yang sedang bersembunyi di sebuah sudut di atas tebing telah menampakkan diri mereka. Naga sumpah-sumpah yang boleh menukarkan warna kulit mereka mengikut keadaan sekeliling mereka ini mula berdiri lalu mengepakkan sayapnya. Saiz naga mahawangsa ini jauh lebih besar dari andong. Maka tidak hairanlah jika andong-andong yang ditunggang Dimas dan Wiranto bergerak beberapa tapak ke belakang sambil mengaum dengan kuat.
“Apa pulak ni?” Tanya Dimas tidak percaya. Matanya terpaku kepada kepala naga yang kelihatan garang dan menakutkan itu. Kini dia mula melihat andong yang sedang ditunggangnya seperti seekor haiwan peliharaan yang jinak jika dibandingkan dengan naga mahawangsa yang bengis kelihatannya ini.
Kedua-dua naga yang besar tubuhnya ini sedang ditunggang oleh dua orang kanak-kanak Isbin. Seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Wajah mereka berdua hampir serupa. Mereka berdua adalah kembar.
“Saya rasa, saya kenal dengan budak perempuan tu—“
“Pangeran telah bertemu dengannya tempohari di dalam kraton.” Jelas Wiranto sambil tersenyum.
“Oh ya… Gadis comel yang pemalu tu!” Dimas cuba tersengih, tetapi bibirnya kaku kerana ketakutan. “Jadi ke mana kita sekarang, sebenarnya?”
“Ke pengkalan pejuang Tonamon.” Ujar Wiranto. Dia turun dari andong tunggangannya lalu dengan penuh bersahaja dia naik ke atas bahagian belakang naga mahawangsa. Yang sedang ditunggang oleh budak lelaki Isbin itu.
Dimas pernah mendengar nama Tonamon itu berulang kali disebutkan oleh Nani dan beberapa pembesar Isbin yang telah ditemuinya. Mereka semua telah menganggap Tonamon sebagai sebuah organisasi pengganas yang ingin menjatuhkan Empayar Dresanala. Mereka mahukan kebebasan mutlak kepada kaum Isbin dan mengakhiri zaman perhambahan kaum ini oleh golongan manusia yang memerintah Dresanala. Perkara ini langsung tidak disenangi oleh kebanyakkan orang di Dresanala, kerana telah berzaman-zaman lamanya mereka dibesarkan dengan tradisi perhambaan ini.

Ramai di antara rakyat Dresanala sendiri tidak tahu bahawa kaum Isbinlah yang telah menjumpai Dresanala lama sebelum ia ditemui oleh pengasas-pengasas Empayar Dresanala. Kerana selama ini, mereka telah diberitahu bahawa kaum Isbin adalah kaum pendatang yang berasal dari sebuah planet yang telah dijajah oleh Empayar Dresanala secara sah. Maka mereka mempercayai perkara ini bulat-bulat tanpa kaji selidik.

“Pangeran naik naga yang ditunggang Athira. Saya telah diberitahu, dia di antara penunggang mahawangsa yang paling cekap yang mereka ada. Kembar lelakinya ini bernama Athir.” Pinta Wiranto. Dimas mengangguk sahaja. Dia turun dari andongnya, lalu dengan penuh berhati-hati dia menghampiri naga mahawangsa yang telah disediakan khas untuknya.
Dimas duduk di atas pelana di belakang Athira, anak gadis Isbin yang selama ini bertugas sebagai penyampai maklumat bagi pihak pejuang Tonamon kepada pihak yang bersimpati kepada mereka di Kraton Pakubuwono Hadiningrat.
Dimas melemparkan pandangannya ke sebelahnya. Dia dapat melihat naga mahawangsa yang sedang ditunggang Wiranto telah menlebarkan sayapnya yang luas itu. Ia terjun ke dalam gaung sebelum udara panas yang datangnya dari bawah gaung menolongnya untuk terbang lebih tinggi lagi.
Kini giliran naga mahawangsa yang ditunggang oleh Dimas pula untuk terbang. Dimas memegang bahagian pemegang pelana dengan erat. Naga yang ditunggangnya menjunam terjun ke dalam gaung. Dimas diselimuti ketakutan. Dia rasa semakin gayat apabila naga mahawangsa kini terbang semakin tinggi untuk ke banjaran Deing.

Naga mahawangsa menjerit mengeluarkan suara yang amat mengerikan. Dia digegar teriakan binatang itu. Dimas bertaut kuat-kuat. Dia tidak mahu dirinya jatuh. Dia berpaling ke arah Wiranto. Dia melihat Wiranto nampak tenang sewaktu terbang bersama naga mahawangsanya yang sedang mendada ke angkasa…

Seorang Warok yang baik perlu mengatasi enam perkara berikut: kama (nafsu), dwesha (benci), moha (jahat), damba (tamak), irsya (cemburu) dan matsyarya (rasa benci terhadap orang lain).
-- “Prinsip seorang Warok”. Oleh Gatotkaca Hendra Margana.

---

Baladewa-x selamat tiba di sistem Giandee. Planet tersebut terletak pada bahagian paling hujung dan tersisih di Bima Sakti. Di samping itu, kedudukannya yang strategik di dalam sektor Dasamuka membuatkan planet ini sesuai sebagai bank galaktik yang paling berjaya.
Baladewa-x meluncur masuk ke dalam sistem Giandee yang terpencil ini. Fungsi halimunannya tidak dihidupkan. Panji-panji Empayar Dresanala jelas kelihatan di bahagian luar Baladewa-x, penuh megah dan tanpa rasa gentar ia meluncus terbang di sektor neutral ini.
Baladewa-x dibenarkan masuk ke dalam planet Giandee tanpa sebarang gendala. Malah, ketibaan mereka amat dialu-alukan. Ini kerana, Empayar Dresanala adalah penyimpan dana terbesar di Giandee.

Dari orbit Giandee, planet ini kelihatan seakan-akan dibayangi warna kehijauan serta kebiruan. Giandee kelihatan seolah-olah ia tidak berpenghuni atau mempunyai apa-apa penempatan seperti sebuah kota di dalamnya. Malah apabila Baladewa-x terbang semakin hampir ke kota Wridoa, kota terbesarnya, bangunan-bangunan tinggi tidak kelihatan di mana-mana. Kota yang terletak di tepi sebuah pantai tropika ini nampak tenang. Bangunan-bangunan yang bersaiz kecil dan sederhana nampak berselerakan di kota itu.
Uniknya, bangunan-bangunan di Giandee telah dibina ke bawah atau dalam tanah. Cuma sebahagian kecil dari bangunan itu tersergam di atas permukaan planet itu. Ia telah di bina ke dalam gunung yang telah sedia ada, di tepi-tepi kanyon dan ada di dalam laut yang cetek dikelilingi oleh batu karang. Bangunan-bangunan di sini menggabungkan unsur-unsur semula jadi ke dalam senibinanya. Pohon-pohon yang rendang akan ditanam bukan sahaja di bahagian dalam bangunan, tetapi di luar bangunan dengan akar mereka teguh mencengkam dinding bangunan-bangunan itu. Kedapatan bangunan yang ditumbuhi begitu banyak pokok-pokok sehingga dapat melekakan mereka yang memandang—seolah-olah mereka melihat sebatang pokok gergasi.
Planet ini memang indah. Tetapi tidak ramai makhluk yang dapat menetap Giandee, memandangkan pelbagai jenis cukai yang dikenakan di sini yang sudah semestinya membebankan mereka yang tidak mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh. Walaubagaimanapun, bagi mereka yang mampu, sememangnya tempat ini bak syurga buat mereka. Cuacanya yang berhawa Mediterranean di kebanyakan kawasan di planet ini telah membuatkan planet ini selesa diduduki. Planet ini juga tenteram dan selamat. Planet ini sememangnya telah lama menjadi pilihan kepada mereka yang kaya untuk menghabiskan masa persaraan mereka, juga kepada mereka yang ingin melarikan diri mereka dari undang-undang dan mereka yang mendambakan sesuatu yang istimewa.

Baladewa-x telah diarahkan untuk mendarat di sebuah struktur pelantar di tepi laut. Struktur ini naik dari dasar laut hanya apabila ia diperlukan, jadi permukaannya agak basah.

Pintu utama Baladewa-x terbuka, lalu memberi udara serta tekanan neutral yang datangnya dari luar sana masuk. Khairul menguap untuk menghilangkan rasa kurang selesa di dalam telinganya. Apabila udara Giandee mula memenuhi ruang Baladewa-x, Khairul terus menghirup udara segar itu dalam-dalam. Udaranya dipenuhi dengan bau laut, diperkayakan lagi dengan nitrogen dan ozone, dan ini telah membuatkan bulu romanya naik di belakang tengkuknya. Dia menghidup lagi udara Giandee yang dianggapnya menarik ini, kerana ia mengingatkannya kepada udara di bumi – di sebuah kawasan yang dikenali oleh penduduk Bumi sebagai Rompin sebaik sahaja hujan lebat mulai reda.
“Ke mana arah yang mahu kita tuju, tuan?” tanya Za sambil menghirup udara segar di kota Wridoa.
“Ke Bank Giandee.” Ujar Khairul. Kali ini dia tidak memberitahu sebarang wakil kedutaan Empayar Dresanala tentang tujuannya untuk ke sini. Dia tidak mahu perkara yang sama yang telah berlaku di Al-akiti akan berulang di Giandee.
Dua orang Laskar kini telah menghidupkan fungsi Holotron mereka dengan membentuk sebuah pesawat kecil. Begitu juga dengan Khairul dan Za. Dari pelantar di tepi laut itu mereka kini terbang memasuki kota Wridoa yang dikelilingi oleh kawasan berbukit-bukau itu.

Akhirnya, Khairul tiba di hadapan bangunan Bank Giandee. Ketibaannya telah disambut oleh seorang wanita Giandee. Za tercengang melihat makhluk pribumi Giandee—jelas kelihatan di atas kepala mereka terdapat sesuatu makhluk lainn yang sedang bergerak-gerak. Makhluk di atas kepala itu seakan-akan sudah serasi dengan empunya tubuh, dalam ertikata lain, dua jasad itu seakan-akan aur dengan tebing; saling memerlukan.
Sudah diketahui umum, makhluk yang berada di takhta kepala makhluk Giandee adalah sejenis makhluk yang sudah menguasai kesemua penduduk pribumi Giandee ini. Berkat kepintaran makhluk yang kecil ini, mereka mampu menawan jasad serta akal penduduk pribumi Giandee dan telah berjaya memajukan planet tersebut sejak 22,000 tahun yang lalu.

Penduduk pribumi Giandee ini dikenali dengan nama kaum Galla. Mereka adalah sejenis specis humanoid yang kelihatan seperti manusia Bumi—bezanya mereka mempunyai lubang hidung yang kecil serta mempunyai insang pada bahagian tepi leher mereka.
Walaupun kaum Galla mempelopori kemajuan teknologi yang canggih, mereka tidak mempunyai kemahuan untuk mengungguli bidang penerokaan angkasalepas seperti yang biasa yang dilakukan oleh kaum-kaum lain. Lokasi mereka yang agak terpencil dari tamadun-tamadun lain juga telah membuatkan planet ini pesat membangun di dalam bidang teknologi tetapi langsung menidakkan keperluan mereka untuk menghubungi tamadun-tamadun yang ada di dalam galaksi ini. Kaum Galla lebih berminat untuk membangunkan bidang teknologi genetik dari bidang-bidang lain.
Kaum Galla juga mempunyai minat yang mendalam untuk memelihara haiwan-haiwan peliharaan. Minat mereka menjurus kepada memelihara haiwan-haiwan eksotik di mana struktur genetik mereka telah diubah untuk membuat mereka kelihatan lebih comel atau menarik; bergantung kepada kehendak semasa.
Berdasarkan fakta sejarah, pada satu ketika dahulu, lintah batu karang tuncai telah menjadi kegilaan penduduk Galla. Hampir setiap individu mahu memiliki lintah itu. Tubuh tuncai yang berwarna warni serta bentuk mereka seperti bunga telah menjadikan mereka sejenis haiwan peliharaan yang sangat popular. Para penggemar genetik telah berusaha sedaya upaya melakukan ujikaji genetik untuk membuat specis tuncai ini kelihatan lebih cantik dan cerdik—boleh membuatkan setiap penggemarnya jatuh hati setiap kali mereka melihat tuncai ini. Hasil kesungguhan pakar-pakar dan saintis di sana, sejenis tuncai yang cerdik akhirnya telah berjaya dicipta. Jelas kegembiraan terpancar di setia makhluk yang mendekati tuncai itu. Kegembiraan ini tidak berpanjanggan kerana ia membawa musibah—kecerdikan tuncai mengatasi akal penciptanya.
Tidak lama selepas itu, tuncai-tuncai ini akhirnya membiak dengan begitu banyak lalu, mengambilalih menjadi spesis parasit yang menguasai kaum Galla dan seterusnya planet Giandee. Spesis tuncai ini mengambil alih kaum Galla dengan melekat di bahagian kepala kaum Galla dan perlahan-lahan memakan otak hosnya itu, lalu menggantikannya dengan sel otak mereka sendiri. Tidak dapat disangkal lagi kehebatan pemikiran mereka, kerana tuncai-tuncai ini berjaya menguasi kaum Galla secara keseluruhan dalam masa yang singkat.
Sejak kaum Tuncai menguaasai Giandee, kaum Galla ini telah dibiakkan hanya dengan tujuan untuk menjadikan jasad mereka sebagai hos kepada tuncai-tuncai ini dan membolehkan mereka bebas bergerak dan melakukan pelbagai tugasan harian.
Kaum Tuncai telah mengenalkan Giandee kepada galaksi ini sebagai sebuah pusat perbankan yang stabil dan boleh dipercayai—berasaskan kepintaran mereka menyusun keutuhan ekonomi planet itu. Selain itu, Giandee juga terkenal sebagai pusat kejuruteraan membuat enjin hyperdrive yang tinggi mutu buatannya.

“Apa tujuan sebenar Senopati datang ke Giandee?” Tanya Okola, wakil dari Bank Giandee.
“Saya di sini mewakili Kerajaan Al-akiti yang telah kami tawan mengikut Perjanjian Trookah.”
“Oh, kami iktiraf perjanjian itu dan kami akan memberi sepenuh kerjasama kepada Empayar Dresanala.” Sambut Okala dengan tunduk hormat. Dia mempelawa Khairul masuk ke dalam bangunan.
Khairul dibawa untuk berjumpa dengan Pikasha, CEO Bank Giandee di dalam pejabatnya. Ini kerana, setiap transaksi perbankan yang besar akan diuruskan sendiri olehnya. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pemindahan dana dari sebuah planet yang telah dijajah kepada planet yang menjajah. Perkara seperti ini sering membawa keuntungan berlipat ganda kepada banknya, walaupun perbendaharaan planet yang telah dijajah hampir muflis dibuatnya di dalam proses ini.
Khairul melangkah masuk ke dalam bilik pejabat. Bagi seorang anak Giandee, mungkin hiasan dalaman pejabat ini nampak cantik dan menepati citarasa mereka, tetapi baginya, ia nampak seperti berada di dalam sebuah akuarium yang besar. Pejabat ini dikelilingi dengan logam lutsinar yang menampakkan hidupan laut yang ada di pelihara sebagai perhiasan. Perabot-perabotnya yang ada berwarna terang dan berbentuk organik menyerupai hidupan laut. Bau di dalam pejabat pula hanyir seperti berada di tengah-tengah laut.
Rukasha, anak kepada Pikasha telah memerhatikan gerak-geri Khairul dan pengikut-pengikutnya yang masuk ke dalam pejabat bapanya. Dia telah berbisik perlahan kepada Okala sebaik sahaja pintu pejabat ditutup:
“Ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka, Okala. Mereka bukan makhluk hidup.”
Khairul mencuri pandang kepada Rukasha. Perhatiannya dialihkan kepada bapanya yang tersipu-sipu melihat keletah anaknya itu.
Rukasha merasa kekok berhadapan dengan Khairul dan dua orang Laskar yang mengiringinya. Sebelum ini dia telah sedia maklum bahawa sesuatu makhluk yang tidak bernyawa seperti sebuah android atau sebuah droid tidak sepatutnya mempunyai sebarang hak atau keistimewaan untuk melakukan sebarang jenis urusniaga perbankan dengan mereka.
“Maafkan anak saya, Senopati. Dia baru sahaja disatukan dengan hosnya. Dia masih mentah dan belum biasa dengan cara-cara kita berurusniaga.” Sesungut di kepalanya bergerak-gerak. Bagaikan jejari nakal bermain sesama sendiri lagaknya. Kekadang bahagian yang mirip bunga batu karang itu akan kembang dan kuncup dengan sendirinya. Agak cantik bagi mereka yang sudah biasa; agak canggung bagi mereka yang baru ketemu.
Khairul mengangguk faham. Dia pasti bahawa Rukasha baru sahaja menamatkan pengajiannya di universiti, dan kini telah disatukan dengan jasad Gallanya sendiri. Selama ini beliau hidup dalam bentuk asalnya yang kelihatan tidak ubah seperti sejenis specis batu karang. Beliau kini hidup seperti makhluk parasit yang memperhambakan hosnya itu dan memperlakukannya seperti sebuah boneka hidup. Hal ini memang aneh, tapi itulah hakikatnya di planet ini. Makhluk yang tidak sebesar mana menjadi sultan kepada tubuh yang jauh lebih besar dari mereka. Ini memang sukar untuk dimengerti.
“Secara teknikal memang kami adalah mayat hidup,” Khairul memberitahu kepada Rukasha. Kening Rukasha nampak berkerut. Jelas kepada Khairul, bahawa selama ini para saintis dari Dresanala telah sedaya upaya mencipta manusia yang boleh diterima oleh makhluk-makhluk yang banyak menggunakan deria bau mereka seperti kaum Volruah, Trodi, Isbin dan Tuncai ini. Kaum-kaum yang disebutkan ini, malah sesetengah manusia lain merasa kurang selesa apabila mereka terpaksa berhadapan dengan sesuatu yang kelihatan hidup tetapi tidak mempunyai sebarang bau. Bukan menjadi asing lagi, kini para saintis Dresanala mampu mencipta manusia yang sempurna kejadiannya—akan tetapi ia masih tidak mampu mengeluarkan sebarang feromon.
“Kita semua sama di mata tuhan.” Ucap Pikasha tanpa teragak-agak, walaupun kaumnya tidak pernah mengiktiraf tentang wujudnya tuhan. Matanya masih tertancap ke semua tetamunya. Perasaan hairan masih menyelinapinya.
“Berbalik kepada tujuan saya kemari…”
“Senopati ingin memindahkan dana perbendeharaan Al-akiti ke akaun Empayar Dresanala?” Katanya gopoh. Kalau diperhatikan betul-betul, mungkin Khairul dapat melihat air liur Pikasha meleleh keluar dari mulutnya yang lebar itu.
“Bukan itu… Perkara ini akan dilakukan oleh peguam-peguam kami nanti—“
“Sudah tentu… Jadi bila peguam-peguam Empayar Dresanal akan menghubungi peguam-peguam kami?” Pintas Pikasha cepat-cepat sambil menelan air liurnya.
“Apa yang saya mahukan adalah maklumat transaksi sebuah akaun dari Al-akiti.”
“Tidak menjadi masalah. Tapi, Senopati ada nombor akaunnya?” Tanya Pikasha. Perjanjian Trookah telah membenarkan pihak yang menjajah mempunyai hak mutlak terhadap akaun-akaun mereka yang telah dijajah. Oleh kerana ini, segala maklumat boleh didapati dengan mudah.
“Akaun Hasanobrosnah 1862271-009-1991.” Ujar Khairul lancar. “Tuan sudah tentunya tahu bahawa proses penjajahan Al-akiti oleh Empayar Dresanala masih di peringkat awal…”
“Saya tahu Senopati. Tapi perkara ini hanya di antara kita berdua.” Pikasha tersenyum melirik, matanya masih ke sistem paparan di depannya. “Kami telah menjalankan urusniaga dengan Empayar Dresanala sudah berkurun-kurun lamanya sehingga kami yakin terhadap ketelusan Empayar Dresanala dalam berurus niaga dengan kami.”
“Terima kasih, tuan… Kerana memahami.”
“Ada apa-apa lagi yang tuan mahu dari kami?”
Khairul termenung sebentar. Paksi matanya tersandar ke beberapa tubuh pihak Dresanala di dalam bilik itu. Matanya tidak berkedip. Tangan kanannya dikepal-kepalkan. Dia menarik nafasnya dalam seakan-akan mengeluh seterusnya berkata:
“Saya juga mahu tuan membawa bersama kotak simpanan dari nombor akaun 9827189-8212-5462”
Pikasha tidak nampak terkejut malah mengangguk perlahan tanda mengerti. Khairul membalas dengan anggukan cepat sambil menutup mulutnya dengan tangan kanannya. Dia mengusap perlahan tepi bibirnya. Dia masih kurang pasti jika keputusan yang diambilnya tadi adalah satu keputusan yang bijak!

**

Naga mahawangsa terus mendabik dada. Ia membelah angkasa dengan megah. Dimas kesejukan walaupun pakaian yang dikenakannya agak tebal. Dari atas sana, Dimas dapat melihat keadaan banjaran Deing. Banjaran yang masih asing kepada Dimas itu, berkilauan terkena simbahan Arjuna yang membiru. Perasaan takjub tidak lagi disembunyikannya. Dia sedang dikelilingi oleh batu-batu kristal yang tajam menggunung. Ceracak-ceracak kristal tersusun indah mengimbas kilauan warna yang tak mungkin terjamah oleh mata, tidak tergambar dengan kata-kata. Kristal-kristal itu nampak utuh dan tidak pernah terhakis walaupun ia nampak rapuh jika dipandang oleh mata kasar. Apabila dia melihat ke bawah bahagian gaung yang lebih dalam, warna kristalnya berubah kebiruan. Jelas padanya kini, itu adalah kawasan simpanan kristal kiribati. Jauh di sudut keindahan itu, kilauan-kilauan perbagai warna boleh menyebabkan pening kepala jika dia melihat tepat dengan lama ke bawah sana.
Naga mahawangsa menjunam laju ke bawah. Ia menjerit dengan kuat, seakan-akan meraung seperti pontianak yang mahu menakutkan mangsanya. Bukan sahaja ini memecah kesunyian, malah mampu menggetarkan makhluk manapun yang mendengarnya. Agak menghairankan, kepaknya tidak dilebarkan sepertimana selalu. Ia sekadar melayang ke satu destinasi di bawah sana.
“Kita akan ke pengkalan, Pangeran.” Ucap Athira kepada Dimas dengan suaranya yang halus itu.
“Di mana?” Tanya Dimas dekat kepada telinga Athira.
“Di sana.” Jawab Athira. Jarinya menuding ke arah tembok kristal di hadapannya.
Dimas terkejut. Matanya melekat kepada bongkah kristal di sebuah gunung tinggi di hadapannya.
Naga mahawangsa yang sedang ditunggang oleh Wiranto dan Athir terbang jauh maju ke hadapan. Ia telah terlebih dahulu terbang menembusi tembok kristal di hadapannya seolah-olah tiada apa-apa yang menggendalakannya di sana.
Kini gilirannya pula untuk merempuh dinding kristal itu. Tanpa sekelumit rasa gentar, Athira telah membawa naga mahawangsanya masuk ke dalam pengkalan pejuang-pejuang Tonamon itu.
Dalam kelajuan itu, Dimas sempat menoleh ke belakang. Dia seakan-akan tidak percaya—dia dapati yang dia baru sahaja menembusi sebuah medan hologram. Dia menarik nafas lega. Belumpun pudar perasaan terkejutnya, dia mula kaget lagi, apabila dia memandang ke hadapan—didapatinya dia sedang berada di dalam sebuah gua besar lagi luas. Apabila diamatinya betul-betul, dia sedang berada di dalam sebuah dok kapalangkasa.
Naga mahawangsa yang ditunggangnya kini mendarat bersebelahan dengan naga yang ditunggang Wiranto. Sekali lagi, Dimas menarik nafas lega. Di depannya, ada beberapa buah kapalangkasa dengan pelbagai bentuk dan corak. Tiada satu pun yang serupa.
“Selamat datang ke pengkalan kami, Pangeran.” Ucap seorang lelaki Isbin yang sedang berdiri tegap di depannya. Wajahnya sama bengis—tak ubah seperti Wiranto. Dari geraklakunya, dia pasti seorang pahlawan Isbin, fikir Dimas. “Nama saya, Moksar. Bapa kepada Athira dan Athir.” Kata-kata awal mula mengambil tempat.
“Kenapa saya di bawa ke sini?” Tanya Dimas menagih penjelasan.
“Ini untuk keselamatan Pangeran sendiri.” Jawab Moksar dengan ringkas. Dia berjalan mendekati Wiranto. Matanya turun naik melihat susuk tubuh pahlawan Empayar Dresanala ini. Tanpa berlengah dia mula menyusun bicara—lebih kepada berbisik. Mereka berdua berbual dengan perlahan. Nampak gayanya, ada sesuatu yang penting yang sedang mereka bincangkan bersama.
Tidak berapa lama kemudian barulah Wiranto berpaling ke arah Dimas. Wajahnya jelas nampak lega. Kemudian dia berkata:
“Pangeran Cacuk selamat tiba ke Dresanala.”
“Apa?” Tanya Dimas terkejut. Dia keliru. Dia tidak faham apa yang telah diberitahunya oleh Wiranto tadi…


Bab 22

“Tarian Legong Kraton menceritakan tentang lagenda Patih Danurejo, seorang wizurai dari Planet Damarwulan yang telah menemui seorang gadis makhluk asing yang cantik, yang tidak diketahui asal usulnya di dalam sebuah kapal angkasa kecil berdekatan dengan planet yang diperintahnya. Gadis tersebut telah letakkan di dalam sebuah bilik kecil yang diperbuat dari kristal kiribati. Tanpa diketahuinya, gadis makhluk asing itu adalah seorang puteri dari planet Shattov yang cuba melepaskan dirinya dari dipaksa berkahwin dengan seorang raja tua dari planetnya sendiri. Untuk mendapatkan gadis yang dicintainya itu, Danurejo telah berperang dengan raja tersebut. Dia telah mati di dalam peperangan itu seperti mana yang telah diramalkan oleh Tri-Darma.”
-- “Keunikan seni tari Dresanala” Oleh Ratna Purnami.

Okala membawa Khairul masuk ke dalam sebuah bilik khas. Bilik tersebut diperbuat dari logam padu lagi kukuh. Apabila bilik ini ditutup, tiada sesiapapun yang boleh membukanya kecuali mereka yang memegang kunci khas kepada bilik ini.
Di dalamnya, beberapa orang pegawai bank telah menyediakan kotak simpanan—seperti yang diarahkan oleh Khairul. Kelihatan juga beberapa juadah ringan yang tersedia untuknya dan pengikut-pengikutnya.
Khairul meneliti makanan ringan yang sedia disembahkan kepadanya. Dahinya berkerut seketika. Apa yang terhidang adalah kumbang tarvis yang telah dimasak dan dikeluarkan isinya, untuk hidangan istimewa. Chef dari Giandee memang terkenal dengan hidangan makanan mereka yang sungguh lazat. Haiwan-haiwan ternakan mereka telah dimanipulasi struktur genetiknya untuk menghasilkan baka yang menepati citarasa semasa. Kumbang tarvis ini adalah contoh terbaik—ia telah diubah struktur ’gene’nya. Jelas sekarang dengan struktur yang terbaru ini, rasanya lebih lemak manis. Ini menambahkan lagi selera mereka yang menyantapnya—terutamanya jika ia dimakan hidup-hidup.
“Kamu berdua berjaga di luar.” Perintah Khairul kepada Laskarnya. Mereka menurut tanpa banyak soal. Khairul berpaling ke arah Za. Terkulat-kulat dia melihat pencuci mulut yang sedang dihidangkan di depannya. Kebanyakan makanan yang terhidang adalah serangga; dari pelbagai spesis dan rupabentuk. Apa yang melucukan adalah, Za sendiri adalah makhluk humanoid serangga.
“Jika Senopati memerlukan apa-apa, saya ada di sini untuk membantu.” Ucap Okala sambil melirik senyuman. Sungguh manis. Dia mengeluarkan arahan kepada komputer supaya menutup bilik tersebut rapat-rapat. Jelas kini, segala hubungan baik komunikasi atau hubungan secara fizikal antara bilik yang terletak beratus-ratus tingkat di bawah tanah itu dengan dunia luar, terus terputus.
“Saya mahu tahu semua transaksi secara terperinci yang pernah dilakukan yang melibatkan akaun ini.” Khairul seolah-olah memulakan satu mesyuarat. Beberapa detik kemudian, sebuah layar terpancar di hadapannya. Beberapa ratus rangkaian digit dan abjad tersusun rapi dalam bentuk 3-dimensi. Okala memilih beberapa bentuk yang ada di hadapannya dengan sentuhan jari-jemarinya yang halus itu, lantas disusunkannya menjadi satu bentuk yang unik.
Khairul seakan terpaku dengan kaedah yang agak asing baginya—satu persatu transaksi yang pernah dijalankan terpampang di hadapannya. Semuanya di dalam bentuk digit dan abjad. Khairul memahami apa yang dilihatnya, cuma dia mahu ia dibentangkan ke dalam bentuk visual yang lebih mudah untuk difahami.
“Bahagian akaun di sini,” jarinya dituding ke satu sektor di atas layar itu. “Kalau kita perhatikan betul-betul, terdapat sejumlah wang yang agak besar jumlahnya telah berpindah milik!” Khairul berlagak seperti seorang ketua audit. Yang lain hanya memerhatikan dengan penuh minat. Sesekali Okala akan mengangguk setuju. “Lihat. Semuanya jelas. Perpindahan wang dari satu akaun milik Dresanala ke akaun Al-akiti ini.”
“Betul, Senopati.” Okala tersenyum. Sesungut di kepalanya bergerak-gerak lincah. Warnanya bertukar merah. “Kalau boleh, biar saya menambah. Mungkin Senopati mahu tahu dari mana asalnya akaun dari Dresanala ini?” Tanya Okala dengan nada teragak-agak. Di memerhatikan Khairul. Ekor matanya jelas terpahat ke dada layar yang masih menterjemah beberapa digit dan abjad. Dia menunggu reaksi Khairul.
“Sudah tentu saya mahu tahu itu semua!” Ujar Khairul pantas. Dia faham benar apa yang dimahukan oleh Okala darinya. Uncang yang selama ini tersemat di tepi pinggangnya, kini di keluarkan. Dia menyerahkan uncang tersebut kepada Okala.
Tanpa berlengah, Okala memeriksa isi uncang tersebut. Di dalamnya ada sebiji kristal kiribati. Sesiapa sahaja yang melihat kristal itu akan tahu bahawasanya ia berkualiti tinggi. Saiznya agak besar juga. Kalau betul congakannya, kristal ini sudah cukup untuk menjana sebuah kapalangkasa bersaiz sederhana dan boleh menerbangkannya sejauh 250,000 tahun cahaya. Jika ia dijual di pasaran pula, sudah pasti harganya akan membolehkan Okala membeli sebuah apartment mewah di kota Giandee yang diidaminya selama ini. Begitulah hebatnya kristal kiribati yang baru dikeluarkan oleh Okala dari tempat persemayamannya.
Kerja Okala sekarang menjadi semakin mudah. Okala kini dengan cekap menggodam segala rahsia yang tersimpan di dalam sistem rangkaian komputer Bank Giandee. Apa yang dimain-mainkan di hadapannya berbentuk 3-dimensi. Ini kerana kaum Tuncai dari Giandee ini berfikir di dalam bentuk tersebut. Tulisan mereka serta teknologi yang mereka ada telah diasaskan dalam struktur 3-dimensi.
“Nah! Semuanya sudah terjawap. Dana-dana yang dipindahkan ke dalam akaun Al-akiti ini berasal dari sebuah akaun di Dresanala… Sebuah akaun dari sebuah syarikat perlombongan. Kamu tahu apa-apa tentang hal inikah?”
“Tidak. Tapi, apa nama syarikat itu?. Saya hanya perlukan namanya sahaja.” Pinta Khairul tergesa-gesa.
“Syarekat Perlombongan Joglosemar .” Ujar Okala dengan matanya membaca di layar. Khairul menyerahkan kepadanya sebiji Infocrystal, dan sebiji lagi kristal kiribati sebagai hadiah bonus. Okala menyambutnya dengan matanya bersinar-sinar. Okala faham apa yang dimahukan oleh Khairul darinya—supaya dia memindahkan informasi ini ke dalam Infocrystal tersebut sebagai bukti. Ini bakal digunakannya bila tiba masanya nanti.
Tak lama masa yang diambil untuk memindahkan maklumat itu. Okala telah menyerahkan Infocrystal yang padat dengan bukti-bukti yang diperlukan Khairul. Kini semua semua informasi itu telah dipindah naik ke dalam biji kristal tersebut. Sekonyong-konyong itu juga Khairul menyusun kata berterima kasih kepada Okala, lalu memasukkan kristal tersebut ke dalam poket kecil jaketnya. Poket tersebut tertutup rapat untuk menyembunyikan kristal itu. Ini adalah langkah keselamatan kerana, kalau ia tidak disembunyikan ia boleh diimbas dan kewujudannya boleh dikesan.
“Itu sahaja yang saya perlu lakukan buat masa ini. Kalau ada apa-apa lagi, kita akan berurusan di lain waktu.” Ucap Khairul kepada Okala.
“Saya faham, Senopati. Saya sedia membantu lagi jika diperlukan.” Sambut Okala sambil tertunduk hormat. Matanya menjeling ke arah peti simpanan yang dipinta oleh Khairul tadi. Dia tahu bahawa peti simpanan itu berusia lebih tujuh ratus tahun. Jarang terdapat makhluk yang dikenalinya yang boleh hidup selama itu, kecuali makhluk Kuak dan Lakodo, jadi tidak banyak terdapat peti simpanan setua itu yang masih aktif di dalam simpanan bank ini. “Jika Senopati mahukan apa-apa lagi… Saya ada menunggu di luar.”
Khairul mengangguk faham. Pintu dengan cepat terbuka sebaik sahaja Okala bergerak menghampirinya, tertutup setelah Okala berlalu.
“Tuan sudah dapat apa yang tuan cari?” Tanya Za kini.
“Ya…” Ucap Khairul dengan nada penat. Dia duduk di atas sebuah kerusi logam yang terus membentukkan dirinya kepada bentuk ergonomik makhluk yang duduk di atasnya—supaya mereka dapat duduk dengan selesa.
“Jadi, mengapa tuan nampak risau?”
“Masakan aku tak risau! Aku kenal sangat dengan orang-orang yang mendalangi konspirasi yang sedang kita siasat ini.”
“Jadi apa masalahnya?”
“Perkara ini adalah jauh lebih besar dari yang kita sangka. Mereka ingin mengambil-alih Empayar Dresanala. Jika kita silap langkah, satu lagi peperangan Barathayudha akan meletus tidak lama lagi!”
“Maksud tuan?” Ada tanda-tanda gusar di dalam suara Za.
“Peperangan saudara akan berlaku. Ini tak sepatutnya berlaku. Peperangan seperti ini perlu dielakkan.”
“Betul, tuan. Saya juga pernah membaca tentang peperangan Barathayudha yang pernah meletus dahulu. Tak terkira, betapa banyaknya nyawa yang terkorban.” Za meminati sejarah. Walaupun dia membenci Empayar Dresanala, sejarah empayar ini telah banyak dikajinya. Mungkin inilah diantara faktor mengapa dia telah dipilih diantara ramai-ramai pegawai tentera Ur’dakh di dalam proram pertukaran pegawai di antara Ur’dakh dan Empayar Dresanala.
“Aku takut kelak Empayar Dresanala akan kucar kacir dan terbahagi kepada dua bahagian seperti dahulu. Mereka yang menyokong pihak Maharaja dan mereka yang menyokong pihak yang menentang Maharaja.” Ucap Khairul. Dia bagai bersyarah mengenai sejarah silam. Dia mengeluh panjang. Dia memegang permukaan berwarna putih peti simpanan yang ada di hadapannya.
Peti tersebut terasa dingin—sedingin dan sesepi perasaannya yang sedang dirasakannya pada saat itu. Kesepian itu ditambah dengan percaturan mindanya tentang masa depan Empayar Dresanala jika perang ini benar-benar berlaku. Apakah kesudahannya?

