-->
DRESANALA

dapatkan novel terbaru dari trilogi sci-fi Dresanala

+ download Dresanala II: Baladewa-x | zip | doc |

Bab 16

Baladewa-j tiba di sistem Arjuna tepat pada masa yang telah ditetapkan oleh obor-obor Ibeni. Baladewa-j merupakan di antara kapalangkasa yang terpantas di dalam Empayar Dresanala. Baladewa-j hanya mengambil masa beberapa jam sahaja untuk menuju ke tempat yang paling jauh sedangkan kapalangkasa biasa akan mengambil masa berhari-hari untuk perjalanan yang sama. Kapalangkasa Diraja ini sering digunakan untuk tujuan diplomatik. Ia bukan sahaja digunakan di kalangan kerabat Diraja, tetapi ia memainkan peranan penting dalam menjalankan tugas-tugas rasmi Empayar Dresanala.

Khairul adalah antara  pengemudi Baladewa-j yang ternama. Dia telah mengubahsuai sendiri rekabentuk dalam dan luar Baladewa-j ketika ia mula-mula di bina dahulu. Walaupun kini Baladewa-j telah dibaikpulih semula untuk beberapa kali, ia tetap mengekalkan spesifikasi dan rekabentuk asalnya. Selama 400 tahun Baladewa-j mencurah khidmat dengan Empayar Dresanala, pelbagai peristiwa telah dilaluinya; terutamanya sepanjang ia digunakan oleh Khairul. Mungkin sekembalinya Khairul ke Dresanala, Baladewa-j akan dapat mengecapi zaman kegemilangannya semula apabila ia akan digunakan untuk tugas-tugas yang penting oleh Khairul, diantara Senopati yang paling disegani di dalam sejarah Empayar Dresanala.

Baladewa-j menjurus deras meneroka angkasa, terus ke arah Dresanala. Dalam beberapa minit sahaja lagi ia akan tiba di orbit Dresanala.

 

“Kau akan diketemukan dengan Bupati Achyat Wicaksana. Dia penasihat Baginda Maharaja.” Jelas Khairul kepada Dimas. “Kau tentu tahu… Taraf seorang Bupati adalah seperti seorang Perdana Menteri di Deutah.” 

            “Di mana?” Tanya Dimas. Wajah membiaskan kepenatan, walaupun dia banyak menghabiskan masanya beradu di kamar. Agak sukar untuk Dimas mencatur ingatan tentang keadaan seorang Perdana Menteri yang mempunyai bentuk seperti seorang humanoid. Yang lazim baginya, Perdana Menteri di planet kelahirannya merupakan sekumpulan kaum Deutah yang mempunyai keahlian seramai 100 orang yang berfikiran secara kolektif.

            “Di Kotagede.” Jawab Khairul ringkas. “Dia telahpun menunggu kita di sana.”

            Baladewa-j terus melebarkan sayapnya, terbang laju ke arah Dresanala melewati Planet Wisenggeni. Dimas memerhati suasana Dresanala dari tingkap bilik singgahsari. Masakan dia tidak kagum melihat apa yang terbentang di depan matanya. Fatamorgana yang disaksikannya sungguh indah, tak terucap dengan kata-kata, tak terlukis dengan alunan warna. Dresanala tampak kehijauan, dihiasi pula dengan percikan cahaya dari pelbagai arah; membuatkan semesta alam seperti berpesta menanti kedatangan mereka. Pemandangan itu sungguh berbeza kalau dibandingkan dengan Deutah. Deutah nampak lebih kebiruan.

            Beberapa detik kemudian, Baladewa-j masuk ke dalam ruang angkasa Dresanala. Pergerakannya masih lancar walaupun ia mencantas kepulan-kepulan awan yang tebal.

            “Di sana letaknya Kotagede.” Ucap Khairul seraya menuding jari ke arah beberapa buah menara tinggi yang muncul di antara kepul-kepul awan yang tebal. “Kota ini adalah sebuah kota kasta Ksatria.”

            “Kota ini sebuah kota terapung!” Dimas berjalan semakin dekat ke tingkap berhampiran untuk melihat Kotagede dengan lebih jelas lagi. Kota ini nampak sungguh menarik. Dia terpaku sementara. Selain dari Baladewa-j, ada beberapa buah shuttle yang sedang terbang bebas di antara menara-menara tinggi itu. Kilauan setiap shuttle itu, tak ubah seperti kunang-kunang mencari sarang di waktu senja. Sememangnya kota terapung ini kelihatan serupa seperti mana-mana kota besar di dalam Empayar Dresanala. Tiada beza yang mengasingkan antara kota-kota itu.

            “Ada lebih seratus kota-kota terapung seperti ini di Dresanala. Tetapi Kotagede yang paling cantik dan yang tertua sekali.”

            “Kenapa mesti dibina kota-kota terapung seperti ini?”

            “Begini ceritanya.” Khairul berlagak seperti tukang karut memulakan sketsa cerita. “Semasa pemerintahan Dinasti Singasari, Ratu Srengenge telah memerintahkan bahawa hanya kerabat Diraja sahaja yang boleh diam di atas mukabumi Dresanala, manakala rakyat jelata dan kaum pendatang ditempatkan di atas kota-kota terapung. Jadi, setelah lebih seribu tahun sejak usul ini diperkuatkuasakan, ada di antara rakyat biasa Dresanala yang tidak pernah menjejak-kaki mereka di atas bumi Dresanala itu sendiri. Begitu juga dengan kaum kerabat Diraja Dresanala… Ada di antara mereka yang mungkin telah meneroka jauh ke hujung galaksi sehingga ke Raikat, tetapi mereka tidak pernah sekalipun menghirup udara di kota-kota terapung ciptaan mereka sendiri.”

“Setelah lebih seribu tahun mereka hidup begini, rakyat Dresanala yang menduduki kota-kota terapung seperti ini hidup bahagia dengan kehidupan mereka. Tidak dinafikan bahawa mereka adalah golongan yang terkaya di dalam sektor Meru. Di sini tiada orang yang miskin. Walaupun begitu, kekayaan yang ada di sini tidak boleh dibandingkan dengan apa yang ada di bawah sana. Di bawah sana, dunianya amat berbeza dengan apa yang ada di sini.” Jelas Khairul dengan panjang lebar, matanya mengerling jauh ke bawah. Bagaikan semut api berderetan, sistem pengangkutan moden yang terlihat agak berselirat tetapi moden dan cekap. Khairul menyambung, “Tetapi bapamu lain orangnya. Dia lebih senang menghabiskan masanya di sini.”

            “Kenapa?” Dimas pantas menyambut.

            “Dia tidak suka kepada kehidupannya di bawah sana.” Ujar Khairul sebelum dia menambah lagi dengan suara yang perlahan. “Bapamu telah menemui ibumu untuk pertama kali di kota ini.”

            “Kenapa saya tidak pernah tahu tentang hal ini.”

            “Ibu dan bapa kau tak mahu kau tahu tentang kehidupan mereka di sini. Mungkin ia terlalu peribadi dan istimewa buat mereka.”

            “Tapi kenapa?”

            “Mungkin kerana mereka tak mahu kau lalui kehidupan kau di tempat sebegini—macam yang pernah mereka lalui.”

            “Apa kurangnya tinggal di Dresanala?”

            “Banyak yang kau tak tahu tentang tempat ini, Dimas…” Khairul termenung jauh. Matanya yang tadi bertentang dengan Khairul, dialihkan ke tempat lain. Dia seakan ingin menukar topik bualan. Baladewa-j kini terbang semakin perlahan masuk ke kawasan kota. Kecekapan Baladewa-j tak boleh disangkal lagi—ia melakukan satu pusingan pantas sebelum ia mendarat di atas sebuah pelantar pendaratan. “Kita harus bersedia untuk menemui Bupati.” Khairul memegang bahu Dimas. Dimas tertunduk.

            “Kenapa saya dibawa ke sini dan bukan ke Pakubuwono?” Tanya Dimas.

            “Kerana, jika mengikut protokol, ini merupakan kali terakhir kau akan dibenarkan berada di kota terapung seperti ini.”

            “Kenapa pula?”

            “Selepas ini kau akan ditabalkan sebagai Raja Muda Empayar Dresanala untuk menggantikan tempat arwah bapa kau. Selepas itu kau tidak boleh ke mana-mana selain bersemayam di kota Pakubuwono. Kau seakan-akan ‘terpenjara’ di dalam kraton kau sendiri. Inilah antara sebab kenapa bapa kau mahu melarikan diri dari ini semua satu masa dulu.” Ujar Khairul berterus terang kepada Dimas.