**

Dimas dipersilakan masuk ke dalam markas pejuang Tonamon oleh Moksar. Dia dapat melihat bahawa bilik tersebut nampak sibuk. Semua dalam keadaan bersedia, termasuk sistem maklumat dan lain-lain, semua dalam keadaan berjaga-jaga. Seolah-olah peperangan akan meletus pada bila-bila masa sahaja. Yang ramai ada di dalam markas tersebut adalah kaum Isbin. Beberapa kerat manusia Bumi juga mundar mandir ke sana kemari. Mereka nampak sibuk dengan tugas masing-masing, tapi mereka masih tenang dalam kesibukan itu.
“Saya masih tak faham mengapa saya perlu dibawa ke sini.” Dimas menyuarakan ketidakpuasan hatinya kepada Wiranto.
“Sebenarnya saya sendiri telah diprogram oleh mereka untuk membawa Pangeran ke sini.” Jawab Wiranto tersipu-sipu. Sukar rasanya untuk menjelaskan kepada Dimas bahawa dia tidak mampu melawan sesuatu arahan yang telah diprogramkan ke dalam kepalanya. Dia hanya menurut perintah sahaja—bagaikan boneka.
“Siapa yang programkan?”
“Mereka…” Wiranto menjeling pantas kepada pejuang-pejuang Tonamon di hadapannya. Mereka semua masih sibuk melakukan kerja masing-masing. Beberapa buah obor-obor Ibeni sedang membantu mereka menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan.
“Bapak saya masih hidup?” Dimas mengajukan soalan yang sama seperti yang disoalnya kepada Moksar tadi, kali ini kepada Wiranto. Soalannya ini masih tidak terjawab oleh mereka tadi.
“Ya, kami telah merancangkan segala-galanya… Kami telah memastikan supaya beliau kelihatan seperti telah mati dibunuh. Bukan satu perkara yang sukar kerana ramai yang mahu seorang Raja Muda dari Empayar Dresanala supaya mati dibunuh. Ramai yang mahu melihat empayar ini tumbang!” ucap Moksar menjawab bagi pihak Wiranto. Moksar barangkali adalah pahlawan spesies Isbin yang agam, hebat dan berbisa. Suaranya keras dan tegas.
“Jadi dia di mana sekarang?”
“Pangeran Cacuk sedang berada di kota Surakarta Baru. Beliau telah diseludupkan ke sana setelah kami berjaya membawanya keluar dari Deutah.” Sampuk Wiranto.
“Kini pihak Empayar Dresanala sendiri telah dengan rasminya memberitakan tentang ‘kemangkatan’ Pangeran Dimas ke semua saluran propagandanya.” Sambut Moksar pula.
“Kenapa pula saya dan bapak saya perlu ‘mati’?”
“Kerana mereka mahu pengganti Maharaja Hamengkubuwono terdiri daripada golongan mereka sendiri.”
“Siapa mereka?”
“Kami tidak dapat mengenal pasti lagi identiti mereka sebenar dan siapa ketua mereka… Kami cuma tahu bahawa mereka adalah ahli dari Kumpulan Panah Hitam .”
“Apa yang mereka mahukan?”
“Mereka mahu menguasai Empayar Dresanala.” Moksar menjelaskan. Matanya berkelip dengan selaput matanya menutup kedua biji bebola matanya buat seketika seperti selaput mata kucing. “Bertolak dari dhamir yang jelas, kami rasa kami patut melakukan sesuatu untuk menyelamatkan nyawa-nyawa mereka yang tidak berdosa yang mungkin akan terkorban jika kami biarkan sahaja perkara ini dari berterusan.” Mereka telah memusnahkan sebuah kota terapung mereka sendiri. Makhluk gila mana yang sanggup melakukan keganasan tidak berasas seperti ini?
“Perkara apa? Saya tak faham!”
“Ada beberapa pihak yang mahu Maharaja Hamengkubuwono digantikan dengan segera. Dengarnya baginda mahu meminda perlembagaan serta memberi kebebasan kepada kaum Isbin. Mereka cuba melemahkan pemerintahan Empayar Dresanala dengan mengadakan kempen keganasan ke atas Dresanala!”
“Jadi apa salahnya jika kaum Isbin diberi kebebasan?”
“Ramai yang berkuasa takut satu hari nanti, disebabkan oleh perkara ini, lebih banyak akta-akta di dalam perlembagaan akan digubal semula sehingga nanti bukan sahaja kaum Isbin bebas melakukan apa sahaja yang mereka mahu sebagai makhluk yang bebas, malah mungkin jua satu hari nanti golongan android juga mempunyai hak mutlak tertentu seperti orang lain.” Mosar menjelaskan panjang lebar. Tubuhnya yang berwarna biru dan tinggi itu jelas nampak sasa.
“Saya tak faham kenapa golongan android perlu diberikan kebebasan. Kebebasan apa lagi yang mereka mahu?” Tanya Dimas bertanya berbaur hairan. Dia berhenti sejenak untuk berfikir. Dia hampir-hampir terlupa bahawa Wiranto bukan seorang manusia bernyawa. Dia seorang android. Dia gusar yang Wiranto akan menyalahtafsirkan kata-katanya dan berasa tersisih pula. Dia harus hati-hati menyusun kata.
“Android-android seperti saya bukan mahu kebebasan untuk bersuara atau mengundi. Bukan itu semua. Kami ingin kebebasan supaya kami tidak dihidupkan kembali! Itu yang kami inginkan, tak lebih dari itu.” Jelas Wiranto sebelum dia memandang ke arah Moksar. Keikhlasan berbait di matanya yang berkaca. “Mungkin kedudukan kami lebih baik dari seorang hamba abdi seperti kaum Isbin… Tetapi kami tetap diperhambakan. Semuanya sama saja!”, Pandangan matanya jelas kekosongan, seperti seperti mengukir bicara dan mengharap belas ehsan.
“Tetapi seorang android dan seorang makhluk adalah lain kejadiannya. Seorang makhluk bernyawa—“
Moksar memandang ke arah Wiranto. Dia nampak keliru. Tetapi wajah Wiranto tidak berubah, masih bersahaja. Kemudian dia bertanya kepada Wiranto:
“Dia masih tak tahu lagi?”
“Tahu apa?” Dimas meminta penjelasan, dia dapat melihat wajah Wiranto kini berubah sama sekali. Matanya dipakukan kepada Moksar pula—Moksar pula membatu. Anak matanya jenak melihat Moksar. Wiranto nampak serba salah. “Apa yang saya tidak tahu lagi?” bentak Dimas. Moksar dan Wiranto jelas tidak mengerti apa yang akan dimuntahkan dari mulut mereka kali ini. Mereka teragak-agak.
Moksar dan Wiranto berdiam diri agak lama. Tiada kata-kata yang terpacul dari mulut mereka. Moksar memandang mata Dimas dalam-dalam. Dia cuba meneka apa yang tertanam di benak fikiran Dimas.
“Mungkin tak ada sesiapa yang beritahu kepada dia… Termasuk Senopati Khairul.” Jelas Wiranto kepada Moksar.
“Dah berapa kali saya katakan, beritahu apa?” Tanya Dimas kini. Suaranya agak tinggi, rakus menanti jawapan. Dia sudah jelak untuk berteka-teki. Dia inginkan jawapan yang hakiki, dari apa yang terselindung.
“Pangeran adalah… Pengeran sebenarnya seperti saya. ” Sambut Wiranto lemah. Kata-katanya keluar sebutir demi sebutir, bagai meluah satu bebanan yang sudah lama digalas.
“Seperti apa?” Tanya Dimas meminta kepastian. Dia melontar pandangan ke arah Moksar. Moksar memandang tepat ke arah Dimas. Sejak dari mula lagi dia telah mengetahui tentang keadaan sebenar Dimas. Sejak mereka bertemu muka, dia telah menggunakan deria baunya yang kuat itu untuk menghidu sebarang feromon yang mungkin datangnya dari Dimas—akan tetapi Dimas tidak mengeluarkan sebarang feromon seperti mahkluk-makhluk lain yang bernyawa.
“Pangeran juga seperti saya… Android yang tidak bernyawa. Mayat hidup yang mampu berkata-kata!” kata Wiranto. Dia lebih lancar berbicara sekarang. Dia seperti tidak takut lagi untuk menyakiti perasaan Dimas.
“Apa pulak? Abang jangan berkata sebarangan. Saya bernyawa. Saya manusia biasa. Saya bukan android!” Dimas bagaikan tidak mampu mengawal perasaannya. Terasakan seolah-olah langit tebal yang dijunjung selama ini jatuh ke atasnya. Pandangannya berpinar dan semakin kelam.
“Itu yang Pangeran fikirkan selama ini?” tanya Wiranto meminta kepastian. Nadanya penuh sinis. Dia mencapai keris di belakangnya. Keris tersebut dihunus deras ke tubuh Dimas. Dia menikam perut Dimas. Dimas tidak sempat mengelak. Sememangnya dia tidak menyangka Wiranto akan bertindak sekejam ini kepadanya.
Mata Dimas terbeliak menahan pedih. Urat matanya yang merah menampakkan lagi keperitannya. Dia tidak dapat mempercayai mahupun menerima apa yang baru sahaja dilakukan oleh Wiranto kepadanya. Dia melihat wajah Wiranto sungguh bersahaja ketika menikamnya. Seolah-olah dia sedang menikam sebuah patung yang tidak bernyawa—sungguh bersahaja, tanpa tanda kasih belas.
Dimas bergelut dengan kesakitan yang amat sangat. Keris Wiranto masih tertanam di perutnya. Matanya dan mata Wiranto bertentangan. Anak mata Wiranto memancar beberapa cahaya kecil yang berkerdipan dengan cepat untuk menghidupkan perisian asas android yang ada di dalam diri Dimas. Dalam masa yang sama, Wiranto mencabut kembali keris dari tubuh Dimas.
Dimas bagaikan bermimpi—rasa sakit yang dialaminya tadi hilang dengan serta-merta. Dia meraba-raba bahagian yang telah ditikam Wiranto tadi. Dia mendapati kesan lukanya sedikit demi sedikit hilang dari pandangan mata.
Darah merahnya menitik ke atas lantai. Wiranto mengambil kerisnya dan laju menghayun langkah ke arah komputer yang terdekat. Ia mengarahkan komputer supaya melakukan imbasan elektron kepada contoh darah Dimas, lalu membesarkan imej hemobloginnya.
Hemoblogin Dimas yang bersaiz mikroskopik itu kini dipancarkan di hadapan mereka melalui pancaran Holocom.
“Perbesarkan lagi sebanyak sepuluh kali.” Perintah Wiranto. Kini bahagian tepi hemoblogin kelihatan jelas seperti sebiji boya besar.
Dimas kini dapat melihat sendiri apa yang hendak dipersembahkan kepadanya oleh Wiranto. Dia jelas terkejut. Dia cuba memahami apa yang ada di depannya. Dia dapat melihat tulisan-tulisan asing di atas permukaan hemobloginnya.
“Nanobot yang menyerupai hemoblogin. Tubuh Pangeran penuh dengannya.” Jelas Wiranto. “Saya boleh dapatkan Holocom supaya memeriksa eukariot Pangeran jika itu yang Pangeran mahu… Kerana di dalam untai ID Pangeran pasti ada disebutkan nama syarikat yang membina jasad Pangeran ini. Tapi kita tidak perlu lakukan itu semua, bukan?” Wiranto mengakhiri kata-katanya dengan nada yang sinis. Cepat-cepat dimatikannya paparan hemoglobin Dimas.
Dimas kaku.
Wiranto tidak dapat menafikan bahawa tubuh Dimas telah dibina dengan sebegitu baik dan teliti. Mungkin lebih baik dari yang mampu dibina di Dresanala. Rumusannya itu berdasarkan kebolehan jasadnya itu untuk mengalami proses penuaan. Tubuh-tubuh buatan Dresanala tidak dapat meniru kelebihan ini, atau mungkin perkara ini disengajakan, Wiranto sendiri kurang pasti. Apa yang pasti baginya sekarang, tahap kepantasan tubuh Dimas memperbaiki luka tusukan kerisnya tadi, sungguh menakjubkan.
“Ini semua satu kesilapan yang besar!” tegas Dimas. Nyata sekarang, dia belum dapat menerima kenyataan bahawa dia bukannya seorang manusia, atau sekurang-kurangnya seorang manusia yang masih hidup. Selama ini dia sendiri sedar bahawa dia berperasaan, dan sifat-sifatnya lengkap sebagai seorang manusia normal. Segala perasaan yang dialami oleh seorang manusia normal dapat dialaminya juga. “Bila pula saya mati? Tolong beritahu saya bila kejadian ini berlaku… Jika ia benar-benar belaku!”
“Ketika itu kau berusia 10 tahun.”
“Di mana?”
“Di planet Bromolox IV . Pangeran telah terbunuh di sana… Di dalam satu serangan bio-plasma dari sejenis semut labah-labah yang telah menyerang ibu Pangeran dan Pangeran sendiri.” Wiranto cuba mencongak data-data lampau yang boleh dikongsi dengan Dimas. Dia faham, dalam keadaan sebegini, segala informasi berguna harus dikongsi, bukan disembunyikan. Ini boleh menambah yakin Dimas untuk menerima fitrahnya sebagai android, sama seperti dirinya.
“Tetapi siapa yang memberitahu abang tentang hal ini?”
“Senopati Khairul… Dia tidak pernah merahsiakan apa-apa dari saya, Pangeran.” Jawab Wiranto. Khairul telah menceritakan perkara ini dengan panjang lebar ketika mereka di dalam perjalanan ke Dresanala dari Deutah.
Dimas termenung buat beberapa ketika. Kepalanya terlalu berkecamuk dan berserabut. Dia tidak dapat berfikir dengan betul. Akhirnya kini semua sudah pasti—seolah-olah dia baru dikejutkan dari mimpi buruk yang berlarutan. Peluh jantan meniti kening, dibiarkannya sahaja.
“Saya tak mungkin telah mati. Saya masih ingat segala-galanya yang telah berlaku pada waktu itu.” Dimas masih ingin menegakkan benang basahnya. Dia belum akur akan kejadiannya. Dia belum boleh menerima kenyataan.
“Apa yang ada di dalam fikiran Pangeran telah diprogram. Segala-galanya yang ada di situ telah dipindah turun dari apa yang terdapat di dalam kepala jasad Pangeran yang telah mati, terlebih dahulu.” Wiranto menjelaskan. Matanya jelas bersimpati. Tangan kanannya lekas menepuk perlahan bahu Dimas. Dia faham akan perasaan yang dialami oleh Dimas kini. Perasaannya sendiri pernah terganggu apabila mendapat tahu bahawa dia telahpun mati dan dihidupkan semula buat pertama kalinya—sebagai sebuah android yang menyerupai jasadnya ketika dia masih hidup.
“Tak mungkin… Apa yang saya ingat, semut labah-labah di Bromolox IV hanya menyerang ibu saya sahaja!” Kata Dimas dengan pasti. Dia tidak mahu berganjak walau seinci pun. Dia masih mengingati peristiwa itu dengan jelas di dalam fikirannya seolah-olah ia baru berlaku semalam.

Ketika itu, ibu dan bapanya sedang berada di Bromolox IV, sebuah planet di sektor Duryudana yang telah lama tidak berpenghuni. Planet tersebut pernah satu ketika dahulu dihuni oleh sekumpulan makhluk yang telah mencapai era pasca-moden, tetapi tamadun mereka terus lenyap sama sekali dengan tiba-tiba.
Cacuk dan isterinya, Sinta Wulansari telah ke sana dengan tujuan untuk melakukan kajian terhadap peninggalan-peninggalan sejarah yang terdapat di planet tersebut—terutamanya di dalam bidang arkeologi bio-perubatan yang mereka ceburi. Mereka mengkaji bahan-bahan peninggalan sejarah dan bahan-bahan perubatan yang pernah digunakan oleh kaum Bromolox IV yang telah pupus sejak 25,000 tahun dahulu itu.
Pada waktu itu, Cacuk, Sinta, Khairul dan Dimas berempat sahaja yang berada di sebuah kota, di bahagian hemisfera utara planet tersebut.
Ketika itu, Sinta sedang menjalankan kajiannya di sebuah bangunan hospital yang usang, Khairul dan Cacuk pula sibuk menjalankan kajian terhadap beberapa contoh ubat-ubatan yang dapat mereka kumpulkan di dalam makmal mereka.
Dimas ada bersama Sinta. Tatkala itu, dia telah dibiarkan bermain sendirian di dalam bangunan hospital yang telah lama ditinggalkan itu. Ketika sedang bermain, dia telah terusik sebuah sarang semut labah-labah.
Keadaan yang sebelumnya aman bertukar menjadi cemas kerana beribu-ribu semut labah-labah telah menyerang, lalu menyengat tubuh Dimas. Sinta tanpa berfikir panjang terus mendapatkan Dimas untuk cuba menyelamatkan nyawa anaknya itu.
Dimas meronta-ronta, antara menahan kesakitan dan meminta pertolongan. Sinta cuba mendekati Dimas, tetapi mereka sendiri telah disengat serangga berbisa itu. Racun dari serangga berbisa ini ternyata mengandungi toksik dan mampu membunuh dengan dengan cepat. Belum sempat Khairul dan Cacuk datang membantu, Dimas dan Sinta ternyata tidak dapat diselamatkan lagi. Dia lebih dulu menemui ajalnya, dan serangga itu masih berkeliaran di badan mereka berdua, memamah daging mereka sehingga separuh hancur.
Pada saat itulah Cacuk mula sedar bahawa pada satu ketika dahulu, serangga inilah yang telah menjadi menyebab kepada kemusnahan kepada kaum Bromolox IV. Menurut teorinya, kaum Bromolox IV telah menggunakan sejenis bahan kimia untuk memusnahkan serangga perosak ini, sehinggalah pada satu hari serangga ini mengalami proses evolusi dengan mendadak untuk memantapkan bakanya. Ia berjaya mencipta baka yang mampan kepada bahan kimia yang digunakan selama ini untuk memusnahkannya. Dalam masa yang sama, perubahan genetik yang berlaku telah menyebabkan semut labah-labah ini mempunyai keupayaan untuk menyerang musuhnya dengan racun bio-plasma. Racun bio-plasma ini dengan cepat berubah menjadi satu wabak penyakit yang tidak dapat dibendung lagi, apabila racun ini bertindak balas dengan fisiologi tubuh kaum Bromolox IV. Racun ini ternyata telah mengubah bentuk organisme seni yang wujud di dalam tubuh kaum Bromolox IV di dalam bentuk retrovirus. Retrovirus ia kemudian telah bertindak seperti parasit di dalam DNA mereka. Sejenis parasit yang begitu merbahaya sehingga ia telah mengubah struktur kod genetik mereka.
Dalam masa yang begitu singkat, kesemua penduduk Bromolox IV yang dianggarkan seramai 5 billion orang itu telah didapati hilang segala immunisasi mereka kepada pelbagai jenis penyakit dan inilah yang menyebabkan mereka semua pupus sama sekali.

“Bila saya telah dihidupkan semua?” Tanya Dimas setelah agak lama dia berdiam diri. Aku manusia biasa. Ini semua hanya permainan mereka semata-mata. Mereka hanya mahu mengelirukanku.
“Dua tahun yang lepas…” Jawab Wiranto mengikut maklumat yang didapatinya dari Khairul.
“Mana abang tahu ini semua?” Tanya Dimas. Wajahnya jelas terkejut. Kenapa Senopati banyak berahsia dariku? Entah apa lagi yang disimpannya dariku sehingga kini!
“Ada tertulis di dalam untai ID Pangeran tarikh, nama syarikat, nama tempat dan model tubuh Pangeran…” Dengan bersahaja Wiranto menjawab. Walaupun pada mulanya dia rasa rasa tidak perlu dia mendedahkan semua maklumat ini kepada Dimas. “Pangeran telah dibina dua tahun lepas di planet Husson oleh syarikat Kejuruteraan Genetik Uneeat. Model Draku VII. Model yang terbaik dan yang termahal yang mereka ada.”
Dimas menelan kata-kata yang tersembur dari mulut Wiranto. Dia mula sedar bahawa mungkin apa yang dikatakan oleh Wiranto ada benarnya. Walau ini semua kelat untuk ditelan, Dimas terpaksa akur terhadap apa yang ada di depannya sekarang. Dia harus tunduk kepada kebenaran yang selama ini kabur.
“Cuba Pangeran ingati kembali apa yang telah berlaku kepada Pangeran ketika berusia diantara 11-16 tahun.” Tanya Wiranto.
Dimas dapati apa yang diingatinya adalah memori yang nampak kabur, seolah-olah data-data itu sudah berselaput dek lumut. Dia cuba berfikir jauh, tetapi sukar untuk dia mengingati apa-apa. Tetapi senang pula baginya untuk mengingati segala apa yang berlaku kepadanya sejak dua tahun yang lalu. Dimas lebih bingung dibuatnya.
Dimas tertunduk buat beberapa ketika. Matanya terpaku ke lantai. Dia masih lagi tidak faham mengapa makhluk yang lengkap kejadiannya sebenarnya hanyalah sekadar sebuah android—dia tak mengerti.
“Saya mahu tahu… Jika saya ini seorang manusia. Masakan saya bukan manusia! Saya punya segalanya. Saya punya hati, perasaan… Saya manusia!” Suara Dimas tersekat-sekat. Dia masih ingin semua tahu yang dia manusia walau terlalu banyak bukti dipersembahkan di depannya—dia bukanlah manusia sebenar. Suaranya terketar-ketar kesedihan. Tangannya menggigil, seolah-olah dia kesejukan. Matanya jernih dibalut air mata yang kini perlahan-lahan jatuh ke pipinya. Perasaannya jelas bergelut dengan kesedihan, antara percaya dengan tidak.
“Pangeran bukan seorang manusia. Pangeran sebuah android yang tidak bernyawa.” jelas Wiranto dengan penuh ikhlas tanpa mahu berselindung. Wiranto faham akan kesedihan yang bersarang di jiwa Dimas. Dia pernah merasakannya. Dia tak mampu bertentang mata dengan Dimas.
Titis air mata Dimas terhempas pecah di lantai. Andai lantai itu mampu bersuara, nyata ia akan melakar dan melaung bicara sedih untuk dipaparkan—buat renungan semua makhluk android lain untuk memahami, siapakah mereka di sebalik jirim-jirim yang disulam indah dalam membina seorang “manusia” yang sempurna.
“Kalau saya sekadar sebuah android… Bagaimana dengan perasaan yang saya rasakan selama ini? Bagaimana perasaan sedih yang teramat, yang saya rasakan sekarang ini?” Tangan Dimas dilekapkan ke mukanya. Basah airmatanya tak dapat dibendung lagi. Dirapatkan dirinya ke dinding. Kepalanya dihantuk perlahan. Dinding ditepuknya. Wiranto membiarkan sahaja.
“Semuanya adalah hasil tindak balas program di dalam kepala Pangeran. Tidak lebih dari itu.”
“Bagaimana pula dengan sembahyang saya? Doa-doa yang sentiasa panjatkan kepada tuhan? Munajat saya di malam-malam yang terlalu sukar untuk saya lalui… Apa itu semua? Kalaulah jiwa saya ini kosong tanpa roh, apa makna segala ibadat saya. Apa gunanya semua itu? Adakah saya ini juga makhluk Tuhan atau sebaliknya? Kenapa ini semua tak difikirkan oleh mereka?” tanya Dimas bertubi-tubi. Air matanya deras mengalir. Dia tidak faham mengapa jika Khairul tahu bahawa dia adalah sebuah android, (dan Khairul sendiri adalah sebuah android), dia tetap menekankan kepada Dimas, supaya Dimas tidak meninggalkan solat lima waktunya dan ibadat lain untuk meneguhkan benteng rohaninya.
“Apa erti semua ini? Jika sebuah android seperti saya berbuat baik dan melakukan segala perintah agama… Bila saya mati, adakah saya akan masuk syurga? Atau, saya boleh memilih untuk tidak percaya akan kebaikan dan hidup dengan penuh kemungkaran—sebab saya tahu saya akan hidup semula dan mampu untuk memperbaiki kejahatan itu! Bagaimana nak menjelaskan perkara ini. Ini bukanlah satu kekeliruan, cuma saya ingin tanyakan, adakah android itu sendiri tersepit antara ketemadunan manusia sehingga membelakangkan pencipta sekalian makhluk dan semesta alam; yang maha besar dan Esa.” Dimas naik berang. Dia masih mampu mengawal amarahnya. Apa yang diutarakannya jelas ada kebenarannya.
“Saya tak tahu, Pangeran. Apa yang saya tahu, Pangeran hanya sebuah mesin organik yang tidak jauh berbeza dengan sebuah droid mekanikal.” Wiranto mengeluh lesu. Dia kehabisan kata-kata. Dia memandang ke arah Moksar yang hanya diam memerhatikan Dimas sejak tadi. Moksar tidak berkata-kata, berdiri seperti patung sejak tadi.
“Jika saya sudah mati… Mengapa perlu saya dihidupkan semula? Kenapa?” Tanya Dimas dengan nada perlahan. “Kenapa tak biarkan saya pergi “bertemu” Tuhan yang selama ini saya hambakan diri untuk-Nya? Saya tak perlukan ini semua, saya tak perlu untuk kembali untuk mengulangi kepincangan yang pernah saya lakukan. Dan saya tak ingin pulang untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Saya sudah lakukan itu semua, saya sudah terlalu bersedia untuk mati!” Dimas menyambung. Dia sedar bahawa kata-katanya ada bau takbur, tapi semua faham akan maksudnya.
“Kerana menurut Senopati Khairul, Pangeran Cacuk tidak mampu hidup bersendirian tanpa anak dan isterinya. Mungkin sebab itulah Pangeran telah dihidupkan semula.”
“Kenapa ibu saya tidak dihidupkan semula. Kenapa hanya saya? Tak pernahkah terfikir oleh mereka, mungkin saya perlukan ibu saya di sisi saya!”
“Kerana ibu Pangeran sejak dari mula lagi menentang sekeras-kerasnya kejadian seperti kami ini. Dia tidak mungkin mahu dirinya dihidupkan semua…” Jelas Wiranto.
“Dan bagaimana pula dengan kehendak saya? Pernah tercatat di mana-mana yang menyatakan saya taksub untuk ‘pulang’ semula sesudah roh dicabut dari tubuh saya? Apa alasan kamu sekarang? Apa?” Dimas berhujah tiada henti. Dia berkeadaan marah. Tetapi dia sememangnya berhak untuk meluahkan perasaan marahnya.
Wiranto kekontangan kata-kata.

Walau kata tak tersambung, walau nafas tak terhembus... Hamparan harapan masih bertaut di bait-bait kenangan yang kini semakin terbanam di celah-celah sejarah yang berlipat dan berlumut. Dimas berlutut di depan bebola mata yang masih bingung melihat gelagatnya. Kedua tangannya memaut anak-anak rambut yang lenjun dibasahi peluh. Matanya bergenang dengan seribu persoalan, antara jasadnya yang nyata dan perasaannya yang ingin mendekati penciptanya. Di mempersetankan fikiran tentang kaum yang terlalu bijak dalam menghidupkannya dan mematikannya. Yang paling hakiki di sudut hatinya ialah, dia ingin dekat kepada penciptanya yang terawal dan pencipta yang mengurniainya kematian untuk kali pertama. Tuhan yang masih tebal dihatinya di mana, dari Dia Dimas dicipta, dan kerana Dia Dimas kembali.

"Setiap jirim dalam tubuhmu telah dibina menyerupai manusia di dalam setiap segi kejadiannya… Tetapi kamu terlalu sempurna untuk dipanggil makhluk tuhan. Setiap ciptaan tuhan, pasti ada kekurangannya. Dan kekurangan itulah yang membuatkan kita istimewa.” Jelas Moksar, menekankan kepada Dimas kepercayaan agamanya sendiri.

Dimas terus mendiamkan dirinya. Dia masih keliru dengan kejadiannya. Mungkin dia akan terus keliru sampai bila-bila!


Bab 23
Beberapa ribu tahun selepas kaum Isbin mula meneroka galaksi mereka, kaum Isbin ini telah terbahagi kepada dua buah kelompok yang berlainan. Dua buah kerajaan telah terbentuk, iaitu Kerajaan Lama (Planet Isbin) dan Kerajaan Baru (Planet Judrael). Beberapa ratus tahun selepas dua kerajaan ini dibentuk, ia telah ditawan oleh dua buah kuasa besar. Kerajaan Lama telah ditawan oleh kaum Gassobah lantas Isbin kehilangan kuasa politiknya serta pengaruh keagamaannya. Kerajaan Baru pula telah ditawan oleh kaum Adratri, ia juga mengalami nasib yang serupa seperti Isbin. Kuil-kuil mereka telah dimusnahkan dan mereka telah dijadikan hamba, lalu ramai diantara mereka yang telah dipaksa untuk bekerja di sebuah koloni perlombongan Adratri yang bernama Klaos. ‘Perhambaan Isbin’ ini telah berlaku selama lebih 322 tahun lamanya sehinggalah kaum Adratri sendiri telah membebaskan kaum Isbin dari cengkaman perhambaan. Apabila mereka bebas, Kerajaan Baru telah membina semula kuil-kuil agama mereka yang telah dimusnahkan, maka diteraskan kembali segala apa yang pernah dilupuskan dahulu. Manakala Kerajaan Lama pula terus ditakluk di dalam satu tempoh yang agak lama (1298 tahun) sehingga menyebabkan budaya, bahasa serta agama kaum Gassobah banyak mempengaruhi rumpun masyarakat Isbin dari Kerajaan Lama ini. Disebabkan oleh faktor ini, rumpun kaum Isbin telah terbahagi dengan lebih jauh lagi, sehinggalah pada satu ketika, lahirnya Seguiri yang telah menyatukan kedua-dua rumpun dari Isbin ini…
-- Petikan dari buku: Hikayat Sejarah dan Xenobiologi Kaum Isbin oleh Mochtar Ikranagara.

Khairul termenung. Pandangannya dilontar jatuh jauh ke angkasalepas. Di tepi matanya dia dapat mengimbau pemandangan planet Giandee yang baru sahaja ditinggalkannya. Khairul menarik nafas. Dia terus melayan fikirannya.

Khairul memprogramkan komputer Baladewa-x supaya melakukan lonjatan ke dalam hyperruang untuk berlayar pulang ke Dresanala. Pengiraan koordinat dilakukan oleh obor-obor Ibeni sebelum dia diberitahu bahawa perjalanan ke sistem Arjuna itu akan mengambil masa selama 77 jam. Satu perjalanan yang jauh, walaupun mengikut standard pesawat kelas Baladewa ini.
Jalur-jalur bintang yang panjang di hadapannya menandakan bahawa Baladewa-x telahpun masuk ke dalam hyperruang. Obor-obor Ibeni kini mengambil alih untuk melakukan pelbagai pengiraan yang kompleks untuk memastikan bahawa Baladewa-x dapat melungsur di dalam hyperruang di dalam keadaan yang selamat.

Khairul bingkas bangun dan terus meninggalkan anjung Baladewa-x. Dari tadi, Za memerhatikan gerak-gerinya itu. Za dapati Khairul tidak banyak bercakap sejak dia keluar dari bangunan ibupejabat Bank Giandee.
Khairul masuk ke bahagian tengah Baladewa-x. Di sana dia telah melabuhkan pinggulnya ke kerusi yang ada. Kotak simpanan yang telah dikeluarkannya dari Bank Giandee, terletak di atas meja di hadapannya.
“Tuan, apa tindakan tuan seterusnya apabila kita tiba di Giandee nanti?” tanya Za sejurus memasuki kabin-rehat Baladewa-x. Kepalanya yang kecil seperti serangga pepatung itu bergerak-gerak kaku.
“Aku akan meyerahkan bukti-bukti yang terkumpul kepada Raden Adipati Jiwo Negroho. Tetapi mungkin ini semua suudah terlewat.” Dahi Khairul terkerut seribu. Dia nampak risau. Tangannya seolah-olah tengah mengira sesuatu di dalam kelesuannya itu.
“Kenapa pula tuan berkata begitu?” balas Za. Matanya yang besar itu terpaku ke atas kotak simpanan di atas meja. Kotak itu menjemput seribu tanda tanya darinya. Dia tidak pula berani menanya. Mungkin belum tiba masanya.
“Kau tak perasan tadi?”
“Perasan apa? Apa maksud tuan?”
“Bila kita berlepas tadi… Tak ada sesiapa pun menghalang kita. Tiada apa-apa sekatan. Tak ada pembunuh upahan. Tiada apa-apa pun!”
“Bukankah bagus begitu?”
“Tidak!” jawab Khairul sambil mengeluh. “Aku dapat rasakan—bukti yang bakal kita serahkan nanti mungkin tidak berharga lagi.”
“Tapi kenapa?”
“Apa gunanya bukti yang kita ada jika mereka sudah mula menghujani Dresanala dengan serangan?”
“Mereka akan menyerang Dresanala?”
Khairul mengangguk lemah. Matanya terpasak ke pandangan Za, yang masih keliru mencari jawapan. Khairul mengulit fikirannya—kemungkinan peperangan semakin tebal dalam fikirannya. Dia pernah alami sendiri, mungkin beratus-ratus peperangan yang pernah dihadapinya sendiri.
Za tidak pasti siapakah ‘mereka’ yang dimaksudkan oleh Khairul. Dia faham bahawa dia tidak perlu tahu tentang perkara ini. Dia yakin bahawa Khairul perlu merahsiakannya dari pengetahuan orang lain.
Dari apa yang diketahuinya kini, mungkin ada pihak mahu menakluki Empayar Dresanala dengan menumbangkan tampuk pemerintahannya. Dia juga faham bahawa peperangan mungkin akan meletus sebaik sahaja mereka tiba ke Dresanala nanti. ‘Akan’ mungkin telahan terbaiknya, mungkin juga bila kakinya menyentuh debu Dresanala, bau hanyir darah mungkin sudah mula menyesakkannya. Dia faham—dia patut bersiap sedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku kelak.
“Aktiviti akaun bank dari Syarekat Perlombongan Joglosemar aktif menyalurkan dana ke beberapa buah akaun.” Beritahu Khairul setelah dia sendiri memeriksa informasi yang berjaya dicedok dari Infocrystalnya. “Mereka telah lama bersedia menyediakan kelengkapan untuk berperang. Kini rahsia mereka telah terbongkar. Tapi mungkin kita telah terlambat.” Khairul termenung jauh. Pandangannya kosong.
Za kemudian dapat melihat Khairul mendekatkan kotak simpanan itu kepadanya. Khairul kelihatan ragu-ragu untuk membuka kotak tersebut. Tangan kirinya terhenti sebelum jarinya bersentuhan dengan kotak itu.
“Jika tuan mahu, saya boleh beredar dari sini—“
“Tak apa, kau boleh duduk di sini.” Ujar Khairul. Dia tahu bahawa Za tidak begitu selesa menghabiskan masanya di dalam kabin bersama Laskar-laskar yang ada. Mereka hanya duduk terpaku di sana seperti patung hidup. Gerak-geri mereka juga sedikit sebanyak menakutkannya.
Khairul melekap tangannya pada permukaan kotak simpanan tersebut. Dengan serta-merta kotak tersebut memcerap cap jari-jemarinya. Kotak tersebut kemudian menampakkan kekunci nombor yang sebelumnya tidak kelihatan. Khairul memasukkan nombor pin limabelas digit yang telah lama tersimpan di dalam kepalanya.
Beberapa detik kemudian, kotak itu terbuka di bahagian atasnya—menampakkan khazanah yang terkandung dengan sebegitu lama di dalamnya.
Jelas kelihatan, di dalam kotak itu terdapat sekeping kertas dan sebentuk cincin. Khairul mengeluarkan kertas tersebut. Serta-merta kertas tersebut bersinar, lalu menghasilkan imej gambar bergerak. Ia berulang-ulang menunjukkan gambar seorang anak muda yang kelihatan tertawa kecil yang sedang bermandian di gigi sungai. Anak muda dalam lingkungan awal 20-an, tampak begitu seronok bermain percikan air. Badan sasanya cuma diselimuti sekeping kain pudar yang diikat longgar ke pinggangnya, jatuh elok ke pehanya. Kain yang sudah lenjun dek air sungai, menampakkan lagi susuk tubuh seorang anak muda yang tegap. Sesekali tangannya pantas menggosok dada padatnya yang dipenuhi dengan bulu-bulu muda itu untuk membersihkannya.
Khairul menggenggam cincin yang ada ditangannya itu. Cincin itu terlalu besar untuk dipakainya.
“Itu ialah gemblakku ketika dia masih hidup.” Ujar Khairul perlahan. Za faham dengan istilah gemblak ini. Malah, Laskar-laskar yang ada bersama mereka di Baladewa-x ini telah ditugaskan bersama gemblak-gemblak mereka kecuali seorang. Dia juga tahu bahawa para Warok akan melakukan tugas mereka dengan lebih baik lagi jika mereka ditugaskan bersama gemblak mereka. Para Warok ini tatkala di dalam medan peperangan akan berperang habis-habisan sehingga titisan darah yang terakhir—untuk memastikan bahawa tidak akan ada apa-apa yang berlaku kepada diri mereka serta gemblak mereka (yang selalunya akan bertarung seiringan dengan mereka untuk mengutip pengalaman berjuang).
Seorang Warok, tidak mungkin dapat dipisahkan dari gemblaknya. Mereka berdua bergerak seirama—meniti tarian kehidupan ini dengan lagu yang sama.
Seorang warok jarang ditugaskan tanpa gemblaknya. Maka begitulah hubungan Khairul bersama Wiranto satu ketika dahulu.
“Siapa namanya?” tanya Za dengan perlahan. Dia rasa terharu kerana Khairul mahu berkongsi bersamanya sebahagian dari kisah hidupnya itu.
“Wiranto… Nama tu aku yang pilih ketika aku menjumpainya sewaktu dia kecil dahulu… Gambar ini telah diambil ketika umurnya berusia 21 tahun. Dia baru keluar dari pesantren lalu dimartabatkan untuk menjadi seorang Laskar.”
“Pastinya dia seorang Laskar yang baik.”
“Ya, antara yang terbaik dari yang terbaik.” Ucap Khairul tanpa selindung. Dia mengamati gambar di hadapannya. Gambar tersebut telah diambil di Bumi. Di sebatang sungai di sebuah tempat—Rompin namanya. Di belakang Wiranto, Khairul dapat melihat pesawat Garudanya. Sebahagian dari bahagian kaki pesawat Garuda yang menyerupai sebuah robot gergasi itu tenggelam di dalam air. Khairul dapat mengingati peristiwa ini seolah-olah ia baru berlaku semalam—hakikatnya ia telah berlaku lebih seribu tahun lalu, sejak gambar itu diambil.

Khairul masih boleh mengimbau perasaannya pada waktu itu. Masih tebal di ingatannya, masih kuat terpahat di hatinya. Masakan dia boleh memadam saat-saat paling bahagia di dalam hidupnya. Ketika itu, dunia bagaikan milik mereka berdua, tiada yang mampu menahan nafas mereka untuk bersatu menghirup udara yang sama. Hari-hari terlalu indah untuk diucap dengan kata-kata. Kehadiran Wiranto disisinya membuatkan masa berlalu terlalu pantas. Mereka saling memerlukan. Pincanglah kehidupan jika salah seorang dari mereka tiada bersama untuk barang sesaat.
Dia tidak menafikan bahawa Wiranto adalah satu-satunya manusia yang paling dicintainya sehingga kini.

Khairul termenung jauh sambil mengusap-ngusap cincin di tangannya itu. Cincin itu telah diberikan oleh Wiranto kepadanya sebaik sahaja dia keluar dari Pesantrennya. Cincin pemberiannya itu adalah sebuah cincin Wonogiri . Cincin ini akan diberikan kepada graduan pesantren Wonogiri yang terkenal itu.
Khairul menyimpan sekelumit kenangan yang mahu dilupakannya, tetapi ia terus tertanam di dalam hatinya. Terwujud kini satu keinginan yang tidak pernah terwujud—seperti hampas yang rindukan padi. Dia akui bahawa hatinya takkan dapat bersatu dengan hati yang lain—cintanya selama ini hanya kepada Wiranto. Kini Wiranto tiada lagi. Diterimanya sahaja kenyataan itu dengan hati yang pilu.
Tanpa disedarinya, air mata yang hangat mula terkumpul di kelopak mata. Lalu ia berderai membasahi pipinya itu. Khairul cepat-cepat mengelap air matanya itu. Dia tidak mahu menampakkan apa yang tengah bergelocak di dadanya. Dia mahu hati dan akalnya sahaja yang berperang dengan kenangan silam yang tak mungkin bernafas lagi di alam nyata.

Za memerhatikan Khairul. Dia faham bahawa manusia bumi akan mengeluarkan cecair masin dari kelopak mata mereka jika mereka bersedih. Dia pasti Khairul sedang bersedih. Renung mata Khairul jelas memperlihatkan kekosongan hatinya. Dadanya berombak menahan sebak.
“Tuan pasti terlalu mencintainya.” Sebut Za perlahan dengan nada prihatin. Dia teliti memilih bicara, kerana tidak mahu menyinggung Khairul. Dia masih tidak memahami fungsi ‘cinta’ yang ada pada beberapa spesis mahkluk di dalam galaksi ini. Tetapi perasaan ini diyakininya sangat penting bagi beberapa spesis ini sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja demi perasaan yang dipanggil ‘cinta’ ini. Mungkin juga, perasaan cinta sudah sebati dengan diri manusia sehingga mereka tidak mampu menidakkannya.
“Ya!” Jawab Khairul mengangguk sekali. Dia menarik nafasnya panjang-panjang sebelum dia menyusun kata-katanya lagi; “Tiada siapa yang mampu mengheret rasa cinta aku keluar dari dada aku ini. Biar jasadku dicincang lumat, akanku bawa cinta ini bersamaku…
“Biar mati untuk sejuta kalipun. Kau tidak mungkin akan faham semua ini dan bagaimana seksanya hidup aku apabila aku dihidupkan untuk sekian kalinya. Aku dapat melihat orang-orang yang aku sayangi hidup. Kemudian mati dihadapanku. Dan aku akan terus hidup dibebani dengan kehidupan ini.”
**

Dimas terus termenung di dalam bilik kecilnya itu. Dia dapat rasakan bahawa keadaan dirinya telah berubah sebaik sahaja fungsi sibernetik di dalam tubuhnya dihidupkan oleh Wiranto. Dia terasa seolah-olah dia tidak perlu tidur lagi.
Kepenatan yang pernah dialaminya dahulu kini hanya tinggal kenangan sahaja. Dia mula sedar sekarang, selama ini dia tidak pernah melihat Khairul tidur sedetikpun atau mengeluh kepenatan. Mungkin inilah dia kelebihan yang ada pada sebuah android. Mereka bukan manusia, tetapi sekadar sebuah mesin yang dibina menyerupai makhluk hidup.

Pintu kamar Dimas terbuka luas. Dimas dapat melihat Moksar ada menunggu di luar.
“Pangeran telah duduk termenung selama berjam-jam begini—“
“Ya…” Keluh Dimas. Dia rasa sedikit terganggu apabila gerak-gerinya telah diperhatikan di dalam bilik itu. Tetapi dia tidak mungkin dapat meluahkan bantahannya. Kerana dia sedar bahawa dia hanya sebuah mesin. Sebuah mesin sepertinya tiada hak untuk membantah…
Sedikit demi sedikit dia mula belajar untuk menerima fitrahnya ini. Atau mungkin dia mempunyai perisian yang lantas membuatnya menerima perkara ini tanpa banyak soal. Dia sendiri kurang pasti. Keliru.
“Pangeran pastinya bosan duduk di dalam bilik kecil ini.”
Dimas mengangguk tanda setuju dengan kata-kata Moksar itu.
“Mungkin Pangeran mahu melihat markas kami ini dan apa yang ada di dalamnya.”
“Boleh juga.” Jawab Dimas pantas. Dirasakannya kebosanan itu berkubur sebentar lagi.
Moksar menjemput Dimas keluar dari biliknya. Kelihatan ada sebuah platfom terapung-apung di luar. Mereka berdua menaiki platfom tersebut, lalu ia bergerak melungsur ke sebuah lokasi yang telah dinyatakan oleh Moksar.
“Bagaimana dengan keadaan bapa saya?”
“Baik.. Dia tidak sabar untuk menemui Pangeran.”
“Bila saya boleh temuinya?”
“Bila tiba masa yang sesuai nanti.”
“Tapi bila?”
“Bila konflik yang bakal menggegarkan Dresanala berakhir.”
“Konflik. Konflik apa?”
“Kami sedang bersiap-sedia untuk berperang, Pangeran…” Ujar Moksar. Dibiarkan sahaja kata-katanya itu berakhir di situ.
Suasana senyap seketika sebelum Dimas menyambung, “Encik Moksar pastinya bukan dilahirkan di Dresanala… Tetapi di Isbin.”
“Bagaimana Pangeran tahu?”
“Sejak dari mula lagi Encik Moksar berani untuk memandang kepada saya ketika kita berbual. Seorang Isbin yang telah dilahirkan di Dresanala tidak berani melakukan ini semua.”
“Mereka telah dilatih untuk takut kepada tuan mereka…” Moksar mengeluh sedih. “Ya, saya tidak dilahirkan di Dresanala. Tetapi saya tidak dilahirkan di Isbin. Tetapi di Mudamon—salah satu koloni Kerajaan Baru. Saya telah dikeluarkan dari kapsul kryogenik saya sejak lima tahun yang lalu.” Petah Moksar memberitahu Dimas sedikit sebanyak perihal latarbelakangnya.
“Markas ini juga baru sahaja ditemui?”
“Ya… Oleh beberapa orang pejuang Tonamon sejak 57 tahun yang lalu. Tetapi mereka hanya mengejutkan saya dari kapsul kryogenik saya apabila mereka mendapati bahawa kuasa Kumpulan Panah Hitam semakin kuat dan kedudukan kaum Isbin semakin terancam.” Mereka berdua melangkah masuk ke dalam sebuah dewan besar. Kata-katanya tadi hilang ditelan kesibukan markas Tonamon. “Saya mahu tunjukkan kepada Pangeran, pesawat yang kami akan gunakan untuk melawan pihak musuh yang akan menyerang Dresanala nanti.”

Dimas takjub melihat pesawat yang dimaksudkan oleh Moksar. Dok itu kelihatan agak muram tetapi berkeadaan caca-merba dengan beratus-ratus jurutera Isbin yang sedang sibuk menjalankan tugas masing-masing. Di dalam dok itu juga mungkin ada beratus-ratus pesawat Ganthree . Setiap satu dari pesawat Ganthree itu mempunyai bentuknya tersendiri. Tiada dua yang sama. Sungguh menakjubkan.
“Mereka telah cuba untuk meniru rekabentuk Ganthree ini, tetapi mereka masih tidak tahu bagaimana untuk membinanya.” Jelas Moksar. Apa yang dijelaskannya itu ada kebenarannya.
Para saintis Dresanala telah mengetahui tentang kewujudan Ganthree ini dari siasatan mereka terhadap teknologi yang dibawa oleh kaum Isbin. Tetapi sehingga kini, tidak ada seorangpun diantara mereka yang pernah melihat pesawat Ganthree ini dengan mata kepala mereka sendiri. Walaubagaimanapun, mereka semua tahu bahawa skematik pesawat yang telah dibina menyerupai makhluk gergasi ini sememangnya sebuah rekabentuk pesawat perang yang patut ditiru oleh mereka. Jadi akhirnya, terbinalah pesawat dari siri Garuda yang masih digunakan oleh bala tentera Empayar Dresanala sehingga kini.
Dimas melihat dengan penuh asyik, rekabentuk salah sebuah pesawat Ganthree di hadapannya. Dia mendapati ia mempunyai rekabentuk seperti tubuh manusia gergasi. Kakinya pula nampak padat dan tebal seperti kaki seekor naga mahawangsa yang berkuku tajam itu. Sepasang kaki yang agam itu jelas boleh menampung tubuh serba hitam yang besar itu. Kepalanya pula tak ubah seperti kepala serangga. Belakangnya dilengkapi dengan kepak membran yang nampak rapuh—dibina dari sejenis aloy yang ringan serta kukuh. Pesawat Ganthree dilengkapi dengan sebuah engin yang bersaiz agak besar, di belakangnya. Ia kelihatan seperti membebani pesawat Ganthree yang mempunyai rekabentuk seperti lembaga humanoid ini.
“Ia kelihatan menakutkan, bukan?” tanya Moksar kepada Dimas.
Dimas memandang kepada Ganthree di bahagian kirinya pula. Kepala Ganthree itu pula bertanduk tajam. Wajahnya bengis seperti haiwan pemangsa yang ganas.
“Ya, menakutkan. Sungguh menakutkan!” sambut Dimas sambil matanya terpaku ke sepasang mata di bahagian kepala pesawat itu.
“Ia telah dibina untuk menakutkan pihak musuh.” Jelas Moksar.
Dimas memerhatikan Ganthree tersebut dengan lebih teliti. Dia kehairanan melihat bahagian dada pesawat Ganthree itu bergerak-gerak.
“Ia… Seolah-olah bernafas!” ujar Dimas. Mungkin dia tersalah nampak. Kerana suasana dalam dok itu agak kelam dan samar-samar.
“Ia hanya kelihatan seperti bernafas.” Ujar Moksar terkesima kalimah-kalimahnya itu. “Tubuhnya sekadar menjalani proses penghadaman hidrokarbon yang diberikan kepadanya sebagai bahan ‘makanan’—“
“Saya semakin bingung. Jadi… Ia benda hidup?”
“Ya… Makhluk hidup yang telah kami bina sebagai pesawat perang.” Jelas Moksar sambil memeluk tubuhnya. “Ia dibina mengikut spesifikasi juruterbangnya. Malah DNA juruterbangnya akan diambil untuk memastikan bahawa pesawat ini serasi dengannya.”
Dimas agak terkejut mendengar penjelasan Moksar. Dengan teragak-agak Dimas menyentuh kaki Ganthree di hadapannya. Kulit Ganthree terasa keras, Dimas boleh merasakan kehangatannya tatkala ia disentuh.
Wajah Dimas terus berubah pucat apabila dia melihat Ganthree itu menoleh ke arahnya. Wajah bengisnya seperti amarahnya dikejutkan apabila disentuh Dimas.
“Jangan risau Pangeran. Ia takkan mengapa-apakan Pengeran. Tapi… Yang jelas, ia memang hidup!” Dimas melangkah beberapa tapak ke belakang. Dia ketakutan. Dia merasakan Ganthree di hadapannya bila-bila masa sahaja akan menggunakan kakinya itu untuk memijaknya—selumat-lumatnya.
“Model yang Pangeran lihat ini baru sahaja kami siapkan petang tadi. Masih panas lagi” Di sambut ketawa kecil oleh Moksar. Dimas hanya tersenyum tawar.
“Berapa lama masa yang diambil untuk menyiapkan sebuah Ganthree?”
“Tiga hari. Tetapi di dalam masa-masa darurat, kami boleh membinanya di dalam masa 36 jam, jika ia diperlukan dalam saat-saat kecemasan.” Moksar menjelaskan dengan bangga.
“Ia mempunyai daya pemikiran dan perasaan?”
“Tidak. Dia hanya mempunyai bahagian yang menyerupai otak yang membolehkannya mengawal sistem penghadamannya untuk ‘hidup’ dan beberapa pergerakan asas.” Moksar menjelaskan mengenai bahagian peptid neural yang terdapat pada pesawat Gantree ini yang bertindak sebagai teras komputernya. “Ia bergantung dengan sepenuhnya kepada juruterbangnya yang akan bersatu dengannya apabila ia digunakan. Apabila seorang juruterbang masuk ke dalam tubuhnya, ia akan menjadi sebahagian dari Ganthree ini.
“Di dalam masyarakat kami, sebuah Ganthree selalunya akan dibina beberapa hari selepas seorang juruterbang dari kasta tentera itu dilahirkan. Ia akan hidup untuk juruterbangnya. Ada di antara pahlawan-pahlawan Isbin yang mahu terus hidup di dalam Ganthree mereka. Mereka mendakwa bahawa Ganthree mereka ini mempunyai perasaan dan mereka tidak boleh hidup tanpanya. Mungkin ini agak pelik tapi saya faham akan perasaan mereka.
“Apabila juruterbangnya meninggal dunia, Ganthree ini selalunya akan mati sama beberapa bulan selepas itu. Atau sebaliknya. Sebuah Ganthree mempunyai jangka hayat selama 220 tahun. Sama seperti kami.”
“Mungkin Ganthree ini berperasaan.” Dimas mengeluarkan kata-kata dengan perlahan. Seolah-olah dia dapat memahami perasaan pesawat Ganthree ini. “Pesawat ini dibina di sini juga?” Tanya Dimas seterusnya, menukar tajuk perbualan.
“Ya, ia dibina di sini.”
“Di mana?”
Moksar membawa Dimas berjalan ke arah sebuah tempat yang telah disediakan khas untuk membina unit-unit Ganthree ini.
Dimas dibawa ke sana dengan platform terapung yang dinaikinya tadi. Di dalam perjalanan ke sana, Dimas memerhatikan keadaan sibuk di dalam dok tersebut. Seolah-olah mereka sedang bersedia untuk berperang. Keadaan agak hingar bingar, akan tetapi mereka masih melakukan kerja dalam keadaan teratur.
“Kenapa Ganthree ini semua dibina?” Tanya Dimas. Semakin jauh dia berjalan di dalam dok ini, semakin dia dapat merasakan bahawa markas tentera ini pastinya lebih besar dari yang disangkakannya.
“Seperti yang saya katakan tadi, kami sedang bersedia untuk berperang untuk mempertahankan Dresanala.” Jawab Moksar menekankan objectifnya sekali lagi. “Pastinya Pangeran dapat melihat bahawa kami sedang sibuk sekarang ini… kami sedang bersedia menghadapi sebuah konflik.”
“Siapa yang ingin mulakan peperangan dengan Empayar Dresanala?”
“Kumpulan Panah Hitam.”
“Kumpulan apa pula ni?”
“Kumpuan ini telah wujud sejak Empayar Dresanala ini ditubuhkan. Mereka adalah kumpulan dari kasta Vaisha yang mahu memastikan kepentingan ekonomi serta politik mereka terjaga, dan kini… Mereka mahu Empayar Dresanala menjadi sebuah republik.”
“Jadi apa salahnya jika Empayar Dresanala menjadi sebuah republik?” Dimas cuba berhujah dengan pengetahuan yang dia ada.
“Tak salah… Cuma caranya tak betul. Demokrasi bukannya untuk semua. Tidak semestinya rakyat apabila ia dibenarkan memilih pemimpinnya akan memilih seorang pemimpin yang baik.” Moksar menyatakan pendapatnya. Bentuk kepimpinan Isbin lebih menyerupai kepimpinan sosialis.
“Jadi Kumpulan Panah Hitam mahukan apa?”
“Ia mahu terus memperhambakan kaum Isbin. Ia mahu terus menggunakan khidmat android-android seperti Wiranto untuk menjamin bahawa mereka akan dapat terus memerintah. Mereka mahu meluaskan lagi Empayar Dresanala dengan kempen penjajahan mereka kelak.”
“Jadi kemahuan mereka ini patut dibenteras?”
“Sudah tentu!” suara Moksar agak tinggi dari biasa. “Pangeran Cacuk diharapkan akan membina satu Order Baru di dalam kerajaan Empayar Dresanala. Dia mahu melihat perubahan ini. Dia mahu membebaskan kaum kami yang telah diperhambakan sejak berkurun-kurun lamanya ini.”
“Kenapa Dresanala perlu dipertahankan.”
“Kaum Isbin dan segala kepentingannya perlu dipertahankan, Pangeran. Bangsa kami tidak ramai, yang tinggal hanyalah di Dresanala ini dan di… Planet Sewoko di sektor Rahwana, Wilayah XII.”
“Di Sewoko? Kenapa pula di sana?” Bagai budak kecil, kotak fikiran Dimas penuh dengan persoalan.
“Kerana sejak dari mula lagi kami telah menyediakan dua buah lokasi untuk dijadikan tempat persembunyian kami. Di Dresanala dan di Sewoko. Mereka yang berasal dari Kerajaan Baru seperti saya ditempatkan di sini dan mereka dari Kerajaan Lama di sana.
“Kini Sewoko sedang dibangunkan sebagai sebuah koloni perlombongan oleh Empayar Dresanala. Kami takut pusat kryogenik yang digunakan untuk menyembunyikan nabi kami lambat laun ditemui. Kami takut nyawanya akan terancam nanti.”
“Persembunyian? Kenapa kaum Isbin perlu bersembunyi?” tanya Dimas tidak putus-putus. Masih inginkan kefahaman daripada Moksar.
“Kami cuba lari dari bangsa Pei yang telah memusnahkan planet kami. Mereka mahu mendapatkan kristal yang dimiliki oleh Seguiri, nabi kami yang kini masih di dalam keadaan kryogenik di Sewoko.”
“Bangsa Pei?” Dimas meluahkan rasa tidak-fahamnya kepada Moksar.
“Mereka akan memusnahkan segala-galanya. Kami telah melarikan diri ke sini kerana kami tak mahu bangsa manusia Bumi pula menjadi mangsa mereka yang seterusnya.” Moksar menjelaskan. “Di dalam perjalanan kami ke sini, gelombang tenaga dari letupan planet kami telah menjadikan wormhole yang kami gunakan untuk cuba melepaskan diri kami dari mereka, menjadi tidak stabil. Jadi kami telah di bawa ke kawasan ini beribu-ribu tahun lebih awal dari yang sepatutnya—“
“Mereka mahu menyerang kami?”
“Ya…”
“Tapi kenapa?”
“Kerana salah satu kristal yang mereka cari ada di sini. Kristal ini akan menggenapkan lima lagi kristal yang sudah ada di tangan mereka sekarang. Enam buah dunia telah musnah kerana mereka. Kami tidak akan membenarkan mereka memusnahkan apa yang ada di sini pula.”
“Kenapa mereka mahu semua kristal-kristal itu?”
“Mereka mahu menggunakan kristal-kristal itu untuk mereka bersatu dengan alam semesta ini. Bersatu di dalam kegelapan yang mereka ingini. Mereka mahukan satu kemusnahan yang hakiki!”
Dimas ternyata tidak dapat memahami apa yang dimaksudkan oleh Moksar. Dia tidak pernah menemui kaum Pei ini, dia cuma tahu bahawa planet Isbin terletak di galaksi Tucana yang berada sejauh 2,900,000 tahun cahaya dari galaksi Bima Sakti.
“Kristal? Apa kristal itu sebenarnya? Siapa yang menyimpannya?” Beribu persoalan berlegar di benak Dimas. Dia semakin bingung.
“Kristal yang terakhir diberitakan berwarna hijau. Kristal terakhir ini kini sedang dipegang oleh seorang manusia yang dikenali dengan nama ‘Yang Terpilih’ oleh setengah-setengah pihak. Pangeran pula mengenalinya dengan nama Senopati Khairul.” Moksar mengakhiri kata-katanya itu dengan termenung jauh. Meninggalkan satu tanda keresahan yang jelas di wajahnya itu. Dia tidak pasti Dimas puas dengan penjelasannya itu atau masih dibelit persoalan-persoalan yang membelenggu dirinya sehingga kini.

Bab 24

“Kristal-kristal misteri yang dimahukan oleh kaum Pei ini akan memberi semacam mukjizat kepada sesiapa yang memperolehinya. Kecuali kristal yang terakhir. Walaupun begitu, kristal itu mempunyai keistimewaan yang tiada tolok bandingnya.”
-- “Lagenda Sebuah Cakra.” Oleh Adi Arjunasasrabu

Dimas dibawa masuk ke dalam sebuah limbungan besar, di mana tempat ini digunakan untuk membina unit-unit Ganthree. Keadaan limbungan ini sama seperti di dalam dok—unit-unit pesawat Ganthree yang telah siap dibina akan diperiksa dan dibiarkan berehat di situ.
Pesawat-pesawat Ganthree ini sememangnya lebih gemar berehat dalam keadaan samar dan tenang. Jika pesawat ini dibiarkan di dalam keadaan hibernasi, sebaiknya ia disimpan terus di dalam sebuah dok gelap.
Limbungan itu dipenuhi dengan berpuluh buah silinder kaca bersaiz besar. Kesemua silinder ini dipenuhi sejenis cecair kental. Di dalam silinder ini juga terdapat beberapa buah Ganthree yang sedang melalui proses pembinaan. Ganthree yang baru dibina nampak seperti bayi gergasi di dalam perut ibunya.
Dimas dibawa melihat ke seluruh bahagian limbungan ini. Dia boleh menyaksikan pelbagai bentuk pesawat Ganthree ini di dalam silinder-silinder yang ada.
“Wiranto!” Bisik Dimas di dalam hati. Dia dapat melihat Wiranto sedang memerhatikan sebuah Ganthree di hadapannya.
Seolah membaca kemahuan yang terdetik di dalam hati Dimas, Moksar telah mengarahkan platform terapung yang dinaiki mereka supaya mendekati Wiranto.
“Oh, Pangeran rupa-rupanya.” Ucap Wiranto sebaik sahaja dia ternampak kelibat Dimas di belakangnya.
“Encik Wiranto sedang membina Ganthreenya sendiri.” Ujar Moksar kepada Dimas. “Dia akan bersama kami untuk menentang pihak musuh yang akan bakal menyerang Dresanala.”
“Di mana kedudukan pihak musuh sekarang?” tanya Wiranto, kini dengan suara lebih serius.
“Mereka masih berlegar di sistem Dewasrani. Mereka sedang mengumpul kekuatan mereka di sana.” Ujar Moksar. Suaranya sekeras suara Wiranto, tapi nadanya masih tenang. “Kita hanya ketahui itu sahaja tentang mereka, tetapi siapa mereka sebenarnya, dan berapa kuat kelengkapan yang mereka ada masih menjadi misteri.”
“Kita pula bagaimana? Kelengkapan kita sudah cukup?”
“Kita mempunyai mempunyai kelengkapan logistik yang mencukupi. Cuma kita kekurangan tenaga terlatih untuk menggempur lawan kita. Anak-anak muda Isbin kelahiran Dresanala tidak pernah dilatih sebagai pejuang. Mereka semua hanya tahu untuk menjadi pelombong kristal Kiribati.”
“Bukankah kita ada pihak Shevira untuk membantu kita? Tidak menjadi kekurangan kalau mereka hanya mampu untuk mempertahankan ruang angkasalepas Dresanala, dan bukan Dresanala sendiri.” Wiranto cuba memancing keyakinan pada diri mereka yang ada di sekelilingnya.
Seekor obor-obor Ibeni terbang ke arah Moksar. Ia berkomunikasi dengan Moksar di dalam inkripsi yang hanya boleh difahami oleh Moksar sendiri.
“Persekutuan Maladur sedang cuba untuk menawan Sewoko. Mereka telah menghantar satu bala-tentera yang besar yang membabitkan lebih dua ratus buah kapal penyerang. Kini semua kapal induk bala tentera Empayar Dresanala telah dipanggil untuk ke Sewoko.”
“Ia sudah bermula!” ujar Wiranto. Giginya terketap. Serangan yang hendak dilakukan oleh Persekuan Maladur hampir-hampir sama dahsyatnya dengan serangan yang berlaku dalam peperangan Barathayudha di sistem Kandil.
“Ya… Ia telahpun bermula.”
“Semuanya telah dirancang dengan begitu teliti sekali.” Ucap Wiranto yang tidak dapat menyembunyikan perasaan hormatnya terhadap mereka yang telah merancang konflik ini. Dia yakin bahawa perkara ini telah diatur selama bertahun-tahun lamanya. Kini, sudah sampai masanya untuk mereka meraih pulangan terhadap apa yang telah mereka usahakan selama ini.
“Sewoko harus dipertahankan dari jatuh ke tangan Persekutuan Maladur.” Kata Moksar. Matanya yang gelap itu terus ke mata Wiranto.
“Ia tidak akan jatuh ke tangan Persekutuan Maladur. Mereka hanya berada di sana untuk mengalihkan tumpuan bala tentera Empayar Dresanala dari sistem Arjuna. Sewoko akan tetap menjadi milik Empayar Dresanala. Mungkin konsesi akan diberikan kepada Persekutuan Maladur kerana telah menolong mereka di dalam kempen peperangan ini. Saya pasti sebaik sahaja bala tentera Empayar Dresanala tiba ke Sewoko, mereka akan berundur ke sektor yang dikuasai mereka di Rahwana. Mereka bukannya bodoh untuk memulakan pertelingkahan dengan Empayar Dresanala!” ujar Wiranto panjang lebar. Dia begitu arif dengan taktik-taktik peperangan seperti ini.

Sememangnya, Empayar Dresanala telah mengetahui tentang kewujudan Sewoko sejak lapan ratus tahun dahulu. Mereka mengetahui akan hal ini dari maklumat yang telah mereka perolehi dari sebuah fail rahsia kaum Isbin. Koordinat Sewoko yang mereka temui menjanjikan kekayaan yang sukar mereka bayangkan dari simpanan kristal kiribati yang boleh mereka lombong di sana nanti. Masalahnya, Sewoko terletak di sektor Rahwana di sebuah kawasan yang ditakluki oleh Persekutuan Maladur.
Wiranto cukup arif tentang fakta-fakta ini semua kerana dia dan Khairul pernah ditugaskan untuk mengadakan ekspidisi penyelidikan ke planet itu, yang telah disertai oleh beberapa orang saintis dari Empayar Dresanala. Dan dia hampir-hampir juga menjual maklumat-maklumat penting tentang kedudukan Sewoko kepada Persekutuan Maladur dahulu—sehingga dia anggap sebagai salah seorang dari ’10 Durjana’ itu.
Apabila peluang untuk mendapatkan Sewoko terbuka, peluang tersebut terus diambil oleh Empayar Dresanala tanpa berlengah. Kawasan kosong di sektor Rahwana itu terus dibeli mereka supaya Persekutuan Maladur dapat menggunakan wang dari penjualan kawasan itu untuk menyediakan dana peperangan yang mencukupi untuk melawan segala tentangan yang datangnya dari Republik Amru yang cuba menakluki sebahagian besar dari planet jajahan-jajahan mereka. Walaupun tindakan mereka itu jelas membantu mereka di dalam kempen untuk mengalahkan Republik Amru yang menguasai sebahagian besar sektor Duryudana itu, mereka ternyata telah melepaskan planet Sewoko yang mempunyai simpanan kristal kiribati berkali ganda lebih banyak dari yang terdapat di Dresanala…
Perkara ini sememangnya telah menjadi punca kemarahan bagi pihak Persekutuan Maladur yang semahu-mahunya mendapatkan Sewoko yang pernah menjadi sebahagian dari hak mereka…

“Pihak Empayar Dresanala telah lama tahu tentang kewujudan pusat kryogenik kaum Isbin yang ada di sana. Cuma mereka masih belum menjumpainya sahaja, sebagaimana mereka masih tidak mengetahui tentang kewujudan pusat kryogenik ini yang kini telah dijadikan markas untuk pejuang Tonamon.” Kata Wiranto tanpa bertabis-tapis.
“Jadi yang penting sekarang, Dresanala harus terus dipertahankan. Kita tidak boleh biarkan ia jatuh ke tangan Kumpulan Panah Hitam. Entah apa sahaja yang akan mereka lakukan kepada orang-orang kita yang berada di sana jika kita dikalahkan dan mereka mereka mengambil-alih tampuk pemerintahan Empayar Dresanala.” Dengus Moksar. Dia mengusap rambutnya yang berwarna hijau-keperakkan itu ke belakang.
“Setuju!” Sambut Wiranto pendek. Walaupun tujuan utama dia mempertahankan Dresanala ialah semata-mata untuk mempertahankan kepentingan kaum Empayar Dresanala.
“Saya mahu menolong!” tiba-tiba Dimas bersuara. Moksar dan Wiranto berpaling ke arahnya.
“Apa, Pangeran?” tanya Wiranto lagi seperti tidak percaya kalimah yang terpacul dari mulut Dimas.
“Saya mahu berjuang untuk mempertahankan Dresanala.” Jawab Dimas. Suaranya penuh yakin. Matanya berlegar antara menjurus kepada Wiranto dan Moksar. Mereka berpandangan sesama sendiri.
“Pangeran tentu telah dilatih untuk mempertahankan diri oleh Senopati Khairul.” Kata Moksar. Dia menghampiri Dimas.
“Ya… Senopati telah melatih saya dengan baik.”
“Kalau begitu baguslah. Pucuk dicita ulam mendatang. Kami perlukan pendekar seperti Pangeran... Pangeran tentunya boleh menyertai kami—“
“Pangeran Dimas mungkin lebih baik bersembunyi di sini sahaja.” Saran Wiranto, memintas dengan cepat. Wajahnya jelas keruh.
“Tidak. Masakan saya boleh duduk diam di sini sementara semua orang lain bersabung nyawa di luar sana!”
“Tapi Pangeran—“
“Tapi apa lagi?” Dimas memintas kata-kata Wiranto. “Saya bukan makhluk hidup yang perlu semua orang risaukan. Saya sebuah android. Siapa yang perlu risaukan tentang diri saya? Saya sebuah mesin, paham? Lagipun, jika saya mati… Saya boleh dihidupkan semula! Jadi apa lagi yang perlu dirisaukan?”
Wiranto kehabisan kata-kata. Dia mengeluh lesu. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Dimas agak degil sepertinya. Mungkin dia degil kerana hubungannya dengan Khairul. Mungkin Khairul telah mendidiknya untuk menjadi keras kepala seperti ini.
“Apa kata Pangeran jika kami bina seunit Ganthree, khas untuk kegunaan Pangeran.” Ucap Moksar seperti menggalakkan pula. Wiranto tercengang.
Dimas mengangguk ghairah. Dia setuju dan mungkin juga dia tidak sabar membina pesawat Ganthreenya sendiri dan bersatu dengannya dalam peperangan itu nanti.
“Kalau begitu… Encik Wiranto akan tunjukkan kepada Pangeran bagaimana untuk membina sebuah Ganthree.” Ujar Moksar. Dia memandang kepada sebuah silinder kosong di sebelah mereka. “Saya terpaksa pergi ke bilik pergerakan sekarang. Saya diperlukan di sana.”
Wiranto menunduk hormat. Moksar bersama platform terapungnya mengelunsur pergi ke arah selatan.
“Boleh kita mulakan sekarang?” tanya Dimas kepada Wiranto. Dengan teragak-agak Wiranto mengangguk. Dia tidak akan membantah.
Mereka mengatur langkah ke arah silinder kosong di sebelah mereka. Wiranto menarik sehelai rambut Dimas lalu ditariknya sehingga putus. Dimas membiarkan sahaja dia perlakukan begitu, kerana dia tahu setiap perkara yang dilakukan oleh Wiranto pasti bersebab.
Wiranto meletakkan sampel rambut Dimas yang mengandungi DNAnya itu ke atas sebuah papan imbasan di atas konsol di hadapannya. Papan imbasan melakukan bacaan DNA Dimas lalu ia memasukkan informasi tersebut ke dalam sistem komputernya.
“Saya tahu Pangeran telah dilatih dengan baik oleh Senopati Khairul.” Ujar Wiranto dengan suara perlahan. Dia tahu bahawa dia menyatakan sesuatu yang sudah terpahat nyata. “Saya sendiri yang telah menanam program barong ke dalam Holo-S di Deutah…”
“Saya boleh mati di dalam Holo-s itu!”
“Tapi Pangeran tidak mati, bukan?”
“Tidak, tapi—“
“Tidak ada tapi lagi… Pangeran telah dilatih oleh Senopati Khairul. Pangeran memang hebat. Selama seminggu saya di Deutah memerhatikan gerak geri Pangeran bersama Senopati. Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa Pangeran telah dilatih dengan baik olehnya. Sebab itu saya berani meletakkan program barong ke dalam Holo-S yang digunakan Pangeran pada hari itu.”
Wiranto menekan papan konsol di hadapannya. Kemudian dia berpaling ke arah Dimas.
“Pangeran betul-betul ingin lakukan semua ini? Maksud saya, tentang penglibatan Pangeran dalam peperangan yang bakal kita hadapi nanti.”
“Ya, saya telah bertekad dengan keputusan saya.”
Wiranto menggaru-garu keningnya. Dia bangga dengan sikap berani Dimas, tetapi dia tetap rasa tidak begitu senang dengan keputusan yang telah diambilnya. Dia cuma ingin melihat Dimas tidak diapa-apakan oleh pihak musuh.
“Pesawat Ganthree ini senang dikawal kerana ia akan bersatu dengan juruterbangnya. Yang penting sekali, seseorang juruterbang perlu tahu seni mempertahankan diri dan juga naluri seorang pahlawan.”
“Apa bezanya pesawat Ganthree ini dengan pesawat Garuda?”
“Banyak bezanya Pangeran. Salah satu darinya, kokpit pesawat Ganthree ini terletak pada bahagian perutnya. Manakala Garuda pula pada bahagian kepalanya. Pesawat Ganthree dilengkapi dengan engin hyperpacuan, tetapi Garuda tidak. Pesawat Ganthree hanya dilengkapi dengan senjata asas, manakala Garuda pula dilengkapi dengan pelbagai senjata pemusnah.”
“Jadi Garuda lebih kuat dari Ganthree?”
“Hah… Di situ, ramai yang kurang tepat. Sebaliknya, senjata yang canggih belum tentu boleh menjamin kemenangan. Yang penting sekali adalah cara kita menggunakannya.” Jelas Wiranto. Matanya terus ke hadapan. Kini sejenis cecair pekat mula memenuhi silinder. “Ganthree ini telah direka khas untuk pergerakan lincah. Dan saya telah diberitahu ia sukar untuk dimusnahkan. Kerana bahagian luarnya disaluti dengan perisai kuantum… Sejenis teknologi yang langsung akan mengenepikan penggunaan medan tenaga. Tetapi sehingga kini para saintis Empayar Dresanala masih tidak tahu lagi bagaimana untuk meniru teknologi ini. Kita masih jauh ketinggalan jika hendak dibandingkan dengan apa yang mereka ada.”
“Bila Ganthree abang akan siap?” tanya Dimas seperti tidak sabar-sabar lagi. Itu sahaja yang mahu diketahuinya sekarang.
“23 jam lagi.” Jawab Wiranto. Dimas memerhatikan Ganthree yang telah dibina oleh Wiranto. Dia telah diberitahu oleh Wiranto bahawa rekabentuknya menyerupai Minotaur—sejenis makhluk berkepala lembu dan bertubuh manusia. Ia nampak ganas dengan sepasang tanduknya yang tajam, melengkuk ke depan.
“Saya mahu Ganthree saya menyerupai barong dan naga mahawangsa.”
Wiranto tersenyum sendiri. Dia memprogramkan permintaan Dimas ke dalam komputer. Setelah selesai, dia menunjukkan kepada Dimas bentuk Ganthree yang bakal tercipta nanti.
“Tidakkah, wajahnya terlalu bengis?” Dimas cuba memberi pendapat.
“Barong sememangnya berwajah bengis, Pangeran.” Wiranto menjelaskan. Matanya kini tertumpu kepada bahagian kaki Ganthree yang berkuku tajam saling tak tumpah seperti kaki naga mahawangsa. Tubuh pesawat Ganthree itu jelas nampak begitu humanoid. Kepalanya pula bercirikan kepala barong, lengkap dengan sepasang taring yang tajam serta matanya yang besar itu. Semua ini mampu menggentarkan musuh, malahan siapa sahaja yang memandangnya. Wiranto nampak puas dengan ciptaannya itu.
Dimas seakan taksub meneliti ‘makhluk’ yang bakal berpencak-silat di kancah perperangan itu nanti. Dimas tidak sabar rasanya. Dia seakan terdengar irama yang bakal ditarikan mereka bersama. Lamunannya terhenti seketika…
“Jadi itu sahaja!” ujar Wiranto sambil menekan butang merah pada konsol komputernya. Beberapa saat kemudian cecair di dalam silinder menggelegak, berbuih. Cahaya laser ditumpukan kepada beberapa arah di dalam silinder. Sedikit demi sedikit bentuk dalaman Ganthree terbina dengan sendirinya. Dimas memerhati penuh minat. Dia mempersetankan fikirannya yang inginkan penjelasan bagaimana proses itu dilakukan, cuma yang ingin disaksikannya sekarang adalah; sebuah pesawat maha hebat yang bakal ditunggangnya.
“Kita patut mulakan latihan sekarang!” ucap Wiranto kemudian. Matanya sempat meneliti reaksi Dimas.
Dimas seakan akur, malahan tidak dapat menyorokkan ketidaksabarannya.
“Latihan bagaimana?” tanya Dimas, meminta penjelasan lebih lanjut.
“Latihan untuk berperang menggunakan Ganthree.” Ujar Wiranto. Dia memegang bahu Dimas. Dia membawa Dimas berjalan ke arah bahagian utara limbungan tersebut. Dimas menjeling ke arah pesawat Ganthree Wiranto. Kemudian ke arah silinder Ganthreenya. Tak sabar lagi rasanya untuk dia menaiki pesawat Ganthreenya sendiri apabila ianya siap kelak!

**

Dimas dibawa masuk ke dalam bilik persalinan oleh Wiranto.

Di dalam bilik itu, Dimas telah disuruh oleh Wiranto supaya membuka pakaiannya supaya dia boleh memakai gorong --sut khas juruterbang Ganthree.
Wiranto berbogel di hadapan Dimas. Kemudian dia mengambil sebiji kapsul gorong yang kelihatan seperti sebiji benih tumbuhan sebesar telur ayam dan dia meludah ke arah kapsul tersebut. Biji benih gorong itu membaca struktur DNA Wiranto yang terkandung di dalam air ludahnya. Kemudian, setelah ia diletakkan ke bahagian dada Wiranto, gorong bertindak persis sejenis tumbuhan yang tumbuh dengan cepat lalu menyeliputi tubuhnya. Sut gorong itu menyelitupi tubuh Wiranto kecuali pada bahagian wajahnya. Lantas ia mengubah Wiranto menjadi makhluk asing yang aneh, tapi kelihatan cukup merbahaya dan menakutkan.
Dimas meniru gerak geri Wiranto tadi. Dia mendapati, gorong yang dipakainya melekat terus ke permukaan kulitnya, seakan ia bersatu dengan dirinya. Di permukaan sut berwarna hijau gelap itu, kelihatan kasar seakan urat-urat tumbuhan di atas daun.
Sut gorongnya terasa kebal seperti perisai, tetapi Dimas boleh menggerak-gerakkan tubuhnya seolah-olah dia tidak memakai sebarang pakaian. Dirinya juga terasa ringan.
Menurut Wiranto, pakaian ini kebal dari pelbagai serangan. Ia boleh menampan apa jua yang datang ke arah si pemakainya.
“Lihat ini!” Ucap Wiranto, membiarkan kata-katanya tergantung. Dia mengarahkan sut gorongnya supaya mengeluarkan sepasang kepak pada bahagian belakangnya, hanya dengan cara memikirkannya. Apa yang muncul kemudian adalah sejenis kepak membran yang besar saiznya. Gorongnya pula terus menutup semua permukaan kulitnya termasuk wajahnya sekali. Dia kini benar-benar kelihatan seperti sejenis makhluk serangga gergasi.
Dimas menjeling ke arah Wiranto dengan kening yang terangkat, kehairanan. Dia mula yakin bahawa sut garung ini mampu berubah tanpa batas. Lebih menghairankannya, ia sekadar tumbuhan hidup. Apabila ia tidak diperlukan lagi, ia akan kembali kepada keadaan asalnya—sebiji benih gorong yang menunggu masa untuk digunakannya.
“Kita perlu ke bilik simulasi peperangan.” Wiranto bersuara, memulakan lembaran bicara setelah dia diam dengan agak lama, tercegat di dalam bilik itu. Dimas mengangguk cepat, tidak sabar untuk berlatih bertempur dengan menggunakan pesawat Ganthree…

Kedinginan jelas terasa di dalam bilik itu. Mungkin sut garong yang sedang dipakainya sedang berinteraksi dengan tubuhnya, Dimas kurang pasti. Apa yang pasti baginya kini, dia dapat melihat beberapa buah kepompong yang tergantung di dalam bilik tersebut.
Kesemua kepompong yang ada, tergantung seperti rahim di dalam jasad wanita hamil spesis humanoid; lengkap dengan tali organik yang tersambung sehingga ke siling.
“Apa yang Pangeran lihat adalah replika kokpit pesawat Ganthree.” Wiranto menyentuh replika kokpit tersebut yang kelihatan lut cahaya dan berurat-urat pada bahagian luarnya. Pintu kokpit terbuka.
Wiranto mempelawa Dimas masuk ke dalam kokpit. Dimas menurut tanpa banyak bicara. Dia terus mendapatkan tempat duduk di dalam kokpit. Sebaik sahaja dia duduk di atas kokpit, apa yang kelihatan seperti beberapa batang akar kayu melilit tubuhnya. Dia tidak sempat berbuat apa-apa. Akar kayu itu dengan pantas menyelinapi beberapa bahagian jasadnya.
Dimas tidak dapat bergerak. Dia terduduk kaku. Matanya melihat kepada Wiranto yang seakan menyuruhnya untuk duduk tenang, tiada apa yang perlu digusarkan. Bebola matanya terus mencerap keadaan sekeliling di dalam kokpit. Tiada peralatan elektronik yang dapat disaksikannya, keadaan dalamannya terlalu organik. Terdapat berapa saluran-saluran darah yang jelas kelihatan. Dimas masih kaget dengan apa yang disaksikannya. Dia tidak mampu untuk menanyai Wiranto.
“Pangeran, kokpit ini akan saya tutup. Sejenis cecair akan memenuhi kokpit ini… Cecair sintetik yang hampir sama seperti yang ada di dalam perut ibu Pangeran ketika dia sarat mengandungkan Pangeran dahulu.” Wiranto berlagak seperti seorang doktor, menerangkan prosedur perubatan kepada seorang pesakit yang dirawatnya.
“Jadi bagaimana pula saya hendak bernafas nanti?”
“Pangeran akan dapat bernafas sebagaimana janin dapat bernafas di dalam perut ibunya… Tetapi memang pada mulanya Pangeran tak akan rasa selesa.”
“Mengapa semua ini perlu dilakukan?” Tanya Dimas. Dia cuba menggerakkan tubuhnya yang mula rasa tidak selesa itu.
“Kerana, pahlawan Isbin akan berada di dalam kokpit pesawat Ganthree ini kadang-kala sehingga berminggu-minggu lamanya. Jadi cecair yang memenuhi kokpit ini juga sebagai bahan nutrien kepada juruterbangnya.” Wiranto menutup pintu kokpit sebelum sempat Dimas dapat membuka mulutnya untuk bertanya lagi.
Cecair yang disebutkan Wiranto kini dengan cepat memenuhi dalam kokpit. Dimas menahan nafasnya sebaik sahaja cecair suam itu memenuhi kokpit. Walaubagaimanapun, dia tidak dapat mengawal dirinya lalu menyedut cecair suam itu. Cecair itu terasa tawar, tetapi ia agak kenyal dan pekat berbanding cecair biasa. Cecair itu mula memenuhi kerongkongnya serta ke dalam paru-parunya. Dia mula kelemasan.
Dimas meronta-ronta. Dalam pada itu, terdapat beberapa batang tendril mirip kelamayar meliliti kepalanya. Beberapa detik kemudian, Dimas berhenti meronta. Tubuhnya kejung dengan serta-merta.

Dimas membuka matanya perlahan. Dia bernafas dengan sedalam-dalamnya. Dia bingung bila mendapati dirinya sedang berada di tengah-tengah sebuah gurun yang luas—saujana mata memandang. Dia meneliti tangannya. Tangannya serba hitam. Begitu juga dengan tubuhnya. Dia membuka perisai yang menutupi tubuhnya yang asing itu. Di bawah dadanya terdapat sebuah kokpit kecil. Kelihatan, jasadnya yang sedang terduduk dengan pelbagai jenis lilitan melingkari tubuhnya. Jasadnya duduk tenang, seperti rela diperlakukan sedemikian.
“Memang pada mulanya Pangeran akan rasa keliru.” Ucap Wiranto. Apabila Dimas berpaling ke sebelah kanan, dia dapat melihat pesawat Ganthree Wiranto. Dimas sedikit terkejut. Dia memandang terus kepada kepala minotaur di hadapannya. Dia pasti bahawa kepalanya kini adalah kepala barong. Dia memegang taringnya. Ternyata taringnya yang tajam itu ada di tempatnya.
“Saya telah bersatu dengan Ganthree saya!” Dimas berteriak kecil, penuh kaget. Dia tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya.
“Ya, tidak sukar untuk mengawal pesawat Ganthree ini. Kita cuma perlu menggunakan fikiran kita untuk mengawalnya.”
Dimas mengepal-ngepalkan tangannya. Dia dapat merasakan kekuatan yang luar biasa yang ada di dalam dirinya sekarang. Dia terasa sungguh bersedia untuk apa jua malapetaka. Di dalam masa yang sama, kepalanya kini dipenuhi dengan beberapa informasi baru tentang pesawat Ganthreenya ini, untuk membantunya mengawal serta menggunakan pesawatnya ini sebaik mungkin.
“Kita akan berlatih di angkasa lepas.” Ujar Wiranto. Kemudian dia terus mendabik dada, terbang laju ke angkasa.
Dimas mendongak ke atas. Enjin besar di belakangnya kini diaktifkan secara otomatik. Belum sampai beberapa saat, dia telah terbang ke udara dengan kepantasan yang tidak pernah difikirkannya selama ini.
Tubuh Ganthreenya yang bersaiz gergasi itu kini terbang mengejar Ganthree yang telah bersatu dengan Wiranto. Lebih kurang seminit sahaja kemudian, mereka telah masuk ke ruang angkasalepas. Mereka tak ubah seperti dua orang kanak-kanak yang riang apabila dilepaskan ke padang permainan untuk bersuka-ria.

Setelah lebih seminggu Wiranto memerhatikan Dimas dari jauh di Deutah, dia mendapati bahawa Dimas menggemari permainan simulator peperangan seperti ini. Caranya terbang sekarang menunjukkan sikapnya yang acuh tidak acuh kepada latihannya. Sememangnya cara dia membawa Ganthree itu akan mengelirukan pihak musuh yang mahu menyerangnya, tetapi pihak musuh yang terlatih pasti boleh mengalahkannya.
Wiranto kini merasa kurang pasti jika Dimas benar-benar sudah bersedia untuk menghadapi konflik yang melibatkan para musuh yang mampu memusnahkannya jika dia terus terbang seperti ini. Atau mungkin dia harus terus terbang seperti ini untuk mengelirukan pihak musuh sebagaimana yang dia selalu lakukan di dalam simulator Holo-S yang digunakannnya di Deutah. Apa yang pasti, Wiranto masih belum boleh mengukur sejauh mana kepintaran Dimas sebenarnya, apakah muslihat yang bakal dijudikannya dalam usaha melawan anasir hitam itu nanti. Wiranto cuma mampu mengharapkan yang terbaik untuk Dimas dan Dresanala.