            Dimas termenung sejenak memikirkan tentang kata-kata Khairul tadi. Dalam masa yang sama, imbasan wajah kedua orang tuanya berlegar di fikirannya. Seketika itu juga dia teringatkan apa yang mungkin telah mereka lakukan bersama satu ketika dahulu. Mungkin ada benarnya kata Khairul, mungkin ada sesuatu yang tidak kena di bawah sana… Dimas cepat-cepat membetulkan pakaiannya—bersedia untuk bertemu Bupati Achyat Wicaksana.

 

**

 

Dimas diiringi turun dari Baladewa-j oleh Wiranto dan Khairul. Dia dapat melihat bahawa ketibaannya di Kotagede telah disambut oleh Bupati Achyat Wicaksana bersama seketumbukan Warok-warok dari pelbagai pasukan yang mempunyai kepakaran yang pelbagai.

            “Selamat datang ke Dresanala, Pangeran.” Bagai tak sabar Achyat untuk menerima kehadiran Dimas, lalu dia tunduk hormat di hadapan bakal Raja Muda yang baru itu. Pakaian serba hitam yang menyaluti tubuhnya jelas menunjukkan mereka masih berkabung ke atas kematian Raja Mudanya. Di sisinya berdiri tegap beberapa orang Warok pengiring Diraja yang sedang memakai baju perisai berwarna perak. Di celah tangan mereka terselit tombak-tombak yang berkilau hujungnya. Dari apa yang dikhabarkan, tombak-tombak ini bersifat simbolik. Dalam pada masa yang sama, ia mempunyai kelebihan untuk mengeluarkan ledakan sonik yang mampu membunuh.

            Dimas tidak mampu berkata apa-apa. Dia sekadar tersenyum tawar sambil memerhatikan tubuh-tubuh mereka yang datang menyambutnya. Dia mengalih pandang, mendongak melihat planet Wisenggeni yang jelas kelihatan, walaupun pada waktu tengahari seperti itu. Dia terhenti seketika. Masakan tidak, pemandangan indah sedemikian terlalu asing buatnya. Sinar cahaya biru Arjuna yang terlimpah ke mukanya sedikit sebanyak telah memeritkan mata.

            “Kotagede akan melalui Pakubuwono di dalam masa tujuh jam sahaja lagi. Saya harap, Pangeran akan merasa selesa di sini… Kalau ada apa-apa yang Pangeran perlukan, kami sedia memenuhinya. Dan… saya bagi pihak penduduk Kotagede ingin merakamkan takziah kepada pihak Pangeran di atas kemangkatan Raja Muda kita.”

            Dimas mengangguk perlahan. Dia masih tidak boleh berbicara, seolah-olah segala tindak tanduknya sudah disuratkan sedemikian. Apa yang jelas, masih sukar baginya untuk menerima berita kemangkatan bapanya sendiri. Kedukaannya tidakkan sama dengan apa yang dialami oleh orang lain.

            Dalam kesedihan yang masih tebal, Dimas menggagahkan dirinya untuk tidak menghampakan tuan rumah. Mereka telah membuat persiapan rapi lagi terancang. Achyat membawa Dimas melihat-lihat kota ini dari kawasan pelantar pendaratan. Menara-menara tinggi yang nampak gah dan tersusun indah mengelilingi di sekitar mereka. Bagaikan pagar gergasi lagaknya. Ada bangunan yang terlalu tinggi sehingga mencecah dada awan. Ada yang agak kerdil, akur dengan kegelapan dek bayang-bayang meskipun hari masih siang. Kota terapung ini kelihatan seperti ia dilitupi oleh sebuah kubah gergasi lutsinar.

Kubah lutsinar memungkinkan kota-kota terapung ini mempunyai sistem mikro-cuacanya tersendiri. Bukan itu sahaja, kubah ini menambah nilai-nilai estetika kepada kota-kota ini. Kubah itu juga dibina dengan ciri-ciri keselamatan termoden untuk menghindari serangan terhadap kota ini. Ia juga mampu mengelakkan naga-naga Prambanan yang mungkin akan tersesat masuk ke dalam kota.