Sekonyong-konyong itu, Wiranto mengeluarkan senjatanya—sebuah kapak bermata dua yang kelihatan agak besar. Dimas juga ada senjatanya sendiri—sebatang gada; sejenis senjata yang mempunyai batang pemegang yang sederhana panjang dan bahagian hujungnya berbentuk bulat dan berduri tajam. Alat pemukul itu dianggap sebagai lambang penghancur, sekaligus lambang keperkasaan dan kekuasaan. Di dalam peradaban Empayar Dresanala, senjata gada seperti yang digunakan Dimas mempunyai simbolik tongkat hukuman atau kematian.
Kilauan gada yang dipegang erat oleh Dimas itu mampu menyilaukan siapa sahaja yang melewat pandang.
“Musuh kita akan tiba bila-bila masa sahaja nanti.” Wiranto memberi amaran. Ganthreenya terapung-apung di atas orbit planet bergurun itu. Dia membuka tarian silatnya. Dia berada di dalam posisi berjaga-jaga dan bersedia.
“Mereka sedang berada di belakang kita!” Jerit Dimas. Dia bergerak menghadapi pesawat musuh yang sedang terbang ke arahnya. Dia sungguh mengharap untuk musuhnya mendampinginya kerana dia ingin mengajar mereka yang berhati hitam itu.
“Yang sedang menyerang kita sekarang adalah pesawat-pesawat penyerang dari Depitsa, salah satu sekutu utama dari Persekuan Maladur.”
Dimas memerhatikan Ganthree yang sedang dikawal Wiranto. Ganthree itu mengeluarkan sebatang cotar yang tersemat di sisi peha kanannya. Dia menghidupkan cotar tersebut—membentuk seperti sebuah perisai untuk kegunaan Ganthree itu.
“Hidupkan fungsi perisai cotar Holotron—“ Getus Wiranto. Suaranya yang garau dan keras itu terngiang-ngiang di dalam kepalanya.
Dimas memegang bahagian peha Ganthreenya. Tangannya tangkas mendapatkan cotar Holotron kepunyaan Ganthreenya. Lantas Dimas menghidupkan fungsi perisai pada cotar Holotronnya itu.
“Adakah ini cotar Holotron yang sama seperti yang digunakan oleh Warok-warok Empayar Dresanala?” Sempat Dimas bertanya. Matanya tidak ditumpukan kepada Wiranto, lebih kepada mengawasi keadaan sekeliling. Takut-takut ada musuh yang menghampiri. Dia sedar, dia tidak boleh leka, walaupun ini adalah satu latihan sahaja.
“Dari mana Pangeran fikir asal usul teknologi ini jika bukan dari kaum Isbin?” Jelas Wiranto. Dia meneka kepintaran Dimas. Dia menyerang pesawat kaum Depitsa yang kelihatan seperti sotong kurita itu.
Dimas dapati ada terdapat sebanyak empat buat pesawat Depitsa yang sedang menyerangnya. Dia mengarahkan tangannya kepada salah sebuah pesawat Depitsa yang berada paling dekat dengannya. Dengan pantas dia telah mengunci kedudukan pesawat itu dan dibedilnya dengan beberapa das tembakan bio-plasma. Serangan itu mengena pada pesawat Sepitsa itu. Letupan dahsyat menandakan satu pesawat telah terkubur. Wiranto tersenyum sinis. Dia tahu, Dimas tangkas.
Pesawat Depitsa yang lain bertubi-tubi menyerangnya. Dengan pantas dia melindungi dirinya dengan perisai yang ada. Yang anehnya, setiap kali perisai itu mengena kepada tembakan meriam laser dari pesawat Sepitsa itu, perisai itu seolah-olah menjadi semakin kebal.
Dimas menoleh ke arah Ganthree Wiranto. Dia dapati Wiranto telah menggunakan kapaknya untuk bertarung dengan musuhnya.
Dengan sekejap masa sahaja dia dapat memusnahkan sebanyak dua buah pesawat Depitsa tanpa perlu menggunakan senjata bio-plasmanya.
Sebuah lagi pesawat Depitsa kini bergerak laju ke arah Dimas. Ia mengarahkan tembakan laser bertubi-tubi kearahnya. Dimas menggunakan perisai untuk melindungi dirinya.
“Gunakan gada Pangeran.” Wiranto sempat mengingatkan Dimas.
Dimas membuka pergerakan dengan gada tersemat di tangan kanannya. Dengan pantas dia terbang seiringan dengan pesawat Depitsa yang datang menyerangnya tadi. Ia mencengkam bahagian badan pesawat musuhnya itu, lalu tanpa berlengah dia terus membenamkan mata gadanya ke dalam kokpit pesawat tersebut.
Dimas terbang sejauh mungkin sebaik sahaja dia menarik keluar gadanya yang telah terbenam dari jasad pesawat musuhnya itu. Beberapa detik kemudian, pesawat Depitsa itu meletup dengan sendirinya.
“Ini semua hanya latihan simulasi.” Jelas Wiranto. “Apa yang Pangeran akan hadapi nanti mungkin sepuluh kali lebih dahsyat dari sekarang.” Wiranto cuba menggentarkan perasaan Dimas. Tujuannya supaya Dimas tidak lekas berpuas hati dengan ketangkasannya bersatu dengan Ganthreenya.
“Saya tahu… Saya sudah lama bersedia.” Ujar Dimas dengan nada yang angkuh. Dia tidak memandang langsung ke arah Wiranto. Wiranto membiarkan lagaknya.
“Pangeran belum bersedia untuk melawan mereka… Begitu juga saya.” Ujar Wiranto. Dia menudingkan jari Ganthreenya ke ruang angkasa di bawah mereka. Dimas membenamkan pandangannya ke arah yang dirujuk oleh Wiranto.
Apa yang dapat dilihatnya adalah bebola cahaya yang amat terang dari kesan sinaran para plasmik yang dikeluarkan. Apabila ia berada semakin dekat dengannya, ia nampak seperti sekumpulan kristal yang tajam berbentuk sfera berukurlilit sepuluh meter.
“Kita tidak boleh melawannya?”
“Tidak.” Sebut Wiranto dengan pantas, pendek dan jelas.
Dimas menggunakan alat pengimbasnya untuk meneliti kapalangkasa aneh di hadapannya. Dengan cepat komputer Ganthreenya menurunkan infomasi yang telah dikumpulnya ke dalam minda Dimas.
Kapalangkasa itu diperbuat dari sejenis kristal yang tidak dikenali oleh komputer yang menganalisanya. Ia tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa ia mempunyai sebarang enjin untuk membawanya bergerak; tetapi kristal ini jelas dapat bergerak dengan laju. Teknologi pesawat kristal di hadapannya ini ternyata terlalu jauh ke hadapan, lebih maju. Mungkin beratus ribu tahun ke hadapan teknologi yang ada pada kaum Isbin atau yang terdapat di Empayar Dresanala.
Wiranto menembak pesawat itu berkali-kali dengan meriam lasernya—pancaran lasernya itu langsung tidak meninggalkan sebarang kesan pada pesawat kristal itu. Malah beberapa saat kemudian, tembakan laser dari Wiranto kesemuanya telah disedut masuk ke dalam satu arah tuju yang ada di hadapan pesawat misteri itu.
Dari imbasan Dimas tadi, beliau mendapati bahawa kapalangkasa misteri tersebut menampung sejumlah tenaga yang agak tinggi. Begitu tinggi sehingga ia mampu mencipta sebuah vorteks kecil di hadapannya
Kristal itu telah mengarahkan vorteks di bawah kawalannya itu supaya menyedut pesawat Ganthree Wiranto.
Pesawat Ganthree Wiranto sedang ditarik-sedut oleh vorteks misteri itu. Wiranto dengan sedaya upaya cuba melepaskan dirinya dari terus disedut ke dalam vorteks kecil di hadapannya. Ganthreenya sekarang mula mengeluarkan bunyi aneh dari bahagian enjinnya yang telah dihidupkan sepenuhnya.
Wiranto melepaskan beberapa buah torpedo proton dari Ganthreenya, lalu diarahkan kepada kristal tersebut, tetapi torpedonya itu juga musnah disedut ke dalam vorteks. Malah, letupan pada torpedo tersebut juga dengan cepat disedut oleh vorteks tersebut. Dia bagaikan berputus asa.
Pesawat Gantree Wiranto kini langsung tidak dapat dikawalnya lagi. Ia terus menjunam disedut oleh vorteks. Ganthreenya berkecai seribu sebelum dia disedut vorteks lalu terus hilang bersepai di dalam ruang angkasa.
Dimas terkejut. Bahagian mindanya yang memberitahunya untuk melawan atau melarikan diri kini telah mengarahkan untuk membawa dirinya sejauh mungkin dari kristal sfera asing di hadapannya. Tetapi belum sempat dia dapat terbang jauh dari kristal aneh itu, pesawat Ganthreenya telah diserang. Bunyi siren mula menghantui kepalanya. Jelas kini bahawa dia sedang berada di dalam keadaan merbahaya.
Dimas tidak akan panik. Berkali-kali dia telah dinasihati oleh Khairul supaya jangan sekali-kali panik bila dia menghadapi keadaan seperti ini. Biar apapun cabaran yang bakal dibentang di depannya. Banyak perkara boleh diselesaikan jika dia berada di dalam keadaan tenang dan menggunakan fikirannya. Dia kena fokus.
Dimas menarik nafasnya panjang-panjang dan melepaskannya dengan perlahan untuk mengawal nadinya yang sedang berdentum dengan cepat itu. Mindanya perlu ditenangkan supaya dia dapat berfikir dengan rasional.
Dimas cuba mengimbas kembali tentang vorteks yang telah tercipta di hadapan pesawat kristal itu. Vorteks tersebut akan menyedut apa sahaja yang ditujukan kepada sfera kristal tersebut termasuk tembakan laser dan torpedo proton. Belum sempat torpedo proton menyasar ke sasaran, ia akan musnah, lantas disedut ke dalam vorteks.
Di dalam penelitiannya di masa yang begitu singkat itu, dia telah mendapati vorteks tersebut seolah-olah membuka sebuah gerbang dimensi, lantas menyedut apa sahaja ke dalamnya. Bagaimana pula jika torpedo proton dapat diprogramkan supaya ia meletup sebelum ia dapat dimusnahkan oleh vorteks? Tentu gerbang dimensi itu akan terganggu!
Dimas pernah mempelajari teori dimensi di dalam salah sebuah kelas yang telah diauditnya di Universiti Garro. Menurut professornya, dunia pelbagai dimensi ini memang wujud. Malah, jika mereka mempunyai teknologi untuk mengawalnya, mereka boleh menjelajah merentas galaksi, malah beberapa lagi perkara yang mungkin tidak mampu difikirkan oleh mereka dengan tahap teknologi yang mereka ada kini.
Yang pasti buat Dimas kini, dia sedang berhadapan dengan seterunya yang mempunyai tahap teknologi yang terlalu jauh dari jangkauan imaginasinya.
“Pastinya kesan letupan akan dapat bertindak untuk mengganggu vorteks dimensi yang telah diciptanya. Ia juga akan cukup kuat untuk menggegarkan sfera kristal itu.” Bisik Dimas di dalam hati.
Dimas jelas mahu merealisasikan ide pertamanya. Dia bertindak tangkas untuk memprogramkan torpedo protonnya, lalu dilepaskan keempat-empat torpedo protonnya kepada sfera kristal di depannya. Seperti yang dijangkakannya, keempat-empat torpedo protonnya itu meletup di hadapan sfera kristal tersebut.
Kesan letupan agak kuat. Vorteks dimensi itu kelihatan sedikit terganggu. Gerbang dimensi yang telah terbuka sejak tadi, hilang buat beberapa detik. Ini telah membuatkan sfera kristal itu hilang sistem pertahanannya. Sfera kristal itu bergegar kuat akibat dari terkena gelombang tenaga dari bedilan itu.
Ganthree Dimas sendiri tercampak beberapa ratus meter di ruang angkasa. Dimas mengambil peluang ini untuk melepaskan dirinya dari tarikan vorkteks.
Tetapi tanpa diberi sebarang amaran, dia dapat melihat bentuk ruang di hadapannya berubah seolah-olah ia telah ditarik masuk ke dalam sebuah titik kecil di tengah-tengah angkasalepas. Titik tersebut menjadi semakin besar, lantas menampakkan gerbang vorteks di hadapannya. Vorteks tersebut mula menyedut Ganthreenya.
Dimas tidak mungkin dapat melepaskan dirinya. Dia pasti bahawa Ganthreenya akan musnah pada bila-bila masa sahaja. Ternyata kini lawannya itu terlalu kuat. Di luar jangkaanya.
Ganthreenya terus disedut oleh vorteks. Badan pesawat Ganthreenya mula mengeluarkan bunyi-bunyi yang aneh, lagi nyaring. Bergema satu ruang angkasa. Seolah-olah nyawanya menjerit keperitan. Tekanan graviti yang begitu kuat telah menyebabkan beberapa bahagian pesawat Ganthreenya itu terkopak. Di dalam beberapa saat sahaja, pesawatnya itu terus berkecai…

Kokpit Dimas terbuka. Di dalam masa yang sama dia membuka matanya. Tekaknya masih penuh dengan cecair yang telah memenuhi kokpitnnya tadi. Dia termuntah mengeluarkan isi cecair yang telah memenuhi tekaknya dan paru-parunya.
“Lama kelamaan nanti Pangeran akan terbiasa dengan keadaan ini.” Ujar Wiranto sambil mengurut-urut tengkuk Dimas.
“Apa yang telah menyerang kita tadi?” Tanya Dimas. Dia sedar bahawa pesawat Ganthreenya telah musnah dalam simulasi yang baru disertainya.
“Itu adalah pesawat kaum Pei yang telah memusnahkan planet Isbin. Dan itulah yang bakal tiba ke sini untuk memusnahkan kita nanti.” Ucap seorang pejuang Isbin yang sedang berdiri di sebelah Wiranto; seorang wanita Isbin yang pastinya baru sahaja dihidupkan kembali dari kapsul kryogeniknya. “Apa-apapun, saya ingin mengucapkan tahniah kepada awak… Oh ya, nama saya Ryekat Harderat dari puak Naradith di Kulnah.” Katanya kemudian kepada Dimas. Dia bagaikan sudah memerhatikan prestasi Dimas sejak dari mula dia bersatu dengan Ganthreenya, sehinggalah Ganthreenya itu musnah.
“Tapi kenapa? Saya telah mati tadi!” tanya Dimas kehairanan.
“Ia telah membunuh saya di dalam masa 17 saat di dalam simulasi saya yang pertama. Awak dapat bertahan selama 23 saat.” Mata Ryekat nakal menjeling Dimas. “Satu teknik yang baik sebenarnya… Untuk meletupkan torpedo proton di hadapan kristal Pei itu.”
“Jadi itulah kuasa asing yang dikatakan akan memusnahkan kita semua satu hari nanti?” tanya Dimas kepada Wiranto, tetapi matanya masih melekat pada Ryekat. Dia mula mendapati bahawa tubuh Ryekat sama tinggi sepertinya, yang jelas menunjukkan bahawa bagi seorang Isbin, beliau mempunyai tubuh yang agak rendah. Selain dari itu, Dimas dapati yang Ryekat mempunyai wajah yang agak menarik. Ryekat juga mungkin hanya beberapa tahun lebih tua darinya. Terlalu banyak persoalan dan pernyataan yang berlegar di kotak fikirannya.
“Ya, Pangeran.”
“Bagaimana nanti, kalau kita dapat memusnahkannya?”
“Kita tidak mungkin akan dapat memusnahkannya. Ia terlalu kuat untuk dimusnahkan oleh kita.” Jelas Ryekat dengan suara perlahan. Dia teringatkan kepada planetnya yang telah dimusnahkan oleh kaum Pei. Juga berbillion-billion kaum Isbin yang telah musnah bersamanya. Kaum keluarganya merupakan di antara mereka yang menjadi korban dalam kemusnahan yang ngeri itu.

Dimas mengeluh. Dia jelas kepenatan. Kini dia mula sedar bahawa ada kuasa yang lebih besar yang terpaksa dihadapinya nanti. Dia berharap dia tidak akan bertemu dengan kaum Pei ini. Dia akur dengan kekuatan kaum ini, dia pasti akan menemui kemusnahan… Bukan dia sahaja, malah nyawa semua makhluk yang ada di dalam alam semesta ini mungkin ditamatkan oleh mereka!

Bab 25


“Tanpa koordinat yang tepat, mencari sebuah planet seperti Sewoko adalah seperti mencari sebutir pasir diantara banyak-banyak pasir yang ada di sebuah gurun berpadang pasir.”
-- Laporan Konspirasi Empayar Dresanala Terhadap Persekutuan Maladur.

Dimas kini dapat melihat perubahan yang mula berlaku kepada Ganthreenya. Dia cukup berpuas hati melihat pesawatnya kini mula membentuk kepada pesawat yang telah direkanya sendiri. Malah kini dia merasakan bahawa Gantreenya ini kelihatan lebih menakutkan dari Ganthreenya yang tercipta di dalam bentuk simulasi.
“Haiwan ini memang wujud di planet awak ke?” tanya Ryekat yang sejak tadi berdiri termenung di hadapan Ganthree Dimas. Matanya terpaku terus kepada kepala Ganthree Dimas.
“Tidak… Ianya hanya haiwan mitos yang dikenali dengan nama barong. Mitos manusia dari Bumi.” Jelas Dimas. Dia dapat melihat beberapa ekor haiwan yang kelihatan seperti labah-labah hitam dan belut memeriksa Ganthreenya itu. Ia masuk keluar di dalam tubuh Ganthreenya itu seolah-olah ia tahu apa yang sedang dilakukannya.
“Saya ada lihat dua tiga rekabentuk Ganthree yang dicipta manusia… Semuanya nampak aneh.” Ujar Ryekat seolah mengadu. Matanya yang berwarna biru pekat itu menusuk ke dalam diri Dimas apabila dia memandang terus kepadanya.
“Entahlah… Memang aneh agaknya.” Ujar Dimas seolah-oleh terlalu sibuk keadaannya pada ketika itu.
“Saya tak kenal dengan ramai manusia…” Ryekat memberitahu.
“Saya tahu.” Ujar Dimas pendek.
“Jadi apa nama Gantree awak?”
“Wiranto telah meminta saya menamakannya Triwikrama, Gantreenya pula bernama Saronodewo.”
“Nama-nama Ganthree awak juga aneh. Tapi saya yakin ianya membawa makna dalam bahasa Dresanala.”
“Bahasa Jawa kuno sebenarnya.” Dimas menjelaskan. “Kedua-duanya adalah jenis-jenis gergasi yang wujud di dalam mitos Jawa-Hindu dari Bumi.”
“Maaf saya tak tahu tentang ini semua. Saya belum sempat meneliti budaya manusia.” Mata Ryekat yang bulat serta gelap itu memandang ke atas sebelum dia kembali menatap wajah Dimas.
“Jadi bila awak disedarkan dari kapsul kryogenik awak?”
“Alah baru saja… Dua minggu lepas.”
“Jadi awak dah tahu keadaannya di Dresanala sekarang ini?”
“Saya tahu…” Sambut Ryekat dengan penuh kesal. Matanya jelas sedih. “Bangsa kami telah diperhambakan… Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Tetapi… Mungkin lebih baik keadaannya dari kami dimusnahkan terus oleh kaum Pei. Sekurang-kurangnya sekarang ada diantara bangsa kami yang masih terus hidup.”
Ryekat termenung jauh. Dia memikirkan kembali perkara-perkara yang didengarnya berlaku kepada kaumnya yang telah diperhambakan di Dresanala. Sukar untuk dia menerima bahawa walaupun banyak telah berjaya dicapai oleh Empayar Dresanala, banyak juga perkara yang melibatkan kaum Isbin yang telah dikorbankan. Kini, kaum Isbin yang telah dilahirkan Dresanala hampir kesemuanya tidak mampu untuk memahami bahasa mereka, mahupun menganuti lagi agama asal mereka lagi. Segala-galanya yang boleh mengingatkan kaum Isbin kepada sejarah bangsa mereka telah dihapuskan sama sekali. Sesiapa di kalangan kaum Isbin yang didapati bersalah untuk mengajar bahasa Isbin dan ajaran agama mereka itu akan dikenakan hukuman bunuh. Ramai yang telah terkorban semata-mata mahu mengajar anak-anak Isbin tentang sejarah, budaya, agama serta bahasa mereka sendiri. Selama lebih seribu tahun mereka telah terapkan dengan nilai bahawa mereka telah dilahirkan untuk memperhambakan diri mereka kepada kaum manusia.

Manusia moden telah wujud sejak lebih kurang 15,000 tahun yang lalu, manakala kaum Isbin telah menjelajah galaksi mereka sejak 27,000 tahun yang lampau. Tatkala kaum Isbin telah berjaya menerokai hampir ke seluruh pelusuk galaksi mereka, kaum manusia masih lagi duduk di dalam ceruk-ceruk gua. Dan kini mereka terpaksa tunduk kepada kaum manusia yang memerintah mereka di Dresanala. Di sebuah dunia begitu jauh dari galaksi mereka sendiri…

“Saya masih tidak faham dengan kaum Pei ini…” Ujar Dimas. Dia takut untuk memandang kepada wajah Ryekat. Semakin lama dia memandangnya, semakin tebal perasaan aneh yang tidak pernah dirasainya itu menjerut sanubarinya.
“Sebenarnya saya sendiri tidak begitu faham dengan kewujudan mereka. Apa yang saya tahu, mereka ingin menguasai segala-galanya. Dan memusnahkan segala-galanya”
“Mereka akan musnahkan kita semua?”
“Ya.”
“Mereka telah memusnahkan Isbin…”
“Ya, mereka telah memusnahkan planet Isbin dengan memusnahkan sistem suria kami, sepasang bintang binari yang dikenali dengan nama Kaldi I dan II. Mereka mempunyai teknologi untuk menyebabkan Kaldi I dan II musnah di dalam sebuah supernova… Yang anehnya—“
“Apa yang aneh?”
“Secara teknikal, dunia kami belum musnah lagi.”
“Kenapa?” Tanya Dimas dengan kedutan yang jelas timbul di dahinya.
“Dunia kami masih wujud lagi dan belum lagi dimusnahkan. Kami telah tercampak di sini di dalam satu lingkungan masa yang berlainan. Masalahnya, semua ini hanya akan berlaku dua tahun dari sekarang di galaksi kami sendiri.”
“Jadi kaum Pei ini akan memusnahkan kami pula dua tahun dari sekarang?” Dimas mahu memastikan sekali lagi perkara yang diketahuinya ini.
“Junjungan kami Seguiri telah melakukan segala apa yang termampu olehnya untuk cuba mengelakkan perkara ini dari berlaku. Termasuk cuba datang ke galaksi ini untuk memberi amaran kepada kaum manusia tentang ketibaan kaum Pei ini. Cuma apa yang telah dirancangkannya tidak berjalan seperti mana yang telah dijangka. Semua ini adalah dugaan dari para Dewa.” Kata Ryekat sambil memegang lehernya. Dimas dapat merasakan bahawa di dalam usia Ryekat yang muda itu, dia pasti telah menyaksikan pelbagai jenis kesukaran di dalam hidupnya. Salah satu darinya pasti dia melihat sendiri bagaimana planetnya itu dimusnahkan oleh kaum Pei.
“Kaum Pei ini… Ia bukan seperti kita?” Tanya Dimas. Dia boleh mengagak tentang xenobiologi kaum Pei yang aneh ini dari pengalamannya di dalam simulasi Ganthreenya semalam.
“Tidak… Ia adalah sejenis mahkluk berbentuk tenaga. Ia tidak mempunyai tubuh seperti kita. Ia hanya hidup di dalam kristal sfera mereka itu. Bergerak menjelajah alam ini sejak 30 juta tahun yang lampau.”
“Begitu lama sekali?”
“Kaum Pei… seperti kaum Tegu juga telah lama wujud. Mereka berasal dari sebuah galaksi yang begitu jauh dari galaksi kami atau di galaksi Bima Sakti ini. Dari kaum Tegu lah kami mendapat tahu tentang kewujudan kaum Pei dan kami dapat tahu bahawa ia akan menyerang kaum Manusia selepas mereka menyerang kami.” Kata Ryekat. Selaput matanya tertutup walaupun kelopak matanya terbuka lagi. “Kaum Tegu ada memberitahu kami serba sedikit tentang kaum Pei ini…
“Mereka pada mulanya mempunyai jasad seperti kami. Tetapi pada satu ketika dahulu, kira-kira lebih sejuta tahun yang lalu, mereka telah berperang dengan kaum Tegu. Pada peperangan tersebut, kaum Tegu telah menggunakan senjata biogenik yang dikenali sebagai senjata Ganai untuk menyerang kaum Pei. Senjata biologi itu telah menyebabkan kaum Pei kalah teruk dalam peperangan tersebut. Kaum mereka menghadapi kepupusan yang nyata. Jadi untuk menyelamatkan diri mereka, kaum Pei telah menggunakan sejenis teknologi supaya roh yang ada tubuh mereka yang telah diserang penyakit itu dipindahkan kepada bentuk tenaga. Lebih sebilion bangsa Pei yang akhirnya berjaya diselamatkan dengan cara ini dan mereka ditempatkan ke dalam kristal yang awak lihat semalam.
“Kristal sfera itu kami kenali dengan nama Dikeman . Ia mengandungi kesemua ahli kaum Pei yang telah terselamat itu, dan mereka terus hidup menjelajah dari satu galaksi ke galaksi yang lain sejak 20 juta tahun yang lalu. Mereka mempunyai satu pemikiran kolektif.
“Kaum Tegu pasti mempunyai teknologi untuk memusnahkan kaum Pei!“ Kata Dimas bersungguh-sungguh.
“Ya, mereka memang mempunyai teknologi tersebut. Tetapi sejak berkurun-kurun lamanya mereka telah mengambil keputusan untuk menjadi sebuah kaum yang cintakan keamanan. Mereka telah bertekad untuk tidak mahu bertelagah dengan sesiapapun, termasuk kaum Pei. Tetapi… Mereka telah campurtangan akhirnya dengan memberikan beberapa maklumat penting tentang kaum Pei serta apa yang mampu kita gunakan untuk memusnahkan mereka.” Jelas pengetahuan Ryekat tentang kaum Pei ini agak mendalam, walaupun pada mulanya dia mengatakan bahawa apa yang diketahuinya terlalu cetek.
“Tujuh kristal itu… Kristal keenam yang ada pada Seguiri dan sebiji lagi pada Senopati Khairul.” Ujar Dimas yang dengan cepat dapat meneka apa yang mahu dinyatakan oleh Ryekat kepadanya.
“Tujuh kristal itu telah dicipta oleh kaum Tegu sebagai ciptaan mereka yang paling hebat sekali. Kaum Pei telah berperang dengan kaum Tegu kerana mereka mahu memiliki kristal-kristal ini. Kristal ini dapat memberikan kuasa yang mutlak kepada sesiapa yang berjaya menyatukannya. Mereka yang berkuasa dapat mengawal masa dan ruang. Kuasa ini terlalu hebat sehingga kaum Tegu sendiri akhirnya mengambil keputusan untuk memastikan bahawa ia tidak akan sekali-kali jatuh ke tangan mereka yang mempunyai niat yang jahat. Ketujuh-tujuh kristal ini telah mereka sebarkan ke seluruh pelusuk alam di tujuh buah galaksi.
“Tetapi kaum Pei akhirnya dapat juga mengesan lokasi-lokasi kristal ini.”
Ryekat mengangguk lesu. Wajahnya jelas sedih.
“Tentu awak mahu melihat planet kami.”
“Boleh jugak.”
“Saya boleh tunjukkan.” Jelas Ryekat. Dia mengukir sekuntum senyuman di wajahnya.
“Saya hanya sebuah android… Saya bukan manusia. Mungkin saya tak akan nampak apa-apa.”
“Saya tahu awak android. Dari mula lagi saya tahu. Awak tidak mempunyai bau seorang manusia.” Ujar Ryekat perlahan. “Dimas… Sejak 30,000 tahun dahulu ahli falsafah kami telah berdebat samada kami semua hanya wujud sebagai mahkluk yang mempunyai jasad seperti yang kami ada ini ataupun kami mempunyai sesuatu yang lebih dari itu – sesuatu yang wujud selain dari tubuh kami ini serta apa yang membuatkannya berrfungsi.”
“Maksud awak roh?” Tanya Dimas. Dia mempercayai kepada kewujudan roh. Kaum Pei yang maju ke hadapan itu telah berjaya mengeluarkan ‘roh’ dari jasad mereka lalu, hidup berjuta-juta tahun menjelajah galaksi. Mungkin kaum Isbin tidak mempercayai kepada kewujudan roh…
“Memang sukar untuk membuktikan tentang wujudnya roh di dalam diri kita ini Dimas, jadi kita lebih bersedia untuk menerima diri kita ini sebagai makhluk yang mempunyai jasad; bertubuh, dengan darah dan daging. Walaupun begitu, masih sukar untuk menerima sesuatu yang mempunyai jasad tetapi dipercayai tidak mempunyai sesuatu yang dipanggil ‘roh’ ini.” Kata-kata Ryekat terhenti di situ sahaja. Dia memegang kepala Dimas dengan tangannya.
Kepala Dimas tiba-tiba terasa kosong. Kemudian dia dapat melihat sebuah planet dari angkasalepas. Planet tersebut nampak cantik dari angkasalepas. Pada bahagian malam planet tersebut kelihatan lampu-lampu bangunan pencakar langit yang menerangi kota-kota besar di planet tersebut. Apabila dia toleh kebelakang, dia dapat melihat cahaya Kaldi I dan II menyimbah ke wajahnya.
Tanpa perlu diberitahu Ryekat, Dimas tahu bahawa dia telah dibawa untuk melihat planet Isbin dengan lebih dekat lagi. Dia terbang seperti seekor burung, melayang di awangan, memerhatikan sebuah kota Isbin dari angkasa yang luas.
Bangunan-bangunan di sini semunya besar-besar dan kebanyakkannya berwarna putih. Ada yang berkubah besar dan ada pula berbentuk piramid dan silinder.
Dimas diperlihatkan kepada segala keindahan yang ada di Isbin; taman-taman yang mengundang ketenangan di kota itu, haiwan-haiwannya yang jinak, penduduk-penduduknya yang nampak bahagia dengan kehidupan mereka.
Kemudian semuanya hilang begitu sahaja. Dimas menarik nafasnya. Dia melihat Ryekat menarik balik tangannya dari kepala Dimas.
Dimas memandang kepada wajah Ryekat yang penuh duka itu. Jiwanya terusik setelah dia dibawa mengingati kembali kota kelahirannya yang kini telah hancur musnah itu.
Dimas cuba memujuknya. Dia memegang tangan Ryekat yang lembut itu.
“Awak seorang telepath. Semua orang-orang Isbin mempunyai kebolehan telepathic seperti awak?” tanya Dimas dengan suara perlahan.
“Tidak, hanya mereka dari kasta agama mempunyai kebolehan ini.” Jelas Ryekat. Perkara ini langsung dapat menjelaskan keadaan tubuh Ryekat yang kelihatan lebih kecil dari Moksar yang berasal dari kasta tentera itu.
“Jika awak berasal dari kasta agama, jadi kenapa awak ikut berperang sama?”
“Kemunculan kaum Pei telah menyebabkan kami akhirnya meninggalkan sistem kasta ini. Kami hanya mengikut kehendak Junjungan kami Seguiri. Itupun bukan semua di Isbin yang dapat menerima saranannya itu. Ramai juga yang menentangnya. Yang terselamat diantara kami sekarang adalah pengikut-pengikutnya.”
Dimas menundukkan kepalanya. Dia tidak mungkin akan dapat memahami keadaan yang telah berlaku di Isbin sebelum dunia mereka dimusnahkan. Tetapi apa yang difahaminya kini adalah kesedihan yang yang menyelubungi diri Ryekat.

**

Khairul memandang kepada Za. Dia mencongak-congak beberapa kali di dalam kepalanya. Dia perlu mengambil keputusan samada dia perlu memberitahu kepada Za tentang penemuannya di Giandee atau dia perlu terus merahsiakannya. Tetapi dari apa yang difikirkannya, Za perlu tahu tentang hal ini supaya dia dapat menyediakan dirinya kelak mereka tiba ke sistem Arjuna nanti.
“Syarekat Perlombongan Joglosemar yang bertanggungjawab ke atas segala serangan yang dilakukan ke atas Dresanala.” kata Khairul kepada Za dengan perlahan. Matanya terus kehadapan, melihat arus cahaya bintang di dalam hyperruang.
“Saya memang pernah dengar nama syarikat tersebut. Tetapi saya tidak begitu arif dengan hal perdagangan Empayar Dresanala.” Za berterus terang. Jari jemarinya yang keras itu menyapu matanya yang besar serta bersirip itu untuk membersihkannya.
“Mereka merupakan syarikat perlombongan yang memiliki kepentingan di Dresanala dan Sewoko. Diantara syarikat korporat paling kaya di galaksi ini.”
“Jadi mereka ada berhubung kait dengan kes yang sedang kita siasat ini?”
“Ya… Mereka dan Kumpulan Panah Hitam.” Khairul tertunduk sewaktu kalimah-kalimah ini keluar dari mulutnya. “Kumpulan bawah tanah ini mempunyai banyak kepentingan dengan Joglosemar.”
“Jadi kenapa dengan mereka?”
“Sejak dari mula lagi kumpulan ini telah dianggotai oleh mereka dari kasta Vaisya. Salah satu misi utama Kumpulan Panah Hitam adalah untuk memastikan bahawa kasta vaisya dapat menguasai Empayar Dresanala dengan menjadikannya sebuah republik.”
“Jadi apa tindakan mereka seterusnya.”
“Za… ketika Empayar Dresanala mahu berdamai dengan kaum Ur’dakh, kami telah memberi kamu konsesi kepada Jalan Perdagangan Trajutrisna yang menjalinkan rangkaian perdagangan Yorn Velu di sektor Dasamuka, Padmanaba, Danardana, Harimurti, Kesawasidi dan Ur’dakh di sektor Meru.”
“Konsesi ini jelas menaikkan ekonomi Ur’dakh.” Za memberitahu kepada Khairul sesuatu yang diketahuinya sendiri. “Keuntungan yang kami perolehi dari Jalan Perdagangan Trajutrisna ini telah membolehkan kami membeli kelengkapan senjata yang mencukupi untuk menewaskan Visbas.”
“Konsesi ini bukan percuma, Za. Tidak ada apa-apa yang datangnya dari Empayar Dresanala yang percuma. Percayalah!”
“Saya faham…”
“Jalan Perdagangan Trajutrisna dipercayai dikawal oleh Kumpulan Panah Hitam.” Ujar Khairul. Dia juga tahu bahawa Kumpulan Panah Hitam adalah dalang kepada ‘penemuan’ Sewoko sebagai sebuah planet yang kaya dengan timbunan kristal Kiribati, dan bagaimana mereka akhirnya berjaya melakukan beberapa manipulasi politik untuk mendapatkan sektor tersebut dari tangan Persekutuan Maladur.
Kepala Za bergerak-gerak seperti seekor pepatung. Dia cuba memproses apa yang baru sahaja diketahuinya dari Khairul.
“Tidak syak lagi, Kumpulan Panah Hitam dan Ur’dakh pastinya sekarang sedang bersekongkol.”
“Saya tak tahu tentang ini semua, Senopati. Tetapi walau apapun yang akan berlaku nanti, saya akan setia dengan Senopati.” Za menjelaskan kedudukannya.
“Kau tidak perlu setia kepada aku atau Empayar Dresanala. Aku akan menjadikan kau sebagai tawanan perang aku. Bila konflik ini berakhir nanti, kau akan dihantar pulang ke Ur’dakh.”
“Kesetiaan saya hanya kepada tuan.” Pendek sahaja jawapan Za. Dia tidak mungkin dapat menganggap Khairul sebagai petualangnya. Di dalam budaya Ur’dakh, seorang perwira sepertinya perlu memberi sepenuh kesetiaanya kepada ketuanya di dalam satu-satu misi. Di dalam misi ini Khairul adalah ketuanya. Menderhaka kepada seorang ketua adalah satu perkara yang tidak boleh dimaafkan di dalam budayanya.
Za pasti Khairul tidak akan dapat memahami bahawa jika dia bertindak untuk tidak bersamanya melawan musuhnya, dia dikira sebagai menderhaka, walaupun musuhnya adalah bangsanya sendiri. Manusia memang spesis yang aneh!
“Aku tidak mahu kau mengkhianati kerajaan Ur’dakh.” Khairul memandang serius keputusan yang telah diambil oleh Za.
“Percayalah tuan, jika saya tidak berjuang dengan tuan nanti, saya tidak mungkin akan dapat menghadapi kaum saya nanti. Saya akan dianggap sebagai pengkhianat sampai bila-bila. Tuan perlu faham, kaum kami terkenal sebagai kaum yang sering berkhidmat sebagai askar upahan untuk pelbagai tamadun di galaksi kita ini. Kami mempunyai nilai yang berbeza—“
“Baiklah. Aku akan menghormati keputusan kau itu.” Khairul bangga dengan sikap taat setia yang ada di dalam diri Za, walaupun jika dia berada di dalam kedudukan Za, dia akan tetap setia kepada Empayar Dresanala. “Aku harap aku silap di dalam telahan aku tentang perkara ini.”
Za tidak menjawab. Samada Khairil betul atau salah di dalam analisanya itu tidak penting baginya. Kerana bagi Za, yang lebih penting adalah kesetiaanya kepada Khairul.

**

Bupati Achyat Wicaksana mengelap peluh jantan yang mula terkumpul di dahinya. Perasaan ragu-ragu yang ada di dalam dirinya sejak tiga hari yang lalu. Dia mula merasakan bahawa dia patut menarik diri segala apa yang telah dilakukannya selama ini.
Achyat yang telah diamanahkan untuk menerajui tampuk kerajaan Empayar Dresanala sebagai seorang Bupati itu kini matanya tertumpu penuh kepada sebuah akuarium besar di hadapannya. Dia sedang memerhatikan sekumpulan ikan karnivor yang bersaiz kecil tetapi mempunyai gigi-gigi yang tajam. Ikan Hazlia yang hanya boleh didapati di planet Chitsua ini berenang di dalam kelompoknya sendiri, mengelilingi sebongkah daging yang masih segar berdarah sambil memakannya dengan penuh rakus. Di dalam sekejap masa sahaja bongkah daging itu tinggal cebisan-cebisan kecil yang jatuh ke bawah akuarium.
“Kau tentu tahu bagaimana mereka yang menderhaka kepada maharaja di hukum?” Tanya suara yang berkumandang dari belakang akuarium.
“Saya tahu gusti.“ Bayang-bayang lembaga yang berbalas kata dengan Achyat dapat dilihatnya di sebalik akuarium, walaupun akuarium itu nampak berkeladak dengan warna darah biru yang datangnya dari bongkah daging yang telah diberikan kepada ikan-ikan Hazlia ini.
Kaum Isbin merupakan diantara spesis humanoid yang mempunyai sel darah biru. Sel hemocyanin mereka terkandung logam kuprum dan bukan logam ferum seperti yang ada di dalam hemoblogin manusia. Jadi dengan sekali imbas Achyat tahu bahawa seorang Isbin telah dikorbankan sebagai bahan makanan ikan-ikan hazlia yang tidak tahu erti kenyang ini.
“Kaum Klahbi menghukum mereka yang menderhaka dengan hukuman penjara seumur hidup. Kaum Cekaines pula dengan hukuman bunuh. Bagi Empayar Dresanala pula, hukumannya adalah seksaan yang perlahan sebelum pesalah dibenarkan mati. Dan kita semua tahu bahawa Empayar Dresanala telah menjadikan penyiksaan satu cabang seni…”
Achyat tidak menjawab. Anak tekaknya bergerak-gerak apabila dia menelan air liurnya sendiri.
“Setiap seorang dari mereka yang bergelar 10 Durjana telah diseksa di sini kecuali seorang… Sebelum mereka dimasukkan dengan perlahan-lahan ke akuarium ini, mereka telah diberikan ubat untuk memastikan bahawa tubuh mereka kaku, dan di dalam masa yang sama, satu lagi ubat untuk menjadikan mereka lebih peka terhadap apa jua rangsangan yang datang.” Ujar lembaga tersebut, dia bergerak ke arah Achyat.
Achyat menggeletar ketakutan, lebih-lebih lagi apabila lembaga tersebut datang menghampirinya.
Lembaga yang menggerunan itu berwajah putih serta pucat, tak ubah seperti mayat. Anak-anak matanya merah jenak melihat siapa jua yang menentang wajah bengisnya . Ramai yang tidak tahu yang satu ketika dahulu, dia pernah bergelar manusia dengan sifat lengkap seorang manusia. Kini tubuhnya telah diubahsuai sehingga ia jauh berbeza dari bentuk asalnya. Menakutkan dan sungguh mengerikan. Sesiapa yang terserempak dengannya, boleh membau kejahatan yang mengalir dalam tubuh lembaga itu.
Tubuh araknidanya bersisik dan berlendir. Empat pasang kakinya pantas merayapi lantai, tidak ubah seperti seekor labah-labah gergasi yang berbisa.
“Tentunya kau tidak mahu sejarah mengingati diri kau sebagai seorang penghianat, bukan?” tanya lembaga tersebut.
“Tidak, gusti.” Achyat tertunduk takut. Dia tidak kisah menanti mati, tetapi dia tidak mahu dirinya diseksa dengan perlahan sehingga berhari-hari lamanya sehingga dia merayu supaya dirinya dibunuh.
“Jadi lakukan setiap apa yang telah dirancangkan. Kau perlu ingat, jika bukan kerana Kumpulan Panah Hitam, kau tidak akan dipilih menjadi Bupati Empayar Dresanala ini.” Kata ketua Kumpulan Panah Hitam itu dengan suaranya yang keras dan mengerikan.
“Saya tahu gusti.” Dia hampir-hampir tidak mampu bernafas. Lebih-lebih lagi apabila lembaga tersebut mendekatkan dirinya kepadanya. Bulu romanya meremang naik. Aku tidak boleh berpatah balik lagi. Semua yang telah dirancangankan perlu dilaksanakan.
Lembaga tersebut menapak beberapa langkah ke hadapan. Dia mendongak, wajahnya jelas kelihatan walaupun bilik rahsia yang terletak di bawah Kraton Pakubuwono Hadiningrat itu agak malap keadaannya.
Beratus-ratus buah kempul yang menampakkan pembesar-pembesar Empayar Dresanala yang sedang berada di dalam bilik penyiksaan itu semuanya sedang tunduk hormat kepadanya. Mereka semua telah diketuai oleh Nani. Kini jelas bahawa Nani telah dihidupkan dengan tujuan membuatkan mereka bersekutu kepada Kumpulan Panah Hitam. Dengan bantuan Nani, mereka kini akur kepada segala kata-katanya serta permintaannya.
“Daulat Tuanku Adipati Ridwan yang Agung, adapun patik ini hamba juga pada ke bawah Duli Yang Mahamulia.” Ucap Achyat sambil menyatukan kedua belah telapak tangannya untuk menyembah Ridwan, lembaga lakhnat yang menakukan itu.



Bab 26

Juasseh adalah nama dewi cinta di dalam mitos Isbin. Menurut cerita, Juasseh pada mulanya adalah seorang dewi peperangan yang mempunyai sifat yang ganas. Tetapi pada satu hari, beliau telah jatuh cinta dengan seorang Isbin yang bernama Trakuna. Beliau telah diperintahkan oleh ketua para dewa, Trakkor untuk meniupkan api peperangan kepada dua buah puak yang bertelagah. Walaubagaimanapun, salah sebuah puak yang bertelagah itu ada melibatkan diri Trakuna. Juasseh tidak mengendahkan perintah ini, kerana beliau tidak mahu melihat Trakuna mati di dalam peperangan tersebut. Juasseh telah mengambil keputusan untuk tidak menjalankan tugasnya ini, lalu menjadi seorang makhluk Isbin semata-mata supaya beliau akan dapat bersama kekasihnya itu. Disebabkan oleh tindakan yang telah diambil oleh Juasseh, kaum Isbin yang dahulunya sering bermusuhan kini menjadi sebuah kaum yang bersatu padu, kerana semangat mereka untuk sering berperang sesama mereka hilang sama-sekali. Trakkor mula sedar bahawa tiada gunanya untuk membuat kaum Isbin berperang tanpa sebab. Di atas kesedaran ini, beliau telah menjadikan Juasseh dewi cinta, lantas tugasnya kini adalah untuk meniup nafas cinta kepada kaum Isbin supaya mereka menyintai kedamaian.
-- Kumpulan Mitos-mitos Isbin.


Banyak yang dapat Dimas pelajari dari Ryekat tentang budaya Isbin. Dalam sekelip mata dia mampu mengenali Ryekat—dia dapat rasakan yang dirinya semakin dekat kepada Ryekat.
Ryekat sempat menurunkan kepada Dimas sedikit-sebanyak ilmu—tentang cara-cara terbaik untuk mengendalikan Ganthreenya. Semakin banyak dia belajar dari Ryekat, semakin kerdil dirasakan dirinya. Dia merasakan pengetahuannya tentang Ganthreenya sendiri amat cetek; boleh dicongak dengan jari.
Ryekat telah memberitahu Dimas supaya menghormati Ganthree kepunyaannya seperti dia menghormati makhluk lain yang hidup dan berperasaan. Dimas cuma terdiam. Dia mendengar kata-kata itu dengan teliti dan sudah pasti akan menurutinya. Ryekat dapat menghidu yang Dimas tidak sabar lagi untuk bersatu dalam menerbangkan Ganthreenya, lantas mengukur kebolehannya sendiri. Tetapi Ryekat memberitahunya bahawa, seboleh-bolehnya dia tidak mahu menggunakan Ganthreenya untuk pergi berperang. Dia bencikan peperangan. Mungkin kerana itulah dia telah menamakan Ganthreenya dengan nama Juasseh…

Ryekat memerhatikan Dimas yang sedang terpacak di hadapan pesawat Ganthreenya. Geri sepasang mata Dimas, seolah dia menelanjangi pesawat gah itu. Dia masih terus termenung memerhatikan pesawatnya itu. Entah apa sahaja yang sedang ada di dalam benak fikirannya itu. Kadang-kala, sukar untuk Ryekat sendiri untuk menerima kenyataan bahawa Dimas hanyalah sebuah android; bukan makhluk yang bernyawa sepertinya.

Ryekat kemudian berpaling kepada Wiranto yang bertindak seperti pengawal peribadinya. Gerak-geri Wiranto jelas menunjukkan bahawa dia adalah seorang Warok. Pada kebiasaannya, Ryekat seboleh-bolehnya tidak mahu bertentang mata dengan Wiranto. Baginya, Wiranto mempunyai wajah bengis. Ini tidak disenangi oleh Ryekat. Wajahnya, sebengis wajah Moksar yang menjadi Panglima tentera Isbin. Kedua-dua mereka sama sahaja pada kacamata Ryekat. Banyak persamaan kalau diteliti seperti mereka berdua pernah terlibat dalam pelbagai jenis perbalahan, malah beberapa peperangan yang menjahanamkan dalam hidup mereka.
Wiranto tidak banyak bersuara, dia lebih gemar membatukan diri. Gerak gerinya teratur. Wajahnya tiada sebarang emosi. Kesetiaannya kini hanya kepada Dimas. Ryekat tahu jika Dimas menyuruhnya terjun ke dalam gaung, Wiranto pasti akan melakukannya tanpa berfikir panjang. Keutamaan adalah pada Dimas. Dimas seorang.
Ryekat masih tidak boleh mengusir Wiranto dari percaturan mindanya. Dengan kebolehan telepathnya, dia dapat membaca serba sedikit tentang diri Wiranto.
Ryekat dapati Wiranto tidaklah sebengis wajahnya. Apa yang diketahuinya kini, Wiranto ada menyimpan rasa penuh kecewa kepada seseorang yang pernah dicintainya separuh mati. Mungkin, rasa kecewanya timbul kerana cintanya tidak ke mana, cinta itu tidak berbalas. Dia hanya bertepuk sebelah tangan. Itu cuma telahan Ryekat.
Ryekat tidak sanggup terus menyelami jiwa dan minda Wiranto yang bagaikan sudah punah itu. Disedarinya, di sebalik wajah Wiranto yang keras itu tersimpan hati yang penuh luka.
Luka yang tidak mampu dirawat. Luka yang takkan sembuh, walau hari bertukar hari, walau tahun berlipat menjadi kurun…

“Bila agaknya kita dapat menggunakan Ganthree kita ini?” tanya Dimas kepada Ryekat.
Ryekat jaga dari lamunannnya. Dia segera membetulkan sisiran rambutnya.
“Entahlah, mungkin lebih awal dari yang kita fikirkan.” Jawab Ryekat hambar sambil matanya terbenam kepada Dimas. Dia masih teringatkan pertempuran pertamanya dahulu di Isbin. Apabila dia dikerah untuk mempertahankan Isbin dari serangan Pei, dia masih belum menamatkan latihannya di dalam cara-cara untuk mengendalikan sebuah pesawat Ganthree.
Sekonyong-konyong mereka berbual, Dimas dapat melihat wajah Ryekat tiba-tiba sahaja kaku. Dimas memerhatikan pejuang-pejuang Isbin yang lain. Ada di antara mereka yang mula bergegas ke arah Ganthree masing-masing. Ada pula seperti Ryekat, berdiri kaku mendengar apa yang tidak dapat didengar oleh Dimas.
“Apa yang telah berlaku?” tanya Dimas kepada Wiranto.
“Mereka sedang mendengar arahan di dalam gelombang bunyi yang tidak dapat didengar oleh pendengaran manusia biasa.” Jawab Wiranto.
“Kita mesti bersedia.” Ujar Ryekat dengan nada tergesa-gesa. “Masanya telah tiba untuk kita berperang.”
Dimas saling berpandangan dengan Wiranto. Wiranto tidak berkata apa-apa lagi. Dia hanya memegang bahu Dimas dengan satu genggaman yang kuat dan padu. Dia mengangguk sekali.
Dimas mengerti. Dia sendiri tidak akan memaksa Wiranto supaya memuntahkan kata-kata lagi. Dia tahu bahawa telah menjadi amalan seorang Warok untuk tidak berkata walau sepatah perkataan sekalipun ketika sedang menyiapkan diri untuk berperang. Pantang larang para Warok ini perlu dituruti untuk memastikan kesaktiannya sebagai seorang Warok terus terpelihara.

Wiranto berlari mendapatkan Ganthreenya. Dimas menarik nafasnya panjang. Dia mula merasa gentar. Dalam masa yang sama, dia mula mempersoalkan kewajaran tindakannya untuk membabitkan diri dalam konflik ini. Konflik yang mungkin mengheretnya lebih jauh, dan dia tak mungkin mampu menoleh ke belakang lagi.

**

Panji-panji Dresanala telah dikibarkan setengah tiang. Maharaja Hamengkubuwono diwartakan mangkat. Dresanala berselimut muram.

**

Suasana kelam bertukar menjadi kucar-kacir. Semboyan keselamatan dibunyikan di setiap segenap sudut kota-kota di Dresanala. Keadaan menjadi hingar bingar. Ramai di antara penduduknya masih bingung dan keliru; mereka tidak memahami apa yang mereka dengar kerana inilah kali pertama mereka mendengar semboyan ini dibunyikan. Semboyan ini terlalu kuat, membingitkan telinga siapa yang mendengarnya. Pada mereka yang faham, mereka tahu bahawa Dresanala sedang berada di dalam keadaan bahaya. Dalam keadaan darurat. Dresanala akan diiserang. Oleh siapa? Tiada yang tahu.

Di dalam markas operasi, imej-imej planet yang ada di sistem Arjuna terbentang dengan jelas. Mata Moksar memerhatikan data-data yang terhidang di hadapannya; statistik, polar dan kepadatan penduduk dan lokasi penempatan sistem pertahanan. Semua informasi ini terpaksa difahaminya sepantas mungkin.
“Armada tentera Ur’dakh dan beberapa kapalangkasa dari pihak yang tidak dikenali telahpun berada dalam sistem Arjuna, tuan. Mereka akan tiba ke Dresanala dalam masa sepuluh minit.” Beritahu seorang pegawai operasi dengan suara terketar-ketar. Dia jelas cemas.
Moksar mengangguk. Dia masih tenang. Keadaan di dalam bilik operasi menjadi semakin sibuk. Moksar telah mengisytiharkan keadaan darurat. Semboyan perang dibunyikan. Semua pejuang-pejuang Tonamon diminta untuk bersiap sedia.
Keluhan Moksar terdengar jelas bila dia diberitahu yang pihak Ur’dakh akan menyerang Dresanala. Pernah dia memikirkan suatu kemungkinan jika Ur’dakh bersekutu dengan Kumpulan Panah Hitam. Dia benar-benar takut jika kemungkinan ini akan menjadi kenyataan yang amat kelat untuk ditelan. Ur’dakh adalah antara kuasa besar yang teramat kuat yang pernah bersengketa dengan Dresanala suatu masa dahulu. Dia teramat maklum bahawa kaum Ur’dakh terkenal sebagai pejuang yang hebat dalam perihal peperangan di angkasalepas, mahupun di darat.

**

Candra dan Cacuk diperintahkan masuk ke dalam bilik operasi peperangan. Mereka berdua baru sahaja tiba ke Markas Pejuang Tonamon sebentar tadi. Mereka berdua kelihatan letih. Tapi mereka masih akur terhadap tuntutan yang lebih besar.
“Saya mewakili kaum Isbin ingin mengucapkan takziah ke atas kemangkatan baginda maharaja.” Ucap Moksar sambil tertunduk. Dia menjaga protokol. Dia merasakan, ada cocoknya kalau dia menterjemahkan kesedihan itu dengan kata-kata. Walau dalam saat-saat genting sedemikian rupa. Dengan tindakannya ini, dia sekali-kali tidak mengharap apa-apa balasan atau reaksi.
Cacuk dan Candra tertunduk sama. Mereka berdua telah mengetahui tentang kemangkatan Hamengkubuwono sejak tiga hari yang lalu—telah menjadi kebiasaan bagi pihak kraton untuk memerap berita kemangkatan maharaja sehingga seminggu lamanya. Ini untuk menyediakan pihak kerajaan menghadapi segala kemungkinan yang akan timbul akibat kemangkatan maharaja. Dalam masa yang sama, masa itu diperuntukkan untuk menghormati si mati.
Sejak Moksar mengetahui tentang kemangkatan Hamengkubuwono, dia telah menasihatkan Candra dan Cacuk untuk mendapatkan perlindungan di markas tentera ini. Dia sendiri tahu bahawa tidak ada lagi tempat yang lebih selamat di Dresanala selain dari penempatan jauh di dalam perut pergunungan Dieng ini.
“Di mana Dimas?” Cacuk deras bertanya. Candra memegang bahunya. Perasaan takut dan keliru menyelinapi dirinya.
Moksar memandang ke arah pancaran holocom yang menunjukkan kedudukan pihak musuh yang sedang maju ke arah Dresanala sebelum dia memandang tepat ke dalam mata Cacuk. Katanya pantas:
“Dia mengambil keputusan untuk berjuang mempertahankan Dresanala.”
“Gusti Allah maha agung! Apa yang telah berlaku?” Cacuk tersentak, dia segera meminta penjelasan.
“Ya, ampun! Mungkin ada kesilapan!” balas Candra pula. Wajahnya nampak kusut. “Wiranto telah diprogramkan untuk menjaga Dimas dan memastikan supaya dia dijaga pada sepanjang masa! Mana pula dia sekarang?”
“Kami telah membebaskannya dari sebarang program. Dia bebas melakukan apa sahaja yang terdetik di hatinya. Dia juga mampu membuat keputusannya sendiri!” Kata Moksar lancar; tanpa menunjukkan sebarang emosi di wajahnya. “Seperti Dimas, dia juga telah mengambil keputusan untuk berjuang dengan pihak kami.”
Cacuk tidak mampu bersuara lagi. Harapannya setinggi gunung untuk diketemukan kembali dengan Dimas apabila dia datang ke Dresanala. Dia merasakan yang penat lelahnya membelah hutan belantara dan pergunungan Dieng tidak berbalas—apa yang diharapkannya masih samar untuk dikecapinya. Dia nyata kecewa.
“Pangeran tidak perlu gusar. Dimas pandai menjaga dirinya. Dia akan berjuang dengan pejuang-pejuang yang terbaik yang kami ada. Yang telah saya pilih sendiri.” Ujar Moksar. Wajah isterinya Raina terbayang di dalam kepalanya. Raina akan mengetuai kumpulan yang dianggotai oleh Dimas untuk mempertahankan Kraton Pakubuwono Hadiningrat.

Tatkala selesai Moksar mengucapkan kalimah-kalimahnya, hampir kesemua pejuang-pejuang Tonamon telahpun dilepaskan untuk mempertahankan Dresanala. Beberapa buah kapal induk Shevira pula telahpun melakukan lonjakan hyperruang untuk tiba ke sistem Arjuna seberapa cepat yang mungkin. Mereka akan membantu pasukan tentera Empayar Dresanala yang sedia ada untuk mempertahankan kedaulatan Empayar ini.

Akan tetapi kekuatan pasukan tentera Empayar Dresanala telah ditumpukan ke Sewoko. Mungkin mereka telahpun tiba ke Sewoko, hanya untuk mendapati bahawa ia semua hanyalah satu helah. Di dalam pada mereka hendak pulang untuk mempertahankan Empayar Dresanala, mungkin semuanya mungkin sudah terlambat. Empayar Dresanala mungkin berjaya dimusnahkan dan jatuh ke tangan pihak musuh.

Wajah Cacuk melukis seribu kekecewaan. Tetapi sebagai kerabat di Raja Dresanala yang telah dilatih di dalam peradaban kraton, dia hanya berdiri tegak. Dia cuba mengawal perasaan. Dirinya cuba sedaya upaya untuk menerima sahaja musibah ini dengan tenang. Dia akur kepada suratan takdir yang tak pernah terfikir olehnya. Dia nampak gagah dalam mengemudi perasaan dan fikirannya yang berkecamuk. Adiknya Candra nampak sedikit terganggu. Dia merasa bertanggungjawab ke atas apa yang sedang berlaku sekarang. Tetapi semua ini bukanlah satu perkara yang teramat penting yang perlu difikirkannya. Yang penting baginya kini adalah untuk mempertahankan kedaulatan Empayar Dresanala.
Tindakannya mesti pantas.
“Bagaimana dengan situasi kita sekarang?” tanya Candra dengan suara yang agak rendah dan lembut, tetapi penuh dengan karisma seorang puteri maharaja. Itu sudah menjadi darah dagingnya, tidak mampu untuk disorokkan.
“Kita akan diserang oleh armada dari Ur’dakh dan beberapa kuasa lain yang bersekutu dengan Kumpulan Panah Hitam. Ada tigapuluh buah kapal induk yang sedang menyerang Dresanala.” Moksar seakan berceramah pendek. Titik-titik merah yang bergerak-gerak semakin menghampiri Dresanala; seperti yang dipancarkan melalui holocom di hadapannya. Ia mampu menggoncang ketenangan siapa sahaja yang boleh meneka kekusutan yang bakal berlaku.
“Jadi apa yang patut kita lakukan sekarang?” Soalan meloncat dari Candra. Cacuk yakin bahawa adiknya Candra pasti akan menjadi seorang maharani yang baik. Candra hanya menunggu masa sahaja untuk ditabalkan sebagai seorang maharani Empayar Dresanala—satu tanggungjawab yang dianggap terlalu besar untuk dia mendukungnya.
Dari awal-awal lagi, seperti Cacuk, Candra langsung tidak mempunyai sedikitpun minat untuk membebankan dirinya dengan tanggungjawab yang berat itu. Beliau tidak mungkin akan membenarkan sesiapapun menabalkan dirinya sebagai maharani empayar ini.
“Kita hanya mampu tunggu sambil berdoa agar mereka tidak akan dapat mengambil alih Kraton Pakubuwono Hadiningrat.” Suara Moksar tenang dan bersahaja. Matanya yang tajam itu mengusik setiap wajah.
“Jika mereka dapat mengawal kraton, perjuangan kita sia-sia belaka!” Kata Candra. Dia bergerak semakin dekat ke tengah-tengah bilik operasi. “Sambungkan saya ke Gresik. Saya perlu berbicara dengan Raden Adipati Jiwo Negroho.”
Moksar menoleh ke arah pegawai komunikasinya. Dia mengangguk perlahan, menyalur isyarat; meminta agar pegawainya itu menurut permintaan Candra tadi.
Candra terpaksa menunggu sebentar sebelum hubungan diantaranya dengan Jiwo dapat disambungkan. Sebaik sahaja Jiwo melihat wajah Candra, dia terus menyembah meminta ampun. Dia sedia maklum bahawa Candra akan ditabalkan sebagai Maharani Empayar Dresanala pada bila-bila masa sahaja.
“Raden tahu apa yang sedang berlaku sekarang?” tanya Candra dengan nada yang selalu digunakan tatkala berurusan dengan pegawai-pegawai tertinggi Empayar Dresanala. Jiwo kenal benar dengan nada suara Candra yang keras memerintah. Malah seorang abdi dalem berbangsa Isbin sendiri, jika mendengar suara Candra akan dapat meneka bahawa Candra adalah seorang kerabat Diraja Dresanala dari darjat yang pertama—tanpa perlu melihat kepada warna persalinan merah yang dipakainya sekarang.
“Kaum Ur’dakh dan beberapa buah kapalangkasa induk dari Talkin dan Devo sedang berada di dalam posisi serangan ke arah Dresanala. Mereka tidak menyahut sebarang panggilan dari kami—“
“Anggap tindakan mereka menyepi itu sebagai isyarat yang mereka akan bertindak untuk menyerang Empayar Dresanala!“
“Tapi—“
“Tidak ada tapi-tapi lagi. Mereka memang ke sini untuk menyerang kita!” Sela Candra, menyatakan sesuatu yang tidak mungkin difikirkan akan berlaku. Di sepanjang sejarah Empayar Dresanala sejak ia ditubuhkan, tiada satu kuasapun yang berani bertindak melulu untuk menyerang Empayar Dresanala di planet utamanya sendiri. “Bantuan dari Shevira akan menyusul dalam masa beberapa minit lagi. Pejuang-pejuang Tonamon pula akan bertindak mempertahankan beberapa kota penting di dalam Dresanala.” Bagaikan satu strategi termeterai. Semua akur mendengar.
“Pejuang Tonamon?” Wajah Jiwo berubah serta-merta.
“Ya! Dan mereka akan bertindak mengikut perintah saya!” kata Candra dengan suara yang sarat dengan ketegasan dan keyakinan. Dalam kenyataannya itu, tersimpul satu helah yang diisengajakan. “Di dalam masa-masa sebegini, apabila saya perlu mengambil sesuatu keputusan, saya hanya mampu mengambil keputusan yang terbaik sahaja… Saya mahu yang terbaik, untuk semua dan untuk Dresanala. Berdiam diri bukanlah kiblat saya!”
Jiwo mengangguk sahaja. Dia memerhatikan sesuatu di hadapannya. Dia dapat melihat beberapa gambar yang telah dicerap melalui satelit perisikan tentang pergerakan beberapa buah pesawat Isbin yang kelihatan seperti pesawat Garuda; cuma ia kelihatan lebih organik. Komputer di Gresik langsung tidak dapat melakukan apa-apa imbasan untuk mengetahui dengan lebih dekat tentang pesawat-pesawat bio-organik ini, mahupun ia mampu menelitinya dengan lama.
Pesawat-pesawat aneh ini tiba-tiba sahaja tidak dapat dikesan mereka. Lenyap begitu sahaja. Tahap teknologi yang terdapat pada pesawat-pesawat Ganthree ini terlalu canggih untuk mereka fahami.
Beberapa detik kemudian wajahnya berubah. Jelas kedengaran semboyan telah dibunyikan di dalam bilik kawalan pelabuhan tentera Gresik yang terletak di orbit planet merah Wisanggeni itu.
“Apa yang telah berlaku?” tanya Candra kepada Jiwo.
“Sistem pertahanan Dresanala telah dimatikan. Kini Dresanala tidak dilindungi oleh medan tenaga lagi.” Jawab Jiwo. Wajahnya pucat.
“Jiwo… Gresik perlu menjadi tunggak pertahanan pertama Dresanala.”
“Saya faham Embok Ayu. Perkara ini sedang saya usahakan.” Jiwo tertunduk akur. Kemudian dia mendongak perlahan, kembali menatap wajah Candra. “Jika semua sistem pertahanan yang kita usahakan tidak berjaya… Kita sama-sama berdoa agar Senopati Khairul datang untuk menyelamatkan kita.”
Candra hanya mampu mengangguk. Tiada apa lagi yang dapat dinyatakannya kepada Jiwo.
Talian komunikasi terhenti di situ sahaja. Candra menarik nafas lega. Dia teringatkan kepada peristiwa Peperangan Banyu Suci Perwitosari yang pernah diceritakan kepadanya dahulu. Pertempuran pertama di antara Bumi dan Empayar Dresanala ini telah berakhir di dalam masa dua puluh tiga saat; armada Empayar Dresanala telah memusnahkan sebuah markas tentera angkasalepas berhampiran dengan Marikh sebelum sempat mereka dapat berbuat apa-apa sehingga melumpuhkan terus sistem pertahanan Bumi. Beberpa hari selepas itu, Bala tentera Empayar Dresanala datang lagi, kali ini ia datang untuk memusnahkan beberapa buah kota di Bumi sehinggalah Perbadanan Bumi akur lalu menyerah kalah. Dan begitulah hebatnya bala tentera yang paling ditakuti dari sektor Meru itu. Tetapi pada hari ini, armada tentera Empayar Dresanala tidak ada untuk mempertahankan Dresanala. Kita hanya boleh bergantungharap pada pertahanan asas yang datangnya dari Gresik dan Shevira. Dan kalau kita bernasib baik, mungkin Senopati Khairul akan menjelma…

Beberapa minit berlalu sebelum Moksar memberitahu kepada Candra bahawa Jiwo tidak melakukan sebarang tindakan untuk menghalang pencerobohan pihak musuh yang semakin hampir ke Dresanala. Dengan cepat Moksar dapat menyimpulkan bahawa Jiwo juga terlibat sama untuk menumbangkan Empayar Dresanala. Ini bermakna, mereka terpaksa menghadapi bala tentera Empayar Dresanala yang akan menyerang pejuang-pejuang Tonamon yang ada.
Candra ternyata pasrah. Wajahnya tawar, tidak melakar sebarang perasaan. Dia merasa dirinya telah ditipu bulat-bulat. Dalam pada itu, pegawai komunikasi telah memberitahu bahawa pihak di Gresik telah berjaya mengesan lokasi markas mereka melalui hubungan komunikasi mereka tadi. Kini, mereka telah menghantar sebuah skuadron pesawat Garuda untuk menyerang markas ini.

Moksar masih nampak tenang. Dia memujuk Candra supaya tidak terlalu menyalahkan dirinya. Masakan lidah kita sudah lancar mengucap perkataan kalah, sedangkan, pertarungan ini baru sahaja ingin bermula. Berpantang maut sebelum ajal… Mereka belum tahu lagi kekuatan kita!

Bab 27

“Patriotisme adalah apabila seorang Warok sanggup membunuh dan mengorbankan dirinya kepada empayar, nusa dan bangsa, walaupun untuk perkara yang seremeh-remehnya.”
-- “Prinsip seorang Warok”. Oleh Gatotkaca Hendra Margana.

--

Khairul termenung jauh. Banyak perkara yang sedang menghuni kotak fikirannya pada ketika itu. Dia banyak menghabiskan masa dengan berfikir, mengupas segala persoalan. Ada sesuatu yang tidak kena, detik hatinya. Dia terus termenung.
Sesekali dia memandang ke arah Za. Panglima Ur’dakh itu tidak meghiraukannya. Dia sudah tahu benar gerak geri Khairul. Kepala Za yang kecil tetapi bermata besar itu terus mengarah ke hadapan. Khairul acapkali akan dibawa mengimbau kembali pada pengalaman pahitnya beperang dengan kaum Ur’dakh setiap kali dia memandang kepada Za—kaum yang sangat terkenal sebagai tentera upahan yang kejam ini.
Masakan Khairul mudah untuk lupa kepada kekuatan tentera Ur’dakh; di antara kuasa-kuasa besar yang benar-benar ditakuti oleh Empayar Dresanala. Siapa yang tidak kenal kepada kapal induk Ur’dakh yang kelihatan seperti serangga aneh itu. Belumpun sesiapa tahu akan apa yang mampu dilakukan oleh kapal induk itu, melihatnya sudah cukup untuk menggoyah keberanian pahlawan manapun. Sementara itu, pesawat-pesawat penggempur Ur’dakh adalah satu-satunya jenis pesawat yang dikatakan mampu melawan kekuatan Garuda. Begitulah kiranya kekuatan yang dipunyainya.

“Ada sesuatu yang tak kena. Saya dah dapat rasakan sejak meninggalkan Giandee lagi.” Wajah Khairul dilukis gelisah.
“Kerana misi ini terlalu senang?” Za menyorong soalan itu kepada Khairul.
“Bukan itu sahaja… Cuba ingat betul-betul. Ketika kita berada di Al-akiti, mereka seolah-olah tahu tentang gerak geri kita. Cuba bayangkan… Di dalam beribu-ribu buah planet yang ada mereka tahu bahawa kita akan ke sana.”
“Betul cakap tuan.”
“Di Giandee pula… Tak ada apa-apa yang berlaku. Tapi kenapa?”
“Mungkin… Mereka… Entahlah, saya tak berani nak cakap.” Za berkata sedikit, tetapi terhenti-henti. Lagaknya seperti dia menyembunyikan sesuatu.
“Apa dia Za? Berterus terang sahaja kepada saya. Saya sanggup dengar apa sahaja. Kepala saya sudah terlalu berat untuk berfikir, apa dia?” Khairul betul-betul ingin tahu apa yang Za ingin katakan. Za mungkin ada teori yang tepat berkenaan dengan keadaan yang mereka lalui sekarang.
“Mungkin… Sejak dari awal mereka telah memastikan supaya kita tidak akan sampai ke Dresanala. Mungkin misi kita ini hanya helah untuk memastikan tuan tidak ada di Dresanala… Mungkin untuk selama-lamanya.” Berhati-hati nampaknya Za dalam menyusun kata-katanya. Dia tidak mahu nampak cuba ingin mengatur keadaan. Dia tahu, Khairul lebih arif bila berdepan dengan keadaan sedemikian.
Khairul cuma mengagguk sambil menggodok dagunya. Dia terus bertanya, “Berapa lama lagi sebelum kita tiba ke sistem Arjuna?” Dia mengeluh kecil di hujung katanya.
Za melihat konsol komputer seraya berkata, “Empat puluh tiga minit lagi, tuan.” Tepat masa yang diberitahunya.
“Lakukan imbasan terhadap Baladewa-x sekarang juga. Dan bandingkannya dengan skematik asal. Senaraikan kesemua objek-objek asing yang ada di dalam pesawat ini.” Khairul mengeluarkan arahan. Za masih nampak sibuk di depan konsol komputer. Sesekali dia menggangguk bagai mengiyakan apa yang diutarakan oleh Khairul sebentar tadi.
Za lekas menurut perintah Khairul. Ada beberapa ratus objek-objek asing yang telah dibawa masuk ke dalam Baladewa-x sejak ia pertama kali digunakan di dalam misi ini.
“Saringkan objek-objek ini! Senaraikan sahaja objek-objek yang mungkin mempunyai bahan kimia atau biologi yang digunakan oleh pihak tentera Empayar Dresanala.” Nampaknya, Khairul mahukan lebih dari senarai bendasing yang ada. Kalau boleh dia mahukan komponen atau struktur kimia yang membentuk bendasing itu.
Za segera bertungkus lumus untuk memenuhi apa yang dikehendaki oleh Khairul. Selama ini, Khairul boleh mengharapkan Za dalam pelbagai hal, kali ini, dia pasti Za tidak akan menghampakannya.
Komputer mengambil masa yang agak lama untuk membuat imbasannya kali ini. Mungkin pengkalan data terlalu berat dan padat dengan maklumat untuk memproses dengan laju. Tetapi ia berjaya juga mendapatkan butiran-butiran analisa yang telah dipinta oleh Khairul.
“Ada sebuah… Ya, sebuah. Di bahagian bilik enjin. Bentuknya organik. Saya tidak biasa dengan objek ini.” Za menggosok-gosok matanya yang kesat itu. Bagai ingin melihat dengan lebih tepat dan fokus.”
Khairul berjalan keluar dari bahagian anjung Baladewa-x. Dia cepat-cepat pergi ke arah bilik enjin.
Sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik enjin, dia terus berkata:
“Di mana lokasi objek asing itu?” Dia tahu yang Za hanya menyatakan lokasi am bendasing itu. Dia mahukan yang tepat.
“Di bahagian belakang teras plasma. Tuan nampak tak?”
“Tidak.” Ujar Khairul dengan cepat. Tetapi dia tahu apa yang perlu dilakukannya. Dia berjalan ke arah belakang bahagian teras plasma tersebut. Teras lutsinar ini mengeluarkan cahaya kuning yang sederhana tahap sinarannya.
Pada bahagian yang disebutkan oleh Za, dia dapat melihat sesuatu yang sedang melekap terus kepada teras plasma itu. Ia kelihatan seperti seekor kumbang yang kecil yang melekap ketat ke sebuah dinding, bagai tidak boleh dipisahkan lagi.
Khairul mengeluh. Dia cuba menenangkan fikirannya. Dia tidak mahu panik. Malah dia tidak mahu berasa sedikit gentar. Dia mahu Za dan yang lain menaruh kepercayaan kepadanya. Apa kata mereka kalau dia berada dalam keadaan goyah pendirian dan menunjukkan ketakutan.
“Aku telah menjumpai bom jangkrik di sini. Memang buatan kita sendiri. Bomnya kecil tetapi kalau ia meletup, Baladewa-x akan meletup sama!” jelas Khairul. Tidak ada gunanya jika dia cuba mengalihkan bom ini atau cuba mematikannya. Bom ini telah direka supaya ia tidak dapat dimusnahkan mahupun dialihkan ke mana-mana. Dia keliru sebentar. Dia berdiam seketika, cuba mengumpul tenaga dan menumpukan titik pemikirannya kepada apa yang harus dilakukannya selepas ini.
Khairul memerhatikan bom bio-organik itu dengan lebih dekat lagi. Dia dapat melihat beberapa tulisan kecil yang bertukar-tukar di atas permukaan jangkrik ini. Peluh di dahinya mengalir perlahan ke pipi kanannya. Dia terus mengesatnya. Dia kelihatan bingung dan kehabisan ide untuk tindakan selanjutnya. Khairul berdiam sebentar.
“Ia akan meletup di dalam masa lima puluh dua minit lagi… Ada berapa minit lagi yang tinggal sebelum kita keluar dari hyperruang?” Khairul bagai membawa perkhabaran buruk. Za yang tadinya sibuk melakukan tugasnya kini terhenti. Di lihatnya muka Khairul.
Khairul nyata tidak menyembunyikan sebarang kebenaran.
“Tiga puluh lapan minit lagi, tuan!” jawab Za. Suaranya tenang. Tiada siapa yang tahu apa yang bergolak di dalam hatinya.
“Kalau begitu, bersedia untuk membuang teras plasma ini sebaik sahaja kita tiba ke sistem Arjuna. Kita tidak memerlukannya lagi apabila kita telah tiba ke destinasi kita nanti.” Khairul memberitahu idenya kepada Za.
“Baik tuan!” Za terus menganggukkan kepala, tanda faham dan setuju dengan Khairul.
Khairul mendengus. Dia terduduk di atas lantai bilik enjin. Dia meramas-ramas rambutnya yang dirasakannya semakin panjang dan tidak terjaga itu. Dia dia mula memahami apa yang sebenarnya berlaku. Dia telah ditipu. Misinya ini hanyalah satu sandiwara semata-mata. Dia menahan amarah yang mula meerayap masuk ke dalam dirinya. Kalau adapun dia tidak pasti kepada siapa amarahnya akan dihamburkan. Dia terduduk. Masih di situ, memikirkan sesuatu.

Padanya, ia adalah sebuah sandiwara yang telah diolah dengan begitu baik dan amat teliti sekali; untuk memastikan supaya dia mengikuti setiap jejak atau langkah yang telah diwartakan kepadanya. Dan kini, apabila misinya mula sampai ke penghujungnya, dia akan dimusnahkan. Mereka tidak mahu aku berada di Dresanala. Keparat!

**

Dimas mendongak ke angkasa lepas, pandangannya dicampak jauh. Dia kagum dengan apa yang dilihatnya. Dia bagaikan hilang bersama keindahan yang ada. Pun begitu, dia dengan jelas dapat melihat ketenangan yang ada pada langit yang membiru itu. Dia tidak berseorangan; bersamanya pada waktu itu adalah duapuluh buah Ganthree yang ditugaskan untuk mempertahankan Kraton Pakubuwono Hadiningrat.
Ganthree yang dibawa oleh Dimas terbang laju dan terus hilang ditelan angkasa. Sesekali dia akan menoleh ke arah Juasseh, Ganthree Ryekat yang terbang lebih laju mendahului di depannya.
“Triwikrama, Pikaano, Hararah dan Juasseh. Pulang ke pengkalan sekarang.” Tiba-tiba sahaja perintah dikeluarkan oleh Raina.
Tanpa banyak soal, Pikaano, Haharah dan Juasseh berpatah balik. Ganthree Dimas yang bernama Triwikrama nampak ragu-ragu. “Kenapa kami perlu pulang ke pengkalan?” Tanya Dimas seolah-olah membantah.
“Pengkalan kami diserang sebuah skuadron pesawat Garuda.” Itu sahaja jawapan yang diterimanya dari Raina. Ganthree yang dikawal Dimas kini berpatah balik untuk bersama dengan Pikaano, Hararah dan Juasseh.
“Ada berapa buah Garuda yaang sedang menyerang markas, Juasseh?” Tanya Ragyell yang sedang mengemudi Pikaano kepada Ryekat.
“Dua belas buah kesemuanya. Lima buah telah berjaya dimusnahkan oleh pasukan Naga Mahawangsa kita. Tetapi mereka tidak boleh terus menerus mempertahankan markas kita, mereka semakin lemah. Kita kena ke sana, kita perlu bersatu tenaga dengan mereka!” jelas Ryekat, cuba menerangkan keadaan yang sedang berlaku kepada Ragyell. Dia bergerak semakin tinggi di angkasa dan mempercepatkan kelajuan Juasseh.
Dimas bersetuju. Dia masih melihat kelibat Juasseh dari belakang, lantas mengekorinya. Mereka membuat formasi V dengan Juasseh berada di kedudukan paling hadapan sekali.
Dalam masa yang sama, Dimas terfikirkan tentang Wiranto.
Wiranto dan Ganthreenya, Saronodewo, akan menuju ke Pakubuwono untuk mempertahankan kraton maharaja. Apa sahaja boleh berlaku kepadanya di sana. Juga kepadanya jika dia tidak berhati-hati. Dimas agak gusar. Dia cuba mententeramkan hatinya dengan mendoakan kesejahteraan Wiranto semasa bertarung nanti.

Pergunungan Dieng dari jauh lagi sudah nampak berkecamuk dalam kancah peperangan. Keadaan jelas kelam kabut. Pancaran tembakan lazer dan letupan torpedo Ion mewarnai ruang angkasa pergunungan kristal itu.
Hati Dimas berdegup kencang. Perasaan gementar mula menyelubungi benaknya. Dia gugup.
“Jangan takut, Dimas!” Suara Ryekat menusuk masuk ke dalam jiwanya. Ryekat telah berkata-kata kepadanya melalui kebolehan telepathnya itu. Bicara yang singkat itu sedikit sebanyak mengembalikan ketenangan di dadanya. Dia mengangguk senyap. Dia sedaya upaya ingin berasa tenteram dalam keadaan getir begini.
Dimas menarik nafas panjang. Dia sedar bahawa inilah pertempuran pertama dalam hidupnya. Dia harap dia cukup bersedia untuk menghadapi ini semua. Dia tidak punya pilihan lain, jika pun dia kurang bersedia dia terpaksa menghadapi apa yang ada di depannya. Dia yakin ilmu yang telah dituntutnya sudah mencukupi untuk dia berdepan dengan keadaan sedemikian. Tapi dia terpaksa bersedia untuk menghadapi segala yang tidak terduga olehnya. Apa-apapun boleh berlaku.
Dari jauh lagi Dimas sudah dapat melihat seekor naga Mahawangsa sedang terbang berlegar-legar di hadapan sebuah pesawat Garuda. Sepasang bebola mata, nampak liar berjaga-jaga. Ia melakukan serangan bertubi-tubi ke atas sebuah Pesawat Garuda dengan pancaran sonik yang dihamburkan dari mulutnya.
Pancaran sonik yang dikeluarkan oleh naga mahawangsa ternyata mampu mengalahkan pesawat Garuda yang terkenal dengan kegagahannya itu. Hakikatnya, naga mahawangsa memang ditakuti di Dresanala—ia boleh mengalahkan musuhnya dengan serangan sonik yang dihasilkan dengan begitu kuat sehingga ia mampu memecahkan tembok-tembok kristal di pergunungan Dieng ini. Begitulah adanya, kalau ingin diperceritakan tentang kehebatan naga mahawangsa.

Sebaik sahaja pasukan Ganthree datang, pasukan naga mahawangsa berundur. Mereka seolah-olah memberi laluan untuk pasukan Ganthree sebanyak empat buah itu mengalahkan lima buah Garuda yang masih tidak ingin mengaku kalah. Mereka masih meneruskan serpih-serpih perjuangan mereka yang tinggal.
Ryekat mengepalai misi ini untuk memastikan bahawa markas tentera pihak Tonamon akan tegap dipertahankan. Dengan sepantas kilat dia memerintahkan kesemua anak buahnya untuk mensasarkan kesemua pesawat Garuda yang adas dengannya untuk menentang dua buah Garuda, yang telah terlebih dulu dikenalpastinya.
Dimas tidak faham bagaimana Ryekat akan melawan dua buah Garuda di dalam masa yang sama. Tetapi nalurinya memberitahu bahawa Juasseh mungkin jauh lebih gagah dari yang difikirkannya. Ataupun, Ryekat sudah dilengkapi dengan muslihat perperangan yang boleh menggamamkan siapa jua. Dalam keadaan getir sedemikian, ketangkasan berfikir juga amat penting, disatukan dengan kelengkapan perang yang hebat; pasti menjanjikan kemenangan yang hakiki.
Triwikrama mendekati sebuah pesawat Garuda yang kelihatan bagak dan ganas. Rekabentuknya jelas menunjukkan yang ia dibini khas untuk menampung jumlah senjata yang banyak, sementara itu, ia begitu kekurangan dari segi nilai-nilai estetika. Warna merah sudah pasti diadun untuk menakutkan pihak lawan. Memang ia nampak gah dan agam diwarnai biru pekat itu. Ia dibina seperti sebuah pesawat kebal. Sebuah meriam ion tersemat teguh di atas bahunya. Tidak ketahuan bagaimana akan jadinya, jika meriam ion itu meledak.
Triwikrama dan pesawat Garuda biru itu bertembung di angkasa. Bagai berpencak silat mereka di angkasa yang tadinya gelap, kini ledakan tembakan berselirat di sana sini. Triwikrama jelas lebih pintar dalam mengelakkan setiap serangan dari Garuda.
Triwikrama bijak mengesan taktik Garuda. Sambil melancarkan beberapa serangan kepada Garuda, ia melompat tangkas ke kedudukan baru, demi mengelirukan Garuda. Terlalu banyak serangan Garuda yang terlepas begitu sahaja kerana tindakan Triwikrama bergerak tangkas seperti tidak tahu untuk duduk diam di koordinat sama. Ini membuatkan Garuda agak sukar untuk mengunci kedudukan Triwikrama. Agak mustahil bagi Garuda untuk membedil Triwikrama. Ia terlalu lincah.
Dimas terus menghidupkan perisai holotronnya. Seperti yang dijangkakan, meriam ion terus melakukan tembakan yang bertubi-tubi ke arahnya. Dimas dapat menghalang tembakan tersebut dengan sebaik mungkin. Dengan ilmu yang sempat dituntutnya, dia mengendalikan Ganthreenya dengan begitu cekap.
Pada masa yang sama, pihak lawan ternyata terkeliru dengan tindakannya. Dimas agak bijak meniru tindakan Ryekat dalam usaha melewati serangan musuh. Bukan sahaja dia dapat menyelamatkan diri, tetapi yang lebih penting dia tidak perlu mengatur serangan yang membawa kepada pembaziran tenaga.
Oleh kerana ledakan meriam Ion ditumpukan ke arahnya, tenaga Ion kini semakin banyak terkumpul di atas perisai holotronnya. Tenaga ion yang terkumpul dari perisai holotronnya itu kini dipindahkan kepada gadanya. Dimas mengamati pergerakan Garuda di depannya. Dia dapat rasakan dari sinar matanya, bahawa Garuda itu hampir tidak mengenal mengalah, inikan pula berputus asa.
Tatkala kepala Garudi berpaling ke sisi, di saat itu jugalah, Dimas mengangkat gada yang bersinar kebiruan dengan sedaya yang ada, lalu dihayunkannya ke arah Garuda tersebut.
Gada yang telah diperkuatkan lagi dengan tenaga Ion itu menghentam meriam ion Garuda. Kesan hentakan itu terlalu kuat, sehingga ia tertanggal lalu terpelanting jauh ke jurang di bawah mereka. Dimas dapat rasakan bahawa dia telah menghabiskan banyak tenaga yang telah dikumpulnya untuk melakukan tindakan tersebut. Semuanya dianggap berbaloi; Garuda yang tadi rancak melancarkan serangan, tercampak beberapa depa, agak jauh ke belakang. Ini disertai dengan laungan yang hebat.
Seperti ingin bangkit dan melawan, Garuda biru itu terbang ke dalam jurang. Dimas tidak melepaskannya begitu sahaja, lalu dia mengekorinya dari belakang. Dia tidak mengekori rapat, takut-takut helah Garuda akan membinasakannya. Dia mengikutnya dari jarak yang selamat; sekurang-kurangnya, dia rasakan selamat.
Dimas telah memastikan supaya dia tidak terlalu gopoh tatkala membuka segala langkah. Dia perlu mengingatkan dirinya bahawa dia sedang melawan seorang Gatotkaca; nama khas yang diberikan kepada seorang Warok juruterbang yang telah dilatih untuk menggunakan pesawat Garudanya bagi tujuan kemusnahan.
Dalam keadaan tertentu, seorang Gatotkaca sanggup musnah sama sekali dalam usaha melenyapkan pihak musuh.