            Di atas pelantar, Dimas telah dibawa menaiki sebuah pesawat persiaran tanpa bumbung yang dinamakan—Kodok YM-23 [1] . Pesawat cilik ini mampu memuatkan seramai sepuluh orang penumpang di dalamnya. Dimas dibawa bersiar oleh Achyat untuk menyusuri suasana Kotagede. Beberapa orang warok pengiring mengiringi pesawat Kodok dengan menaiki motorsikal Holotron mereka.

            Khairul nampak tenang sewaktu dia menaiki pesawat ini menemani Dimas. Walaupun sudah beribu tahun dia menatap pemandangan yang sama di hadapannya, tetapi dia tidak pernah merasa jelak. Apatah lagi untuk berasa bosan. Baginya, pemandangan ini terlalu indah di Kotagede. Walaupun dia menatap pemandangan yang sama untuk sejuta tahun, ia akan tetap terindah buat Khairul. Tidak dapat dinafikan lagi, senibina yang cantik ditambah dengan kekayaan yang dibawa masuk oleh Empayar Dresanala; menjadikan kota ini kelihatan seperti sebuah kota elit agung di atas kayangan yang hanya layak didiami oleh para dewata.

            “Senopati Khairul kata, Pangeran patut di bawa ke Tamansari.” Ujar Achyat kepada Dimas. Sebelum ini, dia dan Khairul saling berbisik sesama mereka. Entah apa sahaja yang mereka bisikkan. Wajahnya berkerut seribu apabila dia berbincang dengan Achyat tadi. Seolah ada kekusutan di fikiran mereka.           

Pesawat Kodok diperlahankan, lantas turun ke aras yang lebih rendah di bahagian paling hujung Kotagede. Semakin rendah pesawat ini turun, kelihatan semakin banyak pesawat pengangkutan awam dan pesawat persendirian yang kelihatan mundar mandir di kawasan kota tersebut. Begitu sibuk mereka ke sana sini dengan tujuan masing-masing.

Pesawat Kodok dikemudi untuk memasuki satu kawasan yang agak terpencil. Tempat ini sungguh jauh dari kesibukan kota yang hingar bingar. Kawasan ini, menurut Achyat adalah sebuah kawasan larangan. Dimas tersentak sekejapan mendengar pernyataan itu. Bangunan-bangunan di sini pula dibina rapat-rapat seolah-olah bertindih; tak ubah seperti sebuah tembok besar atau benteng untuk melindungi bahagian kota itu dari serangan luar.

Tamansari—ialah sebuah  taman air di Kotagede Selatan; ia merupakan sebuah kawasan rehat Diraja yang dikelilingi taman yang indah. Sungguh indah taman ini, ia boleh mengkagumkan siapa sahaja yang menjejakkan kaki ke tempat itu. Jangankan hamparan kawasan hijau yang luas, pelbagai jenis tumbuhan melingkari setiap sudut. Di samping itu, udaranya sungguh segar—tidak terucap kenyamanannya. Tiang-tiang tinggi tersergam indah disaluti batu-batu yang seakan permata, yang sentiasa memercikkan cahaya kebiruan berselang-seli dengan sirna hijau. Sesekali terdengar percikan air dari kolam dibina seperti tempat yang boleh diguna untuk bersiram. Taman indah ini dibina betul-betul pada di bahagian paling hujung Kotagede Selatan. Mungkin kedudukan ini sesuai untuk melarikan diri dari kesibukan kota dan sesuai untuk bersantai.

Menurut hikayat, taman ini telah wujud sejak kota ini mula dibina dahulu. Sekarang, bangunan yang dahulu merupakan kamar beradu Diraja, tempat beristirehat, dan kolam bersiram sang putri dan putra kraton; terbiar kosong. Sejak berakhirnya Dinasti Singasari, jarang kedapatan kerabat Diraja yang datang untuk berehat atau menghabiskan masa di sini. Di taman itu juga ada beberapa terowong bawah tanah. Masih ramai yang ragu akan fungsinya; sehingga sekarang tiada siapa yang tahu fungsi sebenar terowong-terowong itu. Namun begitu, taman ini masih dijaga dengan rapi. Keindahannya terserlah sepertimana kegemilangannya satu masa dulu. Tiada tolok bandingnya.