Kini pesawat Garuda biru itu berada di atas permukaan sebuah lembah kristal. Ia membuka langkahnya tatkala bertentangan dengan Triwikrama. Dimas tidak dapat meneka apakah yang akan dilakukan oleh Garuda biru itu kepadanya. Matanya merah menyala bagaikan membendung marah yang teramat sangat. Marah yang tidak lama lagi akan meledak. Dimas tidak pula gentar. Dia cuba menenangkan dirinya dan memastikan Ganthreenya dalam keadaan yang sama. Dia tidak bergerak sedikitpun kerana dia tahu, walaupun ada pergerakan yang sedikit, pasti Garuda akan naik berang dan terus menyerang membuta tuli. Ini mungkin mengakibatkan musibah yang lebih teruk.
Sekelumit itu juga, Garuda mengeluarkan sebatang pedang panjang yang selama ini disimpan di dalam perisainya. Jelas kelihatan, selama ini juga perisai itu bertindak sebagai sarung pedangnya. Dimas tidak tahu kuasa pedang itu sebenarnya. Dia perlu berjaga-jaga. Kalau-kalau pedang itu mampu mengakibatkan kemusnahan teruk kepadanya.
Dimas dalam kesamaran, dapat mengagak apa yang akan dilakukan oleh lawannya itu. Dia tahu bahawa serangan senjata tidak akan menjejaskan lawannya, lalu Garuda biru mengambil keputusan untuk menggunakan senjatanya untuk berlawan.
Sebuah Garuda yang sebelum ini bertarung dengan Ryekat terdampar beberapa meter di belakang Garuda biru. Dimas agak pasti bahawa Gatotkaca yang mengawal Garuda itu tidak dapat diselamatkan; hempasan Garuda itu disertai dengan bunyi letupan kuat yang amat membingitkan. Di hujung letupan itu, kedapatan serpihan dari Garuda yang terhempas.
Tidak mungkin ada sesiapa yang mampu untuk hidup dan terselamat di dalam hempasan sedemikian. Apa muslihat Ryekat sehingga dapat mengalahkan Garuda ini? Bagaimana pula caranya untuk aku dapat menghancurkan Garuda biru ini?
Garuda biru itu bergerak menghampiri Triwikrama sambil menghunus pedangnya ke hadapan. Triwikrama dapat mengelak. Pergerakannya semakin lincah. Inilah kelebihan pesawat Ganthree yang mungkin baru sahaja diketahui oleh Gatotkaca yang membawa Garuda biru ini.
Garuda itu seperti kebingungan dengan kelincahan tindakan Ganthree yang dikemudi Dimas. Ganthree masih nampak bertenaga, walau Garuda itu sudah kehabisan daya untuk terus berjuang. Ini semua tidak dizahirkan oleh Garuda itu, dia cuma berperang dari segi psikologi pula. Dia menampakkan seolah-olah ianya semakin bertenaga, sebaliknya, dia mungkin hanya mampu untuk bertahan dari bedilan.
Dimas kenal benar dengan pergerakan ini. Khairul pernah mengajarnya tentang pencak silat Indra Surapati ini. Pergerakannya cepat yang ia lebih mengutamakan serangan dari pertahanan.
Dimas membalas serangan dari Garuda biru itu dengan menggunakan gadanya sekali lagi. Jika serangan datang terlalu kuat, dia akan menggunakan perisai holotronnya—dia sudah mengatur segalanya di dalam fikirannya sendiri. Ada corak yang tertera, tiada siapa yang boleh membacanya. Setiap tindakannya telah tercatat di dalam mindanya. Rapi. Sangat rapi. Ada kalanya, dia tidak akan bertahan, tapi cuma mengelak kerana dia pasti akan menggunakan kecekapan penglihatannya di samping kegeligaan otaknya membaca tindakan Garuda biru itu.
Dengan tiba-tiba, Garuda biru itu menerajangnya dengan tenaga yang agak kuat. Triwikrama tergamam dan tersusup ke belakang. Masa tidak disisihkan, Garuda biru itu lekas mendapatkan dan mencengkam lengan kanan Triwikrama. Tangan kirinya pula telah ditindihnya dengan menggunakan kakinya yang berat dan besar.
Dimas cuba membebaskan dirinya, tetapi keadannya terlalu tertekan. Dia lemas. Dia seakan tidak mampu bernafas lagi, kedua-dua belah tangan dan kakinya bagai terkunci rapat, dibelenggu Garuda biru itu. Garuda itu seakan ingin mendambik dada kerana merasakan dia sudah mencapai kejayaan dalam menumpaskan Dimas, kini Ganthree sudah berada di dalam cengkamannya. Kini dia bebas untuk berbuat apa sahaja kepada Triwikrama.
Kelekaan Garuda barang sesaat itu, memberikan Dimas sekelumit waktu untuk bertindak—dengan cepat dia membuat keputusan untuk menghidupkan enjin Twirikrama. Dia tidak pasti ianya tindakan tepat, tetapi itu salah satu peluang terbaik yang difikirkannya. Seperti yang diimpikan oleh Dimas, tubuh Triwikrama terbang beberapa meter ke udara membawa Garuda biru itu bersamanya. Dengan sepantas kilat, Dimas menghayunkan gada ke arah Garuda biru itu. Belumpun sempat Garuda itu membebaskan dirinya dari gamam tatkala Dimas melonjak ke udara, kini dia hampir dihambat pukulan gada yang hebat. Ia segera melepaskan Dimas demi mengelakkan diri dari terkena hayunan gada Triwikrama. Dimas sempat menghembus nafas lega ketika dilepaskan, tapi ini tidak melekakannya. Dia deras membebaskan dirinya dari cengkaman Garuda biru yang terus mengganas itu. Garuda biru yang tercampak agak jauh itu, mula berpaling ke arah Dimas. Matanya memancarkancahaya merah, ditujukan kepada Dimas. Matanya penuh dendam.
Garuda biru melonjakkan badannya yang padat itu ke ruang udara beberapa kali, lantas ia berhenti seketika dan mencapai pedangnya dan terus menjunam ke bawah deras. Pedang yang terhunus ke depan itu, pastinya dijuruskan kepada Triwikrama. Langkah-langkahnya diharapkan dapat melekakan dan mengelirukan Triwikrama yang jauh lebih kecil darinya, lantas, ia akan mencuri pandang dan terus menundukkan Ganthree itu. Hentakan dan hunusan pedang Garuda biru itu membuatkan Triwikrama tersungkur jauh. Pedang Garuda itu menghentak perisai holotron Triwikrama dengan kuat disertai dengan hilaian dan teriakan Garuda. Sementara itu, Ganthree Dimas bersuara datar.
Dimas terkujur. Dia tidak tahu apa yang akan dilakukan kepadanya oleh Garuda yang membengis itu. Dia mampu merenung nasib yang bakal menimpanya dalam-dalam. Dia tidak dapat melihat Garuda biru itu di mana-mana. Walaubagaimanapun, komputer mengkhabarkan bahawa Garuda itu ada di belakangnya; sedang menghayun pedangnya untuk menetak kepala Triwikrama.
Dengan sepantas kilat, mindanya cepat mengagak kedudukan hayunan yang bakal dilakukan oleh Garuda itu, lantas digunakan tangannya untuk menghalang hayunan pedang. Pun begitu, tangannya bukan sahaja menghalang pedang itu, tangan Triwikrama tergenggam mata pedang itu.
Garuda itu tercengang sebentar, pasti dicongaknya yang Triwikrama tidak mampu untuk bertahan. Dia mengharapkan yang tangan Triwikrama itu akan cedera teruk dihiris pedangnya sendiri. Belum reda cengangnya, dia terus terkejut bila mendapati, tangan Triwikrama langsung tidak tercalar walau sehalus rambutpun. Saat itu juga, Dimas mula sedar tentang kekebalan Triwikrama. Dia sendiri kagum, tapi disorokkannya. Sekarang padanya, Triwikrama bukan sahaja hidup, malah ia lebih kebal dari mana-mana bahan logam yang pernah digunakan untuk dijadikan pesawat.
Dimas semakin bersemangat untuk terus bersatu dengan Ganthreenya dan meranapkan Garuda biru yang tengah ditentanginya.
Dengan pengetahuan yang baru disedarinya ini, Dimas menjadi semakin berani dan bersemangat untuk melawan Garuda biru itu. Dia pasti, kemenangan akan berpihak kepadanya jua nanti. Berkat kehebatan Ganthreenya itu, disatukan dengan kepintarannya bersatu dengannya, pasti kemusnahan Garuda biru itu akan menghiasi lembah itu. Dia tidak mahu terlalu angkuh dan takbur. Dia terus menumpukan perhatian kepada pertarungan yang belum ada sudahnya itu.
Dengan sekuat tenaga dan kudrat yang ada, Dimas menendang rusuk Garuda itu sambil memegang mata pedang. Garuda Biru itu terpelanting beberapa agak jauh ke belakang. Dimas masih mengenggam kemas pedangnya itu.
Di dalam keadaan Garuda terbaring, beberapa torpedo proton telah dilepaskan ke arah Triwikrama.
Masih terpahat di ingatan Dimas bahawa Wiranto pernah memberitahunya tentang torpedo proton ini. Ia hanya akan digunakan sebagai langkah terakhir sebelum senjata ini digunakan.
Triwikrama memecut tinggi ke angkasa. Ia terbang dengan begitu laju sehingga torpedo proton itu ketinggalan begitu jauh di belakangnya. Dia bagai tidak mempedulikannya langsung. Dengan begitu cekap Dimas kemudian menghidupkan perisai holotronnya sehingga ia terbentuk seperti sebuah sfera.
Torpedo proton itu meledak dengan kuat sebaik sahaja ia mengenai perisai holotron Triwikrama. Gelombang letupan kelihatan menyinari angkasa. Triwikrama masih lagi dapat bertahan, walaupun ia tercampak jauh dari posisi pertahanannya tadi. Dimas dapat merasa gegaran yang membelah lembah dan ruang angkasa itu. Haba yang kuat tatkala letupan berlaku kini menghangatkan lagi keadaan di sana.
Sebaik sahaja ledakan torpedo proton itu reda, Dimas terus terbang menjunam kembali ke dalam gaung. Dia mencari balik Garuda biru itu. Dia belum menyerah kalah. Dia akan mengejar Garuda biru itu, di mana jua ia berada. Ia akan dicari Dimas.
Sebaik sahaja dia tiba ke tempat dia bertempur tadi, dia dapat melihat Juasseh sedang berhadapan dengan Garuda Biru itu. Juasseh bergelut dengan Garuda biru itu.
Terlalu sukar rasanya untuk Dimas bertindak menolong Juasseh. Dimas hanya mampu melihat pergelutan di hadapannya. Dia cuma memanjatkan doa agar Juasseh akan selamat dan dapat mengalahkan Garuda itu. Ingin sahaja dia menyertai Juasseh dalam usahanya untuk memusnahkan Garuda biru itu.
Pergelutan semakin sengit. Berselang seli teriakan Garuda biru itu dengan laungan Juasseh. Mereka sama-sama handal nampaknya. Terkadang kelihatan Garuda itu semakin lemah. Ada masanya tenaga terlalu kuat sehingga menerajang jauh Juasseh menyembah lembah di bawahnya. Selang beberapa saat kemudian, pesawat Garuda biru itu rebah. Dimas tidak faham bagaimana Ryekat berjaya mengalahkan Garuda biru itu, sedangkan ia kelihatan begitu bertenaga tatakala bergelutan dengannya tadi.
“Apa yang telah berlaku?” tanya Dimas dengan nada hairan. Dadanya turun naik perlahan, menarik nafas.
“Dia tidak sedarkan diri… Mungkin selama sehari dua. Tak perlu bimbang. Dia telah bertarung dengan baik. Malah amat baik sekali. Dia seorang pahlawan Empayar Dresanala yang telah melakukan tugasnya dengan cemerlang.” Jelas Ryekat bersahaja.
Dimas tidak perlu berfikir panjang untuk mengetahui bahawa Ryekat telah menggunakan kuasa telepathnya untuk mengalahkan Garuda biru tadi. Ryekat cuma tersenyum tawar.
“Selama berpuluh ribu tahun kasta agama tidak dibenarkan sama sekali berjuang dengan kasta tentera untuk mempertahankan bangsa kami. Kerana kami mempunyai kuasa telepath yang boleh membinasakan jika ia tidak dapat dikawal dengan betul. Jika kami hilang kawalan… Macam-macam boleh berlaku.” Jelas Ryekat. Mungkin itu yang ditunggu oleh Dimas. “Kita perlu ke Pakubuwono sekarang. Mereka memerlukan kita di sana.” Perintahnya pula. Mereka berpandangan sebentar, sebelum menghilang untuk memenuhi tuntutan tugas mereka.

**

Wiranto terbang laju bak gergasi pantas yang menakutkan. Dia mengawal Saronodewo dengan menggunakan nalurinya. Dia langsung tidak mengikut data-data yang tertera di dalam kepalanya. Dia sudah lama bersatu jiwa. Dia terus terbang maju untuk ke Pakubuwono.
Wiranto tahu bahawa terdapat berpuluh-puluh pesawat Talkin yang sedang mengekorinya. Dia tidak gentar. Malah dia lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik. Pesawat-pesawat cilik sekecil satu meter lebar dan mempunyai bentuk seperti bulan sabit itu cuba memintas dan memusnahkannya. Pesawat-pesawat kecil ini kelihatan seperti nyamuk tatkala ia sedang terbang dalam satu kumpulan di ruang angkasa Dresanala.
Saronodewo ternyata terlalu laju untuk pesawat-pesawat Talkin ini. Dengan meneraju Saronodewo terbang laju di dalam pergerakan yang mengelirukan, dua buah pesawat Talkin telah bertembung lalu musnah. Wiranto menjerit girang. Dia tidak pernah menyangka bahawa pesawat Ganthree ini boleh melakukan pergerakan yang seringkali sukar untuk dilakukan oleh sebuah pesawat Garuda.
Saronodewo terbang di dalam satu lingkungan besar untuk mengelirukan musuh-musuhnya. Dia bagaikan menari-nari di pentas yang tiada batasnya—angkasa lepas. Tatkala terbang, Saronodewo mengeluarkan berpuluh-puluh buah periuk api yang kelihatan seperti serangga kecil berterbangan mencari sasaran tepatnya. Dengan cepat, periuk-periuk api ini mencari setiap satu pesawat Talkin yang ada, lalu memusnahkannya. Bertabur sisa pesawat cilik itu, menambah lagi pencemaran bendasing di ruang angkasa.
Masih ada tiga buah pesawat Talkin yang terselamat dari serangan periuk api tadi. Ketiga-tiga pesawat ini giat mengekorinya. Kadang-kadang terlalu dekat dengan Saronodewo. Ingin sahaja Wiranto berhenti tiba-tiba, berpusing dan menghayun tamparan untuk melenyapkan ketiga-tiga pesawat itu. Pesawat-pesawat tersebut melepaskan tembakan lazer bertubi-tubi tanpa henti ke arahnya. Dengan gerak bersahaja, dia terbang dengan cara berputar-putar untuk mengelakkan tembakan-tembakan ini. Beberapa kali dirinya hampir-hampir terkena tembakan lazer ini, tetapi dia tetap yakin dengan cara dia membawa Saronodewo.
Seronodewo terbang semakin tinggi ke angkasa. Kemudian dengan tiba-tiba ia berhenti. Enjin ionnya berbunyi kuat seolah meletup tatkala ia terhenti di tengah-tengah angkasa. Dengan pantas Seronodewo menghayunkan kapak dua-matanya ke arah tiga buah pesawat Talkin yang kecil-kecil itu. Bukannya senang untuk melakukan perkara ini, memandangkan pesawat tersebut terlalu kecil jika dibandingkan dengan saiz Seronodewo. Pesawat kecil itu terlalu mudah untuk mengelakkan setiap gerakan Seronodewo. Terkadang agak sukar untuk Seronodewo untuk memastikan kedudukan tepat pesawat-pesawat itu.
Ternyata pergerakan yang cuba mengelirukan Seronodewo itu menjerat pesawat-pesawat kecil itu. Dua daripada mereka bergerak menentangi arah sebuah lagi pesawat Talkin; untuk mengelirukan Seronodewo. Dua buah pesawat itu dikorbankan. Dengan dua kali hayunan, dua buah pesawat Talkin itu berjaya dimusnahkannya. Ia terbelah sebelum ia meletup lalu berkecai seribu. Sebuah lagi pesawat Talkin terbang melepasi bahagian kepala Seronodewo, nyaris-nyaris terkena ke bahagian tanduknya yang tajam itu. Seronodewo sempat mengelakkan dirinya.
Wiranto masih belum boleh bersorak untuk memahat kemenangannya dalam lipatan sejarah. Pesawat Talkin yang kecil itu membelok pantas lalu mara dengan licik ke arahnya. Wiranto sedar bahawa pejuang-pejuang Talkin sanggup melakukan serangan berani mati di dalam keadaan terdesak seperti ini. Walaupun tubuh kaum Talkin ini kecil, serta mereka kelihatan comel, mereka tetap terkenal sebagai antara pejuang-pejuang paling berani di sektor Meru. Siapa yang tidak kenal.
Saronodewo terpaksa terbang dengan lebih laju. Kemudian ia membelok dengan sekelip mata untuk mengelakkan tembakan yang menggila datangnya dari pesawat Talkin ini. Hamburan serangan ada di mana jua, dari segala sudut. Untuk seketika, Soronodewo merasai ia bagai sedang dihujani bedilan peluru yang amat dashyat.
Pesawat Talkin yang kecil itu tidakkan berhenti dari terus menyerang Saronodewo. Dia seorang pejuang Talkin yang hebat, berjuang hingga ke titisan darahnya yang terakhir, demi maruah dan kemenangan! Tetapi sayang dia perlu mati pada hari ini!
Sebuah letupan kecil dapat dilihat dari kerlingan ekor mata kirinya. Saronodewo berpaling ke arah letupan tersebut. Pesawat Talkin yang menggila tadi kini telah dimusnahkan.
“Dimas!” getus Wiranto sekuat hati. Dia merasakan gerak hatinya itu benar belaka.
Saronodewo terus terbang ke arah Pakubuwono. Triwikrama terbang laju melewatinya.
“Bagaimana dengan situasi di Banjaran Dieng?” tanya Wiranto kepada Dimas. Suaranya keletihan. Dimas menghidu keletihan itu.
“Semuanya berada di dalam keadaan terkawal.” Dimas menjawab. Suaranya bernada bangga.
“Pangeran bertembung dengan pesawat Devo?”
“Bukan… Dengan sebuah pesawat Garuda.”
“Apa warna Garuda itu?”
“Biru… Tapi kenapa?”
“Hanya Gatotkaca dari darjah yang tertinggi akan dibenarkan membawa sebuah Garuda dari siri Garuda Biru.”
“Dan Garuda dari siri Senopati pula berwarna merah… Mengikut warna Diraja Empayar Dresanala.” Dimas memberitahu kepada Wiranto sesuatu yang diketahuinya sendiri. Tujuannya adalah untuk memberitahu Wiranto bahawa dia telah mempelajari sedikit sebanyak pesawat tempur kebangaan Empayar Dresanala itu.
“Pangeran berjaya mengalahkannya? Garuda biru tadi?”
“Ya… Dengan bantuan Ryekat.”
Wiranto terdiam. Perasaannya bangga bercampur kecewa. Dia bangga kerana Dimas dapat bertahan tatkala melawan pejuang yang paling terkenal dengan kegagahannya di sektor Meru ini. Perasaan kecewanya tumbuh kerana dia tidak menyangka bahawa ada pihak dari tentera Empayar Dresanala yang bersekutu dengan kumpulan Panah Hitam. Macam-macam boleh terjadi sekarang. Kini pihak yang aku anggap kawan telah menjadi musuhku sendiri…
Wiranto mengelamun. Dia hilang dalam lamunannya sendiri. Berfikir panjang lagaknya. “Berbalik kepada musuh kita… Saya tidak akan bertindak untuk melawan mana-mana Gatotkaca dari Empayar Dresanala. Saya harap Pangeran mengerti.”
“Saya mengerti, bang.” Sambut Dimas perlahan. Keluhan kecil dilepaskannya di ekor kata-katanya. Dia tidak pasti jika keputusan yang telah diambil oleh Wiranto tadi bersandarkan pada program yang ada di dalam fikirannya ataupun keputusan itu telah berputik dari kata hatinya sendiri…

Bab 28

“Di hadapan sebuah bangunan di Kotagede, terdapat sebuah arca seni yang menunjukkan seorang dewa dari bumi yang bernama Prometheus. Warna arca tersebut keemasan, ia lantas nampak cantik berlatarbelakangkan sebuah bangunan indah di kota terapung tersebut. Arca ini telah berusia melebihi 500 tahun ketika Empayar Dresanala memindahkannya dari sebuah kota bernama New York yang terletak di Bumi ke Kotagede.”
-- “Koleksi-koleksi Seni dari Bumi” oleh Hilmi Nugraha.

“Kita akan keluar dari hyperruang di dalam masa seminit sahaja lagi, tuan.” Sebut Za membelitahu. Kepalanya bergerak-gerak. Pergerakannya tidak berirama.
“Kita patut berjaga-jaga.” Ujar Khairul. Manik-manik peluh mula tumbuh di atas dahinya yang sederhana itu. Dia hanya menunggu masa untuk keluar di dalam hyperruang lalu masuk ke dalam ruang angkasa biasa.
Jalur-jalur bintang menjadi semakin pendek. Kemudian ia terhenti dengan sendiri. Jauh di hadapannya, dia dapat melihat sinaran cahaya biru Arjuna, bagai bersembunyi di sebalik planet merah Wisanggeni.
Khairul menarik nafasnya dalam. Dihembuskan nafasnya, bagai terasa resah bersarang di hatinya. Seperti yang dijangkanya, dia dapat melihat beratus-ratus buah kapalangkasa pelbagai saiz bertaburan di hadapannya. Mereka sedang bertempur dengan hebat. Tembakan-tembakan meriam lazer menghirukkan lagi angkasalepas yang gelap itu.
Sebuah kapalangkasa induk dari Shevira meletup musnah dengan tiba-tiba. Tidak ada apa yang dapat Khairul lakukan kecuali melihat dengan tenang. Sudah adat berjuang dan bertarung. Pasti ada yang ditundukkan dan ada yang menundukkan.
“Dua buah kapal induk dari Devo sedang mendekati kita.” Za memberitahu. Suaranya tenang dan tegas. Dia kenal sangat dengan kapalangkasa berbentuk silinder yang sedang berada lebih dua kilometer dari kedudukan mereka. Kapalangkasa tersebut pastinya kepunyaan sebuah syarikat korporat dari Devo yang menumpukan perniagaan mereka pada bidang ketenteraan—di dalam ertikata yang lain, mereka adalah tentera upahan.
“Apa yang mereka mahu?” tanya Khairul dengan nada yang tenang. Tangannya ditaupkan berdua, lalu disematkan ke belakang pinggulnya yang padat itu. Anak matanya jenak melihat angkasa yang terbentang di depannya.
“Mereka tidak menjawab sebarang panggilan dari Baladewa-x. Semua sistem senjata mereka telahpun dihidupkan dan diacukan ke arah kita.”
“Hari ini hari Jumaat Kliwon, bulan suro. Hari yang baik untuk para satria untuk menemui ajalnya.” Bisik Khairul seorang diri. Za melihatnya, tapi ia cuma mendengar bisik yang tidak jelas itu. Tidak pula ia ingin mengetahui dengan lebih lanjut apa yang terbuku di hati Khairul yang diluahkan di dalam bisikannya tadi.
“Maaf tuan, apa yang tuan katakan tadi?” ditanyai juga tuannya itu, mungkin Khairul inginkan dia bertanya. Dia dapat rasakan.
“Masa kita untuk menemui ajal belum tiba lagi. Bukan pada hari ini.” Jawab Khairul melirik senyumannya itu.
Za tidak menjawab. Dia cuma membalas dengan air muka yang agak tawar, tanpa sebarang saranan. Dia masih menunggu arahan seterusnya dari Khairul.
“Biarkan mereka dekati kita.” Khairul berlagak berani, sememangnya dia punya nilai berani. Ini sudah diketahui oleh Za.
“Tapi tuan!” Za cuba membantah.
“Jangan hidupkan medan tenaga Baladewa-x sehingga mendapat arahan dari saya.” Khairul melihat data-data yang ada di hadapannya. Dia melakukan beberapa pengiraan dengan pantas. Dia tidak mahu kerana kesilapan di dalam pengiraannya nanti, apa yang dirancangkan itu nanti tak menjadi. Itu tak mungkin dapat diterima oleh Khairul.
“Apa yang tuan hendak lakukan?” tanya Za kebimbangan. Dahinya berkerut seribu. “Tuan… Baladewa-x akan meletup dalam masa seminit sahaja lagi jika kita tidak buang teras plasma di dalam bilik enjin.” Za nyata terlalu sukar untuk menyembunyikan risaunya. Khairul pula tenang. Masih tenang. Tindakannya agak teratur.
“Saya tahu… Tapi kita kena tunggu sehingga masa yang tepat untuk bertindak.” Balas Khairul sambil menghitung masa. Bibirnya bergerak-gerak. Peluhnya mula mengalir membasahi dahinya. Disapu peluhnya itu, agar tidak hinggap ke kelopak matanya. Masa yang singkat itu dibiarkannya berlalu begitu sahaja.
“Lima belas saat lagi sebelum teras plasma diletupkan!” Za mengingatkan. Dia tidak sedikitpun mengalihkan penglihatannya kepada Khairul. Dia sedar yang Khairul mendengar. Kali ini suaranya lebih tenang dari sebelumnya. Dia memberikan sepenuh kepercayaannya kepada Khairul. “Sepuluh saat… Sembilan—”
Khairul menekan butang khas untuk melepaskan teras plasma di bilik engin pada saat-saat akhir sebelum ia meletup.
Teras plasma dilepaskan dari Baladewa-x. Kemudian dengan cepat Baladewa-x menghidupkan medan tenaganya. Ia bergerak begitu laju meninggalkan kapal-kapal induk Devo yang berada di belakangnya tadi.
Khairul membuat percaturan di dalam hatinya. Dia yakin bahawa teras plasma itu akan meletup betul-betul di hadapan dua buah kapal induk Devo itu. Bibirnya terketap. Dadanya berombak perlahan. Za tidak ditenungnya. Za membaca air muka Khairul.
Khairul tidak dapat mengusir kebimbangannya. Peluh membasahi dahinya.
Seperti yang dijangkakannnya, teras plasma itu meletup di koordinat yang ditetapkannya. Khairul tersenyum sinis. Za nampak gembira, tiada laungan besar menyambut ledakan itu. Letupan thermo-nuklear yaang dihasilkan dari bom bio-organik itu berjaya memecahkan teras plasma itu. Tindakbalas yang berlaku berupaya menghasilkan sebuah letupan yang menggegarkan—gegak gempita.
Percikan plasma dengan cepat meratah bahagian badan kedua-dua kapal induk Devo itu. Di dalam masa yang amat singkat, kedua-dua kapalinduk Devo itu meletup musnah.
“Kapalangkasa Devo yang lain kini berpatah balik dari terus menyerang pejuang-pejuang Shevira, tuan!” ucap Za dengan bangga.
“Tetapi mereka masih perlu melawan kuasa dari Ur’dakh.” Khairul mengingatkan. Nadanya semakin tenang.
“Betul tuan.” Za membalas dengan perlahan.
“Kita mesti bantu mereka seberapa yang kita mampu.” Ujar Khairul. Dia duduk tegak di kerusinya. Jari telunjuknya terus menekan sebuah butang perak di tepi bahagian konsol kawalannya.
Selang beberapa detik kemudian, sebuah layar yang berbentuk seperti sebuah parabola muncul dari bahagian belakang Baladewa-x. Ia mengembang untuk mengumpul tenaga suria yang datangnya dari Arjuna, lalu menjadi kuasa pendorong untuk menggerakkan pesawat ini.
Layar parabola yang mempunyai diameter selebar 100 meter itu kembang seperti sebuah payung kira-kira 350 meter dari bahagian belakang Baladewa-x.
“Sistem halimunan akan dihidupkan supaya kita dapat menyelinap masuk ke orbit Dresanala.” Beritahu Khairul kemudian. Za sememangnya senantiasa bersedia untuk apa jua keadaan. Khairul menggunakan keris Gayaman Pakubuwononya lalu memutarkan hulunya untuk menghidupkan sistem halimunan Baladewa-x.
Baladewa-x terus lenyap dari pandangan.
“Kita akan maju ke hadapan. Jika perlu, hidupkan mod pertempuran senjata pemusnah.” Perintah Khairul dengan tegas. Za tidak menjawab. Dia lebih suka membatu. Akan tetapi setiap arahan Khairul diikutinya. Dia akan terus mengikuti segala perintah yang datangnya dari Khairul tanpa banyak soal-jawab.

**

Raina menerima laporan yang terbaru itu lalu dicernanya terus di dalam kepalanya. Kini, sempurna sudah jam pertama sejak peperangan diisytiharkan. Laporan mengenai jumlah mereka yang terkorban menusuk masuk, jauh ke dalam hatinya.
Raina terbang melepasi sebuah menara tinggi. Ini menandakan yang dia telahpun masuk ke dalam kawasan Kota Diraja Pakubuwono. Di bawahnya, kedapatan beberapa buah pesawat Ur’dakh yang kelihatan seperti serangga, merayap semakin dekat ke arah kawasan kraton. Yang lebih menakutkan, objek-objek yang kelihatan seperti bebola yang berjaya didaratkan di beberapa buah lokasi di dalam Kota, lalu memuntahkan lipan-lipan gergasi. Lipan-lipan tersebut telah sedia diprogramkan oleh tentera darat Ur’dakh untuk membantu mereka menakluk kota ini. Ia akan membunuh sesiapa sahaja yang dianggapnya sebagai musuhnya dengan bisanya itu. Tiada siapa yang dapat mengelakkan dari kematian jika sudah terkena tusukan bisa lipan itu.
Arahan dari Moksar perlu diakurinya, walaupun dia tahu bahawa sukar untuk pihaknya bertahan lebih lama lagi. Bukan kerana mereka lemah, tetapi jumlah pihak musuh terlalu ramai. Dari segi logistik, sememangnya tidak masuk akal jika mereka menang di dalam peperangan ini.
“Perhatikan bahagian tepi kamu, Panggani!” kedengaran suara anak buahnya. Bunyinya bagai menyampaikan khabar untuk lebih berhati-hati.
“Empat buah pesawat Ur’dakh sedang mengekori aku! Bantuan diperlukan!” teriak suara satu lagi.
“Geenar, mereka terlalu ramai! Berundur cepat!” kata suara ketiga. Suara kali ini jauh lebih garau.
“Raina… Bertahan sehingga bantuan datang.” Ucap suara yang biasa didengarinya. Perasaan gementarnya kini kembali tenang sebaik sahaja dia mendengar suara yang bukan lagi asing pada telinganya—suara suaminya Moksar.
“Bantuan dari mana?” tanya Raina. Dia jelas risau. Laporan awal memberitahu bahawa armada dari Shevira sukar untuk mempertahankan Dresanala dengan lebih lama.
Mereka semakin lemah. Semakin banyak pesawat-pesawat Ur’dakh yang dapat membolosi sistem pertahanan Dresanala. Ramai yang sudah terkorban. Pertahanan menjadi semakin nipis.
“Bantuan dari Armada Keethuan .” Jawab Moksar seakan-akan itulah keputusan yang terpaksa diambilnya jikalau menemui jalan buntu.
Ryekat terdiam. Tetapi perasaannya tidak lagi sekusut tadi. Dia berdoa agar Armada Keethuan akan sampai secepat mungkin untuk membantu mereka mempertahankan kedaulatan Empayar Dresanala. Doa terus dipanjatkan. Hanya itu yang mereka ada sekarang ini.

**

Moksar baru sahaja mengarahkan supaya dipanggil Armada Keethuan dari tempat persembunyian mereka di Lingkaran Asteroid Arimbi yang letaknya tidak jauh dari sistem Arjuna.
Moksar sedar bahawa langkah yang diambilnya agak drastik. Dia tidak mempunyai jalan yang lain untuk menyelamatkan keadaan.
“Jadi selama beribu-ribu tahun Armada Keethuan bersembunyi di dalam lingkaran asteroid Arimbi?” tanya Candra kepada Moksar, sebaik sahaja dia diberitahu tentang kewujudan armada kapalangkasa perang ini kepadanya. Sepatutnya, kewujudan armada ini perlu dirahsiakan. Tetapi keputusan ini terpaksa diambil untuk memastikan kemenangan mutlak bagi pihak mereka.
“Ya, kami pernah menggunakan kapal-kapal ini untuk ke sini dahulu.” Jelas Moksar. Dia memerhatikan data-data yang diterimanya di dalam proses-proses untuk menghidupkan kembali beberapa buah kapalangkasa penting di dalam armada ini.
Kalau semua rancangan berjalan dengan lancar, armada ini hanya akan diaktifkan dua tahun dari sekarang. Pada masa yang sama ketika Seguiri dan pengikut-pengikutnya dikejutkan dari lamunan kryogenik mereka di Sewoko.
“Bagaimana ia boleh tersembunyi dengan begitu lama tanpa ditemui oleh sesiapapun?” nyata Candra punya pelbagai persoalan yang bersarang di benaknya.
“Kami telah menggunakan alat halimunan yang membolehkan pesawat kami berada di sebuah dimensi yang lain.” Moksar menjelaskan. Teknologi ini jelas jauh kehadapan dari teknologi-teknologi yang difahami oleh Candra. Candra cuma tersenyum tawar, terus berdiam diri untuk seketika.
“Berapa lama sebelum ia sampai ke orbit Dresanala?” tanya Candra semula. Dia tidak sanggup lagi melihat kemusnahan demi kemusnahan yang sedang dihadapinya kini.
“Setengah jam sahaja lagi.” Ringkas sahaja jawapan Moksar.
Candra melepaskan nafas dengan rasa lega. Pada masa yang sama dia tahu bahawa di dalam masa setengah jam, apa-apa sahaja perkara boleh berlaku… dia terus kegusaran. Tidak dapat duduk diam. Dia risau. Wajahnya menyatakan segala perasaannya selama ini.

**

Achyat diberitahu tentang perkembangan pertempuran yang sedang berlaku ketika itu oleh Jiwo. Ketara sekali, Achyat nampak lega kerana dia bimbang kekalahan bagi pihak Kumpulan Panah Hitam akan menggapai kemusnahan kepada dirinya jua.

Achyat tidak dapat membendung rasa leganya. Dia merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk dia menwartakan berita gembira ini kepada Ridwan.
Ridwan sudah semestinya ingin mengetahui perkembangan perperangan ini. Sudah tentu dia inginkan berita gembira untuk menjadi halwa telinganya.

Terus sahaja Achyat menekan punat di mejanya, untuk memulakan komunikasi dengan Ridwan. Dengan segera, dalam bentuk holocom, Ridwan menjelma sambil berkata; “Baik kau beritakan kepadaku berita gembira sahaja!” Getar suaranya berbau angkuh. Tapi bagi siapa yang dapat mencatur pergolakan fikirannya, jelas Ridwan bukanlah boleh menerima berita buruk. Siapa yang tidak tahu, kekalahan di dalam perperangan yang melibatkan Kumpulan Panah Hitam dan Empayar Dresanala yang bagaikan telur di hujung tanduk. Ridwan amat dukacita dengan perkhabaran sedemikian. Dia inginkan yang indah sahaja. Tiada perkataan kalah atau lemah di dalam kamus yang digunakannya.

Mulanya, Achyat tertunduk, cuba mengumpul kata-kata, bukan dia ingin berseloka dengan Ridwan. Bukan pula dia ingin melewat-lewatkan masa yang ada. Antara semua makhluk dan manusia, Ridwan bukanlah orangnya untuk berjenaka. Malah, ia mungkin mengundang tempelak dari Ridwan sendiri. “Jadi, apa yang mahu kau khabarkan kepadaku?” Ridwan menyambung, kaki-kaki lelabahnya bergerak-gerak. “Mana mungkin kau tiada apa-apa perkhabaran, sedangkan sekarang adalah saat-saat paling genting!” matanya sedikit terjegil. Dia terus membelakangkan skrin di depannya. Achyat hanya mampu melihat kujur tubuh Ridwan dari belakang.
“Daulat Tuanku Adipati Ridwan yang Agung…” Achyat mampu berkata sebagai permulaan, dan dia ingin meneruskan. Dilihatnya sekeliling Dewan Seworenggo itu. Tiada apa yang perlu dilihatnya, tapi dia cuma ingin berasa selesa dalam berkomunikasi dengan Ridwan. “Adipati, rasanya Kumpulan Panah Hitam sudah hampir kepada kejayaan besar, Adipati,” disambut dengan bibit-bibit senyuman tawar di bibirnya. Dia berhenti barang seketika. “Banyak kapal angkasa dari pihak Shevira telah berjaya dimusnahkan. Bukan itu sahaja, ada antara kapal angkasa mereka tidak sempat melancarkan sebarang serangan, sudahpun dibedil oleh pihak Ur’dakh. Kami yakin yang mereka sudah mencium kejayaan, Adipati!” jelas Achyat panjang lebar. Sepasang mata Ridwan direnungnya. Pandangannya agak liar. Wajahnya tenang tanpa perasaan. Dia senyap tanpa suara buat sementara. Ada yang terbuku di hati yang ingin diluahkannya.
“Jadi kau sudah pastikan yang kita sudah mencapai kejayaan mutlak mengalahkan mereka? Kau pasti?” Ridwan cuba menggoncang keyakinan Achyat.
“Mereka masih berjuang di luar sana Adipati, dari apa yang kami ketahui sebentar tadi, ada beberapa kapalangkasa pihak lawan yang masih berlegar-legar di angkasa,” Achyat bagai memberikan laporan mutakhir kepada Ridwan.
Ridwan masih nampak tidak puas hati dengan apa yang telah diberitahu oleh Achyat.
“Achyat, berapa kali aku khabarkan kepada kau yang kita tidak mungkin boleh berpuas hati dengan apa yang kita capai, selagi masih ada sisa-sisa musuh. Selagi belum kita hidu hanyir darah mereka di tangan kita, jangan kau katakan kepada aku yang kita sudah berjaya! Itu bukan berjaya namanya, itu cuma satu khayalan!” Ridwan berkhutbah panjang. Merah telinga Achyat dibuatnya. Dibenaknya tergambar akan mereka yang tengah berjuang habis-habisan untuk mendapat kejayaan mutlak. Dia akur akan kebenaran kata-kata Ridwan, walaupun ia terlalu pahit untuk ditelan. Dia rasakan dia sudah masak dalam ilmu perperangan, tapi Ridwan jauh lebih peka tentang pelbagai seni perperangan.
Achyat akur dengan pendapat yang diberikan oleh Ridwan. Dia ternyata tidak mempunyai pendirian sendiri. Dia tunduk kepada gegaran pendirian yang dibuat oleh Ridwan. Malah kini, dia tidak berani memberi sebarang pendapat untuk menyatakan pendapatnya bahawa Kumpulan Panah Hitam telah pergi jauh dalam mendakap kemenangan… Cuma beberapa tapak sahaja lagi. Kita belum menang lagi. Kita masih belum boleh mengisytiharkan kekalahan bagi pihak Empayar Dresanala!
“Jangan lakukan apa-apa lagi sehingga kau terima arahan dariku!” tersentak Achyat dibuatnya. Suara Ridwan kuat lalu berdengung kedengarannya di dalam dewan.
“Baik, Adipati.” Jawab Achyat dengan nada akur. Dia cukup sedar bahawa belum sampai masanya lagi untuk dia mengisytiharkan kekalahan bagi pihak Empayar Dresanala dan kemenangan bagi pihak Kumpulan Panah Hitam. Pada saat itu, dia sendiri akan menandatangani deklarasi kekalahan itu. Lalu membenarkan pihak Kumpulan Panah Hitam untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Empayar Dresanala.

Pada saat itu juga, diharapkannya keluarganya akan dibebaskan dari tahanan Kumpulan Panah Hitam yang kejam itu. Dia kini hanya mahu dirinya dan keluarganya selamat. Dia akan melakukan apa sahaja untuk memastikan perkara yang tidak diingini berlaku kepada keluarganya.

Jika dia tidak berkerjasama, dia pasti keluarnya akan dibunuh, atau lebih teruk lagi, diseksa di hadapannya, sepertimana yang telah dijanjikan oleh Ridwan kepadanya…

**

Wiranto dan Dimas berpadu tenaga untuk melawan musuh-musuh mereka yang berjaya membolosi sistem pertahanan Shevira, lalu masuk ke dalam atmosfera Dresanala. Semakin lama, semakin banyak pula kapalangkasa musuh dari pelbagai jenis dan saiz masuk untuk menyerang beberapa kota utama Dresanala.
“Sebuah kapalangkasa kelas Dalsar dari Ur’dakh!” Getus Wiranto dengan cemas. Dia memandang kepada sebuah pesawat besar yang terbang turun dari angkasalepas. Dari jauh lagi dia sudah dapat melihat kelibat kapalangkasa tersebut. Agak agam bentuknya.
“Ia sedang bergerak ke arah Kotagede!” Ucap Dimas dengan cepas dari apa yang diketahuinya dari komputer navigasinya.
“Nampaknya lambat kita akan sampai ke Pakubuwono…” Kata Wiranto berseloroh. Dia terus membawa Saronodewo ke arah kapalangkasa Ur’dakh itu.
Dimas memerhatikan kapalangkasa Ur’dakh yang berwarna hitam itu; ia kelihatan seperti seekor haiwan krustasia yang amat aneh. Saiznya agak besar, kira-kira 450 meter lebar.
“Ia akan menyerang Kotagede dengan melepaskan meriam plasmanya.” Jelas Wiranto. “Tetapi ia perlu melakukan serangan jarak dekat untuk memastikan serangannya berkesan.”
“Dengan kelajuannya sekarang, ia akan tiba ke Kotagede di dalam masa enam minit sahaja lagi!” beritahu Dimas.
“Berhati-hati!” ujar Wiranto mengingatkan. Saronodewo memegang bahu Triwikrama untuk mengelakkan ia dari terkena tembakan dari kapalangkasa Ur’dakh itu.
Kapalangkasa Ur’dakh kelas Dalsar itu kini menghadap ke arah mereka. Menukar haluannya lalu mengambil keputusan untuk mengepung Saronodewo dan Twirikrama.
“Jadi apa sekarang?” tanya Dimas dengan cemas seolah-olah dia baru sahaja mengejutkan seekor naga mahawangsa yang sedang lenyak tidur. Kini sebahagian besar dari ruang angkasa di hadapan mereka dipenuhi oleh pesawat Ur’dakh.
“Pangeran masih ingat saya ada beritahu Pangeran tentang perisai kuantum yang ada pada Ganthree ini?” tanya Wiranto.
“Ya, saya ingat lagi. Ganthree ini memang kuat. Ia tidak lut senjata.”
“Betul… Saya dah mencubanya tadi. Memang ia boleh menerima apa sahaja serangan dari musuh tanpa sedikit calarpun.”
Serangan meriam lazer menghujani mereka. Twirikrama dan Saronodewo mengelak seberapa mampu.
“Jadi apa yang patut kita lakukan sekarang?” tanya Dimas. Mengelak seboleh-bolehnya agar dirinya tidak terkena tembakan meriam lazer itu.
“Kita patut uji kekuatan Ganthree kita ini.” Seru Wiranto dengan bersungguh-sungguh. “Ikut pergerakan saya Pangeran. Ikut rentak saya.”
Saronodewo berundur terbang ke belakang di dalam satu lingkungan. Triwikrama mengekorinya dengan kelajuan yang hampir serupa. Beriringan lagaknya. Mereka berdua terbang dengan laju ke arah kapalangkasa Ur’dakh itu.
“Gunakan Triwikrama dengan menjadikannya seperti torpedo dengan merempuh pada bahagian tepinya, pada koordinat yang telah saya berikan.” Perintah Wiranto tanpa sedikitpun merasa ragu. Yang pasti, dia bagai sudah melakukan pengiraan tepat sebelum semua ini dimulakan.
“Apa?” tanya Dimas dengan pantas seperti tidak percaya.
“Percayalah kepada saya!” tegas Wiranto. “Ganthree ini lebih hebat dari yang kita sangkakan. Sebab itu ia tidak perlu dilengkapkan dengan terlalu banyak senjata. Ianya sendiri adalah sebuah senjata! Senjata yang amat hebat!” Wiranto tidak punya masa untuk berkata panjang lebar. Dia mengharapkan Dimas punya keyakinan.
Kapalangkasa Ur’dakh itu menjadi semakin besar apabila Twirikrama menghampirinya. Dengan tepat ia terbang dengan laju ke arah titik yang telah disebutkan oleh Wiranto tadi—bahagian enjin kapalangkasa tersebut. Saronodewo pula dengan laju terbang ke arah anjung kapalangkasa yang sama.
Dengan berani, Dimas merempuh ke dalam kapalangkasa kelas Dalsar itu. Perisai kuantum yang digunakan untuk menyeliputi tubuh Ganthree ternyata kebal. Tidak terucap kekagumannya kepada Ganthree ini. Maka benarlah seperti apa yang dikatakan oleh Wiranto, Ganthree ini sendiri adalah sejenis senjata yang sangat merbahaya.
Triwikrama terus merempuh ke dalam kapalangkasa Ur’dakh itu. Di dalam beberapa saat Dimas di dalam perut pesawat tersebut, kelihatan wajah-wajah anak-anak kapal yang kaget. Mereka sedang bertugas mengendali kapalangkasa mereka yang tengah berada di ambang kemusnahan itu.