Dimas jelas terpegun melihat keindahan Tamansari. Beberapa ekor serangga seakan-akan menari di hujung matanya. Cahaya yang terpancar dari serangga itu, seolah-olah sekumpulan bintang kecil layaknya. Liuk lentuk pergerakan mereka seperti ingin meceriakan hati duka si Dimas. Seakan-akan mereka mengerti musibah yang baru menimpanya. Sinaran Arjuna berwarna biru dari angkasa menambah-serikan lagi suasana. Cahaya Arjuna tumpah ke setiap makhluk yang ada di taman itu; maka kesemuanya seolah-olah berpakaian hampir serupa—bewarna kebiruan. Apabila dia mendongak, dia dapat menyaksikan beberapa buah pesawat yang bergerak keluar masuk dari Dresanala. Ia betul-betul kelihatan seperti butiran-butiran meteor yang bergerak mewarnai angkasa.

Buat pertama kali sejak Dimas dibawa keluar dari Deutah, dia terasa tenang. Aman. Jiwanya terasa tenteram menikmati suasana Tamansari.

Achyat memberitahu kepada Khairul bahawa dia terpaksa beredar untuk meneruskan tugasan sebagai seorang Bupati. Dia mahu kembali ke pejabatnya yang terletak di Pakubuwono. Masih ada beberapa perjanjian rasmi dengan dua atau tiga buah empayar di bawah takluk Empayar Dresanala yang terpaksa ditandatanganinya. Khairul mengangguk tanda mengerti. Dia sendiri tahu bahawa pekerjaan itu bukan mudah. Kadang-kala ia melibatkan Achyat menghadiri dua atau tiga persidangan penting di dalam jangkamasa yang singkat. Itu belum lagi dihitung beberapa permasalahan di dalam pentadbiran Empayar Dresanala itu sendiri, yang perlu campurtangan Achyat. Tetapi Khairul pasti bahawa Achyat dapat melakukan tugas-tugasnya dengan cemerlang, memandangkan seorang kerabat sepertinya telah dilatih sedari kecil lagi di dalam aspek-aspek perbendaharaan sebuah Empayar.

“Apa yang kau bicarakan dengan Bupati tadi?” Tanya Wiranto kepada Khairul. Tatkala itu Dimas menghSintan langkah sendirian menuju ke arah dek pemerhatian. Dia boleh melihat pemandangan Dresanala dengan jelas di sana.

“Dia memberitahu aku tentang apa yang telah berlaku di sini. Tentang serangan-serangan pengganas ke atas beberapa buah kota di Dresanala termasuk di Kotagede...”

“Perkara ini semakin teruk. Penduduk Dresanala hidup diselubungi ketakutan. Tiga bulan lepas, Kota Palapa telah diserang dengan bom ion yang disasarkan ke lautan Kerta. Cuba bayangkan—lebih lima ratus ribu orang terkorban. Yang nyata, kaum Isbin dipersalahkan. Ramai di antara mereka telah ditangkap dengan membuta tuli. Tiada apa-apa bukti kukuh. Hingga kini masih ramai dalam tahanan.”

Wajah Khairul berubah. Dia tidak pernah menyangka bahawa para pengganas telah bertindak dengan sebegitu zalim cuba memusnahkan sebuah kota yang sesak dengan penduduk.

“Mereka tidak harus dipersalahkan. Ini bukan cara atau kehendak mereka.” Khairul menyatakan pendapatnya. Dia tidak mungkin berganjak dari pendiriannya. “Kerja ini terlalu kejam dan gila!” Dia terhenti di situ. “Hanya mereka yang tidak berhati perut sahaja tergamak membunuh orang-orang yang tidak berdosa walau apa sekalipun alasan mereka berikan!” Bentaknya.

Khairul merenung jauh memikirkan kejadian itu dalam-dalam. Dia cuba mencatur kesamaan dengan apa yang pernah dilakukannya sendiri satu ketika dahulu. Tangannya pernah berlumuran dengan darah mereka yang tidak berdosa—dia menjadi pemusnah entah berapa kota di beratus-ratus empayar yang telah dijajahi oleh Empayar Dresanala. Dia merasakan bahawa apa yang telah dilakukannya tidak jauh bezanya dengan kemusnahan yang terpampang di depan matanya. Mungkin tindak tanduknya lebih teruk lagi. Dia masih diulit fikirannya sendiri. Tiada siapa yang tahu, apa yang bermain di kotak fikirannya. Tapi air mukanya mencerminkan sedikit kekesalan yang tidak bernoktah.