Triwikrama berhenti bersebelahan dengan Saronodewo di tengah-tengah angkasa. Mereka berdua nampak puas kerana dapat menembusi perut pesawat Ur’dah yang bakal mengganas untuk memusnahkan kota terapung Kotagede itu. Beberapa saat kemudian, kapalangkasa itu meletup lalu berkecai. Letupannya kuat. Bunyinya membingitkan seolah-olah seribu panah petir telah berdentum di dalam masa yang sama. Tidak lama selepas itu kelihatan serpihan dari ledakan ini berterbangan dan terapung-apung di ruang angkasa. Serpihan yang masih berapi itu bagai bintang-bintang kecil yang baru muncul.
“Kita berjaya!” sorak Wiranto apabila dia nampak sisa-sisa kapalangkasa Ur’dakh itu jatuh ke kawasan launtan luas di bawah mereka. Teriakannya jelas nyata. Kali ini sememangnya kejayaan sudah dikecapi.
“Gila jugak apa yang kita buat tadi!” ujar Dimas yang masih tidak percaya apa yang telah dilakukannya.
“Biasalah tu.” Sambut Wiranto seolah berseloroh. Dia terus maju ke arah kota Pakubuwono. Meninggalkan Dimas yang sedang asyik memerhatikan sesuatu yang telah dimusnahkannya tadi. Ekor matanya masih melihat kepada kemusnahan yang bakal ditinggalkannya.
“Perjuangan kita belum selesai lagi, Pangeran.” Ujar Wiranto. Dia terus terbang dengan laju membahagi angkasa.

Di belakang mereka, ada empat buah pesawat penyerang Ur’dakh yang lapar, sedang mara dengan pantas untuk menyerang mereka!

Bab 29

“Seorang Maharaja tidak boleh menarik balik kata-katanya. Maka, lebih baik jika dia menggigit lidahnya di dalam masa-masa apabila pendapatnya tidak diperlukan.”
-- Bupati Harsrinuksmo

Khairul mengeluh apabila dia memerhatikan keadaan di orbit Dresanala. Jelas kelihatan angkatan keamanan dari Shevira tidak dapat bertahan dengan lebih lama lagi. Kawasan angkasalepas di sekelilingnya dihujani dengan serpihan-serpihan kapalangkasa dari pelbagai pihak yang telah musnah di dalam peperangan ini.
“Apa yang kita hendak lakukan sekarang, tuan?” tanya Za. Matanya tepat kepada mayat seorang anggota tentera Shevira yang terkujur dingin, tidak jauh darinya. Mayat itu jelas kelihatan seperti spesis sejenis burung itu.
“Tidak banyak yang boleh kita lakukan di sini.” Kata Khairul berterus terang. Fikirannya sendiri buntu. Agak buntu. Bibirnya kekeringan.
“Sebuah lagi armada dari Ur’dakh baru sahaja keluar dari hyperruang.” Za mencelah. Matanya dipusatkan kepada konsol komputer di hadapannya.
Khairul termenung jauh, pandangannya lesap jauh di depannya. Bertimbun-timbun permasalahan yang sedang difikirkan pada saat itu. Mindanya berselirat mencongak keputusan yang harus diambilnya sekarang.
“Bagaimana dengan tahap tenaga yang kita ada?” tanya Khairul kepada Za. Suaranya tidak pula sambil lewa.
“Teras plasma kita telah musnah, tuan. Kita tidak mempunyai cukup tenaga untuk menggunakankan senjata kita dengan sepenuhnya. Jika kita dapat gunakannya sekalipun, sistem bantuan kehidupan yang kita ada, tidak mungkin bertahan lama. Senjata ini memerlukan banyak tenaga. Terlalu banyak.” Za berkongsi pendapat dengan Khairul.
Khairul terus mengurut-urut dahinya. Dia jelas kepenatan.
“Kalau begitu, beritahu anak-anak kapal kita supaya bersedia dengan memakai pakaian angkasa. Lengkap!.” satu lagi arahan terpacul dari Khairul. Za berpaling kepadanya.
“Baik tuan!.” Za menekan beberapa buah butang. Jarinya lancar. Jarinya bagai berbicara dengan papan kekunci di depannya. Ia juga telah menekan sebuah butang arahan; kecemasan.
“Sistem bantuan kehidupan hanya akan aktif di dalam anjung Baladewa-x di dalam masa seminit.” Ucap Za dengan tangkas melakukan tugasannya.
“Matikan sistem halimunan di dalam masa seminit.”
“Bagaimana pula dengan medan tenaga?”
“Kita perlukan sebanyak tenaga yang dapat kita kumpul.”
“Baik tuan,” kata-kata Za itu terhenti dan disambung pula dengan tindakan.
Khairul membawa Baladewa-x ke arah sebuah kapal induk Ur’dakh yang terbesar di orbit Dresanala. Kapal induk Demboth itu terkenal sebagai kapal induk Ur’dakh yang paling kuat yang pernah dibina mereka. Bentuknya konsisten seperti semua kapal-kapal induk Ur’dakh yang lain—seperti seekor belangkas.
Kapal induk Demboth itu nampaknya sedang menyerang dengan menggunakan torpedo photonnya ke arah sebuah koodinat di banjaran pergunungan Dieng. Serangan-serangan padu dilancarkan bertubi-tubi. Tanpa henti.
“Maafkan saya, atas apa yang akan saya lakukan mulai sekarang,” ucap Khairul tersekat-sekat. Kepalanya tetap ke hadapan. Za tidak pasti jika dia telah mengucapkan kalimah-kalimah tersebut kepadanya ataupun dia sedang berdoa.
“Tuan, Baladewa-x sedia untuk menyerang Demboth di dalam masa 30 saat lagi,” ujar Za. Suaranya lebih perlahan diutarakan. Sama seperti sebelumnya. Dalam masa yang sama dia, Baladewa-x terus berhenti di sebuah posisi yang sesuai. Ia terus menguncupkan layar parabolanya. Ia kini sedang bersiap-sedia di dalam mod pertempuran. Ia sedia.
“Kenapa Za? Ada apa-apa yang tidak kena?” Khairul menanyai Za. Dia bagai dapat mentafsir kekusutan di wajah Za.
“Tidak ada apa-apa tuan.” Za menggelengkan kepala, agak perlahan, terus tertunduk.
“Kau pernah menjadi sebahagian dari Demboth, bukan?” Khairul menawarkan jawapan kepada soalannya sendiri.
“Ya, tuan…” Jawab Za serba-salah.
“Maafkan saya.”
“Tuan tidak perlu meminta maaf kepada saya. Saya akan melakukan perkara yang sama atau mungkin lebih keras lagi jika saya berada di dalam keadaan tuan.” Za cuba memastikan bahawa perasaan bersalah tidak ada di dalam diri Khairul. Dia tidak mahu tuannya digelangi perasaan berserabut dalam saat-saat penting sedemikian.
Khairul menarik nafas panjang. “Teman hidupmu ada di Demboth, bukan?” pandai si Khairul memancing rahsia Za.
“Ya,” jawab Za pendek. Dia tidak pula cuba berselindung.
“Kita patut batalkan sahaja serangan ini. Kita boleh serang kapal induk Talkin. Mereka berada tidak jauh dari koordinat ini—”
“Kita kena teruskan misi kita ini, tuan!” suara Za kembali tegas. Penuh dengan keyakinan. Khairul berpaling ke arah mata Za. Dia dapat melihat beberapa perubahan secara fizikal pada diri Za—terutama sesungut-sesungutnya yang jelas bergerak pantas. Matanya pula pudar, tidak bermaya. Khairul tidak bisa membaca apa yang tersirat di sebalik perubahan fisiologi itu. Mungkin Za sedang menangis. Dia berduka. Mungkin juga berbaur sedih dan sedu. Mungkin inilah caranya makhluk ini menterjemahkan kesedihan mereka, di saat-saat yang tak terduga!
“Matikan sistem halimunan sekarang dan hidupkan mod pertempuran,” perintah Khairul tanpa teragak-agak. Za tersentak. Dia kembali ke alam nyata. Dia menurut sahaja.

Baladewa-x tiba-tiba sahaja muncul di hadapan Demboth. Mereka yang khusyuk di anjung Demboth terpegun melihat transformasi sebuah kapalangkasa asing di hadapan mereka. Mata mereka tidak berkedip.
“HENTIKAN SERANGAN KE ARAH MARKAS PENGGANAS TONAMON! PINDAHKAN KESEMUA SUMBER TENAGA UNTUK PENJANAAN MEDAN PERISAI!” perintah kapten kapal induk Demboth itu, yang tadinya terganggu dengan kehadiran kapalangkasa asing itu. Dia kenal benar dengan kapalangkasa bersaiz sederhana di hadapannya. Dia sedang memandang ke arah Baladewa-x—sebuah kapalangkasa prototype yang mampu memusnahkan sebuah kota di dalam beberapa saat sahaja. Dia tahu benar. Ramai yang tahu. Tetapi apa yang membuat dia begitu mengenali kapalangkasa ini adalah kerana dia telah diberitahu bahawa teman hidupnya sedang berada di dalam perutnya…

Matanya terus kepada Baladewa-x. Muncung Baladewa-x kembang mekar—seperti sekuntum bunga yang indah kejadian lagaknya. Meriam ion berkuasa tinggi kini dipusatkan terus ke arah kapalangkasanya. Buat pertama kali, dalam masa yang begitu lama, kapten kapal induk Demboth mula berasa gentar. Dia kini yakin bahawa ajalnya akan sampai. Dia tahu yang dia akan dipisahkan, antara jasad dan roh. Dia hanya mampu berdoa untuk menemui penciptanya. Dia tidak pasti dia sudah bersedia…

**

Triwikrama dan Saronodewo berhempas pulas berjuang dan menggempur pesawat-pesawat penggempur Ur’dakh yang nyata tidak mudah menyerah kalah. Setiap bedilan cuba mereka elakkan, atau serangan balik dilakukan. Semuanya pantas. Semuanya huru hara. Semuanya berniat sama—menjatuhkan antara satu sama lain. Bukannya senang untuk melawan mereka. Itu memang sudah menjadi kepastian. Lebih-lebih lagi dengan rekabentuk pesawat pejuang Ur’dakh seperti serangga gergasi itu. Ia begitu licik. Pergerakannya tersusun. ‘Otak’nya pula bergeliga. Ia mampu bergerak pantas melawan musuhnya. Di udara mahupun di darat.
“Bilangan mereka terlalu ramai!.” getus Wiranto. Sukar baginya membayangkan dirinya bersama Dimas melawan berpuluh-puluh buah pesawat Ur’dakh yang menghujani angkasa. Dalam masa yang sama—dia risaukan keselamatan mereka.
“Apa yang perlu kita buat sekarang?” tanya Dimas dengan nada cemas. Ingin sahaja dia menepuk belakang Wiranto, untuk menjagakannya dari tafakurnya.
“Turun ke darat. Mungkin mereka lemah di sana.” Wiranto membuat perhitungan dan ramalan. Dia mesti memastikan supaya Dimas terbang ke bawah sebelum dia mengekorinya dari belakang. Dia mengekalkan jarak yang selamat dengan pesawat Dimas. Dia tidak mahu Dimas hilang dari pandangannya. Mereka bagaikan aur dengan tebing—saling memerlukan.
Wiranto sedar selama ini, setiap hari yang berlalu dia begitu mengambil berat tentang Dimas. Ramai yang sedar dan rancak memperkatakan perhatian dan kasih sayang yang dicurahkan kepada Dimas selama ini. Ini bukanlah perkara asing bagi Wiranto. Dia tidak mempedulikan apa yang diperkatakan oleh orang sekelilingnya asalkan Dimas selesa dengan kehadirannya. Baginya, Dimaslah tempat dia mencurah cebis-cebis kasih yang masih ada. Lagipun, Dimas ini bagaikan sudah menjadi sebahagian dari darah daging. Cuak rasanya kalau Dimas tidak dilihatnya dalam sehari.
Lamunan Wiranto tersentak. Dia masih ingat, sebelum itu mereka sempat melepaskan beberapa puluh buah periuk-api kecil yang berterbangan mencari sasarannya. Ada antara serangan itu membedil pesawat-pesawat lawan. Wiranto terus menumpukan perhatian, bukannya tersenyum dapat membedil pejuang-pejuang itu. Dalam kepalanya; sekurang-kurangnya semakin kurang jumlah pihak musuh yang akan bertempur dengan mereka di darat nanti.

Triwikrama dan Saronodewo mendarat di tengah-tengah Dataran Kraton Pakubuwono Hadiningrat. Keadaan kraton yang terbentang di depan mata mereka; tak ubah seperti padang jarak padang terkukur. Sunyi. Kesan peperangan agak jelas. Sampah sarap bertaburan. Jelaga hasil kebakaran masih pekat di udara. Ada di antara bangunannya yang hangus terbakar. Ada monumen yang hancur dan tidak dapat dikenali lagi. Tidak kurang dengan tinggalan-tinggalan yang bersepah-sepah. Jauh di hujung ekor mata mereka, terselit sebuah Ganthree yang kelihatan terbaring di atas sebuah kubah yang hampir pecah di dalam kawasan kraton itu.
“Kenapa sunyi sahaja?” tanya Dimas kepada Wiranto, cuba memecah buntu.
“Mungkin pihak musuh sudah mula berundur.” Itulah sahaja jawapan yang mampu diberikan oleh Wiranto. Dia cuma boleh meneka. Dalam pada itu, mereka berhati-hati. Cuba mengagak apa yang akan berlaku.
Juasseh mendarat di sebelah Triwikrama. Ia mendongak ke langit, seolah-olah memandang kepada sesuatu yang sedang rancak berlaku di atas sana.
“Ada sesuatu yang tidak kena di atas sana,” ujar Ryekat kepada Dimas dan Wiranto. Tiga pasang mata bertukar-tukar pandangan.
“Atau mungkin… Ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku di sini,” ujar Wiranto berhati-hati mengaturkan kata-katanya. Kepalanya berpaling ke kiri dan ke kanan, bagaikan pengintip lakunya. Kata-kata yang terpacul, penuh makna. “Kalau diikutkan, kita tidak sepatutnya boleh mendarat di sini tadi. Tetapi medan tenaga yang melindungi kraton ini telah lama dimatikan!”
Semua terdiam buat beberapa saat. Yang terdengar, hanya angin lalu, menyapu muka Ganthree mereka. Ada debu-debu liar yang sempat hinggap.
“Betul juga. Kalau kita perhatikan, kesemua pesawat-pesawat musuh termasuk pesawat-pesawat Garuda mula berundur dari Kota Pakubuwono. Dan kami juga telah diberikan taklimat bahawa sistem pertahanan kraton ini teguh. Ia hanya boleh dimatikan dari dalam.”
“Mereka mungkin berundur dari sini kerana mereka mahu memusnahkan kraton ini!” Wiranto mengeluarkan rumusannya sendiri. “Pastinya kerja orang dalam. Lihat, tidak ada pengawal yang mengawal kraton. Mereka semua tiada lagi di sini!”
“Tapi kenapa?.” persoalan yang sama berlegar di benak semua.
“Mungkin ini langkah terakhir mereka.” Kata-kata Wiranto terhenti di situ sahaja. Dia mula membuka langkah untuk keluar dari perut pesawat Ganthreenya. Dia mula berasa tidak sedap hati. Dia perlu menyiasat keadaan di dalam kraton. Dia juga membisikkan kepada hatinya, yang dia perlu berhati-hati. Musibah boleh datang dari sudut manapun. Musibah datang tanpa diundang, pastinya.
Perut Saronodewo terbuka. Wiranto keluar dari Ganthreenya. Pada masa yang sama, terkeluar beberapa keperluan senjata yang diperlukannya, dari bahagian kaki pesawat Ganthree. Dia mengubah bentuk gorongnya supaya ia mengeluarkan kepak membrannya.
Tanpa berfikir panjang, Dimas telah membuat keputusan untuk keluar dari Triwikrama.
“Pangeran patut keluar dari kraton ini secepat mungkin!” tegas Wiranto sewaktu Dimas berhadapan dengannya. Keningnya berkerut risau. Wajah tegas Wiranto kelihatan biru kerana ditegur cahaya Arjuna di petang itu.
“Kita tak ada masa untuk membincangkan hal ini lagi.” Balas Dimas. Dia menoleh ke arah Juasseh. Kini Ryekat pula keluar dari pesawat Ganthreenya itu.
Wiranto mendengus. Dia mengibarkan kepak gorongnya. Kepak gorong itu menepuk angin, dan hinggap ditepi pipi si Dimas. Dia terbang pantas ke arah bahagian bangunan di sebelah barat kraton. Dimas dan Ryekat mengikut tindak tanduk Wiranto. Persalinan gorong mereka membentuk sepasang kepak membran. Mereka perlukan kepak-kepak ini. Kepak yang sudah melebar itu membolehkan mereka mendada ke awan, terbang mengekori Wiranto dari belakang.

Setibanya Wiranto di hadapan bangunan barat kraton, dia terus memperlahankan kibaran sayapnya. Dia berhenti. Di hadapan bangunan yang tersergam gah di hadapannya. Dia kelihatan kaku di sana. Sayapnya dikendurkan, sedia untuk disimpan.
“Kenapa?” tanya Dimas, menyusul dari belakang. Dia perlahan-lahan turun ke permukaan. Tatkala kakinya menyentuh tanah, dia terus berpaling ke arah Ryekat. Dia dapat melihat wajah Ryekat pucat. Lidah mereka kelu. Tiada kedengaran suara untuk memecah sunyi.
Dimas melihat ke hadapan. Ada beratus-ratus mayat kaum Isbin, bergelimpangan. Tiada bernyawa. Ini semua adalah kerja Warok. Jelas sekali. Ini dapat dilihat dari cara mereka dibunuh.
“Apa yang telah berlaku?” terpacul persoalan dari mulut Dimas. Apa yang telah membunuh mereka? Atau ‘siapa’ lagi tepat.
“Mereka telah bunuh.” Ujar Wiranto cepat. Persalinan gorongnya sekali lagi berubah. Permukaan persalinan itu, kini dihiasi dengan berpuluh-puluh tanduk-tanduk kecil yang perlu digunakan untuk melindungi apabila diperlukan.

Wiranto berjalan masuk ke dalam bangunan. Dia cuba berjalan dengan penuh berhati-hati. Dia tidak mahu melangkah mayat-mayat yang nampaknya telah disembelih beberapa jam yang lalu. Darah biru kaum Isbin membasahi lantai marmar kraton ini. Baunya agak hanyir, tetapi lebih pekat baunya berbanding darah manusia biasa. Hidung Wiranto sesak dengan bau itu. Ditahan nafasnya sedaya mungkin.
Wajah Ryekat jelas sedih. Dia merasakan bahawa dirinya bertanggungjawab ke atas tragedi ini. Aku telah terlambat. Jika tidak, nyawa mereka pasti dapatku selamatkan!

“Kita hendak ke mana?” tanya Dimas kepada Wiranto.
“Ke Dewan Seworenggo. Segala-galanya berlaku di sana,” ucap Wiranto. Acapkali Wiranto memeriksa komputer kecil yang di pakai di pergelenggan tangannya—memeriksa kesan-kesan hidupan yang ada di dalam bangunan kraton ini, khasnya yang ada di tempat yang hendak ditujunya. Ada empat orang humanoid di dalam Dewan Seworenggo. Dan satu lembaga yang tidak dikenali…
Wiranto menghidupkan fungsi holotronnya. Holotronnya bertukar sebatang pedati. Jarang benar seorang Warok menggunakan fungsi pedati ini kecuali di dalam masa-masa ia benar-benar diperlukan. Mungkin ini adalah masanya untuk Wiranto.
Mereka bertiga menyusup masuk ke dalam dewan yang besar ini. Mereka telah memastikan supaya sut gorong mereka berfungsi seperti sumpah-sumpah; ia meniru warna disekelilingnya supaya ia dapat membuat pemakainya nampak seolah-olah hilang dari pandangan mata.
Bau hanyir yang menyesakkan tadi, menjadi semakin nipis. Sudah jauh mereka tinggalkan. Dari luar mereka dapat mendengar suara seorang lelaki merintih, meminta dirinya supaya tidak diseksa lagi. Semakin mereka dekati, semakin nyaring dengarnya.
Wiranto kenal benar dengan suara tersebut. Apabila dia masuk ke dalam Dewan Seworenggo, ternyata telahannya betul. Dari jauh lagi dia dapat melihat keadaan Achyat yang lehernya sedang dicekik. Sesungut mahkluk jahanam yang kelihatan menakutkan itu menjerut lehernya. Dia nampak semakin lemah.
“Maaf Adipati Ridwan! Saya tidak sanggup bersubahat dengan Adipati lagi! Saya lebih sanggup mati!” ucap Achyat tersekat-sekat. Peluh membasahi pakaiannya.
“Kesemua wakil Maharaja tidak ada di kraton ini kecuali kau. Jadi kau sahaja yang boleh mengikhtiharkan kekalahan bagi pihak Empayar Dresanala,” ujar Ridwan dengan suaranya yang berdengung mengisi setiap sudut dewan.
Beberapa keping kempul bergerak ke belakang. Lembaga yang menggunakannya turut sama ke belakang. Mereka juga nampak gerun kepada apa yang sedang mereka saksikan.
“Maafkan saya Adipati!” ucap Achyat. Dia membentuk beberapa buah imej yang diaturkannya di dalam kepalanya. Seterusnya ia dijadikan kata laluan bagi menghidupkan fungsi nanobot yang telah ditelannya sejak minggu lepas. Sebaik sahaja nanobot tersebut menerima kata laluan tersebut, ia terus melakukan tugasnya untuk mematikan fungsi otak Achyat.
Tubuh Achyat terketar-ketar menahan sakit yang amat sangat. Matanya semakin tertutup rapat. Pembuluh darahnya bagaikan pecah, matanya menjadi merah. Tangan dan kakinya tidak bergerak lagi. Mulutnya cuba mengucap sesuatu. Mulutnya terus berbuih sebelum dia terkulai kaku. Ridwan mendengus marah. Matanya terjegil.
“Sial!.” tempelak Ridwan. Kaki-kaki araknidanya bergerak pantas. Berjalan kehadapan dan ke belakang. “Teruskan rancangan kita untuk musnahkan kraton ini!” perintah Ridwan kepada tiga orang kembar berwajah pucat yang ada menyaksikan kesedihan di dalam dewan itu. Lagak mereka bagaikan orang suruhan. Berdiri kemas, tiada pergerakan langsung. Mungkin hanya mendengar. Rambut mereka yang lurus dan berwarna putih. Nyata mereka kelihatan disaluti misteri.
Mereka bertiga tertunduk akur. Mereka dikenali dengan nama Tri-Darma —pendita-pendita Hermoso yang tidak mempunyai kesetiaan kepada sesiapapun, kecuali kepada diri mereka sendiri. Tugas mereka hanya sebagai penasihat kraton. Mereka, dan pendita-pendita Hermoso yang telah dilahirkan semata-mata untuk tujuan ini telah berkhidmat kepada Empayar Dresanala sejak ia diasaskan dahulu.

Wiranto perlu bertindak cepat. Tidak ramai yang mengetahui tentang cara-cara untuk memusnahkan kraton ini sejak ia dibina pada awal peperangan Barathayudha dahulu. Ia telah dibina untuk memastikan supaya pihak lawan yang mahu mengambil alih kraton, tidak akan dapat melakukannya, memandangkan kraton telahpun musnah.
Dimas menoleh ke arah Wiranto. Dia dapati, Wiranto tiada di sisinya lagi. Wiranto tiba-tiba sahaja hilang entah ke mana. Dia telah menggunakan kesaktiannya sebagai seorang Warok!
“Kita tidak boleh buat apa-apa lagi di sini,” kata Ryekat kepada Dimas melalui kuasa telepathnya. “Dia telah meminta kita pergi dari sini.”
“Tidak!” ujar Dimas di dalam hati. Tangannya dikepalkan. Sepantas kilat dia menumbuk kosong ke udara. Dia kesal. Ada perasaan yang belum sudah tersemat di dadanya. Dia tahu bahawa kata-katanya tadi akan dapat ditangkap oleh Ryekat.
Dimas berdegil tidak mahu berganjak dari keputusannya. Ryekat mengeluh. Gadis Isbin itu mula merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku, dan dia tidak perlu menggunakan kuasa telepathnya untuk mengetahui hal ini!

**

“Di dalam pengiraan saya, lancarkan senjata kita kepada Demboth… Lima, empat, tiga, dua—”
“Tuan! Sebuah kapalangkasa baru muncul beberapa kilometer dari sini. Mungkin menuju ke sini,” pintas Za segera. Dia melekap ke monitor di depannya.
“Hmmm….” Khairul merasa sedikit lega, dia tidak perlu memusnahkan Demboth. Sekurang-kurangnya sekarang dia dapat membeli sedikit masa untuk berfikir jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang terhidang di depannya sekarang.
“Ada sebuah armada asing. Ia muncul dengan tiba-tiba,” jelas Za. Dia terus menganalisa kapalangkasa asing tersebut tanpa disuruh oleh Khairul. Khairul hanya ingin tahu maklumat mutakhir.
“Dari hyperruang?”
“Bukan… Tapi—”
“Tapi apa?.”
“Mungkin dari dimensi lain. Itu analisa pertama saya. Ia menggunakan sistem halimunan, tetapi yang lebih canggih dari yang kita ada. Ia tidak membias gelombang cahaya, tetapi masuk ke dalam dimensi yang lain—”
“Ia bukan armada dari mana-mana pihak yang kita kenali. Saya tak kenalpun.” Khairul memberikan pendapat.
“Kelima-lima kapalangkasa dari armada ini,” Za menjelaskan. “Adalah organisme hidup, tuan! Imbasan yang saya lakukan memberitahu bahawa ia bukan sebuah mesin. Tetapi ia hidup, seperti… seperti, ‘Saya’.” Za hampir-hampir mahu menyebut kalimah ‘kita’. Seringkali dia terlupa bahawa Khairul hanyalah lah sebuah mesin yang menyerupai manusia.
“Rekaannya cantik. Terlalu cantik.” Sukar untuk dibendung perasaan kagum yang tercetus pada diri Khairul. Tetapi wajahnya jelas terlukis perasaan ragu-ragunya. Dia belum dapat memastikan bahawa apa yang sedang dilihatnya adalah kawan ataupun lawan. Tetapi apa yang dia pasti, peperangan yang sedang berlaku sebentar tadi kini nampak seolah-olah ianya telah terhenti.
“Sukar untuk saya bayangkan benda hidup sebesar kapalangkasa yang ada di dalam armada ini… Bagaimana mereka membiaknya?” tanya Za. Dalam masa yang sama, dia tidak dapat menafikan pendapat Khairul tentang nilai-nilai estetika yang terdapat pada kapal-kapalangkasa pelbagai bentuk ini.
“Entahlah, Za. Semua ini terlalu baru bagi saya,” ucap Khairul. Dari jauh dia melihat armada kapalangkasa asing ini. Ada diantaranya yang berbentuk seperti kehidupan mikroskopik volvox dan ctenophora. Yang jelas, tidak sebuahpun rekabentuk kapalangkasa yang dilihatnya kini pernah dilihatnya sebelum ini. “Para pereka kita tak mungkin boleh mencipta kapalangkasa secantik ini.”
Tiba-tiba tanpa sebarang amaran, Baladewa-x bergegar. Ia kemudian bergerak dengan sendirinya seperti ditarik oleh satu kuasa yang luar biasa. Za dan Khairul saling berpandangan. Mereka tercengang.
“Apa yang sedang berlaku ni?” Khairul meminta penjelasan.
“Kita sedang ditarik ke arah armada kapalangkasa asing itu.” Suara Za jelas cemas. “Demboth pula sedang mengarahkan senjata mereka ke arah kita.”
“Sistem halimunan akan dihidupkan sekarang!” ujar Khairul. Dengan pantas dia melakukan apa yang perlu untuk menghilangkan Baladewa-x dari pandangan mata kasar.
“Tuan, saya menerima panggilan dari satu sumber yang tidak dikenali. Pemanggilnya ini ingin bercakap dengan tuan,” ucap Za, hairan bagaimana pemanggilnya mampu menembusi saluran rahsia Baladewa-x. Dan tahu pula, siapa tuannya. Dia menjadi lebih keliru.
“Sambungkan,” sambut Khairul pendek. Selang sedetik kemudian, holocom memancarkan sekujur tubuh seorang lelaki Isbin di hadapannya.
“Senopati Khairul. Nama saya Moksar mewakili para pejuang Tonamon. Saya percaya tuan telahpun menyedari tentang kehadiran armada Keethuan milik kami.” Kenyataan Moksar itu, bagai melengkapkan sebuah lukisan dengan tajuknya. Selama ini, Khairul dan Za berteka-teki.
Perkara pertama yang dapat disedari oleh Khairul tentang Moksar adalah pedang Granti yang tersemat di pinggangnya. Khairul sedar bahawa kini dia sedang berhadapan dengan seorang pahlawan Isbin.
“Jadi kamu menyebelahi siapa?” tanya Khairul meminta kepastian. Dia pernah mendengar nama armada Keethuan ini. Malah informasi tentang kewujudan armada ini telah lama terbuku di dalam fikirannya, sejak segala informasi mengenai kaum Isbin dipindahkan ke dalam kepalanya oleh obor-obor Ibeni dahulu.
Nama armada ini pernah meniti bibir kaum Isbin sebagai armada yang telah digunakan untuk melindungi konvoi kapalangkasa mereka yang menjelajah merentas galaksi untuk tiba ke rantau ini. Nama armada ini telah lama tidak didengarnya, kini ia hanya tinggal legenda sahaja. Ia langsung telah dilupai ramai, terutama generasi baru Isbin. Malah, ada di antara mereka yang memikirkan bahawa armada Keethuan ini hanyalah sebuah cerita dongeng semata-mata! Jadi armada Keethuan ini memang wujud!
“Mereka berada di pihak kami, Senopati!” ucap salah satu dari dua kelibat baru yang muncul melalui pancaran komunikasi holokom di hadapannya.
“Embuk Ayu Candra!” ucap Khairul sedikit terkejut. Lebih tergamam lagi dia dibuatnya apabila dia dapat melihat Cacuk berdiri di sebelah adiknya, Candra.
“Kami sedang berada di dalam keadaan selamat di bawah perlindungan para pejuang Tonamon.” Ujar Candra dengan tenang. Dia kemudian menoleh ke arah Moksar yang mahu memberi arahan penting kepada Khairul.
“Pangeran, kami tahu bahawa bekalan tenaga Baladewa-x adalah terhad. Saya pasti, pihak musuh mungkin telah mengetahui tentang perkara ini juga. Jadi, ada baiknya jika Pangeran berlindung di bawah armada Keethuan kami.” Masa berlalu terlalu pantas, Moksar terus menyatakan hasratnya tanpa mengambil masa panjang.
“Apa yang patut saya lakukan?” tanya Khairul dengan pantas.
“Kapalangkasa Senopati akan dibawa masuk ke dalam dok kapal induk terbesar kami… Kapal induk Fildi .” Jelas Moksar. Belum sempat Khairul dapat membantah mahupun bersetuju, Baladewa-x terus dibawa masuk ke dalam dok Fildi. Dia cuma menurut. Dia juga tidak mahu membunuh masa yang ada. Ia terlalu singkat untuk dibazirkan.

Melihat keadaan di dalam dok Fildi mengingatkan Khairul kepada pengalamannya ketika dia mula-mula meneroka pusat kryogenik Isbin dahulu. Apa yang dilihatnya kini juga agak asing. Teknologi bio-organik yang digunakan di dalam Fildi agak berlainan dengan apa yang pernah ditemui oleh para saintis Dresanala di dalam struktur-struktur kryogenik Isbin. Bayangkan apa akan berlaku jika SDT menemui armada Keethuan ini!
Satu obor-obor Ibeni terapung-apung di atas dok. Ia seolah-olah sedang mengalu-alukan ketibaan Khairul ke dalam kapal induk Fildi.
“Senopati Khairul dijemput untuk ke anjung Fildi.” Ujar Moksar, sebelum kelibatnya hilang dari pancaran holokom.
“Za, kita akan ke anjung Fildi sekarang.” Getus Khairul, dia keluar dari tempat duduknya di anjung Baladewa-x—bersiap sedia untuk keluar dari pesawatnya sendiri. Dia nampak bersemangat. Wajahnya kembali tenang, ini melegakan hati Za.

Anjung Fildi agak luas. Berdengung bila suara dipantulkan. Bergema. Sunyi. Sepi. Tetapi agak kosong. Ia mungkin telah dibina dengan lebih tiga puluh orang anak kapal beroperasi di dalamnya. Yang ada kini cuma Za, Khairul dan beberapa buah obor-obor Ibeni yang nampaknya sedang sibuk melakukan tugas masing-masing. Mereka terapung-apung. Ada yang pantas. Ada pula yang tetap di sesuatu tempat.
“Apa yang sedang berlaku, tuan?” tanya Za kepada Khairul. Dia mulanya bagai tidak mendengar soalan itu.
Khairul mendongak ke atas. Dia masih tidak menjawab soalan Za tadi. Soalan itu tergantung tanpa jawapan. Lelangit anjung dilitupi dengan bahan lutsinar. Ini memungkinkan setiap orang boleh nampak keadaan di luar dengan jelas sekali. Khairul terasa seolah-olah dia sedang berada di tengah-tengah angkasa lepas hanya dengan mendongak ke atas.
“Sebuah kapalangkasa Devo sedang bergerak ke arah kita.” Khairul memulakan kata-kata, sambil menuding jari telunjuknya ke atas. Setiap pasang mata yang hadir berbuat serupa. Termasuk juga Za.
Sebuah kapalangkasa Devo sedang bergerak dengan pantas ke arah mereka. Meriam lazer dilepaskan bertubi-tubi ke arah Fildi. Apa yang peliknya, kapal induk itu tidak sedikit pun terjejas.
Moksar perlahan-lahan muncul di dalam anjung. Juga beberapa anggota pejuang Tonamon yang dengan pantas mengambil tempat di stesen masing-masing.
Khairul tercegat kaku. Dia menarik nafasnya. Bersedia untuk menghadapi apa sahaja yang akan berlaku selepas ini.
“Maafkan saya kerana telah muncul dengan tiba-tiba begini.” Ucap Moksar sambil menghulurkan tangannya untuk berjabat salam dengan Khairul. Mulanya dia memerhatikan tingkah laku Moksar. Muda rupanya wajah Senopati tersohor dari Dresanala ini…
Tidak lama selepas itu, Khairul menyambut tangan kosong Moksar itu. Mereka bersalaman, erat. Dua tangan itu bergoncangan. Khairul terpaksa mendongak tatkala mengamati wajah Moksar.
Khairul keliru bagaimana Moksar dan anak-anak buahnya dapat muncul di hadapannya. Teknologi yang begitu canggih. Bagaimana mereka boleh menyembunyikan teknologi ini sebegitu lama dari kita?
Sekarang mungkin bukan masanya untuk Khairul mendapatkan jawapan kepada soalan-soalan yang berlegar di dalam fikirannya. Dia terus memasang fikirannya untuk mengetahui apa hasrat Moksar, bertandang.
“Lepaskan senjata Grengkasabi ke arah mereka!” perintah Moksar dengan tegas. Ia jelas bagai memberi sebuah arahan. Kemudian dia berdiri tegak serta mendongak ke atas.
Beberapa detik kemudian kepulan kabus gelap yang kelihatan seperti bergerak ke arah kapalangkasa Devo itu.
Khairul dapat melihat bagaimana kepulan kabus hitam itu mengelilingi kapalangkasa Devo itu dengan begitu pantas lalu melitupi setiap inci badannya.
Sekejapan masa masa sahaja kapalangkasa Devo hanya tinggal rangka. Khairul dan Za yang sedang menyaksikan terpinga melihat keajaiban ini. Satu demi satu, kecanggihan teknologi dibentangkan di depan mata mereka. Yang mampu mereka lakukan adalah ternganga barang sedikit, sambil kepala mereka disaratkan lagi dengan kekeliruan, yang berganda-ganda.
“Kita akan melakukan serangan besar-besaran ke arah semua musuh kita. Tiada jasad yang akan lepas dari ledakan senjata-senjata yang kita ada. Walau ke lubang cacing pun, kita akan cari.” Moksar memberitahu. Khairul kaku berfikir.
Walau ke lubang cacing… Khairul dicuit rasa lagi. Dia tidak mengendahkannya. Dia tahu bahawa Moksar mampu melakukan perkaara ini dengan mudah dengan menggunakan senjata yang ada dalam bidang kuasanya.
“Tuan, boleh saya berkongsi pendapat?” tanya Khairul dengan penuh hormat kepada Moksar. Tangan mengarah ke dadanya tatkala dia membahasakan dirinya.
“Tentu sahaja boleh, Senopati.” Moksar memberi kepastian. Dia jelas ingin mendengar penuh minat, apa yang bakal dimuntahkan Khairul di depan mereka di dalam anjung itu.
“Tuan musnahkan kesemua kapalangkasa musuh kita kecuali satu.”
“Kenapa?” pelik benar pendapat atau lebih kepada, keinginan Khairul itu.
“Supaya ia akan menjadi pengajaran bagi yang lain.” Sedikit demi sedikit, Moksar dapat menangkap makna yang ingin disampaikan oleh Khairul kepadanya. Dia masih ingin tahu apa yang ingin diceritakannya secara penuh.
“Saya faham benar dengan taktik peperangan yang Senopati gunakan.” Terlakar sekuntum senyuman di wajah Moksar. “Itu bukanlah perkara yang besar. Saya pasti mampu melaksanakannya nanti, hajat Senopati akan terlaksana.”
“Terima kasih, tuan,” sebut Khairul sambil berjalan menghampiri Moksar. “Jangan serang kapal induk Demboth dari Ur’dakh. Itu sahaja permintaan saya buat masa ini.” Khairul menamakan sendiri, kapalangkasa yang mana akan membawa perkhabaran buruk balik ke markas pihak lawan. Pengajaran.
“Demboth telah membedil markas kami berkali-kali sejak tadi…” Moksar sekadar memberitahu. Dia berdiri tinggi di hadapan Khairul. Khairul mendengar penuh minat.
“Saya faham,” Khairul menoleh ke arah Za.
Za masih tidak berganjak dari tempatnya berdiri, sejak dari tadi. Dia nampak kaku seperti patung.
“Tetapi, saya akan tetap dengan keputusan yang telah saya buat tadi. Jadi nampaknya mereka bernasib baik hari ini.” Moksar mengangkat tangannya. Dia memberi isyarat untuk meneruskan serangan kepada anak-anak buahnya.
Armada Keethuan berpecah mengikut haluan masing-masing. Tindakan ini jelas boleh mengelirukan. Ia bergerak menghampiri kapal-kapalangkasa yang ingin mereka musnahkan.
Beberapa buah kapalangkasa dari Devo mula berundur. Mereka nampak sedang bersedia untuk melakukan lonjatan ke dalam hyperruang. Belumpun sempat mereka dapat berbuat apa-apa, sebuah kapalangkasa Isbin telah melepaskan sekumpulan besar Grengkasabi ke arah mereka.
Khairul amat kagum melihat bagaimana senjata mereka ini menjalankan tugas sebenarnya. Ia seakan penyakit yang berjangkit. Penyakit yang merebak dan menular. Sebaik sahaja ia selesai memusnahkan sebuah kapalangkasa, dengan cepat ia memusnahkan sebuah lagi kapalangkasa Devo dengan sistematik. Ia bagaikan epidemik yang sukar untuk ditangani.
“Mereka tidak mungkin dapat lari. Grengkasabi ini akan mengikut mereka ke dalam hyperruang jika perlu.” Ucap Moksar kepada Khairul. “Grengkasabi tidak akan berhenti melakukan tugasnya selagi ia tidak memusnahkan objek yang telah diprogramkan untuk dimusnahkannya.”
Khairul hanya mampu mengangguk. Kini dia fikirannya mula tercampak jauh. Sejak dari mula lagi dia telah membuat andaian bahawa kaum Isbin mempunyai kecanggihan teknologi senjata yang jauh kehadapan. Ini boleh dibandingkan dengan mana-mana tamadun yang dikenali di dalam galaksi Bima Sakti ini.
Kini benarlah tekaannya itu.
“Nampak gayanya, Demboth sedang berundur.” Moksar memberitahu Khairul. Dia mengharapkan ada garis gembira terlukis di wajahnya.
“Biarkan mereka pergi. Biar mereka sedar apa yang bakal mereka hadapi nanti. Berani mereka menyerang Empayar Dresanala!” kata Khairul dengan suara tegas. Sinis pun ada. Yakin bagai bersarang dalam nadanya. Sesekali dia akan berpaling ke arah Za. Sedetik kemudian dia nampak sedikir bersalah kerana telah mengeluarkan kalimah-kalimah tadi tanpa memikirkan perasaan Za yang ada bersamanya…

Bab 30

“Tidak ada gunanya kita pergi ke medan peperangan tanpa ada sebarang kemahuan untuk menang”
-- “Kata-kata Terpilih Seorang Senopati Dresanala.” Oleh

Satu demi satu pesawat musuh telah dimusnahkan oleh armada Keethuan. Khairul bagaikan saksi—melihat setiap pesawat musuh menjadi serpihan. Terus hilang ditelan angkasa. Kini, yang tinggal hanyalah kapal induk Demboth. Ia melepaskan tembakan silih berganti ke arah kapal induk Fildi. Seperti tidak serik-serik lakunya.
Setiap kali Fildi terkena torpedo photon dari Demboth, setiap kali itulah ia akan bergegar. Tetapi, bahagian luar Fildi langsung tidak diapa-apakan. Ia kebal. Tersangat kebal.
“Mereka sedang mengimbas Fildi tuan!” ujar pegawai dari stesen sains.
“Kalau begitu, hantarkan Trojan Horse kepada mereka. Matikan fungsi senjata mereka!” perintah Moksar kepada anak buahnya itu. Dia cuma mengangguk akur. Sekuntum senyuman nakal terukir di wajahnya. Dia tahu apa yang harus dilakukan dalam saat-saat sebegitu.
Ketika kapal induk Ur’dakh itu melakukan imbasan sekali lagi kepada kapal induk Fildi, perisian yang mengandungi Trojan Horse ini telah dihantar. Ia dihantar sekali di dalam kumpulan data yang terkandung dari imbasan yang telah dilakukannya. Ia akan terselit di dalam siratan data yang ada. Ia semestinya akan dibaca oleh Demboth sebagai imbasan humanoid yang ada di dalam Fildi. Apabila informasi ini diproses mereka, terus Trojan Horse ini akan melepaskan virus yang tersembunyi di dalamnya.
“Sistem senjata mereka telah berjaya kita matikan, tuan,” kata anak buahnya tadi dengan suara yang cukup puas. “Juga sistem pertahanannya,” katanya kemudian, menyambung perbualan yang seakan tergantung.
Virus dari Trojan Horse yang telah dihantar mereka berjaya menyerang sistem komputer di dalam Demboth. Sudah pasti, ia akan meratah kekuatan sistem komputer yang ada. Sistem itu akan lumpuh. Masanya akan tiba.
Kapal induk Demboth terapung-apung, bagai tiada haluan, di angkasalepas. Ia lumpuh sama sekali. Nyawanya bagai dijerut. Ia kaku, tidak bersuara. Langkahnya pincang. Di dalam situasi yang lain, kapten kapal induk Ur’dakh itu pasti akan melakukan sesuatu agar kapalangkasa mereka ini dimusnahkan oleh mereka sendiri, dari mereka diperkotak-katikkan oleh musuh mereka seperti ini. Malangnya, sistem ini juga tidak dapat dihidupkan mereka dek serangan virus ini. Ia terlalu parah.
“Beritahu kepada mereka supaya jangan bertukar sebarang maklumat dengan kapalangkasa mereka yang lain, jika tidak virus ini akan merebak tanpa ia dapat dikawal.” Moksar memberi taklimat ringkas kepada pegawai komunikasinya. semuanya faham.
“Baik tuan!” Sahut pegawai komunikasinya. Dia terus melakukan tugas yang telah diamanahkan kepadanya.
“Perintahkan mereka pulang ke Ur’dakh. Sistem pertahanan mereka akan kembali neutral di dalam masa tiga hari. Jika tidak, virus akan menyerang sistem bantuan kehidupan mereka pula jika mereka terus berada sini… Tidak ada apa-apa lagi yang boleh mereka lakukan di sini.”
Pegawai komunikasi menganggukkan kepala lagi. Amaran-amaran ini dilanjutkan terus kepada kapten kapal induk Demboth.
Seperti yang dijangkakan, Demboth mengatur langkah untuk berundur dari orbit Dresanala. Beberapa saat kemudian ia lenyap dari pandangan apabila kapal induk itu melakukan lonjakan untuk masuk ke dalam hyperruang.
“Perintahkan kapal-kapal kita supaya kembali berkumpul sebagai sebuah armada.” Moksar menuturkan perintah buat sekian kalinya. Kemelut yang mereka hadapi sebelum ini berjaya mereka atasi bersama. Kini sudah sampai masanya untuk mereka berkumpul semula membentuk sebuah kumpulan yang akan menentang sesiapa sahaja yang berani menceroboh Dresanala.
“Berapa lama lagi sebelum armada tentera Empayar Dresanala tiba ke sini dari Sewoko?” tanya Moksar kepada pegawai operasinya.
“Sembilan jam lagi, tuan,” beritahu pegawainya itu. Tepat.
“Bagaimana dengan keadaan Gresik?”
“Senyap. Sistem komunikasi me reka telah dimatikan. Pesawat-pesawat Garuda yang masih beroperasi pula telah dipanggil balik…” Pegawainya itu meniti bicara dengan cermat.
“Mungkin mereka sedar bahawa mereka tidak dapat melakukan apa-apa lagi,” sela Khairul. Dia tahu bahawa mereka yang terlibat di dalam serangan ke atas Dresanala ini akan dianggap sebagai pengkhianat Empayar Dresanala dan maharajanya. Hukumannya untuk kesalahan sebegini adalah; mereka akan diseksa sehingga mati.
“Tuan, Gresik sedang melakukan hitung-mundur untuk diletupkan!” ujar pegawai komunikasi. Matanya menjunam ke arah Moksar.
“Kita tidak boleh membenarkan mereka memusnahkan Gresik. Ini satu pengkhianatan terdapat Empayar Dresanala!” Khairul berteriak dengan lantang, membekukan suasana. “Jika Gresik dimusnahkan, Empayar Dresanala akan hilang sistem pertahanannya. Pihak musuh kita yang lain pasti akan mengambil kesempatan ini ini menyerang kita lagi,” pekikannya reda. Khairul menyambung kemudian, kali ini dengan suara yang lebih terang, dia mula menyusun madah dengan rangkai bicara teratur rapi.
“Kita boleh menghalangnya, tetapi Gresik akan berubah mengikut spesifikasi teknologi kami selepas ini.” Cebis-cebis bicaranya menyentuh pendengaran Khairul.
“Lakukan apa sahaja agar Gresik dapat diselamatkan!” Mata Khairul mengecil mengiringi titian bicaranya sendiri.
“Hantar Lahidi ke arah Gresik!” Suara Moksar pekat dengan kesinisan. “Biarkan mereka hidup. Mereka perlu dibawa ke muka pengadilan.”
“Baik tuan!” sambut pegawainya itu. Dengan cepat data-data disalurkan kepada Lahidi. Senjata yang persis torpedo biji benih itu dilancarkan ke arah Gresik. Semua terdiam, memeluk perasaan sendiri.
Khairul menarik nafasnya. Dia merasakan Moksar seolah-olah dapat mentelah fikirannya. Jikalau dia berada di tempat Moksar, dia pasti akan melakukan perkara yang sama.
“Lahidi telah terkena kepada sasarannya, tuan!” bayang-bayang kepuasan terbentuk di wajahnya yang tetap kelihatan tawar. Bagaikan perasaan puas itu disorokkan di sebalik wajah-wajah serius itu.
Lahidi melakukan tindak balas yang pantas terhadap Gresik. Ia bertindak seperti sejenis tumbuhan liar yang membesar dengan terlalu cepat, tidak tergapai dek pandangan manusia biasa. Ia terus bercambah, dari benih kepada tumbuhan muda berbatang kecil, bercambah menjadi beribu-ribu cabang tegap. Dalam sekelip mata, ia membesar, berselirat hinggap mampu menutupi setiap inci Gresik. Dalam beberapa detik sahaja, Gresik kini berjaya diasimilasikan kepada segala arahan yang datangnya dari Fildi.
“Gresik kini telah diubah menjadi entiti organik, kami telah memastikan supaya sistem komputernya mengikut segala arahan kami. Ia tidak akan dimusnahkan. Malah mereka yang berasa di dalam Gresik tidak akan dibenarkan keluar melarikan diri—“
“Dengan cara ini, kita akan dapat pastikan mereka semua dihukum!” Khairrul bencikan pengkhianat. Baginya, pengkhiatan adalah sebesar-besar dosa yang boleh dilakukan seseorang kepada dirinya dan kepada nusa dan bangsanya.
Moksar tidak menjawab. Dia membiarkan kata-kata Khairul tergantung di situ sahaja.
“Bagaimana pula dengan keadaan di Kraton Pakubuwono Hadiningrat?” tanya Khairul sambil memerhatikan wajah-wajah yang berbaris di sekelilingnya dengan pandangan tanpa berkelip. Matanya liar.
Moksar melontarkan pandangannya kepada pegawai operasinya. Pegawainya itu bagaikan faham apa yang dimahukan darinya.
“Juasseh, Triwikrama dan Saronodewo sedang berada di dalam kawasan kraton, tuan,” jawabnya ringkas.
Khairul tidak bisa untuk memahami apa yang ingin disampaikan kepadanya.
Moksar berpaling ke arah Khairul. Di dalam renungannya terlukis maksud yang kabur.
“Wiranto, Dimas dan Ryekat ada di sana. Ryekat adalah salah seorang pejuang terbaik kami,” kata Moksar, mentejemahkan kalimah-kalimah anak buahnya.
“Bagaimana dengan keadaan mereka?” Tanya Khairul. Terdetik cahaya bahagia di dalam matanya apabila dia mendengar nama Wiranto dan Dimas disebut. Mereka masih hidup lagi!
“Mereka telah keluar dari pesawat Ganthree mereka, Senopati,” beritahu pegawai operasi itu lagi. “Tuan, ada beberapa aktiviti luar biasa sedang berlaku di bahagian barat kraton,” ujarnya kemudian sewaktu dia sedang melakukan imbasan eksothermik ke seluruh bangunan kraton.
“Apa yang sedang berlaku?” Tanya Moksar. Soalannya menerpa ke dalam anjung Fildi yang sedang dibungkus sunyi itu.
“Ada pihak yang telah menghidupkan sistem untuk memusnahkan kraton.” Suara pegawai Isbin itu datar dengan ketenangan, namun dada Khairul berdegup kencang. “Kita tidak boleh menggodam sistem komputer di kraton. Ada gangguan gelombang elektromagnetik di sekitar kawasan angkasa kota Pakubuwono. Sebuah pesawat Garuda telah melepaskan sebuah boya halimunan yang terus mengeluarkan gelombang gangguan elektromagnetik ini. Kita boleh memintasnya, tetapi ini akan mengambil masa yang agak lama!” dengan suara yang terang, pegawai operasi itu menjalin bicara untuk membentang fakta. Kata-katanya bagai tersusun, seulas demi seulas terpancar keluar lalu menyelinap masuk ke benak mereka yang ada.
“Sememangnya kita tidak boleh melakukan apa-apa buat masa ini. Biar Wiranto menguruskan segala-galanya.” Wajah Khairul melukis gelisah, walaupun dia yakin bahawa Wiranto akan dapat menyelamatkan keadaan. Jika bukan Wiranto, siapa lagi?
Moksar mengangguk perlahan. Persetujuan menyingkap air mukanya…

**

“Dimas, kita patut beredar dari sini!” pinta Ryekat yang berbicara terus ke dalam hati Dimas. “Jika tidak, saya rasa sesuatu yang tidak diingini akan berlaku.”
Dimas masih berdegil. Dahinya terukir garis-garis halus penuh perhitungan. Dia bagaikan diselimuti resah.
Ryekat pula mula merasa bimbang. Dia tidak dapat melihat kelibat Wiranto di mana-mana. Wiranto seolah-oleh telah lenyap dari muka bumi ini. Atau lebih tepat, seakan-akan dia telah ditelan angkasa yang tidak bertepi itu.
Keadaan dewan semakin sepi. Kadang-kala keluhan angin menyusup masuk ke dalam suasana dewan yang masih sunyi itu, lalu menyapu ke mukanya.
Dimas membuka langkah. Dia mengatur segala langkahnya supaya dapat bersatu dengan kesepian yang wujud dalam Dewan Seworenggo ini.
“Mereka berada di sini,” ucap Tri-Darma generasi ke-42 itu dengan tiba-tiba secara serentak. Suara mereka menggentarkan. Seperti suara hantu di tengah-tengah kepekatan malam.
Wajah Tri-Darma tanpa mata itu menancap ke arah Dimas. Ketika-tiga mereka menuding ke arah di mana Dimas bersembunyi.
Ridwan melontar penglihatan ke arah yang dimaksudkan oleh Tri-Darma. Dia berpaling seolah dia sedang menunggu malaikat maut menyapanya, lantas menarik nyawanya itu pergi.
Sesekali anak mata Ridwan menari-nari ke arah Tri-Darma. Setiap generasi Tri-Darma yang bertugas di kraton ini pasti akan memberitakan perkara yang sama kepadanya, bahawasanya;

DIA AKAN MATI PADA HARI YANG AMAT TERTENTU, DITENTUKAN. KEMATIANNYA AKAN DISEBABKAN OLEH SALAH SEORANG DARI YANG BERIKUT; SEORANG PAHLAWAN ISBIN ATAU, SEORANG WAROK ATAU, SEORANG BANGSAWAN YANG BAKAL MENJADI SEORANG MAHARAJA PALING TERSOHOR DI EMPAYAR DRESANALA…

Tarikh kematiannya telah disahkan oleh Tri-Darma. Justeru itu, Ridwan telah melakukan apa sahaja untuk memastikan supaya dia tidak dibunuh. Ridwan ingin lari, melarikan nyawanya dari sebarang gugatan. Dia tidak bersedia untuk berpisah jasad dan roh.

Pada hari yang bertuah ini, dia telah memastikan supaya setiap warga Isbin yang bertugas sebagai abdi dalem dibunuh. Para Warok pula telah diperintahkan supaya berada jauh dari kawasan kraton, dan mereka yang mempunyai darah bangsawan yang dijangka akan mengambil tempat untuk menjadi maharaja Empayar Dresanala pula telah dibunuh satu persatu. Dengan kejam. Semuanya ini telah dilakukan dan dirancangkannya dengan teliti supaya dia tidak akan mati dibunuh oleh salah seorang dari mereka. Semuanya perit dengan kejahatan.

Ridwan mahu hidup sehingga seribu tahun lagi! Malah itupun terasa begitu singkat, dia ingin menongkat langit buat selama-lamanya…

“Leluhur Yang Terpilih ada di situ. Kami boleh melihatnya. Dia bersembunyi di situ.” Suara Tri-Darma menukik kesepian yang melengkapkan suasana.
Sekujur tubuh tiba-tiba sahaja muncul di hadapan Dimas. Seolah-olah ia telah lama berada di sana, cuma kini ia membiarkan dirinya diperlihatkan kepada umum.
Wajahnya bengis. Ditariknya nafasnya dalam-dalam supaya dia dapat mengawal barannya itu. Dia diam sejenak.
“Sudah saya katakan. Pangeran perlu keluar dari sini!” sembur Wiranto dengan suaranya yang perlahan tetapi disebut kata-katanya itu dengan nada marah. Bibirnya bertaup buat selang beberapa saat.
“Maafkan saya, bang. Makhluk itu patut kita musnahkan.” Ucap Dimas. Gerak matanya menuju ke arah makhluk itu. Segenggam keyakinan terserap di dalam suaranya. Entah dari mana dia mendapat ilham untuk memusnahkan makhluk ganas separuh humanoid dan separuh araknida di hadapannya itu. Dia sendiri tidak tahu. Apa yang dia tahu, makhluk itu perlu dimusnahkan sama sekali. Lenyap. Kalau boleh, habuknya pun tidakkan ditiupkan ke udara.
“Itu tugas saya, Pangeran!” tegas Wiranto. Beberapa keping kempul bergerak laju meninggalkan dewan. Wajah-wajah pembesar yang ada jelas terpahat rasa takut dan gusar. Ada di antara mereka yang sempat berpaling ke arah Dimas, termasuklah Nani. Mereka nampak bersalah. Mereka sendiri tahu bahawa mereka telah melakukan satu pengkhianatan kepadanya.
Wiranto meninggalkan Dimas di belakang. Dia berjalan segak bak pahlawan gagah dahulu-kala yang ingin menentang seterunya. Dia penuh sedia. Darah kepahlawanan bagai bergelocak di segenap sudut tubuh mantapnya.
Dimas terkocoh-kocoh mengekorinya dari belakang. Begitu juga Ryekat. Mereka berlari-lari anak. Wiranto terus mendada.
“Jadi kau datang juga.” Ridwan bersuara, membuka lembaran bicara. Pandangannya bagai menelanjangi semua ‘tetamu’nya. “Ketiga-tiganya sekali… Wah! Bayangkanlah! Seorang Warok, seorang pahlawan Isbin dan seorang lagi cucunda kepada Hamengkubuwono… Yang nampaknya masih belum mati. Maka benarlah tilikan Tri-Darma!”
Tri-Darma tidak pernah melakukan kesilapan di dalam tilikan mereka. Apa yang dapat mereka lihat, apa yang tergambar di fikiran mereka, pasti akan berlaku. Selalunya tepat. Tidak berganjak dari paksi tilikan mereka. Terkadang, walaupun apa yang mereka lihat kabur dan apa yang mereka ceritakan dari visi mereka juga agak mengelirukan. Dia akan datang, Leluhur Yang Terpilih. Pada masa itu maut akan mengetuk pintu hidupmu sekali lagi!

Ridwan tersengih ke arah Dimas. Nafasnya berbau sinis. Dimas hanya tawar menanti senyumannya itu. Tiada keikhlasan. Kemudian pandangannya berubah ke arah kembar tiga Tri-Darma. Dia mengangkat salah satu kaki araknidanya, lalu membenamkan kakinya yang tajam itu ke dalam dada salah seorang kembar Tri-Darma itu.
Kejadian ini juga dilihat oleh Tri-Darma sejak mereka kecil lagi. Mereka akan menemui ajal mereka di dalam sebuah dewan besar oleh sebuah lembaga lahanat yang penuh dengan sifat-sifat kejahatan. Maka benarlah tilikan mereka itu. Mereka sudah menilik lama perkara itu, akan tetapi, mereka tidak melakukan apa-apa untuk menghadapinya. Bagi mereka, bila tiba masanya, mereka tetap akan musnah seperti yang disusunkan.
Darah merah pekat terpancut apabila kaki araknidanya itu dicabut keluar. Kesan darah terpalit di kaki Ridwan. Kembar Tri-Darma yang telah ditikam tadi tersungkur jatuh ke atas lantai. Mukanya menyembah lantai. Nafasnya bagaikan terhenti. Yang dua lagi kelihatan seperti kehilangan arah. Mereka tidak mampu lagi mengeluarkan sebarang kata-kata. Mereka memeluk tubuh saudara kembar mereka yang sedang menggigil menahan sakit itu.
“Kau tak perlu bunuh mereka!” Wiranto bersuara keras. Matanya memandang ihsan kepada kembar yang sedang bergelut dengan kesakitan. Pedati holotronnya dilibaskannya ke lantai.
“Kau semua akan mati… Cuma masa sahaja akan menentukan. Masanya adalah sekarang!” ucap Wiranto dengan penuh angkuh. Sebuah konsol, dengan tiba-tiba muncul di hadapan singgahsana.
Tanpa sebarang amaran, Dimas terkepung di dalam sebuah medan tenaga. Dengan sepantas kilat dia ditarik ke arah Ridwan. Dia kaget, tiada suara.
“Lepaskan dia!” tempik Ridwan. Kemudian dia hilang dari pandangan. Hilang seperti angin.
Dimas tidak dapat melakukan apa-apa. Dia dibawa semakin rapat ke arah Ridwan. Dia cuba meronta-ronta tetapi dia tidak dapat bergerak. Tenaganya bagaikan habis untuk meleraikan dirinya. Dia semakin tidak berdaya. Dia sudah menggunakan kudrat yang ada. Dia semakin tewas kepada kuasa itu.
Ryekat terpaku di atas lantai. Dia tidak tahu apa yang mampu dilakukannya. Dia melihat sahaja, mengharapkan yang baik akan berlaku. Dia nyata hanya mampu menyaksikannya. Sama seperti orang lain.
Ridwan mengeluarkan keris Pasopati yang tersemat di belakang Dimas dengan menggunakan sesungutnya.
Dia tidak bercerai pernah dengan kerisnya; keris Pasopati itu dibawa Dimas ke mana sahaja dia pergi sejak ia diserahkan kepadanya oleh nendanya sendiri.
Kini keris simbolik yang hanya boleh dipunyai oleh Raja Muda Empayar Dresanala itu berada di tangan Ridwan.
Ridwan tersengih puas. Dia telah meneliti ramalan Tri-Darma, lalu merancang segala-galanya yang sedang berlaku kini. Ia adalah kerja mudah, semua sudah terancang. Dia hanya melakonkan sahaja. Tiada jerih, tiada penat. Dia mahu memastikan bahawa dia akan dapat mengubah nasibnya, lantas menjadi makhluk yang paling berkuasa di sektor Meru ini. Semuanya telah dirancangnya dari mula lagi! Begitu hati-hati.
Ridwan menggunakan sesungutnya lalu membuka keris Pasopati dari sarungnya. Mata keris yang tak kenal erti musuh atau sahabat itu, dibenamkannya keris tersebut ke konsol di hadapannya. Mata keris tersebut dipulasnya sebelum dia menekan beberapa butang di atas konsol tersebut.
“Kraton akan musnah di dalam masa lima minit—” Kedengaran suara rendah seorang wanita memecah suasana tegang yang tersedia wujud. Nadanya mendatar. Semua mendengar.
Wiranto tiba-tiba sahaja melompat dari arah atas lalu muncul di hadapan singgahsana. Pergerakannya melawan batas fizik. Dia seolah mampu terbang di udara sebelum dia memasang kuda-kudanya dan membuka langkah pahlawannya untuk berpencak silat.
Pedati holotron Wiranto melibas ke arah Ridwan, lalu terkena ke bahagian tubuhnya. Libasan holotron cukup kuat sehingga tubuh cyborgnya itu tercalar dalam. Mukanya berkerut, mulutnya menjuih.
“Sial!” kebencian menyala di wajah Ridwan yang pucat seperti mayat itu. Dia tidak dapat lagi mengawal medan tenaga yang menyelubungi diri Dimas.
Dimas jatuh ke atas lantai. Ryekat cepat-cepat berlari mendapatkannya.
“Kita harus pergi dari sini!” pinta Ryekat. Tetapi Dimas tetap tidak mahu mengalah. Tanggungjawabnya sekarang adalah untuk memastikan bahawa dia dapat menyelamatkan kraton dari terus dimusnahkan.
“Dimas, dia akan menggunakan kamu untuk membolehkan dia mengambil alih kuasa Empayar Dresanala!” Ryekat mengingatkan. “Dia tahu perkara ini akan berlaku sejak dari awal lagi! Dia berada di dewan ini semata-mata kerana dia mahu menunggu ketibaan kita ke sini! Ini semua satu perangkap!” semuanya semakin menjadi nyata, banyak teka-teki yang sudah terjawap kini. Dimas hanya mendiam diri.
Dimas tidak boleh menerima apa yang telah diberitahu oleh Ryekat kepadanya. Dia melangkah beberapa langkah ke belakang. Dia mendapati Wiranto sedang bertarung dengan Ridwan. Libasan Ridwan hampir mengenainya. Wiranto bukan jenis yang mudah mengalah, setiap kelekaan Ridwan sudah pasti membawa padah kepada dirinya sendiri.
Wiranto menggunakan fungsi perisi holotron untuk menghalang Ridwan dari menggunakan kaki-kaki araknidnya itu dari menikamnya. Bukan satu perkara yang mudah; pergerakan Ridwan persis mesin pembunuh yang cekap melakukan tugasnya.
“Kita tidak boleh biarkan dia bertarung seorang diri!” kata Dimas, membentak dengan kasar. Wajahnya jelas terukir perasaan cemas yang sedang dirasakannya sekarang.
Ryekat memegang kemas lengan Dimas. Dia cuba menarik Dimas keluar dari dalam dewan.
Dimas melawan. Dia menyentap lengannya agar Ryekat tidak dapat mengawal pergerakannya lagi. Pegangan itu terlerai.
Dimas berlari ke arah Wiranto.
Di dalam jarak masa yang begitu pantas, sepucuk senjata yang tersimpan di dalam perut araknida Ridwan diacukan ke arah Dimas. Bagaikan halilintar, sebutir peluru yang disaluti racun meletus lalu bergerak pantas ke arah dahi Dimas. Pergerakan terbeku sementara. Dimas meluru ke depan. Wiranto ternganga untuk meluahkan jeritannya kepada Dimas.
Wiranto sedar akan apa yang sedang berlaku. Dengan pantas dia mengolah natijah untuk menyelamatkan Dimas.
Wiranto bergerak dengan begitu cepat sehingga tubuhnya kelihatan seperti hilang dari pandangan mata kasar. Apabila dia muncul betul-betul di hadapan Dimas, dia nampak kaku. Matanya kosong memandang Dimas. Dimas pucat memandang Wiranto.
Dia berjaya menyelamatkan Dimas, menghadang Dimas dari dicederakan. Dia terpahat di situ. Akan tetapi, malang buatnya, peluru tersebut terkena pada bahagian bahunya.
Wiranto terhumban ke belakang. Tubuhnya disambut oleh Dimas. Keluhan Wiranto memecah suasana. Retak. Berkecai. Kalau dinding itu mampu bersuara, suara simpati akan terpacul mengiringi titik airmata Dimas.
Air muka Dimas berubah dengan serta-merta. Mukanya pucat. Bibirnya lesi. “TIDAK!” jeritnya dengan sekuat hati. Dia mengeluarkan keris Wiranto dari belakangnya. Wiranto terkulai di dalam pelukannya. Dia nyata longlai. Menahan bisa yang meresap ke dalam badannya. Tangan Dimas dikepal kemas. Hanyir dendam berselaput di dalam hatinya. Dibelit amarah yang tidak pernah dirasakannya. Dengan semahunya dia ingin membunuh makhluk gila di hadapannya itu.
Ryekat terpaksa melakukan sesuatu. Dia tidak mahu melihat Dimas mati dengan sia-sia melawan Ridwan. Menentang Ridwan seakan merempuh sarang tebuan lagaknya. Ridwan terlalu hebat untuk dianggapnya sebagai seteru! Dimas bukanlah lawan yang setara dengan Ridwan.
Ryekat menghalakan tapak tangannya yang terbuka ke arah Ridwan. Matanya yang biru itu kelihatan bersinar seakan ia mampu berkata-kata. Tetapi tiada sebarang kata-kata yang dizahirkannya.
“Dia akan mati!” ucap Tri-Dharma dengan terketar-ketar. “Masanya sudah tiba. Dia akan mati di tangan seorang pahlawan Isbin.”
Kepala Ridwan mengeras. Matanya terbeliak, seakan sedikit terjojol keluar. Dia kelihatan kejang seolah-olah saluran pernafasannya telah disekat. Peluh-peluh aneh mula terbit di badannya.
Ridwan tidak dapat bergerak lagi. Matanya pudar. Bundar. Kaki-kaki menyekut, kaku. Mayatnya jatuh di atas lantai. Terhempas. Mukanya tersembam. Tidak bergerak lagi.
“Keluar dari sini… Cepat!” ucap Wiranto dengan suaranya yang sukar untuk dikeluarkannya. Nadanya terhenti-henti di rongga nafasnya. Dia nampak tercungap-cungap. Bibirnya kering membiru. Badannya ada yang lebam. Nyata, racun berbisa itu terlalu cepat merebak, meratah seinci demi seinci tubuhnya.
“Tidak, abang masih boleh diselamatkan!” Dimas membantah. Tangannya basah berdarah kerana cuba menahan darah Wiranto yang terpancut-pancut keluar dari luka di bahunya. “Tidak!” hanya itu yang dipaculkan dari mulutnya.
Dimas menggigil melihat keadaan Wiranto. Hatinya menangis. Matanya berair. Butir airmatanya jatuh, berderai, betul-betul hinggap di pipi Wiranto yang lesu. Matanya semakin kuyu. Sarat dengan airmata. Dadanya sebak. Dia mahu nampak kuat, tidak mahu dia menunjukkan sedih dan peritnya untuk dia berpisah dengan Dimas.
“Bawa aku ke sana… Aku perlu matikan sistem pemusnah kraton ini.” Pinta Wiranto lagi. Mulutnya penuh berdarah. Dengan sisa-sisa tenaga yang kian surut itu, dia masih mahu mendahulukan orang yang bakal menikmati kejayaan ini.
Ryekat seboleh-boleh mengangkat tubuh Wiranto. Dimas cuba menolong walaupun hatinya berat. Mereka membawa Wiranto ke hadapan konsol. Langkahnya kecil. Perlahan-lahan ke arah konsol itu. Dimas sebak. Airmatanya berderai, bersama langkah Wiranto.
Wiranto menarik keluar keris Pasopati kepunyaan Dimas. Dia menyerahkan keris tersebut kepada Dimas dengan kemas, walaupun tangannya menggigil dimakan bisa.
Tangan Wiranto memaut konsol di hadapannya. Darahnya menitik-nitik di atas permukaan konsol. Dia memerhatikan permukaan konsol. Dia dapat melihat beberapa butang yang kelihatan berkelip-kelip merah kini berubah hijau, tetapi yang lainnya masih merah. Dengan sekali imbas, Wiranto tahu bahawa sistem pemusnah kraton masih belum berjaya dimatikan lagi. Pengiraan masih diteruskan, walaupun beberapa langkah kini perlu diambilnya untuk mematikan sistem tersebut.
“Jaga baik-baik keris ini Pangeran. Jangan sekali-kali biarkan ia jatuh ke tangan musuh lagi.” Itulah permintaan Wiranto. Ia bagaikan permintaan terakhir. Dimas mengangguk lesu.
“Pangeran… Yang Terpilih akan menyelamatkan kita semua dari kemusnahan. Dia boleh melawan segala kejahatan yang bakal muncul. Jawapannya ada di dalam dirinya. Dengan jawapan itu, kegelapan alam akan dapat dibendungnya jua.” Tri-Dharma bersuara perlahan, agak tersekat-sekat. Dimas mengutip kalimah-kalimah aneh yang didengarinya. Dia kurang pasti dengan apa yang ingin disampaikan mereka kepadanya. Beberapa detik berlalu sebelum ketiga-tiga kembar Tri-Dharma ini rebah ke lantai. Kaku bak mayat.
“Mereka tidak boleh diselamatkan lagi.” Ujar Wiranto. Sedikit penyesalan terselit di dalam kata-katanya. Matanya tertutup sebentar. Dia kemudian mendakap tubuh Dimas. Dia membisikkan sesuatu ke telinganya.
Dimas mengangguk perlahan. Matanya berkaca-kaca, kemudian dia cepat-cepat mengesat air matanya. Dia mengangguk; tanda dia berjanji akan menunaikan permintaan terakhir yang dibisikkan oleh Wiranto tadi.
Ryekat memegang tangan Dimas dengan erat. Dia menarik Dimas dan memintanya keluar dari bangunan kraton. Wiranto perlu melakukan tugasnya yang belum selesai, lagipun tidak ada apa lagi yang dapat kita lakukan untuk membantunya. Kita mesti lepaskan dia dengan redha.

Dimas dan Ryekat berlari sekuat hati keluar dari dewan Seworenggo. Mereka tidak sedikitpun menoleh ke belakang. Mereka perlu menjauhkan diri dari dewan ini untuk berada di tengah-tengah dataran kraton.

Wiranto mengeluh. Dia memerhatikan konsol di hadapannya. Dia cuba menahan perit bisa dari serangan racun yang mula meresap masuk ke seluruh bahagian badannya. Tubuhnya terasa semakin kejang. Lemah. Darahnya sudah bercampur dengan bisa. Apakan daya. Dengan sedaya mungkin dia cuma mengawal keadaan dirinya supaya dia dapat mengelakkan kraton ini dari musnah. Kraton ini perlu terus berdiri megah. Ia adalah lambang kedaulatan Empayar Dresanala!
Wiranto mencuba sedaya yang dia mampu. Dengan peluh berbaur darah mengalir di mukanya, hitung mundur yang telah aktif sejak tadi kini berjaya dimatikannya. Wiranto berasa puas. Dirinya yang lemah dilepaskan, ke lantai. Sekurang-kurangnya kematiannya kali ini tidak sia-sia.
Wiranto terus tersungkur. Tubuhnya terasa semakin keras. Di hujung matanya dia dapat melihat lembaga Ridwan bergerak-gerak. Ia masih hidup rupa-rupanya.
Wiranto mencapai holotronnya. Dia memicit beberapa butang khas lalu memulas batang holotronnya. Dia mencampak batang holotronnya itu ke arah Ridwan. Mampus kau lahanat!

Bunyi letupan yang kuat kedengaran dari bangunan kraton di sebelah barat. Dimas berhenti berlari. Dia menoleh ke arah di mana letupan telah berlaku. Pandangannya terhenti, hatinya sayu. Fikirannya sarat. Dadanya tiada berombak. Satu perasaan teramat kosong yang tidak pernah terwujud kini tiba-tiba sahaja muncul di dalam jiwanya itu…


**

Baladewa-x mendarat dengan perlahan dan dengan penuh teliti di dataran kraton.

Keadaan di kraton masih megah lagi walaupun di dalam keadaan kucar-kacir. Beberapa buah menara telah tumbang. Bangunan kraton di sebelah barat pula masih terbakar. Kini keadaannya tak ubah bagaikan padang jarak padang tekukur.

Dimas berdiri di atas dataran itu di sebelah Ryekat. Tanpa berkata apa-apa. Tiada kata-kata bertukar antara mereka. Dimas jelas sedih. Matanya merah. Bengkak sedikit.

Sememangnya Dimas sedih. Dia tidak boleh menerima hakikat tentang kematian Wiranto. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia merasa sedih, sedangkan dia baru sahaja mengenali Wiranto. Perkenalan yang sebentar itu, telah mengundang rasa kasih kepada Wiranto yang bagaikan abang layaknya. Mungkin jua oleh kerana, dia sedia berkorban kerana cuba mempertahankannya. Terlalu banyak sebab untuk dia berasa sedih. Tetapi dia harus menerima hakikat bahawa Wiranto telah berjuang sehingga ke titisan darahnya yang terakhir. Dia takkan lupa tentang itu. Dia cuba meyakinkan dirinya yang Wiranto akan terus hidup di celah hatinya, jasad Wiranto akan terus bernadi di garis-garis kenangan yang tak mungkin akan pudar.

Kematiannya, bagai memberi nyawa kepada kenangan yang ada. Kematiannya nyata tidak sia-sia.

Khairul keluar dari perut pesawatnya. Dia agak terkejut tatkala melihat wajah Dimas. Kerana selama ini dia fikirkan bahawa Dimas sudah lama pergi. Kini dia pasti bahawa Wiranto masih hidup lagi. Dia meraba-raba kocek seluarnya. Dia masih menyimpan cincin Wiranto di situ. Dia mahu menyerahkan cincin tersebut kepadanya. Lalu memberitahu bahawa perasaan rindu serta kasihnya kepadanya tidak pernah pudar sehingga kini. Malah dadanya berat menampung kasih yang belum tercurah. Inilah masanya.
Khairul mengeluarkan cincin yang agak besar untuk dipakainya itu lalu diganggamnya dengan erat.
“Mana Wiranto, Dimas?” itulah kalimah-kalimah pertama yang terpacul dari mulutnya. Matanya melihat persekitaran di belakang Dimas.
Dimas tertunduk. Dia masih menahan sebaknya. Kelopak matanya diangkat. Matanya merah, tenang melihat Khairul. Itu sudah cukup untuk menggoncang dada Khairul.
“Kenapa? Apa yang telah terjadi?” tanya Khairul kebingungan. Tangannya terketar-ketar. Dia sekali lagi menoleh ke belakang. Dia dapat melihat Za beserta Laskar-laskarnya turun dari Baladewa-x. Mereka lengkap bersenjata; menunggu sahaja arahan seterusnya dari Khairul.
“Dia sudah tiada lagi…” Itu sahaja yang termampu diucapkan oleh Dimas. Bicara itu terkeluar, satu demi satu. Air mukanya keruh dengan sebak yang tidak mampu lagi ditahannya.
Rasa kecewa dan terkilan terguris jelas di atas wajah Khairul. Perasaan sedih sekali lagi mencengkam jiwanya. Dengan hati yang amat berat, Khairul menerima berita kepergian Wiranto. Tetapi, jauh di sudut hatinya, dia menidakkan berita ini.
Cincin kepunyaan Wiranto yang digenggam Khairul tadi terjatuh. Genggamannya semakin lemah. Dentingan itu melekat di dalam kepalanya; menggamit memori silam di antara dirinya dan Wiranto.
Dimas tunduk dan mengutip cincin kepunyaan Wiranto, lalu diserahkan cincin tersebut kembali kepada Khairul.
“Simpan cincin itu, Pangeran. Saya tidak layak menyimpan cincin ini… Lagipun saya pasti dia bangga jika seorang yang bakal menjadi maharaja Empayar Dresanala memakainya.”
Dimas merenung mata Khairul sambil menyarung perlahan cincin itu ke jari hantunya. Dia dapat memakai cincin itu dengan selesa. Tidak ketat. Tidak longgar.
“Dia berbisik kepada saya. Katanya: memento mori. Dia kata, Senopati tahu maksud kata-katanya.” Khairul mendongak mendengar pesanan dari Dimas.
Pandangan Khairul dilemparkannya ke arah kraton barat yang sedang marak terbakar. Matanya nampak sedih, menahan satu perasaan yang terlalu pilu. Lalu dia berkata:
“Dia meminta agar dirinya tidak dihidupkan kembali selepas ini…”
Kalimah yang disebutkan Wiranto tadi membawa maksud; ‘Ingat, bahawa kamu mesti mati,’ di dalam bahasa Latin. Satu peringatan yang sering digunakan pada era baroque di abad yang ke-15 di Bumi (khususnya di benua Eropah). Satu peringatan bagi semua manusia bahawa kita semua akan menemui ajal dan maut pada satu hari nanti. Satu kalimah yang pernah disebutkan oleh Khairul sendiri ketika dia menemui ajalnya di hadapan Wiranto tatkala dia berusia 22 tahun di Bumi.

Dimas mengangguk mengerti. Dia akan menghormati permintaan Wiranto itu. Dia berjanji kepada dirinya—jika dia ditabalkan menjadi seorang Mahajara, dia akan memastikan tidak ada manusia atau mana-mana makhluk akan diseksa dengan dihidupkan setelah dia mati.

Khairul perlu menerima pemergian Wiranto. Tetapi setiap kali Wiranto pergi, setiap kali itulah hatinya terasa seperti disiat-siat.
Tetapi kali ini dia yakin bahawa Wiranto telah pergi untuk selama-lamanya. Dia tak akan kembali. Dia akan pastikan bahawa Wiranto tidak akan dihidupkan semula!

Kepalanya berserabut. Wajah Wiranto terpahat di dalam fikirannya. Dia dapat melihat wajah manis Wiranto tatkala dia tersenyum, ataupun ketika dia sedang berduka, menangis teresak-esak dipangkuannya, dan wajahnya ketika dia mula-mula menemuinya di bawah timbunan runtuhan di Bumi dahulu. Semua kenangan berpusu-pusu menerjah benaknya. Semua bagaikan baru sahaja berlaku. Dadanya semakin sebak.
Kesemua memori suka dukanya bersama Wiranto terapung-apung di dalam benak fikirannya. Imej-imej mereka bersama bergerak sepantas kilat di dalam fikirannya, menari-nari, seolah-olah ia muncul sengaja untuk menyeksa dirinya lagi. Dia sedar bahawa memori-memori ini akan terus menghantuinya sampai bila-bila. Dia harus menerimanya.
“Dimas rasa bersalah. Dia fikir bahawa dia telah menyebabkan Wiranto pergi.” Khairul dapat mendengar bisikan telepath ini jelas di dalam kotak fikirannya. Dia memandang ke arah Ryekat. Dia tahu bahawa suara tersebut datang darinya.
“Dimas, Wiranto telah dilahirkan untuk menjadi seorang satria. Dia juga mahu mati seperti seorang satria. Kini, apa yang patut kita lakukan adalah untuk memastikan bahawa dia akan terus diingati sebagai seorang satria yang telah berkorban untuk Empayar Dresanala.” Sebut Khairul di dalam kemuraman hatinya.
Dimas mengangguk perlahan walaupun hatinya masih gusar. Dia terus tertunduk. Mengeluh berkali-kali.

Tanpa disedari, bahagian hulu keris Gayaman Pakubuwono kepunyaan Khairul yang tersemat di belakangnya itu bersinar. Ia bersinar buat beberapa ketika pada bahagian kristal ambilobe yang menghias hulu keris tersebut, sebelum ia kembali seperti sediakala. Ia seolah-olah mempunyai nyawa tersendiri; melakukan kewajipannya setiap kali ia diperlukan.

Khairul mendongak ke angkasa. Suasana senja di Pakubuwono nampak tenang. Beberapa ekor mergastua mula berterbangan, menandakan bahawa pertempuran yang hebat berlaku di sini sebelumnya telahpun selesai. Keadaan semakin aman.

Tetapi, ini cumalah satu titik permulaan. Permulaan kepada perjalanan yang masih terlalu jauh. Khairul sendiri dapat merasakan bahawa sesuatu yang tidak diingininya akan berlaku tidak lama lagi. Itulah telahannya. Dia hanya mampu menunggu masa dan ketika untuk menghadapi sesuatu yang nyata lebih hebat dan dahsyat dari apa yang telah dialaminya pada hari ini!

Khairul melabuhkan resahnya…

 

Hubungi penulis melalui e-mail di bawah ini:

gasingnet@maxis.net.my

hubungi NZ melalui chat

all contents by Nizam Zakaria 2002 All rights reserved | made with Dreamweaver MX