“Aku tahu apa yang bermain di fikiran kau…” Wiranto mencelah. Sudah lama dia perhatikan gelagat Khairul. Sudah dibacanya apa yang terlintas di benak Khairul. Setelah begitu lama dia bersama Khairul, dia bagaikan telah masak dengan kerenahnya. Setiap apa yang terlintas di dalam kepala Khairul, pasti dapat ditekanya. “Kau tak perlu gusarkan atau sesalkan tentang apa yang pernah kau lakukan dahulu. Itu semua sudah terlipat di dalam sejarah. Kau harus memandang ke depan. Kekesalan takkan membawa kau untuk memutar waktu!” Ujarnya dengan serius.

“Kau ingat lagi cerita lama aku?… Ketika aku masih lagi bergelar seorang manusia? Bagaimana aku telah bercita-cita untuk menjadi seorang pegawai tinggi anggota Pasukan Marin Angkasalepas—“

“Jika SDT tidak merosakkan hidup kau dulu… Kau tetap akan menjalankan tugas kau bagi pihak Perbadanan Bumi. Kau tetap akan melakukan apa sahaja perintah mereka tanpa perlu berfikir panjang. Kau akan tetap berada di bawah telunjuk mereka! Sama saja!” Jelas Wiranto. Dia pernah membincangkan hal yang sama dengan Khairul beberapa tahun sebelum dia terkorban buat kali pertama.

Khairul mengeluh. Dia pasti Wiranto sendiri memahami isi-hatinya yang berkecamuk itu. Tidak ada seharipun di dalam hidupnya, dia mampu berhenti dari memikirkan tentang segala apa yang telah dilakukannya selama dia bertugas sebagai seorang Senopati. Dia tidak mampu untuk menipu diri—dia merasakan kekesalan yang tebal di dalam jiwanya. Ada benarnya, kekesalan tidak akan membawa ia ke mana dan dalam masa yang sama, dia tidak mungkin memutar waktu. Dia pasrah. Yang ada padanya, adalah semangat untuk terus memandang ke depan tanpa dibayangi kisah silam.

                          

**

 

Mata Dimas terpaku memandang ke hadapan apabila dia sedang berada di atas dek pemerhatian di Tamansari. Dia menyaksikan lima buah pesawat kecil Holotron sedang terbang menuju ke arah Tamansari. Yang pasti, pesawat-pesawat itu datang dari luar Kotagede. Deruman pesawat-pesawat itu tidaklah sebising mana. Warok-warok yang menaiki Holotron itu terbang melewati medan tenaga Kotagede, lalu dengan perlahan ia hinggap di kawasan lapang di Tamansari.

Pesawat Holotron yang dinaiki oleh Warok-warok itu hilang serta merta sebaik sahaja mereka mendarat. Tidak sampai beberapa saat, pesawat itu bertukar rupa kepada sebatang cotar. Mereka lekas menyimpan cotar Holotron masing-masing. Sepantas kilat juga mereka berlima berjalan ke arah Dimas—terburu-buru. Warok-warok pengawal yang ada telah membiarkan sahaja mereka berlima mengadap Dimas tanpa menghalang. Mereka terus berdiri tegak seperti patung mengawal Dimas.

Warok-warok yang baru sahaja tiba, terus melutut dan tunduk di hadapan Dimas.

            Dimas terus mendapatkan Wiranto dan Khairul. Dia berpaling ke arah Warok-warok tersebut yang masih tidak berganjak dari tempat mereka.

Dimas cuma memerhatikan Warok-warok yang sedang tunduk di hadapannya. Sedikit pun tidak bergerak—pandangan mereka terpaku ke lantai. Dimas nampak kurang senang apabila dia ternampak seperti ada seekor haiwan parasit kecil yang melekap ketat ke tengkuk mereka. Haiwan tersebut berdenyut-denyut seolah-olah ia sedang menghisap darah Warok-warok tersebut.

“Apa benda yang melekat di belakang mereka tu?” Tanya Dimas sambil mengusap-usap tengkuknya sendiri. Dia rasa geli geleman sedikit.

“Oh, itu! Di belakang leher mereka ditanam dengan sejenis alat yang dipanggil Kejatenira [2] . Alat organik ini akan mengawal bahagian hypothalamus di dalam kepala mereka. Semua Warok akan dipasang dengan alat ini kecuali Wiranto.” Jelas Khairul sambil berpeluk tubuh.

            “Kecuali Wiranto? Kenapa pula?” Tanya Dimas, penuh dengan tanda tanya.

            “Aku yang tak benarkannya.” Dijawabnya pertanyaan Dimas dengan bersahaja.

            “Tapi… apa kegunaan sebenar alat ini?”

            “Alat ini akan membuatkan para Warok menjadi berani dan ganas apabila diperlukan.”

            “Siapa mereka sebenarnya?” perasaan ingin tahu Dimas tidak dapat dibendung lagi. Satu persatu pertanyaan dilontarkan keluar dari kotak fikirannya. Sementelahan pula, Khairul dan Wiranto begitu sabar melayan perasaan ingin tahu Dimas. Setiap persoalan, ada sahaja jawapannya. Dimas nampak puas.

            “Mereka dikenali sebagai Laskar. Warok-warok ini dari pasukan gerak-khas yang paling digeruni. Mereka dikenali sebagai warok-warok yang terbaik di antara yang terbaik.” Wiranto bangga menjelaskan—dia sendiri adalah seorang anggota Laskar di dalam beberapa lembaran kehidupan awalnya dahulu. 

            “Kalau begitu, apa tujuan mereka ke sini?” Tanya Dimas. Dia memandang tepat ke arah Khairul dan kemudian ke arah Wiranto. Tiga pasang mata bertentangan, cuba mencari jawapan.

            “Apa urusan kamu datang kemari?” Tanya Khairul, seraya memberi isyarat tangan menyuruh mereka berdiri untuk mengadapnya.

            “Kami ke sini dengan urusan rasmi, tuan! Kami ingin menemui tuan untuk menyerahkan perutusan ini kepada tuan.” Kata ketua Laskar lancar. Dia menyerahkan sekeping surat yang tersisip di dalam sekeping logam bewarna perak dan merah, lengkap dengan cap mohor Diraja kepada Khairul.

            Khairul meletakkan ibu jarinya pada bahagian hadapan sampul surat. Mekanisma biometrik sampul surat tersebut telah mencerap dan menganalisa cap jarinya sebelum sampul logam itu terbuka dengan sendirinya.

            Khairul membaca isi surat tersebut dengan tekun. Dia mengusap-usap dagunya. Kemudian dia berjalan mendekati Wiranto.

            “Aku terpaksa pergi. Ada urusan rasmi yang terpaksa aku laksanakan. Ini adalah arahan dari Raden Adipati Jiwo Negroho sendiri. Aku mahu kau pastikan keselamatan Pangeran Dimas!” Khairul berkata tegas.

            Wiranto mengangguk tanda faham. Dia tahu bahawa Khairul terpaksa melakukan tugasnya itu tanpa sebarang soal. Malah, dari mula lagi dia sudah boleh mengagak bahawa Khairul akan diarah untuk menjalankan tugas bagi pihak Empayar Dresanala sebaik sahaja dia tiba di sini.

            “Dimas…” ujar Khairul dengan nada yang perlahan. “Kau harus cekal mulai saat ni. Sepeninggalan aku, kau patuhi setiap arahan Wiranto. Tiada siapa yang kau boleh percayai selain dari dia.”

            Dimas menelan air liurnya—tekaknya tiba-tiba sahaja terasa kering. Halkumnya nampak turun naik. Diapun terus mengatur kata…

            “Baik bang…” Dimas mengangguk akur.

            “Kalau boleh jangan panggil aku abang… Kau Pangeranku.  Kau bakal menjadi Susuhunan Empayar Dresanala.” Khairul mengingatkan.

            “Baik, Senopati.” Senopati—kalimah ini agak asing baginya, tetapi terpaksa jua diluahkan. Hatinya terasa berat untuk memikul segala tanggungjawab yang bakal diterimanya nanti. Dalam diam dia menelan segala perasaan yang berbaur dan cuba menidakkan ketidahsanggupannya. Dia mahu menumpukan segala perhatian dan tenaga kepada tanggungjawab yang harus dipikulnya sekarang. Terlalu banyak jasad yang bergantung harap dengannya. Harapan mereka tidak harus diperlekehkan.

            Khairul tersenyum puas dan bangga. Lalu dia meminta diri untuk beredar dari Tamansari. Warok-warok Laskar mengekorinya dari belakang.

 

“Apa yang akan berlaku selepas ini?” Tanya Dimas kepada Wiranto.

            “Pangeran akan turun untuk menghadap Seri Baginda Maharaja di Kraton Pakubuwono Hadiningrat—“

            “Itu saya sudah sedia maklum… Maksud saya, apa yang akan berlaku kepada Senopati Khairul?” Dimas menambah, memperbetulkan susun ayatnya kepada Wiranto.

            “Itu saya kurang pasti, Pangeran. Maafkan saya. Cuma apa yang saya tahu, jika arahan datangnya dari Raden Adipati Jiwo Negroho, ia pasti sesuatu yang melibatkan kepentingan Empayar. Dalam erti-kata lain, ia sudah pasti satu misi yang agak penting.” Mata Wiranto pandangan matanya dilontar jauh menyelami hutan tebal Dresanala di bawahnya. Bayang-bayang Kotagede yang sedang terapung-apung di angkasa melitupi sebahagian besar dari kawasan hutan.

            “Saya kira, bahaya juga tugasan yang terpaksa dilaksanakannya nanti!”

            “Tentu sekali, pangeran. Jika tidak, sudah pasti Laskar tidak akan bersamanya dalam misi itu.”

            Dimas menarik nafas panjang. Kini Khairul sudah lenyap dari pandangannya. Kesepian dan kekosongan mula menggigit jiwanya. Fikirannya mula terasa kusut. Perasaan cuak mula membelenggu dirinya. Apapun, dia harus bersedia untuk terus berdiri di atas kakinya sendiri. Masa terlalu singkat untuk dia menduga masa depannya sendiri. Apa yang terhampar di depannya, harus ditelannya. Dia sedar, dia punya tanggungjawab hakiki terhadap rakyat jelata yang mendambakan seorang Pangeran berketerampilan untuk meneruskan kegemilangan pemerintahan di Dresanala.



[1] Pesawat Kodok di dalam pelbaagai versinya adalah sebuah teksi udara yang membawa penumpang kota-kota terapung ini. Ia mempunyai pelbaga bentuk, tetapi fungsinya sama, iaitu menjadi sebuah pengangkutan transit yang cekap.

[2] Alat ini mempunyai rekabentuk organik seperti seekor lintah. Ia dipakaikan di bahagian belakang kepala seorang warok sebaik sahaja dia dianugerahkan dengan gelaran “Warok”. Alat ini  mempunyai nyawa tersendiri. Ia telah dibiakkan dengan tujuan; ia akan dapat hidup di dalam keadaan simbiotik dengan si Warok. Tindak-tanduk seorang Warok dapat dikawal oleh pihak berkuasa tentera dengan alat ini. Ini dilakukan supaya seorang Warok akan terus berjuang tanpa rasa gentar dan kesetiaan mereka diserahkan untuk Empayar Dresanala, tanpa belah bahagi.

:: hubungi NZ jika anda mempunyai apa-apa pertanyaan atau komen mengenai novel ini ::

Pihak penulis merasa amat sukacita sekiranya beliau menerima surat serta kritikan membina daripada mereka yang telah melawat laman ini atau mereka yang telah selesai menghayati naskahnya ini. Jika anda mempunyai idea yang bernas serta mahu menghantar sumbangan bahan kreatif (gambar, komik atau cerpen) untuk memperkayakan lagi laman ini, pihak penulis akan menerima sumbangan ini dengan tangan terbuka. Jika sumbangan kreatif itu dianggap sesuai, ia akan dipaparkan di sini.

Hubungi penulis melalui e-mail di bawah ini:

gasingnet@maxis.net.my

hubungi NZ melalui chat

all contents by © Nizam Zakaria » 2002 All rights reserved | made with Dreamweaver MX